Tetamu Rindu

Thursday 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT ( BAB 10 ) - last entry-



 
TERBAHARU OKTOBER 2016

“HAJAR MANA?” Soal Wak Rosli pendek sebaik saja sampai di rumahnya. Mak Nab yang sedang mengangkat pakaian di ampaian di pandang lama sebelum anak matanya melingas mencari motosikalnya.
Wak Rosli menarik nafas lega apabila motosikalnya masih tersadai sama seperti dia tinggalkan pagi tadi.
“Hajar? Kenapa abang cari Hajar? Petang-petang macam ni, kat mana lagi dia kalau bukan kat bilik. Tengah ulang kaji agaknya tu.” Jawab Mak Nab tanpa memandang wajah Wak Rosli.
“Dia ada keluar pergi mana-mana tak hari ni?” Soal Wak Rosli lagi. Dia merenung Mak Nab yang tampak gelisah.
“Keluar? Setakat keluar pergi kedai tu adalah, bang.” Balas Mak Nab tanpa mengulas lanjut.
“Dia naik motor saya tak?” Tanya Wak Rosli lagi tidak ubah seperti pegawai polis yang membuat siasatan.
Errr…” Mak Nab mula kehilangan kata. Dia menjilat bibirnya yang terasa kering.
“Ada tak, Nab?” Gesa Wak Rosli lagi. Wajah Mak Nab yang serba-salah membuatkan dia dilanda tanda tanya.
“Entahlah, bang. Nab tak perasan pulak. Nab tengah masak tadi.” Jawab Mak Nab sekadar untuk melepaskan diri. Padahal dia tahu Hajar memang keluar dengan motosikal suaminya itu. Dia tidak mahu menimbulkan kekecohan pula. Suaminya itu bukan boleh dikira barannya. Seboleh mungkin Wak Rosli ingin melindungi Hajar walaupun sesekali kelihatan perbuatan Wak Rosli itu seperti mengongkong segala pergerakan anak dara mereka.
“Kenapa abang tanya pelik-pelik ni? Selalunya abang tak kisah pun.” Sambung Mak Nab lagi tanpa sempat Wak Rosli bersuara.
“Selalunya memang saya tak kisah sebab dia naik dengan saya tapi tadi saya nampak ada kemalangan kat bandar tu. Budak perempuan. Saya takut kalau-kalau Hajar curi-curi naik motor pergi bandar sana,” Jelas Wak Rosli membuatkan Mak Nab terdiam.
Dia kehilangan kata. Kalaulah Wak Rosli tahu memang Hajar ada curi-curi naik motornya, agak-agak apa yang akan jadi pada anak daranya tu? Mak Nab tertelan air liur.
“Hisy, abang ni ke situ pulak. Hajar tu dah besar, tahulah dia nak jaga diri.” Jawab Mak Nab sambil tersenyum kelat.
“Sebab dah besarlah saya kena pantau dia selalu. Dia tu perempuan, Nab. Saya risaukan dia. Nasib baik yang meninggal tu bukan anak kita, kalau tak, saya tak tahulah macam mana perasaan saya.” Balas Wak Rosli.
Masih tergambar jelas di minda Wak Rosli wajah gadis remaja yang meninggal itu. Dalam rasa sayu melihat kemalangan yang tragik seperti itu, jauh di sudut hati Wak Rosli terbetik juga rasa lega apabila itu pemilik tubuh itu bukan Hajar.
“Kalau kita jaga dia dengan elok, dia takkan buat hal. Lagipun Hajar tu bukan berani nak buat perkara yang tak elok. Takkan dia nak menyusahkan abang pulak. Selama ni dia tak pernah buat benda yang bukan-bukan. Abang jangan risau, nanti Nab mintak Zaidi tolong tengok-tengokkan adik dia tu.” Balas Mak Nab cuba meredakan keadaan.
Wak Rosli menghela nafas dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Zaidi tu pun sama dengan adik dia.” Ucap Wak Rosli.
Mak Nab tersengih mempamerkan giginya yang masih penuh.
“Tak baik abang cakap macam tu. Zaidi tu abang yang baik untuk adik-adik dia. Abang kena percaya. Hah, bercakap pasal kemalangan tu, siapa yang kemalangan tu, bang?” Soal Mak Nab mengalih topik perbicaraan.
Dia mengangkat bakul yang dipenuhi dengan kain lalu menuju ke tangga rumah. Wak Rosli turut mengikut langkah kaki Mak Nab. Dia melabuhkan punggung di anak tangga.
“Entah, abang tak kenal. Tapi budak tu eksiden langgar bas kilang. Seorang meninggal kat tempat kejadian, seorang cedera parah.” Cerita Wak Rosli.
Mak Nab tersentak. Sempat dia menutup mulut kerana terkejut.
Innalillahi wa innalillahi rojiun.” Lafaz Mak Nab sambil mengurut dada.
“Ada saksi cakap dia berlumba kat jalan raya. Helmet pulak tak pakai tapi wallahualam. Sebab itulah abang tak nak Hajar jadi liar. Bukan awak tak tahu anak awak tu suka sangat dengan motor. Abang pun naik risau dengan dia.” Ujar Wak Rosli sambil menggelengkan kepalanya.
Mak Nab mengeluh kecil. Dia tersenyum nipis memandang suaminya.
“Abang tak payah fikir banyak sangat. Nab ada kat rumah, tahulah Nab nak tengok-tengokkan dia. Lagipun kita kena percayakan dia, bang. Nanti tak adalah dia memberontak tak tentu pasal.” Balas Mak Nab dengan lembut.
Wak Rosli tidak menjawab. Dia hanya mengeluh panjang. Bukan dia tidak percaya tetapi selepas melihat kejadian tadi dengan mata kepalanya sendiri, dia jadi paranoid. Jadi fobia. Mungkin kasih sayang dia pada Hajar melebihi segala-galanya menjadikan dia takut. Takut jika kehilangan anaknya itu.

