Tetamu Rindu

Wednesday 14 November 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake) - BAB 23

AMZAR menghempaskan badannya ke atas katil. Dia melepaskan nafas dengan kuat. Sedaya upaya dia cuba menenangkan diri namun kata-kata Marha sebentar tadi kembali terngiang di telinganya.
"Kalau dia nak beli barang-barang keperluan, memang dia akan ajak saya..." Gemerisik suara itu kembali bergemaung di pendengaran Amzar sekali gus menjemput rasa hangat di dalam hatinya. Jiwa lelakinya terusik.
Dia dapat bayangkan betapa mesranya Marha dan sepupunya itu. Ditambah dengan wajah yang kacak sudah pasti seorang yang bekerjaya. Perempuan mana yang tidak terpikat dengan lelaki yang mempunyai pakej yang selengkap itu? Pasti hati gadis muda seperti Marha turut bergoncang.
Amzar melepaskan nafas dengan kuat.  Entah mengapa fikirannya kacau apabila membayangkan perihal itu. Lantas, dia bangun dan menuju ke balkoni. Langit yang cerah menjadi tatapannya. Tampak tenang tapi tidak mampu mententeramkan jiwanya yang gundah saat ini.
Tidak lama kemudian, bunyi riuh suara ahli keluarganya menyapa pendengaran Amzar. Dia tersedar daripada menungan. Lantas, pandangannya dihalakan ke halaman rumah.  Kelihatan, Datin Zahidah sedang mengiringi Marha ke kereta. Dahi Amzar berkedut. Perempuan tu dah nak balik? Soal hatinya. Dia tersenyum sinis.  Baguslah. Elok juga dia balik awal.  Taklah menyemak mata aku tengok muka dia. Tambah hatinya lagi.
Hatinya mengatakan benci namun pandangannya tidak sedikit pun beralih daripada mengamati Marha yang sedang berbual dengan Datin Zahidah. Gadis itu tersenyum. Sesekali bibir mungil itu tertawa sambil menutup mulutnya dengan telapak tangan. Tampak sopan di pandangan Amzar. Tanpa sedar,  bibirnya ikut mengukir senyum.
Amzar tidak membiarkan senyumnya bertahan dengan lama. Dia tersedar lalu mengetuk kepalanya sendiri.
"Apa yang kau fikir, Am? Perempuan tu perempuan murah. Senyuman dia  palsu. Dia cuma nak ambil hati mama kau. Dia pasti ada rancangan dia tersendiri. Kau tak boleh terjerat." Amzar berbicara sendirian. Cuba mengingatkan dirinya sendiri. Dia melepaskan keluhan.
Namun, dia masih terus memerhatikan Datin Zahidah dan Marha. Tetapi kali ini riak Marha bertukar serius sebaik saja Datin Zahidah menghulurkan sesuatu kepada Marha. Gadis itu kelihatan terkejut.
Amzar turut pelik. Dia cuba untuk mendengar perbualan kedua-dua wanita itu namun gagal. Suara Marha dan Datin Zahidah tidak sampai ke telinganya.
Apa yang jelas, kelihatan Marha menolak pemberian Datin Zahidah tetapi Datin Zahidah tetap menolak sampul surat berwarna coklat itu kepada Marha.
"Sampul surat? Mama bagi duit kat perempuan tu?" soal Amzar membuat kesimpulannya sendiri. Matanya membulat kerana tidak percaya dengan apa yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri.
Dada Amzar mula berombak. Dia menahan perasaan yang mula bergejolak. Hatinya bertambah sakit apabila akhirnya Marha mengambil sampul surat tersebut lalu disimpankan ke dalam tas tangan miliknya.
"Pasti tu bayaran sebab perempuan tu dah jaga aku. Dasar mata duitan. Buat kerja tak pernah ikhlas!" bentak Amzar. Giginya dikancingkan.  Tanda dia sedang geram.
Dia tidak menyangka Marha akan mengambil bayaran daripada Datin Zahidah kerana menjaganya selama dua minggu. Memang Marha ada menyebut tentang itu namun Amzar menyangka gadis itu hanya ingin menyakitkan hatinya tetapi kini sebaliknya berlaku. Marha benar-benar maksudkannya.
