Tetamu Rindu

Wednesday 18 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 7 )



BUNTANG mata Wardah melihat novel-novel baharu yang tersusun kemas di dalam kedai buku Popular, Megamall. Terlalu banyak pilihan sehinggakan Wardah sendiri pening kepala harus memilih yang mana satu. Dia memandang sebentar pada Athira yang leka menilik sebuah novel terbitan Karyaseni.
“Novel apa tu Ati?” soal Wardah mendekati Athira.
“Novel Rindu Dalam Sepi. Best novel ni, semalam aku ada terbaca dalam blog Penulisan2u. Kalau tak silap aku, novel ni bestseller tau,” jelas Athira bersungguh- sungguh.
Wardah hanya mengangguk. Dia mencapai novel tersebut. Sinopsis di baca. Kepalanya di angguk-anggukkan.
“Apa yang kau terangguk-angguk tu, Ada? Dah macam burung belatuk aku tengok,” tegur Amira lantas mendekati Wardah.
Wardah hanya tersengih dan memberikan novel yang dipegangnya pada Amira. Hulurannya di sambut lalu dia berlalu ke bahagian buku-buku agama. Wardah tersenyum sendirian. Banyak betul pilihan yang ada dan ternyata buku- buku agama lebih menarik perhatiannya.
Dia mencapai buku karya Burhan Sodiq bertajuk Ya Allah Ku Tak Ingin Bersendiri. Lama dia membelek helaian demi helaian di dalam buku tersebut. Hmmm… Boleh tahan buku ni. Buku motivasi yang berkaitan dengan cinta dan Islam menarik minat Wardah namun Wardah meletakkan semula buku tersebut di atas rak.
“Ati jomlah kita balik, aku nak beli buku ni tapi duit tak cukuplah. Kejap lagi aku nak kena beli barang nak pergi kem pulak,” ucap Wardah tanpa memandang wajah Athira yang berada di belakangnya.
Athira hanya terdiam. Dia tidak berkata apa-apa. Lalu, tanpa menoleh sedikit pun, Wardah menarik pergelangan tangan Athira untuk keluar daripada kedai buku tersebut tetapi saat langkahnya terhenti saat matanya terpandangkan batang tubuh Athira dan Amira yang berdiri berhadapan dengannya. Jantung Wardah berlari kencang. Kalau di depan aku ni Athira habis tu tangan siapa yang aku tarik ni? Benak hatinya bertanya. Nafasnya berombak ganas.
Terkebil-kebil dia memandang wajah Athira dan Amira. Kedua sahabatnya itu turut memandangnya dengan pandangan yang pelik. Athira menunjukkan jarinya ke belakang supaya Wardah memandang ke belakang. Wardah terkaku, tangannya masih memegang pergelangan tangan makhluk yang disangka Athira itu. Hah sudah, siapalah yang aku pegang ni? Ya Allah… Perlahan- lahan Wardah memalingkan wajahnya ke belakang dan…..
Aaaaa!!” Wardah terjerit kecil sebaik sahaja melihat wajah lelaki yang berada di belakangnya. Dengan pantas dia melepaskan tangan tersebut. Bunyi gelak ketawa Athira dan Amira membuatkan Wardah diserbu perasaan malu yang tersangat. Rasa seperti mahu dicabut mukanya dan diletakkan di tempat lain.
Bukan sahaja Wardah yang malu tetapi lelaki yang menjadi mangsa Wardah turut malu. Merah wajahnya menambah lagi perasaan malu Wardah apatah lagi lelaki tersebut adalah lelaki yang dia suka. Siapa lagi kalau bukan Emir Rehan!
Err… Awak, saya mintak maaf. Saya betul-betul tak sengaja…” ucap Wardah sambil menundukkan wajah. Kalau boleh nak aje dia benamkan wajahnya ke dalam simen biar rasa malu itu hilang. Tapi apakan daya terpaksa juga dia berhadapan dengan Emir Rehan yang turut terkaku.
“Tak mengapa saya maafkan. Saya tahu awak tak sengaja. Hajat hati saya nak tegur awak tapi awak terlebih dulu tarik saya,” usik Emir Rehan sambil tersengih nakal.
Wardah terkesima. Dia rasakan seluruh dunianya berhenti berputar. Terasa seperti dia terbang di atas awan saat melihat senyuman Emir Rehan. Ya Tuhan, aku dah jatuh cinta ke?
“Kalau awak nak tahu, nama dia Wardah Zahra.…” sampuk Amira sambil memeluk bahu Wardah.
