Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 6 )


SUASANA Atmosphere Cafe kelihatan lengang. Hanya beberapa orang pelancong asing dan orang tempatan yang sedang menjamu selera sambil berbual kosong. Marissa bersendirian hari ini. Hanya ditemani dengan buku nota yang selalu dibawa bersama. Sesekali dia memandang ke luar tingkap kafe sambil mencicip kopi yang masih lagi panas.
Sedang asyik dia termenung, tiba-tiba pandangannya terganggu dengan kehadiran seorang jejaka yang sedang melabuhkan punggung di meja yang tidak jauh daripadanya. Marissa terkebil-kebil memandang lelaki itu yang kemas memakai baju kemeja T berwarna putih dipadankan dengan seluar jeans yang berwarna biru gelap. Kelihatan sebuah kamera tergantung di lehernya. Manakala, sebuah beg sandang turut dibawa bersama.
“Inilah yang buat aku naik bingung. Ke mana aku pergi, ada aje dia ni. Ni jodoh atau kebetulan, Ya Allah?” Desis Marissa perlahan.
Dia terus merenung Hans yang sedang leka menjamu selera. Lelaki itu kelihatan tenang sewaktu menjamu selera. Marissa tersenyum nipis. Lama dia mengamati wajah Hans dari jauh tanpa berniat untuk menegur. Dalam diam, wajah tenang itu menarik perhatiannya. Boleh dikatakan Hans memiliki seraut wajah yang kacak. Rambutnya yang hitam dan disisir rapi cukup membuatkan lelaki itu kemas dan segak. Matanya yang bundar bersama hidung yang mancung menambahkan lagi kekacakan lelaki itu. Malah, seulas bibir yang sensual itu sudah cukup untuk membuatkan mana-mana gadis terpesona, termasuk Marissa.
Marissa tersenyum lagi. Namun, senyumannya mati dengan sendirinya apabila Hans turut berpaling ke arahnya.
Dupp!
Jantungnya berdengup keras. Marissa menggelabah. Sepantas kilat, dia melarikan pandangan ke tempat lain. Dia menggigit bibir. Sedar akan kesalahannya kerana terlalu lama memerhatikan anak teruna orang.
Hans tersenyum simpul. Dia tidak menyangka akan bertemu dengan Marissa di kafe ini. Entah apa yang terjadi pada hatinya tetapi saat dia terpandang wajah Marissa, dia terasa senang. Lantas, punggungnya diangkat. Dia melangkah menghampiri meja Marissa dan melabuhkan punggungnya di hadapan gadis itu dengan selamba.
“Jauh termenung. Ingatkan saya ke?” Soal Hans bergurau.
Marissa mencebik. Dia cuba mengawal riak wajahnya yang masih lagi terkejut. Terasa kulit mukanya berbahang apatah lagi saat ini Hans sedang merenung wajahnya.
“Eh mana ada. Jangan nak perasan. Macam mana awak boleh ada dekat sini?” Soal Marissa pula.
Hans hanya melemparkan senyuman manis.
“Tadi dekat meja sana. Sekarang dekat sini. Depan awak.” Jawab Hans sambil tersengih.
“Awak buat apa dekat sini?”
“Perhatikan awak.” Jawab Hans. Kemudian dia ketawa sendiri sedangkan Marissa sudah menundukkan kepala. Cuba mengawal rasa debar di dada. Aura Hans dirasakan terlalu kuat saat ini.
“Saya bergurau aje. Saya datang sini nak makanlah. Tak sangka pula terserempak dengan awak. Terima kasih sebab awak sudi jadi tour guide saya sepanjang saya ada dekat sini. Lusa saya dah nak balik Malaysia. Boleh tak kalau saya nak nombor telefon awak? Mana tahu kita boleh jumpa dekat Malaysia nanti.” Pinta Hans dengan hati yang berdenyut laju.
