Tetamu Rindu

Sunday 17 December 2017

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 12



MAMA tak tahulah nak cakap apa sekarang. Kamu ni suka sangat buat mama risau. Nasib baik tak ada apa-apa yang serius. Kalau tak, mama ni boleh sakit jantung tau!” Bebel Datin Zahidah sambil memandang Amzar yang tersengih.
“Am bukan sengaja nak buat mama risau. Am tak sangka jadi macam ni. Am terlelap sikit je masa drive. Am tak perasan lampu isyarat tu dah bertukar merah, sebab tu Am redah je. Alah, terseliuh sikit aje ni. Seminggu, dua minggu, eloklah balik. Mama tak payah risaulah.” Bohong Amzar cuba menyedapkan hati Datin Zahidah. Padahal dia bukan terlelap, tapi fikirannya yang terganggu membuatkan Amzar memotong lampu isyarat merah dan dilanggar oleh kereta lain.
Dia memandang tangannya yang berbalut dengan kain anduh. Satu keluhan dilepaskan.
“Macam mana mama dengan papa tak risau, hujung minggu ni dah nak berangkat ke Mekah. Kamu pulak kena macam ni. Tak sampai hati papa nak tinggal. Siapa yang nak jaga kamu?” Soal Dato Zuhdi. Gusar.
“Am okey, papa. Tangan Am ni boleh gerak lagi. Mama dengan papa pergilah umrah. Tak payah risaukan pasal Am. Tahulah Am jaga diri.” Balas Am. Dia membetulkan duduk.
“Papa tak percaya yang Am boleh jaga diri. Siapa yang nak masakkan untuk Am? Tangan Am ni pun kena urut juga. Siapa yang nak urutkan Am kalau adik-adik semuanya ikut mama dan papa? Mak Minah pun ambil cuti dua minggu. Siapa yang nak jaga Am? Papa takkan benarkan Am tinggal sorang-sorang kat rumah Am tu.  Kalau macam tu biar papa batalkan ajelah umrah tu. Mungkin tak ada rezeki nak pergi umrah kali ni.” Lirih suara Dato Zuhdi kedengaran.
Demi anak sulungnya ini, dia sanggup gadaikan hasratnya untuk ke umrah semata-mata tidak sanggup biarkan Amzar keseorangan tanpa penjagaan.
Amzar tersentak. Laju saja kepalanya digelengkan.
“Janganlah macam tu, papa. Kesian kat adik-adik. Dah lama sangat nak pergi umrah.  Arif tu bukan selalu ada masa untuk cuti daripada kerja dia. Riana pun sama. Janganlah disebabkan Am, mama dan papa batalkan semuanya.” Amzar mula serba-salah. Dia tidak senang duduk.
“Mama pun setuju cakap papa tu. Senang-senang kami batalkan aje umrah tu. Mama pun tak sanggup biar kamu sakit sorang-sorang…” Tambah Datin Zahidah.
“Assalamualaikum…” Kedengaran suara lembut memberi salam membuatkan tiga beranak itu beralih pandangan ke pintu bilik. Terjengul wajah Marha disebalik pintu dengan senyuman manis terukir buat Dato Zuhdi dan Datin Zahidah.
“Waalaikummusalam. Eh, Mar. Masuklah…” Ajak Datin Zahidah lalu bangun mendapatkan Marha yang mengorak langkah menghampiri katil Amzar.
Amzar mendengus. Kurang senang dengan kehadiran Marha. Sakit hatinya masih bersisa lantas wajahnya dipalingkan ke tempat lain.
“Kau buat apa kat sini? Siapa yang bagitahu kau aku masuk hospital?” Soal Amzar dingin.
“Am, kenapa cakap kasar macam ni? Tak elok.” Tegur Dato Zuhdi lalu menggelengkan kepalanya.
“Siapa suruh tak faham bahasa? Orang tak suka tu, sibuk aje tayang muka. Kat pejabat muka dia, kat sini muka dia. Nak muntah!” Jawab Amzar tanpa rasa bersalah. Dia menjeling benci.
