Tetamu Rindu

Tuesday 17 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 3 )


TERKINI! OKTOBER 2017

ZAHIRUL melangkah masuk ke kelas dengan penuh semangat. Dia tersenyum melihat pelajarnya yang sudah memenuhi tempat duduk di dalam kelas pagi itu. Dia terpandang pada Wardah yang duduk di meja di hadapan kelas. Dia tersenyum. gadis itu tidak pernah lewat untuk ke kelasnya berbanding dengan Zafran yang selalu lambat ke kelasnya.
“Assalamualaikum semua?” Zahirul memberi salam. Dia duduk di meja pensyarah yang berada di hadapan kelas.
Serentak semua pelajar menjawab salam yang diberikan. Zahirul memandang ke serata kelas. Dia menggelengkan kepala apabila kelibat adiknya tidak kelihatan. Sah, bangun lambat lagi.
Wardah memandang ke belakang kelas. Kelibat Zafran tidak kelihatan. Tak datang ke mamat ni? Soal Wardah dalam hati. Dia kembali memandang pada wajah Zahirul yang kelihatan kacak dengan kemeja berwarna hitam sesuai dengan kulit lelaki itu yang putih kemerahan. Kacaklah pula dia ni. Bisik hati kecil Wardah nakal.
“Siapa yang tak datang lagi?” tanya Zahirul sambil memeriksa kedatangan yang telah siap ditandatangani oleh pelajar- pelajarnya.
“Zafran, Encik Zahirul…” ujar Wardah.
Zahirul hanya tersenyum. Apa nak jadilah dengan adik aku sorang ni. Keluar malam sampai tak ingat nak balik rumah. Memang nak kena dia ni. Namun, tidak lama kemudian kelihatan Zafran membuka pintu kelas sambil tersengih-sengih pada Zahirul.
“Dah lupa nak bagi salam ke?” perli Zahirul sengaja mengenakan adiknya yang kelihatan kalut.
Zafran menyeringai. “Assalamualaikum….” Ucap Zafran. Kedengaran pelajar- pelajar lain ketawa. Dia membuang pandangan pada Wardah yang hanya tersenyum. Abang ni buat malu aku je. Bebel Zafran dalam hati.
Waalaikummusalam, dah awak boleh duduk. Lain kali jangan datang lambat. Saya tak suka pelajar saya datang lambat.” Ujar Zahirul ditujukan khas untuk adik kesayangannya itu.
“Baik, Encik Zahirul…” balas Zafran. Dia malas nak bertekak dengan abangnya itu lagipun sebagai pelajar dia harus menghormati Zahirul yang merupakan pensyarahnya walaupun Zahirul itu adalah abang kandungnya. Dia cuba bersikap profesional bila berada di dalam kelas.
“Okey. Saya akan pulangkan balik markah test kamu semua dan seperti biasa Wardah, tahniah awak dapat 100 markah,” ucap Zahirul dengan senyuman manis dilemparkan pada Wardah yang manis bertudung hijau.
Wardah tersenyum girang. Dia menyambut huluran kertas ujiannya daripada tangan Zahirul.
“Dan seperti biasa Ahmad Zafran Wazien, awak dapat markah yang kedua terendah. Tapi tak mengapa boleh diperbaiki lagi sementara masih ada waktu sebelum final,” ujar Zahirul. Dia menggelengkan kepala saat Zafran mengambil kertas ujian daripada tangannya.
Zafran hanya menundukkan kepala. Malu juga dia pada abangnya itu. Apa tidaknya, abangnya seorang pensyarah undang- undang, tetapi dia seringkali gagal dalam ujian yang dijalankan. Hai apalah aku nak buat? Nampaknya kena rebus buku teks lepas tu minum. Mungkin cara ini lebih  mujarab. Desis hati kecil Zafran.
