Tetamu Rindu

Monday 11 June 2018

RINDU DALAM RAHSIA (Rindu Dalam Sepi remake) - BAB 16

AMZAR hanya memandang kosong kertas-kertas yang berselerakan di atas meja. Dia mengeluh kecil apabila tidak dapat menandatangani dokumen yang telah disemak memandangkan tangan kanannya yang masih lagi sakit. Anak mata dialihkan ke arah tangannya yang masih berbalut.
“Kenapa masa ni kau nak seliuh? Banyak kerja yang tergendala.” Rungut Amzar.  Dia memusingkan kerusi empuknya dan menghadap pemandangan di luar pejabatnya. Langit cerah seperti kebiasaannya. Lantas, Amzar memejamkan matanya. Sekadar untuk merehatkan fikirannya yang kusut.
Namun, sebaik saja matanya terpejam bayang wajah seorang gadis terlintas di fikirannya. Amzar tersentak. Sepantas kilat matanya terbuka luas bersama debaran di dada.
“Dah kenapa aku teringat kat perempuan tu pulak?” soal Amzar. Pelik dengan dirinya sendiri. Dia menggelengkan kepala sebelum memusingkan kerusinya ke hadapan.
“Argghhhhh!” Amzar menjerit secara tiba-tiba apabila melihat Marha yang berada di hadapannya. Hampir saja dia terjatuh daripada kerusi namun tangan kirinya sempat berpaut pada meja menyebabkan tangan kanannya terlanggar pengahadang kerusi yang didudukinya.
“Tuan! Tuan tak apa-apa?” soal Marha cemas lalu mendapatkan Amzar setelah meletakkan sebotol air mineral di atas meja.
“Kau tak reti nak ketuk pintu dulu ke sebelum masuk? Main masuk sesuka hati aje. Sakit tangan aku ni tahu tak?!” tengking Amzar sambil memegang tangannya dengan dahi yang berkerut menahan rasa yang mencucuk.
Marha serba salah. Spontan, dia memegang tangan kanan Amzar yang berbalut. Dia menggosok lembut.
“Saya minta maaf. Saya dah ketuk tadi. Saya ingat tuan dah dengar sebab tu saya masuk je untuk hantar air mineral tu. Saya tak sangka tuan terkejut sampai macam ni. Saya minta maaf.” Ucap Marha dengan rasa bersalah yang bertimpa-timpa. Dia mencari anak mata Amzar dan merenungnya dengan lembut. Berharap agar lelaki itu mengerti bahawa dia tidak sengaja.
Amzar kehilangan kata saat mata mereka bertentangan. Redup mata milik si isteri memadamkan api kemarahannya dengan serta merta. Bagaimana ini boleh terjadi? Bentak hati Amzar dalam diam. Bagaikan disimbah dengan air, hatinya yang panas membahang terus sejuk mendingin. Apa dah jadi dengan kau ni, Am? Ada satu suara berbisik halus.
“Tuan?” panggil Marha perlahan. Cukup untuk mengembalikan Amzar ke dunia realti.
Amzar tercengang. Dia terkebil-kebil buat seketika. Tangannya ditarik daripada pegangan Marha manakala pandangannya dialihkan ke tempat lain. Tidak betah rasanya beradu pandang dengan Marha. Terasa seperti jantungnya ingin meletup.
“Jangan sentuh akulah!” bentak Amzar lagi. Dia menjarakkan diri daripada Marha.
Marha mengetap bibir menahan perasaan. Kepala ditundukkan. Perlahan-lahan, dia menjauhkan diri. Sedar akan kedudukannya di mata Amzar.
“Maaf…” ucapnya perlahan.
“Kau nak apa masuk bilik aku?” soal Amzar tanpa mempedulikan kata maaf daripada Marha. Wajah Marha tidak dipandang. Dia berpura-pura sibuk.
“Tadi Cik Ratna ada telefon. Dia nak jumpa tuan. Dia call tuan tapi tuan tak angkat. Tengah hari nanti dia datang untuk lunch dengan tuan.” Ujar Marha.
Tingkah Amzar terhenti seketika. Ratna? Dia tersenyum sinis. Disebabkan melihat kecurangan gadis itu, dia terlibat dalam kemalangan. Tapi baru sekarang gadis cantik itu munculkan diri sedangkan sudah hampir empat hari dia kemalangan. Namun, secara jujurnya Amzar langsung tidak kisah dengan kecurangan Ratna meski pun dia melihat dengan mata kepalanya sendiri. Hatinya bagaikan kosong. Tiada perasaan apatah lagi cemburu.
