Tetamu Rindu

Thursday 20 December 2018

RINDU DALAM RAHSIA (RDS remake) - BAB 28

MARHA menghempaskan punggungnya di kerusi. Kedua belah tangannya ditongkatkan ke atas meja sebelum wajahnya diraup. Keluhan dilepaskan apabila teringat apa yang dikatakan oleh Naqib sebentar tadi.
"Kenapalah awak muncul semula, Qib? Kita takkan bersatu walau apa pun kebenaran yang awak cakapkan," ucap Marha sendirian. Air mata yang masih bersisa, diseka dengan jarinya. Dia menjatuhkan tangannya ke meja. Tiba-tiba anak matanya tertancap pada sampul surat bersaiz A4 yang terletak di atas mejanya. Dahi Marha berkerut.
"Surat apa pula ni?" soalnya sendirian.
Lalu, sampul surat itu dicapai dan dibuka. Tangannya diselukkan ke dalam sampul tersebut sebelum dia mengeluarkan beberapa keping gambar yang cukup membuatkan matanya terbuka luas bersama jantung yang berdenyut laju.
Beberapa keping gambar Amzar melangkah masuk dan keluar daripada rumahnya terpampang di ruang mata. Malah, gambar dia berpegangan tangan Amzar di hadapan restoran turut terselit sekali. Marha menekup mulutnya akibat terkejut. Anak matanya memandang ke kiri dan kanan. Hatinya tertanya-tanya siapa yang meletakkan gambar-gambar tersebut di atas mejanya? Takkan ada orang yang mengekori mereka berdua? Soal hati Marha kebingungan.
Belum sempat hatinya reda dengan tanda tanya, telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nombor yang tidak dikenali di skrin telefon. Marha cuak. Deringan kali pertama dibiarkan begitu saja. Deringan kali kedua daripada nombor yang sama memaksa Marha untuk menjawab panggilan.
“Hello…” ucapnya dengan dada yang berdebar kuat.
“Macam mana suka tak dengan kejutan tu?” soal suara yang cukup asing di telinga Marha.
“Kau siapa? Kau nak apa dengan aku?” soal Marha tanpa bertangguh.
“Aku cuma nak kau. Aku boleh bagi apa yang Amzar bagi pada kau.” Pemanggil itu bersuara lagi.
“Gila!” bentak Marha tanpa sedar.
“Aku bagi kau pilihan, datang ke bilik aku sekarang atau gambar ni aku sebarkan ke seluruh hotel ini. Biar semua orang tahu yang kau perempuan simpanan Amzar. Kau tahu apa akan jadi kalau semua orang tahu skandal kau orang berdua? Perniagaan Amzar akan lingkup! Maruah kau? Maruah kau akan jadi lebih murah daripada perempuan jalanan!” hambur pemanggil itu lagi.
Dada Marha berombak kencang. Dia benar-benar kehilangan idea saat ini. Otaknya beku.
“Kau tak payah ugut aku. Aku langsung tak takut dengan ugutan kau!” balas Marha cuba berlagak berani.
“Aku tak minta kau takut dengan ugutan aku. Aku minta kau fikir apa akan jadi kepada Amzar bila skandal ni jadi viral di media sosial? Seluruh keluarga Dato Zuhdi akan mendapat malu. Oh, atau aku tak perlu kaitkan Amzar. Cukup aku sebarkan tentang perangai buruk kau. Kaki kikis tapi berselindung di sebalik tudung yang kau pakai. Hipokrit!” ujar lelaki itu lagi sambil ketawa sinis.
“Fitnah! Kau…”
“Kejap, kejap. Tak payah marah-marah. Aku bagi masa dalam lima belas minit untuk kau sampai ke bilik aku, kalau kau tak sampai dalam masa lima belas minit, kau boleh check semua media sosial, kau boleh tahu cerita apa yang nak aku kongsikan.” pintas suara garau itu lagi.
Marha bertambah bengang. Dia gelisah. Tangannya mula menggeletar.
“Aku takkan ikut cakap kau!”
“Terpulang! Bilik 1525, tingkat lima belas. Lewat sesaat, kau tahu akibatnya!” ujar lelaki itu lantas mematikan talian.
“Hello! Hello!” suara Marha separuh menjerit. Dia menatap skrin telefonnya yang kembali kelam. Dia tidak keruan.
“Apa yang aku nak buat ni?” soalnya sendirian. Anak matanya mula menjeling jam yang melingkar di pergelangan tangan.
