Tetamu Rindu

Wednesday 18 October 2017

INGKAR CINTA ( BAB 6 )



ASSALAMUALAIKUM…” ucap Zafran sewaktu melangkah masuk ke dalam kelas yang digunakan untuk mereka bermesyuarat pagi itu. Zafran memanggil Wardah masuk untuk diperkenalkan kepada ahli fasilitator yang lain.
“Baiklah, saya kenalkan ini Wardah Zaharah fasilitator yang baru. Dia akan bersama-sama kita untuk mengendalikan Kursus Perintis Siswa untuk pelajar-pelajar baru semester ini,” ucap Zafran sambil memperkenalkan Wardah.
Wardah tersenyum manis. Satu per satu wajah yang berada di hadapannya dipandang. Semua yang berada di situ menyambut baik kedatangannya kecuali Juliana. Kelihatan gadis yang memakai baju kurung berwarna ungu itu hanya tersenyum hambar. Satu jelingan di hadiahkan buat Wardah.
“Baguslah kalau kau dah jumpa fasi tambahan. Kalau nak harapkan kita yang berapa kerat ni, aku rasa tak terlayan kerenah budak-budak junior tu nanti,” sampuk Muaz yang duduk berhampiran dengan Zafran.
“Betul tu Muaz, senang sikit kerja kita nanti,” sambung Hafiza tidak lama kemudian.
Zafran tersenyum gembira di atas penerimaan sahabatnya terhadap Wardah. Dia memandang sekilas pada Wardah yang hanya tahu tersenyum manis. Gadis itu nampak agak kekok dan segan berhadapan dengan ahli kelab fasilitator yang lain.
“Tapi saya tak ada pengalaman dalam mengendalikan budak-budak junior ni. Zaf yang ajak saya sertai kelab ni jadi saya haraplah awak semua dapat tunjuk ajar apa yang patut pada saya,” ucap Wardah merendah diri.
Wajah-wajah di hadapannya kini bukan lagi asing buat Wardah memandangkan mereka semua pelajar semester enam dan semester lima tetapi Wardah tidak pernah bekerjasama dalam satu kumpulan jadi dia tidak tahu sama ada mereka boleh menerima kehadirannya atau pun tidak.
“Kalau niat nak sertai kelab ni sekadar untuk menggatal baik batalkan saja niat tu. Biasa orang cakap, kalau niat tak baik semua kerja buat pun jadi tak baik,” sinis Juliana tiba-tiba.
Wardah tersentak. Aikk, lain macamlah bunyi Juliana ni. Macam tak puas hati pun ada. Wardah dapat rasakan yang kehadirannya tidak diterima oleh Juliana. Dia memandang pada Zafran yang turut terkejut mendengar bicara Juliana yang agak tidak sopan.
Zafran melemparkan senyuman dan mengerdipkan matanya pada Wardah.  Dia tidak mahu gadis itu merasa tidak selesa dengan kata-kata Juliana. Dia ketua dalam kelab tersebut jadi suka hati dialah nak ambil siapa pun untuk menyertai kelab ini. Juliana tiada hak untuk menghalang.
“Saya yang mintak Wardah untuk sertai Kelab Fasilitator Ivory ini sebab saya rasa dia layak. Bukan sahaja daripada pencapaian akademik tetapi daripada segi kemahiran dalam menguruskan sesuatu event. Jadi, saya pilih Wardah bukan atas sebab-sebab peribadi ya, Juliana,” balas Zafran bagi pihak Wardah.
Juliana menarik muka masam. Dia dapat rasakan sesuatu yang tak kena pada tindakan Zafran untuk mengambil Wardah sebagai fasilitator. Sepatutnya Zafran tanya pendapatnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan memandangkan dia juga salah seorang ahli kelab itu juga.
“Saya nak jumpa awak selepas meeting ni,” bisik Juliana pada Zafran. Kedengaran keras dan tegas.
Zafran hanya mengangkat bahu. Dia mengalih pandangan ke hadapan. Malas dia melayan perangai Juliana yang agak merimaskannya saat ini.
“Zaf, bila tarikh Kursus Perintis Siswa yang sebenarnya? Aku dengar macam- macam tarikh yang pihak HEP cadangkan,” Iqram mengalih topik perbincangan. Wajah Zafran dipandang.