“Am! Cuba jaga sikit mulut tu kalau bercakap. Allah bagi Am sakit ni sebab nak hapus dosa-dosa kecil Am, takkan nak tambah balik dosa tu kut. Tak serik lagi? Nak tangan tu patah dulu ke baru nak insaf?” Tempelak Dato Zuhdi mulai bengang dengan sikap Amzar yang tidak mahu berubah.
Amzar mencebik. Apabila Dato Zuhdi sudah mula bersuara, lebih baik dia diam. Sebelum papanya itu berleter panjang.
“Saya mintak maaf, tuan. Kalau tuan tak suka saya datang melawat, tak apalah. Saya balik dulu.” Ujar Marha. Dia berura-ura untuk berpaling. Orang dah tak sudi, buat apa dia ternanti-nanti.
“Tunggu dulu, Mar.” Halang Datin Zahidah lalu menarik pergelangan tangan Marha. Menghalang gadis itu daripada berlalu.
“Am, mama yang telefon Mar bagitahu kamu kemalangan. Dia setiausaha kamu jadi dia perlu tahu keadaan kamu. Senanglah dia nak inform pada client nanti. Itu pun Am tak boleh fikir ke? Lagipun Mar ni isteri kamu. Tak salah rasanya kalau dia ambil berat.” Datin Zahidah bersuara. Dia memandang Amzar dan Marha silih berganti.
Amzar tidak membalas. Hanya bibir dicebikkan tanda dia meluat mendengar perkataan isteri yang terbit daripada mulut Datin Zahidah. Kalau bukan disebabkan mama, Am tak ingin jadikan dia isteri Am. Desis hati Amzar.
“Tak apalah, mama. Kalau Tuan Am tak suka, saya boleh keluar. Saya tak nak ganggu privasi Am. Tugas saya cuma kat pejabat…”
“Siapa cakap tugas Mar pada Am cuma kat pejabat? Suka atau tak, rela atau tak, Mar dan Am dah jadi suami isteri yang sah. Sekarang, dah jadi tanggungjawab Mar untuk jaga Am. Tangan dia seliuh ni. Doktor kata teruk juga. Jadi Mar kena jaga Am mulai sekarang.” Sampuk Dato Zuhdi.
Amzar tersentak. Marha tergamam. Serentak, mereka berdua berpandangan.
“Papa! Apa yang papa mengarut ni? Am tak nak perempuan ni jaga Am! Am rela mati sorang-sorang daripada perempuan ni jaga Am. Entah-entah dia dah buat rancangan nak bunuh Am!” Ujar Amzar mula merapu.
Marha tidak mampu menahan rasa geli hati. Tanpa sedar dia ketawa kecil.
“Kalau saya nak bunuh tuan, tak perlu tunggu masa tuan tengah sakit, saya boleh aje letak racun tikus dalam minuman tuan kat pejabat tu…” Jawab Marha berani. Dia menentang pandangan Amzar yang tajam mencerun ke arahnya.
Datin Zahidah dan Dato Zuhdi hanya ketawa melihat muka Amzar yang tidak berpuas hati dengan kata-kata Marha.
“Mama, papa tengoklah tu. Dah berani menjawab sekarang!”
“Dah mulut kamu tu tak ada insurans, siapa yang tak panas telinga. Kalau ikutkan hati mama, dah lama mama cilikan mulut kamu tu.” Komen Datin Zahidah ternyata berpihak pada Marha.
“Am tak payahlah fikir yang bukan-bukan. Baik, kalau Am tak nak Marha jaga Am, jadi terpaksalah papa batalkan umrah tu. Am tentu tak kisah kan?” Dato Zuhdi bersuara lirih. Sengaja ingin memancing simpati Amzar.
