Tetamu Rindu

Sunday 3 June 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake ) - BAB 15



“ADA apa tuan panggil saya?” Soal Marha sebaik saja sampai di dalam bilik Amzar. Dia hanya memandang Amzar yang sedang mundar-mandir tanpa baju tersarung di tubuhnya. Marha menundukkan pandangan. Segan apabila terpaksa berhadapan dengan Amzar dalam situasi seperti sekarang.
“Aku nak pergi ofis. Ambilkan baju untuk aku.” Arah Amzar dengan suara yang mendatar.
Marha mendongak. Berkerut dahinya sebaik saja mendengar kata-kata Amzar.
“Nak pergi ofis? Tapi tangan tuan tak sembuh lagi. Dato dan datin tak benarkan tuan masuk ofis sampai tangan tuan tu sembuh sepenuhnya.” Bantah Marha. Dia cuba menentang pandangan Amzar, namun tidak lama. Pandangannya ditundukkan kembali.
“Aku bosan duduk terperap dalam rumah ni, kau tahu tak? Sekurang-kurangnya bila aku pergi ofis, ada juga kerja yang aku boleh buat. Dah, kau jangan nak banyak songeh. Aku bos, suka hati akulah nak masuk ofis ke tak nak. Kau tak payah nak menyibuk. Sekarang, ambilkan aku baju.” Arah Amzar lagi tanpa mempedulikan bantahan Marha.
“Tapi tuan…”
“Tapi apa lagi ni? Jangan lawan cakap aku, boleh tak?” bentak Amzar dengan wajah yang menyinga.
Marha tidak mempunyai pilihan lain. Sepantas kilat dia menuju ke almari. Memilih baju yang sesuai untuk Amzar. Dia terlopong seketika apabila melihat baju kemeja Amzar yang bergantungan. Terkebil-kebil dia memandang deretan baju yang tersusun kemas. Kebanyakan baju kemeja Amzar hanya berwarna hitam dan putih. Boleh dikira baju berwarna lain yang terdapat dalam almari lelaki itu.
“Tak ada warna lain ke?” soal Marha sendirian. Kemudian dia berpaling ke belakang.
Saat itu baru dia menyedari, bilik Amzar juga turut dihiasi dengan warna hitam dan putih. Malah, katil dan cadar milik lelaki itu juga hasil gabungan warna hitam dan putih. Minat betul mamat ni dengan warna hitam dan putih. Mungkin jiwanya sederhana tetapi seorang yang teliti. Fikir Marha.
“Yang kau termenung tenung muka kau ni kenapa?” sergah Amzar tiba-tiba.
Marha tersentak. Dia tersengih.
“Maaf. Tapi tuan tak ada baju warna lain ke selain hitam putih ni?” soal Marha akhirnya.
“Tak payah nak rumitkan kepala otak fikir warna lain. Ambil ajelah salah satu baju dekat situ. Itu pun susah ke?” rungut Amzar.
Marha akur. Dia mencapai baju kemeja berwarna putih dan dipadankan dengan tie berwarna kelabu. Dia menghulurkan baju kemeja tersebut kepada Amzar.
Amzar mengeluh. Dia mencekak pinggang.
“Kau nampak kan tangan aku ni sakit lagi. Takkan aku nak suruh banyak kali.” Dengus Amzar. Sedikit geram dengan sikap Marha kali ini.
“Saya nak kena pakaikan baju untuk tuan lagi?” soal Marha tergagap-gagap. Hatinya kembali bergetar.
“Kau ada nampak orang lain ke?” soalan dibalas soalan oleh Amzar. Sebelah keningnya dijongketkan.
Marha tiada pilihan. Perlahan-lahan dia menapak menghampiri Amzar. Dia berdiri setentang dengan lelaki itu. Walaupun rasa segan masih lagi menebal, namun Marha cuba berlagak selamba.
“Aku nak pakai baju alas tu dulu…” arah Amzar sambil memuncungkan bibirnya ke arah baju kemeja T berwarna putih yang tersadai di atas tilam.
Marha menurut. Dia mencapai baju tersebut lalu disarungkan ke badan Amzar. Dengan berhati-hati dia memegang tangan Amzar dan menyarungkan ke lengan baju. Dia melakukan dengan penuh teliti. Setelah Amzar siap memakai baju alas, Marha kembali mencapai baju kemeja yang telah dipilih sebentar tadi.
Amzar hanya memerhatikan setiap tindak-tanduk Marha. Ternyata Marha memang berhati-hati sewaktu menyarungkan lengannya ke baju. Setiap kali dia mengaduh kesakitan pasti wajah gadis itu berubah riak kerisauan. Amzar mencebik.
