Tetamu Rindu

Thursday 1 November 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 22


ARYANA berpura-pura menutup mata apabila dengan tidak sengaja melihat adegan mesra di antara Amzar dan Marha.
Sorry along, Yana tak nampak apa-apa. Yana ke depan dulu ya.” Ujar Aryana lantas berpaling untuk meninggalkan ruang dapur.
Errr… Yana, tunggu dulu. Akak dengan along Yana tak buat apa-apa pun.” Ujar Marha lantas bergegas mendapatkan Aryana dan menarik tangan adik iparnya. Sempat lagi dia menghadiahkan jelingan kepada Amzar.
Amzar hanya menjongketkan bahu. Dia cuba bersikap selamba walhal hatinya seakan ingin direntap saat figura Aryana muncul di hadapan mata. Niatnya hanya ingin menyakat Marha namun sebaliknya pula yang berlaku. Hampir saja dia menyentuh Marha dan jika Aryana tidak muncul, dia sendiri tidak dapat membayangkan apa yang terjadi.
“Eh, tak apa kak. Akak tak perlu jelaskan apa-apa. Kalau akak dan along buat apa-apa pun, tak ada yang salahnya. Berdosa pun tak.” Jawab Aryana sambil tersengih.
Marha malu sendiri. Dia dapat merasakan wajahnya berbahang sebaik saja mendengar kata-kata Aryana. Bukan itu yang dia maksudkan. Marha cuba menjelaskan namun kata-kata itu hanya tersekat di kerongkong.
“Apa bising-bising ni?” soal Datin Zahidah lalu menghampiri anak dan menantunya.
Aryana tersenyum simpul lalu mendapatkan Datin Zahidah. Dia membisikkan sesuatu di telinga Datin Zahidah sehingga membuahkan senyum di bibir wanita itu.
“Mama…” tegur Marha lalu menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya bersambut.
“Kenapa sejuk sangat tangan Mar ni? Am buat apa kat kamu?” soal Datin Zahidah bergurau. Dia ketawa kecil.
Marha menundukkan kepala. Dia benar-benar malu saat ini. Semuanya salah Amzar tetapi dia yang menjadi mangsa usikan keluarga lelaki itu.
“Mama duduklah dulu. Nanti Mar hidangkan air.” Ujar Marha cuba untuk tidak menjawab soalan Datin Zahidah.
Cepat-cepat dia berlalu ke ruang masak. Dia berhenti di hadapan Amzar.
“Semuanya salah tuan. Menggatal sangat. Entah apa yang Yana fikir pasal tadi.” Marha bersuara sambil mengancingkan gigi. Cukup untuk Amzar yang mendengar.
Amzar turut menjeling ke arah mama dan adiknya yang sedang memerhatikan mereka berdua. Dia tidak menunjukkan sebarang riak sebaliknya lengan Marha ditarik supaya mendekatinya.
“Eh, apa ni?!” Marha terkejut. Spontan lengan Amzar ditepuk.
“Kau dengar sini, kalau kau menyerah diri sekali pun, aku tetap tak ingin. Jadi jangan nak perasan.” Ujar Amzar dengan intonasi suara yang perlahan. Bimbang didengari oleh Datin Zahidah.
Mata Marha membulat. Tak ingin? Dia yang miang kalahkan ulat bulu, dia tak sedar agaknya? Omel hati Marha. Pantas, tangan Amzar ditepis. Dia memeluk tubuhnya sendiri setentang dengan Amzar.
“Baguslah tuan tak ingin sebab saya sepuluh kali tak ingin!” balas Marha tidak mahu mengalah. Dia mencemikkan wajah.
Amzar tersentap. Dia mengecilkan matanya memandang Marha. Kecil saja Marha di matanya saat ini. Gadis itu memang suka melawan!
“Kau…”
“Dahlah tuan. Saya nak sambung masak ni. Nanti lambat pula mama dan papa boleh makan. Tepilah sikit.” Balas Marha lantas tubuh Amzar ditolak supaya menjauhi ruangnya untuk memasak.
