Tetamu Rindu

Friday 28 December 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 29

AMZAR memandang Marha yang sedang terbaring dengan pandangan yang penuh dengan kerisauan. Walaupun doktor mengesahkan tiada apa-apa kecedaraan yang berlaku kepada gadis itu, namun perasaan Amzar tetap tidak keruan. Jiwanya resah.
"Datuk tu memang tak guna!  Kalau ikutkan hati, memang teruk Am kerjakan dia!" Amzar melepaskan amarah.
Dato Zuhdi dan Datin Zahidah berpandangan. Perlahan-lahan Datin Zahidah mendekati Amzar. Belakang badan anaknya digosok lembut.
"Sabar. Jangan ikutkan sangat baran kamu tu.  Mar dah selamat. Pasal datuk tu biar papa uruskan dengan pihak polis. Sekarang ni kesihatan Mar lebih penting daripada kemarahan kamu tu. Nanti kamu telefon ibu Mar,  maklumkan keadaan Mar. Mereka berhak untuk tahu." Ujar Datin Zahidah dengan lembut.
Amzar berpaling. Lama dia memandang wajah Datin Zahidah.
"Perlu ke kita bagitahu keluarga dia, mama? Nanti mereka bertambah risau pula," balas Amzar mula berbelah bahagi dengan cadangan Datin Zahidah. Tambahan lagi, hubungan Marha dan ibunya agak renggang sebaik saja mereka berdua bernikah.
"Jangan risau, saya yang akan maklumkan pada keluarga Marha," sampuk satu suara bersama pintu bilik Marha yang terkuak dari luar.
Tiga pasang mata memandang ke arah pintu. Kelihatan seorang pemuda yang memakai kot labuh berwarna putih dan memakai kaca mata sedang berdiri di hadapan mereka dengan senyuman nipis terukir di bibir. Dahi Amzar berkerut. Siapa dia ni? Soal hatinya.
"Yusuf kan?" soal Datin Zahidah.
Lelaki kacak itu hanya menganggukkan kepala.
"Ya,  saya Yusuf. Sepupu,  Marha. Saya kerja kat sini. Kebetulan doktor yang merawat Marha ni kawan saya dan dia kenal Marha jadi dia yang bagi tahu tentang Marha." jelas Yusuf lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Dato Zuhdi.
Tangannya disambut mesra. Dia hanya menundukkan kepala kepada Datin Zahidah sebelum beralih kepada Amzar. Dia menghulurkan tangan untuk berjabat. Lama Amzar merenung wajah Yusuf sebelum tangan itu disambut. Akhirnya dapat juga dia bertemu dengan sepupu Marha yang selalu disebut-sebut gadis itu.
"Maaflah kalau kedatangan saya ni mengganggu. Tapi boleh saya apa sebenarnya yang terjadi kepada Marha? Senang untuk saya terangkan kepada ibu Marha nanti," sambung Yusuf sambil memandang Datin Zahidah dan Amzar silih berganti.
Amzar hanya mendiamkan diri. Pandangan dialih pada laman wajah Marha yang masih belum sedarkan diri.
Dato Zuhdi hanya mengeluh kecil. Dia kembali menatap Yusuf yang masih menanti jawapan daripada salah seorang daripada mereka bertiga.
"Biar uncle terangkan," Dato Zuhdi akhirnya bersuara.
Kini tumpuan Yusuf terarah kepada Dato Zuhdi.  Dia mendengar dengan teliti segala cerita yang disampaikan oleh Dato Zuhdi. Sesekali dia menganggukkan kepala tanda faham.
"Saya tak tahu nak cakap apa dan saya tak tahu macam mana nak terangkan hal ni pada keluarga Marha. Saya memang tak sangka semua ni boleh jadi pada dia." ucap Yusuf dengan wajah yang kelat.
Dato Zuhdi menundukkan wajah. Sedikit rasa bersalah kerana tidak dapat menjaga menantunya dengan baik.
Pandangan Yusuf beralih kepada Amzar. Tajam matanya merenung Amzar yang hanya mendiamkan diri.