HAJAR YANG mengintip perbualan ibu dan ayahnya hanya mampu menarik nafas lega. Bimbang juga jika ayahnya tahu kegiatannya awal petang tadi. Nasib baik ibunya pandai menjernihkan suasana. Tidak perlulah dia menanggung kemarahan dan mendengar bebelan ayahnya yang boleh tahan garangnya itu.
Hajar meraup wajah. Teringat kembali saat dia berlumba dengan Asiah, sekumpulan lembu melintas jalan, nasibnya baik kerana dapat brek dengan awal kalau tidak pasti dia juga akan ikut jejak langkah gadis yang dilihat oleh ayahnya tadi.
Buat seketika Hajar memandang poster-poster yang ditampalkan di dinding bilik. Dia bangun dan merapati dinding. Poster Valentino Rossi, pelumba motosikal idolanya memenuhi ruang bilik. Dia tersenyum sambil menggosok permukaan poster tersebut.
“Hari ni aku menang lagi. Kalau boleh aku nak jadi macam kau, tawan dunia sebanyak sembilan kali. Tapi sebelum aku jadi macam kau, aku kena ada motor dulu. Tak apa, aku akan usahakan juga untuk dapat motor. Tapi macam mana nak dapat erk?” Soal Hajar sambil mengurut dagunya. Memikirkan cita-citanya untuk memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi.
Dapat ke dia mengejar angan-angannya itu? Jika dia dapat, apa reaksi Wak Rosli nanti? Hati Hajar tertanya-tanya. Kusut juga fikiran Hajar memikirkan penghujung kisahnya.

“AYAH, HAJAR naik motor dalam kampung ni je kut. Takkan itu pun ayah tak bagi? Lesen pun Hajar tak ada, manalah Hajar berani nak pergi bandar sana tu.” Ucap Hajar sewaktu mereka sedang menonton berita di televisyen.
Hajar menarik muka tidak puas hati apabila Wak Rosli membangkitkan isu kemalangan yang berlaku petang tadi.
“Mulai hari ni, dalam kampung pun tak boleh! Dalam kampung lagi bahaya. Ada binatang melintas, ada monyet, ada budak-budak main tepi jalan. Semua tu bahaya. Ayah tak nak berlaku apa-apa kat kamu, faham?” Tegas suara Wak Rosli kedengaran.
Hajar menjuihkan bibir. Dia rasa ayahnya tidak adil.
“Abang boleh je naik motor ke sana ke sini. Am pun ayah bagi. Kenapa Hajar tak boleh pulak?” Bantah Hajar.
Mak Nab sudah menjengilkan matanya pada Hajar. Dia tidak mahu Hajar menambahkan lagi kemarahan Wak Rosli. Bila suaminya itu membuat keputusan, bermakna tiada sesiapa yang dapat membantah atau pun menghalang. Hitam katanya, hitamlah jawabnya. Takkan ada putih.
“Lelaki ke perempuan ke, sama je, ayah. Kalau tak hati-hati, eksiden juga. Tapi kita janganlah doa macam tu. Benda boleh elak, kita elak.” Jawab Hajar berani.
Wak Rosli berpaling pada Hajar. Melotot matanya memandang Hajar. Cuba menahan kesabaran dengan sikap Hajar kali ini. Baharu pertama kali Hajar berani melawan cakapnya. Semuanya disebabkan motor. Minat anak gadisnya terhadap motor memang tidak dapat disangkal lagi.
“Memang kita hati-hati, tapi kalau orang lain tak hati-hati, tak boleh jadi juga. Boleh tak Hajar dengar cakap ayah kali ni?” Soal Wak Rosli cuba mengawal nada suaranya agar tidak terlalu tinggi.
Hajar mengeluh berat. Terkilan sungguh hatinya dengan keputusan Wak Rosli. Salah ke kalau menunggang motor? Kalau salah, di mana salahnya? Ingin saja soalan itu diutarakan kepada Wak Rosli, tetapi Hajar tidak berani. Dia masih menghormati ayahnya itu.
“Habis tu, memang Hajar tak boleh naik motorlah sampai bila-bila?” Soal Hajar dengan riak yang kecewa tergambar di wajah.
Wak Rosli bengang. Susah sangat ke Hajar nak faham kata-katanya? Dia bertutur dalam bahasa melayu, bukannya bahasa asing sampai dia perlu mengulang banyak kali kata-katanya.
“Ayah cakap tak boleh, maknanya tak bolehlah! Kenapa susah sangat ni nak dengar cakap ayah?” Melengking tinggi suara Wak Rosli. Sekadar untuk memberi amaran kepada Hajar yang dia benar-benar maksudkan tegahannya itu.
Hajar terkesima. Pertama kali Wak Rosli meninggikan suara padanya. Hati Hajar tersiat. Dia bangun lalu meninggalkan ruang tamu menuju ke biliknya. Biarlah dia rawat kekecewaannya sendiri. Ayah tak pernah faham perasaan Hajar!

APA YANG AKAN JADI DENGAN HAJAR? DAPAT KE WAK ROSLI TERIMA MINAT HAJAR TU? NAK TAHU, SILA DAPATKAN DARIPADA PENULISAN2U ATAU PUN DI KEDAI-KEDAI BUKU OKTOBER NI, YA...NAK BELI DENGAN SK PUN BOLEH...NANTI SK UPDATE KAN CARA-CARANYA... STAY TUNED... ^_^






No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.