Tetamu Rindu

Monday 27 August 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 20

"KITA nak ke mana ni, tuan? Dah sejam kita ronda bandar ni, tapi satu tempat pun tuan tak nak singgah.” Ujar Marha sambil memandang sekilas Amzar yang duduk membatu di tempat duduk penumpang.
“Nak singgah macam mana? Kau tak nampak kaki aku ni tengah sakit, nak jalan macam mana?” soal Amzar sambil menjeling.
“Dah tu kenapa tuan tak nak rehat aje kat rumah?” soal Marha lagi.
“Aku bosan tahu tak? Nak pergi ofis, satu benda pun aku tak boleh buat. Duduk kat rumah pun tak boleh buat apa. Kau faham tak perasaan aku? Aku bosan!” balas Amzar dengan suara yang sedikit meninggi. Dia melemparkan pandangan ke luar tingkap.
Marha terdiam sesaat. Dia menggigit bibir. Cuba memikirkan sesuatu.
“Tuan nak jumpa dengan Cik Ratna? Saya boleh arrange kan untuk tuan.” Marha memberi pendapat.
Amzar menggelengkan kepalanya dengan pantas.
“Ratna sibuk. Dia ada kelas lakonan dekat KL.” Balas Amzar. Bohong. Padahal acap kali Ratna menghubunginya namun dia yang enggan menjawab. Semenjak peristiwa dia terserempak Ratna bersama lelaki lain, hatinya menjadi kosong. Tawar dan hambar.
Hmmm… Kalau tuan tak tahu nak pergi mana, tuan ikut saya jelah.” Ucap Marha dengan senyuman nipis terukir di bibirnya.
Amzar berpaling.
“Kau nak ke mana?” soal Amzar penuh tanda tanya.
“Adalah. Tapi sebelum tu tuan kena makan dulu. Tuan tak makan pun tengah hari tadi. Tuan ni suka sakit agaknya.” Balas Marha. Dia menjeling jam di dashboard yang bertukar ke angka dua.
“Bukan aku suka sakit tapi perut aku tak lapar…”
“Tak lapar pun tuan tetap kena makan. Tuan tu ada gastrik. Waktu makan kena jaga betul-betul. Lagipun kita kena makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang kan?” pintas Marha menghentikan bicara Amzar.
Amzar mencebikkan bibir. Tewas dengan kata-kata Marha.
“Yelah, yelah. Kau menang. Tapi macam mana aku nak makan? Aku tak nak makan guna tangan kiri.” Ujar Amzar sambil memandang tangannya yang masih berbalut. Rasa sakit semakin pudar cuma saat dia menggerakkan tangan, lengannya pasti terasa ngilu.
“Ya, saya tahu. Dah jadi tugas saya suapkan tuan kan?” soal Marha sekadar bergurau. Dia mengerling ke sisi. Cuba mengintai reaksi Amzar.
“Papa bayar kau kan? Jadi kau kenalah buat kerja kau.” Balas Amzar tidak mahu mengalah.
“Ya, saya tahu. Nanti bolehlah saya minta bayaran lebih dengan papa sebab tuan tak nak dengar cakap saya. Tuan cerewet lebih. Tuan suka cari pasal dengan saya. Jadi, saya kena claim lebih.”
Claim lebih? Claim untuk apa?” soal Amzar dengan mata yang membulat.
Claim untuk hati dan perasaan saya. Hati saya sakit, siapa yang nak rawat? Jadi saya kena claim lebih.” Jawab Marha selamba.
Amzar melongo. Terkebil-kebil dia memandang Marha.
“Kau ni memang mata duitan.”
“Semua benda perlukan duit sekarang ni, tuan. Tuan pernah cakap saya setuju untuk kahwin dengan tuan sebab duit kan? Betullah tu. Jadi, tuan kena dengar cakap saya kalau tuan tak nak duit papa habis saya kikis.” Balas Marha bersahaja.
Amzar menggeleng kecil.
