Tetamu Rindu

Sunday 9 September 2018

RINDU DALAM RAHSIA (Rindu Dalam Sepi remake) - BAB 21

APA aku dah buat ni?” soal Amzar sambil menghantuk lembut kepalanya di dashboard. Saat ini dia bersendirian di dalam kereta. Marha menghilangkan diri ke tandas. Mungkin malu dengan kejadian tadi.
Sesungguhnya saat ini Amzar turut malu. Entah apa yang merasuknya untuk bertindak sedemikian, Amzar pun kurang pasti. Mungkin disebabkan sikap Marha yang comel membuatkan dia hilang pertimbangan.
“Kau dah gila ke, Am? Kau lupa ke siapa perempuan tu?” soal Amzar kepada dirinya sendiri. Dia terus menghantukkan kepalanya ke dashboard.
Satu keluhan dilepaskan. Menyesali tindakannya sebentar tadi. Amzar kembali menyandarkan kepalanya di tempat duduk. Dia resah sendiri.
Tidak lama selepas itu, Marha muncul sambil menarik pintu kereta. Amzar membetulkan duduk. Dadanya kembali diserang debaran tetapi dia berlagak selamba. Dia hanya tegak memandang ke hadapan. Tiada patah perkataan pun yang terbit daripada mulutnya.
“Kita gerak sekaranglah.” Ujar Marha memecah kesunyian di antara mereka berdua.
Hmmm...” balas Amzar sekadar bergumam.
Marha hanya mengangkat bahu. Malas berkata panjang, akhirnya dia menghidupkan enjin dan meninggalkan kawasan rekreasi itu. Sebolehnya, Marha cuba melupakan apa yang berlaku sebentar tadi. Betapa hangat wajahnya menahan malu atas perlakuan Amzar. Nasibnya baik apabila tiada orang di kawasan sekitar yang melihat kejadian itu. Kalau tidak, pasti dia bertambah malu.
“Kita nak pergi mana ni?” Amzar bersuara.
Tiada jawapan. Amzar berpaling ke sisi. Kelihatan Marha larut dalam dunianya sendiri.
“Marha!” panggil Amzar kuat.
“Apa tuan?” soal Marha tersentak. Dia menoleh sejenak ke arah Amzar sebelum matanya kembali tegak memandang ke hadapan.
“Kau boleh termenung masa drive? Bahayalah.” Tekan Amzar.
Marha hanya tersengih.
“Maaf, tuan. Tak sengaja. Tuan tanya apa tadi?” soal Marha lagi.
“Aku tanya kita nak ke mana ni? Ni bukan jalan balik ke rumah.”
Marha tersenyum nipis.
“Tadi tuan cakap, tak kisah pergi mana-mana asalkan tuan boleh hilangkan bosan kan? Jadi saya nak bawak tuan ke tempat yang tak bosan.” Jawab Marha.
“Yelah, tapi kat mana?” soal Amzar tidak sabar.
“Adalah.”
Amzar hanya mengeluh mendengar jawapan Marha. Tempat apalah yang nak dirahsiakan sangat tu? Bebel hatinya.


KENAPA kau bawa aku ke sini?” soal Amzar pelik apabila Marha menghentikan keretanya di hadapan Rumah Anak-Anak Yatim Baitul Husna.
Marha berpaling. Sedikit cuak dengan nada suara Amzar.
“Saja. Tuan cakap tak tahu nak pergi mana, jadi saya bawa tuan ke sini. Selalunya, waktu cuti saya datang ke sini. Tapi kalau tuan tak suka, saya boleh hantar tuan balik.” Ujar Marha lambat-lambat.
Amzar menahan senyum. Gadis itu memang cepat gelabah jika digertak. Sedangkan dia tidal bermaksud apa-apa.
“Aku tak cakap pun, aku tak suka. Dahlah jom keluar. Aku pun selalu juga datang dengan mama bila ada masa.” Jawab Amzar kemudian menolak pintu kereta.
