Tetamu Rindu

Thursday 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT ( BAB 4 )



 
TERBAHARU OKTOBER 2016

“BUDAK-BUDAK mana Nab?” Soal Wak Rosli sambil menghampiri Mak Nab yang sedang memasak makanan tengah hari mereka sekeluarga.
Mak Nab berpaling ke belakang seketika sebelum meneruskan kerjanya untuk menggoreng ikan yang tergendala akibat kedatangan Wak Rosli.
“Zaidi tak balik lagi dari sekolah. Dia ada latihan bola sepak. Iqram ada dalam bilik tu. Dia tak ke sekolah hari ni. Sakit perut katanya.” Jawab Mak Nab.
Wak Rosli duduk di atas tangga dapur. Dia mengerling ke bahagian atas. Kelibat Iqram tidak kelihatan. Tentu anaknya itu sedang berehat.
“Dah baik ke sakit perutnya tu?” Soal Wak Rosli sedikit risau.
“Alhamdulillah, dah elok sikit lepas saya bagi dia makan bawang putih bakar. Abang dari mana ni? Hajar mana?” Soal Mak Nab sambil menjenguk kepala ke arah belakang.
Wak Rosli tersentak. Hajar?
“Hajar pergi sekolah ke? Bukan ke kaki dia sakit lagi?” Soal Wak Rosli lantas bingkas berdiri.
Mak Nab berpaling menghadap Wak Rosli. Dia menelan liur. Dia dapat mengesan kemarahan daripada nada suara suaminya yang sudah meninggi.
“Kalau ikutkan saya memang tak bagi dia pergi sekolah tapi dia merengek nak pergi sekolah pagi tadi. Katanya hari ni dia ada ujian. Dia tak nak ponteng. Nak tak nak, Nab hantar juga dia ke sekolah. Dia cakap abang janji nak ambil dia kat sekolah hari ni.” Ujar Mak Nab dengan riak kerisauan terpamer jelas di wajahnya.
“Allah! Kenapa awak tak bagi tahu saya awal-awal? Memanglah saya nak ambil dia kat sekolah tapi lepas kaki dia baik! Awak tengok sekarang dah pukul berapa? Apalah yang jadi kat anak saya tu sekarang?” Bebel Wak Rosli.
Dia mula cemas. Tanpa menunggu balasan daripada Mak Nab, Wak Rosli terus berlari menuju ke luar rumah. Dia melompat naik ke atas motosikal buruknya. Dia cuba menghidupkan enjin tetapi malangnya, enjin tidak dapat dihidupkan.
Dia mengetap bibir.
“Apahal pulak dengan motor ni?” Rengus Wak Rosli kemudian turun kembali untuk memeriksa. Dia menjenguk ke dalam tangki motor. Minyaknya masih ada. Kemudian dia turun memeriksa bahagian enjin, namun dia apa yang dapat dia lakukan kerana dia tidak mempunyai kemahiran dalam membaiki motor.
“Aduh, aku dahlah lambat. Masa inilah dia nak buat hal!” Marah Wak Rosli. Dia menumbuk kusyen motornya dengan kuat.
Dia berdiri sambil meraup rambutnya ke belakang. Garis-garis kebimbangan terlihat jelas di roman wajahnya. Betapa dia risaukan Hajar saat ini.
“Ya Allah, apa aku nak buat ni? Janganlah apa-apa jadi pada Hajar.” Doa Wak Rosli.
Saat ini hanya ada satu cara saja yang dapat dia lakukan untuk menjemput Hajar dari sekolah. Pantas, Wak Rosli mendongak ke langit. Cuaca kelihatan mendung. Mentari kelihatan bersembunyi di sebalik awan hitam yang berarak. Petanda hujan akan membasahi bumi tidak lama lagi.
