Tetamu Rindu

Wednesday 19 September 2018

CAGARAN CINTA ( BAB 10 ) ***LAST ENTRY***

SUFI dibawa ke sebuah pondok yang terletak berhampiran dengan kebun sayur-sayuran yang cukup luas. Ternganga sedikit mulut Sufi apabila melihat kebun sayur milik Hail yang  luas terbentang. Kelihatan pelbagai jenis pokok sayur-sayuran yang ditanam seperti pokok kacang botol, kacang panjang, pokok cili dan bersebelahan dengan kebun sayur terdapat kebun pisang sama luas dengan kebun sayur-sayuran.
Gulp!
Air liur ditelan. Aku nak kena kerja di sini ke? Luas sungguh tempat ni. Detik hati kecil Sufi. Dia kecut perut.
“Besarnya kebun…” ucap Sufi tanpa sedar.
“Ini baru separuh yang awak nampak. Ini kebun untuk sayur jenis kekacang. Sebelah tu kebun cili. Sebelah sana tu kebun pisang. Daripada kebun-kebun milik Tuan Hail nilah, orang kampung dapat cari rezeki. Nanti saya akan bawa awak ke kandang lembu dan ladang kelapa sawit milik Tuan Hail. Awak akan kerja dari kebun sayur dan kebun buah ni sampailah ke ladang kelapa sawit. Termasuklah jaga lembu-lembu dan bersihkan kandang.” Terang Baim serba sedikit.
Mata Sufi membuntang. Aku kena buat semua kerja tu? Biar betul?
“Saya kena buat semua kerja? Encik ni biar betul? Cukuplah otak majikan encik tu yang senget. Takkan encik pun berjangkit sekali.” Jawab Sufi bagaikan tidak percaya.
“Ini arahan daripada Tuan Hail…”
Sufi mengetap bibir. Hatinya mula terasa berbahang. Apabila sebut saja sebaris nama ‘Tuan Hail’ pasti hatinya seakan terbakar. Panas semacam.
“Itu bukan arahan tapi penganiayaan!” bantah Sufi. Geram.
“Bukan penganiyaan tapi hukuman yang kau dah persetujui.” Sampuk satu suara membuatkan Baim dan Sufi berpaling.
Kelihatan Hail menapak ke dalam pondok sambil membimbit fail. Lelaki itu menghampiri Baim dan Sufi. Baim menunduk hormat sedangkan Sufi hanya menjeling benci. Bibirnya dicebikkan. Mengenangkan kekasaran yang lelaki itu sebentar tadi, rasa sakit hati Sufi semakin bertambah.
“Hukuman? Tuan nak jadikan saya hamba abdi ke?” soal Sufi dengan suara yang sedikit tegang.
“Memang itulah selayaknya untuk perempuan macam kau. Kau jadikan Am hamba cinta kau, takkan aku tak boleh jadikan kau hamba kat sini? Barulah adil kan?” soal Hail dengan senyuman sinis bergayut di bibirnya.
Sufi mengetap bibir. Dia menarik nafas panjang lantas dihembus perlahan. Sabar Sufi. Sabar. Kau kena tunjukkan dia kebenaran barulah dia melutut pada kau. Pujuk hati Sufi.
“Jadi apa pekerjaan saya kat sini?” Soal Sufi beralah.
Hail tersentak. Dia berpandangan dengan Baim. Dia tidak percaya Sufi boleh beralah dengan mudah tanpa perdebatan yang panjang.
“Kau baca kontrak kerja ni. Lepas tu sign.” Arah Hail lantas menghulurkan kertas A4 yang bertaip kemas kepada Sufi.
Sufi akur. Dia menghulurkan tangan ingin menyambut hulutan kertas tersebut namun belum sempat kertas bertukar tangan, Hail dengan sengaja menjatuhkan kertas kontrak tersebut ke atas lantai.
“Opsss… Terjatuh!” ucap Hail dengan nada mengejek. Senyuman sinis tidak pernah lekang daripada bibirnya.
Sufi mengepal tangannya dengan kuat. Kalau diikutkan hati, mahu saja muka Hail yang sombong itu dilempang sekuat hati. Namun, Sufi masih tahu batas-batasnya. Dia rela mengikut permintaan gila Hail pun disebabkan dia ingin membuktikan yang dirinya tidak bersalah.
Lalu, tanpa berkata sepatah kata, Sufi tunduk dan mencapai kembali kertas kontrak. Dia berdiri tegak sambil anak matanya meneliti setiap bait yang tertaip kemas di atas dada kertas tersebut.
