Tetamu Rindu

Thursday 6 December 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 26

TEPAT pukul lapan malam Amzar sampai di hadapan rumah sewa milik Marha tanpa lewat seminit pun. Kereta diberhentikan. Dia mengintai halaman rumah Marha yang masih kosong tanpa sebarang kereta. Mungkin kawan serumah Marha masih belum pulang. Fikir Amzar.
"Mana pula perempuan ni?" soal Amzar sendirian.
Lantas, hon ditekan sedikit. Dia tidak mahu kedatangannya mengganggu jiran-jiran Marha yang lain. Amzar melepaskan nafas apabila kelibat Marha masih belum kelihatan. Lalu, pintu kereta ditolak. Dia melangkah keluar.
"Aku tunggu lagi lima minit, kalau dia tak keluar juga, tahulah aku nak buat apa..." omel Amzar kemudian menyandarkan belakang badannya ke kereta.
Tidak lama kemudian, dia terdengar bunyi pintu dibuka. Dia mengawal bibirnya dari melebarkan senyuman. Amzar masih berlagak tenang.
"Tuan dah sampai. Maaf, saya lambat sikit," ujar Marha lalu membuka pintu pagarnya.
Amzar berpaling. Dia terpegun seketika melihat penampilan Marha. Gadis itu memilih untuk memakai blaus labuh berwarna ungu lembut dipadankan dengan skirt labuh berwarna ungu gelap. Manakala, tudung bawal yang dipakainya berwarna ungu lembut dan disilangkan untuk menutupi bahagian dadanya. Walaupun solekan dan pakaian gadis itu kelihatan sederhana, tetapi Amzar tetap tidak dapat mengalih pandangannya daripada wajah itu.
"Tuan?" panggil Marha apabila Amzar hanya mendiamkan diri.
Amzar tersedar. Laju saja anak matanya dialihkan ke tempat lain. Dia berdeham bagi meredakan debaran di dada.
"Kenapa lambat?" soalnya dengan suara yang bergetar. Seboleh mungkin dia ingin menentang pandangan Marha namun bila gadis itu mengangkat pandangan, secara automatik matanya teralih ke tempat lain. Tanpa alasan yang pasti, dia gementar.
"Err... Saya tertidur sekejap." jawab Marha lambat-lambat.
Amzar membulatkan matanya.
"Tertidur? Aku bukan main lapar lagi kau boleh tertidur? Masuk sekarang!" arah Amzar. Lalu dia melangkah masuk ke dalam kereta diikuti oleh Marha.
Marha meneguk liur. Habislah aku. Kena marah lagilah agaknya. Apalah nasib, siang malam kena marah. Rungut hatinya.
"Saya mintak maaf,  saya tak sengaja. Tuan lapar? Kejap..." ujar Marha lalu mencari sesuatu di dalam beg tangannya.
Amzar hanya memerhatikan tingkah Marha sambil tangannya laju menghidupkan enjin kereta.
"Nah..." sambung Marha lalu menghulurkan sepaket kecil biskut oat kepada Amzar.
Amzar membulatkan matanya. Dia memandang biskut itu dan Marha silih berganti. Tidak lama kemudian tawanya meledak.
"Kenapa tuan gelak? Tadi kata lapar. Makanlah biskut ni dulu sementara sampai ke kedai makan." ucap Marha. Pelik dengan reaksi Amzar yang ketawa kuat.
Amzar hanya menggelengkan kepala. Tangan Marha ditolak lembut.
"Kau makan ajelah tak pun simpan je. Setakat biskut tu tak cukup untuk perut aku ni." balas Amzar sebaik saja tawanya reda.
Marha mengangkat bahu lalu biskut itu disimpan kembali ke dalam beg.
"Tuan nak makan kat mana ni?" soal Marha sambil memakai tali pinggang keselamatan.
"Entah. Kau nak makan apa?" soal Amzar pula. Kedengaran lembut di telinga Marha. Dia tersenyum simpul dengan kepala yang ditundukkan.
