Tetamu Rindu

Tuesday, 4 June 2013

Ingkar Cinta ( Bab 1 )


WARDAH melambai tangan pada jejaka yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Senyuman dilemparkan. Jejaka itu tampak tampan dengan kemeja dan seluar jeans tersarung di badan tegapnya.
“ Oit, kau dah habis kelas bukannya nak call aku,” sapa Zafran tanpa memberi salam. Dia terus melabuhkan punggung di hadapan Wardah.
“ Wa’alaikummusalam..”perli Wardah selamba.
“ Opps, assalamualaikum,” ucap Zafran sambil menepuk mulutnya sendiri. Sejak dia berkawan dengan Wardah, dia cukup masak dengan perangai Wardah yang amat menitikberatkan soal salam.
“ Hah, macam tulah. Jangan asyik nk meluru je salam tak bagi,”bebel Wardah sambil membelek nota yang  berada di tangannya.
“ Aku baru je habis kelas ni. Aku ternampak kereta kau kat parking. Bukan ke kau tak ada kelas hari ni?” sambung Wardah lagi.
“ Kalau ikutkan tak ada tetapi aku ada mesyuarat MPP. Kau tahulah kan lepas aku jadi presiden ni banyak kerja yang aku kena buat. Sekarang ni aku kena arrange kan aktiviti untuk pelajar baru. Sudahlah tahun akhir banyak betul kerja aku,” rungut Zafran. Dia turut mencapai kertas yang berada di hadapan Wardah. Kertas apalah yang minah ni baca?
“ Dah itu tanggungjawab kau Zaf, kau kenalah pikul. Maklumlah tiap- tiap tahun kau je yang menang dalam pilihanraya kampus nak atau tak nak kau kena terima,” nasihat Wardah.
Zafran mengangguk lemah. Apa yang dikatakan oleh Wardah ada benarnya walaupun kalau diikutkan dia sudah mahu meletakkan jawatan tetapi kata- kata pendorong daripada Wardah membuatkan Zafran sedia menerima tanggungjawab sebagai presiden MPP.
“ Betul tu Wardah aku tak nafikan. Tahun ni aku kena struggle sikitlah mana nak fokus pada final exam lepas itu aktiviti untuk pelajar baru lagi. Tapi boleh tak kali ini aku nak mintak tolong kau sikit?” tanya Zafran lembut.
“ Apa dia? Kalau aku mampu, aku tolonglah,” balas Wardah.
“ Kau tolong jadi fasilitator untuk kali ini. Fasilitator untuk kali ni tak cukuplah,” ucap Zafran.
Wardah terkebil- kebil memandang laman wajah Zafran yang kacak. Biar betul mamat ni nak suruh aku jadi fasilitator?Lingkup budak- budak junior aku kerjakan kejap lagi. Bisik hati Wardah.
“ Kau biar betul nak aku jadi fasi? Aku tak ada pengalaman handle budak junior ni. Kau tampal notis mana tahu ada student yang berminat nak jadi fasi kali ni,” balas Wardah menolak.
Zafran mengetap bibir. Dia memandang wajah Wardah dengan penuh mengharap.
“ Lecehlah Wardah nak tampal notis bagai. Lagipun sorang je tak cukup. Bolehlah Wardah kau tolong aku. Kalau tak ada pengalaman nanti kolej hantar kau pergi kursus  fasilitator. Kau jangan risau, aku pun turun padang kali ni jadi fasi. Bolehlah ye?” pinta Zafran seakan merayu.
Wardah menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Nak tolak kesian pula kawan aku ni. Emmm…
“ Kali ni Kursus Perintis Siswa buat kat mana pulak?” soal Wardah kemudiannya membuatkan Zafran tersenyum.
“ Macam biasalah kat Taman Pertanian. Kira kau setujulah ni nak tolong aku jadi fasi Wardah?” Zafran meminta kepastian.
Wardah tersenyum. Tak salah rasanya untuk dia menimba pengalaman menjadi fasilitator sebelum meninggalkan zaman kolej.
“ Insya-Allah,” ucap Wardah pendek.
Zafran tersenyum riang. Dia tahu Wardah memang boleh diharap memandangkan hanya Wardah tempat dia meminta pertolongan selama ini. Persahabatan dia dan Wardah bukanlah baharu tetapi sejak kecil lagi mereka menjalinkan persahabatan memandangkan mereka sekampung dan juga berjiran. Takdir telah menempatkan mereka membesar bersama- sama hingga ke kolej pun sama. Bukan mereka yang rancang tetapi semua sudah tertulis.
Namun, lamunan Zafran terbantut apabila telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Juliana membuatkan dia mengeluh panjang. Tadi Sofea, sekarang Juliana penat betul melayan kerenah perempuan- perempuan ni. Susah betul jadi  jejaka yang terhangat di pasaran ni. Perasan!
“ Awek la tu..” usik Wardah sambil menjuihkan bibirnya.
Zafran hanya mengangkat bahunya. Di kesempatan yang ada, Wardah memandang wajah temannya dengan senyuman. Dia menggelengkan kepala. Itulah dia Ahmad Zafran Wildan, dunia lelaki itu sentiasa di kelilingi dengan wanita tetapi lelaki itu tidak pernah serius dalam menjalinkan hubungan. Lelaki itu lebih suka dilabelkan sebagai playboy daripada serius ataupun melibatkan diri daripada mana- mana gadis yang di kenalinya.
Bertahun dia mengenali Zafran, Wardah cukup kenal dengan perangai Zafran yang tidak percaya pada cinta. Bagi Zafran, cinta dan wanita hanyalah mainan semata- mata. Bukan tidak pernah Wardah menasihati Zafran tentang hakikat yang sebenarnya tetapi Zafran tetap tidak mengendahkannya malah Wardah pula yang diejek oleh Zafran. Pening kepala Wardah memikirkannya.