“Tadi aku baru saja jumpa dengan Puan Umi, aku dimaklumkan tarikh sebenar kursus tu akan diadakan awal bulan depan selama tiga hari dua malam di Taman Pertanian Jubli Perak…”
“Maknanya kita juga perlu berkhemah dengan student baru?” sampuk Juliana yang sejak tadi mendiamkan diri.
“Yup, kita akan berkhemah dan mengawasi student kat sana. Kemungkinan pihak kolej akan menggunakan khidmat pihak luar untuk mengendalikan student kali ini. Jadi, kita tak perlu menyediakan modul-modul seperti kursus yang lepas sebaliknya kita cuma jadi pemantau je. Tetapi satu saja yang yang penting, ini untuk perhatian pada AJK perhubungan luar, kita perlu pastikan yang penceramah untuk sesi malam sampai tepat pada waktunya,” ujar Zafran memberi maklumat.
Kelihatan semua yang hadir mengangguk- angguk tanda faham. Wardah turut mencatat isi yang penting cuma dia terasa janggal kerana tidak tahu apa tugasnya nanti sedangkan semua fasilitator mempunyai tugas mereka sendiri. Takkan aku tengok je kut. Desis hati Wardah.
Err… Tapi Zaf apa tugas aku? aku tak tahu apa- apa ni,” akhirnya Wardah bersuara.
“Itulah kalau tak tahu nak buat kerja, tak payah sibuk nak join kelab ni. Sebenarnya kelab ni memerlukan orang yang berpengalaman bukannya baru nak belajar,” sampuk Juliana. Kedengaran agak sinis di telinga Wardah.
Wardah mengangkat pandangan memandang wajah Juliana. Eii, perempuan ni sabar jelah hati aku ni. Kalau aku tak fikirkan Zafran yang mintak tolong memang dah lama aku cabut dari kelab ni. Buat sakit hati aku je. Agak-agak kalau aku gam mulut dia salah tak? Hati Wardah berbicara menahan kesabaran melihat kerenah Juliana yang menyakitkan hatinya.
“Jue, boleh tak awak jaga sikit bahasa awak tu. Dulu masa awak masuk kelab ni, terkial- kial jugak awak nak handle budak-budak junior. Jangan asyik nak mengata orang je,” bebel Zafran. Masih terus membela Wardah. Dia hanya menggelengkan kepala melihat wajah cemberut Juliana yang tidak berpuas hati.
Juliana mendengus geram. Bertambah sakit hatinya apabila melihat senyuman sinis dilemparkan oleh ahli kelab yang lain kepadanya. Rata-rata semua yang hadir di situ berpihak pada Wardah. Macam bagus je!
“Tak apa Ada, kau bantu aku apa yang patut. Aku lantik kau jadi penolong aku memandangkan kau dah biasa satu kumpulan dengan aku kan? Jadi lebih senang untuk kita bekerjasama nanti,” ucap Zafran kemudiannya.
“Alah Zaf, Wardah boleh je satu satu geng dengan aku. Lagipun AJK makanan memang memerlukan tenaga yang lebih,” sampuk Iqram sambil mengenyitkan mata pada Zafran.
Zafran yang mengerti maksud sebenar Iqram hanya menggelengkan kepala. Inilah masanya untuk memikat Wardah demi untuk pertaruhan itu. Dia tak mahu tewas dalam pertaruhan yang telah dipersetujui antara dia, Iqram dan Riduan. Malulah dia nanti.
“Tak mengapalah Iq, aku rasa kau punya bahagian dah cukup korum, Wardah ni aku yang jemput dia masuk dalam kelab ni jadi biarlah aku yang ajar dia selok-belok kelab kita ni,” balas Zafran.
Aikk, kau nak ajar selok-belok ke atau kau tak boleh berenggang dengan Wardah, Zaf?” Muaz bersuara.
Serentak, bunyi ketawa bergema di dalam kelas tersebut kecuali Juliana. Wardah tertunduk malu. Sementara Zafran hanya ketawa kecil namun sempat lagi dia mengerling ke arah Wardah yang sudah tersipu-sipu. Suka dia melihat wajah sahabatnya itu yang kemerahan. Terasa ada sesuatu yang menjentik tangkai hatinya namun sebaik sahaja Wardah membalas pandangannya, dengan pantas Zafran mengalih pandangannya ke tempat lain.