"Encik Amzar, boleh kita bercakap sekejap?" soal Yusuf dengan sopan walaupun dalam hatinya dia menahan rasa geram.
Amzar membalas pandangan Yusuf sebelum kembali memandang Datin Zahidah. Mamanya hanya menganggukkan kepala. Tidak dapat tidak, Amzar membuntuti langkah Yusuf yang sudah melangkah keluar dari bilik Marha.
"Okey, apa yang kau nak cakap?" soal Amzar tanpa menunggu lama. Dia menyandarkan belakang badannya di dinding sambil menghadap Yusuf yang kelihatan serius.
"Aku tahu sejarah pernikahan kau orang macam mana tapi tak boleh ke kalau kau jaga Marha elok-elok? Walau sebesar mana pun kebencian kau pada dia,  itu tak dapat ubah kenyataan yang dia dah jadi isteri kau! Tanggungjawab kau untuk jaga dia bukan abaikan dia sampai jadi macam ni! " Yusuf mula melontarkan kata.
Amzar sedikit bengang dengan kata-kata Yusuf memandangkan dia benar-benar risau akan keadaan Marha sekarang ini.
"Kau tak boleh salahkan aku,  bukan aku minta semua ni jadi pada dia!"
"Tak. Semuanya memang salah kau. Kalau kau terima Marha sebagai isteri kau,  semua ni takkan terjadi. Tapi disebabkan kau tak dapat terima kenyataan, kau nak rahsiakan sangat pernikahan kau orang, nilah yang terjadi. Aku rasa lebih baik kau ceraikan Marha daripada kau buat dia macam ni!" ujar Yusuf tidak semena-mena.
Amzar tersentak. Dia merenung Yusuf dengan tajam. Kata-kata lelaki itu dirasakan keterlaluan.
"Kau tak ada hak nak suruh aku ceraikan Marha!"
"Hak? Aku kenal dia lebih lama daripada kau. Dia keluarga aku. Aku takkan benarkan kau sakiti dia. Marha bukan perempuan yang suka mengadu tapi aku tahu dia tak bahagia dengan kau. Kehidupan kau dan dia jauh berbeza. Kalau kau tak dapat jalankan tanggungjawab, lebih baik kau lepaskan dia. Tu jauh lebih baik daripada kau salah gunakan kuasa kau sebagai suami." Pintas Yusuf dengan pantas. Suaranya kembali mengendur.
Amzar tersenyum sinis. Dia tersentap dengan kata-kata Yusuf. Marha tak bahagia dengan aku? Betul ke? Soal hatinya.
"Marha isteri aku sekarang, sama ada aku nak lepaskan dia atau tidak,  itu urusan aku. Apa yang terjadi pada dia hari ni,  aku akan bertanggungjawab. Aku akan jaga dia." Jawab Amzar penuh yakin.
Yusuf terdiam.
"Sekarang waktu kerja kau kan? Jadi aku minta diri dulu," sambung Amzar lalu kembali melangkah masuk ke dalam bilik meninggalkan Yusuf berseorangan.
Yusuf tersenyum sumbing.
"Baru gertak sikit dah gelabah. Ego kalahkah menara Kuala Lumpur. Nasiblah kau Marha dapat suami macam tu," omel Yusuf sendirian kemudian berlalu.


AMZAR masih lagi setia menunggu Marha meskipun gadis itu masih lagi tidak sedarkan diri. Mungkin kesan daripada ubat yang diberikan menyebabkan Marha masih lagi lena.
Satu keluhan terbit daripada mulut Amzar apabila teringatkan apa yang terjadi. Betapa luluh hatinya saat melihat Marha diperlakukan seperti itu.
"Sepatutnya aku dah boleh agak apa yang datuk tu nak daripada kau waktu dia jumpa kau kat perhentian bas hari tu. Tapi aku fikir kau yang nak goda dia. Jahatnya aku.  Maafkan aku,  Mar. Sepatutnya aku jauhkan kau daripada dia. Aku tak sangka datuk tu boleh bertindak sejauh ni. Maafkan aku, Mar." Ucap Amzar lalu mencapai tangan Marha lantas menggenggamnya dengan lembut.
