Tetamu Rindu

Thursday 22 November 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 24

MARHA melepaskan nafas pendek. Dia duduk di atas lantai seketika. Penat. Penat apabila terpaksa melakukan kerja yang sama berulang kali. Ternyata Amzar memang benar-benar ingin membulinya. Ini merupakan kali ketiga dia menyusun fail tersebut mengikut susunan tetapi semuanya ditolak mentah-mentah oleh Amzar. Pelbagai alasan yang diberikan oleh lelaki itu.
Marha mengerling jam yang melilit pergelangan tangan. Lagi lima belas minit pukul satu. Dia mengeluh. Waktu rehat akan menjelma sedangkan saat ini dia masih terkurung di dalam bilik Amzar.
 Apa aku nak buat ni? Mustahil mamat ni hafal susunan semua fail-fail. Nak kemas meja pun tak sempat,  apatah lagi nak teliti susunan fail. Tak lain tak bukan,  nak buli akulah ni. Bebel hati Marha.
"Buatlah kerja. Kau termenung tu apahal?" sergah Amzar.
Marha tersentak. Pantas dia mendongak. Pandangan mereka bertembung. Marha menjeling manakala Amzar tayang wajah selamba.
"Masalahnya semua yang saya susun,  tak betul pada mata tuan. Saya nak susun macam mana lagi? Kalau susun ikut tarikh, inilah gayanya." ujar Marha seakan tidak berpuas hati.
Amzar mencebikkan bibir. Bahunya diangkat. Pen yang berada di tangan diletakkan kembali di atas meja. Tumpuan diberikan sepenuhnya kepada Marha.
"Entah. Mata aku tak berkenan sangat tengok cara kau susun tu. Jadi,  kau susunlah sampai aku berkenan." jawab Amzar bersahaja.
Marha merengus. Dia penat. Dahinya mula berpeluh walaupun bilik itu lengkap dengan pendingin hawa. Perutnya pula asyik berkeriut menahan lapar. Setitik air pun tidak singgah di kerongkongnya sejak dari pagi hinggalah sekarang. Semuanya gara-gara Amzar.
"Tuan bukan tak berkenan dengan kerja saya tapi tuan tak berkenan dengan saya!" tempelak Marha. Geram.
Amzar menjengilkan matanya. Dia bangun dan mula menghampiri Marha yang duduk di atas lantai.
"Kau nak proteslah ni?" soal Amzar dengan garang.
Marha tidak menjawab. Pandangannya dilarikan daripada menatap wajah Amzar. Tangannya mula bekerja tanpa mempedulikan Amzar yang duduk bertinggung di hadapannya.
Amzar bengang apabila Marha seolah-olah tidak mengendahkannya. Lantas, dagu Marha ditarik supaya menghadapnya. Marha tersentak. Pandangan mereka terus bersabung. Amzar terkelu bersama hati yang bergetar. Dia salah tingkah kali ini.
"Saya lapar..." ucap Marha perlahan. Secara tiba-tiba.
Amzar terkebil-kebil. Suara yang lembut itu sudah cukup untuk membuatkan tembok besi yang memagari hatinya cair melebur. Ditambah dengan mimik muka gadis itu yang kelihatan polos, menjadikan Amzar tidak sanggup untuk meninggikan suara. Akhirnya, dia hanya membatukan diri.
"Sekarang dah lunch time. Pagi tadi saya tak sempat sarapan. Boleh tak kalau tuan benarkan saya keluar makan sekejap? Saya bawa bekal jadi saya makan kat pantri je. Saya janji lepas makan, lepas solat saya sambung susun semula. Bolehlah ya?" pujuk Marha lagi.
 Berlembut merupakan cara terakhir untuk dia berhadapan dengan Amzar kerana dia dapat melihat cahaya kebencian yang dahulu memenuhi ruang mata lelaki itu kini sirna.
"Pukul dua masuk bilik aku semula..." ucap Amzar akhirnya.
