Tetamu Rindu

Thursday 13 December 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS Remake) - BAB 27

AMZAR menghantuk perlahan kepalanya ke meja berkali-kali. Tangannya juga tidak henti-henti menumbuk meja. Dia tidak keruan. Jiwanya resah saat ini apabila terkenangkan apa yang telah berlaku semalam.
"Apa yang aku cakap semalam? Kenapa aku cakap macam tu? Kenapa aku buat macam tu? Dengan dia pula tu. Entah apalah yang dia fikir sekarang." keluh Amzar. Dia mengangkat kepala lalu disandarkan ke kerusi. Dia mendongak memandang siling pejabatnya.
"Aku tak suka berkasar dengan perempuan tapi kau yang paksa aku buat macam ni. Aku nak kau sedar yang kau tu isteri aku. Faham? Isteri aku."
Bicaranya kembali terngiang di telinga membuatkan mata yang terpejam terbuka kembali. Amzar menggelengkan kepala apabila teringatkan apa yang telah dilakukan kepada gadis itu semalam. Spontan, jari jemarinya menyentuh bibir. Peristiwa yang pertama kali berlaku dalam hidupnya itu kembali menghiasi fikiran membuatkan Amzar melepaskan keluhan kuat. Dia menggelengkan kepala. Cuba melupakan apa yang terjadi tetapi dia gagal.
"Kenapa dia tak tolak aku? Kenapa dia biarkan aku? Aduh,  mana aku nak letak muka ni. Dulu aku yang cakap takkan sentuh tapi semalam tu? Mesti dia ingat aku dah kalah. Aku dah kalah ke ni? Tak. Tak. Aku takkan kalah. Semalam tu aku tak sengaja." ujar Amzar sendirian. Sekejap terangguk. Sekejap menggelengkan kepala. Sikap Amzar sekarang tak ubah seperti orang kurang siuman.
Dia cuba menyakinkan dirinya apa yang terjadi semalam bukan disengajakan tetapi hatinya membantah keras.
"Bukan kau ke yang paksa dia? Bukan kau ke yang nak tunjuk hak kau ke atas dia? Kau nak tunjuk yang kau tu suami dia kan?" satu suara menegur.
Amzar terkejut. Melilau anak matanya mencari arah suara. Kemudian dia menepuk dahi apabila menyedari suara itu muncul dari hatinya sendiri.
"Memanglah. Aku cuma nak dia sedar status dia tu. Tu aje." balas Amzar masih enggan mengakui rasa yang aneh itu.
"Dengan paksa dia ikut kemahuan kau?" soal hatinya lagi.
Amzar terdiam. Wajahnya berubah rona. Merah.
"Aku tak paksa. Semuanya jadi macam tu je..." jawab Amzar tergagap-gagap.
"Atau kau cemburu ada lelaki lain yang cuba dekat dengan dia sebab tu kau ambil kesempatan..."
Amzar tergagap-gagap sendirian. Entah kepada siapa dia ingin memberi penjelasan.
"Aku tak cemburu dan aku tak ambil kesempatan!" tegas Amzar kepada dirinya sendiri.
"Kalau tak cemburu,  bukan ambil kesempatan,  habis tu apa? Kau dah terpikat dengan dia? Kau dah tergoda dengan isteri kau sendiri? Jadi sekarang kau mengaku dia isteri kau? Kau akan jalankan tanggungjawab kau sebagai suami?" suara itu bertanya lagi. Bertalu-talu suara itu keluar daripada mindanya sehingga membuatkan dahi Amzar mula berpeluh.
Dia bangun kemudian menanggalkan kot yang tersarung di tubuhnya. Tali lehernya turut dilonggarkan. Dia panas. Tubuhnya terasa hangat.
"Kau dah mengaku dia isteri kau semalam, kau dah tak boleh berpaling. Kau dah terperangkap, Am. Kau dah kalah!" suara hatinya terus berbunyi.
"Shut up!" bentak Amzar lalu menekup telinganya.
Tok! Tok!