Amzar memandang sekilas apabila Marha tiba-tiba terdiam. Suasana menjadi hening seketika.
"Kenapa kau diam?" soal Amzar lagi.
"Tak ada apa-apa. Pertama kali tuan tanya pendapat saya. Biasanya tuan yang buat keputusan." Jawab Marha. Senyuman masih mekar di bibirnya. Dia suka jika sikap Amzar begini. Tiada cacian,  tiada sindiran walaupun bahasa lelaki itu masih lagi kasar.
Giliran Amzar pula yang terdiam. Ya ke ni baru pertama kali aku tanya pendapat dia? Soal hati Amzar. Bahunya diangkat tanda tidak tahu.
"Jadi kau sukalah aku buat keputusan sendiri?" soal Amzar.
Marha menggelengkan kepala.
"Apa? Kau tak suka?"
"Tak. Bukan tak suka. Tuan ada hak buat keputusan sendiri memandangkan tuan bos tapi sekali sekala tuan perlukan pendapat orang lain juga. Tu maksud saya." jawab Marha cuba menjelaskan maksudnya yang sebenar.
"Jangan panggil aku tuan. Kita bukan dalam pejabat sekarang." Arah Amzar tiba-tiba.
"Apa dia?" Marha mendekatkan kepalanya ke arah Amzar. Cuba mendengar dengan jelas apa yang dikatakan oleh lelaki itu.
Amzar mengeluh. Nak kena ulang sekali lagi ke ni? Rungut hatinya.
"Jangan panggil aku tuan. Kita bukan dalam pejabat. Waktu pejabat pun dah habis ni." ulang Amzar lagi. Matanya difokuskan ke hadapan.
Marha tersenyum lagi.
"Habis tu saya nak panggil apa? Saya dah terbiasa panggil tuan,  tuan." Balas Marha.
"Entah. Panggil ajelah macam biasa asalkan tak panggil aku hoi."
"Memandangkan tuan guna aku-kau,  jadi saya rasa saya pun nak..."
Amzar membeliakkan matanya.
"No! Jangan pernah terfikir nak guna bahasa tu dengan aku. Aku tak benarkan!" pintas Amzar pantas. Dia menggeleng laju.
Marha mengulum senyum. Sengaja ingin menguji Amzar. Nampak jelas lelaki itu gelabah.
"Kenapa? Tuan boleh guna,  kenapa saya tak boleh?" soal Marha sekadar menguji.
Amzar terdiam. Ligat otaknya mencari jawapan.
"Errr... Sebab tak boleh. Aku tak suka. Tak sesuai untuk kau." balas Amzar tergagap-gagap.
Marha hanya tersenyum. Gelagat Amzar yang tiba-tiba gelabah mencuit hatinya.
"Yalah, saya takkan guna bahasa tu dengan tuan. Kita nak pergi makan mana ni?" soal Marha lagi kembali ke topik asal perbualan mereka.
"Makan dekat tempat biasa aku makanlah. Tunggu kau punya keputusan, lambat betul. Memang semua perempuan macam ni ke?" soal Amzar lalu membelokkan kereta ke perkarangan Restoran Lila Wadi.
Marha hanya ketawa mendengar pertanyaan Amzar. Kemudian dia menganggukkan kepala.
"Kalau bab tempat makan dan nak makan apa, awak jangan tanya perempuan sebab awak takkan dapat jawapan yang tepat. Silap-silap, bila sampai ke tempat yang dia cakapkan tu, dia tak nak makan pula." ujar Marha.
Amzar hanya mendengar.
"Kau pun sama macam tu?" soal Amzar lalu mematikan enjin sebaik saja selamat memarkirkan kereta.
Marha tersengih.
"Kadang-kadang je..." jawab Marha sambil tersenyum simpul.
Amzar mencebikkan bibir kemudian ketawa kecil.
"Dah nama pun perempuan. Semua perangai sama je. Kita dah sampai. Jom turun." Ajak Amzar lalu menolak pintu kereta diikuti oleh Marha.
