Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 1 )


LAPANGAN Terbang Antarabangsa Dubai kelihatan sesak dengan manusia yang berpusu-pusu keluar dari perut pesawat menuju ke destinasi pilihan mereka yang terdapat di Dubai. Dari jauh kelihatan seorang jejaka melangkah keluar dari lapangan terbang dengan penuh gaya. Kaca mata hitam yang tersungging di hidungnya yang mancung menambahkan lagi kekacakannya apatah lagi dengan badan yang tegap dan ketinggian persis model.
Hans Yusuf membetulkan kamera DSLR yang tergantung di leher. Troli beg ditolak sebelum langkahnya terhenti di satu sudut. Dia melabuhkan punggung di bangku yang telah disediakan. Anak matanya melingas melihat orang ramai yang membanjiri lapangan terbang tersebut.
Hans tersenyum sendirian. Dia suka memerhati gelagat manusia yang bermacam ragam. Nyata, semuanya kelihatan teruja apabila dapat menjejakkan kaki ke Dubai, sebuah kota raya yang terkenal dengan kekayaan hasil minyak. Malah, Dubai juga terkenal dengan gelaran syurga dunia.
Hans menarik keluar kamera DSLR yang tergantung di lehernya lalu diarahkan ke kawasan sekitar lapangan terbang, beberapa keping gambar pelancong yang sedang berbincang dalam kumpulan dirakamkan. Malah, beberapa keping gambar kawasan lapangan terbang turut diambil sekadar untuk kenang-kenangan.
Sedang asyik dia melihat kawasan sekeliling, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Pantas, Hans menyeluk poket dan menjawab panggilan.
“Waalaikummusalam, mama. Alhamdulillah Hans dah sampai. Kejap lagi Hans nak check in dekat hotel. Mama tak payah risaulah, Hans datang sini nak melancong. Tenangkan fikiran bukannya nak lari,” jawab Hans. Dia berjeda seketika mendengar butir bicara daripada mamanya.
Dia bingkas berdiri dengan menarik beg pakaiannya sambil telefon melekap di telinga.
“Mama cubalah pujuk papa tu. Hans boleh cari sendiri. Tak perlulah papa carikan. Hans tak nak kalau apa-apa jadi nanti, Hans salahkan mama dan papa. Masa depan Hans, jodoh Hans, biar Hans yang pilih. Kali ni entah perempuan mana yang papa pilih untuk Hans. Hans tak nak.” Rungut Hans dengan riak yang serius.
Sebuah teksi berhenti di hadapannya. Dengan bergegas dia memasukkan beg pakaiannya ke dalam boot teksi sebelum dia melangkah masuk di tempat duduk belakang. Setelah memberi arahan kepada pemandu teksi tersebut, Hans meneruskan perbualannya di corong telefon.
“Hans bukan tak percaya papa, mama. Hans bukan tak nak kahwin. Hans ni straight tau mama. Cuma Hans tak ada masa nak cari girlfriend. Mama tengoklah perempuan yang papa kenalkan pada Hans bulan lepas, mama tahu tak dia dah ada kekasih dan kekasih dia perempuan, mama! Dia setuju dengan cadangan papa dia untuk berkenalan dengan Hans semata-mata nak tutup hubungan songsang dia tu. Nasib baik Hans tahu cepat, kalau tak… Mama fikirlah sendiri.” cerita Hans lagi. Dia menggelengkan kepala.
Anak matanya menebar ke luar tingkap kereta. Cuaca di Dubai sekarang ini kelihatan cerah. Bangunan-bangunan yang tersergam kelihatan unik di mata Hans. Dia mengangkat kamera dengan tangan kirinya namun dia terpaksa meletakkan kamera tersebut kembali apabila mengenangkan tangannya kanannya masih memegang telefon.
“Mama tak perlu risau, mama akan dapat menantu juga nanti. Biar masa dan jodoh yang menentukan. Hans tak jumpa lagi perempuan yang buatkan Hans rasa sesuatu dekat hati ni…” jawab Hans dengan senyuman. Perlahan-lahan dia menyentuh dada kirinya.
“Hans tak merepek, mama. Hans hanya akan kahwin dengan perempuan yang mampu buat hati Hans terasa sesuatu. Rasa yang Hans sendiri tak mampu jelaskan cuma hati Hans saja yang mengerti.” Balas Hans. Dia ketawa kecil apabila mendengar bebelan mamanya.
“Hans dah nak sampai hotel ni, mama. Nanti Hans call mama semula. Kirim salam kat papa. Assalamualaikum…” ujar Hans mengakhiri bicaranya.
Dia tersenyum apabila mengenangkan mamanya yang tak habis-habis risau akan dirinya. Maklumlah, umurnya sudah menjangkau 35 tahun. Ibu mana yang tak risau apabila anak lelakinya masih lagi membujang. Bimbang akan menjadi buah mulut orang, papanya bertekad untuk mencari calon isteri untuk dirinya.
Namun, bagi Hans umur itu hanya angka. Bukan dia tidak bersedia untuk berumah tangga namun kesibukan kerja membuatkan dia tidak sedar umurnya makin meningkat. Disebabkan papanya yang memaksa untuk dia berkahwin membuatkan Hans membawa diri sementara ke Dubai untuk menenangkan perasaannya.
“Buat apa nak kusutkan fikiran, jodoh pasti bertemu. Yang terjadi pasti akan terjadi…” desis Hans kepada dirinya sendiri. Dia tersenyum nipis lantas membuang pandang ke luar tingkap menikmati pemandangan indah kota raya Dubai.

