Tetamu Rindu

Tuesday 17 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 5 )


TERKINI! OKTOBER 2017

ASSALAMUALAIKUM…” sapa Wardah saat melihat Zafran sedang tekun menulis sesuatu. Beberapa helai kertas bersepah-sepah di atas meja. Wardah mengelengkan kepala.
Zafran mendongak. Dia memandang wajah Wardah yang bersih. Buat seketika dia menjeling pada jam di tangan. Dia menarik muka. Konon- konon merajuk.
Waalaikummusalam, dah pukul berapa ni? Baru sekarang nampak muka kau. Dari tadi aku tunggu kau, tahu tak?” Suara Zafran seolah-olah merajuk.
“Alah baru pukul 1.30, kelas kita pukul empat kan? Tadi aku pergi sembahyang zohor dulu. Kau sembahyang belum?” soal Wardah dengan lembut. Dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Zafran.
Zafran tersengih. Dia menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Wardah adalah satu-satunya wanita yang mengingatkannya tentang solat.
Errr… Belum lagi Ada, sekejap lagi aku pergi. Kau dari mana?” soal Zafran kembali.
“Tak baik kau lengah-lengahkan solat. Jangan amalkan tau. Anyway, sebelum aku sembahyang tadi aku pergi makan dengan Ati dan Mira. Dia orang kirim salam kat kau,” ujar Wardah.
“Mana dia orang? Tak nampak pun. Tak nak join sekali ke kita study ni?” soal Zafran sambil menjenguk ke arah pintu masuk student center. Mencari kelibat Amira dan Athira.
“Taklah. Dia orang nak pergi kedai buku nak cari novel katanya. Eh, kau sorang je ke? Mana ‘saka’ kau?” soal Wardah selamba.
“Saka? Eh aku tak buatlah benda-benda syirik macam tu. Tak masuk syurga aku nanti,” balas Zafran kebingungan.
Wardah ketawa lepas. Dia tahu pasti Zafran tidak faham apa yang cuba dia cakapkan.
“Alah, perempuan-perempuan yang selalu cari kau tulah. Biasanya di mana ada kau, di situ ada awek-awek cun. Tak ke macam saka tu?” ucap Wardah menyambung tawanya.
“Kau ni Ada, ada-ada je. Aku ingatkan saka apalah tadi. Malaslah aku nak fikir pasal perempuan, yang penting sekarang kita study. Aku dah pening dengan mesin-mesin ni hah..” balas Zafran sambil menunjukkan buku Proses Pembuatan kepada Wardah.
Buku tersebut bertukar tangan. Pen yang berada di tangan digoyangkan. Dia cuba mengingati apa yang di ajar oleh Puan Ainul pada kelas yang lepas. Tapi sayang satu pun tidak terlekat dalam kepala Wardah cuma bayang wajah Emir Rehan yang menahan sakit akibat cakaran kucing bermain di minda Wardah. Dia menggelengkan kepala. His, aku ni dah angau kat dia ke?
“Kau ni dah kenapa Ada? Tergeleng-geleng macam orang tak betul je…” tegur Zafran dengan dahi yang berkerut.
Wardah tersengih mempamerkan giginya yang putih bersih.
“Tak ada apa-apa. Ini cara aku untuk ingat kembali apa yang Puan Ainul ajarkan. Kau tak payah peliklah,” ucap Wardah. Memberi alasan.
“Apa-apalah kau, Wardah. Macam mana ni, kau tahu tak apa fungsi mesin-mesin ni?” soal Zafran kembali.
Wardah mengetuk-ngetuk dagunya dengan pen. Cermin mata yang melurut jatuh di tolak sedikit dengan jarinya. Helaian nota kecil dibelek.
“Okey, setakat yang aku tahu, mesin kisar ini digunakan untuk meratakan permukaan atau pun membuat lengkung pada permukaan yang tidak sekata. Manakala, fungsi mesin larik sama jugak macam mesin kisar cuma mesin larik ini digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis rupa bentuk simetri. Mesin larik ini juga digunakan untuk meratakan permukaan bagi benda kerja yang berbentuk silinder berbeza dengan mesin kisar yang digunakan untuk benda kerja yang mempunyai bentuk yang tepat seperti segi empat tepat,” terang Wardah panjang lebar.
Zafran terdiam sebentar kemudian dia mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.
“Tetapi untuk menggunakan mesin kisar dan mesin larik ni kita kena pastikan mata alatnya sentiasa tajam bagi mengelakkan benda kerja itu rosak, betul tak Ada?” soal Zafran seterusnya.