Wajah Marha ditatap lama. Wajah yang sentiasa dihiasi dengan senyuman kini terbaring lemah di hadapannya.
"Saya bukan perempuan murah... Saya bukan perempuan simpanan awak..." kata-kata Marha yang terakhir masih terngiang di telinga Amzar menambahkan rasa kesal dalam hatinya.
"Marha perempuan yang baik Am. Dia tak pernah merungut tentang kamu pada mama. Walaupun mama tahu macam mana layanan kamu pada dia. Tapi mama tak tahu apa tanggapan kamu pada Marha. Mama tahu kamu bencikan dia. Sepatutnya mama tak paksa kamu nikah dengan Marha dulu. Semuanya salah mama."
Kata-kata Datin Zahidah masih melekat kemas dalam kepala Amzar.
"Dia tunjuk dia kuat depan kamu tapi mama yakin dia tetap terasa dengan setiap layanan kamu. Bila tengok dia macam ni, mama rasa bersalah sangat dengan arwah ayah Mar sebab mama tak jaga anak dia dengan baik." sambung Datin Zahidah lagi sambil menundukkan wajah. Cuba menahan sebak.
"Apa mama cakapkan ni? Marha dah selamat kan? Benda nak jadi, Am pun tak sangka Datuk Hisyam boleh jadi seteruk tu." Jawab Amzar dengan suara yang perlahan.
"Kalau Datuk Hisyam tu tahu Marha isteri orang,  mama rasa dia takkan seberani ni. Semua ni jadi sebab kamu nak rahsiakan pernikahan ni," balas Datin Zahidah lagi membuatkan Amzar terdiam.
"Mama..."
"Mama rasa lebih baik Am lepaskan Marha. Mama tak nak tengok dia terseksa lagi." sambung Datin Zahidah tanpa sempat Amzar menyambung kata.
Amzar tersentap. Hatinya bagaikan direntap apabila mendengar kata-kata Datin Zahidah yang berbaur arahan.
"Mama!" suara Amzar sedikit meninggi. Apabila menyedari keterlanjurannya,  cepat-cepat dia mengawal kembali intonasi suaranya.
"Ini bukan masanya untuk cakap pasal benda ni, Marha tak sihat sekarang ni kan,"
"Papa pun rasa apa yang mama cakap tu betul, Am. Kamu tak boleh terima dia sebagai isteri. Jadi papa rasa kamu tak perlulah teruskan hubungan ni. Daripada kamu terus seksa dia, jadi cara terbaik, lepaskan dia." Sampuk Dato Zuhdi.
Amzar terkelu. Dia tidak menyangka semua orang memaksa dia untuk melepaskan Marha sedangkan hatinya menentang keras. Amzar meraup wajahnya berkali-kali. Dia mundar-mandir di dalam bilik itu seperti orang yang kehilangan arah.
"Apa ni mama? Papa?  Dulu mama dan papa paksa Am nikah dengan Marha dan sekarang mama dan papa paksa Am lepaskan Marha untuk kebaikan? Kebaikan siapa? Marha?" soal Amzar tidak keruan. Wajahnya jelas menunjukkan dia sedang tertekan.
Dato Zuhdi dan Datin Zahidah mengangguk laju.
"Habis tu Am macam mana? Mama dan papa tak fikir pasal Am ke?" soal Amzar sedikit kecewa.
"Kamu tak ada sebarang perasaan pada Marha kan? Jadi senanglah kamu lepaskan dia. Lagipun mama tengok hubungan kamu dan Ratna masih bertahan. Mungkin mama perlu terima kenyataan yang Ratna bakal jadi menantu mama," jawab Datin Zahidah laju.
"Am dah tak ada apa-apa hubungan dengan Ratna." Pintas Amzar membuatkan Dato Zuhdi dan Datin Zahidah terkejut.
"Kenapa kamu putuskan?" soal Dato Zuhdi pula.
Amzar terdiam. Namun, anak matanya terarah kepada Marha tanpa dia sedar.
Dato Zuhdi dan Datin Zahidah berpandangan. Mereka menahan bibir daripada tersenyum.
