Tetamu Rindu

Thursday 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT ( PROLOG & BAB 1 )


TERBAHARU OKTOBER 2016!



PROLOG

Seorang yang beriman; sama ada lelaki atau perempuan, akan sentiasa diuji oleh Allah. Sama ada ujian itu terkena pada dirinya sendiri, anaknya ataupun hartanya. Sehingga dia bertemu Allah dalam keadaan tidak mempunyai satu dosa pun. -  (Direkodkan oleh Tirmizi)

 “AYAH!”
Suara jeritan seorang gadis bergema dari dewan sehingga ke tapak perhimpunan. Kelihatan seorang gadis yang memakai baju kurung berwarna biru dan bertudung putih berlari-lari anak ke arah kantin. Wajahnya tergambar riak yang cukup teruja dan riang.
“Ayah!” Laungnya lagi. Sambil anak matanya melilau mencari kelibat si ayah. Dia meneruskan larian kerana dia tahu si ayah pasti berada di kantin sekarang ini.
“Maaf!” Ucapnya apabila secara tidak sengaja melanggar bahu rakannya yang lain.
Akibat terlalu gembira dia menjadi seorang yang kelam-kabut. Langkahnya yang tadi laju bertukar perlahan sebaik saja tapak kakinya bertapak di lantai kantin. Anak matanya melingas mencari seseorang yang sangat dia nantikan. Di tangannya tergenggam sekeping kertas yang cukup bermakna. Dia cuba mengatur nafas yang turun naik akibat terlalu kuat berlari. Penatnya hanya Tuhan yang tahu.
Buat seketika dia menjeling pada kertas yang berada di tangannya. Dia tersenyum lagi.
“Hajar…” Tegur satu suara membuatkan Hajar berpaling.
Dia tersenyum riang bersama air mata yang berlinangan. Wajah tua itu menyapa di pandangan. Itulah wajah yang banyak berkorban untuknya. Itulah wajah yang sentiasa memberi galakkan dan dorongan saat di hampir mengalah dengan beban pelajaran yang semakin menghimpit. Itulah wajah yang ingin dia banggakan.
“Kenapa lari-lari ni? Kalau jatuh siapa susah? Ayah jugak kan.” Tegur si ayah dengan lembut. Si ibu yang berada di sebelah hanya tersenyum nipis.
“Ayah pergi mana? Puas Hajar panggil ayah tau.” Rungut Hajar sambil menarik mulut muncung.
Si ayah ketawa kecil. Peluh yang terpercik di dahi diseka dengan telapak tangan. Bahu si anak dipeluk mesra.
“Ayah ke tandas sekejap. Tunggu Hajar lambat sangat. Hah, macam mana dengan keputusan? Okey?” Soal ayah dengan penuh pengharapan. Dia baru teringat tentang kedatangan mereka ke sekolah semata-mata untuk mengambil keputusan SPM anaknya.
Rasa debar terus menyerang dada. Mudah-mudahan anak gadis tunggalnya itu mendapat keputusan yang cemerlang. Bolehlah dia menumpang gembira.
“Ayah rasa Hajar dapat berapa?” Soal Hajar cuba berteka-teki. Matanya bersinar akibat terlalu gembira. Wajah si ayah dan si emak ditenung silih berganti.
Si ayah mengetuk dagu lalu berpandangan dengan isterinya. Isterinya itu sekadar menjongketkan bahu tanda tidak tahu.
Hmmm…. Dapat lima A.” Jawab si ayah cuba menjawab soalan Hajar yang kelihatan sabar menanti.
“Mak pulak?” Hajar mengalihkan pandangan pada ibunya.
“Mak rasa Hajar tak dapat apa-apa A pun.” Jawab si emak sekadar bergurau.
“Mak! Tak suka tau cakap macam tu.” Rajuk Hajar lagi. Memandangkan dia satu-satunya anak perempuan, jadi sikapnya menjadi terlebih manja terutama dengan ayah.
Si ayah dan si ibu hanya ketawa melihat bibir Hajar yang sudah memuncung. Dia tahu rajuk anaknya itu sekejap saja cuma manjanya saja yang terlebih.
“Yelah-yelah, mak bergurau aje. Manalah mak tahu Hajar dapat berapa. Cuba Hajar bagitahu mak dengan ayah, kan senang tak payah teka-teka.” Balas ibunya. Ayah hanya mengangguk tanda mengiyakan kata-kata si ibu.
Wajah cemberut Hajar bertukar riang. Perlahan-lahan, dia mengangkat sekeping kertas dan menayangkan tepat ke wajah ayah dan ibunya yang jelas kebingungan.
“Hajar dapat lima belas A, ayah!” Jerit Hajar dengan riang.
Si ayah tergamam. Begitu juga dengan si ibu. Mereka berdua kehilangan kata hanya anak mata yang memancarkan sinar kegembiraan.
“Ayah, mak, dengar tak ni? Hajar dapat lima belas A ayah. Hajar dapat lima belas A, mak!” Hajar mengulang lagi kata-katanya bimbang bicaranya tadi tidak didengari oleh ibu dan ayahnya.
Bagaikan tersentak daripada mimpi yang panjang, si ayah tersedar. Dia tersenyum lebar. Begitu juga dengan ibunya. Pantas, mereka berdua memeluk tubuh kecil Hajar.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dia dah kabulkan doa mak dan ayah. Tahniah, Hajar. Hajar memang tak pernah hampakan ayah!” Ujar si ayah lalu sebuah ciuman kecil menyapa di dahi Hajar.
Mata Hajar berkaca. Dia pandang lama muka si ayah yang selama ini banyak berkorban untuknya.
“Hajar nak jadi anak yang berguna untuk mak dan ayah. Hajar nak ayah dan mak bangga dengan Hajar. Hajar akan buat apa saja asalkan keluarga kita senang. Hajar janji, Hajar akan belajar sungguh-sungguh.” Tekad Hajar dengan azam yang setinggi gunung.
Ayah hanya tersenyum manis. Dia menggosok kepala Hajar yang bertudung.
“Hajar nak belajar kat mana lepas ni?” Soal ayah cuba mengetahui perancangan yang dibuat oleh anak kebanggaannya itu.
“Hajar nak belajar luar negara!” Balas Hajar spontan.
Senyuman di bibir ayah mati dengan sendirinya. Kegembiraan yang tadinya menyala-nyala, surut dengan sendirinya. Kata-kata Hajar kembali terngiang di telinga sedangkan saat ini telinganya terpaksa menadah cerita demi cerita yang muntah daripada mulut Hajar.
Hajar nak belajar luar negara? Sanggup ke aku benarkan? Sanggup ke aku berpisah dengan satu-satunya anak perempuan yang aku ada?


