Tetamu Rindu

Sunday 24 November 2013

Ingkar Cinta ~ teaser


“Apabila membicarakan soal jodoh ni, kita tak mampu untuk mengatakan dia jodohku atau dia bukan jodohku. Ianya rahsia Allah yang tak mampu kita rungkaikan. Seringkali cinta membawa kepada jodoh tapi kebanyakannya jodoh itu yang menghadirkan cinta. Bila dia bukan ditakdirkan untuk anta, maknanya Allah telah menyediakan seseorang yang terbaik menurut pandangan-Nya buat anta. Anta kena yakin dengan janji itu,” balas Ustaz Mustakim memujuk.
Zafran menghela nafas panjang. Wajahnya diraup.
“Ana yakin janji Allah itu pasti malah tiada keraguan pun dalam hati ana tentang itu tetapi hati ana ini rapuh sangat. Ana tak mampu lupakan dia walaupun sudah empat tahun ana tak jumpa dengan dia. Dia mengajar ana tentang cinta dengan caranya tersendiri. Dia banyak mengubah ana menjadi yang lebih baik. Ana sayangkan dia bukan sekadar seorang sahabat tetapi lebih daripada itu. Tetapi ana sedar, ana mungkin tak dapat bersama dengannya lagi…” luah Zafran dengan rasa sebak.
“Kalau begitu jadikan dia sebagai sahabat kerana persahabatan itu satu ikatan yang tidak boleh diputuskan begitu saja…”
“Malangnya, ana bukan sahabatnya lagi. Kesilapan yang ana lakukan dulu membuatkan dia memutuskan persahabatan kami. Ini hukuman yang ana perlu terima sebagai balasan mempermainkan perasaannya,” pintas Zafran.
Ustaz Mustakim terdiam. Lama dia menatap wajah keruh Zafran.
“Tidak ada orang jahat yang tidak punya masa depan, Zafran dan tiada orang baik yang tak punya masa lalu. Zafran yang ana lihat depan ana sekarang ini jauh berbeza dengan Zafran yang dulu. Inilah dikatakan ujian, Zaf. Dia sedang menguji sejauh mana keikhlasan anta dalam menghadapi cabaran yang diberikan-Nya. Ana harap anta dapat bersabar,” balas Ustaz Mustakim memujuk.
Zafran mendiamkan diri. Dia mengetap bibir. Memang dia sedang bersabar. Tidak guna dia menyalahkan takdir kerana yang nyata Wardah tetap tidak akan menjadi miliknya kerana dia tahu lumrah manusia lebih mengingati orang yang sering melukakannya daripada orang yang menyayanginya. Zafran redha tentang itu.
“Bukan ana tak cuba untuk lepaskan perasaan ini, ustaz. Malah berkali-kali ana cuba buang perasaan ini daripada hati dan fikiran ana tetapi semakin ana buang semakin kerap ia ganggu fikiran ana. Ana tak tahu apa lagi yang perlu ana lakukan agar cinta ana untuk dia dapat dihapuskan. Sakitnya hati ana hanya Allah yang tahu. Memang sakit apabila mencintai orang yang tak pernah mencintai kita sedangkan hati kita hanya menyebut nama dia,” balas Zafran setelah agak lama mendiamkan diri.
“Ana faham apa yang berlaku pada anta Zaf, cinta itu adalah unsur yang berasal daripada emosi dalaman manusia, ia tidak dapat dinafikan walaupun mampu disembunyikan. Ia tidak dapat diubah walaupun mampu dinasihati. Keteguhan terhadap cinta itu mampu mengubah sejarah tetapi tidak mampu mengubah takdir yang Allah tetapkan.” Ujar Ustaz Mustakim menasihati Zafran.
Simpatinya tertumpah saat melihat wajah Zafran yang muram. Sudah hilang sinar kebahagiaan pada wajah yang sentiasa tenang itu. Hanya kerana cinta manusia boleh berubah dalam sekelip mata. Detik hati Ustaz Mustakim.
Zafran menghela nafas panjang mengakui kata-kata Ustaz Mustakim di dalam hati.
‘Wardah, cinta ini sudah tertanam dalam hati, telah menyatu dengan jiwa malah telah bersatu dengan jiwa mengalir dalam aliran darahku sehingga melahirkan nafas cinta yang takkan pernah mati. Semoga kau bahagia buat selama-lamanya.’ Bisik hati Zafran.
....................................................................................................................................

WARDAH duduk tenang bersimpuh di atas bantal di ruang tamu rumahnya sambil sabar menunggu ketibaan pengantin lelaki. Sesekali kakaknya mengelap peluh yang memercik di dahi Wardah. Dia tersenyum pada Kak Wardeena yang berada di sisinya.
“Ada, kenapa Emir ni lambat sangat? Patutnya dah sampai ni…” keluh Kak Wardeena sambil menjeling jam di tangan.
Wardah tersenyum hambar. Hatinya gelisah mengenangkan bayang Emir Rehan yang tak kunjung tiba. Ramai tetamu yang sudah berbisik-bisik bertanyakan kelewatan Emir Rehan tetapi tiada apa yang boleh dilakukan selain berdoa agar perjalanan Emir Rehan selamat.
Tadi ayahnya sudah menelefon Encik Husin malah katanya mereka sekeluarga sudah dalam perjalanan dan sepatutnya mereka sudah sampai ke sini. Tetapi kenapa sampai sekarang masih belum muncul? Soal hati Wardah.
Tiba- tiba, kelihatan Puan Syifa yang berada di luar rumah berlari-lari anak mendapatkan Wardah yang masih setia menanti. Dia melihat Puan Syifa menangis lantas Wardah berdiri.
“Ada, Ada, Emir!” Jerit Puan Syifa termengah-mengah.
Hati Wardah mula dipagut resah lantas dia terus memegang lengan Puan Syifa dan cuba menenangkan Puan Syifa yang kelihatan termengah-mengah.
“Kenapa dengan Emir, ibu?” Soal Wardah kegelisahan. Suasana dalam rumah Wardah menjadi tegang. Semua mata memandang Wardah dan Puan Syifa.
“Emir, Emir, Ya Allah, macam mana ibu nak cakap ni….” keluh Puan Syifa sambil meraup wajahnya.
“Ibu, bawak bertenang. Apa dah jadi pada Emir? Mana Emir ibu? Patutnya Emir dah datang. Emir tak apa-apakan ibu?” soal Wardah cuba menyakinkan hatinya bahawa tiada apa-apa yang berlaku pada Emir Rehan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.