Marha melepaskan nafas lega. Dia tersenyum sendirian. Amzar selalu datang ke sini? Tapi kenapa aku tak pernah jumpa dia pun? Detik hatinya. Lantas, Marha turut melangkah keluar dari perut kereta.
“Tuan selalu datang sini? Kenapa saya tak pernah jumpa tuan pun?” Soal Marha lantas mempercepatkan langkah untuk menyaingi Amzar yang sudah sampai di halaman rumah.
“Dah tak ada jodoh nak jumpa, nak buat macam mana? Asyik tengok muka kau je, jemu juga aku.” Balas Amzar bersahaja.
Marha mengetap bibir. Dia mengecil matanya memandang Amzar. Mamat ni kan, memang tak pernah tak sakitkan hati aku. Ingat aku nak jumpa dia hari-hari agaknya. Bebel hati Marha.
“Jadi, kita kena kahwin ni, sebab jodohlah ya?” balas Marha tidak mahu mengalah. Dia tersenyum sinis.
Senyuman Amzar mati dengan sendirinya. Satu jelingan dihadiahkan kepada Marha.
“Perkahwinan kita ni satu kesilapan.” Balas Amzar.
Marha tersentak. Hatinya bagai direntap dek kata-kata Amzar walaupun lelaki itu tidak menggunakan kata-kata yang kasar. Kesilapan? Hati Marha menyoal. Dia mula tersedar. Ya, dia dan Amzar tidak seharusnya bersatu.
“Kenapa kau diam? Dahlah, jom masuk.” Ajak Amzar setelah Marha hanya mendiamkan diri.
Marha hanya menurut tanpa sebarang kata. Dia membuntuti langkah Amzar dari belakang.
“Eh, Am…” tegur Umi Zaira sewaktu melihat figura Amzar yang berdiri di halaman rumah.
Amzar tersenyum manis. Dia mendapatkan Umi Zaira diikuti oleh Marha.
“Eh, Marha pun ada? Macam mana boleh datang sekali ni?” soal Umi Zaira sambil mencari raut wajah Marha yang terlindung daripada susuk tubuh Amzar yang tegap.
Errr…”
“Mar kerja dengan Tuan Am, umi. Sekarang Tuan Am sakit jadi sebagai setiausaha Mar kena jaga dia. Tuan Am tak tahu nak buat apa, jadi Mar heret datang sini.” Jelas Marha laju.
Umi Zaira mendengar dengan penuh minat. Dia menutup mulut kerana terkejut.
Laaa… kamu berdua kerja sekali? Kecilnya dunia. Am, Am nak tahu tak Mar ni selalu datang sini dengan kawan dia. Qis dan Yusuf sebagai sukarelawan. Umi tak sangka yang kamu berdua ni satu tempat kerja.” Ujar Umi Zaira sambil memandang Marha dan Amzar silih berganti.
Marha tersenyum hambar.
“Mar pun baru tahu yang Tuan Am selalu juga datang sini. Selalu umi cerita pasal ma… opsss.. Selalu umi cerita pasal datin je.” Balas Marha sambil menekup mulut. Hampir saja dia tersasul.
Amzar menjengilkan mata. Dia bimbang jika Umi Zaira tahu tentang pernikahan mereka. Dia masih belum bersedia.
“Am ni bukannya dapat datang selalu, Mar. Kadang-kadang setahun sekali baru nampak batang hidung dia ni.” Balas Umi Zaira sambil mengerling Amzar yang mula tersengih.
“Maaf, umi. Am sibuk. Tak sempat langsung nak singgah.” Sampuk Amzar dengan riak bersalah tergambar jelas di wajahnya.
Umi Zaira tersenyum ramah.
“Tak apa, umi faham. Orang bisnes macam kamu ni, masanya terhad. Jadi jangan rasa bersalah, ya. Jemputlah masuk dulu. Anak-anak ada kat dalam tengah siapkan kerja sekolah.” Ujar Umi Zaira mempelawa Amzar dan Marha masuk.
Sempat lagi Umi Zaira mengerling tangan Amzar yang berbalut.
“Kenapa dengan tangan Am tu? Seliuh ke?” soal Umi Zaira risau.
