Tetamu Rindu

Sunday 24 December 2017

Rindu Dalam Rahsia ( Rindu Dalam Sepi remake )- Bab 13



SAYA ke dapur dululah. Nak masak untuk tengah hari. Tuan nak makan apa hari ni?” Soal Marha sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah.
Pertanyaan Marha menghentikan langkah Amzar. Dia berpaling ke belakang. Wajah Marha yang masih menanti jawapan daripadanya dipandang daripada atas hingga ke bawah. Dia merenung tajam. Tiada satu pun yang menarik pada Marha tapi dia pelik kenapa semua ahli keluarganya boleh menerima gadis tersebut dengan senang.
“Kau pandai masak ke?” Soal Amzar.
Marha hanya tersenyum nipis. Nafas yang dihela dihembus dengan perlahan.
“Taklah pandai sangat macam chef kat hotel tu, tapi kalau setakat masakan kampung insya-Allah saya boleh masak. Tapi… Tapi tuan makan ke masakan kampung?” Soal Marha teragak-agak. Dia mengerling wajah Amzar yang kelat.
“Aku dah agak dah. Dahlah pakaian kampung, perangai kampung, pandai masak pun masakan kampung. Agaknya kau dengan kampung memang tak dapat dipisahkan ke? Tapi aku peliklah, selalunya orang-orang kampung ni perangai dia orang baik-baik. Sopan-santun. Tapi kau, tak nampak pun macam tu. Ke orang kampung kau semuanya busuk hati macam kau?” Sinis Amzar.
Marha cuba menahan sabar. Sudah lali dia mendengar tohmahan demi tohmahan yang dilontarkan oleh Amzar. Alah bisa, tegal biasa.
“Kalau diikutkan hati saya yang busuk ni, nak je saya biarkan tuan tinggal dalam rumah ni sorang-sorang. Biar mereput. Tapi nasib baik saya ni ada sikap kemanusiaan sikit, saya tak naklah majikan saya ni terabai jadi dengan hati yang busuk nilah, saya sanggup datang sini semata-mata nak tengokkan tuan.” Jawab Marha tidak mahu mengalah.
Amzar tersentak. Aik, dah pandai menjawab perempuan ni?
“Sikap kemanusiaan konon. Cakaplah yang papa aku dah bayar pada kau untuk tengok-tengokkan aku. Aku percaya perempuan tak guna macam kau ni cuma pentingkan duit.”
“Percayalah apa yang tuan nak percaya. Bukan tugas saya untuk buat tuan percayakan semua kata-kata saya. Sekarang saya nak pergi masak. Kalau tuan tak tahu nak makan apa, tuan makan jelah apa yang saya masak nanti. Sementara tu, tuan pergilah berehat. Saya ke dapur dulu.” Ucap Marha lantas berlalu tanpa menunggu bicara daripada Amzar. Dia malas untuk berdebat dengan Amzar kerana di pengakhirannya, dia juga yang kalah.
Amzar ingin membuka mulut namun Marha terlebih dahulu mengorak langkah. Dia mendengus geram. Tanpa membuang masa dia terus melangkah ke tingkat atas. Menuju ke biliknya. Tuala dicapai lalu dia bergerak ke bilik mandi.
“Kenapalah papa dengan mama beria sangat nak perempuan tu jaga aku? Tengok muka dia pun mendidih hati aku ni. Apatah lagi nak tinggal satu rumah. Malang sungguh nasib aku kali ni.” Dengus Amzar.
Dia menyangkut tuala di penyidai sebelum baju yang tersarung di badan cuba ditanggalkan. Namun, perbuatan Amzar terbejat apabila baju yang ingin ditanggalkan tersekat di bahagian lengan kanannya.
“Aduh…aduh…” Amzar mengaduh dengan dahi yang berkerut. Tangan kanannya yang terseliuh terasa sakit.
Dia mengeluh kecil.
“Macam mana aku nak mandi kalau nak tanggal baju pun tak boleh?” Soal Amzar sendirian.
Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Kain anduh yang melingkar di leher terasa menganggu. Beberapa kali dia cuba untuk menanggalkan baju dengan sendiri namun Amzar tetap gagal. Tangan kanannya langsung tidak dapat diangkat.
“Tuan!” Panggil satu suara halus menyedarkan Amzar. Dia mengangkat wajah. Itu suara Marha. Kenapa minah ni masuk bilik aku pula? Bebel hati Amzar. Lalu, dia menyarung kembali bajunya dan menarik tombol pintu bilik air.
Marha menjengukkan kepala ke dalam bilik Amzar yang sunyi sepi. Melilau anak matanya mencari kelibat lelaki itu yang tidak kelihatan.
“Mana pulak mamat ni?” Omel Marha sendirian.
“Tuan!” Panggil Marha. Dia memandang ke ruang balkoni tetapi pintu balkoni itu tertutup rapat.
“Hah, kau nak apa?” Sergah Amzar tiba-tiba.
Marha tersentak. Dia mengurut dada. Kus semangat aku mamat nilah! Getus hati Marha lalu kepalanya tegak memandang ke hadapan. Dia tersengih malu.
“Saya cuma nak tanya, tuan makan pedas tak? Saya lupa nak tanya tadi.” Ujar Marha. Bola matanya ditundukkan.
“Tak. Aku tak makan pedas.” Jawab Amzar keras.
Marha menganggukkan kepala.
“Baiklah. Saya pergi dulu…” ucap Marha berura-ura untuk berpaling.
“Tunggu kejap!” Tahan Amzar tidak semena-mena.
Marha berpaling kembali. Anak matanya dibiarkan membalas pandangan Amzar yang kelihatan gelisah.
“Tuan nak apa?” Soalnya tenang.
Amzar serba-salah. Ingin diluahkan, rasa egonya masih lagi menebal. Tetapi kalau diikutkan rasa egonya, sampai ke sudah dia tidak dapat membersihkan badan.
“Errr… Tunggu sekejap…” Hanya itu saja yang terluah dari bibir Amzar.
Dahi Marha berkerut.
“Ya, saya tengah tunggulah ni. Tuan nak apa? Ada apa-apa yang saya boleh tolong ke?” Soal Marha lagi.
Amzar menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Bibir digigit. Nafas dilepaskan dengan kuat. Dia tiada pilihan saat ini.
“Tolong tanggalkan baju aku sekejap. Aku nak mandi.” Pinta Amzar senafas.
“Hah?”
Amzar mendengus. Geram sungguh dengan reaksi Marha saat ini.
“Kau pekak ke? Aku mintak tolong tanggalkan baju aku ni. Sebelum ni mama yang pakaikan baju dan tanggal baju aku. Tapi sekarang mama tak ada. Kau je yang ada dalam rumah ni. Tangan aku tak boleh nak angkat lagi. Sakit.” Terang Amzar.
Marha mengulum senyum.
“Tak sangka pandai jugak kau mintak tolong…” desis Marha. Cukup hanya dia yang mendengar.
Amzar mengangkat pandang apabila telinganya mendengar sesuatu yang tak jelas.
“Kau cakap apa? Nak tolong ke tak ni?” Soal Amzar malas.
Marha mengetap bibir. Nak tolong ke tak ya? Takkanlah aku nak tanggalkan baju dia pulak? Seganlah aku. Detik hatinya.
“Nak tolong ke tak ni? Kalau tak nak, kau boleh berambus!” Sergah Amzar mula panas hati dengan sikap berdiam diri Marha. Kita dahlah sakit, dia boleh tayang muka bodoh pula kat situ. Bebel hati Amzar.
Bahu Marha terhenjut. Lamunannya pecah berderai. Spontan, kakinya terus melangkah menghampiri Amzar. Dia bimbang baran Amzar akan menjadi-jadi jika arahannya tidak dipatuhi.
“Boleh tak dalam sehari kau tak naikkan darah aku? Kalau kau datang sini sekadar nak menyemak, lebih kau balik rumah kau. Mata aku pun tak sakit tengok muka kau tu.” Sambung Amzar lagi. Dia menjeling benci.