Bunyi pintu diketuk mengejutkan Amzar. Dadanya kembali berdebar. Dia yakin Marha yang sedang mengetuk pintu biliknya. Tiba-tiba Amzar menjadi gementar. Dahinya berpeluh. Lantas, dia berdiri dan berpaling menghadap tingkap.
"Masuk!" laungnya cuba berlagak selamba.
Kedengaran derap langkah sedang menghampiri mejanya. Dia tidak menoleh cuma dadanya saja yang berombak kecil.
"Assalamualaikum, tuan. Saya ada bawakan kopi untuk tuan ni," ujar Marha sambil meletakkan secawan kopi di atas meja Amzar. Dia cuba mengintai wajah Amzar yang menghadap tingkap. Marha menjongketkan bahu.
"Saya akan bacakan jadual tuan untuk hari ini.  Pukul 9.30 pagi nanti tuan ada lawatan ke setiap bahagian hotel untuk pemeriksaan bulanan. Lepas lunch tuan ada meeting dengan Encik Zekri berkenaan Mesyuarat Usahawan-usahawan Pantai Timur yang akan diadakan di hotel kita. Kemudian, pukul tiga encik kena ke ballroom untuk check persiapan sebelum dinner malam esok," ujar Marha kemudian menutup I Pad yang digunakan untuk merekodkan jadual kerja Amzar.
"Hmmm..." Amzar hanya menggumam tanpa memandang wajah Marha.
Dahi Marha berkerut. Pelik dengan reaksi Amzar hari ini. Mungkin disebabkan kejadian semalam lelaki itu berubah sikap. Perlahan-lahan,  Marha menyentuh bibirnya dengan dada yang bergetar. Lalu nafas ditarik sedalam-dalamnya dah dihembuskan perlahan. Dia menghampiri Amzar.
"Tuan..." panggil Marha perlahan.
Apabila mendengar suara itu berada dekat dengannya, Amzar terus berpaling. Langkahnya terundur ke belakang apabila mendapati Marha berada di hadapannya. Debaran di dada makin kuat menyebabkan dia terbatuk kecil.
"Saya tak tahu apa yang ada dalam fikiran tuan saat ni tapi kalau disebabkan perkara semalam tuan jangan risau, saya dah lupakan," ucap Marha. Dia mempamerkan wajah yang cukup yakin.
"Lupakan?!" suara Amzar naik seoktaf. Bulat matanya memandang wajah Marha yang penuh yakin.
Marha mengangguk laju.
"Saya tahu tuan mesti tak sengaja semalam. Emosi tuan terganggu.  Tuan dalam keadaan marah jadi saya faham. Semua tu hanya kesilapan. Jadi saya anggap semua tu tak pernah berlaku dan apa yang tuan cakapkan semlam,  saya tak pernah dengar," ujar Marha membuatkan Amzar terkedu.
"Kesilapan? Kau rasa itu satu kesilapan ke?" soal Amzar. Hatinya bagaikan dihiris saat ini. Pedih. Bagi Marha itu satu kesilapan tapi bagi Amzar, semalaman dia tidak dapat melelapkan mata gara-gara memikirkan gadis itu.
Marha menganggukkan kepala. Pandangan diliarkan ke tempat lain.
Amzar menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan. Di cuba untuk bertenang. Lantas, pandangan Marha ditentang tetapi gadis itu terlebih dahulu menurunkan pandangan. Amzar tersenyum sinis. Dia melangkah setapak demi setapak menghampiri Marha sehingga hujung kasut mereka bersentuhan.
"Dengar sini..." ucap Amzar lalu mengangkat dagu Marha supaya mendongak.
Tetapi Marha masih enggan menatap ke dalam mata Amzar. Dia gugup. Dia gementar. Dadanya kembali menyambut debaran.
"Kau anggap apa yang terjadi semalam hanya satu kesilapan? Baik. Memang satu kesilapan pun. Kesilapan yang tak ingin aku perbetulkan. Aku cuma nak tengok perangai kau yang sebenarnya. Oh, kalau tak silap aku, kau pernah cakap nak buktikan betapa murahnya kau kan? So, sekarang aku dah tahu yang kau memang jenis perempuan yang murah!" ujar Amzar. Sekadar untuk menyakiti hati Marha padahal dalam hatinya tidak sanggup untuk menuturkan kata-kata itu.
