Tetamu Rindu

Thursday 29 November 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 25

"DATUK tu nak apa dengan kau?" soal Amzar sebaik saja mereka berdua berada di dalam kereta meninggalkan Datuk Hisyam jauh dari pandangan.
Marha hanya mendiamkan diri. Dia tidak pasti sama ada Amzar percaya atau tidak dengan penjelasannya.
"Aku tanya ni, datuk tu nak apa dengan kau sampai bawa bunga bagai. Nak goda kau ke atau kau yang goda dia?" soal Amzar. Serkap jarang.
Marha tersenyum sumbing. Aku dah agak. Dia ni takkan percaya kalau aku ceritakan perkara sebenar. Dia tetap fikir aku yang jahat. Bisik hati Marha.
"Entah. Saya tak tahu datuk tu nak apa sebenarnya. Saya tak ambil kesah pun." Balas Marha akhirnya.
Amzar tersenyum sinis. Dia meneruskan pemanduan.
"Aku tak percaya kau tak kesah. Bukan kau lagi suka ke bila datuk tu terhegeh-hegeh dekat kau. Nanti kau bolehlah kikis duit dia." Sambung Amzar lagi. Cukup untuk membuatkan hati Marha terhiris pedih. Dia mengeluh.
"Tuan memang tak pernah fikir baik pasal saya kan? Baik. Terpulanglah tuan nak fikir apa pun. Tuan cakap saya suka kalau datuk tu terhegeh-hegeh kat saya? Betullah tu. Saya suka sangat!" sinis Marha.  Sengaja ingin membalas sakit hatinya kepada Amzar. Dia ingat dia seorang je mulut laser, aku pun bolehlah. Getus hatinya.
Amzar terkedu. Dia tidak percaya kata-kata itu keluar daripada mulut Marha. Hatinya pedih. Lantas, dia memberi isyarat untuk memberhentikan keretanya.
"Kalau kau suka sangat, keluar dari kereta aku sekarang!" arah Amzar dengan suara yang meninggi.
Marha terpinga-pinga. Mamat ni dah kenapa? Soal hatinya pelik dengan sikap Amzar yang berubah dalam sekelip mata.
"Tuan..."
"Kau mintalah tolong dengan datuk tu. Dia boleh ikut apa aje yang kau nak. Keluar sekarang!" jerkah Amzar tidak semena-mena.
Bahu Marha terhenjut. Apalah nasibnya hari ini? Semuanya kucar kacir disebabkan Amzar. Tidak dapat tidak, dia melangkah keluar dengan terpaksa. Rasa sakit hati ditelan sendiri. Terasa dirinya diperbodohkan oleh Amzar.
Amzar langsung tidak mempedulikan reaksi Marha tika ini. Hatinya sakit dengan jawapan yang diberikan oleh Marha. Walaupun dia tahu kata-kata itu sekadar ingin menyakiti hatinya tetapi dia tidak dapat menerima. Melihat Datuk Hisyam yang cuba mengambil kesempatan tadi pun sudah cukup untuk membuatkan hatinya bengkak ditambah pula dengan jawapan yang diberikan oleh Marha. Hatinya yang panas, makin terbakar.
Range Rover miliknya dipecut sambil meninggalkan Marha dia perhentian bas lama. Kawasan itu agak jauh daripada kawasan perumahan ataupun kedai.  Namun, Amzar tidak memikirkan semua itu. Egonya lebih diutamakan.
Apa yang kau buat ni, Am? Takkan kau sanggup tinggalkan perempuan tu sorang-sorang dekat tempat yang sunyi macam tu? Dia perempuan, Am. Isteri kau pula tu. Walau sepenuh hati kau menafikan kedudukan dia, tapi hakikatnya dia isteri kau. Tanggungjawab kau. Kalau jadi apa-apa pada dia kau juga yang kena jawab pada keluarga dia dan keluarga kau.  Hatinya bersuara.
Amzar mengetap bibir. Sekali lagi keretanya dihentikan di pinggir jalan. Dia meraup wajah dengan kedua belah tangan. Kusut seketika fikirannya.
