Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 2 )


MARISSA termenung di meja makan. Makanan yang terhidang, sedikit pun tidak berusik. Dia lebih suka melayani perasaannya sendiri.Fikirannya melayang mengingatkan kata-kata yan dia mimpikan semalam. Jelas, mimpi kali ini membuatkan Marissa teruja.
“Place your heart in the hands of God, and He will place it in the hands of man who He believes deserves it…” desis Marissa mengulang kembali ayat yang diperoleh daripada mimpinya itu.
“Maksudnya, aku harus letakkan sepenuh hati dan kepercayaan aku kepada Allah dan Dia akan temukan aku dengan orang yang benar-benar layak untuk aku. Hmm… Sememangnya itulah yang harus aku buat. Setiap perkara telah diaturkan sebab itulah semua lelaki tak lepas ujian jodoh aku. Mungkin mereka bukan jodoh aku…” ujar Marissa sambil mengetuk dagunya sendiri.
Morning, Rissa…” sapa satu suara garau melenyapkan lamunan panjang Marissa. Tak perlu dia berpaling kerana dia cukup mengenali pemilik suara itu.
Dato Seri Anuar menoleh ke arah Marissa yang sedang duduk termenung di meja makan. Dia tersenyum manis.
Morning, pa. Papa tak nak sarapan dahulu ke?” Soal Marissa sambil berura-ura bangun untuk mencapai roti bakar.
“Tak. Papa nak cepat ni…” balas Dato Seri Anuar sambil mengepit kot di lengannya.
Perbuatan Marissa terbantut. Dia mengetap bibir.
“Rissa tahulah papa nak cepat tapi sarapan tu penting untuk kesihatan papa. Kalau papa tak nak sarapan lebih baik Rissa sambung tidur semula,” balas Marissa berbaur ugutan. Dia bingkas bangun.
“Rissa, tunggu dulu. Tak baik tidur lepas Subuh. Rezeki susah nak masuk nanti,”  jawab Dato Seri Anuar pantas memaut lengan Marissa. Menghalang anak gadisnya itu dari berlalu.
“Kalau papa tak nak Rissa tidur, apa kata papa luangkan masa untuk Rissa hari ini,” pinta Marissa dengan senyuman manis mula membuah di bibir. Matanya memancarkan sinar pengharapan malah roman wajah Dato Seri Anuar dipandang dengan lama. Berharap agar papanya mengerti keinginan yang bermain di mindanya.
“Papa nak pergi ofis ni, Rissa. Banyak kerja yang papa perlu uruskan.” Balas Dato Seri Anuar mendatar. Dia mengalih pandangan ke tempat lain. Tidak sanggup rasanya untuk menatap wajah Marissa yang kehampaan.
Senyuman Marissa mati dengan sendirinya. Kata-kata Dato Seri Anuar memang sudah dijangka cuma hatinya berdegil untuk terus berharap agar Dato Seri Anuar memberi perhatian kepadanya.
“Papa selalu macam ni, tak pernah nak luangkan masa dengan Rissa. Sejak Rissa tinggal kat sini, boleh kira dengan jari papa temankan Rissa jalan-jalan. Rissa ni tak penting ke, papa?” soal Marissa dengan nada suara yang berubah sayu. Sedaya upaya dia cuba menahan sebak yang menjengah sanubari.
“Rissa penting…”
“Tapi kerja papa lagi penting kan?” potong Marissa dengan pantas.
Dato Seri Anuar menggigit bibir. Dia mengeluh pendek.
Look Rissa, Rissa tak boleh bandingkan Rissa dan kerja papa. Bagi papa Rissa dan kerja papa sama-sama penting. Rissa jangan paksa papa untuk buat pilihan…” pujuk Dato Seri Anuar cuba menyentuh bahu Marissa namun dengan pantas, Marissa mengelak.
“Rissa tak minta banyak pun, pa. Rissa minta papa luangkan masa dengan Rissa. Jalan-jalan dengan Rissa. Takkan itu pun papa tak boleh nak tunaikan?” pinta Marissa lagi seakan membentak.