Marha menarik nafas panjang dan menghelanya dengan perlahan. Hatinya terasa senang hari ini dengan sikap Amzar yang kelihatan lembut tidak seperti kebiasaannya. Dia tersenyum sendirian.
"Jom masuk." Ajak Amzar sebaik saja berdiri di sisi Marha.
Dengan selamba, dia meraih jari-jemari Marha dan menarik tangan gadis itu dengan lembut. Marha tersentak. Lama dia memandang tangannya yang berada dalam pegangan Amzar.
"Kenapa tak gerak lagi ni?" soal Amzar pelik. Dia memandang Marha kemudian baru menyedari pandangan Marha terarah pada jari-jemari mereka yang bertaut. Amzar tersenyum kecil tanpa terfikir untuk melepaskan pegangan itu.
"Tak payahlah termenung. Aku dah lapar ni. Elok-elok aku makan nasi, tak pasal-pasal aku makan kau." Tambah Amzar apabila Marha hanya pegun tanpa riak.
Marha tersedar.
"Yalah, kita makan sekarang." Balas Marha lalu laju saja dia menarik tangan Amzar tanpa sedar.
Amzar tersenyum suka. Hatinya berbunga-bunga saat ini.


"MANA handphone saya? Awak janji nak bagi bila saya teman awak makan. Sekarang saya dah temankan awak. Jadi saya nak telefon saya semula." ujar Marha sebaik saja mereka selesai duduk dan membuat pesanan.
"Sabarlah sikit. Makanan pun tak sampai lagi. Sibuk aje dengan telefon tu. Penting sangat ke?" soal Amzar tidak berpuas hati.
Tetapi dia tetap menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan telefon bimbit milik Marha lalu diletakkan di atas meja.
Marha tersenyum. Sebaik saja dia ingin mencapai telefon tersebut, Amzar terlebih dahulu menekup telefon itu bagi menghalang Marha mengambilnya. Dia tersenyum mengejek. Marha merengus.
"Buatlah lagi muka macam tu. Kau ingat kau comel," tempelak Amzar cuba menahan tawa.
"Memang saya comel pun. Tuan ada masalah ke?" soal Marha tidak mahu mengalah.
Amzar ketawa. Kata-kata Marha hanya diakui dalam hati. Kemudian, dia mengangkat tangannya. Telefon Marha ditolak ke arah gadis itu.
Namun, Marha masih curiga. Lama dia mengamati riak wajah Amzar. Bimbang jika lelaki itu ingin mengenakannya lagi. Tetapi Amzar memberi isyarat agar Marha boleh mengambil telefon itu semula membuatkan Marha percaya. Saat dia ingin memegang telefon tersebut, Amzar terlebih dahulu meletakkan telapak tangannya di atas telapak tangan Marha.
Marha tergamam. Bulat matanya memandang Amzar yang kelihatan selamba. Siap mengangkat-angkat keningnya.
"Awak!"
"Ya? Kenapa?" soalnya seakan tidak ada perasaan bersalah.
"Apa yang awak buat ni?" soal Marha sambil melirik tangannya yang berada dalam pegangan Amzar.
"Tak buat apa pun." Balas Amzar bersahaja.
"Lepaskan tangan saya! Ini tempat awam. Tak manis orang tengok." tegas Marha. Dia cuba menarik tangannya tetapi gagal.
"Bukan ada orang tengok pun. Kau gelabah ni apa hal? Bukan kau buat salah pun. Setakat pegang tangan je, bukan aku buat apa pun." balas Amzar masih lagi selamba. Sempat lagi dia mengelus tangan Marha dengan lembut.
"Ya, saya tahu. Tapi tetap tak manis kan kalau orang tengok. Orang lain tak tahu apa hubungan kita, jadi untuk mengelak dari difitnah, lebih baik kita jangan hampiri fitnah,  okey? Mungkin ada di antara mereka yang tak selesa tengok benda-benda macam ni. Lagipun ni tempat untuk makan kan. Jadi, lebih baik tuan alihkan tangan tuan sekarang." Terang Marha dengan lembut. Berharap agar Amzar faham. Walaupun saat ini dia sendiri tidak mengerti dengan kelakuan Amzar yang berubah menjadi romantik.