Marha terpempan. Hatinya terhiris. Dia cuba menahan air mata daripada gugur. Hinaan Amzar terlalu berat untuk dia tanggung. Lantas, tangannya dikepalkan bagi mencari secebis kekuatan.
"Baguslah kalau tuan dah tahu. Senanglah untuk tuan lepaskan saya. Saya bukan perempuan yang baik. Saya cuma akan rosakkan nama baik keluarga tuan aje. Lagipun, kemungkinan bekas tunang saya nak kembali semula kepada saya. Dia pun mesti dah berubah jadi tak salah kalau saya pertimbangkan," balas Marha cukup bersahaja.
Berdesing telinga Amzar mendengar kata-kata Marha. Hatinya bertukar panas lantas lengan Marha ditarik kasar lalu tubuh gadis itu ditolak ke dinding. Kedua belah tangannya mengempung Marha bagi menghalang Marha melarikan diri.
"Apa ni?!" marah Marha cuba menolak tubuh Amzar. Namun gagal. Tubuh lelaki itu bagaikan konkrit. Langsung tidak berganjak.
"Kau takkan mungkin lepas daripada aku. Aku akan lakukan apa saja untuk terus penjarakan dalam ikatan ni. Kau nak berhubungan dengan lelaki lain? Silakan. Tapi jangan menyesal kalau aku lakukan lebih daripada semalam." Bisik Amzar berbaur ugutan. Dia merenung bibir Marha dengan senyuman sinis terukir di wajahnya.
Marha meneguk liur. Kata-kata Amzar membuatkan jiwanya bergetar kerana dia tahu bicara Amzar bukan sekadar omong kosong. Lelaki itu akan mengotakan setiap janjinya. Marha resah. Niatnya hanya untuk memprovokasi sebaliknya dia yang kegelisahan.
"Gatal!" bentak Marha. Geram.
Amzar ketawa lepas. Dia kembali merenung anak mata Marha. Dia temui kedamaian di situ.
"Ini amaran terakhir daripada aku, jangan cuba nak berhubungan dengan mana-mana lelaki di belakang aku. Aku tak benarkan. Jangan paksa aku untuk buat perkara yang akan sakitkan kau suatu hari nanti," ujar Amzar serius.
"Kenapa? Tuan cemburu?" soal Marha. Dia senyum sinis.
Amzar terdiam. Lama dia bertentangan mata dengan Marha sehingga menjemput debaran di dadanya apatah lagi saat ini kedudukan Marha begitu dekat dengannya.
"Tak. Aku tak cemburu. Aku benci." jawab Amzar.
"Bencikan saya?" soal Marha pendek.
"Bencikan diri aku sendiri," jawab Amzar perlahan.
Dia cuba merapatkan wajahnya ke wajah Marha tetapi gadis itu terlebih dahulu berpaling ke sisi.
"Kita kat pejabat sekarang ni,  tuan." Marha mengingatkan tanpa memandang wajah Amzar.
Amzar menggigit bibir. Dia tersalah tingkah lagi kali ini. Perlahan-lahan,  tangan yang mengempung tubuh Marha dijatuhkan. Dia mengundur setapak ke belakang.
Marha menghembuskan nafas lega. Dia mengerling Amzar sejenak sebelum dia mula mengatur langkah untuk keluar dari bilik itu.
Sewaktu dia ingin melepasi Amzar, lengannya ditarik menyebabkan langkahnya terhenti serta-merta. Marha melepaskan keluhan.
"Tuan nak apa lagi..."
Belum sempat dia menghabiskan kata, satu ciuman lekat di pipinya. Marha tergamam bersama darah merah yang menyerbu ke muka. Tindakan itu cukup spontan sehingga Marha tidak sempat menghalang.
"Ikut aku ke hotel sekarang." Arah Amzar selamba tanpa rasa bersalah dengan perbuatannya tadi.