Dia rasa inilah saat paling tepat untuk dia membantu hubungan Amzar dan Marha. Sampai bila hubungan itu harus dibiarkan terus mendingin? Dato Zuhdi bimbang, kedinginan itu akan meretakkan hubungan yang telah dibina.
“Papa, janganlah macam tu…” Amzar kehilangan kata. Dia serba-salah.
“Papa nak batalkan umrah? Sayanglah papa. Bukan senang nak dapat peluang dan ruang pergi umrah.” Tambah Marha.
“Hah, tahu pun Mar. Sebab tu papa mintak tolong sangat Mar jaga Am. Papa dan mama tak sampai hati nak biarkan Am sorang-sorang kat rumah tu. Mak Minah pun tak ada. Siapa nak jaga makan minum Am dengan tangan dia yang masih berbalut ni? Mar tolong mama dan papa, ya?” Pinta Dato Zuhdi lagi penuh pengharapan.
Marha menggigit bibir. Permintaan Dato Zuhdi kali ini terasa berat.
“Tak payahlah, papa. Am tak nak perempuan ni jaga Am!” bantah Amzar lagi. Masih belum mengalah.
“Baik! Kalau macam tu sekarang juga papa call agensi untuk batalkan umrah tu!” Ugut Dato Zuhdi kesekian kalinya.
“Jangan papa!” Tingkah Marha.
Amzar berpaling. Anak mata mereka bertentangan seketika.
“Mar sanggup jaga Tuan Am sementara papa dan mama pergi umrah…” Marha membuat kata putus.
Datuk Zuhdi tersenyum kemenangan. Begitu juga dengan Datin Zahidah. Kini anak mata mereka tuntas memandang Amzar. Mereka inginkan jawapan yang pasti daripada Amzar.
Amzar mengetap bibir. Dia tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menolak permintaan mama dan papanya. Pantas, kepalanya dijatuhkan. Akur dengan kehendak Datuk Zuhdi.

KAU nak ke mana ni?” Soal Qistina sewaktu dia melangkah masuk ke dalam bilik Marha. Kelihatan sahabatnya itu sedang melipat baju lalu dimasukkan ke dalam beg pakaian.
Marha terdiam seketika. Anak matanya melilau ke kiri dan kanan, cuba mencari alasan yang dirasakan sesuai untuk diberikan kepada Qistina.
“Aku ada training…” jawab Marha cuba berlagak tenang sedangkan dalam hatinya sudah berdetak kencang. Bimbang jika pembohongannya diketahui oleh Qistina.
Training? Berapa lama?” soal Qistina lagi. Dia merenung wajah Marha dengan lama.
“Tak lama. Dua minggu je..” jawab Marha ringkas. Sedaya upaya dia cuba untuk tidak menentang pandangan Qistina. Dia gugup.
“Dua minggu? Lamanya. Kau training dekat mana?” Soal Qistina lagi. Jelas dia terperanjat dengan jawapan Marha.
“Aku kan pekerja baru kat hotel tu jadi aku training lamalah sikit. Biasalah on the job training, buat kat hotel tu je. Jadi bos aku sediakan bilik untuk pekerja-pekerja yang terpilih untuk training ni,” terang Marha lagi. Matanya terus fokus kepada baju-baju yang harus dikemas. Sedikit pun dia tidak memandang Qistina yang kelihatan terangguk-angguk. Maafkan aku, Qis sebab terpaksa tipu kau. Keluh hati Marha.
“Alah, ni yang tak best. Aku kena duduk rumah sorang-sorang. Kau tak boleh balik ke?” Soal Qistina lagi. Terpamer rasa kecewa di wajahnya.
Marha hanya menggelengkan kepala sebagai jawapan.
Qistina mengetap bibir. Pasrah dengan tugas yang dipikul oleh Marha selaku setiausaha.
“Nak buat macam mana kan? Dah kerja kau. Tapi kalau free, kau jangan lupa call aku pula. Aku tak boleh kalau tak dengar suara kau dalam sehari. Rindu.” Gurau Qistina lantas mencuit pipi Marha.