"Memang patut pun aku tinggalkan dia kat situ.  Dia suka sangat melawan cakap aku." Getus Amzar sedirian.
Dia melawan pun sebab kau yang berkasar dengan dia. Pernah tak kau beri peluang untuk jelaskan perkara sebenar? Tak kan? Hatinya bersuara lagi.
Amzar mengetap bibir. Dia tewas dengan kata hatinya sendiri lantas dia terus membuat pusingan U. Hatinya mula resah memikirkan keadaan Marha yang ditinggalkan dengan sengaja beberapa minit yang lepas.


MARHA melepaskan keluhan pendek. Dia terduduk atas bangku di perhentian bas tinggal. Belakang perhentian bas tersebut dipenuhi dengan semak samun. Memandangkan hari semakin berganjak ke senja, kawasan tersebut bertukar redup. Marha memeluk tubuhnya. Kawasan tersebut membuatkan bulu tengkuknya meremang. Ditambah pula dengan jalan raya yang sunyi sepi. Bukan setakat bas, teksi pun tidak kelihatan. Marha mengeluh lagi. Telefon bimbit dikeluarkan sekali lagi. Punat power cuba ditekan sekali lagi. Skrin telefonnya bernyala tetapi tidak sampai beberapa saat, isyarat bateri lemah kedengaran sebelum telefonnya kelam.
Marha melepaskan nafas kuat. Dia buntu saat ini.
"Nampaknya aku kena jalan kaki ni. Lantaklah apa nak jadi pun." Tekad Marha lantas berdiri.
Belum sempat dia mengatur langkah, sebuah SUV jenis Range Rover Evoque berwarna putih berhenti di hadapannya membuatkan langkah Marha terundur ke belakang. Marha cuba mengamati kenderaan tersebut dan dia mendengus. Tanpa mempedulikan pemilik kenderaan tersebut, Marha meneruskan langkah tanpa tujuan.
"Hoi, kau nak pergi mana tu?" laung Amzar pelik apabila melihat Marha berlalu begitu saja.
Marha tidak menjawab sebaliknya langkah diteruskan tanpa menghiraukan panggilan Amzar. Tadi bukan main halau aku, sekarang panggil aku semula? Ingat aku ni apa? Bebel hati Marha. Dia nekad tidak akan berpaling.
Amzar mengetap bibir. Tidak dapat tidak dia terus mengejar Marha yang semakin menjauh. Pergelangan tangan gadis itu direntap dari belakang. Lantas, langkah Marha terbejat.
"Apa ni?!" bentak Marha lantas berpaling. Dia merentap tangannya kembali. Pegangan terlerai.
"Kau nak ke mana? Tak dengar aku panggil kau tadi?" soal Amzar sedikit berang.
"Tuan panggil saya ke? Saya tak dengar pun orang panggil nama saya." sinis Marha sambil menjeling.
"Kau jangan nak buat hal. Masuk kereta sekarang!" arah Amzar.
Marha membatukan diri. Dia langsung tidak berminat.
"Tak apalah. Saya boleh jalan kaki. Tuan baliklah. Tahulah saya cari jalan saya sendiri. Lagipun tadi tuan sendiri yang halau saya. Saya tak nak terhutang budi dengan tuan." Balas Marha selamba.
Amzar mengetap bibir. Geram dengan sikap Marha yang degil.
"Kenapa takut terhutang budi dengan aku? Takut tergadai body ke? Tak payahlah kau perasan. Aku patah balik ni sebab tak nak mama dan papa tahu je. Kalau ikutkan hati, aku tinggalkan kau aje kat sini." balas Amzar tidak mahu mengalah.
"Baguslah. Tuan ikutlah hati tuan tu, tak payah pedulikan saya. Mama dan papa takkan tahu jadi tuan jangan risau. Saya takkan bagi tahu sesiapa pun." jawab Marha bersahaja.
Dia berpaling untuk melangkah tetapi Amzar bertindak dengan menangkap pergelangan tangannya untuk kedua kalinya. Marha terkesima seketika. Hatinya berdetak lagi.
"Lebih baik kau masuk kereta sebelum aku buat benda gila." Amzar memberi amaran.