“Kau ni Muaz ada- ada je. Kau tengok muka Wardah tu dah merah,” balas Zafran meredakan suasana.
“Apa salahnya Wardah kan?” usik Liana yang duduk di sebelah Wardah.
Wardah hanya mampu tersengih. Dia tidak mampu untuk berkata apa- apa. Terasa wajahnya berbahang. Athira, Amira aku perlukan kau orang saat ini! jerit hati Wardah.

MESYUARAT yang di adakan hampir sejam itu berakhir setelah segala mendapat kata sepakat daripada ahli-ahli yang hadir. Wardah mengemas buku nota dan alat tulis lalu disimpan di dalam beg galasnya.
“Ada, sekejap lagi kau nak terus ke kelas ke?” Soal Zafran sambil menyandang begnya. Wajah Wardah dipandang.
“Yup, aku ke kelas teruslah. Lagipun Athira dan Amira tunggu aku kat kelas. Kau jangan lambat masuk pulak nanti marah pulak Puan Putri tu,” Wardah sekadar mengingatkan.
“Aku tahulah, tapi kau tak nak pergi makan dulu ke? Jomlah temankan aku makan,” ajak Zafran lembut.
“Eh, tak apalah Zaf. Aku rasa Jue tengah tunggu kau kat luar tu. Dia boleh temankan kau pergi makan. Lagipun aku nak pergi solat dulu,” ujar Wardah mengelak.
Jika boleh dia tidak mahu terlalu rapat dengan Zafran. Dia tidak mahu mencari masalah dengan perempuan-perempuan yang minat habis dengan Zafran. Tak pasal- pasal ada yang cari gaduh dengannya. Tengok daripada gaya, rasanya Juliana mungkin orang yang pertama akan cari gaduh dengannya.
“Baru pukul 12.30 Ada, lambat lagi Zohor nak masuk. Jomlah teman aku makan…”
“Zaf, saya nak jumpa awak sekarang,” suara Juliana membantutkan perbualan mereka. Zafran berpaling ke arah muka pintu. Dia mengeluh berat. Serabut!
“Pergilah Zaf… Aku tunggu kau kat kelas,” ujar Wardah tersenyum.
“Tak, kau kena teman aku makan jugak. Kau tunggu aku kat bawah tau,” tegas Zafran.
Dia berlalu tanpa sempat Wardah membalas. Wardah menepuk dahi. Dia ni suka buat aku tak ada pilihan. Detik hati Wardah sebelum keluar melalui pintu belakang.
Zafran berdiri sambil berpeluk tubuh di hadapan Juliana. Memang dia akui, sekarang ini dia sudah tawar hati dengan gadis yang berada di hadapannya ini.
“Awak nak apa?” tanya Zafran.
“Sejak bila awak buat keputusan tanpa tanya pendapat saya dulu? Kenapa awak ajak Wardah masuk kelab kita tanpa pengetahuan saya?” tanya Juliana tanpa berdalih. Dia merenung tempat ke dalam anak mata Zafran yang hitam pekat.
Zafran mengeluh panjang. Inilah yang aku tak berkenan dengan perangai perempuan, semua benda yang kita buat kena bagitahu dia dulu. Macamlah dia tu perdana menteri sampaikan semua perkara nak kena repot padahal aku bukan rasmi lagi jadi boyfriend dia. Bentak hati Zafran geram.
“Saya tak tahu pulak semua keputusan yang saya buat kena melalui awak. Saya pengerusi ke atau awak yang pengerusi?” sindir Zafran.
“Saya salah seorang AJK kelab ni jadi saya perlu tahu siapa yang awak ambil jadi ahli. Awak cakap pada saya yang awak tak nak ada kaitan dengan Wardah tapi akhirnya awak ambil dia juga jadi ahli kelab ni. Apa cerita?” Juliana mula menghamburkan rasa tidak puas hati. Wajahnya berkerut seribu.