“Haah, umi. Am excident hari tu. Terseliuh sikit je. Tapi dah nak baik dah ni. Rasa sakit pun dah kurang.” Jawab Amzar sopan.
“Lain kali hati-hati. Tangan kamu ni kena urut jugak. Tapi siapa nak urut kan, mama, papa dan adik-adik kamu semua pergi umrah. Tulah, umi suruh kamu kahwin, tak nak. Ada juga yang boleh temankan kamu.” Ujar Umi Zaira tiba-tiba.
Amzar tersentak. Dia berpandangan dengan Marha sebelum terbatuk kecil. Dengan pantas, Marha melarikan pandangan ke tempat lain.
“Tak apa, umi. Am dah ada setiausaha, biarlah dia yang jaga.” Jawab Amzar. Dia tersengih.
“Hesy, kamu ni. Setiausaha tu tugasnya kat ofis je. Kat rumah siapa pula nak jaga kamu? Kalau Mar ni jumpa pasangan dia, dia dah tak boleh jaga kamu dah.” Umi Zaira masih belum berhenti menyakat.
“Haah, tuan. Betul cakap umi, kalau saya jumpa jodoh saya, saya dah tak boleh jaga tuan macam ni dah.” Sampuk Marha dengan kening sengaja diangkat-angkat.
Amzar mengecilkan matanya. Dia mengetap bibir tanda geram.
“Dahlah umi cakap pasal jodoh. Am boleh jaga diri Am lagi. Apa guna ada setiausaha kalau tak boleh tolong bos kan?” balas Amzar tidak mahu mengalah.
Umi Zaira hanya ketawa kecil dengan reaksi Amzar dan Marha.
“Yalah, jom kita jumpa anak-anak.” Ajak Umi Zaira lantas berjalan meninggalkan Amzar dan Marha di belakang.
Marha mula menapak untuk mengikuti langkah Umi Zaira, namun Amzar dengan pantas menyambar pergelangan tangan Marha. Langkah Marha terbejat.
“Apa ni tuan?” soal Marha dengan suara yang dikeraskan. Dia cuba melepaskan tangannya daripada genggaman tangan Amzar.
Amzar tidak peduli sebaliknya tangan Marha ditarik agar menghampirinya.
“Hentikanlah angan-angan kau untuk hidup bahagia. Aku takkan benarkan kau hidup bahagia dengan aku apatah lagi orang lain.” Bisik Amzar tegas.
Marha mendengus. Tangannya direntap kuat. Pegangan terlerai. Anak matanya tepat menikam bola mata Amzar. Dia tersenyum sinis.
“Saya takkan mengalah demi kebahagiaan saya dan saya akan pastikan tuan bukan kebahagiaan yang saya cari.” Jawab Marha berani.
Dia berpaling dan meninggalkan Amzar di belakang. Amzar mengetap bibir. Bicara Marha seolah-olah mencabarnya.
“Aku nak tengok juga macam mana kau lepaskan diri kau dari aku. Apa yang pasti, kau takkan berjaya Marha.” Ucap Amzar sendirian.
Kemudian, dia turut melangkah ke ruang tamu. Jelas di telinganya bunyi riuh kanak-kanak menyambut kedatangan Marha. Dia melangkah masuk ke dalam rumah.
“Assalamualaikum…” salam dihulurkan dengan tertib.
Semua mata memandang ke arahnya.
“Abang Am!” jerit beberapa orang kanak-kanak serentak. Mereka meluru ke arah Amzar dan memeluk pinggang Amzar. Hanya beberapa orang kanak-kanak perempuan yang memegang tangan Marha.
Marha terkedu melihat pemandangan itu. Sungguh, sejuk hatinya melihat Amzar yang ramah melayani kerenah kanak-kanak yang sibuk bertanya itu dan ini. Marha memandang Umi Zaira.
“Budak-budak ni kenal Tuan Am, umi?” soal Marha ingin tahu.
Umi Zaira mengangguk laju.
“Bukan setakat kenal, tapi Am ni dah macam abang dia orang. Am memang jarang datang, tapi bila dia datang, dia akan habiskan masanya sehari suntuk dekat sini. Sebab itulah dia rapat dengan budak-budak.” Terang Umi Zaira.