“ Oit, apa yang kau menungkan tu? panjang betul,” tanya Zafran selepas meletakkan telefon.
Wardah  tersentak lalu tersengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun rapi. Dia menggelengkan kepalanya.
“ Tak ada apa- apalah. Kau ni Zaf perempuan keliling pinggang. Tadi Zarina cari kau. Dia tanya aku, aku jawablah tak tahu. Kau ni bila nak serik kalau kau tak nak bercinta, jangan nak mainkan perasaan perempuan nanti termakan diri kau sendiri,” nasihat Wardah.
Zafran berpura- pura menutup telinga. Dia mengenyitkan mata pada Wardah.
“ Aku bukan mainkan perasaan mereka tapi masalah aku, aku ni pencinta wanita,” ucap Zafran sambil tergelak kecil.
“ Banyaklah kau pencinta wanita. Pencinta wanita ke pemusnah wanita?” tempelak Wardah sambil tergelak.
Mati terus senyuman Zafran. Dia melemparkan jelingan buat Wardah yang sedang galak ketawa. Eh-eh minah ni boleh pula gelakkan aku.
“ Tak baik kau cakap aku pemusnah wanita. Malaslah kawan dengan kau,” Zafran berpura- pura merajuk. Dia berpeluk tubuh.
Wardah menyambung gelaknya. Aik, sejak bila Zafran pandai merajuk. Tanpa menghiraukan rajuk Zafran, Wardah mengemas segala notanya dan berdiri sambil memandang Zafran yang masih berpura- pura merajuk. Dia tersenyum manis dan berlalu tanpa sebarang kata.
Zafran mengetap bibir. Melihat senyuman yang mekar di bibir Wardah membuatkan Zafran tersenyum sendirian. Argghh, dia kalah lagi dengan senyuman Wardah.


ZAHIRUL memandang adiknya yang kelihatan kacak dengan kemeja dan jeans tersarung di badannya yang tegap. Nak buat macam mana kekacakan adiknya adalah waris daripadanya jugak. Hai, Zahirul pun dua kali lima dengan adiknya. Perasan!
“ Yang kau lawa- lawa ni nak ke mana adik ooi!” perli Zahirul sambil menjeling ke arah adiknya  yang sedang membetulkan rambutnya di hadapan cermin.
“ Hello abangku yang tercinta, bukan lawa la tapi kacak. Jaga sikit bahasa tu okey?” balas Zafran sambil menggoyangkan jari telunjuknya. Sementara Zahirul hanya tergelak.
“ Kali ni kau nak keluar dengan siapa pulak?” tanya Zahirul sambil matanya tidak lepas memandang skrin komputer riba miliknya.
“ Malam ni Juliana kot. Petang tadi dia call Zaf ajak keluar, Zaf ingatkan malas nak keluar,”
“ Hah, elok sangatlah tu keluar date dengan anak dara orang malam buta ni. Semalam dengan Sofie, hari ni Juliana, esok dengan aci mana pulak? Tapi dalam ramai- ramai perempuan yang kau date, tak pernah sekali pun kau cakap pada abang yang kau keluar date dengan kawan baik kau tu. Siapa nama dia?” tanya Zafran sambil menggarukan dahinya.
“ Wardah maksud abang?” soalan di balas soalan.
“ Ha’ah dia. Tapi dia tu budak pandai tau, test yang abang buat selalu skor. Attendant pun sentiasa full tak macam kau dik. Patutnya kau belajar dari dia,” puji Zahirul.
Sebagai pensyarah yang sentiasa memantau akademik pelajar- pelajarnya, Zahirul memang cukup berkenan dengan sikap Wardah yang sentiasa  komited dalam pelajaran. Tugasan yang diberi jarang yang tersilap disebabkan itulah Wardah menjadi salah seorang pelajar kegemarannya dalam subjek Undang- undang Perniagaan.
“ Abang ni buat lawak ke apa? Wardah tu bukan type Zaf nak buat teman wanitalah. Zaf ada type Zaf sendiri,” ujar Zafran sambil tergelak kecil.
“ Tapi kau dengan dia dan berkawan sejak kecil lagi kan? Dia selalu tolong kau kalau kau kena buli masa kau kecil- kecil dulu. Takkan kau tak sayang dia kot?” giat Zahirul.
Zafran tergelak besar. Sayang? Wardah? Oh, no!
“ Wahai Encik Zahirul Haq, untuk pengetahuan abang Zaf tak pernah teringin pun nak sayang menyayang bagai. Rimaslah. Mengarut pun ada. Serabai!” balas Zafran selamba.
Zahirul menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Susah bercakap dengan orang yang tiada cinta di hati ni. Bercakap dengan Zafran seolah- olah bercakap dengan cermin semuanya memantul pada dirinya balik. Tapi itulah perangai adiknya yang seorang ni. Tak percaya cinta!
“ Rimas konon jangan sampai kau terperangkap dalam cinta sudah,” Zahirul mengalah.
“ Ini Zafran Wildan la abang, takkan sesekali Zaf kalah dengan cinta yang mengarut tu.Zaf ni kalis cinta tau,” Zafran mendabik dada. Dia menghampiri abangnya yang sudah duduk bersandar di sofa. Tajam renungan abangnya itu.
“ Tak ada orang dalam dunia ni yang kalis cinta dik. Cinta tu fitrah kenapa adik nak halang perasaan itu dengan bersikap keras terhadap cinta? Abang tak faham. Takkan disebabkan mak yang tinggalkan ayah dan ayah berkahwin dengan perempuan lain adik nak bekukan hati dengan jadi lelaki yang playboy dengan mempermainkan perasaan gadis- gadis yang adik kenal,” ujar Zahirul kedengaran serius.
