Tetamu Rindu

Wednesday 7 August 2013

Rindu Dalam Sepi ( Istimewa Ramadan ) -Last Entry

MENGINTAI RINDU

BAB 12


AMMAR terbaring sambil mengadap siling biliknya yang terukir cantik. Sejak pulang dari masjid, dia hanya duduk berkurung dalam bilik. Panggilan daripada Datin Zarina pun tidak diendahkan, teguran daripada Datuk Zainal dibiarkan sepi. Mesej daripada Lydia langsung tidak dibalas. Hati dan fikirannya terasa kosong saat ini.
“Kenapa Am tak turun masa Diya nak bertolak ke kampung tadi?” tegur Datuk Zainal sewaktu mereka sekeluarga berbuka puasa.
Ammar diam. Dia hanya memandang sepi nasi yang terhidang di hadapan mata. Hanya tiga biji kurma yang menjadi santapannya sebaik saja azan berkemundang. Seleranya bagaikan tepu apatah lagi apabila melihat ketam masak cili api yang terhidang di hadapan mata mengingatkannya pada Mardiyah.
“Am ni kenapa? Makan pun tak. Am tak sihat ke?” soal Datin Zarina pula selepas tiada balasan daripada Ammar.
“Am sihat je, mama…” balas Ammar pendek.
“Makanlah sikit, along…” sampuk Akhil sambil menyuakan nasi putih kepada Ammar.
Ammar hanya tersenyum hambar. Dia menyambut huluran daripada Akhil lalu satu senduk nasi diletakkan di dalam pinggan. Seketul ayam goreng diambil bersama dengan sayur campur.
“Along tak nak ketam ni?” soal Aryani pula.
Dengan pantas Ammar menggelengkan kepala. Dia masih enggan untuk bercakap. Entah apa yang melanda hati dan perasaannya saat ini. Otaknya asyik terbayangkan wajah Mardiyah sebaik saja terpandangkan ketam itu. Parah dah aku ni. Bisik hatinya.
“Mama, agak-agaknya Kak Diya dah sampai dekat kampung ke?” soal Aryani sambil matanya memandang wajah Datin Zarina yang masih kelihatan cantik meskipun sudah berusia.
“Tadi Kak Diya kamu ada telefon mama, katanya dah nak sampai. Mungkin dah sampailah tu. Biarlah dia mungkin gembira dengan keluarga dia dekat kampung tu…” balas Datin Zarina.
Ammar  hanya mampu menadah telinga.
‘Memang dia bahagia dekat kampung, aku dekat sini bukannya dia peduli. Apa salahnya ajak aku balik kampung sekali, boleh juga aku berkenalan dengan keluarga dia dekat kampung, ini tidak buat derk je dekat aku. Ingat aku patung lilin ke apa?’ bebel Ammar hanya dalam hati.
“Kalau Kak Diya ada sekali masa malam raya mesti best tapi apakan daya, Akhil pun tak sempat nak beraya dengan Kak Diya…” ucap Akhil kecewa.
“Itulah kau balik lambat sangat. Kak Diya kirim salam je dekat kau,” balas Aryani.
“Waalaikummusalam..” jawab Akhil sambil matanya dihalakan pada laman wajah Ammar yang muram. Abangnya itu bagaikan kehilangan semangat. Wajahnya tidak menggambarkan riak yang ceria.
“Along sempat tak jumpa Kak Diya?” sengaja Akhil mengutarakan soalan itu pada Ammar. Dia ingin lihat sejauh mana Ammar ingin mendiamkan diri.
“Tak…” balas Ammar pendek.
“Bukan tak sempat tapi along yang tak nak jumpa Kak Diya. Kesian Kak Diya, Yani tengok muka dia macam kecewa sangat bila along tak turun. Sudah- sudahlah tu sakitkan hati Kak Diya, along. Kita dah nak raya ni…” tegur Aryani dengan bahasa yang lembut.
Akhil menganggukkan kepala setuju dengan kata- kata Aryani. Datuk Zainal dan Datin Zarina hanya menjadi pemerhati perbualan anak-anak mereka.
“Kau tak faham apa yang along rasa…” balas Ammar.
