Tetamu Rindu

Friday 24 August 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 19

AMZAR terjaga dengan sendirinya apabila matanya disimbah dengan cahaya yang tembus melalui tingkap biliknya yang tersingkap.
Siapa pula yang selak langsir ni? Rungut hatinya. Lantas, mata yang terpejam dibuka luas. Dia memisat-misatkan matanya. Rasa kantuk masih lagi bersisa namun Amzar gagahkan diri untuk bangun.
Dia duduk sambil menyandarkan belakang badannya di kepala katil. Matanya tertancap pada kerusi panjang yang terdapat di hujung katilnya. Amzar mula teringatkan sesuatu. Bukan ke semalam Marha tidur di situ? Mana pula gadis itu menghilang? Soal hati Amzar. Sekilas, dia menjeling jam loceng yang terletak di atas meja sisi. Jarum jam sudah berganjak ke angka tujuh setengah. Tentu perempuan tu ada kat dapur sekarang ni. Bisik hati Amzar.
Dia bingkas bangun dan menuju ke bilik air dengan kaki yang terhincut. Berkerut dahinya menaha sakit namun dia gagahkan juga.
Selang beberapa minit, Amzar mula menapak ke tingkat bawah. Hidungnya mula terhidu sesuatu yang lazat. Lantas, kakinya diarahkan ke ruang dapur.
“Hah, dah nak siap ni. Datang ajelah. Nanti aku share location. Pastikan kau datang sorang.” Bunyi suara Marha bercakap di telefon tertangkap di telinga Amzar.
Dia menghentikan langkah di ruang masuk ke bahagian dapur. Dia menyandarkan sisi tubuhnya ke dinding sambil anak matanya memerhati tingkah Marha yang kelihatan lincah memasak. Gadis itu masih belum menyedari kehadirannya.
“Ya Yusuf sayang. Aku masak nasi dagang paling sedap untuk kau.” Ujar Marha diselangi dengan tawa kecil.
Amzar tersentak apabila nama lelaki asing meniti di bibir Marha. Yusuf? Siapa Yusuf? Siap bersayang lagi. Kekasih dia ke? Tapi bahasa yang digunakan tu kasar sangat. Jadi siapa? Soal hatinya sendiri.
“Kau masak apa?” soal Amzar tiba-tiba.
“Oii, mak!” latah Marha lantas berpaling. Dia menggosok dadanya akibat terkejut dengan pertanyaan Amzar yang mengejut.
“Eh, tuan. Sekejap.” Ucap Marha.
“Yus, aku letak dulu. Kau datang je ikut alamat yang aku bagi. Okey, bye.” Ujar Marha dengan tergesa-gesa sebelum talian dimatikan.
Dia kembali berpaling ke arah Amzar yang sedang duduk di meja makan. Dia tersenyum nipis.
“Saya ada masakkan nasi dagang. Kalau tuan nak makan, saya boleh hidangkan.” Ucap Marha.
“Aku tak makan nasi pagi-pagi.”
“Saya tahu. Sebab tu saya tanya tuan dulu. Kalau macam tu, tuan tunggu sekejap, saya sediakan roti bakar untuk tuan.” Balas Marha lalu mencapai sebungkus roti potong dan mentega.
“Kau tahu aku tak makan nasi semasa sarapan tapi kenapa kau masak nasi juga?” soal Amzar sambil memandang nasi dagang yang sudah siap dimasak oleh Marha. Dia memandang Marha dengan curiga.
Marha meneguk liur. Riak Amzar yang serius meresahkan Marha.
“Oh, nasi ni? Errr… Sebenarnya sepupu saya nak teringin nak makan nasi dagang yang saya masak. Jadi saya masakkan lebih untuk tuan sekali. Itu pun kalau tuan sudi nak rasa.” Balas Marha dengan tergagap-gagap.
Amzar tersenyum sinis.
“Sepupu kau mengidam ke?” soalnya. Walaupun dia tahu nama Yusuf yang disebut oleh Marha sebentar tadi pasti sepupu gadis itu.
Marha menggelengkan kepala dengan pantas.
“Tak. Sepupu saya lelaki.” Jawab Marha laju dan jujur..
“Kau masak untuk lelaki lain dalam rumah aku, guna barang-barang aku, siapa bagi kau kebenaran?” soal Amzar dengan wajah yang masam mencuka. Oktaf suaranya mula meninggi.
Marha mula serba salah. Dia menundukkan wajah.