Yup, pandai pun kau. Mata alat perlulah dalam keadaan yang elok dan tajam sebab kalau kita guna mata alat yang tumpul, ini akan merosakkan benda kerja dan akan menjadikan permukaan benda kerja tak cantik,” balas Wardah.
Zafran tersenyum puas mendengar penjelasan Wardah. Inilah untung dapat berkawan dengan orang cerdik seperti Wardah. Tak hairanlah jika Wardah mendapat anugerah dekan untuk setiap semester.
“Sekarang aku dah faham tapi yang aku tak faham, kenapa kita kena ambil subjek mekanikal ni sedangkan kita ni Pengurusan Teknologi?” soal Zafran. Dia menyandarkan belakang di kerusi. Wajah manis Wardah menjadi tumpuannya saat ini.
Kenapa Riduan beria-ia sangat nak bertaruh dengan aku untuk mendapatkan Wardah? Nak cakap Wardah cantik, taklah cantik sangat. Tapi kalau cerdik tu memang aku tak boleh lawanlah. Nak cakap seksi, memang taklah. Orangnya cukup simple, berbaju kurung itulah gaya Wardah sejak daripada semester satu lagi. Nak cakap kaya, orangnya cukup sederhana tapi apa yang membuatkan Riduan nak sangat aku tackle Wardah? Soal hati Zafran tiba- tiba.
“Kau kena faham Zaf, Pengurusan Teknologi yang kita ambil ni merangkumi segala subjek yang ditawarkan oleh UTM. Kalau kita ambil subjek seperti Proses Pembuatan ni, ia akan dedahkan kita bagaimana sesuatu produk itu disiapkan secara tak langsung ia akan membantu kita jika kita bekerja berkaitan dengan industri nanti. Sebagai seorang bakal pengurus, kau kena tahu semua yang berkaitan dalam organisasi sama ada berkaitan dengan bidang kau atau pun tidak,” jawab Wardah tersenyum.
Kata-kata Wardah mengejutkan Zafran daripada lamunannya. Dia tersengih. Hanya beberapa patah perkataan saja yang sempat ditangkap, selainnya fikirannya melayang entah ke mana. Wajah Wardah ditenung lagi.
Gadis ini terlalu baik untuk dipermainkan. Bagaimana kalau Wardah tahu yang aku hanya ingin menjadikannya taruhan semata-mata? Hati Zafran berbisik.
Alah, Wardah kan sporting orangnya. Dia takkan marahkan kau. Apa yang penting sekarang, kau kena menang taruhan ini. RM1000 dalam genggaman kau, siapa nak bagi? Tak mengapa, Wardah akan faham. Dia dah berkawan kau dah lama kan… Satu suara menghasut akal fikiran Zafran.
Ya tak ya jugak. Wardah mesti faham kenapa aku bertaruh, alah bukan aku buat benda yang tak senonoh pada dia pun. Nak cuit pun aku tak sanggup. Balas hati Zafran.
“Kenapa kau pandang aku macam tu Zaf?” soal Wardah tiba-tiba. Dia menjeling pada Zafran. Dia tidak suka pandangan Zafran yang tajam merenung wajahnya. Hidung aku senget ke sampaikan dia pandang aku macam nak telan je gayanya. Benak hati Wardah berkata- kata.
“Kau dah ada boyfriend?” soal Zafran tiba-tiba. Hatinya sedikit bergetar saat Wardah membalas renungan matanya.
“Kenapa tiba-tiba kau tanya soalan pelik ni Zaf? Soalan kau ni lebih susah dari soalan Proses Pembuatan ni. Tak naklah aku jawab,” balas Wardah dengan nada bergurau.
Zafran hanya tergelak kecil. Dia tahu Wardah cuba mengelak pertanyaannya.
“Pelik ke soalan aku tu? Normallah aku tanya kau ada boyfriend ke tak, lainlah kalau aku tanya kau ada girlfriend ke tak. Itu baru soalan yang pelik,” balas Zafran.
“Sudahlah Zaf, aku tak sukalah bercakap pasal benda ni. Kau kenal aku bukan sehari dua kan? Jadi aku rasa kau kenal aku perempuan yang macam mana,” ujar Wardah cuba menamatkan persoalan yang ditanya oleh Zafran.
“Okey, tapi aku nak tahu juga lelaki macam mana yang kau suka? Maksud aku ciri-ciri lelaki idaman kau. Kau suka lelaki yang macam mana?” soal Zafran lagi. Masih tidak mengalah. Dia memandang tepat ke wajah Wardah.
Wardah membalas pandangan Zafran sebelum menundukkan kepala.
“Kenapa kau nak tahu pulak? Selama kita kawan, tak pernah pun kau nak ambil tahu.” Balas Wardah sedikit pelik dengan sikap Zafran hari ini.
