Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( BAB 4 )


SUASANA di Jumeirah Palm Beach kelihatan tenang. Hari ini tidak ramai pengunjung yang datang. Hanya beberapa orang pelancong asing yang sedang berjemur di tepi pantai. Hans hanya berjalan di pesisir pantai Jumeirah yang putih bersih. Air laut yang berwarna hijau kebiruan memberi ketenangan kepada Hans saat ini.
Hans mengarahkan lensa kameranya ke arah laut. Angin yang bertiup bersama desiran ombak yang memukul pantai cukup memberi rasa damai dalam diri Hans. Hilang semua segala masalah yang membebani fikirannya sejak dua menjak ini sebaik saja dia kakinya menyentuh pasir pantai Jumeirah.
Jumeirah Palm Beach merupakan salah satu tarikan utama kepada sesiapa sahaja yang datang melancong ke Dubai. Selain pantainya yang bersih dan air lautnya yang memukau pandangan, Jumeirah Palm Beach ini merupakan pantai terkecil daripada tiga Palm Islands iaitu Palm Jumeirah, Palm Jebel Ali dan Palm Deira. Jika dilihat dari pandangan udara, Palm Islands ini berbentuk pohon pokok palma yang mempunyai batang, sebuah mahkota dengan tujuh belas dauh dan sebuah pulau berbentuk sabit yang mengelilinginya. Palm Islands ini bukan saja menjadi pusat tarikan pelancong namun tempat tersohor ini tersenarai dalam Keajaiban Dunia yang ke lapan.
Hans terus melangkah menyelusuri pantai sambil tangannya cekap mengambil gambar-gambar yang dirasakan menarik. Hans mengarahkan lensa kameranya ke arah sepohon pokok palma yang ditanam di tepi pantai. Terdapat sebuah bangku yang sengaja diletakkan di bawah pohon tersebut. Baru saja Hans ingin mengambil gambar, tiba-tiba bangku tersebut diduduki oleh seorang gadis berbaju pink dan berskirt labuh berwarna putih.
Dahi Hans berkerut namun bibirnya tetap mengukir senyuman.
“Hah, kalau dah macam ni, bukan kebetulan lagi dah. Ni jodoh namanya…” omel Hans lalu mengarahkan langkahnya ke arah gadis Melayu yang ditemuinya semalam.
Marissa yang terasa dirinya dipandang, terus mendongak. Hampir saja matanya terjengil keluar apabila melihat Hans yang melangkah menuju ke arahnya. Dia menggaru dahinya yang tidak gatal.
“Sah, mamat ni nak cari pasal dengan aku. Takkanlah kebetulan sampai macam ni sekali? Mana-mana aku pergi mesti ada aje dia. Tak suka betul aku! Huh!” rungut Marissa lalu bingkas bangun ingin meninggalkan tempat itu. Dia tidak mahu bersemuka dengan Hans.
“Cik, tunggu dulu!” laung Hans lantas mengejar Marissa yang cuba mengelak dari bertemu dengannya.
“Cik Baju Pink, tunggu kejap! Kalau cik betul-betul orang Malaysia, Melayu dan Islam, cik tunggu saya kejap!” Hans bersuara lagi. Dia terpaksa meninggikan suara kerana jarak Marissa dan dia agak jauh.
Langkah Marissa terbejat. Dia melepaskan nafas pendek dan berpaling ke belakang. Dia menjeling sedangkan Hans meleretkan senyuman.
“Awak nak apa lagi ni? Tak cukup lagi ke nak tunjuk biadap awak tu dengan saya? Lain kali tolong simpan sikit biadap awak tu untuk diri sendiri jangan tunjuk pada orang lain. Menjengkelkan, tahu tak?” bebel Marissa dengan laju. Dia menyilangkan tangannya ke tubuh.
Hans menahan tawa. Wajah Marissa yang menahan marah mencuit hatinya.
Hmmm… Cik ni mesti dah lama tinggalkan Malaysia kan? Dah lupa rukun negara? Kesopanan dan kesusilaan tu mesti dipraktikkan tak kira di Malaysia atau di negara mana pun. Kalau cik terlupa saya boleh ingatkan lagi empat rukun negara tu, nak?” Gurau Hans sambil melangkah menghampiri Marissa yang masam mencuka.