“Rasa apa, along? Bukannya Akhil tak tahu yang along tu sebenarnya ego. Ego untuk menidakkan perasaan along pada Kak Diya. Kalau along teruskan dengan perangai along yang macam ni, Akhil rasa along cuma boleh putih mata jelah tengok Kak Diya kena kebas dengan orang lain. Baru along tahu yang kaca yang along sangkakan tidak bernilai itu rupa- rupanya permata yang bersinar. Masa tu kami semua cuma nak tepuk tangan jelah,” ujar Akhil lantang dan tegas.
Sudah puas mereka sekeluarga memikirkan jalan untuk menyatukan Ammar dan Mardiyah namun satu cara pun tidak menjadi. Ammar tetap ego dan Mardiyah tetap dingin seperti air dengan minyak, langsung tidak boleh bersatu.
Ammar terdiam lagi. Kata- kata Akhil meresap ke dalam hatinya. Dengan pantas tangannya mencapai sebiji cili padi yang sengaja dihidangkan oleh Mak Yam untuk Datuk Zainal yang sukakan pedas lalu disuapkan ke dalam mulut tanpa perasaan. Cili yang merah menyala itu dikunyah-kunyah. Rasa panas menjalar ke segenap mulutnya tidak dipedulikan.
“Along!” jerit Aryani terkejut. Datuk Zainal dan Datin Zarina juga terkejut melihat perlakuan Ammar.
“Am, Am tak suka makan pedas. Kenapa makan cili ni? Pedaslah…” tegur Datin Zarina.
Ammar tidak peduli. Sebiji lagi cili tersebut diambil lalu disuapkan ke dalam mulut. Mata dan hidung yang berair tidak dipedulikan. Dengan cara ini dia dapat mengurangkan rasa yang galau yang bersarang di hati. Otaknya berkecamuk dengan bayang wajah Mardiyah yang menghuni fikirannya bercampur dengan kata- kata Akhil yang tajam menikam jantungnya membuatkan Ammar tidak berperasaan saat ini.
“Yani bagi air tu pada along. Along kau ni dah gila agaknya,” bebel Datin Zarina sambil menolak piring yang berisi cili itu supaya jauh daripada Ammar. Kalau dibiarkan habis satu piring cili itu dikunyah oleh Ammar.
Aryani menurut. Air oren dituangkan ke dalam gelas lalu dihulurkan kepada Ammar. Kesian pula dia melihat wajah Ammar yang sudah merona merah. Mata dan hidung abangnya turut berair.
Gelas bertukar tangan. Ammar meneguk air oren tersebut dengan rakus sebelum dia berlalu ke dapur dengan membawa pinggan yang kotor. Tiada suara yang terluah daripada bibirnya.
Ammar tersedar daripada lamunan apabila bantal yang dipegangnya terjatuh ke atas lantai. Lantas, dia bingkas duduk di birai katil. Rambutnya yang kusut diraup ke belakang. Dia mengeluh berat sebelum bangun dan menuju ke hadapan cermin solek.
Dia memandang tubuhnya yang berdiri di hadapan cermin. Pantulan wajahnya menunjukkan yang dia sedang kusut.
"Eh, Ammar kenapa kau asyik fikirkan dia, hah?" soal Ammar pada dirinya yang berada di dalam cermin.
"Bukan aku sengaja nak ingat dia, tapi otak ni sikit pun tak boleh nak lupakan dia," jawab ammar sendirian sambil menunjal kepalanya sendiri.
"Entah-entah aku rindukan dia...eh, tak mungkin. Baru petang tadi aku tengok dia takkan malam ni aku dah rindu kut. Tak mungkin, tak mungkin.." Ammar bercakap sendirian lagi sambil kepalanya digeleng- geleng beberapa kali.
Serentak dengan itu, wajah Mardiyah yang manis terlayar ke ruang mata Ammar sehingga Ammar seakan-akan ternampak Mardiyah sedang berdiri di hadapannya sekarang ini. Lalu, Ammar menutup matanya dengam telapak tangan dan apabila dibuka, bayang Mardiyah menghilang.