Wak Rosli meraup wajahnya. Tidak dapat tidak, Wak Rosli berlari selaju mungkin untuk sampai ke sekolah Hajar yang terletak kira-kira dua kilometer daripada rumahnya. Itu saja pilihan yang dia ada saat ini. Dia takkan izinkan apa-apa berlaku pada satu-satunya anak perempuan kesayangannya itu.

HAJAR DUDUK dengan tenang di perhentian bas. Sesekali anak matanya melilau ke kiri dan kanan mencari kelibat seseorang yang sedang dia tunggu. Namun, sejam telah berlalu tetapi batang hidung orang yang dia nanti tetap juga tidak kelihatan. Hajar mengeluh hampa.
Dia menyentuh lututnya yang beralaskan dengan kain sekolah. Dia dapat rasakan balutan yang melekat di lututnya itu. Masih tergambar kesakitan yang terpaksa dia tanggung saat ayahnya meletakkan ubat semalam.
“Aduh, aduh…sakit ayah!” Rengek Hajar cuba melarikan kakinya daripada disentuh oleh Wak Rosli.
Wak Rosli hanya tersenyum nipis. Dia tetap juga menarik kaki Hajar dan meletakkannya di atas peha.
“Memanglah sakit. Nama pun luka. Itulah ayah suruh Hajar hati-hati tapi Hajar degil. Lepas ni ayah tak benarkan Hajar kayuh basikal lagi.” Ujar Wak Rosli tegas.
Hajar menarik muka tidak berpuas hati. Dia suka naik basikal malah dia tidak puas. Dia dapat rasakan satu kepuasan yang lain macam saat menunggang basikal petang tadi. Terasa dirinya mampu berdikari. Mampu terbang bebas umpama burung yang dapat terbang tinggi di awan.
“Alah, baru pertama kali Hajar jatuh. Bukan ke ayah pernah cakap, kalau kita tak buat salah, macam mana kita nak tahu perkara yang betul. Kesalahan itu mengajar kita untuk membaiki kesilapan kita pada masa akan datang. Betul tak?” Bicara Hajar agak petah.
Wak Rosli mengecilkan mata. Jika berdebat dengan Hajar memang dia tidak akan menang. Anak gadisnya itu walaupun umurnya baru dua belas tahun tapi kepetahan bercakap memang tidak dapat dinafikan lagi. Dia sebagai ayah pun kadang-kadang terpaksa mengaku kalah.
“Hajar ni kalau menjawab cakap ayah memang nombor satu kan?” Ujar Wak Rosli lantas menarik hidung kecil Hajar dengan lembut.
Hajar menjerit sakit. Dia menggosok hidungnya. Namun, tidak lama kemudian mereka dua beranak ketawa.
“Hajar!” Panggil satu suara mengembalikan Hajar ke dunia realiti. Dia mendongak. Senyumannya mati apabila dia sangkakan suara itu milik ayahnya tetapi ternyata bukan.
“Cikgu…” Balasnya perlahan.
“Hajar tunggu siapa? Nak balik ke? Jom cikgu hantarkan kamu.” Ajak Cikgu Hidayah dari dalam kereta.
Hajar menggeleng lembut. Dia yakin ayahnya akan datang juga.
“Tak apalah, cikgu. Hajar tunggu ayah. Biasanya ayah akan ambil Hajar.” Balas Hajar dengan suara yang cukup perlahan. Suara menahan sebak.
“Tapi hari nak hujan ni. Tentu ayah Hajar tengah tunggu Hajar kat rumah. Bahaya kamu tunggu sorang-sorang kat sini. Jomlah, cikgu hantarkan.” Ajak Cikgu Hidayah lagi. Sebagai guru kelas Hajar, dia tidak mahu apa-apa terjadi pada anak muridnya itu. Tambahan pula, Hajar merupakan pelajar harapan sekolah. Tentu saja dia perlu menjaga Hajar dengan sebaiknya.
“Tak apa, cikgu. Saya nak tunggu ayah. Lagipun Pak Lan ada teman Hajar.” Balas Hajar sambil menunjuk ke arah Pak Lan, pengawal keselamatan sekolah yang sedang duduk di dalam pondok keselamatan.
