Tetamu Rindu

Tuesday 17 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 2 )


TERKINI! OKTOBER 2017

JULIANA tersenyum melihat Zafran yang makin menghampiri. Penampilan lelaki itu kelihatan santai tetapi tetap kacak di mata Juliana. Beberapa pasang mata anak dara yang berada di sekitar KFC Teluk Cempedak itu mengerling ke arah Zafran. Mana taknya, lelaki kacak sedang tersenyum manis membuatkan Juliana terasa bangga berdampingan dengan Zafran.
“Lama dah awak sampai?” soal Zafran sambil melabuhkan punggung di hadapan Juliana yang kelihatan cantik dengan memakai blaus lengan pendek yang agak sendat dengan saiz gadis itu. Rambutnya yang lurus dibiarkan berterbangan ditiup angin pantai yang sepoi- sepoi bahasa.
“Tak lama mana baru 15 minit je. Kenapa lambat?” tanya Juliana lembut.
“Saya tertidur tadi penat buat assignment. Nasib baik abang saya kejutkan kalau tak memang saya terlepas dari jumpa awak,” bohong Zafran.
“Awak buat assignment? Bukan ke selama ni Wardah ke selalu tolong awak buat assignment kenapa awak tak mintak tolong dia?” soal Juliana membangkitkan soal Wardah.
Zafran mengeluh. Kenapalah dia selalu sahaja dikaitkan dengan Wardah?
“Saya tak nak susahkan dia dan untuk pengetahuan awak, Wardah cuma tolong je tapi saya yang buat assignment saya sendiri tau. Saya tak nak awak anggap saya ni lelaki yang tak berguna pulak,” ujar Zafran. Dia mengirup air Pepsi yang dibelikan oleh Juliana buatnya.
“Yelah, saya tahu kerja awak adalah hasil awak sendiri. Tapi saya tengok awak rapat sangat dengan Wardah, ada apa- apa ke?”
“Ada apa- apa maksud awak?” dahi Zafran berkerut.
“Awak suka dia ke?”
Serentak, Zafran tersedak. Habis air yang diminumnya terkeluar balik. Nasib baik tak tersembur ke muka Juliana yang cantik tu, kalau tak ada peluang dia dapat penampar berganda daripada Juliana.
“Awak ni pun kalau ya pun janganlah sampai tersembur macam tu. Malulah orang tengok,” rengek Juliana dengan muka tak puas hati. Dia merengus sambil berpaling ke kiri dan kanan bagi memastikan tiada sesiapa yang memerhatikan mereka saat ini.
Zafran mengelap mulutnya dengan tisu. Eh, minah ni aku tengah tersedak bukannya dia nak tolong makin membebel adalah. Macam ni ke nak jadi bakal isteri. Reject!
“Saya tak sengajalah, awak. Dah awak asyik sebut nama Wardah mana saya tak tersedak. Lain kali kalau saya jumpa awak jangan awak sebut nama perempuan lain, okey?” ucap Zafran mendatar.
“Yelah saya janji tak sebut lagi,” Juliana mengangkat tangan seolah bersumpah. Zafran hanya tersenyum nipis.
“Awak dah siapkan laporan aktiviti Kursus Perintis Siswa tu? Besok kita nak adakan mesyuarat nanti banyak pulak yang tertangguh,” Zafran mengalih topik perbincangan.
“Alah, awak ni pasal meeting kita bincang kat kolejlah. Sekarang kita bincang benda lain pula,” suara Juliana kedengaran manja sambil mengelipkan matanya pada Zafran.
Dahi Zafran berkedut seribu. Lain macam je bunyi minah ni. Detik hati Zafran.
“Kita nak bincang apa lagi? Awak cakap awak nak bincang pasal aktiviti tu dengan saya,” Zafran mula kehairanan.
Juliana tersenyum menggoda. Perlahan-lahan dia mencapai tangan Zafran membuatkan Zafran mula tidak berasa selesa namun dia hanya membiarkan. Hah, sudah ulat bulu dah naik daun!