Errr… Barang-barang ni saya beli dengan duit saya sendiri. Saya tak guna pun barang-barang tuan…”
“Habis tu kau masak guna apa? Guna dapur arang ke?” soal Amzar pantas. Dia menghampiri Marha yang terkulat-kulat. Terpancar keresahan di wajah gadis itu.
“Saya… Saya…” Marha tergagap. Dia tidak menyangka Amzar akan berkira seperti ini. Kemudian, anak matanya terpandang beg dompet miliknya yang berada di atas meja. Lantas, dompetnya dicapai. Beberapa not sepuluh ringgit dikeluarkan.
“Saya minta maaf kalau tuan tak benarkan saya gunakan barang-barang tuan. Ni duit untuk barang-barang yang dah saya guna dalam rumah tuan…”
Marha menghulurkan duit tersebut kepada Amzar. Namun, lelaki itu menepis. Marha terkedu. Bulat matanya memandang duit yang bertaburan di atas lantai.
“Kau ingat duit kau tu bernilai sangat?” sindir Amzar lantas menghampiri Marha. Dia berdiri di hadapan isterinya yang jelas terkejut dengan reaksinya.
Marha mendongak. Membalas pandangan Amzar dengan tajam.
“Memang duit saya tak bernilai pada tuan tapi sekurang-kurangnya tuan hormatlah rezeki tu sikit. Tuan boleh benci saya sesuka hati tuan tapi saya minta tak boleh ke tuan layan saya dengan baik? Kalau bukan sebagai kawan, cukuplah layan saya sebagai pekerja. Saya cuba ikut semua arahan tuan. Cuba bersabar dengan sikap tuan, tapi tuan tetap layan saya macam ni. Apa yang tuan nak sebenarnya? Tak lama pun saya berada dalam hidup tuan. Sampai masa saya pergi juga.” Jawab Marha tanpa sedar dia meluahkan perasaan terkilannya dengan sikap Amzar.
Dia tunduk dan mengutip kembali duit yang bertaburan di atas lantai dengan perasaan sebak. Bila agaknya Amzar akan berubah? Sesungguhnya, dia benar-benar penat saat ini. Penat dengan sikap Amzar yang tidak tentu arah. Sekejap baik, sekejap menyinga.
Amzar kelu. Suara Marha yang lirih mematikan semua rasa panas dalam jiwanya. Wajah itu kelihatan kecewa.
“Kau yang cari pasal dengan aku. Kau tanggunglah akibatnya.” Balas Amzar masih menjunjung egonya.
Marha kembali berdiri bertentangan dengan Amzar.
“Ya, saya tahu. Saya tersilap melangkah masuk dalam hidup tuan. Saya sedar tu. Saya cuma minta tempoh. Tempoh untuk betulkan semula kesilapan saya. Tak lama pun tuan, lepas tu tuan takkan jumpa saya lagi.” Balas Marha sedaya upaya menentang anak mata Amzar.
Amzar terdiam. Hanya pandangan mereka saja yang bertaut.
“Kau cakap semua ni semata-mata nak raih simpati kan? Kau nak buat aku rasa terhutang budi sebab kau dah jaga aku. No. Aku takkan termakan umpan kau. Sekarang kau berani bawa jantan datang ke rumah aku. Apa yang kau nak tunjuk? Nak tunjuk yang kau perempuan murah?” tempelak Amzar.
“Astaghfirullah-al-azim. Yusuf tu sepupu saya paling rapat, tuan. Dia bukan orang lain. Dia satu-satunya keluarga saya yang percaya saya tak bersalah. Takkan dia datang kat sini pun jadi masalah pada tuan?” soal Marha. Mula tidak mengerti cara pemikiran Amzar.
“Memang salah. Apa yang kau buat semuanya salah pada pandangan aku.” Balas Amzar.
Marha melepaskan keluhan. Cuba menyabarkan diri.
“Saya…”
Ping! Ping!
Belum sempat Marha menghabiskan kata, bunyi hon mengejutkan mereka berdua.
“Sepupu saya dah sampai. Saya keluar sekejap.” Pinta Marha. Dia cuba melepasi Amzar namun lelaki itu bertindak menghalang laluannya.
“Jangan keluar. Aku tak benarkan.” Ujar Amzar dengan riak yang serius. Dia melangkah setapak mengampiri Marha.
Tangan kirinya dilekapkan ke singki. Mengepung tubuh Marha.
Jantung Marha berdegup dengan reaksi Amzar. Bibirnya mula terasa kering. Dia gugup seketika.