Cikgu Hidayah melepaskan nafas perlahan. Dia akur dengan kedegilan Hajar.
“Baiklah kalau macam tu, cikgu balik dulu. Kalau ada orang yang ajak tumpang Hajar jangan ikut. Terus lari kat Pak Lan tau.” Pesan Cikgu Hidayah lagi.
Hajar hanya menganggukkan kepala tanda faham. Setelah Cikgu Hidayah beredar, Hajar terus menebarkan pandangan ke arah jalan raya. Wajahnya bertukar sendu apabila ayahnya masih tidak kelihatan.
“Ayah tak ingat kat Hajar ke?” Soal Hajar dengan air mata yang mula bergenang. Hujan yang mula turun membasahi bumi seolah-olah mengerti kepiluan yang bersarang di hati Hajar.

TITISAN HUJAN yang semakin lebat langsung tidak mematahkan semangat Wak Rosli untuk mendapatkan Hajar yang mungkin ketika ini berada di sekolah. Dia mengerahkan segala tenaga yang ada semata-mata untuk sampai dengan cepat. Walaupun tika ini dia rasakan seperti ingin tercabut jantung akibat terlalu laju berlari. Tidak pernah walau seminit pun Wak Rosli berhenti. Dia bimbang jika terlambat, Hajar akan merajuk meskipun saat ini dia sedar bahawa dia sudah terlambat untuk menjemput Hajar pulang.
Wak Rosli terus berlari. Air hujan yang jatuh menimpa wajahnya cuma mampu diraup dengan telapak tangan. Dari jauh dia dapat melihat bumbung sekolah tempat Hajar belajar. Dia tersenyum. Namun, nasib Wak Rosli kurang baik apabila secara tiba-tiba, langkahnya tersadung pada kayu yang tersadai di atas jalan. Wak Rosli jatuh tertiarap.
“Aduh!” Keluh Wak Rosli lantas memusingkan badannya. Perlahan-lahan dia bangun dan duduk seketika di atas jalan.
Dia memandang ke arah kakinya. Kelihatan ibu jarinya berdarah. Rasa pedih usah diceritakan lagi. Tambahan pula saat ini hujan bertambah lebat. Dahi Wak Rosli berkedut seribu menahan rasa sakit.
“Hajar!” Ujar Wak Rosli tiba-tiba. Dengan bersusah-payah dia bangkit. Dia tidak boleh melengah-lengahkan masa sedangkan saat ini Hajar sedang menantinya.
Tidak dapat tidak, Wak Rosli terpaksa meneruskan langkah meskipun kakinya masih lagi berdenyut-denyut dan mengeluarkan darah. Walau terpaksa mengheret kaki sekali pun, Wak Rosli sanggup asalkan dia sampai di tempat Hajar.
Lebih setengah jam berjalan, akhirnya Wak Rosli sampai di hadapan Sekolah Kebangsaan Permatang Palas. Anak matanya melilau mencari kelibat Hajar yang tidak kelihatan di mana-mana. Kawasan sekolah juga sunyi-sepi. Hanya kelibat satu dua buah kenderaan yang lalu lalang di jalan utama.
Hati Wak Rosli mula diserang rasa bimbang. Bimbang jika ada sesuatu yang berlaku pada Hajar.
“Hajar! Hajar!” Panggil Wak Rosli kuat. Dia mundar-mandir di perhentian bas. Habis satu perhentian itu dipusing semata-mata mencari kelibat Hajar namun Hajar tetap tidak kelihatan di mana-mana.
“Ya Allah, mana anak aku? Janganlah apa-apa jadi pada dia.” Doa Wak Rosli dengan perasaan takut yang menggunung.
