Tetamu Rindu

Sunday 22 April 2018

JODOH HAK MILIK ALLAH ( PROLOG 1 & PROLOG 2 )


PROLOG 1
Berkali-kali ku cuba mengerti tentang dirimu,
Tapi selalu saja tak pernah kau sedari,
Renungkanlah,
Begitu besar harapan yang ku bawa,
Ku ingin kau selalu temaniku,
Tiap hariku,
Begitu banyak bintang di langit,
Namun kau tetap pujaan hati,
Kan ku tunggu sampai kau mengerti,
Cinta adalah anugerah,
Rasakan ia dan jaga perasaannya,
Usah kau salahkan takdir,
Bila cinta kita berakhir,
Jika kau sia-siakan kesempatan yang telah kau dapatkan,
Usah kau berharap lagi aku selalu ada untukmu…


PROLOG 2
LAMA mata Marissa membalas pandangan Firman. Wajah temannya itu tampak begitu bersungguh. Cuma Marissa sahaja bagaikan tidak percaya dengan apa yang telah diluahkan oleh Firman sebentar tadi.
“Kenapa awak senyap je ni, Rissa? Awak tak percaya apa yang saya cakapkan ni?” Soal Firma mulai gundah dengan sikap berdiam diri Marissa tika ini.
“Tak percaya dan terkejut. Terkejut sebab awak boleh cakap yang awak sukakan saya. Kita kawan dah lama tau, saya tak pernah nampak pun yang awak macam sukakan saya,” balas Marissa sambil memanah tepat ke anak mata Firman yang hitam pekat.
Firman tersenyum manis. Dia mendekatkan wajah namun Marissa terus menyandarkan tubuhnya ke kerusi agar menjauh daripada Firman.
“Semua kawan-kawan kita perasan yang saya sukakan awak cuma awak tu aje yang tak nampak sikap saya bila dengan awak. Kita berkawan daripada semester satu sampailah sekarang, sedikit sebanyak sikap awak tu buat saya selesa. Kadang-kadang perangai pelik awak tu buat saya terhibur. Saya suka orang yang unik macam awak ni,” jawab Firman jujur.
“Perangai pelik?” Soal Marissa sambil menjongketkan kening.
“Yalah, perangai pelik. Tak perlulah saya sebutkan. Awak tentu lebih kenal diri awak sendiri. Saya tahu ramai lelaki yang sukakan awak, tapi dia orang takut nak dekat dengan awak. Saya tak nak jadi macam tu. Saya tak suka pendam apa yang saya rasa dan apa yang saya rasa sekarang datang dari hati saya sendiri,” ujar Firman dengan bersungguh.
Marissa menghela nafas lalu menghembuskannya dengan perlahan. Dia tersenyum sumbing. Bibirnya diketap. Entah kenapa luahan Firman tidak sampai ke hatinya. Malah, jantungnya seakan tidak memberi reaksi walaupun lelaki itu membicarakan soal hati.
“Awak tahu kan prinsip saya?” Soal Marissa tidak lama kemudian.
Firman hanya menganggukkan kepala.
“Saya nak awak tahu, saya seorang yang sangat berpegang pada prinsip dan takkan ada sesiapa yang dapat lunturkan prinsip saya. Saya akan terima awak kalau awak lulus ujian saya,” ujar Marissa dengan muka yang serius.
Jelas Firman kebingungan.
“Ujian apa, Rissa?” soalnya.
“Awak akan tahu nanti. Sekarang, saya nak awak dengar baik-baik…”
Firman angguk. Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada Marissa yang kelihatan memandang ke kiri dan kanan.
“Saya akan panggil waiter tu untuk oder makanan dan saya akan bagitahu dia seorang saja makanan yang saya akan pesan. Lepas saya oder makanan, saya nak awak pun oder sekali. Kalau makanan yang awak pesan sama dengan makanan yang saya pesan, saya akan terima awak,” ucap Marissa dengan senyuman.
What? Permainan apa yang awak nak buat ni, Rissa?” Soal Firman seakan tidak percaya.
“Awak cakap awak kenal perangai saya kan? Awak suka dengan perangai pelik saya kan? Jadi inilah perangai saya. Kalau awak keberatan, saya tak kisah. Saya boleh balik sekarang,” balas Marissa lalu berura-ura untuk berdiri.
Firman mengetap bibir. Walaupun rancangan Marissa dianggap terlalu pelik, namun demi sebuah perasaan, dia turutkan jua.
“Rissa, nanti dulu! Baiklah. Saya setuju dengan permintaan awak,” balas Firman akhirnya. Dia mengalah.
Marissa tersenyum manis. Lalu, dia menggamit seorang pelayan wanita ke arahnya. Kemudian, senarai menu diletakkan di hadapannya. Dia membelek buku menu tersebut dengan wajah yang tenang. Dia tahu Firman sedang memerhatikannya saat ini. Selepas memilih menu, dia meminta pen dan kertas yang dipegang oleh nelayan tersebut.