Wardah tersipu- sipu. Dia memandang wajah Emir Rehan sekilas. Sungguh, dia tidak dapat memandang wajah itu, malu!
“Oh, nama saya Emir Rehan panggil Emir je…” ucap Emir Rehan lembut. Dia merenung wajah Wardah yang manis. Gadis inilah yang selalu terserempak dengannya di kolej. Dia suka melihat Wardah yang ayu dan terbit juga dalam hatinya untuk berkenalan dengan gadis itu tetapi dia seorang yang pemalu.
Err… Say… Saya… Saya balik dululah, sorry sekali lagi,” ucap Wardah tergagap-gagap. Saat ini dia tidak mampu untuk menahan denyut jantungnya yang berlari pantas seperti tidak mahu berhenti. Lalu dia menarik sahabat-sahabatnya untuk keluar dari Kedai Buku Popular. Kalau dibiarkan pasti Athira dan Amira akan melalut lebih-lebih dengan Emir Rehan, si pujaan hatinya itu.

KETAWA Athira dan Amira menyakitkan telinga Wardah. Kalau ikutkan hati memang ingin dicubit-cubit pipi Athira yang tembam tu. Sakit hati digelakkan seperti itu. Tahulah aku yang salah, siapa suruh dia berdiri belakang aku, tak pasal- pasal batal air sembayang aku hari ni. Bebel hati Wardah.
“Hah, gelaklah sampai terbungkam kat situ. Aku memang suka kena gelak macam ni,” sindir Wardah geram. Dia melemparkan pandangan ke arah jalan raya yang sesak. Sejak dari tadi dia tunggu teksi, tapi satu pun tidak kelihatan. Wardah mengeluh.
“Ada ke kau tarik tangan dia. Kau ingat tangan dia tu tangan aku ke? Lawaklah kau Ada. Aku nak post dalam facebooklah,” ujar Athira sambil terkekek-kekek ketawa.
Amira tergelak besar. Dia menekan-nekan perut kerana tak tahan melihat wajah Wardah yang masam mencuka kerana menjadi bahan tawa mereka berdua. Tetapi tiba-tiba tawa mereka terhenti apabila Emir Rehan muncul di hadapan mereka.
“Assalamualaikum…” sapa Emir Rehan lembut.
Waalaikummusalam…” jawab mereka hampir serentak.
Wardah terkejut lantas dia berdiri berhadapan Emir Rehan. Apa lagi dia nak? Aku tahu salah aku. Tapi kan aku dah mintak maaf.
“Awak, saya tahu salah saya tapi saya betul-betul tak sengaja tadi. Saya ingatkan awak kawan saya ni hah,” ucap Wardah pantas tanpa membenarkan Emir Rehan bercakap terlebih dahulu. Terkelip- kelip matanya memandang matanya Emir Rehan yang redup.
Emir Rehan tersenyum manis.
“Awak, tolong senyap sekejap. Saya datang ke sini bukan nak cari gaduh dengan awak, tapi saya nak bagi ni…” balas Emir Rehan sambil menghulurkan beg plastik Popular pada Wardah.
Wardah terpinga- pinga. Namun, huluran daripada Emir Rehan tetap disambut.
“Apa ni?” tanya Wardah dengan dahi yang berkerut.
“Tengoklah sendiri. Saya pergi dulu…” ucap Emir Rehan sebelum berlalu meninggalkan Wardah yang masih terpinga- pinga.
“Awak!” panggil Wardah. Dia lupa untuk mengucapkan terima kasih pada lelaki itu tapi lelaki itu telah berlalu. Dia menghantar bayang Emir Rehan dengan pandangan mata. Wardah tersenyum suka.
“Tak payahlah awak panggil saya, saya nak balik. Awak bukalah dulu plastik tu,” ejek Athira sambil memeluk bahu Wardah. Mereka berdua ketawa lepas.
Wardah menjeling. Geram kerana diperkotak- katikkan oleh sahabatnya. Tapi dia mengikut apa yang Athira cakapkan. Perlahan- lahan dia mengeluarkan buku yang berada di dalam plastik tersebut. Dia terpempan sekali lagi. Buku Ya Allah Aku Tak Ingin Bersendiri berada di dalam pegangannya.
Perasaan Wardah saat ini berbaur. Suka, teruja semua bercampur. Rasa ingin menjerit tapi suaranya tidak terkeluar. Sudahnya dia hanya tersenyum simpul. Menyembunyikan rasa di hati.