“Rissa dah besar panjang kan? Kenapa masih nak keluar dengan papa? Papa banyak kerja Rissa. Papa minta sangat Rissa faham papa. Papa tak nak bergaduh dengan Rissa. Papa nak pergi kerja ni. Papa dah lewat.” Tegas Dato Seri Anuar mematikan rungutan Marissa.
Marissa memuncungkan mulutnya tanda protes.
“Tapi papa…”
“Papa pergi dulu. Assalamualaikum…” ucap Dato Seri Anuar tanpa memberi ruang untuk Marissa melanjutkan kata. Ubun-ubun Marissa dielus lembut sebelum dia berlalu meninggalkan Marissa yang geram sendiri.
“Papa memang tak sayang Rissa!” bentak Marissa sambil menghentak kakinya ke lantai sebaik saja kelibat Dato Seri Anuar hilang dari pandangan.

PERKARANGAN Burj Khalifa kelihatan sibuk dengan aktiviti pelancongan yang tidak pernah surut. Para pelancong yang datang ke kota raya Dubai pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki di Burj Khalifa. Struktur binaan manusia tertinggi yang pernah dibina di dalam sejarah iaitu berketinggian 2,1717 kaki dan mempunyai 160 tingkat. Tidak hairanlah jika setiap waktu menara Burj Khalifa ini sentiasa sibuk dengan kehadiran pengunjung.
Hans juga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan keindahan seni binaan Burj Khalifa yang tinggi hampir membelah awan. Seperti pelancong lain, Hans turut mengambil gambar setiap sudut bangunan tersebut untuk diabadikan sebagai kenangan.
Hans menghalakan kameranya ke arah satu sudut yang memaparkan pintu masuk Burj Khalifa, sedang dia bersedia untuk mengambil gambar, tiba-tiba seorang gadis melintas di hadapan kameranya. Hans mengetap bibir. Tumpuannya terganggu. Malah, gambar pintu masuk Burj Khalifa tersebut tidak kelihatan dek kerana ditutupi dengan tubuh gadis tersebut.
Hans memeriksa kembali kameranya. Terpapar gambar gadis yang memakai pakaian serba pink  dari tepi. Wajah itu tidak kelihatan kerana ditutupi dengan selendang. Hanya sisi wajahnya saja yang kelihatan.
“Minah Arab manalah yang menyibuk inter frame dalam kamera aku ni. Buat rosak gambar aku aje.” Bebel Hans. Dia ingin menekan butang delete namun perbuatannya terhenti.
“Dari tepi pun nampak lawa juga minah ni. Save ajelah dulu. Mana tahu boleh jadi sumber inspirasi” Sambung Hans lagi.
Sedang asyik dia membelek gambar di kamera, dia tersedar apabila terasa ada titisan hujan yang mula mengenai kulit wajahnya. Hans mendongak ke atas.
“Aik, hujan? Rasanya sekarang musim panas kat Dubai. Macam mana boleh hujan pula ni?” omel Hans sendirian. Cepat-cepat dia berlalu ke ruang dalam Burj Khalifa.
Rata-rata semua pengunjung Burj Khalifa kelihatan teruja melihat awan yang mula menumpahkan hujan. Meski pun hanya gerimis, ia sudah cukup untuk menyejukkan suasana di Dubai yang terkenal dengan cuaca panas dan kering.
Hans menoleh ke belakang, serentak dengan itu anak matanya tertancap pada gadis yang memakai baju dan skirt labuh berwarna pink. Cuma selendangnya saja yang berwarna krim. Wajah itu tampak ayu dan sejuk mata memandang. Sesekali gadis itu tersenyum kepada pelancong lain, tanpa sedar bibir Hans turut mengukir senyum.
“Dah kenapa dengan aku ni? Senyum sorang-sorang. Tak pasal-pasal orang ingat aku gila,” bebel Hans lagi lalu mengetuk kepalanya sendiri.