“Selama ni kau tipu mamalah? Berpura-pura baik depan mama. Pandai kau kan?”
Marha ketawa kecil.
“Nak hidup kenalah pandai, tuan. Tuan tahu saya ni bukan perempuan baik jadi saya rasa ada baiknya tuan lepaskan saya nanti. Tak perlulah tuan nak gantung ke apa ke. Kita selesaikan secara baik, ya?” pinta Marha tiba-tiba.
Amzar berjeda. Dia mengulum senyum. Dia tersedar akan sesuatu. Dia yakin kata-kata Marha sebentar tadi sekadar ingin memprovokasi dirinya agar bersetuju untuk memutuskan ikatan mereka. Dia ingat aku bodoh agaknya? Detik hati Amzar.
“Sepatutnya dari dulu kau fikir masak-masak sebelum masuk dalam kehidupan aku. Kau dah terperangkap sekarang. Memang aku bencikan kau. Memang aku menyampah dengan kau. Tapi aku takkan lepaskan kau. Gunalah apa cara sekali pun, kau takkan terlepas.” Balas Amzar penuh yakin.
Marha mengeluh berat. Dia menghentikan kereta di hadapan Taman Gelora. Dia berkalih ke arah Amzar.
“Tapi kenapa tuan? Tuan bencikan saya sepatutnya tuan lepaskan saya.”
Amzar hanya menjogketkan bahu sebagai jawapan.
“Tak semua soalan ada jawapan.” Balas Amzar selamba.
Pandangannya mula ditebar ke sekeliling. Mula menyedari di mana mereka berada.
“Kenapa datang sini?” soal Amzar pelik.
“Oh, datang nak makanlah. Nak makan dekat restoran, nanti tuan malu pula kalau saya yang suapkan. Biar saya bungkus makanan kat sini, lepas tu kita makan dekat tepi tasik tu.” Terang Marha.
“Makan tepi tasik?” soal Amzar pelik. Keningnya yang lebat mula bertaut.
Marha tersenyum dan menganggukkan kepala.


AMZAR resah menantikan Marha yang tidak kunjung tiba sedangkan saat ini dia duduk bersendirian di tepi tasik. Angin yang bertiup lembut memberi ketenangan kepada Amzar. Dia rasa nyaman.
Dia kembali duduk di bangku sambil matanya ditebarkan ke tengah tasik. Kelihatan beberapa ekor ikan timbul di permukaan. Amzar tersenyum sendiri.
Dia tidak menyangka hidupnya berubah sampai begini sekali. Kehadiran Marha sebagai isterinya tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Bagi Amzar, Marha Cuma gadis yang hadir semata-mata untuk merosakkan masa depannya. Kebencian terhadap gadis itu memang tidak berbelah bahagi. Namun, setelah beberapa hari tinggal bersama gadis itu, Amzar dapat merasakan gadis itu bukan seteruk yang disangkakan. Cuma hatinya masih keras untuk menerima kehadiran Marha.
Amzar memandang lengannya yang masih lagi terikat di leher. Disebabkan kemalangan itu, semua kerjanya bergantung kepada Marha. Sememangnya Marha pekerja yang rajin dan komited cuma kebenaran itu hanya diakui di dalam hatinya saja.
Perlahan-lahan Amzar meleraikan ikatan kain yang terikat di lehernya. Dahinya berkerut menahan rasa nyilu. Namun, itu bukan alasan untuk dia memanjakan diri. Kain yang membaluti lengannya turut dileraikan.
“Apa yang tuan buat ni?” tegur Marha lalu berlari-lari anak mendapatkan Amzar yang duduk bersendirian di gazebo.
Amzar berpaling. Perbuatannya terhenti. Wajah Marha yang kerisauan mencuit hatinya.
“Tuan nak buat apa ni? Tangan tuan tak sembuh lagi kan?” soal Marha risau. Dia meletakkan bungkusan makanan dan air di tengah bangku. Dia memandang wajah Amzar dengan lama. Dia inginkan jawapan.