“Biarlah dia nak datang pun. Ada lagi?” soal Amzar acuh tak acuh.
“Tak ada apa-apa dah, tuan. Cuma saya nak ingatkan pasal appointment tuan dengan F&B department lepas lunch ni.” Ujar Marha lagi.
“Hmmm…” balas Amzar lalu mencapai air mineral yang dihidang oleh Marha sebentar tadi.  Dia cuba untuk membuka penutup botol tersebut tapi gagal.
“Kalau macam tu saya keluar dulu,” ucap Marha. Namun pandangannya dihalakan tepat ke arah botol yang dipegang oleh Amzar. Nak tolong ke tak? Kalau aku tolong mesti kena marah kalau tak tolong pun kena marah juga. Rungut hati Marha. Serba salah.
“Keluar jelah. Menyemak depan aku buat apa.” Getus Amzar kedengaran kasar.
Marha mencebikkan bibir. Walaupun hatinya terasa pedih dengan kata-kata Amzar namun dia hanya bersabar. Lantas, Marha berpaling. Dia ingin mengatur langkah tetapi apabila menyedari Amzar yang terkial-kial ingin membuka penutup botol meyebabkan langkah Marha terhenti. Dia berpaling semula dan melangkah mendekati meja Amzar.
Botol air yang dipegang oleh Amzar dirampas tanpa sebarang kata. Dia membuka penutup botol air tersebut lalu diletakkan di hadapan Amzar yang tercengang-cengang melihat tingkahnya yang spontan.
“Tak susah pun nak minta tolong kalau tak mampu nak buat sendiri. Tak runtuh pun ego tuan tu. Okey? Terima kasih. Saya keluar dulu.” Ucap Marha selamba.
Tanpa menunggu balasan daripada Amzar, dia terus melangkah keluar meninggalkan lelaki itu yang terpinga-pinga.

DAHI Marha berkerut apabila melihat sejambak mawar merah berada di atas meja kerjanya. Seingat dia, sewaktu dia ke bilik Amzar, mejanya masih lagi kosong. Jadi siapa yang meletakkan jambangan bunga di atas mejanya?
“Siapalah yang bagi bunga ni?” getus Marha. Lantas, dia mencapai jambangam bunga tersebut. Sekeping kad yang terselit di celah bunga-bunga dicapai.
“Bunga ini cantik tapi tak mampu menandingi kecantikan awak? Pemuja Rahsia?” suara Marha sedikit meninggi apabila membaca bait-bait yang tertulis di atas kad itu. Tiba-tiba dia menjadi seram sejuk.
“Siapalah yang suka sangat membazir bagi bunga kat aku ni?” soal Marha sendirian. Lalu,  tanpa berfikir panjang dia mencampakkan bunga tersebut ke dalam tong sampah.
“Salah orang agaknya penghantar ni. Pemuja Rahsia? Eiii… Entah apa-apa…” bebel Marha. Dia menarik kerusi ingin duduk namun derap tapak kaki yang menghampiri mejanya membuatkan Marha mendongak.
“Hai,  Ainur.” Sapa Datuk Hisyam dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
Marha melepaskan nafas. Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain sejenak sebelum kembali memandang Datuk Hisyam dengan senyuman hambar menghiasi bibirnya.
“Datuk nak jumpa Tuan Am ke?” soal Marha dengan sopan.
“Taklah I nak jumpa you. Lama tak nampak you. Rindu.” Balas Datuk Hisyam sambil mengenyitkan matanya.
Terbuntang mata Marha dibuatnya. Dia menahan rasa geli dengan sikap yang ditunjukkan oleh Datuk Hisyam. Tak padan dengan umur orang tua ni. Miang tak bertempat. Bebel hati Marha. Air mukanya berubah keruh. Kurang gemar dengan kata-kata Datuk Hisyam.
“Kalau datuk nak jumpa Tuan Am, nanti saya inform pada dia. Tunggu sekejap.” Ujar Marha tanpa mengendahkan kata-kata Datuk Hisyam sebentar tadi. Cepat-cepat dia ingin mengangkat gagang telefon.
Namun, belum sempat dia menarik gagang, Datuk Hisyam terlebih dahulu merampas gagang telefon tersebut. Hampir saja tangan Marha bersentuhan dengan tangan lelaki itu. Marha menarik tangannya dengan pantas. Dia menahan sabar dengan kerenah Datuk Hisyam kali ini.