Tanpa bertangguh, lensa kamera dihalakan ke arah gadis tersebut yang sedang berdiri sambil membaca peta Burj Khalifa. Gadis itu kelihatan ralit sehingga tidak menyedari gambarnya telah diambil secara curi-curi oleh Hans.
Hans gelabah apabila tiba-tiba gadis itu menoleh ke arahnya. Sepantas kilat dia mengalihkan lensa kamera ke tempat lain dengan jantung yang mula berlari pantas.
“Janganlah dia perasan aku ambil gambar dia…” desis Hans perlahan. Dia berdiri kaku apabila gadis itu berjalan melewatinya tanpa berkata apa-apa. Nasib Hans baik apabila gadis itu seakan tidak mengendahkannya.
Fuhhhh…. Nasib baik….” Hans menarik nafas dan menghembuskannya dengan perlahan. Lega!
Hans meneruskan tinjauannya. Bayang gadis misteri itu luput dari ingatan Hans. Kini, langkah kakinya menghala ke arah lif untuk ke tingkat menara tinjau Burj Khalifa yang terletak di tingkat 124.
Sebaik saja pintu lif terbuka di tingkat 124, anak mata Hans terus tertancap pada belakang seorang gadis yang memakai pakaian serba pink tadi. Tanpa sedar, Hans tersenyum sendiri. Bagaikan ada sesuatu yang menarik pada gadis tersebut, langkah Hans terus diorak menuju ke arah gadis tersebut dengan jarak yang agak jauh. Dia tidak mahu gadis itu menyedari akan kehadirannya.
Kelihatan gadis tersebut sedang memandang ke luar tingkap menara. Wajahnya kelihatan tenang. Malah, mata bundar itu memancarkan sinar kekaguman. Mungkin teruja melihat pemandangan bandaraya Dubai dari aras yang paling tinggi.
Tiba-tiba, gadis itu berpaling ke arahnya. Hans terkaku dengan mata yang terkebil-kebil. Dadanya mula berdetak tidak menentu. Terasa seperti dirinya tidak jejak bumi saat ini. Apa kena dengan aku ni? Detik hatinya.
Look, mum. It’s rain!” jerit seorang budak lelaki berbangsa Inggeris kepada ibunya sambil menuding jari ke luar tingkap.
Hans tersentak. Dia tersedar dari khayalannya. Lantas, kepalanya dipusingkan ke arah tingkap. Namun, sempat lagi dia menjeling ke arah gadis tersebut. Kelihatan, gadis itu turut memandang ke luar tingkap sambil tersenyum nipis sebelum berlalu meninggalkan tempat tersebut.
Hans berpaling. Anak matanya mencari kelibat gadis tersebut sebelum anak matanya terhenti pada sebatang tubuh yang mula menghampiri lif. Tanpa bertangguh, Hans turut mengejar gadis tersebut. Dia berdiri di belakang gadis itu. Saat pintu lif terbuka, Hans ingin melangkah tetapi langkahnya serentak dengan langkahan gadis itu sehingga membuatkan bahu mereka terlanggar.
Gadis itu hampir tersadung namun dengan pantas, Hans memaut lengan gadis itu. Menghalang gadis itu daripada terjatuh.
Opss… Sorry…” ujar Hans sambil tersengih malu.
Its okay,” jawab gadis itu ringkas. Lengan yang berada dalam pegangan Hans, ditarik kuat. Dia tidak selesa disentuh seperti itu. Tanpa memandang ke arah Hans, gadis itu hanya membatukan diri di sebelah Hans.
Hans cuba bersikap selamba. Dia ingin mengatakan sesuatu namun belum sempat dia membuka mulut, pintu lif terlebih dahulu terbuka dan gadis itu berlalu tanpa sempat Hans berkata apa-apa.
“Macam manalah aku boleh lupa lif Burj Khalifa ni lif paling laju di dunia. Memang tak sempatlah nak cakap apa-apa…” omel Hans kepada dirinya sendiri. Dia menepuk dahi sebelum melangkah keluar.
“Nak buat macam mana, bukan jodoh agaknya…” desis Hans perlahan. Dia melepaskan nafas perlahan.