Zafran menarik nafas panjang. Susah untuk dia terangkan kenapa dia tidak percaya pada cinta kerana itu yang dirasakan hatinya saat ini. Disebabkan cinta sanggup manusia itu mengkhianati kerana cinta juga manusia sanggup curang dengan pasangan sendiri seperti yang berlaku dalam keluarganya. Ibunya yang tercinta sanggup pergi meninggalkan ayahnya semata- mata ayahnya jatuh bankrap dan berkahwin dengan kekasih lama.
Selepas perniagaan ayahnya kembali seperti biasa dan menjadi salah seorang orang yang kaya di kampung, muncul seorang wanita yang kini menjadi ibu tirinya. Memang cinta itu akan wujud bila adanya harta? Itu yang kerap berlegar- legar di fikiran Zafran. Oleh kerana itu  dia tidak pernah percaya pada cinta dan wanita.
“ Zaf tak mainkan perasaan perempuan abang, diaorang yang membiarkan perasaan mereka tersentuh. Zaf tak pernah janjikan apa- apa pada mereka. Bukan salah Zaf kalau mereka suka pada Zaf,” balas Zafran selepas lama mendiamkan diri. Dia cuba membela dirinya.
Zahirul hanya menggelengkan kepala dan melepaskan keluhan panjang. Dia berdoa supaya suatu hari nanti adiknya itu akan berjumpa dengan wanita yang mampu mengubah persepsi adiknya tentang cinta.
“ Abang nasihatkan kau pun bukannya kau dengar, dahlah kau pergilah jumpa buah hati kau yang ke-300 tu. Nanti lambat pulak,” ucap Zahran mengalah.
Zafran tersengih. Akhirnya abangnya mengalah juga.
“ Yelah-yelah, Zaf pergi sekarang,”

Ingkar Cinta ( Prolog )


“  MASIH wujud lagi ke cinta sejati atas dunia ni?”
Soal  Sang Adam sambil memandang tepat pada wajah  Sang Hawa yang sedang memandang kebiruan air di tasik. Sang Hawa kelihatan tenang dengan senyuman terukir di bibir merekahnya. Serentak  Sang Hawa berpaling tepat membalas pandangan Sang Adam.
“ Kenapa kau tanya begitu? Kau tak percaya pada cinta ke?” Soal Sang Hawa kembali tanpa menjawab pertanyaan Sang Adam.
“ Bukan aku tak percaya tapi cinta yang berputar di sekeliling aku membuatkan aku sudah tidak percaya wujudnya cinta sejati di atas dunia ini. Hanya tinggal cinta yang penuh kebohongan dan pendustaan semata- mata,” jawab Sang Adam sambil menarik rumput yang berada di hadapannya.
Sang Hawa tersenyum manis. Cinta? Kerap kali manusia menyebut tentangnya tetapi sejauh manakah manusia itu mengerti makna cinta itu sendiri. Tepuk dada, tanyalah iman.
“ Adam, kau harus percaya masih ada cinta sejati yang wujud di atas muka bumi ini. Cinta yang kau sebut penuh kebohongan dan pendustaan itu bukannya cinta tetapi itu hanyalah nafsu yang menjadikan cinta itu kebohongan dan pendustaan. Cinta itu suci dan tidak dapat ditukarkan hatta dengan emas sekalipun. Sekali ia menyapa hati kau, kau takkan dapat berpaling lagi,” ujar Sang Hawa tenang.
“ Apa buktinya ada cinta sejati?”
“ Nabi kita Adam dan zaujahnya Hawa bersatu di dunia walaupun berpisah seribu jarak sekalipun. Begitu juga dengan Nabis Yusuf dan Siti Zulaikha, walaupun cinta mereka di halang tetapi berkat daripada doa dan restu daripada ALLAH s.w.t akhirnya mereka bersatu dan cinta yang paling agung adalah cinta Nabi Muhammad s.a.w dan isteri baginda iaitu Siti Khadijah. Walaupun berbeza umur namun cinta yang ALLAH titipkan dalam hati mereka akhirnya bersatu jua. Tidakkah kau fikirkan semua itu Adam?” Soal Sang Hawa pula apabila dia melihat Sang Adam hanya terdiam.
“ Itu cinta para nabi memang tiada bandingannya. Cinta mereka berpaksikan kepada cinta ALLAH sedangkan kita manusia yang hidup di zaman yang penuh canggih dan moden pasti tidak dapat menandingi cinta para nabi,” balas Sang Adam dengan petah.
“ Aku tak suruh kau menandingi cinta para nabi tapi kau boleh mencontohi cinta mereka dalam mencari cinta kau sendiri Adam. Cinta mereka penuh dengan pengorbanan dalam meraih cinta hakiki iaitu cinta Ilahi,” ucap Sang Hawa masih lagi bertenang dengan soalan yang diberikan oleh Sang Adam.
“ Bercakap memang senang Hawa. Cinta di zaman sekarang tiada yang tulus semuanya memandang harta, rupa dan pangkat. Aku serik dengan cinta dan wanita,” Adam masih tegas dengan pendiriannya.
“ Oh, jadi sebab itulah kau suka mempermainkan perasaan perempuan Adam? Oleh kerana kau tak jumpa cinta sejati jadi kau gunakan perempuan sekadar untuk menghilangkan rasa bosan kau, begitu?” soal Sang Hawa.