“Kau ni kan…”
“Am, dahlah tu. Jangan kacau Marha masak.” Suara Datin Zahidah kedengaran membantutkan niat Amzar untuk meneruskan leteran.
Dia berpaling. Satu sengihan dilemparkan kepada Datin Zahidah sebelum langkah dipanjangkan ke arah mamanya itu.
“Jomlah kita ke depan dulu, mama.” Ajak Amzar sebelum mencapai tangan Datin Zahidah. Sempat lagi dia menoleh ke belakang dengan senyuman yang cuba disembunyikan.


MACAM mana dengan umrah, mama?” soal Amzar sambil membiarkan Marha mencedok nasi dan lauk ke dalam pinggannya.
“Alhamdulillah semua okey. Seronok kat sana. Tenang je.” Jawab Datin Zahidah dengan senyuman.
“Mesti seronok. Mar pun teringin nak pergi sana. Tapi belum ada rezeki. Kalau boleh Mar nak bawak ibu dengan adik-adik sekali.” Cerita Marha dengan ramah.
“Kalau macam tu, akak boleh pergi dengan along sekali.” Aryana menyampuk. Semua mata memandang Aryana yang sedang menayang sengih.
Amzar yang sedang mengunyah makanan, tiba-tiba tersedak. Dengan pantas dia menutup mulut. Hampir saja makanan yang dikunyahnya tersembur keluar.
Marha tersenyum kelat. Cepat saja dia menghulurkan segelas air kosong kepada Amzar. Hulurannya bersambut. Namun, tanpa sengaja Amzar terpegang tangannya. Marha dan Amzar tersentak. Keduanya berpandangan dengan dada yang mula berdebaran.
Datin Zahidah dan Aryana tersenyum simpul. Begitu juga Dato Zuhdi dan Akhil.
“Ehem!” Dato Zuhdi berdeham. Sekali gus menghentikan lamunan Marha dan Amzar. Marha gelabah. Sedangakan Amzar berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Air putih yang dihulurkan oleh Marha diteguk rakus.
“Betul kan apa yang Yan cakap? Nanti Kak Mar dan along boleh umrah sekali. Kemudian, bolehlah honeymoon. Kan mama?” soal Aryana mengusik. Dia menjongketkan keningnya kepada Datin Zahidah yang mula tertawa.
Kulit wajah Marha berubah rona. Dia tersipu malu. Pantas, wajahnya ditundukkan.
“Yan ni merepek tak sudah kan…” Amzar bersuara. Dia melarikan pandangan ke tempat lain. Jantungnya turut bergetar dengan usikan adik perempuannya itu.
“Haah, betul cakap Tuan Am tu. Jauh sangat Yan fikir. Dah tentulah Tuan Am pergi ke sana dengan Cik Ratna. Akak ni secara tak sengaja je singgah dalam keluarga ni. Sampai masa akan kembali semula ke tempat asal akak.” Ucap Marha. Ayat akhirnya kedengaran perlahan namun sempat didengari oleh Amzar.
Spontan, dia kalih pandangan ke sisi. Wajah Marha yang sedang tertunduk direnung lama. Entah kenapa bicara gadis itu berjaya membuat hatinya terasa ngilu.
“Lebih baik kau diam.” Ucap Amzar. Perlahan tapi tegas.
Marha mendiamkan diri. Namun, bibirnya tetap mengukir senyuman. Hambar.
“Mar, tak ada sesuatu yang jadi dalam kehidupan kita, jadi kepada diri kita sendiri dengan tidak sengaja. Semuanya Allah dah rancang dengan sebaiknya. Mungkin sekarang kita rasa ini satu musibah, tapi mana tahu akan datang kita jumpa rahmat di sebalik musibah tu. Baik atau buruk yang kita alami, semuanya datang dari Allah dalam bentuk takdir. Ingat tu.” Nasihat Dato Zuhdi.
Marha menganggukkan kepala. Kata-kata Dato Zuhdi ada benarnya cuma Marha tetap berpijak pada bumi yang nyata. Perkara yang terjadi di antara dia dan Amzar hanyalah satu kesilapan. Itu yang sering lelaki itu momokkan.
