Tetamu Rindu

Thursday 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT ( BAB 2 )



TERBAHARU OKTOBER 2016!




BAB 2

TANGAN SI isteri yang terbaring kegelisahan di atas pengusung dipegang kejab oleh Wak Rosli. Seboleh mungkin dia ingin menyalurkan segala kekuatan yang dia ada untuk Mak Nab yang sedang bertarung dengan kesakitan demi melahirkan zuriat mereka berdua.
“Bertahan, Nab. Abang tahu Nab sakit tapi Nab kena tahan demi anak kita!” Ucap Wak Rosli memberi kata-kata semangat.
Baju Mak Nab sudah lencun disimbah dengan air hujan dan peluh. Sesekali dia mengalihkan kepala ke kiri dan kanan. Cuba mencari posisi yang dapat memberi keselesaan pada tubuhnya tetapi Mak Nab tidak mampu memperolehi keselesaan.
“Nab sakit, bang. Ampunkan dosa Nab, bang. Andai ada kesalahan Nab yang Nab tak sedar, Nab harap abang ampunkan Nab. Halalkan makan dan minum, Nab. Halalkan segala kasih-sayang yang abang berikan pada Nab selama ni. Kalau ada apa-apa jadi pada Nab, Nab harap abang jaga anak-anak kita dengan baik dan kalau abang harus memilih antara Nab dan anak kita, abang tolong pilih anak kita. Dia lebih berharga daripada nyawa Nab.” Lirih suara Mak Nab kedengaran. Air mata semakin laju mengalir di pipi.
Dia membalas genggaman tangan Wak Rosli dengan sekuat mungkin. Anak mata suaminya yang berkaca ditatap sepuas-puasnya.
Wak Rosli menggelengkan kepalanya beberapa kali. Hatinya cukup sayu mendengar bicara yang dituturkan oleh Mak Nab. Mana mungkin dia membuat pilihan sebegitu sedangkan hatinya begitu berat untuk berpisah dengan Mak Nab. Hanya wanita itu saja yang sanggup hidup senang dan susah dengannya. Pengorbanan Mak Nab bukan sedikit malah kasih-sayang yang wanita itu berikan, tiada tolok bandingannya.
“Abang halalkan semuanya, Nab. Abang percaya Nab dan anak kita akan selamat. Ingat Allah, Nab. Sebut nama Dia selalu. Abang nak Nab ikut abang baca doa ni.” Ucap Wak Rosli sambil kakinya laju mengikut pengusung itu ditolak hingga ke dalam bilik bersalin.
“Encik dah bersedia? Isteri encik dah nak bersalin ni.” Ujar doktor yang bertugas memandang Wak Rosli.
Wak Rosli mula cuak. Dia kaget seketika. Tetapi saat melihat wajah Mak Nab yang dibasahi peluh, timbul perasaan kuat dalam dirinya. Perlahan-lahan, dia menghampiri telinga Mak Nab.
“Nab ikut abang baca doa ni, ya? Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya.” Bisik Wak Rosli rapat di telinga.
Mak Nab tidak membalas sebaliknya dia hanya mengangguk laju. Saat ini hanya nama Allah yang bergemaung di dalam hatinya. Segalanya diletakkan sebulat-bulat pada Allah s.w.t.
Wa hasbunallah wa ni’mal wakil, wala hawla wala kuwata illa billahil ali hil adzim.” Lafaz Wak Rosli satu persatu.
Kelihatan mulut Mak Nab terkumat-kamit seperti sedang mengikuti ayat yang disebut oleh suaminya. Selesai saja membaca lafaz tersebut, kesakitan yang dirasakan sedikit berkurangan.
“Okey, puan. Dah sampai masanya untuk puan teran!” Suara doktor wanita itu berbunyi dari arah bawah.
Mak Nab menarik nafas panjang dan cuba meneran. Cubaan kali pertama gagal, dia terus mencuba sambil Wak Rosli memegang tangannya dengan erat.
Wak Rosli menahan sebak melihat keadaan Mak Nab saat ini. Wanita itu menjerit kesakitan. Timbul rasa insaf dalam diri Wak Rosli sebaik saja melihat keadaan Mak Nab. Begitu sukar seorang ibu untuk melahirkan seorang anak. Dia yang melihat pun hampir putus nyawa, apatah lagi tuan badan yang merasainya sendiri.
Tidak hairanlah jika darjat seorang ibu tinggi di sisi Allah kerana pengorbanannya menuntut mereka menggadaikan nyawa mereka sendiri. Hanya kaum wanita sahaja yang diberi keistimewaan seumpama ini yang tidak akan dapat dirasai oleh kaum Adam.
Bunyi bayi menangis menyentak Wak Rosli daripada terus larut dalam lamunannya yang panjang. Dia tersedar apabila genggaman di tangannya kian longgar. Dia berpaling. Kelihatan Mak Nab sudah mula layu. Kelopak matanya sekejap terbuka dan sekejap tertutup.
“Nab…” Panggil Wak Rosli lembut di telinga.
“Tahniah, Encik Rosli. Isteri dan anak encik selamat. Anak encik perempuan.” Ucap doktor tersebut dengan senyuman. Dia menyuakan seorang bayi perempuan yang berbungkus dengan kain ke arah Wak Rosli.
“Perempuan?” Wak Rosli terus tergamam.