Dahi Marha berkerut. Dia memberanikan diri untuk menentang pandangan Amzar. Jelas, wajah lelaki itu tidak menunjukkan yang dia sedang bergurau.
"Saya tak peduli tuan nak buat apa pun." balas Marha. Dia teragak-agak apatah lagi cengkaman tangan Amzar di tangannya dirasakan terlalu kuat.
"Betul kau tak peduli?" Soal Amzar dengan senyuman penuh makna.
Marha gelisah. Dia cuba meleraikan pegangan tetapi tidak berjaya. Mamat ni lupa ke tangan aku ni tangan manusia bukan kayu. Omel hati Marha.
Amzar menapak satu langkah ke hadapan. Menghampiri Marha. Anak matanya tepat menikam bola mata Marha yang kelihatan tidak keruan. Dia tersenyum sinis.
"Lepaskan tangan saya tuan sebelum saya menjerit." Marha memberi amaran.
Amzar ketawa dengan kepala yang digelengkan.
"Menjeritlah. Aku tak kesah langsung. Sekarang aku bagi kau pilihan, masuk ke dalam kereta dengan suka rela atau kau nak aku dukung kau. Pilih salah satu." ujar Amzar membuatkan mata Marha terbuntang.
"Jangan nak mengarutlah, tuan!"
"Kalau kau tak nak aku mengarut, ikut cakap aku sekarang!" arah Amzar. Dia melangkah setapak lagi. Cuba menakutkan Marha.
"Baik! Saya masuk kereta sekarang!" ujar Marha mengaku kalah. Dia mengangkat tangannya cuba menghalang Amzar daripada terus rapat.
"Bagus. Tak perlulah aku dukung kau yang berat kalahkan gajah tu." sindir Amzar dengan bersahaja.
Marha menjeling benci. Dia mendengus. Lantas, pintu kereta direntap kasar. Dia melangkah masuk kemudian pintu kereta ditarik dengan kuat.
Amzar berpaling dan bercekak pinggang.
"Pintu kereta aku ni nak guna lama. Tak boleh perlahan sikit ke kalau tutup tu?" soal Amzar sedikit bengang.
"Kata gajah. Gajah memang kuat kan?" perli Marha sambil menjeling. Dia membuang pandang ke luar tingkap sementara menanti kereta Amzar bergerak.
Amzar menahan dirinya daripada tersenyum. Ternyata gadis itu terasa hati dengan kata-katanya. Tetapi Amzar tidak mengambil pusing. Lantak dialah nak merajuk ke apa. Tak kuasa aku nak pujuk. Omel hatinya.
"Tali pinggang tu tak nak pakai ke? Atau kau nak aku tolong pakaikan?" soal Amzar lagi sambil memerhatikan tingkah Marha yang mula kelam kabut menarik tali pinggang keselamatan.
Amzar tersenyum kemenangan. Dia mula menghidupkan enjin sebelum SUV itu bergerak laju meninggalkan tempat yang sunyi itu.
Lima belas minit kemudian, Amzar sampai di hadapan rumah sewa Marha. Keretanya diberhentikan sambil anak matanya melilau memandang halaman rumah Marha yang kosong.
"Kau duduk dengan kawan kau kan? Dia tak balik lagi ke?" soal Amzar sebelum bola matanya terhenti di wajah Marha.
Marha memandang jam di dashboard. Dia cuba mengingati sesuatu.
"Belum lagi. Shift dia pukul tiga tadi. Mungkin malam karang baru balik." jawab Marha. Kemudian tali pinggang yang membelit tubuhnya ditanggalkan.
"Kalau macam tu, saya masuk rumah dululah. Terima kasih sebab terpaksa tumpangkan saya," sambung Marha. Perkataan terpaksa ditekankan sambil menjeling Amzar yang menjengilkan matanya.
Tanpa mempedulikan Amzar,  Marha melangkah keluar dari kereta mewah itu. Kakinya terus diayunkan ke kawasan rumah tanpa menoleh ke belakang. Rasa penat mengatasi segalanya saat ini.