Sebabnya… Kalau aku nak menang pertaruhan tu, aku kena tahu lelaki macam mana yang kau suka. Barulah senang kerja aku. Jawab Zafran cuma dalam hati.
“Sebab tak pernah ambil tahulah, aku nak tahu. Cepatlah bagi tahu aku, kau suka lelaki yang macam mana? Mesti kau suka lelaki yang kaya kan?”
“Kenapa kau cakap macam tu pulak? Penting sangat ke kaya tu?” Soalan dibalas soalan oleh Wardah.
Zafran hanya menjongketkan bahu. Baginya, cinta wanita hanya terletak pada harta. Jika berharta, wujudlah cinta. Jika tidak berharta, cinta hilang dengan sendirinya. Dia sudah muak dengan perangai wanita seperti itu.
“Mestilah penting. Semua perempuan kalau nak pilih lelaki, mesti pilih yang kaya, yang berharta. Biar tua sekali pun, janji dapat bagi kesenangan. Perempuan semua sama!” balas Zafran sinis.
 “Tak semua perempuan macam tu, Zaf. Kalau kau tanya aku, ya memang aku suka lelaki yang kaya tapi kaya dengan ilmu agama. Kaya dengan ilmu lebih bernilai dari kaya harta sebab hanya ilmu yang mampu tunjukkan kita jalan jika kita sesat. Hanya ilmu yang mampu selamatkan kita di akhirat. Bagi aku lelaki yang tahu agama dan mengamalkan agama itu jauh lebih mulia berbanding lelaki kaya,” jawab Wardah tegas dan padat.
“Maknanya kau suka lelaki yang alim macam pak ustaz, macam tu?” soal Zafran lagi. Ada sejalur resah tergambar di wajahnya.
Wardah suka lelaki yang kuat agama, sedangkan aku? Solat lima waktu pun culas. Hanya Solat Jumaat saja yang penuh itu pun disebabkan Zahirul yang paksa. Solat sunat apatah lagi. Langsung tidak pernah dibuat. Nak berzikir? Tidak pernah terlintas di fikiran Zafran. Bagaimana aku nak penuhi ciri-ciri lelaki idaman Wardah, jika kewajipan sehari-hari pun aku gagal nak penuhi? Monolog Zafran.
“Alim tak semestinya untuk ustaz-ustaz je, Zaf. Aku tak mencari ustaz untuk diri aku tapi cukuplah imam yang mampu bimbing aku, yang mampu tegur kesalahan aku, yang mampu bagi aku ketenangan,” jawab Wardah.
Serentak, bayang wajah Emir Rehan terlayar ke ruang fikiran. Dia tersenyum tanpa sedar.
“Kau dah jumpa ke lelaki tu?” Soal Zafran ingin tahu. Wajah Wardah ditenung dengan lama. Dia menanti dengan penuh debar.
“Mungkin…” Wardah meleretkan kata.
Dia mendongak tetapi secara tiba-tiba dia anak matanya terpaku pada seseorang yang sedang berdiri di hadapan student center. Lelaki itu sedang berbual dengan sahabatnya. Sesekali lelaki itu tersenyum. Tanpa paksaan, bibir Wardah turut mengukir senyuman. Hatinya terasa berbunga-bunga setiap kali lelaki itu muncul di hadapannya. Apakah erti perasaan ini? Soal hatinya.
Zafran pelik melihat sikap Wardah saat ini. Dia turut menoleh ke belakang cuba melihat apa yang mencuri tumpuan Wardah. Dahinya berkerut apabila mendapati pandangan Wardah hinggap pada seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapan student center. Wajah lelaki itu tidak kelihatan jelas kerana Zafran hanya dapat melihat dari sisinya saja. Tapi wajah lelaki itu mampu membuatkan Wardah tersenyum manis. Zafran menggigit bibir. Dia kembali memandang Wardah dengan tajam.
“Ada…” Panggil Zafran sambil menepuk meja. Sekadar untuk menyedarkan Wardah daripada lamunan.
Wardah tersentak. Pandangannya beralih ke arah Zafran.
“Apa dia?”
“Jangan curi-curi senyum untuk orang lain depan aku.” Ucap Zafran tiba-tiba. Intonasinya kedengaran mendatar tapi tegas.
“Hah? Kenapa tak boleh pulak?” Soal Wardah hairan.
Zafran tidak menjawab sebaliknya dia bingkas berdiri.
“Esok ada mesyuarat untuk kem Perintis Siswa, jangan lupa datang,” balas Zafran tanpa menjawab soalan Wardah. Dia berlalu tanpa sempat Wardah berkata apa-apa.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.