“Kita bincang pasal kitalah.  About us,” ucap Juliana masih berkias.
“Pasal kita? Pasal apa?” Zafran berpura- pura tak tahu.
Aduh, perempuan ni mula nak cakap pasal cinta-cintanlah ni. Aku memang naik muak bila asyik tanya pasal cinta. Ya Allah tolonglah aku lepas untuk kali ini. Zafran berdoa di dalam hati.
“Alah, awak ni saja je buat-buat tak tahu. Kita asyik keluar bersama-sama takkan saya ni kawan biasa awak je?” Juliana mula berbahasa. Tangan Zafran dielus lembut.
Zafran menelan air liur. Aku dah agak dah tak ada benda lain dah ni. Apa aku nak jawab ya? Zafran menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
“Dah tu awak nak kita kawan macam mana pulak?” Zafran menggigit lidah. Lain yang ingin dicakapkan lain yang terkeluar daripada mulutnya.
“Kita couple nak?” Usul Juliana tiba- tiba membuatkan Zafran tersentak. Aku dah agak dah!
Couple? You mean bercinta?” tanya Zafran hampir meninggikan suaranya.
“Yelah, bercinta macam orang lain tu,” balas Juliana.
Zafran mengeluh. Ini yang aku malas ni. Asal aku baik sibuk nak ajak bercinta bagai. Aku tak percaya cintalah, perempuan. Tapi bukan salah kau, kau tak tahu masalah aku yang anti dengan cinta apatah lagi dengan kaum kau. Bisik hati Zafran. Lalu dia menyandarkan badannya di kerusi sambil memandang tepat wajah Juliana.
Memang Zafran tidak nafikan Juliana memang seorang yang cantik dan jika dia berpacaran dengan Juliana sekali pun pasti dia akan berasa bangga kerana dapat menjinakkan seorang gadis dambaan lelaki- lelaki di kolej. Namun, jika dia berbuat begitu, dia yang akan terperangkap dengan seorang perempuan. Oh, itu yang Zafran tidak bayangkan. Terasa seperti rasa itu menjerat lehernya. Seksa!
“Look Jue…”
Baharu sahaja Zafran ingin bersuara, telefon bimbitnya berdering. Lantas dia mencapai telefon Blackberry yang berada di atas meja. Dia tersenyum di dalam hati melihat nama yang tertera di skrinnya.
“Excuse me…” ucap Zafran dan berlalu meninggalkan Juliana yang kelihatan kecewa.
Setelah berada agak jauh daripada Juliana baharulah Zafran mengangkat panggilan yang sudah dua kali berdering. Nasib baik kau telefon aku, Wardah. Bisik hati Zafran.
“Assalamualaikum…” ucap Zafran lembut selepas menekan punat hijau.
Waalaikummusalam, aku ganggu kau ke Zaf?” soal Wardah di hujung talian. Zafran hanya tersenyum mendengar suara Wardah yang lembut kedengaran di telinganya.
“Eh, tak adalah. Aku tak buat apa pun. Ada apa kau call?”
“Tak, aku nak ingatkan petang esok ada test Proses Pembuatan. Kau jangan lupa bawak nota aku pagi besok masa kelas Law, aku nak study sikit,” ujar Wardah.
“Yeke ada test? Aku lupa nasib baik kau tolong ingatkan Ada. Esok aku nak study sekali dengan kau boleh?” soal Zafran pula.
“Eh, boleh je. Tapi kau tak sibuk ke esok?”
“Aku rasa tak, yang penting aku nak lulus test Proses Pembuatan ni. Test satu aku dah gagal dah,” rengek Zafran. Kedengaran agak manja di telinga Wardah.
“Bukan kau sorang je Zaf, aku pun sama,” ucap Wardah sambil tergelak. Zafran turut tergelak sama.
“Susahlah subjek tu Ada. Aku tak tahu final nanti aku boleh lulus ke tak,” keluh Zafran dengan nada yang lembut.
Wardah tersenyum di hujung talian.