Amzar hanya menjongketkan bahu lalu mengalihkan tangannya daripada tangan Marha. Dia terdiam. Kata-kata Marha ada benarnya cuma dia yang tidak mampu mengawal kelakuannya sendiri. Dia hanya mengikut apa yang diarahkan oleh hatinya sendiri.
Makan malam mereka berlangsung dalam suasana yang sunyi. Kedua-duanya mendiamkan diri. Marha rasa bersalah. Dia pasti tentu Amzar terasa dengan tegurannya walhal dia sudah menggunakan bahasa yang paling lembut untuk menerangkan kepada Amzar situasi sebenar.
"Awak..." panggil Marha akhirnya. Dia tidak betah apabila Amzar hanya mendiamkan diri. Lelaki itu nampak pelik jika hanya membeku tanpa memandang wajahnya.
"Hmmm..." gumam Amzar tanpa memandang wajah Marha. Pandangannya hanya melekat pada chicken chop yang ternyata sudah tinggal sisa.
"Awak marah saya?" soal Marha perlahan. Dia cuba mengintai wajah Amzar yang tertunduk.
Amzar tidak menjawab. Dia memalingkan wajahnya ke tempat lain. Air kosong dicapai lalu diteguk perlahan.
"Betullah apa yang kau cakap, aku tak ada hak nak pegang kau kan? Hubungan kita bukan terlalu rapat sampai membolehkan aku untuk sentuh kau. Aku patut jaga batas aku." ujar Amzar tiba-tiba. Dia kalih pandang. Menentang anak mata Marha yang bening. Jelas gadis itu terkejut dengan kata-katanya.
"Bukan itu maksud saya. Awak dah salah faham. Saya cuma..."
"Kau belum selesai makan kan? Makanlah sampai habis. Nanti membazir pula. Aku nak ke toilet sekejap," pintas Amzar tanpa sempat Marha menghabiskan ayat.
Dia bingkas bangun. Tanpa mempedulikan pandangan Marha, dia berlalu meninggalkan Marha yang mengeluh kecil.
"Salah ke apa yang aku cakap? Kenapa tiba-tiba dia nak bad mood? Dia juga yang tak nak sesiapa tahu pasal perkahwinan ni. Tapi dia pula yang nak marah. Aku tak faham betul dengan anak Dato Zuhdi ni." bebel Marha sendirian.
"Ainur Marha..."
Marha mendongak sebaik saja namanya dipanggil. Terpampang di hadapan mata seorang lelaki yang segak berdiri berdekatan dengan mejanya sambil tersenyum manis. Marha tergamam. Dia kaku seketika.
"Naaa... Naqib?" dia bersuara perlahan. Kemudian, dia turut bangun.
Naqib tersenyum dan mengerdipkan mata.
"Ya,  saya. Alhamdulillah, Mar masih ingat Qib. Mar apa khabar? Lama betul tak jumpa. Mar sihat? Mar datang sorang aje ke? Tak sangka boleh jumpa Mar kat sini." soal Naqib bertalu-talu. Kemudian dia tertawa sendirian apabila melihat wajah Marha yang keliru.
"Maaf, banyak pulak soalan Qib. Mesti Mar tak tahu nak jawab yang mana kan?" Naqib mengakui kesalahannya. Dia menepuk dahi.
Marha hanya tersenyum kecil. Entah mengapa hatinya terasa sebak melihat wajah Naqib saat ini. Hampir tiga tahun mereka tidak bertemu sebaik saja Naqib memutuskan pertunangan mereka dan memilih untuk berkahwin dengan perempuan lain. Sakit. Pedih. Rasa itu masih bersisa dalam hati Marha. Bagaimana dia ingin melupakan segala kenangan itu jika sakitnya masih terasa? Jika lukanya masih meninggalkan parut yang mendalam?