Datuk Hisyam tersenyum gatal. Dia merenung wajah Marha yang cuak. Tetapi senyumannya mati apabila terpandang jambangan bunga yang berada di dalam tong sampah. Dahinya berkerut.
“Kenapa you buang bunga tu, Ainur?” soal Datuk Hisyam inginkan kepastian.
Marha berpaling ke belakang seketika.
“Saya tak terima pemberian daripada orang yang saya tak kenal.” Jawab Marha bersahaja. Dia kembali menyibukkan diri.
“Tapi sayanglah bunga secantik tu you buang.” Sambung Datuk Hisyam lagi.
Marha melepaskan nafas perlahan. Makin rimas dengan kehadiran Datuk Hisyam tika ini.
“Datuk nak jumpa Tuan Am tak ni? Kalau tak nak, saya nak mintak diri dulu. Sekarang dah waktu lunch.” Ujar Marha cuba mencari alasan untuk melepaskan diri daripada Datuk Hisyam.
“Hah elok sangat kalau dah masuk waktu lunch. Jomlah I belanja you hari ni. Cakap aje you nak makan apa, nak makan kat mana, I boleh bawakan.” Tambah Datuk Hisyam masih tak mengalah.
Marha memicit dahi. Semakin pening dengan kerenah Datuk Hisyam. Mengada pula orang tua ni. Dia tak perasan ke yang aku tak selesa dengan dia. Kalau aku berkasar nanti mamat tu marah aku pula. Naik gila aku layan orang tua ni. Monolog Marha.
“Tak apalah,  datuk. Saya selesa makan sendiri. ” Marha berterus-terang.
“Come on, Ainur. Jom teman I lunch. I ikhlas ni.”
“Tak apa datuk, saya ikhlas menolak…” jawab Marha spontan.
“Janganlahhh…”
“Marha, awak dah siap ke belum?” sapa satu suara membuatkan Marha mendongak. Begitu juga dengan Datuk Hisyam,  dia menoleh ke belakang.
“Rafiq?” soal Marha pelik. Terkebil-kebil dia memandang Rafiq yang sedang tersenyum manis.
“Yalah saya. Semalam awak dah janji nak keluar lunch dengan saya kan? Takkan dah lupa?” soal Rafiq sambil merenung anak mata Marha sedalam-dalamnya berharap agar gadis itu mengerti apa yang cuba disampaikannya.
Marha masih lagi keliru namun apabila melihat Rafiq mengerling ke arah Datuk Hisyam, Marha mulai mengerti.
“Haah, macam manalah saya boleh lupa? Saya dah janji dan belanja Encik Rafiq kan? Maaflah datuk. Saya dah ada janji dengan Encik Rafiq. Saya minta diri dulu.” Ujar Marha lalu mencapai tas tangannya dan menghampiri Rafiq dengan tergesa-gesa.
Tanpa menoleh ke belakang dia terus berjalan diikuti oleh Rafiq yang menahan tawa melihat wajah Datuk Hisyam yang terkulat-kulat. Kali ini umpan yang dihulurkan oleh Datuk Hisyam tidak mengena. Marha bukan gadis yang mudah ditundukkan.
“Terlepas lagi. Tak apa kali ni aku mengalah. Lain kali, aku takkan biarkan kau terlepas, Ainur. Kalau aku tak dapat, orang lain pun takkan dapat.” Getus Datuk Hisyam dengan senyuman sinis menghiasi bibir tuanya.
Sementara itu, Marha menghembuskan nafas lega sebaik saja dapat menjauhkan diri daripada Datuk Hisyam. Dia berpaling ke sjsi. Saat itu, Rafiq turut berpaling ke arahnya. Akhirnya mereka ketawa serentak.
“Terima kasih sebab awak datang tepat masanya. Kalau tidak, tak tahulah apa lagi alasan yang saya nak bagi dekat datuk tu.” Marha memulakan bicara sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalam perut lif.
Rafiq tersenyum manis selepas tawa mereka reda.
“Saya dah biasa dah nampak datuk tu dengan berbeza perempuan muda. Cantik pula tu. Tapi saya tak sangka dengan awak pun dia nak jual minyak.” Balas Rafiq kemudian memberi laluan kepada Marha untuk melangkah keluar terlebih dahulu.