Marha terpinga-pinga. Debarannya masih belum berhenti, Amzar telah mengeluarkan arahan. Ke hotel? Apa maksud lelaki itu? Dia nak buat apa dengan aku? Detik hati Marha. Gelisah.
"Ikut tuan ke hotel? Nak buat apa?" soal Marha masih kebingungan.
Amzar mengulum senyum. Reaksi Marha yang penuh curiga mencuit hatinya.
"Tadi kau cakap aku kena buat pemeriksaan bulanan. Aku nak pergi sekarang. Kau lupa ke? Atau kau fikir benda lain?" soal Amzar sambil mengecilkan matanya memandang Marha.
Kulit wajah Marha berbahang. Dia malu dengan serkap jarang Amzar. Lantas, kepalanya ditundukkan.
"Mengarutlah tuan ni," balas Marha lalu melangkah meninggalkan Amzar yang ketawa lepas melihat gelagatnya.


"AM!" laung satu suara dari jauh mengejutkan Amzar dan Marha yang ketika itu sedang dalam perjalanan kembali ke pejabat. Kedua-duanya mendongak. Kelihatan Ratna sedang berjalan ke arah mereka berdua.
Amzar mengeluh. Sedangkan Marha hanya memandang Amzar yang kelihatan tidak senang dengan kedatangan Ratna.
"Am,  tunggu sekejap. I nak bercakap dengan you sikit," panggil Ratna lalu menghampiri mereka berdua.
"Kau pergi naik ofis dulu." Arah Amzar dengan riak yang serius.
Marha hanya mengangguk tanpa sepatah kata. Dia berlalu meninggalkan Amzar dan Ratna.
"You nak apa lagi, Ratna?" soal Amzar malas.
"I tahu you marahkan I pasal semalam tapi I nak jelaskan pada you, I tak ada apa-apa hubungan dengan lelaki yang you nampak tu." Ujar Ratna. Dia cuba meraih tangan Amzar tapi segera ditepis oleh lelaki itu.
"Jangan sentuh I. You kat tempat kerja I sekarang. Nanti staf I nampak. Tak elok," Amzar memberi alasan.
Ratna mengetap bibir. Amzar memang susah untuk dipujuk. Dia cukup kenal dengan perangai lelaki itu yang sememangnya ego.
"I cuma nak minta maaf dengan you aje. I tak suka you layan I macam ni. Buat I macam tak wujud. You tahu kan, I sayangkan you. I love you,  Am." ucap Ratna memujuk.
"Sayang? Cinta? Dengan keluar dengan berlainan lelaki itu you cakap you sayangkan I? Sudahlah Ratna. You nak I maafkan you? Okey I maafkan you. Jadi jangan ganggu I lagi. Antara kita tak ada apa-apa hubungan. I cukup benci dengan perempuan curang!" balas Amzar tegas.
Ratna resah. Nampaknya pujukan dia tak mendatangkan hasil kali ini.
"Am! Bagi I peluang. I janji I akan ubah sikap I untuk you. Dulu you pernah ajak I kahwin kan? Okey. I setuju. I akan kahwin dengan you. I akan buktikan pada you yang I dah berubah. Tolong bagi I peluang sekali lagi, Am." Rayu Ratna lagi.
Kali ini dia meraih tangan Amzar dan menggenggamnya lembut. Namun,  Amzar merentap tangannya kembali.
"Tolonglah jangan nak kusutkan lagi keadaan,  Ratna. You yang mulakan semua ni. I tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan you." tegas Amzar lagi. Kali ini dia nekad.
"Kenapa you buat I macam ni Am? Kenapa you tak nak bagi I peluang? Atau you dah ada perempuan lain? You nak putuskan hubungan kita disebabkan setiausaha you kan? You dah terpikat dengan dia kan?" soal Ratna dengan suara yang kuat.  Beberapa pasang mata memandang mereka berdua. Tetapi apabila menyedari Amzar yang berada di situ, cepat-cepat mereka melarikan diri.
"Stop it, Ratna! Jangan buat kecoh kat sini dan jangan nak mengarut!" marah Amzar.