ZAFRAN tersenyum sendirian saat menatap skrin komputer riba miliknya. Jari- jemarinya tidak  duduk diam memainkan tetikus yang terletak di atas meja. Segala post dan status update gadis itu di baca satu persatu. Selama ini belum pernah dia membuka profile facebook milik gadis itu tetapi hari ini terasa seperti ada yang menarik pula.
Dalam diam Zafran membaca profile gadis itu. Hatinya terasa sesuatu bila membaca status update gadis itu yang banyak memberi kata- kata semangat serta nasihat-nasihat yang berguna. Jarang sekali dia melihat gadis itu memuatnaik gambar-gambar peribadi seperti kebanyakan kawan-kawan perempuannya yang lain. Ternyata gadis itu lain daripada kawan-kawan wanitanya yang lebih suka menayang- nayang gambar sesuka hati.
Dalam hati Zafran terdetik sesuatu. Kenapa Riduan mahu bertaruh dengan dia untuk memiliki gadis itu? Gadis sebaik Wardah perlukah dipermainkan sedangkan gadis itu adalah kawannya? Zafran menutup laptop lalu menghempas badannya ke atas katil. Dia merenung siling yang berwarna putih.
“Aku pelik dengan kau Zaf…” ucap Riduan sewaktu mereka melepak di gerai petang itu.
Zafran mengangkat muka memandang Riduan dengan kening yang bertaut. Dia memandang sekilas pada Iqram yang turut berkerut.
“Pelik apanya, Duan?” soal Zafran akhirnya.
“Aku suruh kau pikat Wardah semata-mata untuk pertaruhan tu tapi aku tengok kau ni macam dah syok je kat dia tu,” balas Riduan sambil menyiku Iqram yang asyik dengan cendolnya.
Laaa… Kau jugak yang nak aku dapatkan si Wardah tu, jadi aku kenalah pandai berlakon yang aku ni ambil berat pasal dia, nanti kalau aku buat tak tahu macam mana aku nak dapatkan si Wardah tu. Walaupun aku sekampung dengan Wardah tapi tak banyak sangat yang aku tahu pasal Wardah cuma aku tahu dia perempuan yang baik-baik,” ujar Zafran menerangkan perkara yang sebenar.
Namun, tiada siapa yang tahu apa yang dirasakan dalam hatinya. Disebabkan pertaruhan itu dia lebih dekat dengan Wardah. Setiap hari pasti dia cari jalan untuk mendekati Wardah semata- mata untuk menang dalam pertaruhan itu tetapi sedikit sebanyak rasa bersalah turut hadir dalam diri Zafran kerana apa yang dilakukan ini bagai satu penipuan untuk Wardah. Bukan sahaja dia menipu Wardah tapi dia turut menipu dirinya sendiri.
“Haahlah Zaf, aku pun perasan cara kau pandang dia, cara kau bercakap dengan dia macam kau dah jatuh cinta dengan dia. Ingat Zaf, kalau kau jatuh cinta dengan dia, maknanya kau kalah dan duit RM1000 tu kau tak dapatlah,” sampuk Iqram. Riduan terangguk- angguk.
Zafran tergelak kecil. Namun hatinya terdetik sesuatu.
“Mengarutlah kau orang ni. Aku nak jatuh cinta dengan Wardah? Memang taklah..” tegasnya dengan berani. Pandangannya di halakan ke tempat lain.
Riduan dan Iqram memandang Zafran dengan pandangan yang semacam. Macam nak percaya tapi daripada riak Zafran, dia tahu lelaki itu sedang menyembunyikan sesuatu.
“Apa hal kau pandang aku macam nak telan. Percayalah apa yang aku cakap ni. Aku tak suka kat dialah. Dia tu kawan aku je. Kau tahulah taste aku macam mana kan. Aku rapat dengan dia sejak dua menjak dan bermenjak-menjak ni pun, sebab kau orang yang nak bertaruh sangat. Anyway, aku pelik kenapa kau nak sangat bertaruh dengan aku untuk dapatkan si Wardah tu Duan? Padahal kau tahu kan perempuan yang macam mana aku suka,” giliran Zafran pulak yang menyoal.
Tersentak Riduan dibuatnya. Dia hanya mampu menayang gigi. Tersengih bak kerang busuk.
“Sebab aku tahu perempuan jenis apa yang kau sukalah aku nak kau try perempuan yang jenis lain pulak. Aku saja nak tengok Wardah ni jenis perempuan macam mana. Nampak dari gayanya, macam tak layan lelaki je. Tak pun jenis memilih. Memandangkan kau nak jadi playboy yang versatile jadi kau kena try si Wardah tu,” jawab Riduan tergagap-gagap padahal dia berbohong.