“Entah. Saya pun seram sejuk dengan datuk tu. Nak berkasar dengan dia pun tak boleh sangat sebab dia klien yang penting untuk hotel ni. Tuan Am pun dah bagi amaran supaya layan dia dengan baik. Tapi bila saya layan dengan baik, makin menjadi-jadi pula. Agaknya dia tak peduli cantik ke tak perempuan tu, semuanya dia nak try,” balas Marha cuba membuat kesimpulan. Kepalanya digelengkan.
“Awak cantik…” ucap Rafiq perlahan.
Marha berpaling. Keningnya bercantum.
“Apa yang awak cakap?” soal Marha inginkan kepastian.
Rafiq tersenyum simpul. Mata Marha yang terkebil-kebil menambahkan lagi kecomelan gadis itu di matanya.
“Awak bukan setakat cantik tapi comel. Sebab tu datuk tu terpikat.” Jawab Rafiq sambil mengenyitkan matanya.
Marha tersentak. Dia menunduk malu.
“Mengarutlah awak ni. Terima kasih sebab dah tolong saya. Menyusahkan awak pula. Mesti saya dah ganggu waktu makan awak. Maaf.” Ujar Marha mengalih topik perbualan mereka.
“Mengganggu apanya? Saya memang nak ajak awak makan pun. Jomlah saya belanja.” Ajak Rafiq dengan ramah.
Marha serba salah. Dia memandang sekeliling. Bimbang ada rakan-rakan sepejabat yang melihat mereka berdua.
“Eh tak payahlah…”
“Awak tak sudi? Atau awak ingat saya ni macam datuk tu? Awak jangan bimbang saya ajak awak makan ni sebab awak kan kawan saya. Tak salah rasanya kalau saya nak ajak kawan saya lunch sekali. Alah, tak payah pergi jauh, kita makan kat kafe je. Ada less 50 percent kalau staf makan kat situ.” Ujar Rafiq masih lagi memujuk.
Marha menggaru kening. Dia tak kisah pasal tempat makan tapi mereka hanya berdua, itu membuatkan Marha kurang selesa walaupun dia yakin Rafiq tidak mempunyai niat jahat.
“Saya tahu tapi takkan kita berdua je?” Marha meluahkan ketidakselesaannya.
Rafiq tersenyum. Mulai senang dengan sikap Marha yang menjaga batas.
“Sekarang ni memanglah berdua, sampai kat kafe nanti ramailah orang. Awak tak payah risau, kalau orang tanya jawablah kita jumpa secara tak sengaja, okey?” balas Rafiq cuba menyakinkan Marha.
Marha menggigit bibir. Tidak dapat tidak, dia akhirnya akur. Melihat wajah Rafiq yang penuh berharap membuatkan hati Marha menjadi lembut.

RATNA melambaikan tangan sebaik saja melihat figura Amzar yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Dahi Ratna berkerut apabila melihat tangan Amzar yang berbalut.
“Sayang!” panggil Ratna lalu mendapatkan Amzar. Lengan lelaki itu dipaut mesra.
Amzar mengembuskan nafasnya dengan perlahan. Anak matanya menangkap beberapa orang kakitangan hotelnya sedang memandang ke arah mereka berdua. Amzar tidak selesa. Lantas, tangannya dilarikan daripada terus dipeluk oleh Ratna.
“Kenapa dengan tangan you tu?” soal Ratna apabila merasakan Amzar sedikit dingin.
“Accident.” Jawab Amzar sepatah. Anak matanya diliarkan ke tempat lain. Melihat wajah Ratna sedikit sebanyak membuat hatinya sebal. Bayangan gadis itu bermesraan dengan lelaki lain sebelum dia kemalangan kembali terimbau di kotak fikiran.
“Accident? Bila? Kenapa you tak bagi tahu I pun? I call you pun you tak angkat. I betul-betul risau tau.” Balas Ratna dengan nada terkejut. Dia menyentuh tangan Amzar yang berbalut. Riaknya bertukar risau.
Amzar menyembunyikan senyum sinisnya. Namun, saat dia membalas pandangan Ratna, bibirnya mengukir senyuman tetapi dirasakan hambar.
“Bukan teruk sangat pun, seliuh je. Sebab tulah I tak bagi tahu you. I tahu you sibuk. I tak nak you risau.” Balas Amzar sekadar untuk menyedapkan hati Ratna.
“You tahu kan I sayangkan you sangat. I risau tengok you macam ni. Biar I jaga you, okey?” pinta Ratna tanpa berfikir panjang.