“Lima belas minit? Mana cukup nak sampai ke tingkat lima belas. Sah, orang ni gila. Tapi kalau dia gila, dari mana dia dapat gambar ni? Kalau semua orang tahu hubungan aku dengan Amzar, tentu lagi kecoh. Aku kena dapatkan kepastian juga,” ujar Marha akhirnya membuat keputusan.
Dia mencapai sticky note, lalu menulis sesuatu di atasnya sebelum menampalkan nota itu di atas meja. Sampul surat yang berisi gambar itu dicapai dengan pantas. Tanpa sedar sekeping gambar terjatuh di atas lantai.
“Kak Izzah, saya keluar sekejap.” Ujar Marha sambil lalu. Dia terus berlari-lari anak menuju ke lif tanpa menunggu balasan daripada Kak Izzah.
Kak Izzah tercengang. Terkebil-kebil dia memandang Marha yang menghilangkan diri sepantas kilat.
“Lajunya. Urgent sangat kut,” ucapnya sendirian. Dia berura-ura untuk melabuhkan punggung ke kerusi. Namun, panggilan daripada Amzar membuatkan dia kembali berdiri.
“Marha ada di meja dia, Kak Izzah?” soal Amzar tepat memandang wajah Kak Izzah yang kelihatan terpinga-pinga.
“Marha baru aje keluar tadi, tuan. Tuan tak terserempak dengan dia ke?” Soal Kak Izzah kembali.
“Keluar?!” suara Amzar sedikit meninggi. Wajahnya bertukar kelat. Pantas, dia menggelengkan kepala.
“Saya tak jumpa sesiapa pun tadi. Dia keluar ke mana?” soal Amzar lagi.
“Saya tak tahu pula, tuan. Tapi dia kata urgent. Saya nampak dia pegang sampul surat. Saya ingatkan dia ada meeting dengan tuan,” balas Kak Izzah mula pelik dengan soalan demi soalan yang diajukan oleh Amzar.
“Ke mana pula minah ni pergi? Takkan jumpa dengan bekas tunang dia kut,” omel Amzar sendirian. Dia menggosok dagunya yang berjanggut nipis.
“Tuan ada cakap apa-apa ke?” soal Kak Izzah apabila butir bicara Amzar tidak jelas di telinganya.
Amzar menggelengkan kepala lantas meminta diri untuk ke biliknya. Langkahnya terhenti di meja Marha. Satu per satu tempat itu dipandang sebelum anak matanya terhenti pada nota yang ditampalkan di atas meja. Dahinya berkerut. Apa benda tu? Detik hatinya.
Dia melangkah setapak lagi kemudian nota itu dicapai.
“1525? Apa ni?” soalnya sendirian.
Lantas, Amzar menyeluk saku seluarnya. Telefon bimbit dicapai lalu nombor Marha didail. Namun, tiada jawapan. Kali kedua dia mencuba, tetap tidak disambungkan. Amzar melepaskan keluhan.
“Ke mana pula minah ni pergi?” Soalnya lagi. Hatinya mula terasa sesuatu. Sesuatu yang tidak enak. Dia ingin berpaling. Dengan secara tidak sengaja, kakinya terpijak sesuatu yang berada di atas lantai membuatkan langkah Amzar terhenti.
Dia memandang ke bawah. Kelihatan sekeping kertas bersaiz empat segi tepat terdampar di atas lantai. Wajah Amzar berkerut.
“Apa pula ni?” soalnya lantas membongkokkan badan untuk mencapai kertas tersebut.
Kertas itu dipusingkan. Mata Amzar terbeliak. Kertas tersebut merupakan gambar dia sedang melangkah keluar daripada rumah sewa Marha. Bagaimana gambar tersebut boleh berada di meja Marha? Jadi, Marha yang kelihatan tergesa-gesa meninggalkan pejabat, pasti ada kaitan dengan gambar ini. Fikir Amzar.
Kemudian dia memandang nota yang berada di tangan kirinya.
“1525? Takkan nombor bilik kut?” soalnya lagi. Lama dia mendiamkan diri.
“Kalau nombor bilik, jadi tingkat ni tingkat lima belas. Tingkat lima belas, hanya untuk pelanggan VIP yang tetap,” ucap Amzar lalu mencapai telefon yang terletak di sebelah kanan meja Marha. Nombor bahagian penyambut tetamu hotel ditekan.
“Hello, Amzar bercakap ni. Tolong semakkan untuk saya status bilik 1525, ada sesiapa yang booking ke sekarang,” pinta Amzar dengan sopan.
“Sekejap Tuan Am, saya semakkan.” jawab penyambut tetamu di hujung talian.