BAB 1

Tahun 1994,  Kampung Permatang Palas, Benut, Johor, Malaysia.
BUNYI RINTIK hujan yang jatuh menimpa atap rumah membuatkan Mak Nab mendongak. Dia melepaskan nafas kecil apabila melihat atap zink rumahnya bertampal-tampal. Lantas dengan perut yang membuyut, Mak Nab gagahkan diri untuk ke dapur.
Dia bimbang jika hujan mulai lebat, pasti rumah mereka akan dibanjiri dengan air. Inilah kehidupan yang perlu ditempuhi sejak bertahun-tahun dulu. Kesusahan yang terpaksa dia lalui ini seumpama sudah sebati dengan diri Mak Nab. Dia tidak pernah mengeluh jauh sekali ingin menyalahkan takdir kerana Mak Nab sedar, kesusahan yang diberikan Allah kepada hamba-Nya bukan berpanjangan sebalik pasti kesenangan akan datang menjengah. Jika bukan di dunia, pasti di akhirat kelak.
Bukankah Allah telah menerangkan dalam Surah al-Hadid ayat 20;
Ketahuilah kehidupan dunia itu hanyalah permainan, hiburan, perhiasan, dan bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-bangga dengan harta benda dan anak-pinak, samalah seperti hujan yang mengagumkan penanamnya akan tanamannya, kemudian tanaman itu menjadi kering, kamu melihatnya berbentuk kuning. Akhirnya ia akan menjadi hancur bersepai, dan di akhirat kelak ada azab yang berat, keampunan dan keredaan daripada Allah. Dan kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.
Mak Nab tersenyum tawar. Besen yang diambil daripada dapur diletakkan betul-betul di bawah bahagian atap rumah yang bertampal. Dengan keadaan perut yang membukit tinggi sedikit menyukarkan pergerakan Mak Nab. Sesekali dia melepaskan nafas dengan kuat. Maklumlah, apabila berbadan dua, dirinya mudah diserang mengah.
“Nanti bila sayang dah tengok dunia, mak nak sayang kuat. Jangan terpedaya dengan indahnya dunia sebab tak semua yang kita lihat seindah yang kita sangka. Tapi mak yakin, anak mak ni anak yang baik. Sayang pasti akan buat mak bangga nanti.” Ucap Mak Nab sambil mengusap perutnya yang dibaluti dengan baju mengandung.
Satu tendangan halus terasa di dinding perutnya membuatkan wajah Mak Nab berkerut kegelian. Dia ketawa kecil. Perkara itulah yang terpaksa dia hadapi sepanjang sembilan bulan dia mengandung permata hati mereka yang kedua.
“Anak mak tak sabar nak keluar, ya?” Soal Mak Nab lembut. Dia memegang perutnya.
Tetapi kali ini dia terasa lain macam. Ususnya seperti dipulas sesuatu. Sakitnya sukar untuk diungkapkan. Wajah Mak Nab yang tadinya ceria berubah riak. Dahinya berkerut. Dia melangkah perlahan-lahan menuju ke pintu utama. Dia perlu meminta pertolongan kerana bimbang akan bersalin lebih awal daripada jangkaannya.
“Zaidi!” Laung Mak Nab dengan nafas yang mula tercungap-cungap. Sebelah tangannya memegang pinggang.
“Zaidi! Mana kamu ni?” Laung Mak Nab lagi lalu berhenti di muka pintu.
Dia memegang daun pintu sambil anak matanya menebar di halaman rumah mencari kelibat anak sulungnya yang tidak kelihatan. Mak Nab semakin tidak berdaya. Kesakitan yang terasa di perutnya membuatkan Mak Nab jadi lemah sekelip mata. Peluh semakin merembes di wajah.
“Zaidi!” Panggil Mak Nab lagi. Cuba menguatkan suaranya yang semakin mengendur.
“Ya, mak!” Sahut seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan tiga tahun menghampiri Mak Nab yang depan pintu rumah.
“Panggil ayah, Zaidi. Perut mak sakit ni!” Ucap Mak Nab dengan suara tenggelam timbul.
Zaidi terkejut. Dia memandang Mak Nab daripada atas hingga ke bawah.
“Perut mak sakit?” Soal Zaidi polos.
Mak Nab tidak menjawab sebaliknya dia memegang kemas tepi pintu mencari sokongan bagi menyalurkan rasa sakit yang tidak terperi. Pada waktu yang sama, dia terasa seperti ada sesuatu yang hangat mengalir di celah kelangkangnya.
“Mak, mak kencing ke?” Soal Zaidi lagi dengan pelat sambil menuding jari ke arah Mak Nab yang masih berdiri di hadapannya.
Mak Nab tersentak. Dia memandang ke bawah. Matanya terbeliak. Tubuhnya mula menggigil.
“Cepat cari ayah, Zaidi!” Suara Mak Nab mula meninggi.
Serentak dengan itu, sepantas kilat Zaidi berlari mencari ayahnya yang keluar bekerja. Dia harus cepat, dia tidak mahu sesuatu terjadi kepada ibunya.