“Aku cuma nak gerakkan tangan ni. Kalau asyik terikat dan berbalut macam ni, bila nak sembuh? Banyak lagi kerja aku yang tertangguh.” Jelas Amzar.
Marha melepaskan nafas dengan lembut.
“Tuan, sakit yang Allah berikan tu kan untuk menghapus dosa-dosa kecil kita. Allah bagi sakit tu bermakna, Dia nak bagi tuan rehat daripada kerja-kerja tuan yang banyak. Sabarlah sikit, ya?”  ujar Marha seakan memujuk.
“Aku tahu. Tapi sekurang-kurangnya aku kena usaha untuk sembuh bukan tunggu tangan ni baik dengan sendiri. Dekat pejabat tu, berlambak lagi kerja yang aku kena semak. Banyak meeting yang terpaksa cancel. Stress kau tahu tak?”
Marha menahan diri daripada ketawa apabila mendengar Amzar membebel. Dia tunduk seketika sebelum kembali mendongak.
“Pasal meeting, pasal kerja ofis, papa dan lantik Encik Omar selaku pengganti tuan buat sementara waktu. Segala meeting atau urusan yang Encik Omar buat, dia dah maklumkan pada saya jadi tuan jangan risau. Papa nak tuan rehat betul-betul.” Balas Marha cuba menenangkan Amzar.
Amzar terdiam seketika. Penjelasan Marha sedikit sebanyak memberi kelegaan dalam hatinya. Dia melepaskan nafas perlahan.
“Sekarang, tuan kena pakai kain ni semula. Tuan tak boleh tanggalkan kain ni sebelum doktor yang tanggalkan.” Tegas Marha.
Dia mencapai kain tersebut daripada pegangan Amzar. Dengan selamba dia menarik tangan Amzar dengan perlahan. Kain tersebut kembali diikatkan ke leher Amzar.
Amzar menahan perasaannya saat tubuh Marha menghampiri. Dia tertelan air liur. Jantungnya mula berlari pantas.
“Okey, dah siap.” Ucap Marha kemudian memandang Amzar yang hanya mendiamkan diri. Mereka berpandangan seketika.
Errr… Ni makanan untuk tuan. Saya ada belikan rojak. Rojak kat sini sedap tau. Tuan cubalah dulu.” Sambung Marha setelah Amzar hanya membatukan diri.
Marha membuka bekas plastik lalu ditunjukkan kepada Amzar. Kemudian kuah rojak diletakkan ke dalam bekas plastik yang berisi mi.
Amzar hanya memerhatikan tingkah Marha dengan penuh minat. Wajah Marha direnung lama. Dari kening Marha yang lebat kemudian jatuh ke bola mata Marha yang bundar. Anak mata itu kelihatan bersinar saat bibir gadis itu tersenyum. Tanpa sedar bibir Amzar turut mengukir senyum.
“Aku nak…” ucap Amzar tiba-tiba.
“Hah? Tuan nak apa?” soal Marha dengan mata yang membulat. Terkebil-kebil dia memandang Amzar.
Amzar menundukkan kepala seketika. Dia cuba menyembunyikan tawanya. Hidungnya digosok kemudian dia kembali mendongak.
“Nak rojak tulah. Aku lapar ni. Habis tu kau ingat aku nak apa?” soal Amzar kemudiannya.
Marha tersengih malu. Wajahnya berubah rona. Dia menggeleng kecil. Dia tidak keruan apatah lagi saat ini Amzar asyik memerhati setiap tindak-tanduknya.  Lalu, sudu yang berisi mi disuakan ke mulut Amzar dengan tangan yang sedikit menggigil.
Amzar membuka mulut sambil matanya tidak lepas daripada menatap wajah Marha. Dia tahu gadis itu sedang berperang dengan perasaan sendiri. Namun Amzar tidak peduli, dia ingin terus mengusik. Reaksi Marha yang tersipu malu mencuit hatinya.