BERJALAN berseorangan di Dubai Mall membuatkan Marissa terasa bosan. Tiada siapa yang dapat dijadikan teman untuk berborak walaupun tempat yang dia kunjungi memang menarik. Dia masih lagi berkecil hati dengan Dato Seri Anuar. Disebabkan rajuk itulah, dia bersiar-siar tanpa pengetahuan Dato Seri Anuar. Marissa yakin kalau Dato Seri Anuar tahu pun, papanya itu tidak akan peduli.
Sedang asyik memandang kiri dan kanan kawasan yang dipenuhi dengan kedai-kedai cenderahati, anak mata Marissa terhenti pada baju kemeja T yang tersangkut di sebuah gerai tidak jauh dari tempatnya berdiri.
Marissa tersenyum. Baju kemeja T yang tertera perkataan I LOVE DUBAI berserta menara Burj Khalifa yang menjadi latar belakang, menarik perhatian Marissa. Lantas, dia mencapai baju tersebut sebelum ditelek dan diletakkan semula.
Marissa menyeluk beg tangannya. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Kemudian nombor seseorang didail. Tidak sampai beberapa minit, panggilannya berjawab.
“Assalamualaikum tuan puteri, tidur lagi ke?” soal Marissa dengan senyuman riang tergambar jelas di wajahnya sebaik saja mendengar suara  di hujung talian.
“Okey, okey… Sorry. Sebenarnya aku ada depan gerai souvenir ni. Hari tu kau cakap kau nak t-shirt Dubai kan? Berapa helai kau nak?” Soal Marissa terus kepada tujuan dia yang sebenar. Dia berjeda seketika sebelum matanya terbuka luas.
“Hah? 30? Kau biar betul? Kau nak buat apa banyak sangat? Kau nak buka kedai baju ke? Tak pun nak buka galeri?” soal Marissa sambil ketawa.
“Yalah, aku beli. Insya-Allah, next month aku balik Malaysia. Nanti aku bawa sekali. Kau nak tu je kan?” soal Marissa lagi.
“Okey. Jumpa nanti sayang….” Ucap Marissa sambil meleretkan perkataan sayang. Dia ketawa apabila suara di hujung talian turut ketawa.
Panggilan ditamatkan. Kemudian, Marissa terus memilih pelbagai kemeja T Dubai yang tergantung. Anak matanya tertarik kepada sehelai kemeja T Dubai yang berwarna putih. Laju saja tangannya ingin mencapai namun saat tangannya ingin menarik baju itu, ada tangan lain yang turut menyambar baju tersebut. Marissa tersentak. Dia terus mendongak.
“Hei… Saya ambil baju tu dulu!” bentak Marissa sambil menjengilkan matanya kepada seorang lelaki yang tinggi lampai dan memakai topi. Ada sebuah kamera DSLR tersangkut di tengkuknya.
Hans turut terpana. Dia sendiri tidak menyangka akan ada pertemuan seterusnya dengan gadis serba pink ini. Dia tersenyum penuh makna.
“Eh, orang Malaysia rupanya. Ingatkan minah Arab mana tadi…” ujar Hans sengaja ingin menjentik kemarahan gadis itu. Wajah gadis yang tidak diketahui nama itu berubah rona. Namun, wajah yang merona merah itu tetap kelihatan cantik di mata Hans.
Minah? Awak panggil saya minah? Kalau macam tu awak ni mamat Melayu sesat dekat Dubai ni. Kesian, sesat ya? Mak ayah mana?” perli Marissa sambil menjeling.
Hans menahan tawa. Dia mengetap bibir.
“Mak ayah saya pun bakal mak ayah awak…” jawab Hans selamba. Dia tersengih.
“Hah?” Marissa kebingungan. Bulat anak matanya memandang Hans yang kelihatan tersengih bak kerang busuk.
“Saya tak nak dengar lawak awak yang merepek tu. Lepaskan baju ni. Saya yang tengok dan ambil dulu.” Ujar Marissa cuba menarik baju kemeja T daripada pegangan Hans.