BUNYI TANGISAN bayi menyedarkan Wak Rosli yang sedang termenung di ruang menunggu. Dia mendongak. Kelihatan seorang jururawat wanita menuju ke arahnya dengan senyuman manis tersungging di bibir. Anak mata Wak Rosli jatuh pada kedua belah tangan jururawat tersebut yang sedang memegang bayi yang berbalut dengan kain berwarna biru. Wak Rosli teruja. Pantas, dia bingkas berdiri.
“Encik Rosli, ini bayi encik. Isteri encik tengah berehat jadi bolehlah encik tengok atau nak iqamatkan anak encik ni.” Ujar jururawat itu bersama senyuman.
Dia menghulurkan bayi perempuan yang masih menangis kepada Wak Rosli yang kelihatan terpaku. Lama pandangan Wak Rosli berlabuh pada bayinya sebelum dia tersedar dengan sendirinya.
“Anak saya?” Soal Wak Rosli seperti orang kebingungan.
Jururawat yang memakai tanda nama Izati itu hanya menganggukkan kepala. Reaksi sebegitu memang biasa dilihatnya setiap kali jika ada kelahiran yang berlaku.
“Betul, inilah anak encik. Anak encik comel dan sihat. Encik dah fikirkan nama ke?” Soal Izati lagi sekadar berbasa-basi.
Lambat-lambat Wak Rosli menyambut huluran Izati. Walaupun ini bukan kali pertama dia mendapat cahaya mata tetapi entah mengapa kelahiran anak perempuannya ini cukup bermakna dalam hidup Wak Rosli.
“Nama?” Soal Wak Rosli lebih pada dirinya sendiri.
Dia menyelak sedikit kain yang hampir menutupi wajah bayi kecilnya dan sebaik saja wajah itu menyapa ruang mata, Wak Rosli terus terpaku. Wajah yang kemerahan itu nampak begitu suci dan bersih. Sukar digambarkan perasaan Wak Rosli tika ini. Semuanya bercampur-baur. Dia terharu. Cukup terharu dengan pemberian Allah yang cukup besar ini.
“Anak saya, misi. Ini anak saya…” Ucap Wak Rosli dengan mata yang berkaca. Dia memandang sejenak ke arah Izati yang sudah tersenyum.
Segaris senyuman nipis terukir di bibir Izati. Dia menganggukkan kepala.
“Kalau macam tu saya tinggalkan bayi ni dengan encik ya? Saya pergi dulu.” Ucap Izati lalu berlalu meninggalkan Wak Rosli yang masih leka menatap wajah anaknya itu.
Wak Rosli menyentuh lembut pipi anaknya yang gebu. Perlahan-lahan, anak itu menggeliat kegelian.
“Assalamualaikum, sayang. Selamat datang ke dunia baru. Ini ayah. Nanti ayah bawak jumpa mak, ya?” Ucap Wak Rosli sambil jari telunjuknya diletakkan di tapak tangan anaknya itu.
Tanpa dia sangka, si kecil itu terus mengenggam erat jarinya seolah-olah faham dengan bicaranya tadi. Wak Rosli terkesima.
“Terima kasih kerana hadir dalam hidup ayah dan mak. Semoga sayang akan menjadi anak yang solehah suatu hari nanti. Ayah janji akan jaga sayang seumur hidup ayah.” Desis Wak Rosli perlahan.
Lantas, dia mendekatkan bibirnya di sisi bayi kecilnya. Nafas ditarik perlahan sebelum menghembuskannya dengan tenang.
Allahu akhbar, allahu akhbar, asy haduanna Muhammadan Rasulullah…”
Suara Wak Rosli bergema di ruang hospital. Suaranya kedengaran tenggelam timbul akibat menahan rasa sebak dengan hadiah yang diberikan. Sesungguhnya seorang anak itu merupakan satu anugerah yang tidak ternilai bagi seorang ayah. Malah, seorang anak lebih berharga daripada segunung intan berlian.