"Saya akan buktikan betapa teruknya saya sampai tuan sendiri rasa tak sabar nak lepaskan saya." kata-kata Marha kembali berlegar-legar dalam fikiran Amzar. Layanan gadis itu yang lembut selama dua minggu lepas turut terpamer di ruang mata. Sungguh, Amzar rasa tertipu. Gadis itu berjaya mengaburi matanya dengan sikap lembut padahal hatinya penuh dengan muslihat.
Dia mengetap bibir. Penghadang balkoni dihentak kuat. Sakit. Tapi tidak sesakit hatinya saat ini.


JAM yang melingkar di pergelangan tangan dijeling entah ke berapa kali. Jarum jam sudah mula menginjak ke angka sembilan sepuluh minit pagi. Amzar merengus apabila bayang Marha masih tidak kelihatan.
"Perempuan ni memang nak cari masalah dengan aku.  Aku paling pantang orang lambat." getusnya sendirian. Lantas, dia bangkit dari duduk menuju ke luar biliknya dengan wajah yang masam mencuka. Dia melangkah menghampiri ruang kerja Kak Izzah.
"Akak ada nampak Marha tak? Dia tak datang lagi ke? Dah pukul berapa ni?" soal Amzar dengan riak yang tegang. Tangannya dicekakkan ke pinggang.
Kak Izzah meneguk liur. Wajah Amzar yang menyinga membuatkan dia kecut perut.
"Saya tak tahu, tuan. Tak ada pula Marha call. Biasanya kalau dia cuti atau emergency, dia akan call dulu." jawab Kak Izzah dengan suara yang tenggelam timbul. Gementar.
Amzar melepaskan nafas. Dia bengang. Terasa gadis itu ingin mencabar kesabarannya.
"Akak call dia sekarang. Cakap kat dia, tak payah datang terus pun tak apa." dengus Amzar lagi. Dia cuba mengawal rasa panas dalam hatinya.
Entah mengapa setelah kejadian dia melihat Marha mengambil pemberian daripada Datin Zahidah yang diyakini sebagai upah kerana menjaganya, hati Amzar terasa sakit. Sukar untuk dia menerima kenyataan,  segala kebaikan yang gadis itu tunjukkan semata-mata kerana duit walhal sudah berkali-kali gadis itu mengingatkannya.
Kak Izzah menurut. Dia mengangkat gagang telefon. Belum sempat nombor telefon Marha didail, anak mata Kak Izzah tegak memandang ke arah pintu masuk pejabat.
"Hah,  tu Marha dah sampai bos... Dengan..." ayat Kak Izzah tergantung. Dia menunjukkan jari ke arah belakang Amzar memaksa Amzar untuk berpaling.
Kelihatan Marha melangkah masuk ke dalam ruang pejabat dengan tergesa-gesa sambil diekori oleh Rafiq yang berada di belakang Marha.
Amzar cuba mengawal rasa amarahnya sebaik saja figura Marha menyapa pandangan. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh. Menantikan kedatangan Marha.
"Jam kau rosak ke apa? Atau kau nak company sedekah jam kat kau?" sinis Amzar. Perlahan tapi cukup menikam tepat ke hati Marha.
Marha serba salah. Dia menyeka peluh yang merembes di dahi akibat terlalu gementar. Kali pertama dia datang lewat dan terpaksa berhadapan dengan Amzar yang tidak akan melepaskan peluang untuk mengenakannya.
"Maaf, tuan. Kereta saya tiba-tiba mati tengah jalan. Saya tak..."
"Alasan!" pintas Amzar pantas.
Marha menelan air liur. Apa yang difikirkan memang menjadi kenyataan. Amzar tidak akan percaya walau apa pun sebab yang dia berikan.
"Tu bukan alasan, Am.  Memang kereta Marha mati tengah jalan. Aku saksi. Aku yang follow dia dari belakang dan kalau kau tak percaya, aku boleh bagi nombor telefon bengkel. Kau boleh check." sampuk Rafiq membela Marha.