“Saya dah siapkan sarapan, tuan nak sarapan dulu ke?” soal Marha seraya mendongak.
Dia kelu seketika apabila anak mata mereka bertemu. Tangannya yang asyik bermain dengan tali leher, turut terhenti. Ada debaran menyapa di hati. Begitu juga dengan Amzar tika ini. Tiba-tiba saja bibirnya kelu untuk menjawab soalan Marha. Dia bagaikan terpesona dengan redup pandangan itu.
“Tuan…” panggil Marha akhirnya.
Amzar tersentak. Pantas, dia mengalihkan pandangan ke tempat lain. Dia hanya membiarkan Marha menghabiskan kerjanya.
“Lambat betullah kau ikat tie. Lembab!” ucap Amzar cuba meredakan rasa debar yang bermain di dalam dadanya.
Marha mengetap bibir. Walaupun sedikit terasa dengan kata-kata Amzar, namun dia cuba menguatkan diri. Tie yang berada dalam pegangan terus dililit tanpa berkata apa-apa.
“Dah siap. Saya keluar dulu. Saya nak sediakan sarapan. Kalau tuan sudi, turunlah. Kalau tak nak, terpulanglah pada tuan. Tuan yang lapar bukan saya.” Jawab Marha cukup bersahaja.
Amzar membuntangkan matanya. Tanpa sempat dia membalas, Marha terlebih dahulu meninggalkan ruang biliknya. Amzar merengus. Ternyata hati gadis itu begitu kebal. Walau dihambur dengan kata-kata kasar, tidak sekali pun Marha menitiskan air mata seolah-olah bicaranya itu tidak langsung berbekas di hati gadis itu.
Tidak dapat tidak, akhirnya Amzar turun untuk bersarapan. Dia hanya mendiamkan diri saat sampai di meja makan. Kelihatan bihun goreng, telur goreng dan kopi sudah tersedia di atas meja.
Marha memandang sekilas ke arah Amzar yang sedang menarik kerusi untuk melabuhkan punggung. Dia tersenyum kecil. Dia tidak menyangka, akhirnya Amzar mengalah juga. Lantas, bihun goreng disendukkan ke dalam pinggan Amzar berserta telur goreng. Dia turut melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan Amzar. Sudu yang berisi bihun goreng tersebut, diangkat lalu disuakan ke mulut Amzar.
Amzar terkejut. Dia menjauhkan wajahnya. Sudu dan wajah Marha dipandang silih berganti dengan dahi yang berkerut. Tetapi gadis itu hanya tersenyum manis.
“Tuan takkan makan guna tangan kiri kan? Jadi saya suaplah. Nahhh…” ucap Marha sambil mengerdipkan matanya.
Amzar melepaskan nafasnya dengan perlahan. Entah mengapa sikap gadis itu hari ini nampak comel di matanya, lantas tanpa berkata apa-apa, dia membuka mulut membiarkan gadis itu menyuapnya. Sedar tak sedar, habis sepinggan bihun ditelannya.
“Hari ni aku ada apa-apa mesyuarat ke?” soal Amzar sambil mencicip kopi yang dibancuh oleh Marha.
Marha yang sedang mengemas pinggan kotor, terhenti seketika. Dia cuba mengingati sesuatu.
“Dato minta semua mesyuarat dibatalkan seketika sementara tuan tak sihat.” Jawab Marha sambil tangannya lincah mengelap meja.
“Tak payah batalkan. Aku boleh handle mesyuarat, lagi pun kau yang catat minit mesyuarat, bukan aku. Aku tak nak tangguh kerja. Banyak lagi kerja yang aku kena uruskan. Hari ni aku nak jumpa bahagian F&B, nanti kau inform pada mereka.” Arah Amzar dengan wajah yang serius.
“Baik, tuan.” Akur Marha.
“Kenapa kau tak makan?” Soal Amzar apabila menyedari Marha hanya menyuapnya tanpa menjamah sedikit pun bihun yang telah terhidang.
Marha berpaling dah tersengih.
“Tak sempat kalau saya nak makan. Nanti lambat pula masuk ofis. Pinggan ni saya nak kena cuci dulu. Saya makan kat ofis ajelah. Tuan tunggu kejap, ya.” Ucap Marha lalu berlalu ke dapur dengan membawa pinggan dan cawan yang kotor.
Amzar kehilangan kata-kata. Dia suruh aku makan tapi dia tak makan? Perempuan macam ni pun ada ke? Rungut hati Amzar. Dia mengangkat bahu.

“TUAN tak kisah naik kereta saya ni?” Soal Marha sewaktu membantu Amzar memakai stokin. Memandangkan Amzar kelihatan terkial-kial untuk menyarung stokin, jadi Marha menghulurkan bantuan.