“AYAH!”
Suara halus yang menjerit membuatkan Wak Rosli berpaling. Dia yang sedang mengupas kulit kelapa sedikit berkerut apabila melihat anak sulungnya yang sedang berlari dengan riak cemas ke arahnya.
“Ayah! Mak, ayah! Mak!” Jerit Zaidi lantas menghentikan langkah betul-betul di hadapan Wak Rosli yang bercekak pinggang.
“Kenapa dengan mak kamu?” Soal Wak Rosli tidak mengesyaki apa-apa.
Hanya pandangan biasa dilemparkan pada Zaidi yang kelihatan tercungap-cungap mencari ruang untuk bernafas.
“Mak sakit!” Ujar Zaidi apabila dapat bernafas seperti biasa.
Mata Wak Rosli membulat. Nab sakit? Dia mula dilanda tanda tanya.
“Apa? Mak sakit apa?” Soal Wak Rosli mula gelabah.
“Mak cakap dia sakit perut. Lepas tu Di nampak mak kencing.” Terang Zaidi dengan apa yang telah dia lihat sebentar tadi.
“Mak kencing?” Wak Rosli mula pelik.
“Betul, ayah. Mak kencing sambil berdiri depan pintu rumah.” Jawab Zaidi polos. Dia hanya menerangkan apa yang dilihat dengan mata kepalanya. Terkebil-kebil dia memandang wajah Wak Rosli yang terdiam.
Wak Rosli mula terfikirkan sesuatu. Terbayang di matanya keadaan Mak Nab yang berbadan dua. Mungkinkah masanya sudah sampai? Detik hatinya. Sedikit bergetar.
“Itu bukan air kencing, itu mungkin air ketuban!” Bentak Wak Rosli.
Tanpa menunggu lama, dia mula mengambil langkah seribu meninggalkan Zaidi yang dilanda tanda-tanya. Segala kerja-kerjanya ditinggalkan begitu sahaja. Dia apa yang lebih saat ini selain daripada isterinya.
“Air ketu…ketuban tu apa?” Soalnya sendirian lalu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Namun, saat ini tiada sesiapa yang dapat menjawab soalannya memaksa Zaidi untuk mengikut langkah kakinya ayahnya yang semakin menjauh.
Wak Rosli meneruskan larian. Jarak kebun kelapa dengan rumahnya tidaklah sejauh mana namun apabila keadaan menjadi kelam-kabut seperti ini, jarak yang dekat juga dirasakan terlalu jauh.
“Nab!” Laung Wak Rosli lalu tergesa-gesa mendaki tangga menghampiri Mak Nab yang jatuh terjelepok di atas lantai di beranda rumah.
“Abang, sa…sakit…sakit, bang…” Suara Mak Nab kedengaran lemah. Dia menekan-nekan perutnya yang membukit.
Wak Rosli mula cemas. Dia memangku kepala Mak Nab dengan riak yang cuak.
“Awak nak bersalin dah ke?” Soal Wak Rosli walaupun soalan itu dirasakan soalan yang cukup bodoh.
Mak Nab mengangguk laju. Dia menggeleng kepala ke kiri dan kanan semata-mata ingin mencari sedikit keselesaan. Namun, semuanya caca marba. Kesakitan itu terasa memuncak.
“Alamak, apa abang nak buat ni? Nab sabar sikit ya? Abang nak pergi mintak tolong dengan orang kampung sekejap. Abang takkan lama!” Ucap Wak Rosli.
Dia bangkit kembali kemudian berlari menuju ke rumah jirannya yang terletak kira-kira lima ratus meter daripada rumahnya. Hujan yang mulai lebat petang itu langsung tidak mendatangkan kesan pada Wak Rosli. Hanya satu dalam fikirannya adalah isteri dan anaknya yang bakal dilahirkan.