Marissa berjeda seketika. Tidak lama kemudian dia menggelengkan kepala.
Hans tersentak. Hancur berderai harapannya untuk berkenalan dengan Marissa. Gadis yang cukup misteri pada pandangan Hans.
“Tak boleh? Tapi kenapa? Saya cuma nak nombor telefon awak aje, bukan saya minta alamat rumah awak pun.” Balas Hans seakan tidak berpuas hati. Dia hampa.
Marissa sekadar mengangkat bahu.
“Saya kenal awak dengan cara macam ni. Kebetulan. Tak dirancang. So better terus macam nilah.” Jawab Marissa bersahaja.
Hans melepaskan nafas pendek. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi sambil anak matanya tepat menikam ke bola mata Marissa.
“Awak pernah dengar ayat ni tak? We don’t meet people by coincidence, they are meant to cross our path for a reason…”
“Jadi apa sebabnya? Awak tahu?” pintas Marissa pantas.
Hans terdiam. Lama dia memikirkan sesuatu kemudian dia mendekatkan wajahnya ke arah Marissa. Marissa kaget lalu menjarakkan diri.
“Jodoh. Mungkin…” jawab Hans kemudian ketawa kecil. Dia kembali membetulkan duduk.
Marissa langsung tidak ketawa. Hatinya tercuit dengan perkataan jodoh yang disebutkan oleh Hans kerana memang perkataan itulah yang kerap menganggu hatinya setelah beberapa kali bertembung Hans di tempat yang sama. Namun, ia agak mustahil bagi Marissa. Dia tidak kenal siapa Hans, mana mungkin ada jodoh di antara mereka.
“Mungkin juga kita dipertemukan hanya untuk berpisah…”
“Tak saya tak benarkan perkara itu berlaku.” Potong Hans laju. Wajahnya bertukar serius.
“Kenapa?” Soal Marissa pendek.
“Sebab saya rasa saya dah mula sukakan awak.” Ujar Hans berterus terang bersama hati yang berdetak tidak keruan. Betul ke apa yang aku cakapkan ni? Soal hati Hans tidak lama kemudian.
Marissa menjengilkan mata. Hatinya turut menyambut debaran yang sama namun dia hanya tersenyum sinis.
“Baru sehari dua kita jumpa, awak cakap awak sukakan saya? Mengarut.” Tingkah Marissa sambil menggelengkan kepala.
“Tapi bagi saya tak mengarut. First time saya ternampak awak, hati saya dah suka. Saya nak buat macam mana. Hati tak pernah tipu kan?” Soal Hans.
“Tapi lidah dan otak manusia selalu cakap tak jujur. Tak sama macam yang dekat hati tu. Kadang-kadang hati pun boleh berubahlah, awak.” Bantah Marissa.
Hans terdiam seketika. Lama dia menyoroti wajah Marissa. Berharap agar gadis itu mengerti akan perasaannya saat ini.
“Tapi saya betul-betul ikhlas nak kenal dengan awak. Fine, kalau awak rasa pengakuan saya ni terlampau mendadak. Saya cuma luahkan apa yang saya rasa dan itu bukan satu kesalahan kan? Saya tak nak terlambat. Kalau boleh saya nak ini bukan kali yang terakhir saya jumpa awak.” Balas Hans jujur.
Marissa menggaru keningnya. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Awak ada Ringgit Malaysia tak?” Soal Marissa tiba-tiba.
“Hah?” Hans terkejut. Lain yang dicakap, lain yang diminta oleh Marissa.
“Ringgit Malaysia. Maksud saya duit Malaysia. Ada tak?” Soal Marissa lagi.
Dahi Hans berkerut namun dia tetap mengeluarkan dompetnya. Sekeping not seratus ringgit dikeluarkan lalu diserahkan kepada Marissa.
“Awak tulis nombor telefon awak dekat duit tu dulu.” Arah Marissa.