Percaya atau tidak,  Amzar mengalah dengan senangnya. Ternyata, dia tewas dengan kelembutan yang gadis itu tunjukkan. Ditambah lagi dengan senyuman yang melebar di bibir merah itu, cukup menawan hati Amzar. Membuatkan dia tidak sanggup untuk berkata tidak.
Marha tersenyum manis sehingga kelihatan jelas lekuk di pipi kanannya.
"Terima kasih. Saya keluar dulu." ujar Marha riang. Sedikit pun dia tidak mempedulikan keadaan Amzar saat ini. Lalu,  Marha bangun. Cepat-cepat ia berlalu meninggalkan bilik Amzar. Bimbang lelaki itu menukar fikiran.
Manakala Amzar terduduk di atas lantai sebaik saja kelibat Marha hilang di sebalik pintu. Dia menyentuh dadanya.
Dup dap! Dub dap!
Debaran itu semakin kencang. Sekencang darah yang mengalir ke tubuhnya.
"Kau dah parah,  Am. Kau dah parah!" ucapnya sendirian. Dia mengeluh.
Saat kau bentak, kau maki,  kau marah, dia langsung tidak beriak. Malah, makin tenang. Tetapi kau... Dengan sekali senyuman, hati kau melebur. Apa sudah jadi dengan kau, Am? Detik hatinya bersama keluhan yang terlepas dari bibir.
Sementara itu,  pada waktu yang sama, Marha duduk bersendirian di pantri sambil menikmati bekalan yang dibawa dari rumah. Suasana pejabat yang sunyi sepi membuatkan Marha menikmati bekalannya dengan lebih berselera sementelah perutnya memang benar-benar lapar.
Sesekali otaknya berfikir tentang susunan fail yang perlu dia selesaikan sebentar lagi. Bagaimana agaknya susunan yang diinginkan oleh lelaki itu? Soal hatinya. Saat itu dia teringatkan Kak Izzah, mungkin wanita itu tahu sesuatu.
"Lebih baik aku tanya Kak Izzah. Harap-haraplah Kak Izzah boleh bantu." ucapnya sendirian.
Lantas, dia mencapai telefon bimbitnya dengan tangan kiri. Manakala tangan kanannya lincah menyuap nasi lemak ke mulut. Nombor telefon Kak Izzah didail. Selang beberapa saat, talian berjaya disambungkan.
"Assalamualaikum, kak. Sorry ganggu akak. Mesti akak tengah makan kan?" soal Marha berbasa-basi. Dia memperlahankan suaranya agar tidak terlalu kuat.
"Dah habis makan dah. Kenapa Mar? Tuan Am tak benarkan Mar keluar ke?" soal Kak Izzah cuba mengorek cerita. Salam Marha dijawab di dalam hati.
"Saya ada je dekat ofis ni. Tak sempat nak makan kat luar. Saya makan kat pantri je. Saya cuma nak tanya akak, akak tahu tak macam mana susunan sebenar fail-fail dalam bilik Tuan Am tu? Rasanya fail-fail tu bukan saya yang susun." balas Marha terus ke topik asal.
Kak Izzah membisu seketika. Hanya suara bergumam saja yang kedengaran.
"Kalau tak silap akak, secretary Tuan Am lama yang susun. Seingat akak dia pernah pesan kat akak sebelum Mar masuk pasal fail dalam bilik tu cuma akak lupa. Tapi akak rasa dia ada sebut pasal warna dan tarikh." jawab Kak Izzah.
Marha terdiam. Dia memikirkan sesuatu.
"Warna dan tarikh?" soal Marha lebih kepada dirinya sendiri.
"Haah,  akak cuma ingat warna dan tarikh je. Mungkin susun mengikut tarikh tapi dalam kelompok warna yang sama." balas Kak Izzah cuba membantu Marha.
Kata-kata Kak Izzah sudah cukup membuahkan senyuman di bibir Marha. Dia faham apa yang Kak Izzah cuba tunjukkan kepadanya.