“Hah? Salah ke saya ambil Wardah jadi fasi? Kelab kita tak cukup kakitangan, awak tahu tak? Dah banyak kali saya nak bincang dengan awal pasal ni tapi awak asyik nak bercakap pasal hubungan kitalah, pasal couple lah, bla, bla, bla. Bila saya buat keputusan awak asyik nak bantah je. Apa salahnya kalau saya ambil Wardah? Dia kawan saya dan saya jamin dia memang seorang yang bagus. Cuma bersikap profesional sikit, Jue. Saya  buat semua ni atas dasar kelab kita bukan disebabkan saya ada affair dengan dia atau sebab lain,” tekan Zafran. Dia cuba mengawal suaranya agar tidak kedengaran terlalu tinggi.
Kedengaran Juliana tersenyum sinis. Nak suruh aku profesional konon, tapi dia tu bukan main lagi aku tengok duk menggatal dengan Wardah. Ingat aku tak perasan. Dasar lelaki!
“Sudahlah Zaf, lebih baik awak mengaku yang awak dah jatuh cinta dengan perempuan tu. Awak dengar sini ya, saya takkan biarkan perempuan tu rampas awak daripada saya…”
“Tolonglah Jue, grow up. Saya bukan kekasih awak malah saya tak pernah declare yang awak kekasih saya, kenapa tiba-tiba awak nak kongkong saya pulak?” Zafran mula meninggikan suara.
Perempuan ni dah lebih. Aku tak pernah cakap pun pada dia yang aku setuju nak jadi teman lelaki dia. Aku tak suka  kena kongkonglah, perempuan!
“Saya tahu awak sukakan saya kalau tak, takkan awak asyik keluar dengan saya je. Mungkin kehadiran Wardah buat awak berubah hati. Saya nak awak tahu yang saya takkan benarkan Wardah dekat dengan awak. Saya sayang awak Zaf, awak kena faham,” ujar Juliana. Dia cuba memegang tangan Zafran namun dengan pantas Zafran menarik kembali tangannya. Ish, tak suka betul aku.
Zafran meraup rambutnya ke belakang. Ini yang aku tak suka, kenapa perempuan cepat sangat perasan?
“Awak pernah dengar saya cakap yang saya setuju nak jadi kekasih awak ke? Jue, saya rasa awak dah salah faham dengan layanan saya selama ni, saya anggap awak kawan je, tak lebih daripada tu. Saya keluar bukan dengan awak seorang aje tau. Fiqa, Suzie, Laila, Zarina, ramai lagilah kalau saya nak sebut sorang-sorang. Jadi tolonglah faham. Saya tak pernah dan takkan jatuh cinta dengan mudah dan saya bukan seorang yang setia. Saya nak pergi dulu dan tolong jangan ungkit lagi pasal ni,” ujar Zafran.
Dia berpaling untuk mengorak langkah namun suara Juliana menghentikan langkahnya.
“Awak milik saya Zaf, saya akan pastikan yang awak akan jatuh cinta pada saya. Saya tahu yang awak sayangkan saya sama seperti saya sayangkan awak, saya takkan berhenti buat awak jatuh cinta pada saya sampai awak sendiri yang mengalah,” ucap Juliana.
Dia memandang Zafran yang membelakangkannya. Dia pasti Zafran akan kembali padanya. Dia gadis yang cantik, takkan lelaki seperti Zafran sanggup meninggalkannya. Ya, dengan kecantikan itulah dia akan gunakan untuk menawan hati Zafran Wazien.
Zafran hanya tersenyum hambar. Juliana tidak pernah memahami apa yang di alaminya, prinsip hidupnya tentang cinta. Dia belum bersedia untuk memberi sebarang komitmen malah dia masih belum bersedia untuk membuka hatinya bagi mengisi mana- mana cinta.
“Saya tak kisah dengan apa yang awak nak buat tapi saya nak ingatkan awak yang hati saya ni tak mudah untuk terima cinta jadi saya akan tunggu awak sendiri yang mengalah,” balas Zafran.
Tanpa menunggu lama, dia melangkah meninggalkan Juliana sendirian.

ZAFRAN mendekati Wardah yang setia menunggu di pintu masuk kolej. Dia tersenyum sendirian melihat Wardah yang tekun membaca buku. Dia memang tahu hobi Wardah yang suka membaca jika ada masa terluang jadi tak hairanlah kalau Wardah cerdik orangnya. Sekilas dia menjenguk buku yang dibaca oleh Wardah. Buku Fiqh Wanita berada di tangan gadis itu membuatkan Zafran tersenyum lagi.