"Sah, aku gila!!" ujar Ammar sambil melompat ke atas katil. Dia berbaring namun apabila matanya mendongak ke atas, terlihat wajah Mardiyah sedang tersenyum. Ammar mengetap bibir. Dia mengiring ke kanan, terlihat Mardiyah yang sedang ketawa. Ammar menggelengkan kepalanya. Dia mengiring ke kanan, wajah Mardiyah kelihatan lagi sambil mengenyitkan mata. Ammar geram lalu di bingkas bangun dan duduk bersila di tengah katil.
"Apa aku nak buat ni? Hai, otak fikirlah benda lain. Fikir pasal tender ke? Fikir pasal bola ke, pasal Lydia ke, apa-apa jelah asalkan bukan dia. Sakit betul otak aku ni asyik teringatkan muka dia." bebel ammar sendirian sambil menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
Namun, otak dan mulutnya tidak bekerjasama. Sedang asyik mulut meminta supaya dia melupakan wajah Mardiyah semakin kerap otaknya menayangkan senyuman mardiyah manakala hatinya asyik menyebut nama gadis itu.
Ammar tewas, akhirnya dia kembali merebahkan badannya di atas tilam, dia menyelimuti keseluruhan tubuhnya dengan selimut tebal.
"Pergilah kau wahai bayangan, jangan ganggu aku!"

"ALONG mana, Akhil?" soal Datin Zarina pada Akhil yang sedang khusyuk menonton televisyen sedangkan jam sudah menginjak ke angka 11.
"Along dah tidur agaknya, mama. Dari petang sampailah ke malam.asyik berkurung je mengalahkan anak dara yang putus cinta," balas Akhil sambil matanya terus fokus pada drama melayu yang disiarkan dikaca televisyen.
"Mama risaulah tengok along kau tu, diam je tak bercakap langsung. Sepatah ditanya sepatah yang dia jawab. Tengoklah tadi, boleh pulak dia kunyah cili tu.." sambung Datin Zarina lagi.
"Entah-entah along rindukan Kak Diya kut. Daripada air muka dia, Yani tahu along sedang pendamkam perasaan dia cuma tak nak mengaku je sebab along tu ego tahap petala langit yang ketujuh," sampuk aryani yang sedang mengubah bunga untuk dijadikan hiasan.
"Kalau rindu mesti dia dah jumpa dengan Kak Diya sebelum Kak Diya bertolak ke kampung tadi.." balas Datin Zarina.
"Macamlah mama tak kenal dengan perangai anak sulung mama yang sorang tu. Bila bercakap soal cinta lidah tu macam kena gam, agaknya dah kena sumpah agaknya.." balas Akhil geram.
"Ish, apa cakap macam tu..." ucap Datin Zarina sambil menepuk bahu anaknya itu.
"Betullah kan apa yang Akhil cakap..." balas Akhil.
Belum sempat Datin Zarina membalas kata-kata Akhil tiba-tiba telinganya menangkap bunyi kereta memasuki perkarangan rumahnya. Dahi Datin Zarina berlapis, siapa pula datang malam-malam ni, Datuk Zainal berada di bilik bacaan sekarang. Datin Zarina mula tertanya-tanya. Lalu, dia berdiri dan menyelak langsir rumah. Lama dia mengamati sebatang tubuh yang melangkah keluar daripada kereta.
"Eh tu..." ujar Datin Zarina terkejut. Dia tidak jadi menghabiskan ayat.
Akhil dan Aryani pelik lalu mereka bangun menghampiri Datin Zarina yang kaku di tepi tingkap.
"Siapa yang datang, mama?" soal akhil sambil tangannya turut menyelak kain langsir.
Saat matanya terarah pada sebatang tubuh itu, serta merta dahinya berkerut.
"Mama kata..." kata-kata Akhil mati di situ.
"Khil, panggilkan along, cepat!" arah Datin Zarina pantas.
"Buat apa panggil along?" soalnya.
"Pergi jelah panggil. Cepat sikit!" tekan Datin Zarina lagi.
"Yelah-yelah," Akhil mengalah lalu beredar menuju ke tingkat atas.