"Mar alhamdulillah sihat. Qib datang sorang je ke? Mana Harlina?" soal Marha sambil berpura-pura mengintai belakang Naqib.
Naqib menundukkan kepala saat nama Harlina meniti di bibir Marha. Senyuman manisnya sirna dengan sendirinya.
"Qib dah buat kesilapan paling besar dalam hidup Qib saat Qib pilih Harlina sebagai isteri. Dia tak bahagia dengan Qib. Jadi, dia yang lepaskan Qib." balas Naqib perlahan.
Marha tersentak. Serentak, dia menekup mulut. Seakan tidak percaya dengan cerita Naqib.
"Dia pilihan Qib kenapa Qib tak cuba bahagiakan dia? Dia lepaskan Qib sebab dia nak Qib kejar dia semula." balas Marha. Anak mata Naqib ditentang berani.
"Qib tak boleh, Mar. Qib dah cuba. Qib tak mampu. Qib tak boleh lupakan tentang Mar. Tentang kita..."
"Tentang kita? Apa ni?" soal satu suara dari arah belakang Marha membuatkan kedua-duanya berpaling.
Marha meneguk air liur. Dia cuak apabila Amzar sedang merenungnya dengan renungan tajam.
Naqib memandang Marha dan lelaki kacak yang menegur mereka silih berganti. Dadanya mula berdebar.
"Siapa ni, Mar?" soal Naqib sambil menunjuk ke arah Amzar.
Amzar masih lagi tenang. Walaupun hatinya menggelegak panas saat ini. Dia menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut Marha.
"I rasa,  I yang patut tanya. Marha datang dengan I." balas Amzar apabila Marha seakan teragak untuk bersuara.
Naqib tersenyum nipis. Dia menghulurkan tangannya untuk berjabat dengan Amzar.
"I Naqib. Kawan lama Marha.You?" Soal Naqib kembali.
Huluran tangan Naqib disambut oleh Amzar. Namun, bibirnya masih berat untuk mengukir senyuman.
"I?  I... "
"Dia bos Mar." Sampuk Marha pantas tanpa sempat Amzar menghabiskan ayatnya. Dia berpaling pada Marha. Wajah gadis itu direnung tajam. Walaupun kenyataan itu benar tetapi Amzar merasakan Marha ingin menyembunyikan status sebenar mereka daripada pengetahuan lelaki bernama Naqib ini.
"Haah, Marha bekerja dengan I," balas Amzar dengan suara yang perlahan.
Naqib ketawa kecil. Dia melepaskan nafas lega.
"Bos? Cuma bos? Thank God! Qib ingatkan boyfriend baru Mar. Qib yakin Mar takkan berubah. Hati Mar takkan berubah." ucap Naqib dengan nada yang cukup gembira. Dia meraup wajahnya.
Amzar kebingungan. Dia kalih pandang ke arah Marha yang menundukkan wajah. Dia pasti ada sesuatu yang tidak kena di antara mereka berdua. Bahasa yang digunakan oleh lelaki itu kedengaran mesra, bukan seperti seorang kawan.
"Gembira semacam je,  bro. I tak rasa you dan Marha ni sekadar kawan kan?" soal Amzar.
Marha turut berpaling. Pandangan mereka bertaut. Jelas, renungan itu lain daripada biasanya. Renungan yang sarat dengan api kemarahan yang terpendam.
"Memang. I dengan Marha lebih daripada kawan,"
"Qib. Dahlah tu. Cerita lama kan," halang Marha. Dia mula tidak selesa apatah lagi saat ini Amzar mula menyilangkan tangannya ke tubuh. Dia yakin, lelaki itu sedang menahan perasaan walaupun dia tidak tahu apa yang dirasakan oleh Amzar. Tetapi memang itulah tabiatnya bila sedang menahan marah.
"Cerita lama? Oh, tak salah kan kalau kongsi? Alang-alang dah bertembung kat sini. Sebagai majikan, I ada hak untuk tahu," balas Amzar sambil menekankan perkataan majikan.