Kali ini suara Sang Hawa sedikit tegang. Dia tahu Sang Adam yang berada di hadapannya ini bukan calang- calang orang. Sang Adam yang berada di hadapannya ini seorang yang sempurna daripada rupa parasnya tetapi di hatinya tidak sempurna seperti wajahnya kerana hati itu kosong tanpa cinta.
Sang Adam tergelak kecil. Memang wanita adalah tempat dia menghilangkan rasa bosan. Bukan dia yang  mencari wanita sebaliknya wanita yang terkejar-kejarkannya kerana rupa dan harta yang ada padanya. Kesempatan itu di ambil oleh Sang Adam kerana kebodohan wanita itu sendiri yang mudah tunduk pada kata-kata lelaki yang belum tentu benar.
“ Aku tak kata aku hanya menggunakan wanita untuk menghilangkan rasa bosan tapi memandangkan kau dah kata maknanya betullah itu. Kaum kau tak tahu yang kaum aku akan memilih wanita yang benar- benar sesuai untuk dijadikan isteri dan ibu kepada anak- anak kami bukannya seorang wanita yang hanya boleh dijadikan teman wanita. Begitulah cinta aku hanya untuk wanita yang selayaknya sahaja. Jadi tak salahlah kalau aku berteman dengan ramai wanita untuk memilih siapa di antara mereka yang layak menjadi suri hidup aku nanti,”  ujar Sang Adam sambil memeluk lututnya.
“ Ya memang tak salah kau berteman dengan ramai wanita tapi cara kau seolah- olah memberi harapan pada wanita- wanita itu…”
“ Aku tak minta mereka berharap pada aku dan aku tak pernah menyatakan perasaan aku pada mereka. Wanita yang cepat perasan!” pintas Sang Adam dengan pantas.
Sang Hawa mengeluh. Memang sukar untuk menjelaskan perihal cinta pada Sang Adam. Hatinya cukup keras untuk mengakui adanya cinta yang telah disematkan dalam tiap hati manusia sejak lahir lagi. Setiap perjalanan hidup dan cinta manusia telah tertulis di dalam kitab takdir.
“ Memang susah untuk kau faham apa makna cinta Adam kerana kau sendiri telah menutup pintu hati untuk mengenali cinta yang sebenarnya. Aku harap satu hari kau akan bertemu dengan jodoh kau kerana hanya jodoh yang akan membawa cinta pada kau,” ucap Sang Hawa mengalah.
“ Kau mengalah Hawa?” Adam bertanya sambil menjongketkan kening.
“ Mengalah tak bererti kalah Adam. Aku mengalah bukan kerana aku tidak mampu mematahkan setiap perkataan kau tapi aku mengalah kerana aku mahu memberi kau ruang untuk mengenali cinta dengan cara kau sendiri. Suatu hari nanti kau akan tahu apa akan jadi pada diri kau apabila cinta mula menghuni hati kau pada wanita yang kau anggap hanyalah mainan semata- mata. Sedarlah Adam jika kau mahu mendapat cinta yang sejati kau kena mencintai diri kau terlebih dahulu tetapi sebelum kau mencintai diri kau sendiri kau harus mencintai ALLAH kerana dari situ kau akan menemui cinta yang sejati,” ujar Sang Hawa panjang lebar.
Sang Adam tersenyum. Dia terdiam buat sementara waktu kerana dia tahu apa yang dikatakan oleh Sang Hawa adalah benar belaka dan dia tidak pernah menolak kata- kata itu. Jauh di sudut hatinya dia yakin suatu hari nanti akan ada wanita yang menyedarkannya tentang makna cinta yang sebenar. Tetapi siapakah wanita itu?
Sang Adam berpaling pada Sang Hawa yang berkira- kira untuk bangun. Gadis itu membetulkan baju kurung yang di pakainya. Tudung yang di tiup angin dibetulkan sedikit. Sang Adam memerhatikan Sang Hawa dengan penuh minat.
“ Hanya satu dalam cinta yang aku percaya Hawa…” ucap Sang Adam secara tiba- tiba.
Sang Hawa berpaling pada Sang Adam yang masih merenungnya dengan senyuman yang tersungging di bibir.
“ Apa yang kau percaya?” soal Sang Hawa.
“ Persahabatan. Cinta adalah persahabatan,” balas Sang Adam dengan senyuman penuh makna.
“ Maksud kau?” Sang Hawa masih lagi pelik dengan kata- kata Sang Adam. Tadi kata tak percaya pada cinta sekarang lelaki itu mengatakan cinta adalah persahabatan. Mana satu yang betul?
“ Tanpa persahabatan cinta adalah kosong sebaliknya persahabatan yang terisi dengan cinta akan membawa bahagia, Aku hanya akan berkahwin dengan wanita yang menjadi kawan baik aku sahaja,” kata- kata Sang Adam penuh dengan makna yang mendalam membuatkan Sang Hawa ketawa kecil.
“ Kau cakap begitu macam kau pernah jatuh cinta. Kenapa kau dah jatuh cinta pada sahabat kau ke?” soal Sang Hawa dengan sisa tawa yang masih berbaki.
Sang Adam hanya tersenyum nipis melihat Sang Hawa yang sedang tertawa.
“ Mungkin…” jawab Sang Adam pendek.
“ Mungkin? Maknanya betullah?” Sang Hawa makin mendesak.
Namun, Sang Adam hanya mendiamkan diri tanpa sedikitpun menjawab soalan Sang Hawa. Dia membiarkan soalan Sang Hawa di bawa angin lalu. Dia melemparkan pandangan di permukaan tasik yang indah. Tiada apa yang perlu dikatakan pasal cinta kerana cinta itu perkara yang halus yang sukar untuk di fahami. Cinta akan menyapa siapa saja apabila tiba masa pada waktu yang sesuai kerana cinta tidak akan pernah hilang selagi ada hati yang memerlukan cinta.