“Mengarut!” terpacul perkataan itu daripada mulut Sufi sebaik saja dia membaca syarat pertama yang tertulis dalam kontrak tersebut. Anak matanya tegak menentang wajah Hail yang kelihatan selamba.
Hail menayang wajah selamba. Renungan tajam daripada Sufi langsung tidak berbekas di hatinya.
“Mengarut? Itulah kontrak yang paling sesuai untuk semua kesalahan yang kau dah lakukan.” Jawab Hail cukup bersahaja.
“Sesuai? Saya kena bekerja setiap hari tanpa cuti dan semua gaji saya tuan ambil untuk biaya kos rawatan Am? Tuan buat lawak ke apa? Hamba abdi pun dapat upahlah, tuan. Habis tu saya nak beli barang-barang keperluan saya dengan apa? Dengan daun? Atau pun tuan tak kesah kalau saya jual semua hasil tanaman tuan ni semata-mata nak beli barang-barang dan makanan saya? Kalau nak jadi majikan, adillah sikit. Memang saya berhutang dengan tuan. Memang saya rela dalam terpaksa bekerja di sini sebab nak tebus kesalahan saya pada Am tapi saya juga ada hak sebagai manusia! Saya bukan binatang!” hambur Sufi dengan rasa marah yang meluap-luap. Turun naik dadanya menahan rasa amarah. Kesabaran yang dipertahankan terbang entah ke mana.
Hail terkebil-kebil mendengar leteran Sufi yang panjang. Dia memandang ke arah Baim yang cuba menyembunyikan tawanya.
“Tapi perbuatan kau pada Am lebih kejam daripada binatang. Kau yang letakkan dia dalam keadaan sekarang. Dia hampir ambil nyawa dia sendiri disebabkan kau. Mana lebih kejam kau atau aku?” Soal Hail membuatkan Sufi terdiam. Dia menggigit bibir.
“Berapa kali saya nak cakap, saya minta maaf. Apa yang terjadi pada Am mungkin disebabkan saya tapi saya bukan penyebabnya. Kenapa susah sangat tuan nak faham? Dan sekarang kita bercakap pasal soal kerja. Saya tak boleh bekerja dengan kontrak kerja yang tak adil macam ni. Dalam akta pekerjaan, sebagai pekerja saya berhak diberi cuti sehari dalam seminggu, untuk kerja lebih masa tak lebih daripada 104 jam dalam sebulan dan saya berhak untuk dapat upah yang setimpal terhadap kerja-kerja yang saya dah buat. Saya masih belum bodoh dalam bab-bab hak saya sebagai pekerja!” Bidas Sufi masih belum mengalah.
Hail terdiam. Tiba-tiba saja dia kehilangan kata apabila Sufi membangkitkan soal akta pekerjaan. Dia tidak menyangka gadis yang berada di hadapannya ini tidak mudah diperdaya. Tetapi Hail enggan untuk mengakuinya. Jika dia mengakuinya bermaksud dia telah tewas di tangan musuh utamanya ini.
“Aku tak nak dengar apa yang kau merepek. Aku nak kau sign kontrak tu sekarang!” Arah Hail mulai bosan dengan celoteh Sufi.
“Tak nak!” bantah Sufi sambil menyilangkan tangannya ke dada. Dia enggan mengikut arahan Hail. Apa nak jadi, jadilah! Bentak hati Sufi. Berkeras.
Hail menarik nafas panjang. Kecil besar, kecil besar saja Sufi di matanya saat ini.
Dia mengambil pen lalu menghampiri Sufi. Nampaknya, dia terpaksa menggunakan kekerasan sekali lagi barulah gadis itu akan mengikut arahannya.
“Kau nak sign ke tak?” Soal Hail lagi dengan matanya yang dikecilkan memandang Sufi.
“Tak nak! Tak akan! Dan tak ingin!” bentak Sufi lagi. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain.
“Kau memang nak cari pasal dengan aku!”
Lantas, Hail menarik lengan Sufi. Tubuh Sufi ditarik lalu belakang tubuh Sufi ditolak sehingga tubuh genit itu terlanggar permukaan meja.
“Sakitlah! Lepas!” Marah Sufi sambil cuba meleraikan cengkaman tangan Hail di lengannya.
“Sign kontrak tu baru aku lepaskan kau. Aku tak nak dengar kau membebel, aku nak kau sign kontrak ni. Tu pun payah ke?” Soal Hail geram.
“Saya tak nak! Tuan tak boleh paksa!”
