Tetamu Rindu

Thursday 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT ( BAB 5 )






MAK NAB hanya memerhati Wak Rosli yang tiba-tiba bangun daripada pembaringan. Dia berpaling ke sisi sejenak.
“Abang nak ke mana tu?” Soal Mak Nab kemudian bangun. Dia menyandarkan kepalanya di dinding. Wajah Wak Rosli yang duduk di birai tilam dipandang lama.
“Abang nak jenguk Hajar sekejap. Kakinya tak baik lagi tu.” Balas Wak Rosli tanpa memandang wajah Mak Nab.
Mak Nab melepaskan nafas pendek. Dia membetulkan duduk dan menghampiri suaminya yang sedang duduk membelakanginya.
“Abang, Nab tahu abang sayangkan sangat Hajar tu tapi abang jangan lupa dua lagi anak kita tu. Mereka pun perlukan perhatian. Terutama Iqram tu. Dia masih kecil lagi, bang. Dia perlukan perhatian abang sebagai ayah.” Ucap Mak Nab perlahan.
“Iqram dan Zaidi tu lelaki. Pandai-pandailah jaga diri. Hajar tu perempuan, abang kena jaga dia lebih. Abang tak nak dia salah pilih jalan nanti.” Balas Wak Rosli dengan nada suara yang mendatar.
“Nab tahu tu bang tapi anak lelaki pun perlukan perhatian juga. Dia orang nampak kuat tapi kita tak tahu kalau-kalau jiwa dia memberontak bila tengok abang lebihkan Hajar. Saya pun sayangkan Hajar tapi jangan sampai kita abaikan anak-anak kita yang lain.” Jawab Mak Nab mengharapkan pengertian daripada Wak Rosli.
Wak Rosli mengetap bibir. Dia bingkas bangun dan membetulkan bajunya.
“Saya tahulah apa yang saya buat. Hajar tu perempuan. Awak ingat senang nak jaga anak perempuan ni? Kalau salah didik, kita juga yang dapat malu nanti. Saya nak pastikan Hajar tu membesar jadi anak perempuan yang berguna. Jadi anak yang dapat kita banggakan. Dia satu-satunya anak perempuan saya, sebab itulah saya lebihkan dia tapi tu tak bermakna saya tak ambil peduli tentang Zaidi dan Iqram.” Tegas Wak Rosli tidak mahu mengalah.
“Tapi cara abang sekarang ni seolah-olah lebihkan Hajar dalam semua perkara. Kesian Iqram dan Zaidi, bang.”
“Abang tahulah nak ajar anak-anak abang. Boleh tak kalau Nab ikut aje apa yang abang buat? Iqram dengan Zaidi tu lelaki, dia orang kuat. Hajar tu perempuan, dia perlukan perhatian yang lebih. Takkan itu awak tak dapat bezakan?” Suara Wak Rosli mula meninggi.
Mak Nab mengeluh kecil. Itulah sikap Wak Rosli yang tidak pernah berubah sejak mereka mendirikan rumah tangga. Lelaki itu terlalu ego untuk mengakui kesalahannya sendiri sedangkan sudah terang lagi bersuluh, Wak Rosli sentiasa melebihkan Hajar dalam semua perkara sehingga mengabaikan Iqram dan Zaidi. Jika boleh, Mak Nab tidak mahu anak-anak mereka bertelagah suatu hari nanti dek kerana sikap pilih kasih yang ditunjukkan oleh Wak Rosli.
“Nab cuma nak ingatkan abang je. Nab tahu abang ayah yang baik tapi Nab takut cara abang salah nanti…”
“Sudahlah! Malas abang nak bertekak dengan awak ni. Abang nak pergi jenguk Hajar sekejap. Awak tidurlah dulu.” Ujar Wak Rosli mematikan perbualan mereka.
Tanpa menunggu balasan daripada Mak Nab, Wak Rosli terus melangkah keluar daripada bilik. Dia mengatur langkah menuju ke bilik Hajar yang terletak setentang dengannya. Buat seketika dia mengerling ke ruang tamu, kelihatan Zaidi dan Iqram sudah pun terlena. Wak Rosli menghembuskan nafasnya.
Langsir bilik Hajar diselak perlahan. Dia terkaku di muka pintu apabila melihat Hajar masih lagi tekun menghadap buku. Sejuk hatinya melihat kelakuan Hajar itu. Tanpa sedar, terukir senyuman di bibirnya.
“Assalamualaikum…” Salam dihulurkan lembut. Cukup untuk membuat Hajar berpaling.
“Waalaikummusalam. Eh, ayah tak tidur lagi?” Soal Hajar sambil membetulkan duduknya.
Wak Rosli tersenyum manis. Dia menghampiri Hajar dan duduk di sebelah anak gadisnya itu.
“Belum lagi. Hajar kenapa tak tidur lagi? Abang dengan adik semua dah tidur.” Balas Wak Rosli sambil mengusap rambut Hajar yang panjang.
Hajar menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan.
“Hajar tak mengantuklah, ayah. Sebab tu Hajar baca buku ni. Tapi buku ni macam tak menarik pulak.” Jawab Hajar bersahaja.