Amzar membeliakkan matanya. Apa maksud Ratna sebenarnya?
“You nak jaga I? Nak jaga macam mana? Kita bukan tinggal sebumbung pun.” Balas Amzar pelik.
Ratna tersenyum penuh makna. Lengan Amzar dipeluk kembali sebelum kepalanya dilentukkan ke bahu Amzar.
“Jom kita sembang kat kafe. I laparlah.” Rengek Ratna tanpa menjawab soalan Amzar.
Tangan Amzar ditarik ke ruang kafe hotel. Dia tersenyum bangga apabila merasa dirinya menjadi perhatian saat melangkah masuk ke dalam kafe. Dia yakin pasti ramai anak-anak gadis cemburu melihat dia berdampingan dengan lelaki sekacak Amzar.
“You tak jawab soalan I lagi, macam mana you nak jaga I.” Amzar mengulang soalannya kembali sambil kakinya melangkah mengikut arah yang ditunjukkan oleh Ratna.
Ratna tidak menjawab sebaliknya dia duduk terlebih dahulu sambil bibirnya mekar dengan senyuman penuh makna. Tangannya pantas mencari tangan Amzar. Belakang telapak tangan dielus lembut.
“I boleh tinggal dekat rumah you untuk jaga you. I rasa tentu mama dan papa you faham. I nak jaga you sebab I sayangkan you.” Jawab Ratna tanpa rasa bersalah
Hampir terbuntang mata Amzar mendengar bicara Ratna yang tidak disangka-sangka. Biar betul perempuan ni nak tinggal sekali dengan aku? Dia tak fikir ke apa yang orang akan kata nanti? Atau ini memang rancangan dia nak perangkap aku sama dengan minah kampung tu. Getus hati Amzar.
“No! Mati I kalau mama dan papa tahu you datang rumah masa tak ada orang. You tak payahlah risau, I boleh jaga diri I sendiri. Sakit sikit je ni,” dalih Amzar sambil melarikan pandangan ke tempat lain.
Saat itu, anak matanya tertancap pada seraut wajah yang cukup dia kenali. Gadis itu bersama dengan seorang lelaki sebayanya. Dahi Amzar berkerut apabila mendapati orang tersebut adalah Rafiq. Mereka berdua tampak mesra bertukar gelak dan tawa. Tiba-tiba hatinya terasa nyilu. Entah dari mana datang perasaan itu, apa yang pasti dia tidak suka melihat senyum yang menghiasi bibir Marha.
Dia merenung tajam. Butir bicara Ratna langsung tidak singgah di telinganya. Tanpa disangka, Marha turut memandang ke arahnya. Jantung Amzar bagai direntap apatah lagi gadis itu hanya bersikap selamba. Satu senyuman dihadiahkan untuk Amzar sebelum meneruskan perbualan dengan Rafiq.
Amzar tersenyum sinis. Dasar perempuan, kau buat aku macam tak wujud je? Kau ingat aku kisah kau keluar dengan siapa. Aku langsung tak kisah. Detik hati Amzar.
Dia ingin memalingkan wajahnya ke arah lain. Namun, tanpa sengaja tangan kirinya terlanggar dulang yang dibawa oleh pelayan menyebabkan jus oren yang dipesan oleh Amzar jatuh tertumpah di atas meja dan seluarnya.
“Hey,  apa ni?” Ratna terjerit kecil sehingga menarik perhatian beberapa orang yang turut menjamu selera.
Amzar mengetap bibir menahan amarah.  Dadanya turun naik menahan rasa sabar walhal dia sedar apa yang berlaku itu berpunca daripada dirinya sendiri.
“Maafkan saya, tuan. Saya cuai.” Pelayan wanita itu menundukkan kepala dengan wajah yang keruh.
“Kau pandai tak buat kerja ni? Habis tumpah! Kau kenal tak siapa dia ni?”  soal Ratna sambil menunjukkan jarinya kepada Amzar.
“Kenal. Tuan Amzar, pemilik hotel ni.” Jawabnya dengan suara yang tenggelam timbul.
Ratna merengus. Dia memandang pelayan tersebut dari atas hingga ke bawah.
“Oh tahu pun kau. Dah tu kenapa buat kerja sambil lewa? Panggil penyelia kau sekarang!” arah Ratna sedangkan Amzar hanya mendiamkan diri.