Marha hanya mendiamkan diri. Bukan dia tidak boleh melawan balik cuma dia malas. Malas bertekak dengan lelaki seperti Amzar. Lelaki itu takkan pernah mahu beralah. Jadi biarlah dia mendiamkan diri.
“Apa yang saya boleh tolong, tuan?” Soal Marha akhirnya.
Bebelan Amzar terhenti. Dia memandang wajah Marha yang jauh lebih rendah daripadanya.
“Kau tak dengar aku cakap tadi? Tolong tanggalkan baju aku ni.” Jawab Amzar dengan suara yang sedikit bergetar. Sungguh hatinya segan tetapi dia terpaksa.
Marha menelan air liur. Ada getaran bermukim di jiwanya saat Amzar meluahkan permintaan itu. Terkebil-kebil dia memandang wajah Amzar.
“Errr… Saya… Saya... Macam mana saya nak tolong?” Soal Marha tergagap-gagap. Wajahnya berubah rona. Merah.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia memberi isyarat mata ke arah t-shirt yang tersarung di tubuhnya.
Dengan rasa malu yang menebal, Marha melangkah setapak menghampiri Amzar. Tangannya diangkat untuk menyentuh hujung t-shirt yang dipakai Amzar. Terketar-ketar tangannya akibat menahan rasa. Jantungnya pula bagaikan ingin meletup saat itu juga. Lantas, Marha memejamkan mata saat tangannya mula mengangkat baju Amzar.
Amzar hanya mampu menahan tawa. Wajah Marha yang berona merah dengan mata yang terpejam rapat mencuit hatinya.
“Kalau kau pejam mata, macam mana kau nak nampak tangan aku ni? Buka mata kau sekarang!” Arah Amzar dengan suara yang tegas.
Marha menggeleng pantas. Laju saja tangannya menarik baju keluar daripada tangan kiri Amzar tetapi baju tersebut tersangkut di lengan kanan Amzar yang masih berbalut dengan kain anduh yang terikat di leher.
“Adoiii!” Amzar mengaduh kesakitan.
Spontan, Marha membuka mata.
“Sorry, tuan. Sakit ke? Saya mintak maaf.” Ujar Marha menyedari kesilapannya.
Amzar merengus.
“Kan aku dah cakap kalau kau pejam mata, macam mana kau nak tanggalkan baju ni dari tangan aku ni. Takkan itu pun tak faham? Aku suruh kau tanggalkan baju aku je, bukan aku nak terkam kau pun. Tak selera aku!” Bebel Amzar lagi. Sekadar untuk menyakitkan hati Marha.
Marha menarik nafas sedalam-dalamnya. Berhadapan dengan Amzar memang memerlukan kesabaran yang tinggi. Dia tahu lelaki itu sengaja ingin menyakiti hatinya. Jika hatinya sakit, bermakna lelaki itu akan menang dan Marha takkan membiarkan perkara itu terjadi.
“Yalah. Saya cuma segan. Inilah kali pertama saya tanggalkan baju lelaki selain adik lelaki saya.” Ujar Marha berharap agar Amzar faham keadaannya.
Amzar terdiam. Dia tidak mengulas apa-apa. Sebaliknya, dia membiarkan tangan Marha melepaskan ikatan kain anduh di belakang tengkuknya. Dengan penuh kelembutan, gadis itu memegang lengannya manakala sebelah tangan gadis itu lagi menarik baju keluar daripada tangan kanannya yang terseliuh.
Entah mengapa ada debaran halus menyapa hati Amzar saat lembut tangan Marha menyentuh kulit lengannya. Tiba-tiba saja lidahnya menjadi kelu. Hanya anak mata saja yang merayap di segenap anggota wajah milik Marha yang manis.
“Dah siap. Saya keluar dulu.”
Suara Marha menghentikan khayalan Amzar. Dia berdeham kecil lantas berpaling membelakangi Marha. Cuba meredakan getaran halus yang mula menjengah ke ruang hati.
“Keluarlah!” Ujarnya tanpa memandang wajah Marha.