Sunday, 2 June 2013

Jika Benar Kau Cinta ( Bab 14 )


ISYRAQ mengerling pada Hamna yang diam membisu di sebelahnya sebelum matanya jatuh pada tapak tangan Hamna yang berbalut. Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. Agak kekok berada dalam suasana di mana Hamna hanya mendiamkan diri tanpa berkata apa- apa.
“ Ehem- ehem!” Isyraq cuba berdeham. Matanya menjeling ke arah Hamna yang masih lagi kaku. Matanya hanya terkebil- kebil memandang bumbung kereta. Dah bisu ke?
“ Jangan fikirkan sangat apa yang perempuan tu cakap. Dia tengah tak ada pedoman, itu yang merepek bukan- bukan tu,” Isyraq bersuara cuba menghidupkan suasana.
“ Kau benci aku kan? Kau menyampah tengok aku kan? Kenapa kau selamatkan aku?” soal Hamna tiba- tiba. Tetapi matanya masih tidak berganjak daripada merenung bumbung kereta.
Isyraq tersentak. Dia menelan air liur yang terasa kelat. Kenapa pulak dia tanya soalan cepu emas saat ni? Apa aku nak jawab?
“ Errr…kebetulan aku lalu dekat situ, takkan aku nak biarkan je, macam tak logiklah pulak kan?” dalih Isyraq dengan suara yang tenggelam timbul akibat menahan rasa gementar.
“ Tapi apa yang Damia cakap tu semuanya betul, aku ni dahlah hodoh. Kau pun cakap macam tu jugak kan? Tak ada sesiapa pun yang sukakan perempuan hodoh macam aku ni. Tapi ada hati nak rampas kekasih orang,” balas Hamna dengan ketawa kecil. Nampak sangat canggung dalam tawanya itu. Namun, setitis air matanya gugur.
Benar, kata- kata yang Damia lemparkan masih berbekas dalam hatinya. Dia tahu Damia tengah marah waktu itu tetapi kata- kata itu tetap menikam tepat ke jantungnya. Lelaki bodoh manalah yang suka perempuan macam aku ni? desis hatinya.
“ Kau jangan nak mengarut boleh tak? Kau tak payah nak ingat apa yang Damia cakapkan seba dia tu bukannya be..be…” kata- kata Isyraq terhenti apabila dia melihat mata Hamna berair. Hati lelakinya tersentuh melihat air mata yang jarang dilihatnya itu. Inilah kali pertama dia melihat gadis berani seperti Hamna menangis di hadapannya.
Lalu, Isyraq memberi isyarat untuk berhenti. Dia memberhentikan keretanya di tepi jalan. Tapi pinggang yang membalut  tubuhnya ditanggalkan. Lalu, tubuhnya dipalingkan ke arah Hamna yang sedang memejamkan mata. Dia mengangkat tangan untuk menyentuh bahu Hamna namun perbuatannya terhenti apabila teringatkan yang Hamna tidak suka disentuh. Dia melepaskan keluhan berat.
“ Buat apa kau fikirkan apa yang orang lain kata pada kau? Jadi diri sendiri cukuplah, Hamna. Pada aku, kau bukanlah perempuan yang hodoh malah kau cukup sempurna di mata aku…” ucap Isyraq tanpa memikirkan terlebih dahulu apa yang diucapkan.
Hamna terkedu mendengar kata- kata yang terbit daripada mulut Isyraq. Aku tak salah dengar ke tadi? Kau cukup sempurna di mata aku, apa maknanya ini? soal hati Hamna. Tiba- tiba jantungnya berdenyut. Lantas, dia membuka mata membalas pandangan Isyraq
Isyraq terkelu apabila bertentangan mata dengan Hamna saat ini. Hah, sudah apa yang berlaku pada aku ni?
“ Apa maksud kau?” soal Hamna.
Isyraq melarikan pandangan ke tempat lain. Dia tidak menjawab soalan Hamna sebaliknya dia menghidupkan kembali enjin kereta dan memakai tali pinggang keledar. Pertanyaan Hamna dibiarkan sepi tanpa jawapan kerana dia sendiri tidak menyedari apa yang telah diucapkan.
“ Aku hantar kau balik!” tegas Isyraq.
Hamna menarik muka. Dia perlu tahu apa yang Isyraq maksudkan. Apa yang ingin lelaki itu sampaikan sebenarnya? Namun, Hamna tahu tiada gunanya memaksa Isyraq untuk menerangkan kerana Isyraq bukannya lelaki yang mudah untuk menurut kata orang lain apatah lagi kata- kata itu daripada perempuan yang dibencinya
Akhirnya mereka berdua diam membisu sehinggalah Isyraq menghentikan kereta di hadapan rumah sewa Hamna.
“ Dah sampai. Turunlah!” ucap Isyraq dingin. Tidak sedikit pun dia memandang wajah Hamna yang sudah berkerut.
Tanpa banyak bicara, Hamna membuka pintu selepas mencapai beg sandang yang terdapat di tempat duduk belakang.
“ Terima kasih,” ucap Hamna sebelum menolak pintu kereta.
“ Hmmmm…” balas Isyraq pendek.
Hamna hanya mengangkat bahu. Dia pelik dengan perubahan Isyraq yang tiba- tiba menjadi dingin. Tadi bukan main lagi lelaki itu kelihatan risau bila tangannya berdarah. Malah lelaki itu sanggup menemaninya sehingga ke dalam klinik bagi memastikan dia berjumpa dengan doktor tapi sekarang ini lelaki itu bagaikan Isyraq yang dahulu. Kasar dan dingin. Siapa kau sebenarnya, Is? Soal hati Hamna.