Namun, Hans tidak mengalah. Dia memegang baju itu dengan kemas.
“Tapi saya yang pegang dulu. Jadi, baju ni milik saya.” Jawab Hans tetap bersahaja. Dia mencemikkan wajahnya ke arah Marissa.
Marissa kehilangan kata. Tiba-tiba saja hatinya terasa panas. Panas dengan sikap lelaki itu yang agak kurang ajar.
What? Awak ni memang sengaja nak cari pasal dengan saya kan? Baru saya perasan, masa dekat Burj Khalifa tadi pun awak ada sekali. Kat mana saya pergi mesti saya terserempak dengan awak. Awak ni siapa sebenarnya?” Soal Marissa dengan suara yang mula naik seoktaf.
“Saya bakal imam awak…” jawab Hans kemudian ketawa sendiri.
Marissa menayang muka bosan. Hanya senyuman sinis dihadiahkan buat Hans.
Tawa Hans terhenti dengan sendiri sebaik saja melihat wajah kelat milik Marissa.
“Oh, tak lawak erk?” soalnya seperti orang bodoh.
“Lawak dah basi! Cepat bagi tahu saya, siapa awak yang sebenarnya? Atau awak ni stalker? Tak pun awak ni spy papa saya?” tempelak Marissa sambil jari telunjuknya lurus di hadapan muka Hans.
Stalker? Spy?” Hans terkejut. Tidak lama kemudian dia ketawa.
“Awak ni popular sangat ke sampai tuduh saya stalker? Saya rasa awak ni berangan. Banyak sangat tengok drama. Tak pun awak tengah mimpi. Awak ada smartphone kan? Saya rasa aplikasi Google dalam telefon awak tu berfungsi dengan baik. Apa kata awak check Burj Khalifa dan Dubai Mall ni tempat untuk apa…”
“Awak…”
“Oh, saya tahu awak tentu malas kan nak search tentang tempat ni, jadi biar saya bagitahu ajelah. Dubai Mall dan Burj Khalifa tadi tu tempat pelancongan. Bukan tanah mama papa awak apatah lagi datuk awak!” tempelak Hans memotong percakapan Marissa.
Marissa merengus tidak berpuas hati. Kecil saja lelaki itu di matanya. Kalau diikutkan rasa hatinya yang sudah mendidih, ingin saja dia menarik-narik rambut lelaki tersebut. Namun, Marissa masih lagi waras.
“Peduli apa saya dengan awak. Saya tak kira, saya tetap nak t-shirt ni!” bentak Marissa cuba merampas baju tersebut daripada pegangan Hans. Dia tidak mahu mengalah dengan mudah.
“Mana boleh! Saya pegang t-shirt ni dulu. Jadi, t-shirt ni saya punya!” balas Hans tetap tidak mahu mengaku kalah.
“Saya dulu!” Marissa mula meninggikan suara.
Hans menjengilkan matanya.
“Prinsip saya kalau benda pertama yang saya lihat dan saya berkenan, saya takkan lepaskan dengan mudah walaupun awak menggelupur dekat sini!” ucap Hans tanpa rasa bersalah.
Marissa memuncungkan mulutnya. Matanya dikecilkan memandang Hans. Rasa geram mula memenuhi segenap ruang hati namun dia cuba bersabar. Lantas, dia melepaskan nafas dengan kuat.
“Awak nak sangat kan t-shirt ni?” Soal Marissa dengan bibir dikertap geram.
“Mestilah!” jawab Hans bersahaja.
“Ambillah semua!” balas Marissa lantas beberapa helai kemeja T dicapai lalu dicampakkan ke muka Hans.
“Hei, perempuan!” marah Hans lalu menarik sehelai kemeja T yang menutupi wajahnya.
“Muka Melayu tulen tapi adab-adab Melayu kosong!” rungut Marissa lalu berlalu meninggalkan Hans dengan hati yang membengkak.
Hans hanya membiarkan Marissa berlalu. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman penuh makna.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.