“Hahhhh!” sergah Zafran dengan sengaja.
Argghh!” jerit Wardah kerana terkejut. Habis buku yang dipegang dilambung dek kerana terkejut dengan sergahan daripada Zafran.
Zafran tergelak besar. Dia menekan perut kerana geli hati melihat reaksi wajah Wardah yang terkejut. Rasa senak perut pun ada akibat terlampau kuat ketawa.
“Tak senonohlah kau ni Zaf, terkejut aku. Cuba bagi salam,” marah Wardah sambil mengutip kembali bukunya yang terjatuh di atas lantai.
“Aku dah nak bagi tapi bila aku tengok kau khusyuk sangat membaca, tak jadilah aku nak bagi salam. Kau baca buku apa tu?” soal Zafran lalu duduk di sebelah Wardah.
Wardah menjarakkan dirinya daripada Zafran. Dia mengangkat buku yang di bacanya ke hadapan muka Zafran. Bacalah sendiri malas aku nak cakap.
“Oh, best tak buku ni?” soal Zafran.
“Ini buku agama Zaf, buku panduan untuk hal-hal fikah tentang wanita. Banyak gunanya buku ni untuk perempuan sebab buku ni banyak menjelaskan tentang hal-hal yang perlu seorang wanita Islam patuhi untuk menjadi seorang muslimah yang solehah,” balas Wardah menjelaskan sedikit sebanyak tentang buku yang dibacanya itu.
Zafran tersenyum manis. Dia merenung wajah Wardah yang asyik bercerita tentang isi kandungan buku tersebut. Wajah gadis itu selalu sahaja tenang malah sikap sopan santun Wardah cukup menyenangkan hati Zafran. Walaupun mereka telah lama menjalinkan persahabatan, namun Wardah tidak pernah melangkaui batas dalam pergaulan antara mereka. Gadis itu memang lengkap ciri-ciri seorang wanita solehah.
“Kau dan Jue bincang pasal apa tadi?” soal Wardah membuatkan Zafran tersedar.
Zafran meraup wajahnya. Dia memandang ke tempat lain sebelum kembali memandang wajah Wardah yang setia menanti jawapan daripadanya. Dia menghela nafas panjang. Entah apa yang menganggu fikiran ketika ini.
Errr… Tak ada apa pun. Jomlah temankan aku pergi makan, aku dah lapar ni,” ucap Zafran mengubah topik perbualan. Jika boleh biarlah apa yang di bincangkan dengan Juliana hanya dia saja yang tahu.
Wardah mengalah. Dia mengangguk setuju walaupun dia tahu ada sesuatu yang disembunyikan oleh Zafran. Dari air muka lelaki itu Wardah sudah dapat meneka ada sesuatu yang menganggu fikiran lelaki itu. Tapi apakah dia?
Wardah dan Zafran melangkah menuju ke kedai makan yang berada di hadapan kolej mereka. Masing-masing mendiamkan diri sehinggalah sampai di kedai makan. Suasana di Kedai Makan Taman Gelora agak bingit, mungkin kerana waktu ini waktu tengah hari. Semua pelajar dan pensyarah turun untuk menjamu selera.
Selepas mendapat tempat duduk, Wardah dan Zafran memesan makanan. Wardah merasa tenang saat matanya memandang Pantai Taman Gelora yang cukup cantik dan mendamaikan. Namun, matanya terpaku pada seseorang yang memandang ke arahnya. Emir Rehan!
Alamak, Emir Rehan ada juga. Mana aku nak sorok ni? Tentu dia ingat Zafran boyfriend aku memandangkan aku berdua sahaja dengan Zafran saat ni. Macam mana ni? Wardah mula gelisah. Dia membuang pandangan pada Emir Rehan yang setia memandangnya. Wajah lelaki itu masam mencuka. Tiada lagi senyuman manis yang selalu terukir di bibir lelaki idamannya itu.
Eh Ada yang kau gelisah semacam aku tengok ni kenapa? Macam kucing mati bini je gaya kau ni,” tegur Zafran.
Wardah tersengih. Macam manalah aku nak terangkan, bakal jodoh aku tengah tengok kau dengan aku ni. Mesti dia fikir bukan-bukan. Alahai Zaf, kenapalah hari ni kau ajak aku temankan kau makan berdua je? Hati Wardah mula melalut.