Ratna tersenyum sinis. Air mata yang mengalir di pipinya diseka dengan kasar.
"You marah? Jadi betullah tekaan I? You memang ada hubungan dengan perempuan tu kan? Disebabkan dia, you buat I macam tak wujud!" bentak Ratna dengan hati yang membengkak.
"I said stop it,  Ratna! Lebih baik you balik. I tak nak dengar you mengarut bukan-bukan!" ujar Amzar dengan suara yang masih terkawal.
Ratna tidak berpuas hati. Semakin Amzar menafikan, semakin kuat rasa hatinya. Dia ingin berkata sesuatu tetapi anak matanya mula menangkap sesuatu yang menarik telah berlaku di hadapan matanya, betul-betul di belakang Amzar. Dia tersenyum sinis.
"I tahu I tak cukup baik untuk you tapi I sanggup untuk berubah kalau you bagi I peluang. Sekurang-kurangnya I tak berpura-pura baik. Depan orang bukan main nampak sopan, lembut tapi cuba you tengok apa yang dia buat belakang you..." ujar Ratna sambil memberi isyarat mata agar Amzar berpaling.
"Apa yang you merepek ni? Dia? Siapa?" soal Amzar pelik. Dia berpaling apabila Ratna tiba-tiba membalikkan tubuhnya supaya menghadap ke hadapan.
Amzar terkaku apabila di hadapan matanya dia melihat Marha sedang berbual dengan seorang lelaki. Lelaki yang terserempak dengan mereka semalam. Ya,  lelaki tu! Bekas tunang Marha. Mereka masih berhubungan lagi ke? Kenapa lelaki itu datang sampai ke pejabat Marha? Apa yang dia nak daripada gadis itu? Pelbagai soalan berlegar-legar di ruang fikiran Amzar. Dia cuba menahan perasaan agar tidak ketara di hadapan Ratna sedangkan hatinya bagaikan ingin meletup saat ini.
"You tengok tu, perempuan tu dah ada orang lain. I rasa kalau bukan boyfriend tentu tunang dia. Dia orang nampak serasi. Lelaki tu nampak sayang betul kat setiausaha you tu. Tengok pandangan dia pun dah tahu. Perempuan tu tak sesuai dengan you. You bagi I peluang ya?" pujuk Ratna lagi sambil memeluk lengan Amzar.
Dek kerana hatinya yang berbahang panas, Amzar tidak menepis perbuatan Ratna kali ini. Dia membiarkan saja gadis itu terlentuk di kepalanya kerana saat ini perhatiannya hanya tertumpu kepada Marha dan Naqib.
"Kemungkinan bekas tunang saya nak kembali semula kepada saya. Dia pun mesti dah berubah jadi tak salah kalau saya pertimbangkan,"
Kata-kata Marha pagi tadi kembali terngiang di telinga. Jadi, kata-kata itu bukan sekadar omong kosong, tetapi kenyataan. Gadis itu masih menyimpan harapan untuk kembali kepada bekas tunangannya. Amzar mendengus. Hatinya terbakar. Jiwanya tersiat. Dia cemburu!
Kalau ikutkan hatinya, dia ingin mengheret gadis itu jauh daripada Naqib tetapi apabila memikirkan mereka masih di tempat kerja, Amzar hanya mampu memerhatikan mereka dengan hati yang membengkak.


"MARHA,  tunggu sekejap!" panggil satu suara garau menghentikan langkah Marha yang ketika itu ingin menuju ke lif. Dia berpaling.
Terbuntang matanya apabila melihat Naqib sedang berjalan menuju ke arahnya dengan senyuman manis terukir di bibir. Marha cuak. Dia melemparkan pandangan ke arah Amzar, ternyata lelaki itu masih bersama dengan Ratna.
"Qib buat apa kat sini?" soal Marha sebaik saja Naqib berdiri di hadapannya.
"Qib cari Mar. Semalaman Qib tunggu Mar telefon tapi tak ada pun. Kebetulan Qib ada simpan lagi nombor Aisya, adik Mar tu. Jadi Qib paksa dia bagi tahu Qib tempat Mar kerja," terang Naqib sambil tersengih.