Hans melemparkan pandangan pelik namun tangannya tetap mencapai pen yang dihulurkan oleh Marissa sebelum dia menulis nombor telefonnya di permukaan duit seratus ringgit itu.
“Lepas tu?” Soal Hans ingin tahu.
Marissa mencapai duit tersebut kemudian menulis nombor telefonnya di bawah nombor telefon yang telah ditulis oleh Hans. Selesai menulis, Marissa bingkas bangun.
“Awak nak pergi mana?” Soal Hans pelik.
“Awak tunggu sekejap. Nanti saya datang.” Balas Marissa sebelum berlalu meninggalkan Hans yang terpinga-pinga.
Marissa melangkah ke arah kiosk Money Changer. Dia menyerahkan sekeping duit seratus tersebut untuk ditukar sebelum pekerja yang bertugas menyerahkan beberapa keping duit AED. Marissa mengira duit tersebut sebelum kembali melangkah ke dalam kafe.
Dia duduk kembali di hadapan Hans yang setia menanti dengan seribu pertanyaan tergambar jelas di sebalik wajahnya. Lalu, Marissa menyerahkan duit tersebut kepada Hans.
“Itu duit awak yang saya dah tukar. Nilainya sama dengan duit seratus yang awak bagi tadi.” Ujar Marissa.
Makin berkerut dahi Hans. Dia memandang wajah Marissa dengan lama. Dia inginkan penjelasan.
“Apa maksud awak ni? Saya tak faham.”
“Baiklah, saya jujur dengan awak. Walau dalam masa sehari dua aje kita berjumpa, tapi saya rasa saya mula sukakan awak…”
Yesss!” Hans terjerit kecil. Terasa lapang dadanya saat ini apabila Marissa turut merasakan apa yang dia rasa.
“Tapi…” Marissa meleretkan kata.
“Tapi?” Senyuman Hans mati dengan sendirinya.
“Saya percaya pada jodoh dan saya akan terima awak kalau kita ada jodoh.” Sambung Marissa membuatkan Hans melongo seketika.
“Dengan cara tadi awak nak cuba nasib jodoh kita?” Soal Hans dengan mata yang membulat.
Marissa menganggukkan kepala tanpa ragu-ragu. Itulah cara yang selalu dia gunakan setiap kali ada lelaki yang meluahkan perasaan kepadanya.
No! Awak silap, Marissa. Itu bukan caranya.” Bantah Hans sambil menggelengkan kepalanya.
“Tapi ini cara saya, Hans. Kalau awak jumpa semula wang kertas yang tertulis nombor saya dan nombor awak tadi, awak boleh call saya. Begitu juga sebaliknya. Saya akan call awak kalau saya jumpa wang tu semula. Kita dah letak nombor kita dekat duit tu kan? Kalau jodoh, pasti kita bertemu.” Balas Marissa tanpa rasa bersalah.
Hans melepaskan nafas berat.
“Bagi saya ini bukan caranya, Marissa. Kita cuba kenal antara satu sama lain dan kalau semuanya baik, kita teruskan. Saya rasa itu lebih baik.” Balas Hans cuba memujuk.
“Tak. Cara awak tu mungkin akan buat kita lebih terluka andai tiada jodoh di antara kita. Saya cuma nak uji sekuat mana jodoh kita. Itu saja. Kalau duit itu boleh sampai ke tangan awak atau saya, barulah saya yakin yang kita berjodoh. Kalau tidak, lupakan aje niat kita untuk berkenalan.” Balas Marissa kemudian bingkas bangun setelah mencapai beg sandangnya.
“Awak dah merepek ni, Rissa. Soal jodoh bukan boleh dibuat main. Bukan urusan kita untuk tentukan cara jodoh kita.” Bantah Hans lagi mematikan langkah Marissa.
“Tapi ini cara saya untuk kenal siapa jodoh saya. Saya yakin, Hans. Kalau kita berjodoh, kita akan bersatu semula.” Balas Marissa penuh keyakinan.