Oleh kerana sakit hati Wardah tidak melayannya, Riduan menggunakan Zafran untuk membalas sakit hatinya itu kerana dia tahu Wardah hanya baik dengan Zafran berbanding dengan rakan sekelas yang lain. Biar Wardah rasakan sakit hatinya nanti. Zafran pula jenis yang pantang dicabar apatah lagi yang melibatkan perempuan dan duit pasti dia tidak pedulikan perkara lain termasuklah harga persahabatan yang tidak dapat dinilai dengan duit atau pun apa saja yang berada di dunia ini.
“Kenapa kau sendiri tak try dia?” Itu dia soalan cepu emas daripada Zafran membuatkan Riduan terkulat- kulat.
“Bukan tak nak try tapi awal- awal lagi dah kena reject…” pintas Iqram sambil menjeling pada Riduan.
Zafran tergelak kecil. Kena reject? Maknanya Riduan pun ada hati untuk memikat Wardah tapi tidak dilayan. Kenapa Wardah baik dengan aku sedangkan dengan lelaki lain, Wardah langsung tak layan. Dia suka aku ke? Soalnya dalam hati.

AMBOI, menung jauh nampak..” tegur satu suara mengejutkan Zafran ke dunia yang sebenar. Perbualan antara dia dan Riduan terbang melayang.
Zafran mendongak. Kelihatan Zahirul melangkah masuk ke dalam biliknya dengan senyuman yang manis. Zafran bingkas bangun dan duduk di birai katil. Abangnya yang turut melabuhkan punggung di sisi, di pandang dengan senyuman terukir di bibir.
“Abang tengok kau macam terfikirkan sesuatu je? Apa dia? Kau ada masalah ke?” bertubi- tubi soalan yang keluar daripada mulut Zahirul membuatkan Zafran tergelak kecil.
“Abang ni banyak betul soalannya, Zaf nak jawab yang mana satu?” ucap Zafran.
Zahirul tersengih lebar.
“Dah tu, abang tengok kau menung jauh sangat. Kau teringatkan Wardah ke?” Serkap jarang Zahirul membuatkan Zafran tersedak. Ada ke situ pulak abang aku ni. Tapi memang betul pun aku sedang fikirkan dia sekarang ni. Benak hati Zafran berkata- kata.
“Mengarutlah abang ni, kenapa Zaf kena ingatkan dia pulak? Ramai lagi girlfriend Zaf yang boleh Zaf ingat,” dalih Zafran sambil meramas jari- jemarinya yang runcing. Wajah Zahirul tidak dipandang, dia risau abangnya itu mampu membaca apa yang tersirat di hatinya saat ini.
“Alah, yang lain tu kawan je kan pada kau. Tapi abang rasa cara kau layan Wardah tu macam lain daripada yang lain je, ada apa- apa ke?” giat Zahirul sambil menyiku lengan Zafran.
Zafran tidak membalas. Dia meraup rambutnya ke belakang. Kenapa semua orang cakap dia layan Wardah lain daripada yang lain. Semalam Riduan dan Iqram mengatakan perkara yang sama sekarang abangnya pula. Tapi aku rasa layanan aku pada Wardah sama je atau aku je yang tak perasan. Soal hatinya.
“Tak ada apa-apalah, abang. Zaf biasa-biasa je dengan Wardah. Zaf peliklah kenapa abang asyik cakap Zaf ada apa-apa dengan Wardah sedangkan Zaf tak rasa apa-apa pun,” Zafran mengetap bibir. Geram juga apabila asyik ditanya dengan soalan yang sama. Kan aku ada hubungan betul- betul dengan Wardah baru semua orang terkejut beruk!
Namun, Zahirul hanya tenang. Dia tergelak melihat Zafran yang tiba-tiba melenting apabila dikaitkan dengan Wardah.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa Zaf nak marah-marah? Tak tumbuh tak melata, kalau tak sungguh orang tak kata,” Tu dia Zahirul mula bermadah.
Zafran menahan gelak mendengar kata- kata Zahirul. Tahulah kau pensyarah tapi tak perlu nak berfalsafah dengan aku abang oii. Hati Zafran berkata.
“Sebab tak ada apa-apalah kena marah, abang. Bukan abang je, kebanyakan kawan Zaf semua cakap Zaf ada hubungan dengan Wardah. Zaf tak fahamlah. Abang tahu kan prinsip hidup Zaf,” Zafran mula mengadu.