“Okey kita teruskan sambung pelajaran kita yang lepas,”
Setelah hampir satu jam setengah mengajar. Kelas bersurai. Zahirul melihat adiknya mula mengorak langkah untuk keluar kelas.
“Zaf dan Wardah tolong tunggu sekejap. Saya nak jumpa kamu berdua,” ujar Zahirul membuatkan langkah Wardah terhenti. Dia melangkah menghampiri Zahirul yang duduk di meja pensyarah.
“Ada apa Encik Zahirul nak jumpa saya dan Zaf?” soal Wardah lembut.
Kelihatan Zafran menghampiri Wardah dan Zahirul. Kali ni mesti aku kena dengan abang. Aduhai. Keluh hatinya.
“Saya nak minta tolong dengan awak sikit Wardah itu pun kalau awak sudi,”
Berkerut dahi Wardah mendengar kata- kata Zahirul. Apa sebenarnya yang Zahirul mahukan?
“Insya-Allah kalau saya mampu, saya akan tolong.”
“Saya nak awak tolong ajarkan adik saya yang tercinta ni pasal undang- undang. Kalau boleh saya nak awak jadi tutor untuk Zaf. Dia bukan tak pandai dalam subjek saya tapi dia ni malas nak membaca. Awak tolong ajarkan dia apa yang patut. Kalau boleh buat study group, awak buat je. Boleh?” pinta Zahirul lembut.
Kelihatan Zafran mengeluh berat. Tolonglah abang mengerti isi hati ini. Aku boleh belajar sendiri. Jerit hati Zafran. Kadang-kadang dia geram dengan sikap Zahirul yang membuat keputusan tanpa menanyakan dirinya dulu. Nak buat macam mana, itulah abangnya Ahmad Zahirul Haq.
“Tapi Encik Zahirul, Wardah pun banyak kerja yang dia nak lakukan selain jadi tutor saya,” bantah Zafran geram sambil menekan perkataan Encik Zahirul dan ‘saya’.
Zahirul tergelak kecil dengan reaksi Zafran. Manakala, Wardah hanya mendiamkan diri.
“Bukankah korang berdua ni kawan baik? Jadi tak salahlah kalau kawan tolong kawan. Betul tak Wardah?” Zahirul tersenyum pada Wardah yang membisu.
Lambat-lambat Wardah mengangguk. Apa- apa jelah Encik Zahirul.
“Memanglah kawan baik encik tapi saya boleh usaha sendiri. Encik tak fikir ke yang encik akan membebankan Wardah nanti?” balas Zafran tidak mahu mengalah.
“Zaf, awak ingat saya tak kenal dengan perangai awak tu. Keputusan saya muktamad, Wardah akan jadi tutor awak untuk subjek ni. Sebarang bantahan takkan diterima, faham?” tegas Zahirul. Dia mengemas barang- barangnya dan berdiri. Dia tahu adiknya itu akan ikut juga arahannya.
“Macam ni, saya akan bantu Zaf untuk tajuk yang dia tak tahu sahaja dan selebihnya dia akan belajar sendiri. Mungkin Zaf ada kerja lain dan tak boleh untuk datang bila ada study group. Jadi untuk setiap test dan final exam, saya akan cuba ajar yang saya mampu,” sampuk Wardah bila dia melihat ada bunga- bunga pertengkaran antara dua beradik itu.
Zahirul tersenyum. Gadis itu memang ternyata lebih bijak daripada adiknya.
“Baiklah saya setuju. Saya tahu hanya awak yang boleh guide adik kesayangan saya ni…” balas Zahirul selamba sambil melirik adiknya yang tidak berpuas hati. Dia cuba mencuit dagu Zafran tapi dengan pantas Zafran menepis. Zahirul tergelak.
Zafran melepaskan keluhan berat. Dia menjelirkan lidah pada abangnya. Geram dengan sikap Zahirul seperti diktator.