“Siapa cakap tak boleh? Sekarang kau jadi hamba aku. Sign sekarang! Sebelum aku bertindak lebih kasar.” Ugut Hail. Lantas belakang tengkuk Sufi dicengkam kuat. Jeritan Sufi langsung tidak diendahkan. Seakan mati rasa simpati Hail terhadap gadis genit itu.
Baim mengalihkan pandangan ke tempat lain. Tidak sanggup rasanya untuk melihat gadis selembut Sufi diperlakukan seperti itu. Tetapi apabila memikirkan apa yang telah gadis itu lakukan terhadap Hamsyari, mungkin inilah hukuman yang paling sesuai untuk gadis itu.
“Sakitlah! Lepaskan saya! Saya takkan ikut cakap tuan!” Sufi masih belum mengalah walaupun tengkuknya terasa sakit. Malah lengannya juga terasa perit akibat cengkaman tangan Hail yang kasar.
Hail mengetap bibir. Hatinya mula diserang rasa amarah dek kerana sikap Sufi yang asyik membantah. Lantas, dia menguatkan cengkaman di leher Sufi sehingga tubuh genit itu meronta-ronta minta untuk dilepaskan.
“Baik! Baik! Saya sign!” Sufi terpaksa mengalah. Sakit yang tidak tertanggung memaksa Sufi untuk mengalah. Mengalah bukan bererti kalah. Itu yang Sufi pegang.
“Bagus! Senang kerja aku.” Ujar Hail lantas melepaskan cengkaman tangannya di belakang tengkuk Sufi yang berbalut tudung.
Lantas, Sufi merentap tangannya daripada cengkaman tangan Hail. Dia menjeling benci. Pen yang berada di atas meja dicapai. Tanpa membaca keseluruhan kontrak tersebut, Sufi menurunkan tanda tangan.
“Puas hati?” tekan Sufi lantas mencampakkan pen tepat ke dada Hail. Dia tidak peduli dengan reaksi Hail. Tanpa menunggu lama dia melangkah keluar dari pondok tersebut.
“Eiiii… Perempuan ni kan…” Hail mengetap gigi. Dia ingin mengejar Sufi tetapi Baim terlebih dahulu menangkap lengan Hail. Langkah Hail terhenti. Dia memandang Baim dengan pandangan pelik.
“Saya rasa dia bukan perempuan yang lemah, tuan. Apa yang dia cakap ada betulnya…” ucap Baim perlahan.
Dahi Hail berkerut. Cuba mencerna kata-kata Baim dengan sebaiknya.
“Apa yang betulnya?” Soal Hail tidak berpuas hati.
“Tentang hak dia sebagai pekerja…” jawab Baim ringkas.
Hail terdiam. Sedangkan otaknya ligat memikirkan sesuatu.


BELAKANG tengkuknya digosok dengan perlahan. Rasa sakit dan perit terasa sehingga ke lubuk hati. Sedaya upaya Sufi menahan air mata yang ingin gugur. Rasa sebak mula menjengah dalam sanubari mengenangkan dirinya yang terasing di tempat yang tidak diketahui namanya ini. Dia keseorangan tanpa ada tempat untuk mengadu. Dia seolah-olah banduan yang dipenjarakan di satu tempat yang luas.
Sufi menggenggam tangannya erat. Tidak seharusnya dia menangisi setiap kekasaran yang dilakukan oleh Hail. Dia yang memilih untuk menuruti kemahuan lelaki itu. Sufi yakin suatu saat nanti kebenaran akan terbongkar dan dia mahukan Hail melutut untuk meminta kemaafan daripadanya. Hanya itu yang dia mahukan.
“Ya Allah, kuatkan hati aku untuk meneruskan semua ini. Nak lari pun tak guna, tempat ni pun aku tak tahu kat mana. Entah ceruk kampung manalah, mereka ni bawa aku. Kalau nak lari pun, aku tak ada duit sekarang ni. Nombor telefon abah pun aku lupa. Ya Allah, tunjukkan aku jalan. Tunjukkan kebenaran kepada manusia yang buta hatinya.” Rintih Sufi dengan keluhan kecil terlepas daripada mulutnya.
“Dah puas mengeluh? Sekarang masa untuk kerja.” Sergah suara garau menyentakkan Sufi. Dia mencebik. Tak perlu dia berpaling kerana dia sudah tahu siapakah gerangan pemilik suara itu.
“Saya nak buat apa, tuan?” soal Sufi. Sengaja perkataan tuan itu ditekankan. Rasa meluat pun ada dengan lelaki muda yang berada di hadapannya sekarang.