“Tak ada apa- apalah, Zaf. Tiba- tiba aku rasa panas kat sini,”
“Panas? Aku rasa angin bukan main kuat lagi. Kau tak sihat ke? Demam? Jom aku bawak kau ke klinik,” ujar Zafran dengan riak yang risau.
Dengan pantas Wardah menggelengkan kepala. Aku panas bukan sebab itulah. Eiii, susah bercakap dengan orang yang tak faham perasaan kita ni. Bisik hati Wardah lagi. Dia mengintai wajah Emir Rehan dari sebalik wajah Zafran yang sedang leka menjamu selera. Kelihatan Emir Rehan menumpukan sepenuh perhatiannya pada makanan yang terhidang di hadapannya.
“Kenapa kau tak nak makan Wardah? Minum je…” soal Zafran mengangkat muka.
“Aku dah makan roti tadi. Lagipun nanti aku masak kat rumah,” balas Wardah.
“Kau pandai masak, Ada?” soal Zafran lagi.
“Alhamdulillah sikit-sikit tu bolehlah Zaf. Setakat nasi kosong dengan lauk-lauk biasa bolehlah aku masak,” terang Wardah.
Zafran tidak membalas. Dia tersenyum di dalam hati. Kalau ikutkan, Wardah ada ciri-ciri wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri cuma… Cuma apa ya? Zafran tiada jawapan untuk soalan yang ditanya oleh hatinya.
“Sekurang-kurangnya kau pandai jugak masak. Nanti, kau masaklah untuk aku. Selama ni kau tak pernah pun bagi aku rasa masakan kau,”
“Macam mana aku nak bagi kau rasa masakan aku, kau tak pernah balik kampung. Aku selalu bagi kuih-kuih yang aku masak pada mak kau,” balas Wardah.
Terhenti terus senyuman manis Zafran bila lelaki itu menyebut dengan mak tirinya itu. Mati terus seleranya. Zafran meletak sudu di dalam pinggan. Dia mengelap mulut dengan tisu. Air sirap yang dipesan dihirup perlahan.
“Aku takkan balik selagi perempuan tu ada dalam rumah aku,” ujar Zafran. Dia berpeluk tubuh,
“Perempuan? maksud kau Mak Cik Saira?” tanya Wardah dengan dahi yang berkerut.
Zafran mendiamkan diri dan itu sudah menjawab soalan Wardah. Hampir Wardah terlupa cerita keluarga Zafran. Lelaki itu memang tidak suka dengan kehadiran Puan Saira dalam keluarganya. Wardah ingat, Zafran pernah menyatakan yang Puan Saira berkahwin dengan ayahnya kerana harta sedangkan bagi Wardah, dia melihat Puan Saira seorang wanita yang baik malah wanita itu seorang yang ramah. Dia sendiri pelik dengan sikap Zafran.
“Zaf, Mak Cik Saira tu mak kau, tak baik kau panggil dia macam tu.”  tegur Wardah dengan nada yang lembut.
“Dia bukan mak aku malah aku tak ada mak pun, semua perempuan menyusahkan hidup aku. Menyusahkan hidup ayah aku,” balas Zafran.  Di matanya tergambar perasaan yang sarat dengan kebencian.
Wardah menghembus nafas panjang. Dia perlu menyedarkan Zafran daripada terus hanyut dalam perasaan benci yang dia tanamkan untuk Puan Saira dan ibu kandungnya sendiri. Wardah merenung Zafran lama.
“Aku tahu kau tak suka kalau aku sebut pasal ni tapi kau tak boleh terus bersikap macam ini, Zaf. Puan Saira dah jadi mak kau walaupun hanya sekadar mak tiri tapi dia tetap mak kau. Aku tahu kau sakit hati dengan ibu kau dulu sebab buat ayah kau macam tu tapi itu bukan boleh dijadikan alasan untuk kau terus benci mak tiri dan ibu kau sendiri. Sebagai lelaki, kau harus taat pada kedua ibu bapa kau terutama ibu kau. Syurga tu di bawah telapak kaki ibu Zaf,” nasihat Wardah lembut.
Zafran terdiam. Dia tidak membalas. Straw yang berada di dalam gelas di kacau-kacaukan sama seperti fikirannya yang sedang kacau saat ini.