Pintu bilik abangnya diketuk kuat. Apabila tiada jawapan daripada Ammar, Akhil nekad untuk merempuh masuk. Dia memulas tombol pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik Ammar.
Kelihatan abangnya sedang berbungkus di dalam selimut. Dah tidur ke along aku ni? Soal harinya lalu dia mendekati Ammar. Tubuh Ammar digoncangkan.
"Along,bangun. Cepat turun ke bawah sekarang!" Ucap Akhil sambil menyentuh lengan Ammar.
Ammar yang belum lagi melelapkan mata dengan pantas menepis tangan akhil.
"Along tengah tidurlah ni.." balas Ammar sambil mengetap bibir.
Akhil menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Aikk, tengah tidur pun boleh bercakap ke?apa-apa jelah along aku ni. Desis hatinya.
"Banyaklah along punya tidur. Cepat turun, along!" gesa Akhil lalu dia menarik tangan Ammar dengan kuat sehingga lelaki itu terbangun dengan sendirinya.
Ammar merengus. Geram kerana ketenangannya diganggu.
"Apa yang menarik sangat dekat bawah tu?" soal Ammar sambil bermalas-malasan di atas katil. Matanya dipejam rapat kononnya dia sedang tidur.
"Kak Diya datang, along!" ucap Akhil dengan suara yang meninggi.
Sebaik saja terdengar nama Mardiyah yang disebut oleh Akhil sepantas kilat mata Ammar terbuka luas. Dengan laju dia bingkas bangun dan berlari menuju ke tingkat bawah.
Akhil hanya mampu menggelengkan kepala melihat reaksi abangnya.
Sementara itu, langkah Ammar semakin perlahan apabila tiba di ruang tamu. Kakinya dihayunkan ke arah Datin Zarina yang sedang berdiri di muka pintu. Dia cuba mengintai adakah benar apa yang dikatakan oleh Akhil tadi. Betul ke Mardiyah datang? Bukan ke gadis itu sudah bertolak ke kampung petang tadi? Ammar mengetap bibir. Dia terkena lagi dengan Akhil kali ini namun saat kakinya ingin melangkah ke tingkat atas tiba-tiba telinganya menangkap esak tangis seseorang. Ammar kembali berpaling. Langkah dipanjangkan ke muka pintu.
Kelihatan seorang gadis menangis sambil ditenangkan oleh Datin Zarina. Ya, memang benar kata Akhil gadis itu adalah Mardiyah.
"Mama, kenapa ni?" soal Ammar menghampiri mamanya dan Mardiyah.
Datin Zarina berpaling pada Ammar. Dia tersenyum nipis.
"Entahlah, Am. Diya asyik menangis je. Mama tanya pun dia tak jawab"
Ammar mengalih pandangan pada Mardiyah yang sedang tersedu-sedan. Sayu pula hatinya melihat wajah itu basah dengan air mata. Lalu, Ammar mengambil tempat Datin Zarina. Dia berdiri di hadapan Mardiyah yang sedang tunduk menekur lantai.
"Kenapa menangis ni?" soal Ammar lembut.
Namun, tiada jawapan daripada Mardiyah, hanya esakan yang kedengaran. Lalu dengan perlahan- lahan, Ammar memegang kedua belah bahu Mardiyah dan tubuh yang kaku itu ditarik supaya mengadap dirinya. Dagu Mardiyah dipaut lembut.
“Cuba cerita apa yang berlaku? Kalau kau menangis macam ni takkan dapat selesaikan masalah,” pujuk Ammar lembut. Dia merenung ke dalam anak mata Mardiyah yang sudah merah berair.
“Betul cakap encik. Ibu tak nak tengok muka saya lagi. Ibu benci saya. Ibu halau saya dari rumah dan sekarang saya dah jadi anak derhaka…” luah Mardiyah dengan tersedu-sedan.
Ammar tersentap. Dia tidak sangka apa yang dikatakan benar- benar terjadi pada gadis ini. Pasti Mardiyah sedang terluka sekarang ini apatah lagi hanya tinggal satu hari lagi sebelum mereka berhari raya. Sepatutnya saat ini Mardiyah berkumpul bersama dengan keluarga untuk menyambut hari raya. Sungguh, hati Ammar tersentuh melihat air mata yang terus- terusan mengalir daripada mata yang bundar itu.