Amzar hanya mendiamkan diri dan membiarkan pekerjanya melakukan semakan. Sedangkan saat ini dadanya ingin meletup menahan debaran. Otaknya mula memikirkan perkara buruk tetapi hatinya tetap mencuba untuk berfikir secara positif.
“Tuan, bilik 1525, dah ada yang tempah sekarang,” suara penyambut tetamu yang lembut membuatkan lamunan Amzar pecah berderai.
“Siapa yang tempah?” soalnya pantas. Jantungnya berdetak kencang menunggu jawapan yang akan diberikan oleh pekerjanya itu.


MARHA tiba di hadapan pintu bilik 1525 dalam masa tepat lima belas minit. Tanpa bertangguh dia menekan loceng. Nafasnya cuba diatur sebaik mungkin. Dadanya terasa semput kerana terlalu laju berlari. Sampul surat masih lagi berada di tangannya.
Sekali lagi loceng ditekan apabila tiada respons daripada penghuni bilik tersebut. Dahi Marha berkerut. Betul ke tak ni? Atau orang tu sengaja nak main-mainkan aku? Soal hati Marha berbelah bahagi.
Namun, belum sempat loceng ditekan sekali lagi, pintu tersebut dibuka dari dalam. Marha tersentak. Langkahnya terundur ke belakang.
“Masuk!” suara dari dalam memberi arahan. Marha teragak-agak. Dia masih menimbang baik dan buruk jika dia melangkah masuk.
“Aku minta kau fikir apa akan jadi kepada Amzar bila skandal ni jadi viral di media sosial? Seluruh keluarga Dato Zuhdi akan mendapat malu.”
Suara garau itu kembali terulang di fikiran Marha membuatkan dia nekad. Cukuplah sekali dia menyusahkan orang lain terutama keluarga Amzar, dia tidak mahu menjadi penyebab keluarga itu mendapat masalah di kemudian hari. Dia tidak mahu kebencian Amzar kepadanya makin bertambah jika gambar ini tersebar. Memang hubungan mereka sah, tetapi sanggupkah Amzar mengakui status hubungan mereka jika gambar ini tersebar? Tidak. Marha cukup yakin Amzar tidak akan mengakui status mereka sebagai suami isteri sementelah dia sedang menjalinkan hubungan dengan Ratna saat ini.
Lantas, Marha menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menghembuskannya dengan perlahan. Dia melangkah masuk dengan hati yang resah.
“Hai, Marha!” sapa satu suara dari sebalik pintu.
Marha tersentak dan menoleh.
“Datuk!” suaranya meninggi. Matanya terbuntang apabila melihat wajah Datuk Hisyam yang terpampang di ruang mata.
“Apa semua ni? Gambar-gambar ni datuk ke yang hantar?” soal Marha lagi. Masih terkejut dengan kenyataan yang baharu dia terima.
Datuk Hisyam hanya tersenyum. Dia tidak berminat dengan soalan yang diutarakan oleh Marha sebaliknya dia lebih ghairah meneliti penampilan Marha dari hujung kepala hingga ke kaki.
“You suka tak dengan kejutan tu? I tak sangka you perempuan yang macam tu. Berapa yang Am bagi pada you sampai you sanggup jadi perempuan simpanan dia?” soal Datuk Hisyam tanpa berselindung.
Dada Marha mula turun naik menahan marah. Dia berpaling ingin membuka pintu tetapi segera dihalang oleh Datuk Hisyam. Lelaki tua itu mendekatkan wajahnya ke wajah Marha membuatkan Marha terpaksa melarikan diri ke ruang bilik.
“Datuk jangan nak cari pasal dengan saya! Saya bukan perempuan murah!” tegas Marha lalu cuba mengelakkan diri daripada disentuh oleh Datuk Hisyam yang sudah kehilangan akal warasnya.
“Bukan perempuan murah? Elok je you berpegangan tangan dengan Am. I tengok Am bebas je keluar masuk rumah you. Kenapa I tak boleh? Berapa yang Am bayar pada you? I boleh bayar berkali ganda. I cuma nak you layan I macam mana you layan Am.” jawab Datuk Hisyam lalu menghampiri Marha  yang tersekat di dinding. Gadis itu kehilangan arah.
“Datuk sedar diri datuk tu! Ingat sikit anak bini datuk kat rumah! Saya bukan perempuan jalanan!” hambur Marha lalu berlari cuba merempuh Datuk Hisyam.
Tetapi dia salah tingkah. Datuk Hisyam bertindak pantas, menangkap tubuh Marha. Tubuhnya ditolak ke katil. Namun, Marha bangkit. Betis Datuk Hisyam disepak sebelum muka lelaki tua itu dilibas dengan beg tangannya. Datuk Hisyam terjatuh di atas lantai.