“Kau tak faham perasaan aku Ada, aku kecewa bila ibu aku sanggup tinggalkan ayah, abang dan aku yang masih kecil disebabkan ayah aku jatuh muflis saat itu. Dia tak fikir aku yang  perlukan kasih sayang seorang ibu saat itu. Budak yang baru berumur 10 tahun, dia tak fikir ke?” luah Zafran menghuraikan rasa hatinya yang masih sarat dengan perasaan benci.
“Aku akan cuba faham perasaan kau Zaf, memang aku tak berada di tempat kau, memang aku tak alami apa yang kau alami. Tetapi ingat Zaf kau tak boleh letakkan perasaan benci kau pada ibu kau sehinggakan kau benci semua perempuan yang ada di muka bumi ini. Tak semua perempuan akan ikut apa yang ibu kau lakukan dan aku rasa Mak Cik Saira seorang ibu yang baik buktinya dia terima ayah kau dan sudi jaga kau dan abang kau tanpa bezakan kau dan adik-adik tiri kau yang lain,” balas Wardah. Dia cuba menyelami hati Zafran kerana dia tidak mahu lelaki itu tenggelam dalam  dunia yang diciptakan sendiri.
“Kau tahu tak Zaf, darjat seorang ibu ni amat tinggi di sisi Allah S.W.T sampaikan Rasulullah S.A.W pernah bersabda, ada seorang sahabat yang bertanya siapakah yang harus ditaati selepas Allah dan Rasul? Rasulullah S.A.W bersabda ibumu, kemudian sahabat bertanya lagi selepas ibu siapakah orang yang harus ditaati? Kemudian Rasulullah menjawab lagi, ibumu dan ibumu kemudian barulah ayahmu. Kau nampak tak kat sini Zaf, betapa mulianya seorang ibu itu. Jika Allah dan Rasulullah sangat memuliakan seorang ibu, kita sebagai manusia takkan nak mengingkarinya walaupun sekadar ibu tiri tapi dia tetap seorang ibu,” sambung Wardah panjang lebar.
Bukan dia nak menunjuk pandai, tetapi sebagai seorang sahabat dia perlu menasihati Zafran. Dia tidak mahu sahabatnya itu memilih jalan yang salah dalam hidupnya.
Zafran terdiam. Apa yang dikatakan Wardah menyentuh hati lelakinya. Selama ini tiada seorang pun yang sudi menasihatinya atau menyedarkannya tentang itu tetapi Wardah mampu menyentuh hati dengan kata-kata nasihatnya. Akhirnya Zafran mengukir senyuman penuh makna.
“Jomlah kita ke kelas, dah pukul 1.30 ni. Nanti lambat pulak,” balas Zafran menukar topik.
Wardah hanya tersenyum dan mengangguk. Dia mengangkat punggung untuk berlalu namun kehadiran Fiqa yang datang dan memeluk lengan Zafran begitu mengejutkan Wardah.
“Sayanggg…” rengek Fiqa manja. Dengan selamba dia mencuit hidung mancung milik Zafran.
Zafran cukup terkejut dengan sikap berani dan gedik yang ditunjukkan Fiqa di hadapan khalayak ramai. Zafran tidak kisah dengan mata-mata asing yang memandang tetapi dia kisah apabila Wardah yang memandangnya dengan pandangan yang curiga. Alamak, matilah aku!
“Fiqa, apa awak ni? Cuba senonoh sikit,” tegur Zafran. Dia menepis tangan Fiqa yang memeluk lengannya. Rimas tahu tak?
“Alah, selalu you tak marah pun, hari ni nak bising pulak. Kenapa you makan tak ajak I?” soalnya dengan suara sengaja di lunakkan.
“I banyak kerjalah. Dahlah you makan sorang, I ada kelas,” tegas Zafran lantas dia mencapai begnya lalu beredar meninggalkan Fiqa yang terpinga- pinga.
Wardah tidak menyampuk sebaliknya dia mengorak langkah membuntuti Zafran. Sekilas, dia memandang ke arah Emir Rehan yang turut memandang ke arahnya. Bibir lelaki itu kembali mengukir senyuman setelah melihat Fiqa dan Zafran sebentar tadi. Wardah tersenyum. Dia menarik nafas lega.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.