“ Eh, tunggu dulu!” halang Isyraq.
Hamna menoleh. Lalu, sebungkus plastik putih dicampakkan pada Hamna.
“ Ubat tu jangan lupa pulak!” ucap Isyraq selamba.
Hamna menahan perasaan. Dia ni memang kurang ajar kan? Main campak je. Sakit betul hati aku! benak Hamna berkata- kata. Namun, dia tidak mempamerkan sebarang riak.
“ Terima kasih!” hanya itu yang terkeluar.
“ Dah keluar, syyhh…syhhh..” halau Isyraq dengan cukup bersahaja.
Hamna mengetap bibir. Dia keluar namun dengan senjaga dia menghempas pintu kereta dengan kuat sebagai tanda protes.  Aku benci dia!

FIKA pulang tidak lama selepas itu. Dia masuk ke dalam rumah selepas memberi salam. Kelihatan Hamna terbaring di atas sofa sambil lengannya menutup mata. Kedengaran nafas gadis itu yang turun naik.
Fika duduk di sofa sebelah sambil merenung wajah Hamna yang kelihatan kepenatan. Namun, dia masih pelik dengan apa yang apa yang disaksikan sebentar tadi. Hamna dan Isyraq berpegangan tangan? Ke mana gadis itu pergi bersama Isyraq dalam keadaan yang tergesa- gesa? Mesti ada sesuatu yang berlaku. Bisik hati Fika.
Kalau diikutkan rasa hati, ingin saja dia mengejutkan Hamna dan meminta penjelasan daripada gadis itu tapi buat masa sekarang dia tahu tidak mungkin Hamna ingin membuka mulut.
“ Kalau benci takkan sampai boleh ikut naik kereta sekali? Siap pegang tangan lagi tu? Biar betul si Hamna ni takkan dah jatuh cinta dengan mamat hati batu tu kut?” Fika bercakap sendirian sambil mengetuk dagunya.
Matanya tidak berganjak daripada memandang Hamna yang sedang tidur. Dia mesti mencari jawapan terhadap apa yang berlaku. Lalu, dia mencapai telefon bimbit milik Hamna yang berada di atas meja. Baru saja dia ingin menekan punat telefon, tiba- tiba mata Hamna terbuka. Fika terkejut sehingga telefon bimbit yang dipegang terjatuh di atas lantai.
Hamna terkejut melihat kelibat Fika yang berada di hadapannya, lalu dia bingkas bangun apabila terdengar dentingan di atas lantai. Telefon aku! jerit hatinya lalu mencapai telefon bimbitnya yang terjatuh. Dia memandang Fika penuh curiga.
“ Macam mana telefon aku boleh jatuh?” soal Hamna serius.
Fika tersengih mempamerkan giginya yang bersih.
“ Heee…aku terlanggar phone kau tadi, itu yang jatuh. Janganlah marah, okey?” balas Fika berbohong. Nak mati kalau Hamna tahu aku sengaja nak check telefon dia? Tak pasal- pasal aku dapat penumbuk sulung minah ni. desis hati Fika.
Hamna menayang muka tidak percaya. Ya ke terlanggar? Tak nampak macam terlanggar pun. Bisik hati Hamna mulai curiga.
“ Betul, aku tak sengaja tertepis telefon kau tu. Kau ni, dengan aku pun tak percaya ke? Anyway, kau balik dengan apa? Aku tak nampak pun motor kau?” soal Fika mengalih tumpuan Hamna.
Hamna tersentak. Alamak, macam mana aku nak jawab ni? Dia menggaru- garukan kepalanya yang tidak gatal.
“ Aku balik dengan kawan…” jawab Hamna selamba. Dia mengesat peluh yang mula memercik di dahi.
“ Kawan? Siapa kawan kau?” soal Fika pelik walaupun dia tahu siapa kawan yang dimaksudkan oleh Hamna.
Hamna tidak keruan. Aduh, banyak tanyalah pulak. Takkan aku nak cakap, aku balik dengan Isyraq, mahu dimakinya aku nanti. Bisik hati Hamna.
“ Acummmm!” Hamna pura- pura bersin. Dia menggosok- gosok hidungnya.
“ Aku ngantuklah, aku masuk bilik dululah ye,” ucap Hamna pantas berdiri. Ini saja cara yang boleh dilakukan untuk mengelak daripada disoal oleh Fika.
“ Na tunggu dulu. Mana cermin mata kau?” soal Fika lagi. Dia memandang Hamna yang berdiri membelakanginya itu. Reaksi temannya itu tidak seperti biasa seolah- olah Hamna sedang menyembunyikan sesuatu yang dia tidak tahu.
“ Cermin mata? oh…tadi aku jatuh lepas tu cermin mata aku pecah…” jawab Hamna tergagap- gagap. Jelas dia berbohong.
“ Oh, pecah…okey…” balas Fika.
Hamna menarik nafas lega. Cepat- cepat dia berlalu ke dalam bilik sebelum Fika bertanya soalan yang bukan- bukan.

ZAIM dan Redza memandang wajah Isyraq yang kelihatan bermasalah. Walaupun mereka lepak bertiga tapi Zaim dapat rasakan yang mereka hanya berdua. Isyraq sudah hilang dalam lamunan yang entah ke mana.
“ Hey bro, kau ni kenapa? Aku tengok macam ada masalah je. Cuba story sikit dekat kitaorang, mana tahu boleh tolong,” ucap Zaim sambil menyiku lengan Isyraq.
Isyraq tersedar lantas kembali memandang wajah sahabat- sahabatnya yang masih setia menanti jawapan daripadanya.