Marha hanya mampu tertunduk. Sedangkan saat ini Amzar merenung Marha dengan tajam. Dia mula mengesyaki sesuatu melalui pandangan Rafiq terhadap Marha. Tiba-tiba,  hatinya rasa tidak selesa.
"Telefon ada kan? Takkan tak boleh langsung telefon pejabat?" soal Amzar lagi. Masih tidak berpuas hati.
"Emergency kan. Mana nak sempat tengok telefon. Dalam kereta tadi pun, Marha tak senang duduk bimbang lambat sampai ofis. Ni kali pertama dia lambat, Am. Bertimbang rasalah sikit." pujuk Rafiq.
Amzar melepaskan nafas kuat. Sekuat hati dia cuba menahan perasaan. Rafiq begitu bersungguh dalam membela Marha. Dia yakin pasti ada sesuatu yang lelaki itu sembunyikan.
"Saya tahu saya salah tapi saya..."
"Oh,  ada suara. Aku ingat dah bisu! Masuk bilik aku sekarang!" arah Amzar lalu meninggalkan Marha,  Rafiq dan Kak Izzah begitu saja.
Marha melepaskan keluhan. Kepalanya ditundukkan. Penat akibat berlari masih belum hilang, kini dia terpaksa berhadapan dengan baran Amzar.
"Sabarlah,  Mar. Angin tuan tak berapa nak eloklah tu. Bergaduh dengan Cik Ratna agaknya." tebak Kak Izzah.
 Dia menghampiri Marha. Lengan gadis itu digosok perlahan. Dia simpati dengan nasib Marha. Sejak kebelakangan ini, gadis itu sering menjadi mangsa amarah Amzar. Kesalahan yang kecil pasti dibesar-besarkan. Lagak seperti Marha itu musuh utama Amzar.
"Betul kata Kak Izzah tu, Mar. Kita dah bagi penjelasan terpulang kepada Am nak percaya atau tak. Tapi saya yakin Am tu professional. Dia nampak je garang, panas baran tapi dia seorang yang rasional bila berkaitan dengan kerja. Cuma satu je, dia terlalu tegas." jawab Rafiq cuba menyedapkan hati Marha.
Marha menggelengkan kepalanya dengan pantas.
"Tak. Dia akan professional dengan orang lain tapi bukan saya. Benar atau tak alasan saya,  dia takkan terima sebab dia tak suka saya. Tak ada sebab lain." jawab Marha. Wajahnya sugul.
Rafiq dan Kak Izzah berpandangan. Kata-kata Marha seakan mempunyai makna yang tersirat. Mereka kebingungan.
"Saya minta diri dululah. Saya tak boleh lambat. Tak pasal-pasal kena marah lagi. Encik Rafiq,  terima kasih dah tolong saya. Kak Izzah,  saya pergi dulu." ujar Marha lalu melangkah dengan laju menuju ke bilik Amzar.
Pintu bilik diketuk. Nafas dilepaskan dengan perlahan. Dia cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan Amzar saat ini. Jika tadi ada Rafiq yang membela dirinya, tetapi kini dia terpaksa berhadapan dengan Amzar berseorangan. Apa aku nak buat ni? Getus hatinya. Berdebar.
"Masuk!" bunyi suara garau memberi arahan sudah cukup untuk membuatkan Marha menelan air liur berkali-kali. Dengan lafaz bismillah, Marha menolak daun pintu.
Amzar merenung tajam ke arah Marha yang sedang melangkah menghampiri mejanya. Tidak ada secarik senyuman pun menghiasi bibirnya saat ini. Ketat dan kelat wajahnya.
"Tuan nak jumpa saya?" soal Marha seperti kebiasaannya. Padahal dia kehabisan ayat untuk memulakan perbualan tika ini.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia menghadiahkan senyuman sinis sebaik saja melihat wajah Marha yang tenang.
"Kau memang muka tembok kan? Bangga ke bila ada orang back up?" soal Amzar tidak semena-mena.