“Assalamualaikum, Jali!” Salam dihulurkan. Wak Rosli berdiri betul-betul di hadapan rumah  Jali yang tertutup rapat.
Salamnya tidak bersahut. Wak Rosli mula resah. Dia mundar-mandir tanpa tujuan. Otaknya semak memikirkan keadaan isterinya yang sedang mengerang kesakitan. Mak Nab perlu dibawa ke hospital dengan segera sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku. Tetapi Wak Rosli mula dipagut kebimbangan setelah menunggu hampir lima minit, batang hidung Jali tidak juga kelihatan.
“Mana pulak dia ni?” Sungut Wak Rosli sambil menggigit kukunya sendiri. Rambutnya disebak ke belakang.
Anak matanya mula meliar melihat garaj kereta milik Jali. Kosong. Wak Rosli mula mengetap bibir. Dia terlupa yang Jali pulang ke rumah neneknya dua hari lepas.
Wak Rosli mula diterpa bimbang. Pada siapa lagi harus dia meminta pertolongan sedangkan di kampung ini, jumlah penduduk yang memiliki kereta tidak ramai. Hanya dua atau tiga orang saja. Jali termasuk salah seorang daripadanya tetapi kini lelaki itu pula tiada di rumah.
Wak Rosli tiada pilihan. Dia terpaksa berlari semula ke rumahnya. Dia harus membawa Mak Nab ke hospital walaupun tanpa pertolongan sesiapa. Sewaktu dia sampai di rumah, kelihatan Zaidi sedang bersusah payah mengipas isterinya yang masih mengerang kesakitan.
“Zaidi, kamu tunggu rumah. Ayah nak kena bawak mak kamu ke hospital sekarang!” Jawab Wak Rosli. Dia menghampiri Mak Nab.
Tubuh isterinya itu diangkat sebelum tubuh yang sederhana besar itu dipapah lalu dibawa menuju ke motornya.
“Ayah nak bawak mak ke hospital dengan apa?” Soal Zaidi ingin tahu. Dia turut membuntuti langkah kaki ayahnya yang kelihatan bersusah payah memapah tubuh ibunya yang tidak duduk diam.
Wak Rosli tidak menjawab sebaliknya dia berhempas-pulas cuba mengangkat tubuh Mak Nab lalu didudukkan di atas motor. Ini saja cara yang dia ada bagi memastikan Mak Nab dapat sampai ke hospital dengan secepat mungkin.
“Nab, awak bersabar sikit ya? Abang akan bawak awak ke hospital. Abang akan pastikan Nab dan anak kita selamat!” Tekad Wak Rosli lalu menghidupkan enjin motorsikalnya.
Mak Nab tidak menjawab sebaliknya dia cuba menahan kesakitan yang ada dengan sekuat hatinya demi melahirkan seorang permata hati dengan sempurna. Pantas, dia memeluk belakang tubuh Wak Rosli dengan kuat.
‘Nab akan cuba bertahan demi abang dan anak kita. Sayang, tahan sikit ya? Mak tahu sayang dah tak sabar nak keluar tapi sayang kena tunggu sekejap tau. Tunggu ayah sambut sayang nanti.’ Detik hati Mak Nab dengan linangan air mata.
Air hujan yang jatuh menimpa mereka berdua tidak dipedulikan. Sebaliknya, Wak Rosli terus memecut motosikalnya selaju yang mungkin tanpa mempeduli kesejukan yang terasa di tubuhnya. Hanya satu harapan yang membuah di dalam dada, dia berharap agar anak dan isterinya selamat meskipun dia tidak tahu apa yang bakal terjadi selepas ini.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.