“ Tak masalah pun. Aman je hidup aku…” balas Isyraq tersengih. Dia meneguk air yang tersedia di hadapan mata.
“ Ke kau gaduh dengan awek kau? Damia tu apa cerita? Aku dengar dia dengan si Faizal anak Datuk Mustafa tu, betul ke?” soal Redza sambil mengacau straw di dalam gelasnya.
Isyraq mencebik. Sebut tentang Damia, masih terbayang lagi apa yang gadis itu telah lakukan pada Hamna. Rasa sakit hati itu masih bersisa walaupun bukan dia yang diserang tetapi melihat keadaan Hamna yang tidak berdaya melawan membuatkan Isyraq rasa mahu dilempangnya muka Damia yang cantik itu.
“ Hubungan aku dengan dia dah lama over. Tak nak aku perempuan macam tu, senang- senang je tinggalkan aku sebabkan jantan. Dia tak tahu ke yang Datuk Mustafa tu sepupu ibu aku. Segala cerita dia dengan Faizal dalam kocek akulah,” jawab Isyraq selamba.
Zaim dan Redza terangguk- angguk. Hampir mereka terlupa yang Isyraq memang ada hubungan keluarga dengan Faizal Cuma yang bezanya, Faizal itu kaki perempuan sedangkan Isyraq Cuma lelaki yang biasa- biasa saja, tidak terlalu menonjol walaupun harta ibu dan ayah Isyraq sama banyak dengan ayah si Faizal itu.
“ Ya tak ya jugak. Habis tu, kau fikirkan apa? Pasal musuh ketat kau tu…Si Minah Gendut tu ke?” Zaim mengutarakan soalan.
Isyraq yang sedang meneguk air tiba- tiba tersedak. Dia terbatuk- batuk. Masa inilah pula dia nak sebut pasal minah tu. Macam tahu- tahu je aku tengah fikirkan perempuan tu sekarang ni. Bisik hati Isyraq. Dia mengesat mulutnya.
“ Tak ada nama lain ke yang kau nak sebut?” balas Isyraq menarik muka bosan. Bosan dekat luaran je tapi dalam hati berdenyut hebat apabila teringatkan si gadis.
“ Rasanya buat masa sekarang hanya itulah musuh yang kau ada. Aku tengok si Elyas tu macam syok je dekat si Hamna tu. Agak- agak mereka couple ke?” soal Zaim tiba- tiba.
Isyraq tersentak. Pantas pandangannya dipakukan pada wajah Zaim. Darahnya berderau tiba- tiba.
“ Mana boleh diaorang couple!” bantah Isyraq tiba- tiba.
Zaim dan Redza terperanjat. Dia memandang wajah Isyraq pelik. Dah kenapa tiba- tiba nak melenting pulak ni?
“ Kenapa tak boleh pulak? Elok sangatlah Elyas dengan Hamna. Sama- sama nerd!” balas Redza.
“ Maksud aku, takkanlah Elyas nakkan si Minah Gendut tu,” Isyraq membetulkan ayatnya. Suaranya kedengaran sedikit gagap. Dia mengelap peluh di dahi.
“ Okey apa, lagipun Elyas tu bukannya nak ikut kita dah, asyik back up perempuan tu je. Molek sangatlah kalau kahwin nanti,”
“ Aku tak setuju!” pintas Isyraq pantas.
Zaim dan Redza berpandangan. Berkerut dahi mereka melihat reaksi Isyraq yang tiba- tiba menyangkal apa yang mereka katakan.
“ Kau ni kenapa, Is?” soal Zaim akhirnya.
Isyraq menggigit bibir. Dia hanya mampu tersengih dan menggaru- garu kepalanya yang tidak gatal. Kenapa dengan aku, ya?
“ Tak ada apa- apa. Saja je tak setuju…” balas Isyraq selepas tiada alasan yang boleh dia berikan.
Lagi berkerut muka Zaim dan Redza. Kenapa aku rasa yang perangai Is ni macam pelik je hari ini? desis hati Zaim Cuma dalam hati.
“ Kau lupakanlah cerita pasal minah tu dengan Elyas. Aku nak tanya pendapat korang ni, kalau orang sakit, selalunya kita nak bagi apa erk?” soal Isyraq mengalih topik bualan.
“ Siapa yang sakit?” soal Redza pula.
“ Adalah, anak mak cik aku punya kawan. Mak aku suruh belikan hadiah,” jawab Isyraq selamba.
“ Anak mak cik kau punya kawan tapi kenapa kau yang kena beli hadiah?” giliran Zaim yang menyoal.
Isyraq menepuk dahi. Takkan itupun nak dipersoalkan juga?
“ Banyak tanyalah kau ni, jawab jelah. Aku tak nak belanja kan…” ugut Isyraq dengan mata yang sengaja dibulatkan.
Zaim dan Redza mengangkat tangan tanda kalah. Mereka tersengih.
“ Biasanya aku tengok mak aku belikan buah- buahan kalau dalam drama pun macam tu jugak. Depends pada siapa yang kau nak bagi. Kalau nak bagi dekat buah hati baik bagi bunga ke coklat ke tapi memandangkan kau cakap yang sakit tu mak cik kau punya kawan jadi kau bagilah buah oren ke buah epal ke jangan kau bagi buah catur sudah…” balas Zaim disambut dengan gelak tawa oleh Redza. Isyraq hanya ketawa kecil.
“ Oh macam tu. Kau pula, Redza?” soal Isyraq sambil memandang Redza yang sedang mengunyah keropok lekor yang terhidang di depan mata.
“ Dulu masa awek aku demam aku bagi ubat demam je…” jawab Redza sambil tersengih.
“ Hampeh!” balas Isyraq sambil menepuk kepala Redza yang ketawa kuat.