“Insya-Allah boleh lepas janji kita belajar sungguh-sungguh.” Balas Wardah membuatkan Zafran tersenyum. Berbicara dengan Wardah dapat memberikan ketenangan kepada Zafran.
Errr… Zaf, tadi mak aku call, Mak Cik Saira kirim salam. Dia rindu kat kau. Adik-adik kau pun,” sambung Wardah teragak-agak. Dia tahu Zafran agak sensitif jika menyebut perihal keluarganya.
Senyum manis Zafran terhenti sendiri. Wajahnya berubah apabila Wardah menyebut sebaris nama itu.
“Aku tak ada mak!” ucapnya dengan nada yang tegang. Matanya dibiarkan meliar memandang Pantai Teluk Cempadak yang kelihatan kelam ditelan kegelapan malam.
“Zaf, Mak Cik Saira kan mak kau,” balas Wardah perlahan. Suaranya kedengaran lembut di peluput telinga Zafran tetapi kelembutan suara Wardah tidak mampu memadamkan rasa amarah dalam diri Zafran apabila teringatkan seraut wajah yang bertanggungjawab menjadikan dia seorang yang  prejudis terhadap semua wanita.
“Berapa kali aku nak cakap, dia bukan mak aku! Aku tak ada mak!” bentak Zafran tiba-tiba.
“Zaf, sabar dulu…”
“Sabar apanya? Kau tahu aku tak suka kau sebut pasal ni. Tapi kau sebut jugak. Kau memang kawan aku tapi kau tak ada hak nak campur urusan hidup aku!” julat suara Zafran meninggi.
Tanpa menunggu lama, dia mematikan telefon. Dia mendengus. Cuba meredakan bahang amarah yang mula bangkit dalam jiwanya.
“Zaf, siapa yang call tu?” bunyi suara Juliana mematikan lamunan Zafran. Dia mendongak.
Wajah Juliana ditenung lama. Seakan ternampak wajah wanita lain di wajah Juliana. Wajah yang membuatkan dia demam berminggu-minggu. Wajah seorang wanita yang tidak bertanggungjawab. Zafran menarik nafas dalam dan melepaskannya dengan perlahan. Cuba meredakan rasa sakit hatinya.
“Tak ada siapa. Saya nak balik!” tegasnya lalu meninggalkan Juliana yang terkulat-kulat di situ. Dahi gadis itu berkerut. Siapa yang call? Kenapa tiba-tiba saja mood Zafran berubah? Soalan itu hanya bermain di minda Juliana tanpa ada jawapan yang pasti.

DAHI Wardah berkerut apabila talian dimatikan. Dia memandang telefon bimbitnya dengan lama. Rasa bersalah mula bersarang di hati apabila membangkitkan isu keluarga Zafran. Betul juga kata Zafran, dia memang sahabat baik lelaki itu tetapi dia tiada hak untuk ikut campur urusan mereka sekeluarga. Fikir Wardah. Lantas, bibirnya ditepuk. Menyedari keterlanjuran kata-katanya tadi.
“Oit, kau ni dah kenapa, Ada?” Soal Athira sambil matanya tuntas memerhati gelagat Wardah yang kelihatan resah memandang telefon bimbit.
“Tak ada apa. Zaf ni hah, tiba-tiba je naik angin,” ucap Wardah sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Amira yang sedang mencatat sesuatu di buku notanya terus berpaling.
“Kenapa dia nak naik angin dengan kau pulak? Setahu aku Zaf tu paling payah nak naik angin dengan kau. Kalau cakap dengan perempuan pun gerenti lembut gigi dari lidah. Playboy katakan.” Komen Amira sambil meneguk air mineral yang dihulurkan oleh Athira.
“Entahlah. Aku terlepas cakap pasal mak dia,” balas Wardah dengan riak risau jelas terpamer di wajahnya.
“Kenapa dengan mak dia? Dia tak suka kau sebut pasal mak dia ke?” soal Athira ingin tahu.
Wardah mengangguk laju. Dia merenung wajah Athira dan Amira silih berganti.