Selepas memberi salam, Marha melangkah masuk ke dalam rumah. Sunyi. Tiada sesiapa pun di rumah kecuali dirinya sendiri. Begitulah keadaan Marha jika Qistina bekerja di sebelah petang dan malam. Dia sudah terbiasa dengan rutin harian itu. Lalu selendang yang berbelit di kepala ditanggalkan sebelum tubuhnya dihempaskan ke sofa. Sekadar untuk melepaskan penat lelahnya buat seketika.
Belum sempat dia berbaring, pintu rumahnya diketuk. Marha terkejut. Dengan pantas dia bingkas dan membetulkan duduk.
"Siapa pula yang datang? Takkan Qis dah balik? Kalau dia balik pun takkan dia tak boleh buka kunci rumah sendiri?" soal Marha sendirian.
Lantas, dia mencapai selendang lalu disarungkan ke kepalanya dengan ala kadar sebelum dia bingkas bangun menuju ke pintu utama. Pintu tersebut dibuka. Dia tergamam seketika apabila melihat figura yang berdiri di hadapannya.
"Tuan?" soalnya sedikit terkejut.
Sedangkan Amzar hanya tayang wajah selamba.
"Telefon kau jatuh dalam kereta aku. Nah..." ujar Amzar lalu menghulurkan telefon bimbit berwarna hitam itu kepada Marha.
Marha termangu seketika. Kepalanya digarukan. Macam mana boleh jatuh?
"Nak ke tak nak ni?" soal Amzar sambil kepalanya dijengukkan ke dalam rumah Marha.
"Nak,  nak..." jawab Marha lalu cuba menyambut huluran daripada Amzar.
Namun Amzar menarik balik tangannya. Marha mengangkat pandangan.
"Bagilah telefon saya tu," pinta Marha sambil mengembangkan telapak tangannya.
Amzar tersenyum penuh makna. Lambat-lambat dia menghulurkan telefon bimbit tersebut dan di saat Marha ingin menggapainya, sepantas kilat telefon tersebut dimasukkan ke dalam poket seluarnya seterusnya dengan bersahaja dia menyusup masuk ke dalam rumah Marha tanpa sempat gadis itu menghalang. Semua berlaku dalam sekelip mata.
Marha tercengang. Terkebil-kebil dia memandang Amzar yang sudah berada di dalam rumahnya.
"Tuan!" bentak Marha geram. Dadanya turun naik akibat menahan perasaan sebal.
Amzar berpaling dengan riak yang cukup bersahaja. Seolah-olah apa yang dilakukannya saat ini bukan satu kesalahan.
"Kau panggil aku ke?" soalnya seakan tidak berperasaan.
Marha mengetap bibir. Rasanya ingin menjerit saat ini juga melihat kerenah Amzar yang sukar ditebak.
"Pulangkan telefon saya semula dan keluar dari rumah saya sekarang!" tegas Marha dengan riak yang serius.
"Kau halau aku?" soal Amzar turut serius. Dia berpeluk tubuh sambil merenung Marha yang kelihatan bengang.
Marha menelan air liur. Kecut perutnya melihat wajah Amzar yang bertukar garang.
"Bukan halau tapi tak manis kalau jiran-jiran saya nampak tuan dalam rumah ni. Nanti apa kata mereka. Bukan saya sorang je tinggal kat sini. Kawan saya tu tak tahu lagi status saya yang sebenar," terang Marha. Berharap agar Amzar mengerti.
"Kenapa kau tak cakap? Tu bukan masalah aku." jawab Amzar masih lagi dengan riak bersahaja. Tanpa dipelawa dia duduk di atas sofa. Kakinya disilangkan sambil tangannya menayang telefon bimbit milik Marha.
Marha terlopong. Apa kena dengan Amzar hari ini? Dia tidak pernah melihat Amzar berkelakuan seperti ini.
"Tuan, tolonglah keluar." Rayu Marha lantas dia mendekati Amzar.
Telefon yang berada di tangan Amzar cuba dirampas tetapi Amzar lebih cekap dengan menyembunyikan telefon tersebut di belakangnya.
Dia tersenyum sinis sedangkan Marha sudah membulatkan matanya.
"Ambillah sendiri kalau berani," ujar Amzar dengan nada mengejek.
