Tetamu Rindu

Thursday 10 January 2019

RINDU DALAM RAHSIA ( RDS remake) - BAB 31

DATIN ZAHIDAH mengeluh kecil apabila melihat Amzar yang terus mendaki tangga menuju ke biliknya tanpa menegur dia dan Dato Zuhdi terlebih dahulu. Dia tidak tahu apa yang dirasakan oleh Amzar sekarang ini. Jika ditanya anak sulungnya itu hanya tersenyum seolah-olah semuanya baik-baik sahaja padahal Datin Zahidah tahu, Amzar sedang menyembunyikan perasaannya yang sebenar.
“Abang tengoklah Am tu. Dia macam tak nampak pula kita kat sini,” ujar Datin Zahidah sambil menggelengkan kepalanya. Kesal.
“Dia bukan tak nampak tapi dia tak sedar. Awak tak nampak ke pandangan dia kosong je tu. Jasad dia memang kat sini tapi fikiran dia dah jauh melayang. Bukan hari ni je tapi sejak kebelakangan ni memang itulah perangai anak awak. Dia hilang fokus. Masa meeting pun dia asyik termenung.” Balas Dato Zuhdi sambil mencicip kopi yang dihidangkan oleh Datin Zahidah.
“Agaknya kenapa Am jadi macam tu, bang?” soal Datin Zahidah ingin tahu.
“Abang perasan dia jadi macam tu sejak Marha resign dan balik kampung. Mungkin juga dia tertekan bila kita dan keluarga Marha paksa dia lepaskan Marha. Abang rasa Am tak dapat terima permintaan keluarga Marha tu,” balas Dato Zuhdi membuat andaiannya sendiri.
“Kalau Am tak dapat terima permintaan keluarga Marha bermakna Am dah boleh terima Marha sebagai isteri dia?”
Dato Zuhdi mengerdipkan mata. Dia yakin dengan kata hatinya.
“Awak kenal Am macam mana kan? Dia memang susah nak luahkan perasaan dia sendiri. Segala apa yang terjadi kepada dia, dia pendam. Tapi kita boleh baca daripada bahasa badan dia. Selama ni abang tak pernah tengok Am tak terurus macam ni. Maksud abang, macam ada sesuatu yang mengganggu fikiran dia. Dia asyik termenung. Kadang-kadang terlebih buat kerja. Kadang-kadang sampai ke malam dia buat kerja tapi satu kerja dia pun tak ada yang siap. Dia hilang fokus. Abang syak ni memang ada kaitan dengan Marha,” sambung Dato Zuhdi lagi.
Datin Zahidah terdiam sambil mengangguk-anggukkan kepalanya mendengar penerangan Dato Zuhdi. Dia memicit dahi.
“Abang rasa kita terlalu berkasar ke dengan Am? Kita sengaja paksa dia lepaskan Marha, mungkin dia rasa tertekan disebabkan itu.” Balas Datin Zahidah mula rasa bersalah dengan tindakannya memaksa Amzar melepaskan Marha walhal itu semua hanya lakonan. Dia ingin melihat sejauh mana perasaan Amzar terhadap Marha dan sekarang dia tahu Amzar cuba memendam perasaannya sendiri.
“Kita cuma nak dia sedar dengan perasaan dia sendiri. Itu aje. Tapi awak tengoklah, sampai sekarang dia tak sebut apa-apa tentang penceraian tu dan abang rasa Am betul-betul tak nak lepaskan Marha,” jawab Dato Zuhdi.
“Abang tak rasa ke Am tak nak lepaskan Marha sebab dia nak balas dendam? Yalah, kita paksa dia kahwin jadi sebagai balasan dia takkan lepaskan Marha tapi dia tak nak bertanggungjawab atas ikatan mereka,”
Dato Zuhdi menggelengkan kepala. Dia tersenyum nipis.
“Kalau awal perkahwinan mereka dulu, abang memang pasti Am terpaksa kahwin dengan Marha tapi sekarang dah lain. Am dah mula terima Marha tapi dia keliru dengan perasaan dia sendiri. Dia tak yakin dengan perasaan yang wujud untuk Marha. Awak tahu kan anak kita tu tak boleh nak sebut langsung perkataan cinta tu. Manalah dia nak tahu dia jatuh cinta ke tak,” balas Dato Zuhdi.
Datin Zahidah menganggukkan kepala tanda faham. Dia termenung seketika.