Marha terus menyuap Amzar walaupun saat ini wajahnya terasa hangat. Renungan anak mata coklat cair itu seakan tembus hingga ke jantungnya. Dia tahu renungan itu tidak membawa sebarang makna tetapi sudah sikap semula jadinya, dia malu apabila ditenung seperti itu.
“Kenapa tuan pandang saya macam tu? Saya ada buat salah ke?” soal Marha akhirnya.
“Nak pandang pun tak boleh ke?” soalan dibalas soalan oleh Amzar. Dia masih setia menatap wajah Marha. Seolah-olah seraut wajah itu tidak jemu dipandang.
“Bukan tak boleh masalahnya tak selesa.” Gumam Marha. Hanya dia yang mendengar.
Dahi Amzar berkerut.
“Kau cakap apa?”
“Tak ada apa-apa. Tuan habiskan rojak ni. Sikit aje lagi.” Balas Marha sekali gus mengubah topik perbualan mereka.
“Kau tak makan sekali?” soal Amzar sekadar basa basi.
Marha tersenyum. Pandangan Amzar dibalas lembut.
“Saya dah makan sebelum keluar tadi. Tuan makanlah.” Jawab Marha.
Dia kembali menyuap rojak mi ke mulut Amzar. Saat ini dia terlupa bahawa lelaki di hadapannya kini, sangat membenci dirinya. Dia melayan Amzar seolah-olah tiada sengketa di antara mereka.
“Eh, sekejap. Comot pulak mulut tuan ni.” Sambung Marha.
Lalu, dia mencapai tisu kemudian pinggir bibir Amzar yang tercalit kuah rojak disapu dengan lembut sehingga bersih.
Hati Amzar berdetak lagi. Butir bicara Marha yang seterusnya tidak kedengaran jelas di telinganya. Layanan Marha yang lembut benar-benar menyejukkan hatinya saat ini. Senyuman gadis itu yang manis berjaya melemahkan jiwanya. Tanpa sedar, Amzar terpukau!
“Okey, tuan pun dah siap makan, jomlah kita gerak.” Ajak Marha seakan tidak mengerti Amzar yang sedang bergelut dengan perasaannya sendiri. Dia bangun setelah selesai mengemas tempat duduk mereka.
“Nanti dulu…” halang Amzar lantas menarik pergelangan tangan Marha dengan lembut.
Langkah Marha terbejat. Dia hanya memandang Amzar dengan mata yang terkebil-kebil. Lelaki itu kelihatan gelisah.
“Kenapa tuan?” soal Marha pelik. Anak matanya memandang pergelangan tangannya yang berada dalam pegangan tangan Amzar sebelum kembali memandang wajah Amzar.
Amzar melangkah setapak menghampiri Marha. Dia menjilat bibir yang terasa kering. Dia ingin mengatakan sesuatu namun kata-kata itu seakan tersekat di kerongkongnya.
“Tuan, kenapa ni? Tuan lapar lagi?” sambung Marha setelah Amzar hanya mendiamkan diri.
Amzar menggeleng dengan pantas. Dia hanya merenung wajah Marha dengan lama.
“Dah tu kenapa? Kalau tak ada apa-apa, jomlah kita gerak sekarang nanti…”
Belum sempat Marha menghabiskan bicara, Amzar melepaskan pegangan di pergelangan tangan Marha. Tangan kirinya diangkat kemudian menyentuh pipi Marha!
Marha terkaku dengan jantung yang mula berdetak kencang.
“Tuan?”
Marha ingin mengatakan sesuatu tetapi Amzar bertindak terlebih dahulu. Pipi Marha dikucup lembut!
“Terima kasih.” Bisiknya rapat di telinga Marha.
Sedangkan saat ini Marha tergamam dengan mata yang terbeliak. Tubuhnya menjadi kaku serta-merta. Jantungnya pula seakan ingin meletup! Apa yang Tuan Am buat ni?! Jerit hari Marha.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.