“Saya nak minta tolong boleh tak?” Soal Marissa kepada pelayan wanita tersebut.
“Boleh, cik. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” soal gadis itu dengan senyuman ramah menghiasi bibir.
“Awak tolong pegang kertas yang saya dah tulis oder saya ni. Awak jangan baca, biar kawan saya ni pilih makanan dia dulu kemudian baru awak tengok, boleh? Saya nak tengok sama ada makanan dia pilih sama tak dengan makanan yang saya pilih.” Terang Marissa.
Pelayan tersebut melemparkan pandangan pelik namun Marissa tidak endahkan. Ada perkara yang lebih penting untuk dia fikirkan.
“Okey Firman, sekarang awak boleh pilih makanan apa yang awak nak makan.” Arah Marissa.
Firman hanya menurut. Dengan dada yang berdebar-debar, Firman membuat pilihan. Dia menulis nama makanan yang ingin dipesannya di atas kertas lalu diserahkan kepada pelayan tersebut. Marissa hanya memerhati dengan penuh rasa teruja.
“Nak saya bukakan sekarang ke?” Soal pelayan wanita tersebut.
Marissa hanya menganggukkan kepala tanda mengiakan. Kemudian, pelayan wanita tersebut membukakan kertas yang dilipat dua oleh Marissa dan Firman. Dia meletakkan kedua-dua kertas tersebut di atas meja. Firman berdebar. Marissa teruja.
Kedua-duanya menjenguk pada perkataan yang tertera di atas kertas tersebut. Marissa hanya tersenyum sumbing. Sedangkan Firman meraup rambutnya ke belakang. Dia menggigit bibir. Dia menatap wajah Marissa dengan lama.
“Awak pilih Nasi Goreng Pattaya sedangkan saya pilih Char Kue Teow. Nampaknya kita tak ada jodoh,” jawab Marissa dengan wajah yang serius sebaik saja pelayan tersebut diminta beredar.
Firman terkebil-kebil memandang Marissa. Seakan tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh gadis itu.
“Tak ada jodoh? Apa maksud awak? Takkan disebabkan makanan yang saya pilih tak sama dengan awak, bermakna kita tak ada jodoh? Mengarut tahu tak?” ujar Firman seakan tidak berpuas hati dengan Marissa.
See. Awak pun tak boleh faham dengan prinsip saya. Apa yang saya buat untuk cari keserasian antara kita berdua. Sekarang ni kita tak serasi, Firman. Hati kita tak serasi jadi jodoh tak berpihak kepada kita. Jadi saya tak dapat terima awak,” balas Marissa dengan riak yang serius. Dia memang maksudkan kata-katanya tadi.
“Rissa, awak tak boleh tentukan jodoh dengan cara macam ni. Ini cuma kepercayaan awak.”
“Ya, memang ini kepercayaan saya dan saya akan percaya cara saya ni sampai bila-bila. Saya minta maaf, Firman. Awak gagal dalam ujian ni,” ujar Marissa lalu bingkas berdiri.
“Ujian apa?” Soal Firman pelik. Wajahnya jelas kebingungan.
“Ujian jodoh…” jawab Marissa lalu meninggalkan Firman yang terpinga-pinga.
“Rissa, tunggu dulu!” laung Firman namun Marissa meneruskan langkahnya tanpa menoleh ke arah Firman.
Marissa melangkah keluar dari restoran, sedang dia ingin mengatur langkah menuju ke perhentian bas, tiba-tiba bahunya dilanggar seseorang.
“Maaf…” ucap lelaki tersebut sambil memegang kejap telefon di telinga. Tangan diangkat. Kelihatan lelaki itu tergesa-gesa.
Marissa tidak sempat berkata apa. Hanya bibir saja yang diketap.
“Berjalan tak pandang kiri kanan…” Bebel Marissa.
Lantas, dia kembali memandang ke hadapan. Dahinya berkerut apabila ada titisan gerimis mengenai tepat pada wajahnya. Dia mendongak ke langit. Cuaca yang tadinya cerah kini bertukar mendung.
“Aik… Hujan pula…” ucapnya sendiri. Namun Marissa hanya berdiri di kaki lima itu sambil mendongak ke langit. Nafas ditarik dan dilepaskan dengan perlahan.
“Aku tak tahu kau di mana, aku tak tahu kau siapa, tapi aku yakin kau wujud. Kita pasti bertemu di saat yang tepat dengan cara yang indah…” ucap Marissa sendiri. Satu senyuman nipis terukir di bibirnya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.