Wak Rosli menyebak rambut ke belakang. Anak matanya tertancap pada pondok pengawal yang berada di hadapan sekolah. Lalu tanpa menunggu lama, Wak Rosli segera melangkah ke pondok tersebut dengan baju yang basah lencun. Kakinya yang terincut-incut langsung tidak dipedulikan.
“Assalamualaikum!” Salam dilaungkan dari arah luar.
Senyap. Tiada jawapan. Wak Rosli cuba mengintai di dalam pondok keselamatan tetapi satu kelibat pun tidak kelihatan. Kosong!
“Mana pula jaga ni pergi? Mungkin keluar meronda kut. Kalau jaga keluar meronda, habis tu Hajar kat mana?” Hati Wak Rosli mula mendesah. Dia takut dalam diam.
“Hajar!” Laung Wak Rosli lagi. Dia cuba melangkah masuk ke kawasan sekolah tetapi pintu pagar sekolah tersebut berkunci. Hal itu cukup mendatangkan resah dalam jiwa Wak Rosli. Pada siapa harus dia meminta pertolongan saat ini?
Wak Rosli sebak. Dia tidak dapat membayangkan jika sesuatu berlaku pada Hajar. Pasti dia tidak akan memaafkan dirinya sendiri. Satu-satu anak perempuannya hilang akibat kecuaian dirinya sendiri.
“Hajar, ke mana nak? Jangan tinggalkan ayah.” Keluh Wak Rosli sambil menekup wajahnya. Dia menahan sebak.
“Ayah?” Panggil satu suara halus mengejutkan Wak Rosli. Dia berpaling.
Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan bersama seorang pengawal keselamatan berdiri di hadapan Wak Rosli. Wak Rosli terkaku seketika sebelum bibirnya mengorak senyuman nipis. Dia menarik nafas lega.
“Hajar!” Jerit Wak Rosli lalu berlari mendekati pagar.
Hajar turut berlari mendapatkan ayahnya. Sementara Pak Lan terus membuka pagar.
“Maaflah, encik. Tadi Hajar mintak saya temankan dia pergi tandas. Itu saya terpaksa kunci pagar. Lama dia tunggu encik tadi. Cikgu sekolah dia nak hantar pun dia tak nak balik. Katanya encik pasti datang jemput.” Ujar Pak Lan lagi.
Wak Rosli tersentuh. Dia melutut di hadapan Hajar. Kedua belah pipi Hajar dipegang dengan air mata bergenangan.
“Maafkan ayah. Ayah tak tahu yang Hajar pergi sekolah hari ni. Kaki Hajar kan tak baik lagi. Ayah ingat Hajar ada kat rumah sebab itu ayah balik lambat sikit kerja hari ni. Maafkan ayah, sayang.” Ucap Wak Rosli sambil mengelus pipi Hajar dengan lembut.
Hajar tersengih. Rasa kecewa dan hampanya terubat dengan sendiri sebaik saja melihat wajah ayahnya. Terbit rasa simpati dalam dirinya apabila melihat keadaan Wak Rosli yang basah lencun.
“Ayah tak salah. Hajar yang degil. Hari ni ada ujian sebab tu Hajar paksa mak hantar Hajar. Hajar tak nak ponteng. Hajar tak nak gagal dalam ujian.” Jawab Hajar lantas menundukkan wajahnya.
Wak Rosli tersenyum bangga. Dia menarik tubuh Hajar ke dalam pelukan.
“Ayah tahu anak ayah ni memang anak yang baik. Jom kita balik.” Ajak Wak Rosli sambil memimpin tangan Hajar.
Hajar mengangguk laju. Tiba-tiba dia terlihat kaki Wak Rosli yang berdarah.
“Ayah, kaki ayah berdarah!” Ujar Hajar lantas menuding jarinya ke arah kaki Wak Rosli.
Wak Rosli hanya tersenyum nipis.
“Sakit sikit je ni. Nanti baiklah tu. Kaki Hajar macam mana? Dah baik?” Soalnya lembut.