“Kalau awak panggil saya setakat nak buang masa saya, lebih baik tak payah! Saya tak kenal awak, jadi jangan kacau saya!” bentak Marissa berura-ura untuk melangkah pergi.
“Amboi, garangnya cik ni. Saya bergurau aje. Saya panggil awak ni bukan nak cari gaduh. Saya cuma nak minta maaf sebab saya dah sakitkan hati awak semalam. Semalaman saya tak dapat tidur fikirkan cik. Jadi, sebagai tanda ucapan maaf saya, saya hadiahkan t-shirt semalam ni untuk cik…” Ucap Hans lalu mengambil bungkusan plastik yang disimpan di dalam beg galasnya.
Marissa melongo. Terkebil-kebil dia memandang Hans yang menghulurkan bungkusan yang berisi kemeja T dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya.
Errr… Tak payah. Saya tak nak…”
“Tak sudi ke? Nampak sangat cik ni dah berpuluh tahun tak duduk Malaysia kan? Sebab orang Malaysia….”
Belum sempat Hans menghabiskan leterannya, Marissa terlebih dahulu merampas bungkusan dari tangan Hans. Satu pandangan tajam dilemparkan kepada Hans yang hanya tersengih bak kerang busuk. Rasa ingin ditampar saja wajah itu.
“Saya dah ambil ni. Puas hati?” tekan Marissa lalu berpaling meninggalkan Hans.

HAH, awak ikut saya ni kenapa?” Soal Marissa sebaik saja dia menoleh ke belakang.
Kelihatan Hans berpura-pura mengambil gambar kawasan sekitar. Melotot anak mata Marissa memandang Hans. Dia berdiri sambil mencekak pinggang.
“Mana ada saya ikut awak. Saya cuma tak jumpa cari jalan…” Jawab Hans selamba. Dia mengulum senyum. Wajah Marissa yang cemberut ditenung lama.
“Cari jalan? Jalan apa? Bukan main besar jalan kat sini, itu pun awak tak jumpa?” Soal Marissa pelik. Keningnya bercantum.
“Saya tengah cari jalan ke hati awak. Boleh tak awak tunjukkan?” Soal Hans kemudian dia ketawa dengan kata-katanya sendiri.
“Gila!” terpacul perkataan tersebut dari celah bibir Marissa. Dia berpaling semula untuk meninggalkan Hans namun tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman apabila teringatkan kata-kata Hans.
“Cik tunggulah dulu. Cik tak ucap terima kasih pun lagi untuk baju tu!” laung Hans apabila Marissa mula menjarakkan diri.
Marissa hanya melambaikan tangannya ke belakang tanda dia malas melayan kerenah Hans yang cukup menjengkelkan. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan lelaki yang berperangai seperti Hans.
Mamat ni nak apa lagi agaknya? Aku tak nak t-shirt ni dia membebel, aku terima t-shirt ni dia merungut. Spesis apalah mamat ni? Setahu aku, kaum lelaki ni tak banyak cakap, tapi mamat ni macam tak nak berhenti bercakap. Keturunan apa agaknya?” omel Marissa sendirian.
Dia menoleh semula ke belakang. Kosong. Kelibat Hans tidak kelihatan dia hadapannya. Marissa mengerutkan dahinya.
“Aik, dah hilang? Baguslah. Aman hidup aku.” Ujar Marissa.
Namun, bibir dan hati tidak sekata. Anak matanya melingas mencari kelibat Hans yang menghilang secara tiba-tiba. Tidak lama kemudian, retina matanya terhenti di pinggir pantai. Kelihatan Hans sedang memimpin tangan seorang lelaki Arab yang bertongkat menuju ke bangku. Mungkin pemuda itu menghalang lelaki tua daripada berjalan menuju ke laut.
Tercuit rasa aneh dalam diri Marissa apabila melihat keprihatinan lelaki itu dalam menolong orang lain meski pun orang tersebut berbeza bangsa dan negara. Tanpa sedar bibir Marissa mengukir senyum.
“Tak sangka, baik juga hati dia. Ingatkan tahu buat orang rasa menyampah aje,” ucap Marissa sendirian.
Dia terus memerhati tingkah lelaki yang berbadan sasa itu. Terdetik rasa tenang di hatinya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.