“Saya rasa kita kena jumpa dengan Am ni, bang. Kita kena sedarkan dia,” ujar Datin Zahidah dengan semangat yang berkobar-kobar.
“Awak mamanya, saya rasa dia lebih selesa bercerita dengan awak. Awak pergilah bercakap dengan dia. Nanti saya menyusul,” balas Dato Zuhdi setuju dengan cadangan Datin Zahidah.
Datin Zahidah hanya menganggukkan kepala. Dia bangun dan menuju ke tingkat atas. Langkah kaki diatur menuju ke bilik Amzar. Pintu bilik itu diketuk sebelum tombol pintu dipulas dengan perlahan. Dia melepaskan nafas kecil apabila melihat Amzar sedang termenung di balkoni. Pemuda itu seakan tidak menyedari kedatangannya.
“Assalamualaikum. Am…” panggil Datin Zahidah dengan lembut. Dia menghampiri Amzar yang sedang termenung panjang.
Amzar tersentak. Dia berpaling sejenak. Secangkir senyuman diukirkan buat mamanya. Namun, senyuman itu dirasakan cukup hambar.
“Waalaikummusalam. Eh, mama.” Ucapnya ringkas. Pandangannya kembali menghadap ke hadapan. Dia hanya membiarkan Datin Zahidah berdiri di sisinya.
“Am dah makan?” soal Datin Zahidah berbasa-basi.
Amzar hanya menganggukkan kepala.
“Mama tak nampak pun Am makan tadi. Am makan kat luar ke? Tapi setahu mama, kalau dinner, Am lebih suka makan dekat rumah,” ucap Datin Zahidah cuba menarik minat Amzar untuk membuka mulut.
“Am dah makan sebelum balik tadi.” Jawab Amzar.
“Okey. Mama tengok Am makin tak bermaya je ni. Am tak sihat ke?” soal Datin Zahidah lagi.
“Am sihat, mama.”
Datin Zahidah kehabisan bicara. Sikap Amzar kali ini membuatkan Datin Zahidah mati kutu. Sepatah ditanya, sepatah yang dijawab.
“Berita tentang Ratna tu macam mana? Am dah selesaikan ke masalah Am dengan dia?” Datin Zahidah masih belum berputus asa untuk mengajak Amzar bercerita.
“Dah. Am dah minta dia jelaskan perkara sebenar kepada public. Kalau dia buat hal lagi, Am terpaksa batalkan kontrak dia sebagai duta hotel kita,” terang Amzar.
Datin Zahidah menganggukkan kepala tanda faham.
“Baguslah kalau kamu bertegas dengan dia. Mama tak suka dia gunakan media sosial untuk ikat kamu. Kita orang bisnes, Am. Apa saja berita buruk yang keluar di media tentang kamu atau kakitangan lain pasti akan menjejaskan nama baik syarikat. Sebab itulah mama paksa kamu nikah dengan Marha dulu. Mama tak nak nama baik syarikat kita terjejas,” ujar Datin Zahidah tanpa sedar menyebut nama Marha.
Amzar terdiam apabila nama Marha meniti di bibir Datin Zahidah. Sebaris nama itu sudah cukup membuatkan hatinya tersentuh. Sudah seminggu dia tidak mendengar khabar daripada gadis itu. Apa yang sedang gadis itu lakukan sekarang ini? Sihatkah dia? Soal hati Amzar dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak. Dia mendongak ke langit. Seakan terlihat bayang wajah gadis itu sedang tersenyum ke arahnya. Amzar menggigit bibir. Hatinya terasa seperti dicubit. Sakit.
Datin Zahidah mengemam bibir. Sedar akan keterlanjuran kata-katanya.
“Jadi kenapa sekarang mama paksa Am lepaskan Marha? Mama tak takut kalau orang tahu tentang ni?” soal Amzar setelah agak lama mendiamkan diri. Dia berpaling ke arah Datin Zahidah.
“Mama mengaku, dulu mama paksa kamu kahwin dengan Marha sebab mama takut orang tahu tentang berita itu. Tetapi alhamdulillah, sampai sekarang tak ada sesiapa pun yang tahu tentang perkahwinan kamu berdua ni melainkan keluarga terdekat. Jadi memandangkan kamu tak ada apa-apa perasaan pada Marha dan hubungan kamu tak lebih daripada pekerja dan majikan, mama rasa lebih baik kamu berdua berpisah dan buat hal masing-masing. Mama tak nak kamu berdua lebih berdosa jika teruskan hubungan ni tapi tak jalankan tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri. Mama rasa kamu faham kan maksud mama?” ujar Datin Zahidah panjang lebar.