“Apa aku nak buat sekarang? Mesti dia tengah marahkan aku.” Ucap Wardah sedikit kesal dengan sikapnya sendiri.
Athira menepuk lembut bahu Wardah. Dia sedia maklum sikap Wardah yang begitu mengambil berat terhadap Zafran. Persahabatan itu terlalu suci bagi Wardah terutama sekali apabila melibatkan Zafran. Wardah sanggup melakukan apa saja untuk sahabatnya itu. Itu yang Athira nampak.
“Kalau salah kau, kau mintaklah maaf. Cakaplah kau tak sengaja tapi kau jangan mintak maaf sekarang,” ucap Athira menambah kerutan di dahi Wardah.
“Kau ni mana satu betul? Tadi suruh aku mintak maaf tapi bukan sekarang. Jadi bila?” Soal Wardah hairan.
Athira hanya tersengih mempamerkan gigi taringnya yang berlapis. Nampak comel di pandangan Wardah.
“Tunggulah dia sejuk dulu. Lelaki ni kalau dia tengah marah lebih baik kita diam je. Dia akan sejuk sendiri. Esok kau try tegur dia macam biasa, aku rasa Zaf tu akan okey. Dia tu mana boleh merajuk lama-lama dengan kau. Betul tak, Mira?” usik Athira sambil menyiku lengan Amira.
Amira mengangguk seperti burung belatuk. Mengiakan saja kata-kata sahabatnya sambil mulutnya ligat mengunyah Twisties.
“Apahal pulak?” Soal Wardah sambil menjeling.
“Apahal kau tanya? Eh, mana ada lelaki dan perempuan boleh berkawan baik lama-lama? Mustahil, kau tahu tak? Entah-entah kau dengan Zaf tu suka sama suka tapi kau orang berlindung atas nama sahabat kan?” soal Athira sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya di hadapan muka Wardah.
Wardah menepis tangan Athira. Hidung sahabatnya itu dipicit kuat. Dia ketawa lepas apabila Athira mengaduh kesakitan.
“Sakitlah, Ada!” marah Athira. Dia menjeling tidak berpuas hati.
“Tahu pun sakit. Jangan sesuka hati nak buat cerita yang bukan-bukan. Aku dengan Zaf hanya kawan. Walaupun kau kata lelaki dan perempuan ni mustahil jadi kawan baik, tapi aku akan buktikan yang  mustahil tu jadi tak mustahil. Lagi pun bukan kau orang tak tahu Zaf tu macam mana. Dia tak percaya pada cinta. Dia tak percaya pada perempuan. Kau orang pernah tengok dia serius dengan mana-mana perempuan tak? Tak pernah kan? Paling lama dia mampu bertahan pun sebulan je. Dia pernah cakap pada aku, bagi dia kehadiran perempuan ni menyusahkan hidup dia jadi dia gunakan perempuan untuk suka-suka je. Macam barang permainan. Suka ambil, bila dah tak suka, cari yang lain. Itu prinsip dia.” Terang Wardah membuatkan Athira dan Amira terdiam.
“Aku tak sangka sampai macam tu sekali Zaf tak suka perempuan. Mesti dia pernah kecewa dengan perempuan kan? Dia pernah kena tinggal ke, Ada?” soal Amira ingin tahu.
Sejujurnya dia mengenali Zafran hanya di kolej. Kebetulan mereka dari bidang yang sama dan selalu berada dalam kelas yang sama. Sedikit sebanyak hubungan persahabatan mereka menjadi rapat tetapi Amira tahu persahabatan di antara Zafran dan Wardah sudah bermula semenjak mereka kecil lagi. Jadi tidak hairanlah jika Wardah begitu mengambil berat tentang Zafran.
Wardah hanya menjongketkan bahu sebagai jawapan soalan Amira. Dia tidak ada hak untuk bercakap lebih-lebih tentang masa lalu Zafran. Dia cuma berhak untuk menutup aib orang lain jadi biarlah perkara itu terus menjadi rahsia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.