Amzar melepaskan nafasnya yang terasa berat. Ada getaran halus saat Marha membantu dirinya menyarungkan stokin di kaki. Gadis itu kelihatan polos saat memandang wajahnya.
“Apa bezanya kereta kau dengan kereta aku? Kereta juga kan?” Soal Amzar akhirnya. Sekadar untuk menutup debaran di dada.
Marha tersenyum. Dia mencapai kasut milik Amzar lalu disarungkan ke kaki suaminya itu.
“Memanglah sama. Tapi kereta saya tak sebesar kereta tuan. Saya risau tuan tak selesa je naik kereta saya tu,” jawab Marha sambil tumpuannya difokuskan pada kasut Amzar.
Amzar merenung Marha yang sedang ralit mengikat tali kasutnya. Dia tersenyum kecil tanpa sedar. Namun, sebaik saja Marha mendongak, sepantas kilat Amzar berpaling ke tempat lain.
“Pak Samad cuti, apa pilihan aku ada sekarang? Kereta aku masih kat bengkel. Jadi tak payah semakkan kepala otak nak fikir kereta tu selesa ke tak, janji aku sampai dekat ofis.” Jawab Amzar.
Marha tersenyum. Ternyata Amzar bukan lelaki yang cerewet cuma sikapnya saja yang kasar.
“Kalau macam tu, jomlah.” Ajak Marha.
Dia berdiri lalu berjalan menuju ke kereta. Briefcase milik Amzar turut dibawa bersama. Mereka melangkah masuk ke dalam kereta. Marha membetulkan duduk di tempat duduk pemandu, buat seketika dia mengerling ke arah Amzar yang duduk membeku di tempat duduk sebelah. Dia mula serba salah apabila melihat Amzar hanya kaku tanpa memakai tali pinggang keledar. Lantas, Marha mendekatkan tubuhnya untuk menarik tali pinggang yang berada di sebelah kiri Amzar.
Pada waktu yang sama, Amzar berpaling apabila menyedari tubuh Marha sedang menempel ke arahnya. Namun,  tindakan Amzar tersebut menyebabkan hujung hidungnya bersentuhan dengan pipi Marha yang gebu.
Marha tersentak. Amzar tergamam. Jantung masing-masing bergendang kuat. Seakan terkena renjatan elektrik, Amzar terkaku dengan mata yang terkebil-kebil. Marha turut merasakan perkara yang sama. Dia meneguk liur.
“Apa yang kau buat ni?!” soal Amzar dengan suara yang meninggi. Sepantas kilat dia memalingkan wajahnya ke tempat lain. Di hujung suaranya kedengaran sedikit bergetaran.
Marha terkulat-kulat. Dia menelan air liur yang terasa berpasir. Semerta, wajahnya berubah rona. Merah. Dia malu!
“Errr… Saya tak bermaksud nak… Saya cuma nak tarik tali pinggang tuan tu.” Terang Marha dengan tergagap-gagap. Dia terus membetulkan duduk dengan wajah ditundukkan. Bibirnya dikertap menahan rasa malu.
Amzar berdeham kecil. Dia turut terasa janggal ketika ini. Anak matanya diliarkan ke arah tangannya yang masih berbalut.
“Cepatlah tarik tali pinggang ni, nanti lambat pulak…” ujar Amzar akhirnya.
Marha melepaskan nafas pendek. Dengan terketar-ketar dia mendekatkan badannya ke arah Amzar. Tangannya dipanjangkan untuk mencapai tali pinggang yang tersangkut di sebelah kiri Amzar. Dia memejamkan mata dengan dada berdebar kuat.
Amzar tersenyum kecil. Geli hati dengan telatah Marha yang memejamkan mata. Jelas wajah gadis itu pucat. Gementar mungkin. Sedangkan saat ini hatinya turut kacau bilau apatah lagi kedudukan Marha yang dekat membuatkan hidungnya tercium haruman yang dipakaikan oleh gadis itu. Amzar menggigit bibir. Tanpa sedar, ada getaran halus yang mula bermain di jiwa.
“Kalau kau pejam mata, macam mana nak nampak tali pinggang tu?” soal Amzar tiba-tiba.
“Hah?” serentak mata Marha terus terbuka luas. Terkebil-kebil dia membalas pandangan Amzar. Anak mata mereka bertentangan buat seketika.
“Maaf tuan,  saya pakaikan sekarang…” balas Marha gelabah.
Pantas, dia menarik tali pinggang tersebut dengan pantas tanpa memandang wajah Amzar. Kemudian, dia terus membetulkan duduk dan memulakan pemanduan.
Amzar melepaskan nafas lega lantas pandangan terus dihalakan ke luar tingkap. Rasa sunyi mula mengambil alih suasana di antara mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.