"Saya dah dapat, kak. Terima kasih. Nanti saya belanja akak sebab dah tolong saya." ujar Marha dengan ceria.
"Apa-apa jelah,  Mar. Akak kena letak ni. Jumpa kat pejabat. Assalamualaikum." ucap Kak Izzah lalu mematikan talian setelah Marha menjawab salam.
"Yesss! Aku dah tahu formula." ucap Marha sambil menarik sikunya ke bawah.
"Amboi, yang suka sangat ni kenapa? Aku suruh kau makan bukan duduk bersenang-lenang." bunyi suara yang menegur mematikan senyuman manis Marha. Tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia cukup kenal dengan pemilik suara garau itu.
Dia mendongak. Kelihatan Amzar berdiri di hadapan meja yang sedang didudukinya sambil berpeluk tubuh.
"Saya tengah makanlah ni. Tuan tak keluar makan ke?" soal Marha sambil membetulkan duduk menghadap bekalannya.
Amzar menapak menghampiri Marha. Dengan selamba dia  menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan gadis itu.
"Aku ada meeting dengan papa kejap lagi. Alang-alang makan terus nanti." jawab Amzar. Dia membiarkan saja anak matanya berlabuh pada laman wajah Marha yang duduk berhadapan dengannya.
"Lambat sangat tu untuk tuan makan. Nanti kena gastrik pula. Makanlah sikit. Nanti saya ambilkan biskut, ya?" ujar Marha prihatin.
Dia bingkas bangun dan menuju ke kabinet untuk menyediakan makanan ringan untuk Amzar. Sebiji gelas dicapai lalu peti ais dibuka dan dia mengeluarkan sekotak susu coklat lalu dituangkan ke dalam gelas. Beberapa keping biskut kering diambil dari kabinet lalu diletakkan di atas piring. Dia berpaling dengan tangan berisi segelas susu coklat dan sepiring biskut kering.
"Ni..." belum sempat dia menghabiskan kata, Marha terlebih dahulu tergamam. Apa tidaknya, Amzar dengan selamba makan bekalan yang dibawanya tanpa rasa bersalah.
"Tuan!" bentak Marha dengan suara yang masih terkawal.
Amzar mendongak. Riaknya cukup bersahaja.
"Apa dia?" soalnya tanpa rasa bersalah.
"Tu makanan saya." jawab Marha lalu meletakkan piring dan gelas di atas meja.
"Aku tahu sebab tulah aku makan." jawabnya tenang. Satu demi satu nasi lemak disuapkan ke mulutnya. Sedap. Puji Amzar dalam hati.
Marha melongo. Dia hanya mampu memandang makanannya yang hanya tinggal separuh. Rasa ingin diluku kepala Amzar saat ini.
"Kenapa tuan makan?"
"Sebab benda ni makanan." jawab Amzar masih lagi selamba.
Marha mengetap bibir. Dia menghadiahkan jelingan.
"Saya tahulah. Tapi tu bekas saya makan..."
"Kenapa kalau bekas kau makan pun? Haram?" soal Amzar tepat memandang ke mata Marha.
Marha tertelan air liur. Cepat saja dia menundukkan pandangan. Dadanya berdebar dengan renungan itu.
"Taklah haram. Cuma tuan boleh oder makanan yang sedap-sedap dari kitchen kalau tuan nak. Saya segan." terang Marha.
Amzar tersenyum. Namun, apabila Marha mendongak, sepantas kilat dia mematikan senyuman.
"Nah,  ambillah semula. Aku nak rasa sikit pun,  kedekut." balas Amzar lalu menolak bekal tersebut ke hadapan Marha.
Marha terkedu. Bukan itu yang dia maksudkan. Dia cuma segan berkongsi sudu dan makanan yang sama dengan Amzar. Makanan yang dibawanya cuma makanan biasa. Pasti tidak kena dengan selera lelaki itu.
"Tuan, bukan itu maksud saya..." Marha mula serba salah.
Amzar mencebik. Dia mencapai gelas yang berisi air kosong lalu diteguk perlahan.