“Tapi Am tak boleh nak ikut cakap mama kali ni,” jawab Amzar laju.
Datin Zahidah terdiam. Lama dia memandang wajah Amzar. Berharap agar lelaki itu memberi penjelasan.
“Maksud kamu?”
“Selepas Marha letak jawatan dan pula ke kampung, Am cuba untuk lupakan dia. Am cuba untuk bencikan dia dengan ingat semula sejarah pernikahan kami tapi Am tak mampu untuk bencikan dia, mama. Am tak mampu lupakan dia. Setiap sudut di pejabat tu, Am nampak dia. Setiap ruang dalam rumah ni, Am nampak dia. Apa yang Am perlu buat untuk lupakan dia mama?” Soal Amzar dengan suara yang lirih. Wajahnya ditundukkan. Air mukanya berubah sendu.
Datin Zahidah terkedu. Pengakuan Amzar sedikit sebanyak membuatkan dia ingin melonjak gembira tetapi Datin Zahidah cuba mengawal perasaannya. Namun, jauh dalam hati, dia bersyukur kerana Amzar mengakui perasaannya sendiri walaupun anak lelakinya itu masih nampak keliru.
“Am rindukan Marha?” Soal Datin Zahidah lambat-lambat.
“Rindu? Ini ke perasaan rindu, mama?” Soalan dibalas dengan soalan oleh Amzar namun soalannya tidak ubah seperti remaja yang baru belajar tentang perasaan.
“Apabila hati dan fikiran kamu teringat orang yang sama, itulah rindu. Apabila hati kamu takut untuk kehilangan seseorang, itulah cinta.” Jawab Datin Zahidah dengan perlahan.
Amzar terdiam. Cuba menghadam kata-kata Datin Zahidah. Jika inilah rasanya rindu, benar dia rindukan Marha saat ini. Dek kerana rasa rindu itu, hatinya rasa seperti ditumbuk. Sakit. Perit.
“Tapi Am dah terlambat, mama. Keluarga Marha takkan terima Am lagi. Marha pun dah tak nak pandang Am. Am banyak buat salah pada dia. Am sakitkah hati dia. Am hina dia. Am tuduh dia bukan-bukan. Am yakin dia takkan terima Am,” balas Amzar dengan riak kecewa tergambar jelas di wajahnya.
“Jadi, Am nak mengalah macam tu aje ke?” sampuk satu suara dari arah belakang membuatkan Datin Zahidah dan Amzar berpaling.
Kelihatan Dato Zuhdi tersenyum kepada mereka berdua. Dia menghampiri Amzar. Bahu anak lelakinya dipeluk mesra.
“Papa…” ucap Amzar perlahan.
“Lelaki sejati takkan menyerah kalah apabila berkaitan dengan hati dan perasaan. Tunjukkan perasaan sebenar kamu pada Marha, papa yakin dia akan terima kalau kamu ikhlas dengan perasaan kamu sendiri,” sambung Dato Zuhdi sambil berpandangan dengan Datin Zahidah. Isterinya itu hanya tersenyum manis.
“Tapi keluarga Marha nak Am lepaskan Marha…”
“Keluarga Marha aje kan? Bukan Marha. Keluarga Marha nak kamu lepaskan Marha sebab dia yakin kamu tak ada apa-apa perasaan pada Marha. Dia tak nak pernikahan ni mendatangkan dosa kepada kamu berdua, tapi kalau kamu tak nak lepaskan Marha disebabkan kamu dah mula sayangkan dia, papa rasa keluarga dia tentu akan terima. Cuma kamu perlu usaha lebih sikit untuk pujuk Marha dan keluarga dia,” balas Dato Zuhdi cuba memberi semangat pada Amzar.
“Macam mana Am nak pujuk? Am tak pandai nak pujuk perempuan,” jawab Amzar dengan perlahan. Dia tertunduk malu.
Dato Zuhdi dan Datin Zahidah berpandangan. Mereka ketawa lepas. Reaksi Amzar sudah cukup membuktikan bahawa anak lelakinya itu benar-benar sudah jatuh cinta.
“Betul ke yang ada depan papa ni, Amzar Mukhriz? Papa macam tak percaya pula. Hebat betul penangan Marha sampaikan Am yang gagah perkasa boleh tersipu malu macam ni,” gurau Dato Zuhdi kembali menyambung tawa.