"Apa aje alasan kamu berpisah dengan Ratna,  mama rasa kamu boleh cari pengganti yang lebih baik dan Marha bukan pilihan kamu. Lepas Marha dah sihat, kita bincang perkara ni. Mama rasa dia pun setuju kalau kamu lepaskan dia," ujar Datin Zahidah lalu berdiri diikuti oleh Dato Zuhdi.
"Mama,  mama tak boleh buat Am macam ni. Mama paksa Am kahwin dengan Marha dan sekarang mama paksa Am lepaskan dia. Tak nak! Am takkan lepaskan Marha! " Amzar bertegas.
"Kenapa kamu tak nak lepaskan dia? Kamu nak terus seksa dia? Kamu tak kesian tengok dia terlantar macam ni? Sudah-sudahlah,  Am. Dendam kamu tu tak bawa ke mana pun. Mama cuma nak betulkan kesilapan yang mama buat dulu."  Balas Datin Zahidah.
"Am... Am..." Amzar cuba mengatakan sesuatu namun Datin Zahidah terlebih dahulu memintas.
"Mama dan papa nak balik dulu, kamu pun baliklah ke ofis. Sebelum ni kamu tak pernah pun nak kesahkan pasal Marha jadi biarlah dia berehat. Nanti mama minta Pak Mad tolong jengukkan Marha," pintas Datin Zahidah membuatkan Amzar terdiam. Dia memberontak.
"Am boleh jaga Marha. Mama tak payah susahkan Pak Mad," balas Amzar pantas.
Datin Zahidah mengawal riak mukanya. Wajahnya terus dimasamkan.
"Suka hati kamulah." Jawabnya lalu menarik tangan Dato Zuhdi untuk meninggalkan bilik itu.

AMZAR mengetap bibir. Perbualan bersama mama dan papanya lenyap begitu saja. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Arahan Datin Zahidah supaya melepaskan Marha terasa begitu berat untuk dia ikuti.
"Tentu kau tak bahagia dengan hubungan ni kan, Marha? Hubungan? Layakkah apa yang terjadi di antara kita dipanggil hubungan? Tak pernah walau dalam sehari kita tak bertengkar. Bukan disebabkan kau tapi disebabkan aku yang selalu berkasar dengan kau. Aku tak pernah beri peluang pada kau untuk tunjukkan diri kau yang sebenar. Aku nafikan kewujudan kau. Tapi kenapa saat mama, papa, Yusuf minta aku lepaskan kau, hati aku rasa sakit sangat?" soal Amzar sendirian sambil merenung Marha yang masih menutup mata.
Jari-jemari Marha yang berada di dalam genggaman dibawa ke bibir sebelum jemari runcing itu dikucup lembut. Sentuhan Amzar cukup untuk membuatkan Marha tersedar.
Amzar tersentak apabila tiba-tiba jari jemari Marha bergerak. Pantas, dia mendongak memandang Marha yang mula membuka mata.
"Marha, kau dah sedar?" soalnya lalu mendekati Marha.
Marha yang baru saja membuka mata terkejut apabila melihat seorang lelaki cuba mendekatinya. Serentak, bayang wajah Datuk Hisyam yang cuba merentap tudungnya kembali terlayar ke ruang fikiran. Lantas, Marha merentap tangannya daripada pegangan Amzar.
"Jangan! Jangan dekat dengan aku! Jangan apa-apakan aku!" Marha mula menggigil ketakutan. Dia menggelengkan kepalanya berkali-kali sambil mengensotkan tubuhnya ke kepala katil.
"Mar, ni aku. Am." Ucap Amzar dengan lembut. Dia merapati Marha. Cuba meraih tangan gadis itu namun sepantas kilat, Marha menepis.
"Jangan sentuh aku!" Marah Marha lagi. Dia duduk sambil memeluk lutut sebelum kepalanya ditundukkan.
Amzar melepaskan nafas pendek. Nampaknya Marha benar-benar trauma dengan apa yang berlaku. Gadis itu kelihatan betul-betul ketakutan. Namun, Amzar tidak berhenti mencuba. Dia duduk di birai katil sambil tubuhnya dihadapkan ke arah Marha.