"Aisya yang bagi tahu?" soal Marha bagaikan tidak percaya.
"Mar jangan marahkan Aisya, Qib yang paksa dia. Qib nak jumpa Mar. Boleh kan?" soal Naqib lembut.
Marha memeluk tubuh. Dia melepaskan nafas pendek.
"Mar rasa kita dah tak ada apa-apa untuk bincangkan. Tak ada apa-apa yang boleh kita sembangkan pun. Mar rasa tak payahlah kita jumpa." jawab Marha dengan riak yang serius.
Wajah Naqib berubah. Dia tertunduk. Dia yakin tentu Marha masih lagi terluka dengan perbuatannya dahulu.
"Mar masih tak dapat maafkan Qib?" soal Naqib sayu.
"Mar tak nak ingat pasal benda yang lepas. Mar dah move on jadi Mar harap Qib pun sama. Qib yang buat keputusan ni. Jangan salahkan Mar kalau Mar tak dapat lupakan apa yang terjadi. Qib putuskan hubungan kita semata-mata nak kahwin dengan perempuan lain. Qib fikir apa yang patut Mar rasa bila Qib muncul semula?" soal Marha penuh emosi. Dia tidak peduli di mana dia berada saat ini.
"Qib tahu Qib salah. Qib minta maaf. Izinkan Qib tebus kembali kesalahan Qib,  Mar. Qib masih sayangkan Mar dan Qib tahu Mar pun sama." balas Naqib. Lembut memujuk.
Marha tersenyum sinis.
"Mar bukan barang yang boleh Qib ambil dan buang sesuka hati. Qib tak tahu apa yang Qib nak sebenarnya. Kalau Qib sayangkan Mar, Qib perjuangkan hubungan kita bukan lepaskan macam tu aje. Sama juga seperti hubungan Qib dan Harlina. Sepatutnya Qib pertahankan perkahwinan Qib bukan biarkan terputus macam tu je. Kita dah tak ada jodoh Qib. Terimalah. Walaupun makan masa bertahun untuk Qib terima kenyataan tu, Qib kena belajar untuk lepaskan," ujar Marha. Dia sebak apatah lagi melihat wajah Naqib yang kecewa.
"Tak. Qib takkan lepaskan Mar. Qib akan pastikan Mar jadi milik Qib semula sebab Qib tahu dalam hati Mar hanya ada Qib," tegas Naqib.
Marha menggelengkan kepala. Dia mengundur setapak ke belakang. Anak matanya dililaukan ke tempat lain sebelum tiba-tiba pandangannya bertaut dengan pandangan Amzar. Marha tergamam. Pandangan itu sarat dengan api kemarahan. Alamak, habislah aku!
"Walau dalam hati Mar ada Qib sekali pun, tapi kita tetap takkan boleh bersatu. Sampai bila-bila," ujar Marha lantas pandangannya dilarikan daripada terus ditatap oleh Amzar.
"Tapi kenapa Mar?"
"Tak semua soalan ada jawapannya. Qib baliklah. Tak payah cari Mar lagi. Semuanya dah tamat sebaik saja Qib putuskan pertunangan kita. Mar nak kena kerja. Selamat tinggal." ucap Marha kemudian berpaling meninggalkan Marha.
"Mar! Qib takkan lepaskan Mar! Qib akan tunggu Mar sampai bila-bila! Qib tahu Mar masih sayangkan Qib!" laung Naqib kuat. Dia tidak peduli pandangan orang sekeliling kerana Marha jauh lebih penting kepadanya.
Marha tidak mengambil pusing kata-kata Naqib. Dia terus berlalu ke lif tanpa menoleh ke belakang. Air mata yang bergenang, disapu dengan kasar.
Ternyata laungan Naqib yang kuat itu sempat singgah di telinga Amzar.  Dia menahan perasaan. Dadanya mula berombak ganas. Tangannya dikepal. Perempuan ni memang nak kena dengan aku!


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.