Marha mengangguk lalu berpaling meninggalkan Amzar. Dia menyentuh dadanya yang berdengup kuat.

SETELAH hampir satu jam Marha memasak, hidangan untuk makan tengah hari mereka akhirnya siap. Marha tersenyum melihat masakannya yang terhidang di atas meja. Hari ini dia memilih untuk memasak ayam masak lemak cili api, ikan goreng, sayur kailan ikan masin dan sambal udang. Dia tidak pasti bagaimana selera Amzar jadi dia cuba-cuba masak. Harap-harap semua lauk yang dihidangkannya menepati selera lelaki itu.
“Dah siap pun. Lama betul mamat tu mandi, takkan tak nak turun makan kut?” Omel Marha sendirian.
Tidak lama kemudian, telinganya menangkap derap tapak kaki seseorang. Marha tersenyum. Dia pasti itu Amzar. Lantas, dia menuju ke peti ais. Air masak dikeluarkan sebelum dia berpaling.
“Arghhh!” Jerit Marha lantas memejamkan mata dengan rapat. Jantungnya berlari kencang.
“Kau ni dah kenapa menjerit tak tentu pasal?” Soal Amzar dengan dengusan nafas yang kuat.
“Tuan tu! Tuan tu kenapa turun ke dapur dengan separuh bogel macam tu?!” Soal Marha dengan suara yang meninggi. Kedua belah matanya ditekup dengan telapak tangan.
Amzar menahan tawa. Reaksi Marha yang gelabah mencuit hatinya. Baju t-shirt yang dipegang disangkutkan ke bahu. Nasib baik aku turun pakai seluar, buatnya aku tak pakai baju dan seluar terus, mahu pengsan minah ni. Omel hati Amzar. Lantas mendekati Marha.
“Aku baru siap mandi. Aku dapat pakai seluar je. Baju ni aku tak lepas nak pakai. Jadi tugas kau pakaikan aku baju.” Ujar Amzar bersahaja.
Demi mendengar kata-kata Amzar, perlahan-lahan Marha menjatuhkan tangan. Kelopak matanya dibuka dengan perlahan. Tidak sanggup rasanya untuk dia melihat badan Amzar yang berotot. Naik semput nafas dibuatnya.
“Kenapa saya pulak nak kena pakaikan untuk tuan? Tuan pakailah sendiri.” Balas Marha masih enggan memandang Amzar meskipun matanya sudah terbuka. Dia rela tunduk menekur lantai dari menoleh ke arah Amzar.
“Kalau aku boleh pakai sendiri, tak adanya aku turun ke bawah dengan separuh bogel macam ni. Tadi kau yang tanggalkan baju aku, jadi sekarang kaulah yang kena pakaikan!” Suara Amzar kedengaran tegas.
Marha terdiam. Dia resah. Melilau-lilau anak matanya memandang ke kiri dan kanan.
“Cepatlah! Aku sejuk ni!” Sergah Amzar kuat.
Marha mengetap bibir. Tidak dapat tidak dia harus menurut. Perlahan-lahan dia mendekati Amzar. Tangannya dihulurkan untuk meminta t-shirt daripada Amzar. Apabila t-shirt bertukar tangan, cepat-cepat Marha sarungkan ke kepala Amzar. Dengan berhati-hati dia menyarungkan tangan kanan Amzar ke lengan baju. Bimbang lelaki itu mengaduh kesakitan lagi.
“Dah siap…” Ucap Marha setelah baju Amzar selamat tersarung di tubuhnya yang tegap. Marha dapat merasakan kulit wajahnya yang berbahang panas. Seolah-olah dibakar hidup-hidup. Dia malu!
“Belum siap lagi.” Balas Amzar menghentikan langkah Marha. Gadis itu mendongak. Sebaik saja anak mata mereka bertemu, Amzar terkelu untuk seketika.
“Apa yang tak siap lagi?” Soal Marha polos.
“Ikatkan anduh tu kat lengan aku.” Arah Amzar lagi.
Marha menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya dengan perlahan. Tak sampai satu hari dia menjaga Amzar, dah macam-macam arahan yang dikeluarkan. Agaknya bagaimana nasib diri dia sementara menunggu Datin Zahidah pulang dari mengerjakan umrah?