Wak Rosli mengintai tajuk buku yang berada di tangan Hajar. Dia tersenyum apabila melihat buku teks Bahasa Malaysia tahun enam yang berada di pegangan Hajar.
“Kalau ayah ceritakan satu kisah pada Hajar, Hajar nak tidur tak?” Soal Wak Rosli cuba memancing minat Hajar. Dia tahu Hajar memang suka mendengar cerita sebelum tidur.
“Nak! Nak! Dah lama ayah tak cerita kat Hajar.” Rengek Hajar dengan manja.
Wak Rosli ketawa kecil. Dia mengelus lembut ubun-ubun Hajar.
“Baiklah, kalau macam tu. Hajar baring dulu. Ayah cerita sambil Hajar baring, nak?” Ujar Wak Rosli lagi.
Hajar mengangguk pantas. Lalu, segala buku teks yang berada di tepi tilamnya, disimpan ke dalam beg. Dia merangkak masuk ke dalam selimut lalu membaringkan tubuhnya dengan selesa. Hajar sudah bersedia untuk mendengar cerita daripada ayahnya.
“Okey, Hajar dah sedia. Malam ni ayah nak cerita pasal apa?” Soal Hajar ingin tahu. Dia benar-benar teruja.
Wak Rosli mengetuk-ngetuk dagu. Otaknya ligat memikirkan cerita yang sesuai untuk disampaikan pada Hajar tika ini.
“Hmmm… Hajar pernah dengar cerita tak pasal Nabi Muhammad nak bakar mayat seorang pemuda?” Soal Wak Rosli sambil menatap terus ke wajah Hajar yang polos.
Hajar terdiam sejenak. Lama dia berfikir kemudian dia menggelengkan kepala.
“Tak pernah pun, ayah. Cikgu kat sekolah pun tak pernah cerita. Ceritalah ayah. Hajar nak tahu jugak. Nanti Hajar boleh cerita kat kawan-kawan Hajar.” Balas Hajar. Dia menggoncang-goncang lengan Wak Rosli. Dia sudah tidak sabar untuk mendengar cerita.
“Okey, kisah dia macam ni. Hajar kena dengar baik-baik tau.”
Hajar mengangguk laju. Dia menarik selimut sehingga ke paras dada sementara telinganya ditadah untuk mendengar segala cerita Wak Rosli.
“Pada zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang pemuda yang bernama al-Qamah. Al-Qamah ni kalau Hajar nak tahu memang seorang yang terkenal. Dia kuat. Dia kaya. Semua orang hormat kat dia. Tapi pada satu hari tu, tiba-tiba si al-Qamah ni jatuh sakit. Sakit kuatlah sampai tak ada sesiapa yang dapat ubat. Kalau ada orang nak ubatkan pun, penyakit al-Qamah ni pasti tak sembuh. Lepas tu, isteri al-Qamah ni pergilah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w.” Wak Rosli memulakan cerita.
Hajar mendengar dengan khusyuk. Dia mengangguk-anggukkan kepala.
“Kenapa isteri al-Qamah tu jumpa nabi kita? Dia nak nabi kita tolong ubatkan ke?” Soal Hajar mula menunjukkan minat.
Wak Rosli tersenyum nipis. Dia menggeleng kecil.
“Taklah. Dia nak mintak nabi kita tolong tengok-tengokkan suami dia tapi waktu tu nabi mintak sahabat-sahabat nabi yang pergi tengokkan. Sahabat nabi pun pergilah tengok. Dia cuba ajar al-Qamah ni mengucap. Hajar tahu tak mengucap tu macam mana?” Soal Wak Rosli menghentikan ceritanya seketika. Dia menumpukan sepenuh perhatiannya pada Hajar yang kelihatan sedang berfikir.
“Kejap. Hajar nak fikir.” Hajar terdiam sejenak. Kemudian dia tersenyum kecil.
“Hajar tahu! Asyhadu an la illa hailla Allah, wa asyhadu anna muhammadur rasullullah…” Ucap Hajar petah.
“Pandai anak ayah!” Balas Wak Rosli girang. Dia gembira kerana Hajar dapat melafazkan syahadah dengan lancar. Terasa kembang setaman hatinya.
“Lepas tu ayah, apa yang jadi?” Soal Hajar meminta agar Wak Rosli menyambung ceritanya yang tergantung.
“Lepas tu sahabat-sahabat nabi ni ajarlah al-Qamah tu mengucap tapi sayangnya, al-Qamah tak boleh mengucap. Lidah dia macam kena gam.”
“Kenapa boleh jadi macam tu? Al-Qamah kan baik. Kenapa dia tak boleh mengucap?” Soal Hajar lagi.
Wak Rosli mengulum senyum. Rambut Hajar yang menutupi dahi dikuis ke belakang.
“Sabarlah dulu. Cerita tak habis lagi ni. Bila al-Qamah tu tak dapat mengucap, sahabat ni pun pergilah jumpa nabi semula. Dia ceritakan semuanya pada nabi. Nabi kita pun tanyalah, sama ada al-Qamah ni masih ada ibu ke belum. Jawab sahabat nabi, al-Qamah ni masih ada ibu.” Wak Rosli menelan air liur sebelum menyambung.