"Tuuu...an tu air saaya..." ucap Marha perlahan. Dia ingin menegah namun Amzar terlebih dahulu meneguk air tersebut sehingga habis.
"Pedasnya sambal ni. Berapa kilo kau letak cili?" soal Amzar sambil mengibas mulutnya yang terasa pijar.
Kata-kata Marha tidak sampai di pendengarannya. Perhatiannya lebih kepada rasa pedas yang tidak mahu hilang.
"Tulah, tuan tak tanya dulu. Sambal nasi lemak yang saya masak memang pedas sebab saya suka pedas." ujar Marha sambil tersengih. Dia kembali menyambung suapan.
Amzar mengecilkan mata. Geram dengan kata-kata Marha. Bibirnya terasa tebal saat ini. Perutnya mula memulas.
Suapan Marha terhenti dengan sendirinya apabila dia teringatkan sesuatu. Lantas dia mendongak memandang Amzar yang tiba-tiba mendiamkan diri. Jelas, wajah lelaki itu basah dengan peluh.
"Masya-Allah, saya terlupa yang tuan gastrik. Tuan tak boleh makan pedas. Mesti perut tuan sakit kan?" soal Marha cemas. Dia bangun lalu menghampiri Amzar.
Amzar hanya menganggukkan kepala tanpa berkata apa-apa.
"Apa saya nak buat ni? Maaf tuan. Saya terlupa." ujar Marha. Dia betul-betul terlupa tentang penyakit Amzar. Lalu, dia mencapai gelas yang berisi susu coklat lalu dihulurkan kepada Amzar.
Amzar menggelengkan kepala.
"Nanti aku muntah." balas Amzar pendek.
Marha mula gelisah. Dia tidak keruan. Dia tidak mahu sakit Amzar mengganggu kerja lelaki itu. Dia pernah menjadi saksi bagaimana seksanya Amzar saat gastrik menyerang.
"Kalau macam tu, jom saya bawa tuan ke klinik." ajak Marha. Dia ingin melangkah tetapi langkahnya terhenti sendiri.
"Lupa. Kereta saya rosak." ucapnya sendirian. Riaknya berubah kecewa.
Amzar hanya menahan tawa melihat Marha yang tidak senang duduk. Terpamer riak kerisauan di wajah gadis itu. Hatinya terasa senang. Amarah yang tersarang buat gadis itu sedari pagi tadi hilang begitu saja.
"Boleh tak kalau kau tenang sekejap. Yang sakitnya aku bukan kau." Ujar Amzar cuba menenangkan Marha.
"Tapi banyak meeting yang tuan kena attend hari ni. Kejap lagi tuan nak kena jumpa papa pula. Kalau tuan sakit, banyak kerja tuan yang tergendala." Balas Marha.
"Aku tahu. Tapi sakit aku bukan teruk sangat. Lepas makan ubat, okeylah ni." jawab Amzar.
"Ubat? Tuan ada bawa ubat? Mana? Biar saya ambilkan." ujar Marha. Dia sudah bersedia untuk mengatur langkah namun lengannya pantas dipaut oleh Amzar membuatkan langkahnya terhenti. Dia memandang tangan Amzar yang berada di lengannya dengan wajah Amzar silih berganti.
"Kan aku cakap tak payah risau. Jangan gelabah sangat, boleh tak? Hmmm..." suara Amzar bertukar perlahan. Dia memandang tepat ke anak mata Marha yang turut memandangnya.
"Yalah. Saya takkan gelabah. Cuma, boleh tak kalau tuan alihkan tangan tuan ni. Pantri ni ada CCTV, tuan tak takut ke kalau pekerja tuan nampak apa yang tuan buat ni?" ujar Marha sambil menunjukkan ke arah tangan Amzar yang masih melekap di lengannya.
"Oh ya? Tak apa, nanti aku minta staf alihkan CCTV ke bahagian lain." balas Amzar sambil tersengih.