BUNYI lonceng angin yang berdenting mengejutkan Marissa dari lenanya. Kelopak matanya terbuka luas sebelum anak matanya melingas ke kiri dan kanan.
“Apa yang aku mimpi tadi tu?” Soal Marissa sendirian. Dia memisat-misatkan mata sebelum dia bangun dan duduk sambil rambutnya yang kusut diselak ke belakang.
Place your heart in the hands of God, and He will place it in the hands of man who He believes deserves it…” gumam Marissa sendirian. Cuba mengingati kata-kata yang terpapar di dalam mimpinya sebentar tadi.
Marissa tersenyum sendiri namun dahinya berkerut kerana cuba mentafsir makna tersirat melalui mimpi dan kata-kata itu.
“Apalah maksud mimpi tu ya? Tulah kau Rissa, fikir sangat pasal jodoh. Sekali Dia bagi kau kata-kata indah. Entah-entah tu petunjuk yang jodoh aku makin hampir…” ucap Marissa sendirian. Dia ketawa lepas namun cepat-cepat dia menekup mulut. Bimbang tawanya didengari oleh papanya.
“Lebih baik aku tulis sebelum aku lupa…”
Lantas, Marissa bingkas bangun dan menuju ke arah meja kerjanya. Sebuah buku nota yang tertera perkataan JODOH HAK MILIK ALLAH dicapai. Dia membelek halaman kosong lalu kata-kata yang diperoleh dalam mimpinya tadi dilakarkan  di halaman buku nota tersebut.
Buku nota itu bukan buku yang biasa bagi Marissa. Itulah buku yang ditulis dengan sepenuh hati. Setiap luahan isi hatinya ditulis dengan kata-kata yang puitis. Hobinya yang suka membaca mutiara kata berkaitan dengan jodoh membuatkan Marissa menulis buku tersebut. Mungkin bagi orang lain, sikapnya itu pelik tapi bagi Marissa, itulah sikapnya yang asli. Dia percaya akan kuasa jodoh dan dia pasti akan bertemu dengan jodohnya suatu hari nanti.
Setelah menulis kata-kata tersebut, Marissa bangun untuk membersihkan diri. Dia mencapai tuala dan menghilangkan diri di sebalik pintu bilik mandi. Manakala, buku nota yang dibiarkan terbuka, terselak akibat ditiup angin yang menerobos masuk daripada tingkap bilik Marissa yang terbuka sedikit. Bunyi lonceng angin terus berdenting.
Helaian buku nota milik Marissa terus terselak, sebelum terhenti di halaman pertama. Lonceng angin sudah berhenti berbunyi membuatkan suasana menjadi sepi seketika. Kelihatan ada beberapa baris ayat yang tertera di halaman pertama buku milik Marissa.
You’re my serendipity,
I wasn’t looking for you,
I wasn’t expecting you,
But I’m very lucky I met you…


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.