Hans kehilangan kata. Inilah pertama kali dia berjumpa dengan gadis seperti Marissa. Ternyata agak sukar untuk menebak apa yang berada dalam fikiran gadis itu.
“Saya balik dulu. Assalamualaikum…” ucap Marissa lalu melangkah meninggalkan Hans yang masih terpinga-pinga.
“Rissa, tunggu dulu!” Panggil Hans. Dia cuba bangun untuk mengejar namun saat dia terpandang buku nota milik Marissa yang tertinggal di atas meja, dia terduduk semula.
Laju saja tangannya mencapai buku nota tersebut. Dahinya berkerut saat membaca tajuk yang tertulis di muka hadapan buku tersebut.
“Jodoh hak milik Allah…”

HANS termenung sendiri di bilik hotelnya. Buku nota milik Marissa dipegang kemas. Tajuk yang tertera di muka hadapan buku tersebut menarik perhatiannya. Lantas, Hans membelek halaman pertama.
You’re my serendipity, I wasn’t looking for you, I wasn’t expecting you, but I’m very lucky I met you. Perempuan ni memang taksub betul dengan kebetulan dan jodoh.” Omel Hans sambil tersenyum sinis.
“Kalau awak jumpa semula wang kertas yang tertulis nombor saya dan nombor awak tadi, awak boleh call saya. Begitu juga sebaliknya. Saya akan call awak kalau saya jumpa wang tu semula. Kita dah letak nombor kita dekat duit tu kan? Kalau jodoh, pasti kita bertemu.”
Kata-kata Marissa tengah hari tadi kembali terngiang di pendengaran. Dia menggeleng kecil. Tidak pernah terlintas dalam fikiran Hans yang Marissa akan melakukan hal tersebut semata-mata untuk menguji kekuatan jodoh mereka. Sememangnya gadis itu seorang yang pelik. Fikir Hans.
“Dia ingat senang agaknya duit tu nak kembali pada aku atau dia. Macam budak-budak.” Bebel Hans sendirian.
Dia terus membelek halaman seterusnya.
Sometimes what you’re looking for comes when you’re not looking at all.
Hans mencebikkan bibir. Dia ingin meneruskan pembacaan namun bunyi telefon berdering menganggu tumpuannya. Hans mengalih pandang ke arah telefon milik hotel yang terletak di atas meja sisi. Pantas, Hans mengangkat gagang.
Yes, hello…”
“I am Abu Hanifah from receptionist. Sorry to disturb you Mr.Hans,” kedengaran suara garau di hujung talian.
“Its okay. Yes, anything?” Soal Hans kemudian.
“There’s a lady want to see you, and she introduce herself as Miss Marissa. Can I show her your room, sir?” soal lelaki itu petah berbahasa Inggeris.
Hans tersentak. Pantas, dia bingkas bangun. Debaran makin menyerang dada.
“Oh, sure. She is my friend. Anyway, thank you.” ucap Hans sebelum meletakkan gagang telefon.
Dia tersenyum penuh makna. Dengan tangan yang masih memegang buku nota, Hans menanti dengan penuh debar. Selang beberapa minit kedengaran pintu biliknya diketuk.
“Datang pun…” ucapnya perlahan. Lalu, Hans menuju ke arah pintu. Sempat lagi dia mengerling penampilannya di cermin. Dia tersenyum apabila melihat penampilannya yang kemas.
Hans menarik pintu dari dalam apabila ketukan mula kedengaran untuk kali yang kedua. Sebaik saja pintu terbuka, terjengul wajah Marissa di hadapannya. Hans hanya bersikap selamba.
“Saya nak ambil buku saya tu balik…” pinta Marissa tanpa salam. Tiada secalit senyuman pun menghiasi bibirnya.
“Assalamualaikum. Lupa lagi ke cara nak bagi salam?” Tempelak Hans.