Marha menjengilkan mata. Sedangkan Amzar ketawa kecil. Marha tertegun seketika melihat Amzar yang sedang tertawa. Rasanya, ini kali kedua dia melihat Amzar ketawa seikhlas itu. Hati Marha tercuit. Ketampanan lelaki itu makin bertambah apabila bibir itu melebarkan senyuman atau pun ketawa. Tanpa sedar,  Marha terpesona.
"Oh, kat sini rupanya Am. Puas papa tunggu kat bilik Am." tegur Dato Zuhdi mengejutkan Marha dan Amzar.
Keduanya berpaling. Pegangan di lengan Marha terlerai begitu saja. Pantas, Amzar bangun dari duduknya. Dia tersengih.
"Eh, papa dah sampai. Kenapa tak call? Boleh Am tunggu papa kat bawah." ujar Amzar sambil menggaru hujung keningnya yang tidak gatal.
Dato Zuhdi melepaskan nafas pendek.
"Call? Nanti Am check phone Am berapa kali papa call. Satu panggilan pun Am tak jawab. Am tertinggal phone dalam bilik kan?" soal Dato Zuhdi sambi mengecilkan matanya memandang Amzar.
"Eh,  ya ke?" soalnya. Lalu meraba kedua-dua poket seluarnya dan hasilnya memang tiada telefon di kedua-dua poket seluarnya.
Amzar tersengih malu.
"Itulah seronok sangat berdating sampai lupa ada meeting dengan papa." usik Dato Zuhdi sambil mengerling ke arah Marha.
Marha terpempan. Dia berpura-pura menyibukkan diri dengan mengemas meja.
"Papa ni ke situ pulak. Jomlah kita gerak." ajak Amzar lalu menarik tangan Dato Zuhdi.
"Alah, tak payah nak malulah. Bukan salah pun kamu berdua dating." tambah Dato Zuhdi semakin seronok mengusik apatah lagi penerimaan Amzar sekarang jauh lebih baik daripada dahulu.  Jelas, anak lelakinya itu semakin dapat menerima kenyataan yang sebenarnya walaupun masih berat untuk mengakui hubungan mereka berdua.
"Papa ni, kalau staf lain dengar apa kata mereka?" ucap Amzar sambil mencuri pandang pada Marha yang sudah berubah rona wajah. Merah. Malu mungkin. Fikir Amzar.
"Tak ada orang sekarang ni. Tak perlulah kamu takut sangat. Papa tahu hati kamu tu hati batu. Dahlah, jom gerak." Akhirnya Dato Zuhdi mengalah.
Amzar menarik nafas lega. Dia membiarkan Dato Zuhdi melangkah terlebih dahulu sedangkan dia masih berdiri berhadapan dengan Marha.
"Aku tak balik ofis hari ni. Kau settle kerja kau apa yang patut." Pesan Amzar sambil tepat memandang anak mata Marha yang bening.
Dato Zuhdi hanya memerhatikan telatah Amzar. Tatapan anak mata itu tidak lagi menunjukkan benci malah tatapan itu penuh dengan sinar. Adakah ini petanda baik? Bisik hati Dato Zuhdi.
"Tak sudah lagi ke, Am? Tadi suruh papa cepat, sekarang siapa yang lambat? Tak lari ke mana setiausaha kamu tu. Dia tahulah kerja dia. Kenapa kamu suruh dia buat benda yang dia dah tahu?" bebel Dato Zuhdi.
Amzar menundukkan kepalanya seketika. Merah wajahnya menahan malu.
"Yalah, papa. Am datang ni." ujar Amzar akhirnya.


MARHA mengerling jam yang berada di pergelangan tangan. Jarum jam suda menunjukkan ke angka lima petang namun bayang teksi atau bas masih belum kelihatan. Dia mengetap bibir. Salahnya juga apabila menolak pelawaan Rafiq,  terpaksalah dia menunggu sehingga bas atau teksi sampai.