Dia mencapai tisu lalu seluarnya yang basah cuba dikeringkan. Tapi usahanya tidak berjaya. Bau oren semakin kuat mencucuk rongga hidung. Lantas, Amzar bangun.
Wajah pelayan tadi mula kelat. Dia bimbang jika dibuang kerja kerana kesalahan yang tidak disengajakan.
“Maaf tuan. Saya betul-betul tak sengaja.” Ucap gadis itu bersungguh-sungguh. Wajah bengis Amzar cukup menggerunkan.
“Kemas semua ni. Pergi sambung kerja.” Arah Amzar tanpa membebel panjang.
Ratna terkebil-kebil. Pelayan tersebut melongo. Dia tidak menyangka Amzar akan berkata seperti itu.
“Saya tak kena buang kerja ke, tuan?” soal pelayan tersebut dengan rasa sangsi yang masih menebal.
“Awak nak saya buang awak ke?” soal Amzar kembali.
Gadis tersebut menggeleng dengan pantas. Dia tersengih. Namun,  apabila terpandang wajah Ratna, dia tersenyum sinis. Betullah cakap orang, kekasih Tuan Amzar ni memang lebih sudu dari kuah. Harap muka aje cantik. Omel hati kecilnya. Lantas, dia meneruskan kerjanya dengan hati yang lega.
“Am, kenapa you tak ajar je staf you tadi tu? Dia dah tumpahkan air kat you tau. You patut pecat je orang yang tak cekap macam tu.” Komen Ratna selepas pelayan tersebut hilang dari pandangan.
“Buat silap itu manusia, memaafkan tu, kemanusiaan.” Balas Amzar sambil anak matanya memandang ke arah Marha yang turut memandang ke arahnya dengan riak risau terpamer di wajah lembutnya. Amzar menjeling tajam kemudian berlalu ke tandas meninggalkan Ratna yang tidak berpuas hati.
Selesai membersihkan seluarnya yang kotor, Amzar melangkah keluar dari tandas. Dia mengeluh kecil apabila terkenangkan seluarnya yang basah. Dia kurang selesa dengan keadaan itu.
“Tuan tak apa-apa?” sapa satu suara lembut membuatkan Amzar mendongak.
Seraut wajah milik Marha menyapa pandangan. Rasa sebal yang tadinya menghilang kembali menghuni ruang hati. Amzar sendiri tidak tahu mengapa hatinya panas sebaik saja melihat wajah Marha.
“Apasal kau nak sibuk hal aku?” soal Amzar dengan garang.
Marha tertelan liur. Aku tanya pun salah ke?
“Tadi saya nampak seluar tuan basah kena air. Kalau ada apa-apa yang boleh saya tolong, tuan bagi tahulah. Tangan tuan kan sakit lagi tu. Nanti kalau ada apa-apa yang jadi pada tuan, apa saya nak jawab pada dato dan datin. ” Balas Marha tanpa mempedulikan kemarahan yang disembunyikan oleh Amzar.
“Oh, kau nak tolong? Kenapa kau nak tolong aku? Sebab kau nak tunjuk kau baik? Nak tunjuk aku ni tak boleh buat apa-apa tanpa kau, macam tu? Oh, lupa. Kau buat semua ni sebab mama dan papa. Kau nak tunjuk kau baik depan mama dan papa,  macam tu? Kau ingat ni, walau apa pun usaha kau, kau takkan pernah dapat tempat dalam hidup aku. ” keras suara Amzar kedengaran. Dia merenung anak mata Marha dengan tajam.
Marha terpinga-pinga. Apa yang mamat ni merepek?
“Saya tak bermaksud macam tu…”
“Kalau bukan itu maksud kau, maknanya memang betullah kau buat semua ni sebab duit kan? Sudahlah, tak payahlah kau berlakon baik depan aku, Marha. Menyampah tahu tak. Kau nak tolong sangat kan? Boleh. Tolong berhambus dari hidup aku!” bentak Amzar kemudian berlalu meninggalkan Marha yang kaku.
Marha tersentap. Ayat terakhir yang muntah dari mulut lelaki itu mengguris hatinya. Bukan dia tidak cuba untuk berdamai dengan Amzar tetapi lelaki itu bagaikan meletakkan tembok yang tebal di antara mereka berdua. Marha mengeluh kecil. Sering kali niat baiknya disalah ertikan. Sampai bila sengketa di antara mereka akan menemui penamatnya? Atau dia sendiri yang harus menamatkannya?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.