Marha mencekak pinggang. Dia teragak-agak tetapi apabila melihat senyuaman Amzar yang seakan mengejek membuatkan hatinya terbakar.
"Tuan jangan cabar saya!" marah Marha.
"Well..."
Belum sempat Amzar menghabiskan kata, Marha terlebih dahulu bertindak. Dia mendekati Amzar dan cuba menarik telefonnya yang berada di belakang Amzar.
"Woi,  apa kau ni?!" Amzar terjerit kecil apabila Marha tidak putus asa menyerang. Dia terpaksa berganjak sambil tangannya kemas menggenggam telefon milik Marha. Dia masih enggan menyerahkan telefon tersebut.
"Lebih baik tuan pulangkan telefon tu semula sebelum saya geletek tuan sampai pengsan!" Marha memberi amaran. Dia mengambil nafas untuk seketika. Anak rambut yang terkeluar daripada selendang yang dipakainya diselit dengan kasar.
Amzar ketawa. Kata-kata Marha mencuit hatinya. Dia membalas renungan mata Marha yang sudah bersiap sedia untuk menyerangnya.
"Berani ke?" cabar Amzar lagi.
Marha menggigit bibir. Mamat ni betul-betul nak cari pasal dengan aku. Bebel hati Marha.
Lantas, dia kembali mendekati Amzar. Tetapi kali ini dia tersilap langkah apabila dengan selamba Amzar menarik selendang yang membelit di kepalanya. Marha tergamam sedangkan Amzar mengangkat-angkat keningnya. Mengejek.
Marha tidak jadi mendekat. Jantungnya kini tidak henti-henti berdetak. Dia membetulkan rambutnya yang terdedah pada pandangan Amzar. Wajahnya berubah rona. Dia malu.
Suasana senyap seketika. Marha cuba menarik selendang itu semula tetapi Amzar dengan pantas menarik tangannya. Marha tersentak. Tegak matanya memandang wajah Amzar yang sedang merenung dengan pandangan yang sukar dimengertikan oleh Marha.
"Bagi balik selendang saya..." ucap Marha. Dia ingin membentak tetapi suaranya bertukar perlahan akibat hatinya yang tidak henti-henti berdenyut.
"Aku akan bagi semuanya, selendang dan telefon ni tapi ada syarat..." ujar Amzar sambil tersenyum nakal.
"Syarat? Syarat apa?" soal Marha kebingungan. Keningnya bertaut.
Amzar terdiam seketika. Cuba mencari akal. Tiba-tiba saja otaknya menjadi beku sebaik saja Marha berada dekat dengannya. Apatah lagi saat ini bola matanya mula meliar meneroka segenap anggota wajah gadis itu. Hatinya bergetar hebat. Tubuhnya terasa hangat. Lalu, tubuh Marha ditolak ke tepi. Dia bimbang dia hilang pertimbangan jika terus menatap wajah gadis itu yang kelihatan indah di matanya.
Amzar bingkas berdiri. Dia melepaskan keluhan berat. Apa kena dengan aku ni? Panas semacam je. Omel hatinya.
"Dahaganya. Rumah kau tak ada air ke?" soal Amzar. Soalan Marha dibiarkan tergantung tanpa jawapan.
Marha menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tingkah Amzar kali ini benar-benar memeningkannya. Akhirnya,  Marha hanya memerhatikan langkah Amzar menuju ke ruang dapur. Tidak dapat tidak, dia turut mengikuti jejak Amzar.
"Apa yang tuan nak sebenarnya ni? Tolonglah keluar dari rumah saya. Kalau jiran-jiran nampak mati saya." ujar Marha lagi separuh merayu.
Amzar membuka pintu peti ais tanpa mempedulikan rayuan Marha. Botol berisi air kosong dikeluarkan seolah-olah rumah itu rumahnya sendiri.
"Yang kau risau sangat ni kenapa? Kau ada simpan lelaki lain ke dalam rumah ni?" soal Amzar sambil tangannya menuang air ke dalam gelas sebelum diteguk perlahan. Anak matanya tepat memandang wajah Marha.