Wajah Amzar mula berona merah. Dia tidak mampu untuk mengangkat muka saat ini. Jantungnya mula berdetak tak menentu.
“Abang, tak payahlah usik budak ni. Kesian dia,” tegur Datin Zahidah lalu memeluk erat lengan Amzar. Lengan anak lelakinya itu diusap lembut.
“Nak pujuk perempuan, kamu mesti bijak guna perasaan. Apa yang Marha nak adalah kepastian daripada kamu. Pengakuan kamu sendiri. Tunjukan dan ucapkan yang kamu sayangkan dia. Barulah dia yakin untuk terima kamu,” tambah Datin Zahidah.
“Kalau dia tak nak terima juga?” soal Amzar lagi.
“Lepaskan dia. Kamu tahu kan, cinta tak boleh dipaksa,” balas Dato Zuhdi sambil tersengih.
“Tak! Am takkan lepaskan dia!” ucap Amzar dengan yakin.
“Kalau macam tu, apa tunggu lagi?” balas Dato Zuhdi sambil tersenyum penuh makna.
Amzar menganggukkan kepala. Dia mula berpaling untuk melangkah ke ruang kamarnya.
“Am nak ke mana pula tu?” soal Datin Zahidah pelik.
“Am nak kemas baju, mama.”
“Kemas baju? Nak pergi mana?”
“Nak bawa menantu mama balik,” ucap Amzar dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
Datin Zahidah turut tersenyum. Lega.


“KAMU nak ke mana ni, Mar?” soal Puan Kalilah apabila berselisih dengan Marha di muka pintu. Anak gadisnya itu hanya tersenyum nipis.
“Mar nak ke pantai kejap, ibu. Nak ambil angin.” Jawab Marha kemudian menuruni tangga dan terus menyarung selipar.
“Kamu buat apa kat pantai tu tiap-tiap hari? Kalau tak ke pantai, kamu termenung aje memanjang. Kamu fikir apa sebenarnya ni? Fikirkan orang jauh ke?” Soal Puan Kalilah bertalu-talu.
Marha melarikan pandangan ke tempat lain. Dia tidak mahu Puan Kalilah membaca hatinya saat ini.
“Mar tak fikir sesiapa pun, ibu. Mar cuma nak tenangkan fikiran je. Nak fikir masa depan Mar. Pasal kerja lagi. Banyak perkara yang Mar nak kena fikir,” balas Marha cuba berdalih.
Puan Kalilah duduk di atas tangga. Wajah Marha ditenung dengan lama. Dia tahu Marha sedang menyembunyikan sesuatu.
“Sebut pasal kerja, betul ke kamu nak pergi temuduga terbuka di Langkawi sana tu? Tak ada tempat lain ke? Jauh sangat tu.” Balas Puan Kalilah mula teragak-agak dengan keputusan Marha.
“Insya-Allah, Mar ingat memang nak cuba nasib kat sana. Lagipun hotel tu buat temuduga terbuka, kalau ada rezeki Mar diterima, Mar kerja ajelah. Kalau tak ada, Mar nak cari kerja dekat-dekat sini je.” Jawab Marha.
“Tak boleh ke kalau kamu cari kerja dekat sikit?” Soal Puan Kalilah lagi. Berat hatinya untuk melepaskan Marha sejauh itu.
“Mar nak cari pengalaman tempat lain, ibu. Lagi jauh lagi baik,” jawab Marha. Hujung suaranya kedengaran perlahan.
“Kamu nak larikan diri?” soal Puan Kalilah sambil mengecilkan kelopak matanya.
Marha menggaru-garu kepalanya yang beralas tudung. Dia menggigit bibir.
“Taklah. Mana ada Mar nak larikan diri. Mar cuma nak cari pengalaman kat tempat lain je,” dalih Marha lagi. Dia menurunkan pandangan. Dia menguis-nguis pasir dengan hujung selipar yang dipakainya.
“Ibu kenal kamu, Mar. Ibu tak kesah apa saja keputusan kamu. Kalau kamu rasa itu terbaik untuk masa depan kamu, teruskan. Tapi satu aje yang ibu minta, jangan lari daripada masalah. Selesaikan apa yang patut kamu selesaikan. Tak elok kamu tangguh-tangguh perkara macam ni.” Ujar Puan Kalilah dengan tegas.
Marha terdiam. Dia cukup faham apa yang dimaksudkan oleh Puan Kalilah. Bukan dia yang menangguhkan sebaliknya sehingga ke hari ini, tiada satu pun surat daripada mahkamah sampai ke tangannya. Dia tidak pasti sama ada lelaki itu ingin memutuskan ikatan mereka atau pun tidak.