“Syhhhh, jangan cakap macam tu. Kau bukan anak derhaka Cuma kebahagiaan tidak berpihak pada kau kali ini. Percayalah suatu hari nanti ibu akan maafkan kau. Jangan menangis macam ni, aku risau tahu tak…” balas Ammar lembut. Laju saja jari jemarinya menyeka air mata Mardiyah yang tumpah.
Mardiyah tidak membalas Cuma air matanya saja yang masih mengalir. Hati mana yang tidak tersayat apabila ibu tersayang sekali lagi mencampakkan dirinya dan membiarkan dia terkontang-kanting seorang diri di saat raya ingin menjelang.
Ammar kehilangan kata apabila tangisan Mardiyah masih lagi kedengaran lalu dengan pantas, dia meraih Mardiyah ke dalam pelukan. Erat tubuh genit itu dipeluk, mungkin dengan cara itu Mardiyah akan tenang. Belakang Mardiyah dielus lembut sebelum kepala Mardiyah yang bertutup dengan tudung diusap perlahan.
“Dah, jangan menangis lagi. Kau ada dengan aku sekarang. Dekat sini, kau ada mama, papa, Akhil dan Yani. Kita raya sama-sama, ye…” pujuk Ammar lagi.
Esak tangis Mardiyah sudah berhenti. Tersentuh hatinya mendengar pujukan Ammar yang lembut. Perlahan- lahan dia menyapu air mata yang bersisa. Dia meleraikan pelukan. Wajahnya ditundukkan kerana masih malu dengan suaminya itu.
Ammar tersenyum manis melihat Mardiyah yang tersipu malu. Perlahan- lahan, dia mengelus lembut pipi Mardiyah. Rindu untuk menatap wajah itu akhirnya terlerai juga.
“Macam nilah. Dah dekat nak raya ni jangan sedih- sedih lagi. Kalau kau menangis nanti tak nampak ni….” Ucap Ammar sambil tersenyum simpul.
“Nampak apa?” soal Mardiyah kebingungan. Dia membalas renungan mata Ammar yang kelihatan tenang.
“Nampak inilah…” ucap Ammar sambil menekan pipi Mardiyah dengan lembut.
Mardiyah menyentuh pipinya. Dia masih kurang faham dengan apa yang ingin katakan.
“Apa dia?” soal Mardiyah dengan dahi yang berkerut.
Ammar tersenyum manis.
“Cuba senyum…” arah Ammar.
Tanpa banyak soal, Mardiyah tersenyum nipis.
“Hah, tu dah nampak!” ucap Ammar sambil terjerit kecil. Dia menunjukkan lekuk di pipi Mardiyah.
Mardiyah menyentuh pipinya lagi. Oh, lesung pipit yang dimaksudkan oleh Ammar. Barulah Mardiyah mengerti. Perlahan-perlahan senyuman manis mekar di bibirnya.
“Awak ni…” Mardiyah tersipu malu.
Ammar ketawa lepas. Dengan selamba dia meraih Mardiyah ke dalam pelukannya sekali lagi. Dahi Mardiyah dikucup lembut menjemput rasa bahagia yang sudah mula mekar dalam hatinya.
“Ehem- ehem, nampaknya along tidur bertemanlah hari ni…” sampuk satu suara mengejutkan Ammar dan Mardiyah. Mereka berpaling. Kelihatan Datin Zarina,  Akhil dan Aryani tersenyum nakal. Akhil menjongketkan keningnya pada Ammar.
Ammar dan Mardiyah terkulat- kulat. Tidak lama kemudian, Ammar tersenyum lalu menarik tangan Mardiyah masuk ke dalam rumah.
“Kau jangan nak menyibuk!” marah Ammar sambil menjelirkan lidah pada Akhil sambil tangannya kemas menggenggam tangan Mardiyah.
Serentak tawa mereka berderai dengan reaksi Ammar. Mardiyah pula hanya terpinga- pinga namun dia hanya menurut langkah Ammar dengan senyuman.

4 comments:

Note: only a member of this blog may post a comment.