“Apa yang tuan cakap ni? Saya nak keluar sekejap, takkan tak boleh?” soal Marha tidak berpuas hati. Sedangkan saat ini loceng rumah Amzar berdenting buat kesekian kalinya.
Anak mata Amzar tegak memandang wajah Marha yang keresahan. Entah mengapa dia hatinya terasa pedih saat nama lelaki lain meniti di bibir Marha walaupun lelaki itu merupakan sepupu gadis itu.
“Tak boleh!” tegas Amzar lagi.
“Tuan tak ada hak untuk halang saya.” Balas Marha turut bertegas.
Lantas, lengan Amzar yang menyekat laluannya ditepis. Dia berjaya meloloskan diri.
Sedangkan saat itu Amzar terdiam. Kata-kata Marha kembali terngiang di telinga.
“Hak? Ya, apa hak aku untuk halang dia? Sedangkan ikatan ni pun berat untuk aku akui.” Desis Amzar. Dia mula tersedar akan sesuatu.
Akhirnya, dia hanya mampu memandang Marha yang meninggalkannya tanpa sebarang kata. Dia menyandarkan tubuhnya di singki. Wajahnya diraup dengan tangan kirinya.
“Apa yang tak kena dengan kau ni, Am?”

AMZAR menutup kembali langsir biliknya dengan kasar. Dia mencebikkan bibir sebaik saja melihat Marha sedang berbual mesra dengan lelaki yang dikenali sebagai Yusuf itu. Ternyata sepupu kepada isterinya itu nampak kacak dan bergaya. Hatinya sedikit tercuit resah.
“Sepupu apanya macam tu? Bukan main bergelak ketawa. Tak sedar agaknya dia kat mana sekarang ni. Dasar perempuan kampung.” Bebel Amzar lantas duduk di birai katil. Dia termenung seketika.
“Suami yang biarkan isteri dia keluar dengan lelaki lain, suami yang dayus. Suami yang tak tegur kesalahan isteri adalah suami yang dayus. Tuan tahu kan dosa untuk suami yang dayus ni besar mana? Tuan nak gantung hubungan ni, saya boleh jadikan tuan suami yang dayus. Adil.”
Bicara Marha tempoh hari kembali terngiang di telinga. Amzar mula terfikirkan sesuatu.
“Jadi, dia sengaja panggil sepupu dia datang ke sini semata-mata nak tunjuk yang aku tak boleh buat apa-apa untuk halang dia. Aku tak ada hak? Ni cara dia untuk buat aku ceraikan dia?” Amzar mula membuat andaian sendiri. Dia tersenyum sinis.
Lamunan Amzar terhenti sendiri apabila bunyi ketukan di pintu biliknya. Air muka Amzar berubah kelat. Dia kembali menyandarkan tubuhnya ke kepala katil.
“Masuk!” laung Amzar kuat.
Selang beberapa minit, muncul Marha dari sebalik pintu dengan menatang dulang yang berisi roti bakar dan kopi susu buat Amzar.
Amzar mendengus. Dia memalingkan wajah ke tempat lain. Riak wajah Marha yang ketawa gembira saat bertemu dengan sepupunya sebentar tadi kembali diulang tayang dalam fikiran Amzar. Dadanya terasa sesak.
“Kenapa datang jumpa aku? Pergilah bersembang, berborak dengan tetamu kau tu. Tak payah ambil kisah pasal aku.” Tempelak Amzar sewaktu Marha meletakkan dulang di atas meja sisi. Dia memeluk tubuh sendiri.
Marha terkulat-kulat. Nampaknya Amzar ingin memanjangkan perbalahan.
“Saya datang ni bukan nak bergaduh dengan tuan. Pasal Yusuf, saya dah jelaskan tadi. Terpulanglah pada tuan nak fikir apa pun. Saya tak kisah. Sekarang, saya nak jalankan tugas saya. Saya bawakan sarapan untuk tuan jadi tuan kena makan.”
Dengan selamba Marha duduk di birai katil. Dia mencapai piring yang berisi roti bakar lalu dihulurkan kepada Amzar.
Amzar menjeling. Huluran Marha langsung tidak dipandang sebaliknya pandangan dibiarkan terarah ke luar tingkap. Panas hatinya masih belum reda.
Satu keluhan terbit dari celah bibir Marha. Sikap Amzar kali ini benar-benar menguji kesabarannya.