“Aku nak tengok cara kau bekerja. Pergi cangkul batas sekarang!” arah Hail dengan suara yang cukup tegas. Wajahnya serius tanpa secalit pun senyuman.
“Sekarang?” Soal Sufi. Dia memandang matahari yang semakin tegak di atas kepala dengan wajah Hail silih berganti. Dia menelan air liur.
“Habis tu nak tunggu malam karang baru nak buat batas? Kenapa, takut kulit tu terbakar kena cahaya matahari ke? Panas matahari takut, panas api neraka kau buat tak peduli pula.” Tempelak Hail.
Sufi mencebik.
“Aniaya orang pun salah satu dosa besar, neraka juga tempatnya…” jawab Sufi sambil mengancing gigi. Pandangannya dihalakan ke tempat lain.
Hail tersentak. Bulat matanya memandang Sufi yang kelihatan selamba sebaik saja menuturkan kata-kata itu. Sungguh dia tidak menyangka, Sufi seberani itu. Sedikit pun dia tidak nampak riak gentar yang terpamer di wajah gadis bertudung hitam saat berhadapan dengannya.
“Kau cakap apa?” Oktaf suara Hail meninggi.
Sufi tersenyum sumbing. Pantas, kepalanya digelengkan.
“Baim, ambil cangkul bagi kepada perempuan ni.” Arah Hail.
Baim hanya menganggukkan kepala. Dia masuk semula ke dalam pondok tempat menyimpan peralatan sebelum keluar dengan membawa sebilah cangkul lalu dihulurkan kepada Hail. Cangkul bertukar tangan.
“Ambil cangkul ni buat sepuluh batas dalam masa sejam!” arah Hail lalu mencampakkan cangkul tersebut betul-betul di hadapan Sufi.
“Dalam masa satu jam? Tuan gila ke apa?” Soal Sufi terkejut. Mencerlung dia memandang wajah Hail yang kelihatan selamba.
“Ikut arahan aku atau gaji kau aku potong dan waktu kau bekerja aku tambah lagi. Buat seperti mana aku suruh. Faham?” tekan Hail dengan mata yang terjengil.
Sufi menayang muka meluat. Tidak dapat tidak, dia mencapai cangkul yang berada di hadapannya sebelum berlalu ke tempat yang ditunjukkan oleh Baim. Dengan langkah yang berat, dia mengangkat cangkul lalu tanah digali untuk membentuk satu batas. Cuaca yang panas membuatkan tekaknya terasa perit. Peluh mula bercucuran membasahi wajah dan baju yang dipakainya.
Hail dan Baim hanya menjadi pemerhati. Tidak sedikit pun pandangan Hail teralih ke tempat lain. Dia ingin melihat bagaimana seorang gadis bandar terseksa apabila terpaksa melakukan kerja-kerja kasar seperti itu.
“Berapa minit lagi tinggal, Baim?” Soal Hail tanpa memandang Baim yang berdiri di sisinya.
“Lagi setengah jam, tuan.” Jawab Baim.
“Berapa banyak batas yang dia dah siapkan?” Soal Hail lagi inginkan kepastian.
“Lima, tuan.”
“Lima?” Suara Hail meninggi. Jelas dia terkejut. Dia memandang Baim yang hanya mampu tersengih.
“Saya tak nampak pun yang dia kekok pegang cangkul tu, tuan. Daripada batas yang dia buat tu, nampak seperti dia dah biasa dengan kerja-kerja macam ni.” Komen Baim jujur. Dia juga pelik, takkan orang yang biasa hidup di kota raya boleh membuat batas dengan cepat dan kemas. Malah, gadis itu kelihatan tidak kekok memegang cangkul.
Hail mengetap bibir. Komen Baim membuatkan dia tidak senang duduk. Lalu, dia bingkas bangun daripada kerusi lantas pergi mendapatkan Sufi yang sedang ralit mencangkul batas.
“Hoi, perempuan!” Panggil Hail agak kasar.
Sufi mendongak. Dia mengeluh berat. Apa lagilah yang lelaki ni nak?
“Datang sini sekarang.” Arah Hail sambil berdiri mencekak pinggang.
Sufi hanya menurut. Dia melangkah menghampiri Hail dengan cangkul yang masih lagi dipegang di tangan. Peluh yang merembes di wajahnya hanya diseka dengan lengan baju.
“Tuan nak apa lagi? Lagi lima batas aje yang tinggal.”