“Mar ke pantai dululah, ibu.” Ucap Marha tanpa mengulas lanjut kata-kata Puan Kalilah.
“Tengoklah tu. Ada aje kamu nak mengelak kan?” balas Puan Kalilah tidak berpuas hati dengan reaksi Marha.
Marha hanya tersengih. Dia mencapai tangan Puan Kalilah lalu dikucup lembut sebelum berlalu sebaik saja memberi salam.
“Bukan Mar yang nak tangguh semua ni, ibu, tapi Mar tak tahu macam mana nak berhadapan dengan dia nanti. Mar bimbang hati Mar tak kuat. Kenapa Mar harus rasa sakit yang sama?” gumam Marha sendirian seiring kaki yang melangkah. Tanpa sedar setitis air mata gugur ke tanah mengenangkan nasib dirinya sendiri. Mungkinkah, cinta tidak akan pernah menjadi miliknya? Desis hati Marha. Galau. Dia terus melangkah meninggalkan halaman rumah menuju ke pantai tempat dia selalu menghilangkan kebosanan.
Sementara itu, Puan Kalilah hanya mampu menggelengkan kepala melihat tingkah Marha yang kelihatan seperti tidak bermaya. Keceriaan yang selalu menghiasi wajah itu seakan sirna sejak dia pulang ke kampung. Puan Kalilah mengerti cuma dia tidak mahu memanjangkan bicara.
“Budak-budak zaman sekarang, susah sangat ke nak mengaku? Kalau suka cakap suka. Bukan susah pun. Pendam sorang-sorang, nanti makan diri sendiri. Barulah nak menangis air mata darah. Tak faham betul aku.” Bebel Puan Kalilah lalu bangun dari duduknya. Dia berpaling untuk mendaki tangga.
Tetapi bunyi kereta memasuki halaman rumahnya membantutkan langkah Puan Kalilah. Dia berpaling. Kelihatan sebuah kenderaan jenis SUV berhenti betul-betul di hadapan rumahnya. Dahi Puan Kalilah berlapis.
“Siapa pula ni? Bukan main mewah lagi kereta,” omelnya sendiri sambil menunggu pemandunya melangkah keluar dari kereta.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki muda melangkah keluar dari kereta sambil tersenyum ke arah Puan Kalilah.
“Assalamualaikum…” Salam dihulurkan oleh Amzar. Lalu dia menghampiri Puan Kalilah yang kelihatan tergamam sebaik saja melihatnya.
“Waalaikummusalam. Am? Kamu buat apa kat sini?” soal Puan Kalilah masih lagi tidak percaya dengan kedatangan Amzar saat ini.
Amzar tidak menjawab sebaliknya dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Puan Kalilah. Huluran tangannya disambut oleh Puan Kalilah dengan tanda tanya tergambar jelas di wajahnya.
“Ibu sihat?” Soal Amzar. Walaupun terasa kekok dengan panggilan itu namun dia cuba gagahkan juga.
Puan Kalilah terdiam. Dia akui hatinya seakan disimbah dengan sebaldi ais sebaik saja mendengar panggilan Amzar terhadap dirinya.
“Alhamdulillah, sihat.” Jawab Puan Kalilah ringkas.
Amzar mula berdebar. Dia kehilangan punca. Bibirnya digigit bagi menghilangkan rasa gemuruh yang mula merajai hatinya. Dahinya mula memercikkan peluh. Malah jari jemarinya mula menggigil. Apa yang aku nak cakap ni? Soal hatinya.
“Am nak bincang sikit dengan ibu boleh tak?” soal Amzar dengan suara yang bergetar. Dia membalas renungan Puan Kalilah. Namun, dia tidak dapat bertahan dengan lama. Pandangannya ditundukkan. Jiwanya resah. Beginikah rasanya apabila berhadapan dengan ibu mentua? Detik hati Amzar.
“Kamu nak bincang apa?”


MARHA duduk sambil menatap laut yang terbentang luas di hadapan mata. Angin pantai yang bertiup lembut menyapa tubuhnya. Marha memegang tudungnya yang hampir terselak akibat ditiup angin. Air laut dan langit yang terbentang luas sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada diri Marha saat ini. Namun, ketenangan itu tidak dapat mengusir rasa galau yang bermukim di hatinya.