“Masih sakit tapi sikit jelah. Motor ayah mana?” Tanya Hajar apabila tidak melihat kelibat motor Honda Cub C70 milik ayahnya.
“Motor ayah rosak. Hajar tak larat nak jalan ke?” Soal ayahnya pula cuba melindungi rasa kecewa apabila tidak dapat memberikan yang terbaik untuk anaknya.
“Eh, boleh. Hajar boleh jalan. Ayah jangan risau.” Jawab Hajar. Dia memegang tangan ayahnya dengan erat.
Pak Lan yang melihat perbualan dua beranak itu hanya tersenyum nipis. Dia meminta diri untuk meneruskan kerja saat Wak Rosli sudah mula mengatur langkah untuk pulang ke rumah.
Wak Rosli memandang ke sisi. Dia melihat Hajar menyeka peluh di dahi. Walaupun hujan mulai reda tapi dia dapat lihat dengan jelas wajah Hajar yang kepenatan. Lalu, Wak Rosli berhenti dan duduk mencangkung di hadapan Hajar.
Hajar tersentak. Langkahnya terhenti dengan sendiri.
“Kenapa ayah berhenti?” Soal Hajar pelik.
“Naik atas belakang ayah. Biar ayah kendong Hajar.” Ucap Wak Rosli lembut.
“Tapi kaki ayah sakit tu. Hajar ni berat.” Balas Hajar.
Wak Rosli ketawa. Dia berpaling sejenak ke belakang.
“Biar ayah sakit asalkan anak ayah ni sihat. Dah, naik atas belakang ayah sekarang. Ayah nak jadi superman.” Gurau Wak Rosli disambut dengan tawa halus daripada Hajar.
Hajar hanya menurut. Perlahan-lahan,dia memeluk tengkuk Wak Rosli daripada belakang dengan erat.
“Ayah, ayah….” Hajar meleretkan panggilannya.
Hmmm…” Gumam Wak Rosli sambil meneruskan langkah.
“Nanti bila Hajar dah besar, Hajar beli motor baru untuk ayah ya?” Ujar Hajar sambil mengintai wajah Wak Rosli yang sedang melangkah dengan perlahan.
Wak Rosli ketawa kecil. Dia tidak menjawab kata-kata Hajar sebaliknya hanya senyuman yang mekar di bibir.
“Besar nanti Hajar nak jadi apa?” Soal Wak Rosli sekadar berbasa-basi.
“Hajar nak jadi pelumba motor.” Jawab Hajar spontan.
Haish! Ada ke nak jadi pelumba motor. Lumba motor itu kerja lelaki. Hajar perempuan. Mana boleh lumba motor. Ayah tak benarkan.” Tegas Wak Rosli.
Hajar mencebik. Tidak suka apabila keinginannya dihalang oleh Wak Rosli.
“Tapi Hajar minat motor…”
“Minat boleh tapi jangan sampai jadikan satu kerja pulak. Banyak lagi kerja yang elok yang sesuai dengan Hajar. Sekarang ni, Hajar kena belajar rajin-rajin dan jadi anak yang berguna untuk ayah dan mak. Boleh?” Tekan Wak Rosli.
Hajar terdiam. Tidak lama kemudian dia menganggukkan kepala.
“Janji dengan ayah jangan lawan cakap ayah lagi. Boleh?”
“Baik, ayah. Hajar takkan lawan cakap ayah lagi.”
Wak Rosli mengukir senyuman nipis lantas meneruskan perjalanan meskipun kakinya masih lagi berdarah. Dia takkan sesekali membiarkan anaknya menghadapi kesukaran jika dia masih bernyawa.
‘Wahai Tuhan, izinkan aku menjadi pelindung buat permata hati ku ini selama-lamanya. Kau kekalkan dia dalam ketaatan, kau lindungilah dia walau di mana pun dia berada. Aku tidak memiliki kekayaan, tetapi hanya doa yang dapat ku berikan padanya melalui-Mu, Tuhan.’ Bisik hati Wak Rosli.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.