"Aku Am bukan datuk tak guna tu. Kau dah selamat sekarang. Kau tak apa-apa. Datuk tu tak sempat apa-apakan kau. Polis dah tangkap dia dah," ucap Amzar dengan lembut. Berharap agar Marha kembali bertenang.
Senyap. Marha hanya menekupkan wajahnya ke lutut tanpa membalas kata-kata Amzar. Sesungguhnya saat ini dia masih lagi ketakutan. Namun, mendengar kata-kata Amzar sedikit sebanyak membuatkan hatinya lega cuma fikirannya asyik teringatkan tentang peristiwa itu.
"Kalau macam tu, biar aku panggilkan doktor," ujar Amzar lalu berura-ura untuk bangun.
Belum sempat Amzar berdiri, Marha terlebih dahulu memaut lengannya. Amzar terduduk kembali. Dia berpaling. Kelihatan Marha sedang merenungnya dengan pipi yang basah dengan air mata. Dahi Amzar berkerut.
"Kau menangis?" soalnya kerisauan. Lantas, air mata itu diseka dengan jarinya.
"Betul saya tak apa-apa?" soal Marha inginkan kepastian. Dia membalas renungan Amzar yang redup.
Amzar mengerdipkan mata.
"Betul. Kau dah selamat. Tak ada sesiapa yang boleh apa-apakan kau. Aku akan jaga kau," jawab Amzar penuh yakin.
"Tapi masa tu, awak tak ada..." balas Marha. Matanya kembali berair mengenangkan peristiwa pahit yang hampir meragut maruahnya.
Amzar mengetap bibir. Lantas, dia menarik Marha ke dalam pelukan. Belakang badan gadis itu dielus lembut berharap dengan cara itu Marha bisa menenangkan diri.
"Aku minta maaf. Aku tak tahu. Kenapa kau pergi sorang diri kalau kau tahu benda tu bahaya?" soal Amzar dengan lembut.
"Gambar. Gambar tu. Dia ugut nak sebarkan gambar tu kalau saya tak ikut cakap dia. Saya terpaksa. Saya tak nak disebabkan saya, awak yang dapat masalah. Saya tak nak susahkan sesiapa pun termasuk awak dan keluarga awak," balas Marha menerangkan hal yang sebenar. Dia kembali sedar. Ingatan demi ingatan tentang kejadian semakin jelas. Pelukan Amzar membuatkan dia rasa selamat.
Amzar menghembuskan nafas. Terharu dengan kata-kata Marha. Gadis itu masih memikirkan tentang orang lain walaupun diri sendiri dalam bahaya. Sungguh, Amzar kehilangan kata saat ini.
"Kau patut fikir pasal diri kau bukan orang lain,"
"Saya tak nak hal tu jadi penyebab kebencian awak makin bertambah pada saya." jawab Marha laju.
Amzar mengeluh kecil. Dia meleraikan pelukan. Tubuh Marha dihadapkan supaya setentang dengannya. Anak mata yang bundar itu ditatap sedalamnya.
"Aku dah tak boleh bencikan kau. Walaupun aku cuba tapi aku tak boleh..." ucap Amzar dengan jantung yang berdetak laju.
"Kenapa?" soal Marha pendek.
Amzar terdiam. Lidahnya bertukar menjadi kelu. Bibirnya membeku. Tatapan mata Marha dirasakan begitu menikam lantas pandangannya diturunkan.
"Err... Aku.. Aku.. Entah.. Aku pun tak tahu," jawab Amzar akhirnya. Dia tergagap-gagap.  Kulit wajahnya terasa hangat.
Marha turut terdiam. Suasana menjadi sepi seketika sebelum Marha berpaling ke arah meja sisi. Dia cuba mencapai air yang terletak di atas meja namun segera dihalang oleh Amzar.
"Kenapa tak cakap nak air? Aku boleh tolong ambilkan," ujar Amzar lalu mencapai gelas kosong sebelum menuangkan air kosong ke dalam gelas tersebut lalu menghulurkannya kepada Marha.
"Saya tak nak susahkan awak..." ucap Marha perlahan. Huluran Amzar disambut.