Marha termangu seketika. Tidak lama kemudian barulah dia dapat menangkap maksud kata-kata Amzar.
"Bagi saya tu bukan back up. Rafiq... Maksud saya Encik Rafiq cuma terangkan situasi sebenar. Dia saksi dan saya tak menipu." ujar Marha. Dia menggigit bibir apabila menyedari dia tersasul menyebut nama Rafiq secara tak formal.
Amzar membulatkan mata. Hal itu semakin menguatkan andaiannya tentang hubungan Marha dan Rafiq. Mungkin mereka bukan sekadar rakan sekerja. Fikir Amzar. Hatinya mula berbahang panas.
"Apa jenis perempuan kau ni, hah? Semalam dengan lelaki lain. Hari ni dengan lelaki lain. Seronok sangat jadi perempuan murah?" soal Amzar tiba-tiba.
Marha melepaskan nafas dengan perlahan. Cuba bersabar untuk tidak melatah dengan provokasi Amzar.
"Itu bukan soalan berkaitan dengan kerja jadi saya takkan jawab. Terpulang pada tuan untuk fikir apa. Fikiran tuan, tuan yang kawal bukan saya." jawab Marha berani.
Amzar tersentak. Pantas dia berdiri dan menghampiri Marha. Punggung disandarkan ke sisi meja sambil tubuhnya dihadapkan ke arah Marha. Kedua belah tangan disilangkan ke dada.
"Dah pandai menjawab sekarang. Oh, lupa pula aku, kau dah ada hero kan." sinis Amzar lagi.
"Saya rasa tuan dah tak ada apa-apa nak cakap kan? Jadi saya minta diri dulu." ujar Marha malas melayani kerenah Amzar yang tidak henti-henti ingin menyakiti hatinya. Lalu, dia berpaling.
"Siapa yang benarkan kau keluar?" soal Amzar. Tangan Marha direntap dan dicengkam kemas.
Langkah Marha terbejat. Dia kembali berhadapan dengan Amzar sambil pergelangan tangannya berada dalam cengkaman lelaki itu. Sakit. Wajahnya berkerut.
"Kau jangan fikir Rafiq akan selalu ada untuk back up kau. Ini antara kau dan aku. Kau sengaja nak cari pasal dengan aku kan? Nak tunjuk yang kau kuat. Inilah jadinya kalau mama dan papa bagi sangat muka pada perempuan macam kau. Percaya sangat orang macam kau." hambur Amzar lagi.
Marha mengetap bibir. Dia cuba melepaskan tangannya daripada cengkaman tangan Amzar tetapi gagal.
"Jangan libatkan mama dan papa dalam hal ni. Sekurang-kurangnya mama dan papa masih boleh fikir dengan waras. Bukan macam tuan. Tuan benci saya tanpa alasan yang kukuh. Tuan cari salah saya setiap masa walaupun saya cuba berdamai dengan tuan. Saya tak minta tuan akui ikatan ni. Saya tak minta tuan akui siapa saya pada tuan saya cuma minta tuan layan saya dengan adil sama seperti tuan layan pekerja tuan yang lain. Tak boleh ke?" balas Marha sekali gus meluahkan perasaannya.
Amzar terkelu. Bening mata itu membuatkan hati yang panas tiba-tiba berubah menjadi sejuk dan dingin. Tanpa sedar cengkaman di pergelangan tangan Marha kian longgar tetapi Amzar masih belum melepaskan pegangan itu.
"Berdamai? Kau nak berdamai dengan aku? Kau fikir aku tak tahu apa yang kau buat? Depan aku, kau acah-acah baik tapi belakang aku, kau memang mata duitan. Macam tu kau nak aku layan kau dengan adil. Kau penipu!" hambur Amzar lagi.
"Mata duitan? Apa maksud tuan?" soal Marha keliru.
Amzar senyum sinis. Gadis itu berlakon lagi. Lantas, dia melepaskan pegangan daripada tangan Marha.
"Sudahlah. Tak payah kau nak berlakon. Muak aku tengok. Kau jangan ingat aku tak tahu yang mama bayar kau untuk jaga aku. Aku tahu semuanya. Aku tahu yang kau tak pernah ikhlas!" balas Amzar.