Marha hanya mendengar. Dia tidak menyangka, orang sebengis Amzar mempunyai aura kebapaan yang kuat. Suaranya cukup lembut saat berbicara dengan kanak-kanak itu. Malah, anak matanya yang coklat cair turut bersinar saat dia tersenyum dengan penuh ikhlas.
Lamunan Marha terhenti apabila dirasakan bajunya ditarik. Marha memandang ke bawah. Kelihatan Syifa sedang memandang wajahnya dengan riak yang sukar ditafsirkan oleh Marha. Dahi Marha berkerut.
“Kenapa Syifa?” soalnya pendek.
Girlfriend abang tu kan yang marah Syifa? Syifa ingat lagi. Syifa takut.” Ujar Syifa dengan dahi yang sudah dibasahi peluh.
Marha kehilangan kata buat seketika. Dia tidal menyangka Syifa masih mengingati kejadian itu. Dia memanndang Umi Zaira.
“Syifa tak kenal Tuan Am ke, umi?” soal Marha pelik.
Dahi Umi Zaira turut berkerut mendengar soalan Marha. Dia memandang Marha dan Syifa silih berganti.
“Umi rasa tak. Syifa baru masuk ke sini. Am pula dah lama tak datang. Umi rasa Syifa tak kenal Am.” Jawab Umi Zaira sambil mengusap kepala Syifa.
“Oh patutlah, dia takut dengan Tuan Am.” Jawab Marha.
“Kenapa ni?” tegur Amzar lantas menghampiri Marha dan Syifa.
Sepantas kilat Syifa bersembunyi di belakang Marha. Dia memeluk kemas kaki Marha. Dia takut.
“Syifa ni takut dengan tuan. Cik Ratna pernah marah dia dulu, tuan ingat tak?” soal Marha cuba mengembalikan ingatan Amzar tentang kejadian dahulu.
Amzar terdiam. Cuba mengingati sesuatu. Wajah Ratna mula tergambar di fikiran. Kejadian dia pusat membeli belah beberapa bulan yang lepas, kembali terlayar di minda. Amzar menggigit bibir. Dia menundukkan tubuhnya menyaingi ketinggian Syifa.
“Syifa masih ingat abang? Abang minta maaf pasal hari tu. Kawan abang berkasar dengan Syifa ya? Abang minta maaf tau. Nanti abang marahkan kawan abang tu. Syifa jangan risau. Dia takkan berani kacau Syifa lagi. Nanti abang belanja Syifa ais krim yang sama macam hari tu. Nak tak?” soal Amzar lembut memujuk. Dia tersenyum manis.
Syifa mula tenang. Cuma matanya saja yang terkebil-kebil memandang Amzar yang tersenyum manis. Lelaki kacak di hadapannya ini nampak ikhlas dengan tuturnya.
“Abang minta maaf. Kita kawan?” ucap Amzar lantas menghulurkan tangan kirinya untuk bersalam. Senyuman di bibirnya tetap mekar.
Marha pula yang terkesima melihat senyuman Amzar yang manis. Sesungguhnya, lelaki itu memiliki wajah yang sempurna saat dia tersenyum seperti itu. Hati Marha bergetar halus.
Syifa masih lagi berbelah bahagi. Tidak dapat tidak, dia menyambut huluran tangan Amzar. Rasa takut hilang dengan sendirinya.
“Syifa dah tak takut dengan Abang Am?” soal Umi Zaira sambil tersenyum.
Syifa mendongak membalas pandangan Umi Zaira. Dia menggeleng laju.
“Syifa dah tak takut sebab Abang Am handsome.” Jawab Syifa selamba. Dia tersengih lebar.
Umi Zaira membulatkan mata. Dia berpandangan dengan Marha. Serentak, tawa mereka terburai. Amzar turut ketawa sambil pandangannya terarah kepada Marha. Hatinya terasa lapang. Tawanya sudah terhenti namun bibirnya tetap mengukir senyum.