"Tak ada yang susahnya. Kau tunggu sekejap, biar aku panggilkan nurse untuk check kau. Tadi dia orang dah datang tapi kau belum sedar lagi, sekarang kau dah sedar bolehlah aku panggilkan." Ujar Amzar lalu bingkas bangun.
Marha cemas apabila Amzar cuba meninggalkannya seorang diri. Sekali lagi lengan Amzar dipaut menyebabkan lelaki itu berpaling.
"Kenapa ni?" soal Amzar pelik.
"Saya nak rehat je. Tak payahlah panggil nurse. Saya nak tidur." Ujar Marha.
"Tapi kau kena check dulu..." jawab Amzar.
Wajah Marha mula berubah keruh. Pautan di lengan Amzar dilepaskan. Dia kembali merebahkan badannya ke ke katil dengan membelakangkan Amzar.
Amzar terkebil-kebil. Aku ada cakap benda yang salah ke? Soal hatinya lalu kembali duduk di birai katil.
"Mar, kenapa ni?" soalnya lembut lalu menyentuh bahu Marha.
Marha menepis. Dia menarik selimut hingga ke paras lehernya. Enggan memandang wajah Amzar kali ini.
"Kau tak nak aku panggilkan nurse ke?" soal Amzar lagi. Cuba mengerti bahasa tubuh yang ditunjukkan oleh Marha.
Marha mengangguk pantas tanpa menandang Amzar.
"Yalah, aku tak panggil. Kau rehatlah dulu. Kalau kau perlukan apa-apa, panggil aku," ujar Amzar lalu cuba melangkah menuju ke sofa.
Sebaik saja mendengar derap tapak kaki Amzar, sepantas kilat Marha berpaling.
"Awak nak pergi mana?" soal Marha laju.
Langkah Amzar terhenti lagi. Dia turut berpaling pada Marha.
"Nak duduk dekat sofa." jawabnya ringkas.
Marha menggelengkan kepala. Dia menepuk-nepuk ruang katil yang kosong seakan memberi isyarat supaya Amzar duduk di situ.
"Kau nak aku duduk kat situ?" soal Amzar masih lagi pelik dengan kelakuan Marha hari ini.
Marha menganggukkan kepala.
"Temankan saya tidur. Saya takut. Saya nak tidur tapi saya takut nak pejam mata. Saya takut datuk tu datang lagi." ujar Marha dengan riak ketakutan jelas kelihatan daripada roman wajahnya.
Amzar tiada pilihan. Dia terus melabuhkan punggung di ruang kosong yang disediakan oleh Marha. Simpatinya tertumpah saat melihat wajah polos itu mengharapkan perhatiannya.
"Awak jangan ke mana-mana tau," ucap Marha sambil memandang wajah Amzar yang tenang.
Amzar menganggukkan kepala. Dia mengengsotkan tubuhnya ke kepala katil dan membetulkan bantal yang berada di bawah kepala Marha.
"Tidurlah. Aku akan teman kau sampai kau tertidur," ucap Amzar kemudian tersenyum manis. Tangannya dilingkarkan ke bahu Marha.
Marha mendongak. Dia tersenyum senang apabila Amzar berada dekat dengannya. Terasa dirinya selamat.
"Awak jangan tinggalkan saya," ucap Marha lagi.
"Ya, sayang." jawab Amzar spontan. Serentak, dia terdiam. Mulutnya ditekup. Dia tersasul.
Marha turut tergamam. Namun, sepatah perkataan itu cukup untuk membuatkan hatinya terasa hangat. Dia tersenyum sebelum memejamkan mata. Kehadiran Amzar di sisinya sudah cukup untuk mengusir segala ketakutan dalam dirinya.
Amzar mengintai wajah Marha. Dia melepaskan nafas lega apabila Marha sudah kembali lena sambil tubuh gadis itu mengiring menghadapnya.
"Aku tahu kau kuat. Aku tahu kau boleh hadapi semua ni. Aku doakan kau cepat sembuh, Ainur Marha. Selamat malam... Sayang..." bisik Amzar sebelum menghadiahkan ciuman di dahi Marha.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.