“Termenung apa lagi? Cepatlah. Aku dah lapar ni!” Marah Amzar meleraikan lamunan Marha.
Pantas, Marha mendekati Amzar lagi. Kali ini lebih rapat kerana dia terpaksa menjengketkan kaki untuk mengikat kain anduh di belakang tengkuk Amzar.
Amzar cuba berlagak tenang walaupun dalam hatinya sedikit resah apabila terasa tubuh Marha begitu rapat dengan tubuhnya. Seakan terasa hangat tubuh gadis itu.
“Tunduk sikit boleh tak? Tuan tu dahlah tinggi. Saya tak sampai nak ikat ni.” Bebel Marha. Dia terpaksa mendekatkan tubuhnya lagi dengan kaki yang terjengket. Leher Amzar dipaut bagi membolehkan dia melihat bahagian belakang tengkuk lelaki itu.
Perbuatan spontan Marha membuatkan jiwa lelaki Amzar diamuk resah. Jantungnya mula berdengup tidak senada apabila hangat nafas Marha menampar lembut pipinya. Suara Marha yang rapat di telinga Amzar juga turut menganggu tumpuannya. Dah kenapa dengan hati aku ni, asyik bergendang je? Perempuan ni je pun. Bukan ada apa-apa pun. Relaks. Kau kena relaks wahai hati. Benak hati Amzar bersuara.
Manakala Marha dapat menarik nafas lega apabila kain anduh itu berjaya diikat. Lantas, dia melepaskan pautan di leher Amzar. Tetapi disebabkan terlalu lama berjengket, kakinya menjadi kebas. Sebaik saja pautan di leher Amzar dilepaskan, tubuhnya terhuyung-hayang.
“Eh…eh…”
Marha terasa ingin jatuh. Tetapi nasibnya baik apabila tangan kiri Amzar laju saja meraup pinggangnya. Marha selamat. Dia terjatuh ke dalam pelukan Amzar. Rapat tubuhnya melekap di dada Amzar.
Kedua insan itu tersentak. Mata Marha terbuntang. Amzar pula tergamam. Tindakan drastiknya membawa padah apabila jantungnya berdengup tidak tentu arah. Apa yang aku buat ni? Soal hati Amzar.
“Auch! Aduh!” Jerit Amzar tiba-tiba.
Spontan, Marha menolak tubuh Amzar. Dia cuba berdiri dengan tegak. Air liur ditelan berkali-kali tetapi itu masih tidak dapat menghilangkan rasa gementar yang menyerang hatinya saat ini. Dia mengerling ke arah Amzar. Kelihatan lelaki itu turut mengerling ke arahnya. Lantas, Marha berpaling ke tempat lain.
Amzar berdeham. Cuba meredakan debaran di hati. Dia memegang tangan kanannya, berpura-pura sakit padahal dia cuma ingin melindungi rasa malu.
“Errr… Makanan dah siap. Kalau tuan nak makan saya hidangkan sekarang.” Ucap Marha tanpa memandang wajah Amzar.
Amzar tidak banyak bicara. Dia terus menarik kerusi dan duduk. Entah mengapa berada berdua-duaan dengan Marha kali ini terasa sangat janggal. Hilang terus segala makian yang ingin dia lontarkan pada gadis itu. Lidahnya seakan kelu. Bibirnya beku.
Marha yang faham dengan tindakan Amzar, terus saja mencapai pinggan kosong. Dua senduk nasi diletakkan di atas pinggan lalu disuakan ke arah Amzar.
“Masak lemak cili api ni tak pedas pun. Saya letak sikit je. Tuan jangan risau.” Terang Marha apabila melihat wajah Amzar berkerut melihat lauk yang diletakkan di dalam pinggannya.
Amzar hanya merenung kosong nasi dan lauk yang terhidang di hadapan mata. Kecur juga air liurnya melihat masakan Marha namun dia tetap menayang sikap egonya. Seolah-olah lauk yang dimasak oleh Marha langsung tidak menarik perhatiannya.