“Nabi pun mintak sahabat pergi jumpa ibu al-Qamah dan sampaikan apa yang dah berlaku pada al-Qamah ni pada ibunya. Sahabat pun pergilah cari ibu al-Qamah sampai jumpa. Bila dah jumpa sahabat nabi bawalah ibu al-Qamah ni jumpa nabi kita. Masa itulah, ibu al-Qamah ni ceritakan semua perangai al-Qamah pada nabi kita. Dia cakap al-Qamah ni terlalu lebihkan isteri dia berbanding ibu dia sendiri. Ibu dia kecil hati dengan sikap al-Qamah tu. Lepas dengar cerita ibu al-Qamah tu, nabi kita terus minta sahabat-sahabat baginda kumpul kayu api untuk bakar al-Qamah!”
“Hahhh? Bakar al-Qamah? Tapi kenapa?” Potong Hajar. Dia menekup mulutnya dengan kedua belah tapak tangan. Matanya membulat besar.
“Sebab pada pendapat Rasulullah, seksaan Allah terhadap orang yang derhaka pada ibu bapanya lebih dasyat berbanding dengan kena bakar dengan api kat dunia ni. Jadi kalau ibu al-Qamah tu tak maafkan al-Qamah, segala amalan dan sedekah al-Qamah tu tak berguna satu sen pun.” Jawab Wak Rosli masih meneruskan penceritaan.
Hajar melepaskan nafas perlahan. Terkebil-kebil dia memandang wajah ayahnya yang masih tekun bercerita.
“Tentu ibu al-Qamah tu biar je nabi kita bakar anak dia kan?”
“Kenapa Hajar cakap macam tu?” Soal Wak Rosli ingin tahu.
“Yelah, sebab anak dia dah banyak sakitkan hati dia.” Jawab Hajar membuat kesimpulannya sendiri.
Wak Rosli meleretkan senyuman. Dia menggosok kepala Hajar buat kesekian kalinya.
“Taklah. Ibu al-Qamah masih sayangkan anak dia. Dia maafkan al-Qamah walaupun anak dia tu selalu sakitkan hati dia. Itulah mulianya hati seorang ibu. Lepas ibu al-Qamah maafkan anak dia, al-Qamah terus dapat mengucap dua kalimah syahadah.” Wak Rosli menghabiskan ceritanya. Dia berpaling ke sisi.
Kelihatan mata Hajar mulai layu. Kadang-kadang anak gadisnya itu tersengguk-sengguk.
“Lepas dengar cerita ni ayah harap Hajar jangan jadi macam al-Qamah ni. Buat baik dengan orang lain tapi abaikan ibu bapa sendiri. Nanti tak masuk syurga. Hajar nak masuk syurga tak?” Soal Wak Rosli lembut.
Hajar hanya mampu menganggukkan kepala dengan rasa mengantuk yang kian menebal. Wajah Wak Rosli pun kelihatan berbalam-balam.
“Hajar saaa…yang mak…Hajar sayaaang ayahhh…” Suara Hajar kedengaran tenggelam timbul sebelum terus lenyap.
Wak Rosli hanya tersenyum kecil melihat Hajar yang sudah pun memejamkan mata. Anaknya itu sudah terlelap. Perlahan-lahan, dia menarik selimut hingga ke paras leher Hajar. Rambut Hajar yang halus dibelai lembut. Penuh dengan kasih sayang.
“Ayah harap Hajar takkan jadi macam al-Qamah, tak mampu mengucap walaupun dia seorang yang baik. Akibat derhaka dengan ibunya sendiri, hampir saja segala amalan dia ditolak. Sebaliknya ayah nak Hajar jadi macam Uwais al-Qarni, pemuda yang terpaksa menahan kerinduannya kepada Rasulullah demi menjaga ibunya yang sakit tenat. Walaupun dia miskin tidak berharta tetapi dia dijanjikan syurga. Walaupun dia tidak dikenali di dunia, tetapi namanya sudah tertulis sebagai penduduk langit. Hanya satu saja yang boleh Hajar lakukan untuk mendapat keberkatan dalam hidup, jangan pernah derhaka pada mak dan ayah. Tapi ayah percaya anak ayah ni anak yang baik kan?” Ucap Wak Rosli perlahan seolah-olah berbisik.
Satu kucupan syahdu hinggap di dahi Hajar. Wajah Hajar yang tidur dengan nyenyak di dipandang dengan penuh rasa kasih dan sayang.
‘Tidurlah sayang, tidurlah pujaan, langkah kaki kamu masih lagi panjang. Tapi ayah janji akan menenami di setiap langkah yang kau ambil. Ayah janji akan sentiasa memimpin dan melindungi di saat kamu susah mahu pun senang. Jika kamu hilang tempat berpaut, jangan lupa ayah sentiasa di sini, wahai anakku.’ Desis Wak Rosli dengan perlahan. Cukup hatinya yang mendengar.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.