"Betul cakap bos Mar tu. Sebenarnya I dan Marha pernah bertunang," ucap Naqib selamba. Dia tersenyum sambil menatap wajah Marha dengan penuh perasaan. Betapa dia berharap agar dapat kembali meraih kasih sayang daripada gadis itu semula.
"Bertunang?!" suara Amzar kedengaran tinggi. Berderau darahnya apabila mendengar kenyataan Naqib. Tiba-tiba rasa panas naik hingga ke kepala.
"Bekas tunang." Marha membetulkan kata-kata Naqib. Dia mula resah. Dia gugup apabila Amzar seakan ingin menelannya hidup-hidup.
"Oh, jadi ni baru berjumpalah ya? Maaflah kalau I mengganggu tapi I rasa I kena balik sekarang. Jom Marha." ajak Amzar dengan suara yang tertahan-tahan.
Rasa hatinya ingin meletup saat ini juga. Pandangan lelaki itu terhadap Marha cukup menyakitkan hatinya. Pandangan Marha terhadap lelaki itu menambah lagi pedih di hatinya. Tetapi Amzar cuba bersahaja.
"Baiklah. Nampaknya Qib ada peluang lagilah ni,  Mar? Mesti Mar dah buang nombor Qib kan? Ni kad Qib. Call Qib tau. Qib tunggu." ujar Naqib lalu menghulurkan sekeping kad kepada Marha.
Marha hanya tersenyum tawar. Kad tersebut diambil lalu langkah kaki Amzar dibuntuti. Dia mengetap bibir. Entah bagaimana dia harus berhadapan dengan Amzar saat ini.
"Kenapa kau tak cakap yang kau pernah bertunang?" suara Amzar kedengaran keras di telinga Marha.
Saat ini mereka sudah melangkah keluar dari ruang restoran.
"Tak ada apa yang menarik nak diceritakan pun. Bertunang tapi terputus, bukan satu benda yang indah untuk dikenang kan?" jawab Marha malas.
Dia menyambung langkah menuju ke tempat parkir tetapi Amzar terlebih dahulu memaut lengannya. Langkah Marha terbejat. Dia berpaling. Lengannya ditarik kembali.
"Tapi kenapa  kau tak mengaku yang kau dah berkahwin?" soal Amzar lagi. Masih belum berpuas hati.
Marha melepaskan nafas kuat. Dia berdiri bertentangan Amzar. Pandangan lelaki itu dibalas dengan berani.
"Kalau saya..."
"Am? Marha?" tegur satu suara membantutkan niat Marha untuk bersuara. Dia mengalih pandangan ke belakang Amzar. Lelaki itu turut menoleh.
"Ratna?" soal Amzar pelik.
"You all buat apa kat sini?" soal Ratna pelik. Amzar dan Marha dipandang silih berganti.
"Ini restoran kan? Buat apa lagi selain makan?" soalan dibalas soalan oleh Amzar tetapi kedengaran sinis di telinga Ratna.
"Ya I tahu tapi you makan berdua aje dengan perempuan ni?"
"Takkan I nak ajak satu hotel kut," balas Amzar masih lagi dingin.
Kehadiran Ratna langsung tidak memberi kesan kepada Amzar. Otaknya masih memikirkan perihal Marha dan lelaki bernama Naqib itu.
"You pula buat apa kat sini? Kata ada shooting kat KL,  tiba-tiba terjengul kat sini. Laju betul you drive. Atau ada orang tolong drive?" soal Amzar lalu memandang ke arah belakang Ratna.
Ratna berpaling. Dia menggigit bibir apabila seorang lelaki berusia sedang menuju ke arahnya sambil melambaikan tangan.
"Look Am,  I boleh explain," Ratna mula gelabah.
Amzar masih lagi tenang. Dia hanya menjongketkan bahu.
"I tak perlukan apa-apa penjelasan daripada you. I tak marah pun. You berhak buat pilihan you sendiri kalau I tak dapat bagi apa yang you nak. Cuma I minta you berhenti perbodohkan I dengan alasan-alasan you sebab I dah tahu semua tentang you." Balas Amzar tanpa perasaan.