Marha mengeluarkan telefon bimbitnya daripada beg. Dia mengeluh lagi apabila telefonnya kehabisan bateri. Kenapalah aku lupa caj semalam? Power bank pun aku tak bawa. Keluh Marha lagi. Menyesali kecuaian diri sendiri.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta jenis Mercedes Benz CLS Coupe berwarna hitam berhenti tepat di hadapan Marha. Marha kaget. Cepat-cepat dia berdiri.
Selang beberapa minit, kelihatan seorang lelaki keluar dari perut kereta dengan senyuman mekar di bibirnya. Marha mengeluh berat.  Dia lagi?
"You tunggu bas ke, Ainur?  Mana kereta you?" soal Datuk Hisyam sambil menapak ke arah Marha dengan tangan disembunyikan ke belakang.
"Rosak." Jawab Marha sepatah. Dia hanya melemparkan senyuman hambar.
"Rezeki I jumpa you kat sini. Tak pun jodoh." balas Datuk Hisyam sambil ketawa kecil. Ketawa yang cukup menjengkelkan Marha. Tolonglah balik datuk sebelum saya termuntah. Bisik hati Marha penuh doa.
"Tapi saya rasa dua-dua bukan." jawab Marha selamba. Dia memeluk tubuh sambil kepalanya tidak henti menjenguk jika ada teksi atau bas yang muncul. Namun, hampa.
Senyuman Datuk Hisyam mati dengan sendirinya. Dia memandang Marha dari atas hingga ke bawah. Entah mengapa sikap Marha yang jual mahal  menarik hatinya dalam diam apatah lagi wajah Marha yang ayu ditambah dengan senyuman yang manis, mampu untuk membuatkan jiwanya bergetar. Gadis itu tampak seksi di mata Datuk Hisyam walau tidak mendedahkan auratnya.
"You tahu tak, I tak sangka dapat jumpa you kat sini. I tawakal je datang ni hah. Nah,  untuk you..." ujar Datuk Hisyam lalu menghulurkan satu jambangan besar bunga ros berwarna merah kepada Marha.
Marha terkejut. Wajahnya mula berkerut. Pelik dengan pemberian Datuk Hisyam yang tiba-tiba.
"Untuk apa ni?" soal Marha tanpa menyambut huluran Datuk Hisyam.
"Untuk youlah.  You pernah cakap yang you takkan terima hadiah dari orang yang you tak kenal jadi hari ni I sendiri yang datang bagi kat you. Ambillah." terang Datuk Hisyam dengan senyuman manis kembali terhias di bibirnya.
Namun,  tidak bagi Marha. Dia tidak selesa apatah lagi saat ini dia hanya berdua dengan Datuk Hisyam.
"Jadi selama ni yang hantar bunga tanpa nama tu datuk? Tapi maaf datuk saya tetap tak boleh terima hadiah datuk. Saya tak suka bunga." tolak Marha dengan baik.
Wajah Datuk Hisyam berubah. Dia kecewa.
"Tak suka bunga atau you tak suka I,  Ainur? Kalau you tak suka bunga, you suka apa? You cakap je.  I boleh belikan. You nak rumah,  you nak kereta, I boleh belikan untuk you." ucap Datuk Hisyam tanpa berfikir panjang.
Marha membeliakkan mata. Biar betul orang tua ni? Sanggup nak beli rumah untuk aku? Nak jadi sugar daddy aku ke apa ni? Tak ingat anak bini ke?  Bebel hati Marha.
"Saya tak nak apa-apa pun daripada datuk. Saya cuma nak datuk balik je. Saya nak tunggu bas ni." jawab Marha selamba. Wajah Datuk Hisyam yang seakan merayu langsung tidak menimbulkan simpati dalam hatinya.
"Tapi I betul-betul ikhlas dengan you Ainur. Kalau you nak, I boleh ceraikan isteri-isteri I asalkan you terima I." ucap Datuk Hisyam lagi. Kali ini dia menghampiri Marha.
Marha kaget. Dia melangkah setapak ke belakang.