MARHA mendekati Amzar yang sedang duduk bersendirian dia buaian di bawah pokok mangga. Lelaki itu kelihatan sedang melayam perasaan. Marha tersenyum sendirian.
“Assalamualaikum, jauh betul tuan termenung. Rindukan Cik Ratna ke?” gurau Marha sambil menghulurkan sebotol air mineral kepada Amzar.
Amzar hanya mencebikkan bibir. Salam Marha dijawab perlahan. Huluran Marha bersambut.
“Kau dah siap ajar budak-budak tu ke?” soal Amzar tanpa menjawab soalan Marha.
Marha hanya menganggukkan kepala. Dia menguis pasir yang berada di bawah kaki.
“Saya cuma tengok dia orang siapkan kerja sekolah je. Nak ajar lebih-lebih silibus budak-budak sekarang tak sama macam dulu.” Jawab Marha.
Amzar mengangguk perlahan. Mengiakan kata-kata Marha. Dia mendongak memandang Marha yang masih berdiri.
“Yang berdiri macam tiang bendera tu, kenapa? Duduklah.” Arah Amzar lantas mengesotkan punggungnya ke kiri bagi memberi ruang untuk Marha duduk.
Marha tersengih. Tanpa bertangguh dia melabuhkan punggung di sebelah Amzar dengan jarak yang jauh.
“Tuan suka budak-budak?” soal Marha sekadar untuk memulakan perbualan. Tidak betah apabila suasana menjadi sunyi sepi di antara mereka berdua.
“Budak-budak yang suka aku.” Jawab Amzar bangga.
Marha mencebikkan bibir. Satu jelingan dihadiahkan buat Amzar.
“Eleh, berlagak.”
Amzar mengulum senyum. Penutup botol air mineral dibuka sebelum air tersebut diteguk.
“Dah lama kau buat kerja sukarelawan kat rumah ni?” soal Amzar ingin tahu.
“Lama tak lama juga. Seingat saya masa tahun akhir dekat kolej, saya ada join aktiviti amal ni. Masa tulah saya jumpa rumah ni. Lepas habis belajar, saya terus jadi sukarelawan kat sini. Saya ajaklah kawan saya dengan Yusuf join sampailah sekarang.” Jawab Marha dengan senyuman.
“Patutlah budak-budak rapat dengan kau.”
“Tuan tahu tak, masa first time saya datang sini, rumah ni baru aje buka. Budak-budak pun tak ramai tapi tetap seronok tengok dia orang gelak ketawa. Tapi masa saya nak balik, saya nampak kesedihan dalam mata budak-budak tu. Saya dapat rasa yang mereka sunyi. Sayu aje. Sebab tulah saya buat keputusan untuk jadi sukarelawan kat sini.” Terang Marha. Anak matanya dibiarkan terarah kepada sekumpulan anak-anak yang sedang bermain kejar mengejar. Riuh suara mereka kedengaran.
“Tapi betul, saya memang tak pernah tahu yang mama penyumbang dana terbesar untuk rumah ni. Saya pun terkejut masa jumpa mama malam tu. Rasa dunia ni kecil betul.” Sambung Marha apabila Amzar hanya mendiamkan diri.
“Kau ingat aku tak terkejut bila mama paksa aku kahwin dengan kau? Gila. Betul-betul kerja gila.” Ucap Amzar sambil menggelengkan kepalanya.
Marha terdiam. Dia menundukkan kepala. Ya, apa yang berlaku kepada mereka memang gila. Tidak pernah terlintas dalam fikiran Marha yang dia akan terikat dengan majikannya sendiri sekali gus terperangkap dalam hubungan yan tidak mempunyai sebarang makna.
“Saya tahu tuan tertekan. Saya tahu tuan marah. Saya pun tak setuju tapi saya terpaksa demi arwah ayah saya. Saya tak nak jadi anak yang tak kenang budi. Saya tak nak jadi anak yang malukan mak ayah tapi akhirnya, ayah meninggal disebabkan kecewa dengan saya. Saya tahu ayah terluka tapi saya tak dapat buat apa-apa…” ucap Marha dengan suara yang tertahan-tahan. Dia sebak.