KENAPA kau tak setuju dengan cadangan abang kau tadi?” soal Wardah selepas mereka berdua keluar daripada kelas.
Zafran memandang wajah Wardah yang manis bertudung hijau. Lembut wajah itu menenangkan hatinya. Dia tersenyum hambar.
“Aku malas sebenarnya. Abang aku tu bukannya tak kenal aku, aku memang malas nak membaca itu sebab aku selalu tak lulus subjek dia. Aku nak belajar dengan dia, dia asyik sibuk memanjang. Itu yang aku buat akta undang-undang aku sendiri tu,” ujar Zafran.
Wardah tergelak kecil. Dia sudah agak memang  itulah yang Zafran rasakan.
“Tak susah pun subjek law ini cuma kau kena rajin baca dan hafal. Buat nota apa yang patut…”
“Sebab kena buat nota aku malas. Nak membaca pun malas apatah lagi nak buat nota. Aku pinjam nota kau boleh?” soal Zafran.
“Boleh je. Itu pun kalau kau faham apa yang aku tulislah,” balas Wardah.
Emmm… Zaf…” Panggil Wardah lembut. Dia mengerling ke sisi.
“Ada apa?” Soal Zafran sambil memakukan langkah. Wajah Wardah dipandang lama.
“Aku nak mintak maaf pasal semalam. Aku tahu kau tak suka aku sebut pasal tu. Aku tak ada hak nak campur urusan kau, aku mintak maaf, ya?” pinta Wardah cuba memberanikan diri. Melihat wajah Zafran yang kelat sudah cukup untuk membuatkan dia kecut perut.
Zafran tersenyum nipis. Pandangan dihalakan ke tempat lain. Nafas ditarik sedalamnya sebelum dihembuskannya dengan perlahan.
“Kau ada buat apa-apa salah ke? Kenapa aku tak ingat apa-apa pun?” soal Zafran berpura-pura lupa tentang kata-kata Wardah semalam.
“Tapi Zaf, semalam kan aku…”
“Hal semalam, semalam punya cerita. Dah lepas. Aku dah tak ingat. Jadi kau jangan ingatkan aku lagi, boleh?” pinta Zafran. Tepat anak matanya menikam ke anak mata Wardah yang terkebil-kebil.
Wardah tersenyum manis. Lega sedikit hatinya apabila Zafran sudah memaafkannya. Begitulah sikap Zafran, seorang yang sangat sensitif tapi mudah memaafkan. Wardah ingin berkata sesuatu namun, perbualan mereka diganggu oleh Fiqa yang datang menghampiri Zafran dan Wardah.
“Hai Zaf, dah lama I tungggu you, baru you keluar kelas,” ujar Fiqa tanpa sedikit pun memandang dan menyapa Wardah yang berdiri di sebelah Zafran.
“Encik Zahirul nak jumpa I sekejap, itu yang lambat. You ada kelas ke hari ini?” soal Zafran juga cuba berbasa basi. Tangan Fiqa yang memegang lengannya dileraikan. Dia segan dengan Wardah. Gedik betullah perempuan ni. Rimas aku! Bentak hati Zafran.
“I tak ada kelas tapi I saja datang kelas semata-mata nak jumpa you. You, jom kita makan, I laparlah…” rengek Fiqa manja.
Hampir termuntah Wardah di buatnya. Loya betul tekak aku. Balik rumah aku nak muntah banyak-banyak. Omel hati Wardah.
“Okey kita pergi makan. Ada, kau tak nak join kita orang ke?”
“Buat apa ajak dia, sayang? Biarlah dia makan sorang…” sampuk Fiqa. Agak kurang sopan bunyinya. Mendidih tahi telinga Wardah mendengarnya.
Wardah tersenyum sinis.
“Tak apalah Zaf, aku tak nak kacau daun. Lagipun aku ada date. Kau pergilah..” ujar Wardah malas. Dia mengorak langkah menuju ke gerai makan.
Date? Dengan siapa? Bila?” soal Zafran pelik. Sejak bila Wardah ada boyfriend? Selama ini perempuan tu single aje. Eh, tak boleh jadi ni. Getus hatinya.
Wardah tidak membalas sebaliknya dia berlalu meninggalkan Zafran dengan seribu tanda tanya. Dia menjeling ke sisi, kelihatan Fiqa menarik lengan Zafran untuk ke kedai makan. Wardah mencebik. Rimas betul dia melihat perangai Fiqa yang gedik tak tentu pasal.
Sedang asyik dia membebel dan mengutuk di dalam hati, tiba- tiba dia terlanggar seseorang.
Bukkk!
“Adoi!” Wardah terjerit kecil sambil memegang kepalanya.
Dia mengangkat wajah. Matanya bertautan dengan anak mata hitam milik seseorang jejaka. Dia? Mr.Crush! Jerit hati Wardah teruja. Namun, cepat-cepat Wardah tersedar apabila lelaki itu mengawang-awangkan tangannya di hadapan muka Wardah.
“Awak okey ke?” soal lelaki tersebut dengan senyuman mekar di bibirnya yang merah.
“Saya okey cuma kepala saya sakit sikit terkena laptop awak tu,” balas Wardah. Dia tidak lepas memandang wajah lelaki yang telah mencuri perhatiannya sejak pertama kali mereka bertemu. Pertemuan yang memberi bekas dalam hati Wardah. Akan tetapi lelaki itu tidak mengenali dirinya seperti mana dia mengenali lelaki itu.
“Oh, saya mintak maaf…” ujar lelaki itu sambil menundukkan pandangan. Panahan mata Wardah menusuk ke dalam hatinya.
“Tak mengapa,” balas Wardah sambil matanya melilau memandang ID card milik lelaki itu.Oh nama kau, Emir Rehan.
Lelaki itu tersenyum sekali lagi dan berura-ura untuk meninggalkan Wardah.
“Kita pernah berjumpa ke sebelum ni?” soal Wardah tiba-tiba.
Langkah Emir Rehan terbantut. Dia berpaling memandang Wardah yang sedang tersenyum manis. Lama dia mengamati gadis yang berada di hadapannya ini. Cuba mengingati jikalau mereka pernah terserempak di mana-mana. Namun, gagal. Dia tidak menemui apa-apa ingatan tentang gadis itu.
“Tak. Saya tak rasa kita pernah jumpa sebelum ni,” ucap lelaki itu dengan yakin.
Senyuman manis Wardah bertukar hambar.
“Tak mengapalah kalau macam tu. Tapi saya rasa ini bukan pertama kali kita jumpa,” balas Wardah selamba.
Dahi Emir Rehan berkedut seribu. Kata-kata gadis yang tidak diketahui nama itu menimbulkan tanda tanya dalam dirinya. Siapa dia? Pernah ke aku jumpa dia sebelum ni? Soal hatinya sarat dengan persoalan yang tidak mampu dijawab oleh dirinya sendiri.
Emir Rehan ingin bertanya tetapi gadis itu terlebih dahulu menghilangkan diri. Emir Rehan mengeluh. Siapa agaknya perempuan tu?




No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.