“Batas yang kau buat ni tak cantik. Buat yang lain. Kali ni buat sepuluh batas dalam masa setengah jam.” Arah Hail tanpa perasaan bersalah. Barisan tanah yang sudah siap digemburkan oleh Sufi disepak dengan kakinya.
Jelas riak Sufi berubah. Dia tersentak. Serentak, rasa geram menyerbu ke diri. Terasa seperti dirinya dipermainkan.
“Dah nama pun batas, macam nilah rupanya. Nak cantik macam mana lagi, tuan? Nak angkat cangkul pun makan masa dua minit, mana sempat nak siapkan sepuluh batas dalam masa setengah jam. Logiklah sikit, tuan.” Ucap Sufi dengan suara yang mendatar. Dia sudah penat untuk bertekak dengan Hail walaupun dalam hatinya bagaikan ingin meletup menahan kesabaran.
“Aku bos ke kau yang bos?” Soal Hail sombong. Kata-kata Sufi langsung tidak melekat dalam otaknya. Dia cuma mahu melihat gadis itu terseksa.
“Saya pun tak nak dapat bos yang otak tak betul macam tuan…” desis Sufi cukup untuk dia saja yang mendengar.
“Kau cakap apa?” Sergah Hail apabila terdengar seperti gadis itu mengatakan sesuatu yang tidak jelas di pendengarannya.
“Tak ada apa-apa, tuan. Baiklah. Saya yang menurut perintah. Tapi saya nak tanya, tuan nak tanam pokok apa kat kebun pisang ni? Siap berbatas lagi.” Sufi memberanikan diri untuk bertanya. Dia memandang kawasan sekeliling yang dipenuhi dengan pokok-pokok pisang. Dari jauh kelihatan beberapa orang pekerja yang sedang mencantas daun pisang.
“Kau rasa? Takkan aku nak tanam pokok durian pula kat kebun pisang.” Balas Hail acuh tak acuh.
“Nak tanam pokok pisang? Tapi batas ni…” kata-kata Sufi terhenti dengan sendiri. Dia memandang batas-batas yang dicangkul dengan penuh kepayahan sebelum pandangannya berlabuh di wajah Hail yang kelihatan selamba.
Sufi mengetap bibir. Dadanya turun naik menahan rasa sebal. Terasa dirinya diperbodohkan oleh Hail.
“Saya memang tak cantik tapi saya bukan bodoh. Tanam pokok pisang tak perlukan batas. Tapi kalau tuan nak sangat, lubang kubur pun saya boleh gali!” balas Sufi lantas menghempas cangkul betul-betul di hadapan Hail. Tanda protes.
Buat kesekian kalinya Hail tersentak dengan tindakan berani Sufi. Dia kehilangan kata apatah lagi saat ini dia mendengar bunyi tawa kecil daripada Baim. Dia hanya mampu memandang Sufi yang melangkah menghampiri Baim.
“Encik Baim, lepas ni apa pula kerja yang saya kena buat?” Soal Sufi tanpa menghiraukan Hail yang terkebil-kebil.
“Errr…” Baim serba-salah. Tawanya terhenti.
“Eh kejap…” Suara Sufi menarik perhatian Hail dan Baim. Langkah Baim terhenti di belakang Sufi sedangkan Hail hanya menanti bicara daripada gadis itu.
“Kenapa Sufi?” Soal Baim pelik. Dia memandang ke arah pandangan mata Sufi. Jelas, anak mata bundar itu sedang merenung pokok pisang.
“Cuba encik tengok pokok pisang ni…” ujar Sufi seraya menuding jari ke arah pokok pisang yang sudah berbuah.
Dahi Baim berkerut seribu. Dia hanya menurut dengan tanda tanya bermain di kepalanya.
“Saya dah bosan tiap-tiap hari tengok pokok pisang. Apa yang tak kena dengan pokok tu?” Soal Baim inginkan jawapan.
“Kalau kita suka aniaya orang lain, kita sama ajelah macam pokok pisang ni…” jawab Sufi tanpa sedikit pun mengalih bola matanya daripada menatap pokok pisang tersebut.
“Maksud awak?”
“Hanya pokok pisang, pokok yang ada jantung tapi tak ada hati!” ayat terakhirnya ditekankan dan dikuatkan agar didengari oleh Hail. Anak matanya dilirikkan ke arah Hail sebelum dia menjeling benci.
Baim terkedu. Dia memandang Hail yang kelihatan menahan sabar. Dia yakin pasti ada sesuatu yang berlegar-legar dalam fikiran Hail saat ini. Sedangkan dia juga tertanya-tanya. Siapa sebenarnya gadis di hadapan mereka saat ini?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.