“Betul tu, kak. Kalau along susah sangat nak terima kenyataan, Akhil ada. Akhil akan terima akak seadanya.” Sampuk Akhil dengan sengihan melebar di bibirnya.
Marha ketawa lepas. Sedangkan Amzar menjengilkan mata.
“Akhil ni ke situ pula.” Balas Marha sebaik saja tawanya reda.
“Kau tu belajar dulu. Tak payah nak jadi romeo sangat. Nanti, apa pun tak dapat.” Balas Amzar tanpa senyuman di bibirnya.
“Along jealous ke?” soal Akhil sekadar mengusik. Dia mengangkat kening.
Amzar membulatkan matanya.
Jealous? Memang taklah.” Jawabnya laju.
Akhil hanya mencebikkan bibir. Dia tahu apa yang terluah di bibir tidak sama yang tersimpan di hati abangnya itu.
“Sudahlah tu. Jangan nak bergaduh depan rezeki ni. Hah, bila Mar cadang nak balik rumah sewa Mar? Tak pun, Mar tak payah balik lagilah. Tidur sini je dulu. Esok baru balik.” Datin Zahidah mengalih topik perbualan mereka. Dia merenung lama wajah Marha sambil menantikan jawapan daripada menantunya itu.
“Eh tak boleh mama. Lepas zohor, Mar baliklah. Kawan serumah Mar dah banyak kali tanya bila nak balik. Kesian kat dia. Lagipun malam karang Mar ada janji nak jumpa sepupu Mar.” terang Marha berharap agar Datin Zahidah mengerti.
Datin Zahidah mengeluh kecewa. Namun dia tetap tersenyum. Dia mengangguk kecil.
“Sepupu Mar? Yusuf kan?” soal Datin Zahidah lagi.
Sebaik saja mendengar nama Yusuf meniti di bibir Datin Zahidah, sepantas kilat Amzar menoleh ke sisi. Dia menanti reaksi Marha. Jelas, gadis itu mengangguk dengan senyuman manis. Dia mendengus. Hatinya tiba-tiba berbahang panas.
“Haah, mama. Hari ni dia off jadi dia ajak Mar temankan dia jalan-jalan.” Jawab Marha.
“Macamlah tak ada orang lain yang boleh dia ajak.” Tempelak Amzar. Dia menguis-nguis nasi yang bersisa di dalam pinggannya.
Datin Zahidah dan Dato Zuhdi berpandangan. Manakala, Aryana menyiku Akhil. Dato Zuhdi memberi isyarat agar anak-anaknya tidak menyampuk. Dia ingin lihat sejauh mana ego yang Amzar cuba pertahankan.
“Kalau dia nak beli barang-barang keperluan dia, memang dia akan ajak saya. Saya….”
“Kau bini dia ke? Dia budak kecil lagi ke? Sampaikan kau nak kena teman beli barang-barang dia? Kenapa kau tak kahwin je dengan dia dulu? Tak adalah kau menyusahkan aku!” bentak Amzar tiba-tiba.
Tanpa menunggu balasan daripada Marha, dia bangun dengan membawa pinggan kotor menuju ke dapur. Dia bengang. Hatinya panas. Dia perlukan ketenangan saat ini.
Sedangkan saat ini Marha tercengang-cengang. Dia tidak tahu kenapa dia dimarahi tanpa sebab. Dia hanya mampu melemparkan pandangan penuh tanda tanya kepada Datin Zahidah.
“Kenapa Tuan Am marah? Apa salah Mar?” soal Marha. Dia terkebil-kebil.
Datin Zahidah ketawa kecil. Diikuti oleh Aryana dan Akhil. Hanya Dato Zuhdi yang menggelengkan kepala melihat tingkah anak dan menantunya.
“Dia bukan marah Mar, tapi dia marahkan diri dia sendiri.” Jawab Datin Zahidah. Dia tersenyum simpul.
“Marahkan diri sendiri? Maksud mama?” soalnya masih lagi keliru.
Jealousy always born with love, kak.” Sampuk Akhil. Dia mengenyit mata.
Marha terpempan. Amzar cemburu? Tidak mumgkin sama sekali!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.