MAK NAB melemparkan senyuman manis saat melihat suaminya duduk sambil memangku anak mereka yang baharu saja dilahirkan. Lelaki itu tampak leka dengan anak mereka yang masih belum diberikan nama.
Lalu, perlahan-lahan dia menyentuh lengan Wak Rosli memaksa lelaki itu supaya berpaling.
“Abang gembira?” Soal Mak Nab dengan nada yang masih lemah.
Spontan, Wak Rosli mengangguk laju. Bukan setakat gembira malah sangat gembira dengan kurniaan yang tak terhingga ini.
“Abang bersyukur sangat bila Nab dan anak kita ni selamat. Rasa macam seluruh hidup abang ni lengkap. Abang ada Nab. Abang ada Zaidi dan sekarang abang dah ada si comel ni. Tak ada apa yang abang harapkan selain Nab dan anak-anak kita ni selalu ada depan mata abang cuma….” Bicara Wak Rosli terhenti. Dia mengetap bibir.
Mak Nab mengerutkan kening.
“Cuma apa, bang?” Soal Mak Nab sambil mengelus lembut lengan si suami.
Wak Rosli mengangkat pandangan. Anak matanya bertentangan dengan Mak Nab yang masih menanti penjelasan daripadanya.
“Abang cuma tak dapat bagi kesenangan dan kekayaan buat Nab dan anak-anak kita. Ini saja yang mampu abang berikan pada keluarga kita. Abang harap Nab dapat terima segala kekurangan abang.” Jawab Wak Rosli sambil menundukkan kepala.
Mak Nab tersenyum nipis. Dia faham tentang kebimbangan yang melanda hati si suami. Jadi sebagai isteri dia harus menyenangkan hati Wak Rosli.
“Abang, sebaik saja Nab pilih abang sebagai suami Nab, Nab sanggup tanggung segala-galanya dengan abang. Sejak kahwin dengan abang, Nab tak pernah rasa susah sebab melihat abang tersenyum itu adalah kesenangan bagi Nab. Abang kunci syurga untuk Nab. Jadi Nab terima segala kelebihan mahu pun kekurangan abang.” Ucap Mak Nab dengan lembut. Lebih kepada memujuk.
Wak Rosli melepaskan nafas lega. Spontan, dia mengelus dahi Mak Nab dengan lembut sebelum satu kucupan penuh syahdu lekat di dahi isterinya.
“Ternyata abang tak pernah salah pilih isteri. Terima kasih sebab hadir dalam hidup abang dan berikan abang seluruh kebahagiaan. Lepas ni, bolehlah bagi abang seorang lagi anak.” Gurau Wak Rosli kemudian ketawa lepas.
Mak Nab menjengilkan mata. Tidak lama kemudian dia ikut ketawa.
“Ada hati nak anak baru, anak kita ni pun belum ada nama lagi. Abang dah ada nama untuk anak kita ni?” Soal Mak Nab mengalih topik perbualan.
Wak Rosli berjeda. Dia mengetuk dagunya sejenak seolah-olah sedang berfikir.
“Dah, abang dah jumpa nama yang sesuai.” Jawab Wak Rosli sebelum mengalih pandangan pada wajah anaknya yang sedang merengek. Dia mengagah-agah anaknya.
“Apa namanya, bang?” Soal Mak Nab ingin tahu.
“Siti Hajar…” Jawab Wak Rosli tanpa sedikit pun mengalihkan pandangan daripada laman wajah si kecil.
“Siti Hajar? Kenapa abang pilih nama tu?”
Wak Rosli terdiam seketika. Sukar untuk dia terangkan mengapa dia memilih nama tersebut tetapi sebaik saja melihat wajah anak kecilnya, nama itu kerap bermain di fikirannya.
“Sebab abang nak anak kita kuat sama seperti isteri Nabi Ibrahim yang ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir bersama anaknya, Nabi Ismail. Abang nak dia jadi seorang perempuan yang tabah dan sabar saat diberikan ujian. Abang nak dia jadi seorang perempuan yang akan melindungi dirinya sendiri tanpa perlu bergantung harap pada orang lain sama seperti Siti Hajar yang tabah menjaga anak kecilnya di tengah-tengah padang pasir yang kering dan tandus tanpa sedikit pun mempersoalkan takdir yang telah tertulis.” Terang Wak Rosli dengan tenang.
Mak Nab hanya menganggukkan kepala tanda faham. Dalam diam dia turut setuju dengan nama pilihan suaminya.
Siti Hajar, ketabahan mu menjadi pedoman. Kesabaran mu menjadi ikutan. Ketaatan mu begitu mengagumkan, semoga anakku Siti Hajar menjadi sekuat mu dan menjadi sumber kekuatan bagi kami sekeluarga. Bisik hati Mak Nab penuh pengharapan.
“Kalau macam tu Nab setuju je, bang. Siti Hajar pun nama yang bagus. Mudah-mudahan dia membesar jadi anak yang solehah.” Ujar Mak Nab setelah agak lama mendiamkan diri.
Wak Rosli tidak membalas sebaliknya anak matanya dibiarkan terus menatap wajah polos si anak. Dia tersenyum girang.
‘Ya Allah, jadikanlah jiwa puteriku ini sekental jiwa Siti Hajar ketika terdampar di padang pasir yang tandus. Jadikanlah dia anak yang taat seperti mana taatnya Siti Hajar saat diperintahkan untuk tinggal di gurun yang panas membahang.’ Doa hati Wak Rosli tidak putus-putus.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.