Kesempatan yang ada Marha gunakan untuk larikan diri. Dengan tergesa-gesa dia membuka pintu. Tetapi nasib tidak menyebelahinya, apabila rambutnya yang ditutupi tudung ditarik kasar dari arah belakang.
“Arggghh!” Marha menjerit keras. Tubuhnya ditarik dengan kuat. Marha meronta. Tangan Datuk Hisyam yang menarik tudungnya dipukul sekuat hati namun tidak memberi bekas kepada lelaki tua itu.
Tubuh Marha dihumban ke lantai. Marha menjerit lagi. Seakan ingin patah pinggangnya apabila terhenyak ke lantai.
Datuk Hisyam ketawa apabila melihat Marha yang semakin tidak berdaya. Terasa kemenangan berpihak kepadanya. Anak mata tuanya mula meliar ke segenap tubuh Marha dengan pandangan jahat. Dia menyeringai.
“Aku layan kau dengan baik, kau jual mahal. Tapi dengan lelaki lain bukan main lagi kau menggedik. Jadi, apa salahnya kalau kau layan aku. Lagipun kau dah jadi bekas orang! Kau bukan perempuan suci pun!” ujar Datuk Hisyam mula hilang kewarasan.
Tudung yang dipakai oleh Marha cuba direntap. Serentak, kedengaran pintu biliknya dibuka dari arah luar. Selang beberapa saat kedengaran tempikan kuat muncul dari arah pintu.
“Hoi!” suara itu menjerit bersama tumbukan keras hinggap di pipi Datuk Hisyam.
Tubuh Datuk Hisyam terhuyung-hayang. Namun, itu bukan pengakhirannya. Kolar bajunya dicekak sebelum perutnya ditumbuk. Matanya terbeliak. Perutnya terasa senak.
“Kau ingat dia perempuan murah! Dasar orang tua tak sedar diri!” maki Amzar melepaskan amarahnya. Merah anak matanya akibat menahan marah namun Datuk Hisyam hanya ketawa sinis meski pun mulutnya sudah mengalirkan darah.
“Dia memang perempuan murah. Kau boleh guna dia takkan aku tak boleh guna dia? Kita kongsi. Tak salah kan?” sindir Datuk Hisyam.
Kemarahan Amzar semakin memuncak. Satu lagi tumbukan dilepaskan ke muka Datuk Hisyam menyebabkan lelaki tua itu jatuh tersungkur di atas lantai. Datuk Hisyam pengsan. Turun naik dada Amzar  menahan amarah yang menggila. Hatinya sakit apabila melihat Marha diperlakukan sedemikian rupa.
Sekali lagi dia cuba untuk melepaskan sepakan tetapi gemeresik suara Marha memanggil namanya memaksa Amzar untuk berhenti.
“Am…” panggil Marha membuatkan Amzar berpaling.
Dia segera mendapatkan Marha. Tubuh gadis itu dipangku. Wajah Marha yang kelihatan tidak bermaya dipandang dengan rasa galau.
“Kau tak apa-apa, Mar? Kau dah selamat. Jangan risau, aku ada dekat sini.” ujar Amzar pantas.
“Saya takut…” gumam Marha. Dia menangis. Tanpa sedar dia memeluk tubuh Amzar.
“Ya, aku tahu. Tapi kau dah selamat sekarang. Lelaki tua tu tak apa-apakan kau. Kau selamat,” jawab Amzar cuba menenangkan Marha. Pelukan dibalas. Dia dapat merasakan tubuh Marha menggigil. Jelas, gadis itu benar-benar ketakutan.
“Saya bukan perempuan murah. Saya bukan perempuan simpanan awak. Saya bukan…”
“Ya, kau bukan perempuan murah. Kau bukan perempuan simpanan aku, tapi kau… Kau isteri aku…” pintas Amzar dengan pantas.
Tubuh Marha terus dipeluk bagi menghilangkan ketakutan gadis itu. Namun, kebisuan Marha membuatkan dahi Amzar berkerut. Malah, pelukan gadis itu semakin longgar. Amzar pelik. Dia meleraikan pelukan dan terus menjenguk wajah Marha. Jelas, kelopak mata gadis itu terpejam rapat.
Amzar gelabah. Pipi gadis itu ditepuk dengan lembut bersama panggilan yang tidak henti-henti.
“Mar! Kenapa dengan kau ni?!” soalnya lantas tubuh itu digoncangkan.
Tiada jawapan. Beku.
“Marha!”

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.