"Am,  I tahu you tengah marah sekarang..." ujar Ratna dia cuba memaut tangan Amzar tetapi lelaki itu terlebih dahulu menjauhkan diri.
"No! You tak tahu! Dan I memang tak marah. I nak balik. Pasangan you pun dah sampai. Enjoy your dinner." Jawab Amzar lalu berpaling.
"Am!" Panggil Ratna. Dia resah.
"Sayang,  ada apa ni?"
Suara garau itu sempat singgah di telinga Amzar. Dia tersenyum sinis. Kini, fokusnya kembali kepada Marha.
"Aku belum habis cakap dengan kau lagi! Masuk kereta sekarang!" arah Amzar lalu lengan Marha ditarik kuat.
"Lepaslah! Saya tahu jalan sendiri!" ujar Marha lalu merentap tangannya kembali. Satu jelingan dihadiahkan kepada Amzar.
"Huh! Aku cuma tak nak kau tersesat jalan ke arah lain pula. Maklumlah, masih ada yang menanti!" tempelak Amzar masih bengang dengan perihal bekas tunangan Marha.
"Baguslah kalau ada yang menanti tak perlu saya cari yang lain lepas saya keluar daripada hidup tuan!" balas Marha sengaja membangkitkan kemarahan Amzar.
Telinga Amzar berdesing. Jantungnya seakan ingin meletup saat ini juga.
"Kau nak sangat keluar dari hidup aku, ya?" soal Amzar dengan dada yang turun naik. Dia menghembus nafas perlahan. Cuba menahan kesabaran.
"Masuk sekarang!" arah Amzar tidak lama kemudian.
Marha mencebikkan bibir. Dia ingat dia sorang aje yang boleh tunjuk perasaan. Kekasih hati dia keluar dengan lelaki lain tak ada pula nak marah. Aku ni cuma terserempak je dengan Naqib, mengamuk macam budak kecil. Bebel hati Marha.



"LELAKI tu nampak baik,  kenapa kau putus tunang juga?" Soal Amzar tiba-tiba sewaktu mereka dalam perjalanan pulang dari restoran.
Marha tidak menjawab. Nampaknya Amzar masih ingin
mbangkitkan perihal Naqib sedangkan dia seboleh mungkin mahu melupakan pertemuan singkat tadi.
"Sebaik apa pun dia, kalau bukan jodoh takkan bersatu juga. Mungkin saya yang tak baik untuk dia," jawab Marha. Jawapan yang dirasakan paling selamat.
Amzar tersenyum kelat. Alasan yang digunakan oleh Marha sekadar ingin melepaskan diri. Dia tahu pasti ada rasa yang tertinggal dalam hati gadis itu buat Naqib. Pandangan mereka berdua menceritakan segalanya.
"Aku rasa tentu sekarang ni dia tengah fikir cara untuk kembali semula pada kau. Tentu kau suka kan? Sebab itulah dia bagi kad tu kat kau." ujar Amzar lalu menjeling kad perniagaan yang berada di dalam genggaman Marha.
"Kad?" Marha terkejut. Pantas dia mula menyedari kad nama milik Naqib masih digenggamnnya.
"Bagi kad tu kat aku," pinta Amzar tiba-tiba. Dia menadah tangannya.
"Awak nak buat apa?" soal Marha gusar.
"Bagi ajelah!" bentak Amzar. Geram.
Marha tidak punya pilihan. Lambat-lambat dia meletakkan kad tersebut di atas telapak tangan Amzar dengan pandangan penuh curiga.
Amzar tersenyum sinis. Dengan selamba, dia menurunkan cermin tingkap dan membuangkan kad tersebut ke luar tingkap. Kemudian tingkap ditutup tanpa rasa bersalah.
Sedangkan saat ini Marha sudah pun ternganga dengan tindakan Amzar. Lama wajah suaminya itu direnung.
"Awak!" Marha terjerit kecil.