Marha ketawa kecil. Dia menghembus nafas lega.

DATIN ZAHIDAH memeluk erat tubuh anak terunanya saat mereka sekeluarga tiba di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Sayu juga hatinya kerana terpaksa meninggalkan Amzar yang masih belum sembuh sepenuhnya. Dia tahu sukar untuk Amzar menerima pertolongan Marha dek kerana benci lelaki itu yang tidak pernah padam.
“Masa mama dengan papa tak ada, Am jaga diri baik-baik tau. Am rehat ajelah kat rumah. Urusan syarikat, papa dah lantik orang untuk uruskan.” Ucap Datin Zahidah sambil menepuk lembut belakang Amzar.
Amzar tersenyum. Dia meleraikan pelukan.
“Mama sekarang nak pergi Mekah tau, nak beribadat jadi mama jangan fikirkan apa-apa  selain umrah tu. Tahulah Am jaga diri. Lagipun tangan Am ni bukan teruk sangat. Sakit sikit je.” Balas Amzar sambil memandang lengannya yang masih berbalut dengan kain anduh. Rasa sakit dan sengal masih lagi terasa cuma di hadapan Datin Zahidah dia bersikap selamba.
“Mama kenal sangat dengan perangai kamu Am ni. Kalau sakit bukannya nak bagi tahu orang. Suka sangat pendam sendiri. Nasib baik Mar ada boleh tolong jagakan kamu. Tapi kamu jangan dera dia pulak sepanjang mama dan papa tak ada ni.” Tambah Datin Zahidah lagi. Memberi amaran.
Amzar mengeluh berat apabila nama Marha disebut. Dia mengerling ke sisi. Kelihatan Marha sedang berbual dengan adik perempuannya. Sesekali gadis itu ketawa kecil. Amzar mencebik. Rasa bahang di hati masih belum reda sepenuhnya.
“Am tak perlukan dialah mama. Mama suruhlah dia jangan tinggal kat rumah kita. Am rimas tengok muka dia.” Balas Amzar dengan muka yang cemberut.
Datin Zahidah menjengilkan mata. Kepalanya digeleng dengan pantas.
“Mama dah nak berlepas ni. Kamu jangan nak buat hal. Cuba untuk terima Mar tu. Dia isteri kamu yang sah.Kat Mekah nanti mama akan doakan kebahagiaan kamu. Ingat Am, buat kesilapan itu manusia tapi memberi kemaafan itu adalah kemanusiaan. Kamu dan Mar pernah buat silap, tapi mama maafkan kamu. Kamu nak tahu sebab apa?” Soal Datin Zahidah sambil memegang kedua belah bahu Amzar dengan kemas.
Amzar tidak menjawab. Sedikit sebanyak hatinya terkesan dengan kata-kata Datin Zahidah.
“Sebab mama tak nak jadi manusia yang tak ada sikap kemanusiaan. Kalau kita tak ada sikap tu, sama je kita patung. Ada rupa tapi tak berjiwa.” Ucap Datin Zahidah buat kali terakhir. Dia tersenyum penuh makna.
Amzar kaku. Kata-kata Datin Zahidah meresap terus ke dasar hati. Jadi selama ni aku tak ada sikap kemanusiaan ke? Soal hati Amzar. Dia berpaling ke sisi. Matanya tertancap pada Marha yang sedang melambaikan tangan pada Datin Zahidah sekeluarga yang sedang menuju ke balai pelepasan. Gadis itu tersenyum. Wajahnya kelihatan sayu.
“Semua dah naik flight, jomlah kita balik.” Ajak Marha seraya berpaling ke sisi.
Dia terkaku saat anak mata mereka berdua berlaga. Ada debaran menjengah ke dada Marha. Spontan, anak mata ditundukkan. Dia meneguk liur.
Amzar menjeling. Nampaknya dalam masa dua minggu ini, terpaksalah dia menghadap wajah gadis yang cukup dia benci. Dah nasib!


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.