“Saya dah bawa makanan, tapi tuan tak nak makan. Saya tak tahu nak buat apa lagi. Kalau tuan sakit, tuan jangan salahkan saya tau. Tuan sendiri yang cari penyakit. Hari ni hari cuti, ada apa-apa yang tuan nak saya buat ke?” soal Marha kembali kepada peranan asalnya sebagai setiausaha Amzar. Piring yang berisi roti diletakkan ke tempat asal.
“Keluar dari bilik aku!” arah Amzar tiba-tiba. Suaranya bertukar dingin.
Marha menggigit bibir. Angin Amzar kembali lagi. Lantas, tanpa banyak bicara, Marha bingkas bangun. Dia berpaling.
Amzar membeliakkan matanya. Sangkanya Marha akan memujuknya namun sebaliknya yang berlaku. Perempuan ni memang hati batu. Bisik hati Amzar. Pantas, Amzar bingkas bangun dan tangan kirinya merentap pergelangan tangan Marha. Tindakan spontan tersebut membuatkan tubuh Marha terdorong ke arah Amzar.
“Aaaa!” Marha terjerit kecil.
Hampir saja dia terjatuh, namun Amzar cepat bertindak dengan memaut tubuh Marha. Padahnya, kedua-duanya terhumban ke atas tilam.
“Aduhhhh...” Amzar mengerang kesakitan apabila tubuh Marha menghenyak tangan kanannya yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Ya Allah! Tuan tak apa-apa? Maaf, maaf. Tuan tu yang salah. Kenapa tiba-tiba tuan tarik saya?” soal Marha cemas. Dia cuba menjarakkan diri. Tidak betah rasanya berada dekat dengan Amzar.
Amzar memakukan pandangan pada raut wajah Marha yang kerisauan. Lantas, sewaktu Marha ingin menjarakkan diri, Amzar bertindak pantas dengan memaut pinggang isterinya membuatkan Marha kembali terjatuh ke dalam pelukannya.
Anak mata Marha terbuntang. Dadanya mula diserang debaran. Apa kena dengan Amzar ni? Jerit hatinya.
“Apa ni tuan? Lepaslah!” pinta Marha sambil meronta kecil. Cuba meloloskan diri daripada pelukan tangan sasa itu.
“Kau sengaja suruh sepupu kau datang sini kan? Nak tunjuk yang aku ni lelaki dayus sebab biarkan kau jumpa dengan lelaki lain. Ini rancangan kau supaya aku bebaskan kau, kan?” soal Amzar dengan riak serius.
Dia menentang pandangan Marha yang kelihatan kaku seketika. Wajah gadis itu mula berona merah. Sama ada malu atau pun marah, Amzar tidak tahu.
“Apa yang tuan merepek ni? Yusuf tu tak ada kena mengena dengan masalah kita. Tuan marah sangat ni kenapa? Tuan cemburu?” tempelak Marha dengan berani.
Giliran Amzar pula yang terkaku. Kata-kata Marha rasa seperti ditampar. Perit dan pedih.
“Cemburu? Huh! Kau siapa untuk aku cemburu?” bantah Amzar.
Sepantas kilat, dia meleraikan pelukan. Tubuh Marha ditolak dengan selamba sehingga gadis itu jatuh terduduk di atas lantai.
“Auchhh!” jerit Marha sambil memegang pinggangnya yang terasa sakit. Dia mengetap bibir.
Sedangkan Amzar hanya ketawa lepas melihat Marha yang terduduk di atas lantai.
“Padan muka kau. Itu padahnya kalau perasan. Kalau aku cemburu, tu bermakna aku dah gila. Faham?” tekan Amzar penuh keyakinan.
Marha mencebikkan bibir. Dia bingkas bangun sambil memegang pinggangnya.
“Baguslah kalau tak cemburu, kalau macam tu, bolehlah saya keluar dengan mana-mana lelaki yang saya suka. Tuan tak kisah kan? Jadi tu bermakna saya dah dapat kebenaran. Tak adalah saya rasa berdosa sangat sebab keluar tanpa izin suami.” Marha tidak mahu mengalah. Perkataan suami sengaja ditekankan.
Dia tersenyum sinis apabila melihat Amzar terkulat-kulat. Dia menjongketkan kening dan tanpa menunggu balasan daripada Amzar, Marha berlalu.
Amzar kehilangan kata. Dia hanya mampu mengetap bibir menahan geram. Lantas, sebiji bantal dicapai lalu dibaling ke arah pintu yang sudah tertutup.
“Tak guna punya perempuan!” bentaknya. Dia kalah lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.