Marissa hanya menjeling. Sedar akan kesalahan dirinya sendiri.
“Waalaikummusalam. Bagilah buku saya tu…” ucap Marissa sambil menunjukkan buku yang berada di tangan Hans.
Hans memandang buku tersebut sebelum mendongak menentang pandangan Marissa.
“Saya baru nak cari awak. Nak call awak, nombor telefon tak ada. Kalau awak bagi nombor telefon awak tadi, tak perlulah awak susah-susah datang ke hotel saya ni.” Balas Hans tetapi masih enggan menyerahkan buku nota tersebut.
“Tak apa. Saya memang suka susahkan diri saya sendiri. Bagilah buku saya tu.” Pinta Marissa sambil menghulurkan tangannya.
“Awak sanggup susahkan diri awak semata-mata untuk buku quotes awak yang pelik-pelik ni?”
“Pelik apanya? Tak ada yang pelik pun. Sekadar ayat-ayat motivasi untuk diri saya sendiri. Awak apa tahu.” Balas Marissa.
“Entah. Saya rasa pelik aje. Tapi saya suka. Saya tak habis baca lagi ni tapi memandangkan awak dah susah-susah datang, ambillah…” ucap Hans lalu menyerahkan buku tersebut kepada Marissa.
Buku bertukar tangan. Marissa memeluk erat buku notanya itu.
“Okey, terima kasih. Saya balik dulu.” Balas Marissa kemudiannya. Dia berura-ura untuk berpaling.
“Rissa, tunggu dulu!” halang Hans mematikan langkah Marissa.
Marissa tidak jadi berpaling. Dia berdiri tegak berhadapan dengan Hans. Renungan Hans yang redup dipandang dengan hati yang bergetar.
“Awak nak apa lagi? Sepatutnya kita tak boleh jumpa ni…” ujar Marissa membuatkan kening Hans bercantum.
“Kenapa pula?” soal Hans pelik.
“Awak dah jumpa duit semalam tu?” Soalan dibalas soalan oleh Marissa.
Hans meraup wajahnya sebaik saja mendengar soalan Marissa.
“Oh, come on, Rissa. Mengarutlah tu semua. Mana saya nak jumpa duit Malaysia dekat Dubai ni.” Rungut Hans.
“Mengarut? Maksudnya awak terpikat dengan perempuan mengarut dan pelik macam saya kan?” soal Marissa sedikit kecewa dengan kata-kata Hans.
Hans mengetap bibir. Dia menghembus nafas pendek.
“Bukan itu maksud saya, Rissa.  Maksud saya ujian…”
“Dahlah. Lupakan aje. Kalau ada jodoh, kita akan jumpa juga, Hans.” Potong Marissa sebelum sempat Hans menghabiskan kata-katanya.
“Okey saya faham prinsip awak tu. Tapi please Rissa. Esok saya dah nak balik Malaysia. Boleh tak awak temankan saya hari ni? Jadi tour guide saya buat kali terakhir. Boleh?” pinta Hans penuh pengharapan.
Marissa tersenyum kecil kemudian menggelengkan kepala.
“Kenapa tak boleh pula?” Soal Hans tanpa sedar suaranya sedikit meninggi.
“Saya ada prinsip saya sendiri.” Jawab Marissa tegas.
Hans mengeluh hampa.
Please, Rissa. Hari ni aje.” Rayu Hans.
Marissa berjeda seketika. Lama dia memandang wajah Hans yang betul-betul mengharap. Timbul rasa simpati dalam diri Marissa saat ini.
“Baiklah. Saya boleh temankan awak, tapi ada syaratnya…” ujar Marissa sambil mengulum senyum.
Hans kebingungan. Nak ajak keluar pun pakai syarat? Susah betul nak pikat hati perempuan ni. Getus hati Hans.
“Syarat? Apa syaratnya?”


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.