"Datuk jangan jadi gila. Saya ni bukan supermodel tak pun artis. Tak payahlah datuk fikir sejauh tu. Saya tak ada apa-apa perasaan pada datuk. Selama ni saya layan datuk dengan baik sebab datuk klien Tuan Amzar. Jadi saya harap datuk jangan salah faham." balas Marha cuba menerangkan letak duduk perkara sebenar.
"Tapi I betul-betul sukakan you, Ainur.." suara Datuk Hisyam separuh merayu. Dia cuba mendekati Marha lagi tetapi bunyi kereta yang berhenti di hadapan kereta Datuk Hisyam membantutkan perbuatan lelaki itu.
Mereka berdua berpaling. Kelihatan seorang lelaki melangkah keluar dari  Range Rover Evoque berwarna putih. Marha menarik nafas lega.
"Datuk, you buat apa kat sini? Rasanya waktu pejabat dah habis. Setahu I, kita tak ada apa-apa meeting minggu ni." Amzar bersuara. Sempat lagi dia mengerling bunga yang berada di tangan Datuk Hisyam.
Perlahan-lahan, dia mengambil tempat di hadapan Marha memaksa Marha untuk mengundurkan langkah dan berdiri betul-betul di belakang Amzar
"I nak jumpa Marha. I nampak dia tunggu bas jadi I berhentilah. Nak tumpangkan dia sekali." bohong Datuk Hisyam.
"Dengan bunga ni sekali?" soal Amzar dengan wajah yang serius.
Datuk Hisyam cuak. Lantas, bunga itu disembunyikan ke belakangnya.
"You pula buat apa kat sini?" soalan dibalas soalan oleh Datuk Hisyam. Dia tak boleh kalah dengan pemuda itu.
"Depan sana tu hotel I, jadi logiklah kalau I lalu kat sini. Lagipun Marha ni staf I, jadi I ada hak untuk tahu apa yang jadi pada dia." balas Amzar. Tegas.
Marha menghembuskan nafas lega. Sekurang-kurangnya dengan kedatangan Amzar, membuatkan dia rasa selamat. Kata-kata lelaki itu berjaya menghangatkan hatinya.
"Takpe I boleh hantarkan Ainur..." balas Datuk Hisyam tidak mahu mengalah.
Amzar mengetap bibir. Tiba-tiba hatinya panas dengan Datuk Hisyam yang tidak mahu mengalah.
"Marha, awak nak Datuk Hisyam hantarkan ke? Kalau macam tu, saya balik dululah." ucap Amzar lalu menoleh ke belakang sedikit.
Marha terkedu dengan pertanyaan Amzar. Pantas saja belakang baju Amzar ditarik lembut.  Dia membalas pandangan Amzar dengan kepala yang digeleng kecil.
"Tak apalah,  datuk. Terima kasih. Nanti kalau datin tahu, datuk juga yang susah. Saya tumpang Tuan Am jelah." Marha bersuara.
Amzar meleretkan senyuman. Dia menang.
"I gerak dulu ya datuk. Oh ya, kalau datuk nak jumpa mana-mana staf I lepas ni, tolong minta kebenaran I dulu. Staf I,  tanggungjawab I. Be professional, datuk." ucap Amzar lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Datuk Hisyam.
Datuk Hisyam mengetap bibir. Salam Amzar disambut dengan sambil lewa. Akhirnya, dia hanya mampu melihat Marha melangkah masuk ke dalam kereta milik Amzar dengan hati yang remuk rendam.
"Aku takkan kalah Ainur sampai kau jadi milik aku. Aku guna cara baik, kau tetap jual mahal, tak apa aku akan guna cara lain untuk dapatkan kau. Tak ada seorang perempuan pun boleh terlepas daripada aku." ucap Datuk Hisyam penuh tekad. Dia menghempaskan bunga tersebut ke tanah bagi melempiaskan rasa bengangnya.
Aku takkan lepaskan kau, Ainur. Takkan!



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.