"Tak ada! Saya tak ada lelaki lain dan saya tak simpan lelaki pun. Tolonglah keluar tuan. Kalau tuan ada nak bincang apa-apa, kita bincang kat luar." ajak Marha lagi. Dia merapati Amzar.
Lengan lelaki itu cuba ditarik tetapi Amzar mengelak. Dia bergerak ke tempat lain. Seronok hatinya dapat mengenakan Marha. Wajah gadis itu yang cuak, cukup membuatkan hatinya terhibur.
"Kau takut kena tangkap basah sekali lagi ke?" soal Amzar masih enggan menuruti kata-kata Marha.
Marha gelisah. Sungguh dia kehilangan kata saat ini.
"Bukan soal takut,  tuan. Tapi tak elok kita berduaan macam ni..."
"Tak elok apanya? Bukan dosa pun. Kau tinggal kat rumah aku hari tu, elok je. Tak ada pun takut. Siap peluk aku lagi." balas Amzar sengaja ingin mengembalikan ingatan Marha pada kejadian lepas.
Serentak, darah merah menyerbu ke muka Marha. Dia malu apabila teringat kecuaian dirinya sendiri. Pantas, dia menundukkan kepala.
"Tu..." kata-kata Marha terhenti di situ. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dikatakan kepada Amzar.
"Kalau tuan tak nak keluat juga, saya terpaksa heret tuan." ugut Marha akhirnya. Dia cuba berlagak berani.
"Heretlah..." cabar Amzar.
Marha merengus geram. Lantas, dia menghampiri Amzar. Lengan lelaki itu ditarik dengan sekuat hati. Tetapi malangnya, langkah Amzar hanya berganjak seinci. Amzar mengulum senyum. Spontan, pinggang Marha diraih supaya mendekatinya.
Marha terpempan. Matanya membulat besar apabila dia jatuh ke dalam pelukan Amzar. Mamat ni dah gila ke?! Bentak hatinya.
"Apa ni tuan?!" marah Marha cuba melepaskan diri.
"Kan aku dah cakap, aku akan keluar dari rumah ni tapi ada syaratnya..."
"Apa syaratnya?" soal Marha pantas. Dia tidak betah dalam keadaan seperti itu. Dia rimas.
"Temankan aku makan," ajak Amzar spontan.
"Hah? Makan?" soal Marha terkejut. Rontaannya terhenti serta merta. Terkebil-kebil dia memandang wajah Amzar.
"Yalah, makan. Aku lapar. Dahlah kau bagi makanan pedas aku tengah hari tadi. Sekarang aku lapar." ujar Amzar. Suaranya kedengaran manja di telinga Marha.
Marha menundukkan kepala. Dia cuba menahan senyum. Tetapi apabila menyedari dia masih berada dalam pelukan Amzar, cepat-cepat dia menolak tubuh lelaki itu.
"Kut ya pun nak ajak makan, tak payahlah peluk saya macam ni. Lepaslah!" bentak Marha lalu menolak tubuh Amzar dengan sekuatnya.
Pelukan terlerai. Amzar mengawal riaknya. Wajahnya terasa berbahang dengan tindakan sendiri. Sering kali dia salah tingkah jika berduaan dengan Marha. Mulut dan badan tidak bertindak seiringan.
"Pukul lapan aku datang. Kalau kau tak siap, aku pecah masuk rumah ni." ugut Amzar tanpa memberi ruang untuk Marha berfikir.
"Tapi..." Marha ingin mengatakan sesuatu.
"Telefon kau ni aku pegang. Jumpa nanti." sambung Amzar. Dia mula mengatur langkah untuk berlalu.
Sewaktu dia berjalan ingin melepasi Marha, dengan selamba selendang yang masih berada dalam pegangannya diserkupkan ke kepala Marha.
"Aaaa!" Marha terjerit kecil. Sedangkan Amzar ketawa lepas lalu menghilangkan diri dengan pantas.
"Eiii... Buang tebiat agaknya mamat ni!" bebel Marha. Geram. Dia menarik selendang yang menutupi pandangannya.
"Nak ajak makan macam nak ajak bergaduh." Omel Marha. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman. Hatinya terasa hangat. Ada rasa halus mula menyelit di sanubari.





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.