Marha terdiam seketika. Mama bayar aku? Bila?  Soal hatinya. Dia berfikir sendiri. Tidak lama kemudian dia mula teringatkan sesuatu. Dia menahan diri daripada tersenyum.
"Baguslah kalau tuan sedar yang saya ni mata duitan, saya penipu, saya kuat berlakon, saya tak pernah ikhlas, senanglah untuk tuan lepaskan saya daripada ikatan yang tak ada makna ni. Saya pernah cakap pada tuan, saya akan buat tuan menyesal sebab tak nak lepaskan saya." ujar Marha cukup bersahaja. Dia tersenyum sumbing.
Amzar mengetap bibir menahan geram. Gadis itu memang tidak mahu mengalah. Dia juga tidak mahu mengaku kalah.
"Sebelum kau buat aku menyesal, aku akan buat kau menyesal sebab cari pasal dengan aku!" ujar Amzar.
Sepantas kilat, dia merentap lengan Marha sehingga gadis itu terdorong ke arahnya. Tubuh isterinya dipeluk erat dan kemas.
Marha tergamam. Jantungnya bagai ingin melompat keluar dengan tindakan spontan Amzar. Darah merah mula menyerbu ke segenap kulit wajahnya.
"Apa ni tuan?!" Marah Marha. Sedaya upaya dia cuba menjarakkan wajahnya daripada terus dekat dengan wajah Amzar. Tubuh sasa itu cuba ditolak dengan kuat tetapi sedikit pun tidak berganjak.
"Kau nak lawan dengan aku? Kau sedar tak kau tu siapa?" soal Amzar sambil cuba merapatkan wajahnya ke wajah Marha. Sekadar menggertak.
Marha gelabah. Dia tidak betah dalam situasi seperti ini. Bagaikan ingin patah pinggangnya sekarang. Amzar memang sengaja ingin menyakitinya.
"Ya, saya sedar. Saya minta maaf. Lepaskan saya!" ucap Marha pantas. Dia mengalah. Dia sanggup mengulang perkataan maaf itu beribu kali asalkan lelaki itu melepaskannya. Marha rimas. Dia sukar untuk bernafas akibat pelukan Amzar yang ketat.
"Semudah tu?" soal Amzar bersama senyuman nakal. Rontaan Marha tidak mendatangkan kesan terhadapnya.
Marha seram sejuk. Intonasi suara Amzar mula kedengaran lain. Jantung Marha mula berdetak kencang apatah lagi saat ini anak mata Amzar terarah ke bibirnya. Marha panik. Dia tidak boleh membiarkan perkara itu berlarutan. Lantas, dengan sisa tenaga yang masih ada, Marha menolak tubuh Amzar sekuat hati. Pelukan terlerai.
"Tuan dah gila ke?! Ini tempat kerja, bukan tempat tuan buat perangai tak senonoh!" oktaf suara Marha meninggi. Turun naik dadanya cuba mengatur nafas.
Amzar mencemik.
"Tempat kerja? Kau nak kerja sangat. Baik!" ujar Amzar.
Dia menghampiri kabinet yang disediakan khas untuk meletakkan fail-fail berkaitan dengan syarikat. Sekelip mata, segala fail yang terletak di atas rak kabinet itu ditolak sehingga jatuh berserakan di atas lantai. Tidak cukup dengan itu, fail yang tersimpan di dalam kabinet yang tertutup rapi turut dikeluarkan oleh Amzar dan dicampakkan ke atas lantai yang ditutupi dengan permaidani tebal.
Marha terlopong. Matanya membulat melihat longgokan fail di atas lantai.
"Nak kerja sangat kan? Kemas semula tempat ni dan susun fail ni seperti keadaan asal! Selagi tak siap, selagi tulah kau tak boleh keluar dari bilik ni dan tak boleh makan!" arah Amzar.
Marha ternganga. Dia memandang Amzar dengan riak kurang percaya. Mamat ni dah gila ke?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.