Amzar melepaskan nafas pendek. Dia dapat mengesan akan perubahan suara Marha. Dia berpaling ke sisi. Sah. Gadis itu sedang menahan air mata daripada menitis.
“Aku tak rasa pun ayah kau kecewa dengan kau. Ya, mungkin dia terluka dengan apa yang terjadi tapi dia sempat tengok kau bertanggungjawab atas apa yang kau dah buat. Kalau dia kecewa, dia takkan restu perkahwinan kau. Sekarang ni dia dah pergi, kita tak tahu apa yang dia rasa. Cuma tugas kau sekarang, doakan dia. Insya-Allah dia akan tenang kat sana.” Balas Amzar berbaur nasihat.
Marha hanya mendiamkan diri. Bicara Amzar ada benarnya Cuma rasa rindu buat si ayah menjadikan jiwa Marha lemah tiba-tiba.
“Cuba kau tengok budak-budak tu?” sambung Amzar sambil menuding jari ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain. Ketawa riang mereka menggamatkan suasana.
Marha menurut. Pandangannya dihalakan ke arah yang ditunjukkan oleh Amzar. Dia menanti bicara daripada lelaki itu.
“Kau lebih beruntung sebab dapat hidup dengan arwah ayah kau lebih dari 20 tahun, tapi budak-budak tu? Dia orang sempat rasa kasih sayang cuma untuk beberapa tahun. Ada yang tak ada mak ayah dari kecil. Budak-budak yang kena buang tu, lagilah tak sempat nak tengok rupa mak ayah dia. Tapi dia orang tetap tersenyum. Tetap ketawa. Kau nak tahu kenapa? Sebab dia orang pandang masa depan. Dia orang tak pernah putus asa untuk hidup. Semangat tu yang kau kena ikut.” Ujar Amzar panjang.
Marha terdiam. Dia menganggukkan kepala tanda faham. Kata-kata Amzar yang lembut meresap terus ke hatinya. Dia berpaling ke sisi. Pada waktu yang sama, Amzar turur berpaling. Anak mata mereka bertentangan. Kali ini Marha tidak mengalih pandangan sebaliknya dia tersenyum mesra.
“Terima kasih…” ucap Marha lembut.
Amzar terkelu. Hanya matanya saja terkebil-kebil memandang Marha. Senyuman itu berjaya membuat hatinya berdenyut kembali. Dia menelan air liur berkali-kali.
Errr… No problem..” ucapnya tergagap-gagap. Lalu, pandangannya dihalakan ke tempat lain.
“Marha…” panggil Amzar kemudiannya.
“Ya..” jawab Marha pantas. Dia masih lagi setia memandang wajah Amzar yang kelihatan tidak keruan.
“Pasal dekat taman tadi tu… Aku… Kau… Errr…” Amzar tergagap-gagap. Entah mengapa insiden di taman tadi kembali berlegar di fikirannya. Dia malu sendiri dengan tindakannya. Walaupun agak sukar untuk dia menerangkan, tetapi dia perlu gagahkan diri untuk memberi penjelasan.
“Ohh, pasal dekat taman tu? Tuan tak payah risaulah. Saya akan anggap benda tu tak pernah terjadi. Lagipun tuan cakap perkahwinan kita ni satu kesilapan, jadi apa-apa yang berlaku antara kita semuanya salah. Saya cuma harap tuan takkan ulang kembali kesalahan tuan tu.” Pintas Marha pantas.
Dia berpaling ke tempat lain cuba meredakan debaran di dada saat mengungkapkan perkara tersebut. Dia cuba menyembunyikan wajahnya yang sudah berubah rona. Dia malu apabila Amzar membangkitkan soal itu.
Amzar terdiam. Dia ingin mengatakan sesuatu namun lidahnya kelu. Salah? Tak. Itu bukan satu kesalahan. Detik hatinya. Satu keluhan dilepaskan. Kecewa dan keliru membelenggu dirinya saat ini.







































No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.