“Zaf…” Zahirul memeluk bahu adik kesayangannya itu. Dia tersenyum manis.
“Macam mana kau nak faham, kalau kau tak cuba memahami kata hati kau sendiri. Kau cuba selindungkan perasaan kau dengan prinsip hidup kau padahal ada sesuatu yang mula bermain di sini…” ucap Zahirul sambil melekapkan telapak tangannya di dada Zafran.
Zafran terkedu. Dia terdiam seribu bahasa. Kata-kata Zahirul membuatkan jantung Zafran berdebar- debar. Kenapa agaknya?
“Apa yang abang mengarut ni? Tak ada apa-apa pun yang bermain kat hati Zaf ni. Zaf muda lagi, tak ada masa nak fikir soal hati bagai…” dalih Zafran. Matanya dialih ke tempat lain. Tak sanggup rasanya nak bertentang mata dengan Zahirul. Kecut perut.
“Abang tahu kau nak mengelak kan? Tapi tak apalah Zaf, satu hari nanti kau akan faham jugak apa yang abang cakapkan ni. Anyway, abang nak tanya cuti pertengahan semester nanti kau balik kampung tak?” Zahirul mengalih topik.
Zafran hanya menjongketkan bahu. Apabila disebut soal kampung, Zafran teringat nasihat Wardah dahulu. Gadis itu sunguh-sungguh mahu dia balik kampung untuk berjumpa dengan keluarganya. Zafran tersenyum sendirian. Kata- kata Wardah masih utuh dalam ingatannya.
“Kau ni kenapa? Abang tanya kau nak balik kampung ke tak, kau boleh senyum pulak,” sergah Zahirul mematikan senyuman manis Zafran.
“Tengoklah dulu abang. Abang tak balik ke?” soal Zafran kembali.
“Abang balik tapi lambat sikit. Kau tu, baliklah kampung. Kesian kat ayah dengan mak. Adik-adik pun rindu kat kau cuma kau je tak pedulikan mereka. Sudah-sudahlah benci kau kat mak, yang lepas tu biarlah lepas. Buat apa nak kenang Zaf,” pujuk Zahirul.
“Entahlah abang. Susah Zaf nak hadap muka perempuan tu. Tambah sakit bila tengok muka budak- budak tu. Lebih baik Zaf duduk rumah abang ni…”
“Zaf, keras betul hati kau. Mak tu tak bersalah apatah lagi budak-budak tu. Cuba kau buka hati untuk terima  mak tu sebagai mak kau. Apa yang ibu buat tu tak ada kena mengena dengan mak. Memang ibu tinggalkan kita sebab lelaki lain tapi mak sanggup korbankan duit, masa dan tenaga dia untuk ayah bina hidup baru, pernah tak kau ambil kira semua tu?” balas Zahirul lagi.
“Macam mana abang tahu?” Soal Zafran pelik.
“Itulah kau. Masa abang balik kampung, kau tak nak ikut. Ayahlah yang cerita kat abang. Mak tu dulu pekerja ayah. Pekerja yang ayah percaya. Disebabkan ekonomi meleset, ayah terpaksa tanggung hutang untuk bisnes ayah. Bila ibu tinggalkan ayah, mak datang berikan pertolongan. Atas dasar simpati, atas dasar sahabat dia tolong ayah sehinggalah ayah ambil keputusan untuk kahwin dengan mak. Ayah cuma nak kita ada mak je, Zaf. Tak lebih dari tu.” Terang Zahirul cuba menyedarkan Zafran yang terlalu lama hanyut dalam rasa bencinya terhadap Puan Saira dan adik-adik perempuannya.
Zafran terdiam. Kenapa dia tidak boleh terima kehadiran mak tirinya dengan mudah sedangkan Zahirul dengan besar hati menerima Puan Saira sebagai ibunya. Adik-adik tirinya turut di anggap seperti adik sendiri oleh Zahirul sedangkan dia tak mampu untuk berhadapan dengan mereka semua.
“Ingat Zaf, walaupun ibu tiri, dia tetap ibu kau. Darjat seorang ibu itu tinggi di sisi Allah. Syurga kau ada di bawah telapak kaki ibu,” suara Wardah bergema di telinga Zafran. Dia meraup rambutnya ke belakang.
“Mungkin Zaf balik kut tapi selepas Kursus Perintis Siswa…” ucap Zafran tiba-tiba.
Zahirul yang baru sahaja ingin melangkah keluar dari bilik Zafran berpaling. Dia tersenyum manis. Apa yang menyebabkan Zafran menukar fikiran?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.