"Jangan pernah bermimpi nak contact lelaki tu lagi. Aku tak benarkan." Tegas Amzar. Wajahnya berubah riak.
"Tapi kenapa? Saya dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan. Takkan nak berkawan pun tak boleh?" soal Marha tidak berpuas hati. Walau Amzar tidak kesah sekali pun, dia tetap tidak akan menghubungi Naqib. Cuma sekarang dia tidak berpuas hati dengan sikap Amzar.
"Berkawan? Bekas tunang nak berkawan? Semua tu alasan jelah. Kau tahu tak, dengan rahsiakan status kau, kau seolah-olah bagi harapan pada dia." balas Amzar. Suaranya masih lagi terkawal.
"Status? Apa status saya? Saya rasa saya tak ada apa-apa status yang perlu saya bimbangkan." jawab Marha spontan.
Amzar tersentap. Dia berpaling sejenak ke arah Marha sebelum dia memberi isyarat untuk berhenti.
"Apa kau cakap? Baru jumpa dengan lelaki tu dah lupa status kau sendiri? Dah lupa diri ke?" soal Amzar geram.
Kali ini dia berpaling menghadap Marha. Lampu kereta dibuka bagi membolehkan dia melihat reaksi Marha.
"Saya tak lupa siapa saya. Cuma itu hakikatnya."
"Hakikat? Kau bercakap tentang hakikat sekarang? Hakikat sebenar yang kau tu dah jadi isteri orang. Kau tak sedar ke?!" soal Amzar. Oktaf suaranya mula meninggi. Bergema di segenap ruang kereta yang sempit itu.
Namun, Marha hanya tersenyum sumbing. Seakan sudah terbiasa dengan suara Amzar yang menengking kuat. Alah bisa tegal biasa.
"Isteri? Isteri siapa? Saya tak rasa pun saya ada suami." Jawab Marha cukup untuk membuatkan kemarahan Amzar meledak.
Amzar terpempan. Dia tidak menyangka jawapan itu keluar dari mulut Marha. Kesabarannya benar-benar teruji. Dia menggigit bibir. Nafasnya mula tidak sekata.
"Kau jangan cabar aku, Marha,"
"Saya tak cabar. Saya cuma ingatkan apa yang awak cakapkan dulu. Awak yang tak nak akui hubungan ni. Jadi salah ke kalau saya cakap tak ada suami?" balas Marha meluahkan perasaannya.
"Baik! Aku akan tunjuk siapa suami kau yang sebenar!" ujar Amzar lalu menarik kedua belah tangan Marha supaya mendekatinya.
Marha terkejut dengan kelakuan Amzar yang tiba-tiba menjadi garang. Dia cuba menepis tangan Amzar namun cengkaman lelaki itu terlalu kuat.
"Lepas!" Marha cuba meronta. Namun, pergerakkannya terbatas disebabkan ruang kereta yang sempit ditambah dengan tubuhnya yang masih dibelit dengan tali pinggang keledar.
"Diam!" bentak Amzar kuat. Lampu kereta dimatikan. Saat ini hanya cahaya daripada lampu jalan saja yang menerangi mereka berdua.
Marha terkesip. Bibirnya terus terkunci rapat. Anak mata mereka bertentangan menjemput debar di hati Marha apatah lagi saat ini kedudukan mereka begitu rapat. Hanya beberapa inci saja wajah mereka terpisah. Marha menelan air liur.
"Aku tak suka berkasar dengan perempuan tapi kau yang paksa aku buat macam ni. Aku nak kau sedar yang kau tu isteri aku. Faham? Isteri aku." Ucap Amzar dengan cukup perlahan. Dia merenung tepat ke anak mata Marha sebelum pandangannya jatuh ke bibir Marha.
Marha terpanar. Kali pertama lelaki itu mengakui statusnya sebagai isteri. Sungguh, Marha dapat merasakan seluruh darahnya seakan berhenti mengalir. Dia terpaku. Sedangkan saat ini, Amzar semakin merapat. Rapat dan terus rapat.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.