“Sampai hati Mar tak cakap yang Mar dah resign,” suara Kak Izzah yang menelefonnya semalam kembali terngiang di telinga. Perbualan tersebut seakan diputar semula dari kotak memori milik Marha.
“Semuanya berlaku dalam sekelip mata, kak. Mar minta maaf kalau buat akak terkejut.” Balas Marha dengan perlahan.
“Memanglah akak terkejut. Apatah lagi bila dengar berita tentang datuk yang tak guna tu. Memang patut pun dia kena tangkap. Gatal! Miang! Bini dah ada dua pun sibuk nak menggatal dengan anak dara orang. Akak memang tak berkenan dengan dia tu.” Bebel Kak Izzah di hujung talian. Marha hanya tersenyum.
“Dahlah kak tak payahlah cakap pasal datuk tu. Saya tak nak ingat tentang tu. Saya resign ni pun sebab saya nak cari ketenangan. Nak pulihkan semula semangat saya. Akak tak payahlah risaukan saya. Insya-Allah, saya baik-baik aje.” Balas Marha.
Kedengaran Kak Izzah mengeluh kecil.
“Risau tu memanglah akak risau, Mar. Akak anggap kamu macam adik akak dah. Akak percaya kamu kuat. Tapi sejak kamu tak ada, akak tengok bos kita tu tak senang duduk. Serba tak kena akak tengok Tuan Am tu,” ujar Kak Izzah.
Marha sedikit tersentak apabila nama Amzar meniti di bibir Kak Izzah. Bagi Kak Izzah mungkin perkara itu biasa tetapi bagi Marha, sepotong nama itu sudah cukup untuk menggoncang ketenangan hatinya.
“Serba tak kena macam mana, kak?” Soal Marha ingin tahu.
“Haiiii… Susah akak nak cerita, Mar. Kalau dulu kita susah nak tengok dia senyum kan? Sekarang ni sepuluh kali ganda susah nak senyum. Setiap hari moody. Tapi moody Tuan Am ni lain. Dia diam aje. Macam tak ada perasaan. Pernah sekali tu dia tidur dekat ofis. Esok pagi baru dia balik. Nampak macam tak terurus. Akak tak tahu apa puncanya tapi banyak kali juga dia tersasul sebut nama Mar.” Cerita Kak Izzah.
Marha senyap. Dia hanya menggeleng kecil. Sukar untuk mempercayai kata-kata Kak Izzah. Mungkin itu cuma cerita rekaan yang dibuat-buat. Mustahil perubahan sikap Amzar berpunca daripadanya.
“Sementara je tu kak. Nanti eloklah mood Tuan Am tu. Dia bergaduh dengan Cik Ratna kut sebab tu mood dia kurang baik. Lepas kahwin dengan Cik Ratna, tentu mood dia kembali seperti biasa,” ujar Marha sambil ketawa kecil. Tawa yang dirasakan cukup janggal.
“Tuan kahwin dengan Cik Ratna? Huh! Agaknya Mar tak tahu berita yang terbaharu. Cik Ratna tu aje yang perasan lebih…” balas Kak Izzah mula membuka cerita.
“Perasan? Bukan ke dia dua orang saling bercinta?” Soal Marha.
“Memang. Tapi dulu. Akak tak tahu apa yang terjadi pada hubungan dia orang tetapi pasal hal pertunangan yang tersebar kat sosial media tu, semuanya rekaan daripada Cik Ratna. Kononnya jika dia buat pengakuan macam tu, Tuan Am akan terharu. Tapi sebaliknya pula yang berlaku. Entah apa yang Tuan Am cakap, tak lama selepas tu Cik Ratna buat pengakuan yang sebenar tentang hubungan dia dan Tuan Am yang dah lama berakhir.”  Cerita Kak Izzah lagi.
Marha terus terdiam. Jadi, benarlah lelaki itu tiada sebarang hubungan lagi dengan Ratna? Soal hati Marha. Mula dilanda tanda tanya.
Dia melepaskan nafas dengan dengan perlahan. Tiupan angin yang kuat memusnahkan lamunannya yang panjang. Marha meraup wajahnya.
“Assalamualaikum… Marha…” sapa satu suara membuatkan Marha berpaling.
Bulat matanya apabila melihat figura seorang lelaki sedang berdiri di hadapannya dengan senyuman manis terukir di bibir.
“Waalaikummusalam. Naqib? Awak buat apa kat sini?” Soal Marha dengan suara yang sedikit meninggi. Dia tergamam.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.