Isyraq terdiam seketika. Aku nak bagi apa erk? Tapi yang aku concern sangat pasal dia tu kenapa? Hatinya tertanya- tanya. Entahlah!

KERETA Honda CRV diberhentikan agak jauh dari rumah itu. Dia meninjau kawasan perumahan itu yang sunyi sepi. Buat seketika, Isyraq menjeling ke tempat duduk sebelah pemandu. Dia tersenyum apabila semua barang- barang yang dikatakan oleh Zaim telah dibeli.
“ Biasanya aku tengok mak aku belikan buah- buahan kalau dalam drama pun macam tu jugak. Depends pada siapa yang kau nak bagi. Kalau nak bagi dekat buah hati baik bagi bunga ke coklat ke tapi memandangkan kau cakap yang sakit tu mak cik kau punya kawan jadi kau bagilah buah oren ke buah epal ke jangan kau bagi buah catur sudah…”
Kata- kata Zaim terngiang di telinga membuatkan Isyraq tersenyum sendirian. Akibat tidak tahu apa yang harus dibeli, akhirnya Isyraq membeli semua apa yang disebut oleh Zaim. Buah oren, bunga dan coklat semuanya lengkap.
Lalu, Isyraq mencapai telefon bimbit yang berada di dalam poket seluar. Nombor telefon Hamna di dail. Dengan sekali deringan, panggilannya berjawab.
“ Wa’alaikummusalam, aku dekat depan rumah kau. Kau keluar sekarang!” arah Isyraq.
“ Buat apa depan rumah kau? Eh, suka hati akulah nak ada depan rumah ke belakang rumah. Aku nak kau keluar sekarang. Aku tunggu bawah pokok mangga seberang jalan rumah kau tu. Kalau kau tak keluar, aku masuk!” ugut Isyraq.
Dia mematikan telefon bimbit. Satu senyuman sinis terukir di bibirnya. Dia tahu Hamna memang pantang digertak. Tidak sampai lima belas minit, akhirnya Hamna muncul di depan pintu pagar. Isyraq tersenyum sendirian.
Isyraq memerhatikan Hamna yang semakin menghampiri, sekali sekala kepala gadis itu memandang kawasan sekeliling, mungkin bimbang terserempak dengan orang yang dikenali ataupun bimbang terserempak dengan Fika.
“ Kau nak apa?” soal Hamna garang. Dia mendongak memandang wajah Isyraq yang cukup bersahaja.
“ Tak ada apa. Saja nak datang melawat…” balas Isyraq selamba.
Hamna mengetap bibir. Dia sengaja suruh aku keluar rumah malam- malam buta ni semata- mata nak datang melawat? Dah gila agaknya dia ni! bentak hati Hamna. Geram pun ada juga dengan sikap Isyraq.
“ Ish, kau dah tak ada kerja ke? Banyak sangat ke masa lapang kau sampai sanggup datang nak melawat aku ni? Setakat ni aku masih bernafas lagi. Terima kasih!” ucap Hamna sambil menekan perkataan terima kasih.
Isyraq menahan tawa melihat wajah Hamna yang sudah kemerahan. Marahlah tu.
“ Antara bunga, buah dengan coklat mana kau suka?” soal Isyraq tiba- tiba.
Hamna terpempan. Pulak dah? Peninglah aku dengan perangai dia sorang ni!
“ Semua!” balas Hamna tanpa berfikir panjang. Dia berpeluk tubuh.
“ Baguslah!” balas Isyraq lalu dia membuka pintu kereta di tempat duduk pemandu.
“ Apa yang bagus?” soal Hamna pelik.
“ Nah!”
Isyraq menyerahkan sejambak bunga lily berwarna putih, sebakul buah oren yang digubah cantik berserta sepapan coklat Cadburry pada Hamna yang masih terpinga- pinga. Belum sempat Hamna berkata apa- apa, Isyraq terlebih dahulu melompat ke dalam keretanya. Dia berlalu meninggalkan Hamna yang masih lagi tercengang- cengang.
Terkebil- kebil Hamna memandang kereta Isyraq yang hilang daripada pandangan mata. Dia memandang segala pemberian Isyraq yang berada dalam dakapannya. Dia masih lagi dihantui tanda tanya. Untuk apa lelaki itu memberinya segala barang- barang ini? Namun, tiba- tiba bibir Hamna menguntum senyuman tanpa paksaan. Hatinya mula berlagu indah.
Manakala, di dalam kereta Isyraq mengesat peluh di dahi.
“ Fuhhhh, lega!” dia bercakap sendirian.
Namun, dia ketawa tidak lama kemudian apabila teringatkan apa yang dia telah lakukan pada hari ini.
‘ Kenapa aku buat semua ini untuk dia erk? Dia yang sakit tapi kenapa aku pulak yang lebih- lebih? Patutnya aku bersorak sakan sebab musuh nombor satu aku sakit tapi kenapa aku tak gembira pula bila tengok dia tak bermaya?’ soal hati Isyraq.
Dia mengetuk kepalanya sendiri. Apa yang mampu dia katakan, segala yang telah dilakukan adalah tindakan tanpa dia sedar. Apa yang penting dia gembira apabila dapat melihat wajah gadis itu yang kelihatan lebih bermaya daripada yang sebelumnya. Dia gembira apabila dapat melihat wajah gadis itu yang merona merah akibat menahan marah. Ya, Isyraq gembira apabila dapat menatap wajah gadis itu!
“ Ya Allah, aku dah angau ke?” soal Isyraq sambil melekapkan tangannya di dada.
‘ Dup dap, dup dap,’ bunyi jantungnya membuatkan Isyraq tersenyum.