“Kau letak banyak mana pun makanan dalam pinggan aku ni, kau ingat aku boleh makan sendiri?” Soal Amzar dingin.
Marha berpaling. Dia menyoroti wajah Amzar yang kelat. Salah apa pula aku kali ni? Detik hatinya.
“Kee…kenapa tuan?” Soalnya lambat-lambat.
“Kenapa kau tanya aku? Nak cakap kau ni bebal, dah jadi setiausaha aku. Tak nampak ke tangan aku tak boleh nak gerak ni? Aku nak makan macam mana?” Soal Amzar garang.
“Tuan nak saya suapkan ke?” Soalan dibalas soalan oleh Marha.
Amzar menepuk dahi. Lama-lama dia menghadap Marha, boleh terbang segala kesabarannya.
“Kenapalah hidup aku ni selalu malang je bila kau ada? Tu pun nak tanya lagi ke? Kau nampak orang lain tak selain kau dalam rumah ni?”
Marha menggelengkan kepala. Hatinya sedikit terasa dengan kata-kata Amzar.
“Dah tu, tanya lagi buat apa?” Suara Amzar meninggi.
Marha terpaksa akur. Lambat-lambat dia menyuapkan nasi ke mulut Amzar tanpa sedikit pun memandang wajah lelaki itu.
“Boleh hilang selera aku bila terpaksa hadap muka kau hari-hari sementara mama balik.” Sinis Amzar sambil mengunyah makanan yang masih bersisa.
Marha menarik nafas. Dia cuba bertenang meskipun telinganya berdesing mendengar omelan Amzar. Hilang selera konon, padahal dah nak masuk dua kali kau tambah nasi ni. Kelentong betul mamat ni. Bebel hati Marha.
“Tuan nak saya panggilkan Cik Ratna ke?” Soal Marha bersahaja.
“Nak buat apa panggil Ratna?” Soal Amzar pula.
“Tolong suapkan tuanlah. Mudah-mudahan tuan berselera kalau Cik Ratna yang suapkan.” Balas Marha. Geram. Dia meletakkan sudu lantas berdiri.
“Eh tunggu dulu. Aku tak keluarkan apa-apa arahan, jadi jangan memandai nak buat tindakan sendiri.” Halang Amzar. Laju saja tangannya memaut pergelangan tangan Marha.
Langkah Marha terbejat. Dia memandang tangan Amzar yang bergayut di pergelangan tangannya silih berganti dengan wajah lelaki itu. Dia mencebik sebelum merentap kembali tangannya.
“Cik Ratna tu kan kekasih tuan, saya yakin tuan mungkin lebih berselera bila tengok muka dia. Jadi tak perlulah saya jaga tuan lagi. Biar Cik Ratna yang jaga. Orang cantik macam kekasih tuan tu pasti pandai jaga orang sakit macam tuan.” Balas Marha lagi.
Amzar berlagak tenang tetapi jauh dalam hati dia resah juga.
“Kau jangan nak mengarut. Jangan nak libatkan Ratna dalam hal ni. Dia sibuk. Cakap ajelah yang kau memang tak pernah ikhlas nak jaga aku. Kau guna alasan Ratna untuk lepaskan diri.”
Marha mengeluh. Dia sudah naik bosan apabila bertekak dengan Amzar hari-hari.
“Pernah tak walau sekali tuan nampak keikhlasan saya? Saya ikhlas mintak maaf, tapi tuan tetap tuduh saya yang bukan-bukan. Saya ikhlas jaga tuan sekarang ni, tapi tuan cakap saya buat semua ni sebab papa yang bayar. Agaknya dalam otak tuan tu, tak pernah fikir baik pasal saya walaupun sekali kan? Ikhlas tu tak semestinya kita kena cakap, tuan. Hanya hati kita yang rasa. Kalau tuan tak dapat nak rasa keikhlasan saya, anggap saja yang tuan tu tak ada hati!” Hambur Marha. Tegas.
Tanpa menunggu lama, dia meninggalkan Amzar terkebil-kebil di meja makan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.