Tetamu Rindu

Saturday 1 October 2016

QARTAL...PEMUSNAH HATI ( BAB 16 )



AISY melepaskan lelahnya setelah hampir berjam-jam mereka berjalan namun mereka berdua tetap sampai ke tempat yang sama. Tempat di mana mereka mendirikan pondok semalam. Aisy terduduk di atas tanah sambil anak matanya terarah pada Qartal yang kelihatan risau.
“Aku rasa macam ada yang tak kena ni, Qartal. Dah jauh kita jalan tapi alih-alih kita sampai ke tempat yang sama. Kau tak pelik ke?” Soal Aisy sambil mengibaskan tubuhnya menggunakan kain tudung yang masih tersarung kemas di kepala.
Qartal tidak menjawab sebaliknya dia turut duduk mencangkung di hadapan Aisy. Dia turut merasakan perasaan yang sama dengan Aisy. Sejauh mana mereka berjalan tapi mereka tetap sampai ke tempat yang sama mereka tinggalkan pada pagi tadi. Qartal turut merasakan ada sesuatu yang tak kena.
“Aku tak tahu. Aku pun buntu sekarang ni.” Balas Qartal sambil mematah-matahkan jarinya.
“Tok aku pernah cakap, misalan kita berjalan dalam hutan tapi sampai ke tempat yang sama bermakna ada ‘sesuatu’ cuba bermain dengan kita.” Ucap Aisy dengan suara yang diperlahankan.
Dia memandang ke belakang apabila terasa seperti diperhatikan. Serentak, bulu tengkuknya meremang. Segera Aisy beristighfar menghalau rasa seram yang mengintai hatinya.
“Sesuatu maksud kau….” Qartal tidak menghabiskan ayat. Dia faham apa yang cuba diterangkan Aisy. Dalam hutan tebal, perkara seperti itu memang tidak mustahil akan berlaku malah setiap mangsa yang sesat dalam hutan pasti mengalami perkara yang sama.
Aisy mengangguk laju bersama detak jantung yang mula kedengaran. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Biasanya ‘benda tu’ akan buat kita berpusing tempat yang sama sampai kita penat dan putus asa. Atau mungkin kita takkan jumpa jalan keluar sampai bila-bila!” Ujar Aisy membuat kesimpulan.
Qartal terpempan. Dia menggelengkan kepala. Pantas dia terus bingkas bangun dan meninjau kawasan sekitar dengan pistol yang kemas di tangan. Dia tidak akan sesekali berputus asa. Berpantang maut sebelum ajal. Itulah prinsipnya.
“Tak! Aku yakin kita boleh keluar daripada tempat ni. Kau fikirlah sesuatu!” Julat suara Qartal sedikit meninggi. Kepalanya naik kusut memikirkan perkara ini. Perkara yang tak dapat dilihat dengan mata kasar agak rumit untuk diselesaikan.
“Aku tak tahu!” Balas Aisy turut meninggi. Dia mundar-mandir dengan riak keresahan terpamer jelas di wajahnya. Inilah kali pertama dia menghadapi situasi tegang seperti ini.
“Allah…Allah…Allah…” Terkumat-kamit bibir Aisy menyebut kalimah Allah sambil mundar-mandir menenangkan otaknya yang kusut.
“Ya Allah, berikan petunjuk pada kami. Sesungguh Kau Maha Mengetahui apa yang kami tak ketahui. Kau Penguasa Alam, Pemilik langit dan bumi. Tunjukkan kami jalan keluar.” Doa Aisy tidak putus-putus. Dia meraup wajahnya.
Qartal turut sama mundar-mandir. Tipu jika dia katakan dia tidak takut. Sekuat apa pun dia, jika lawannya bukan dalam kalangan manusia, dia tetap tidak mampu untuk berlawan.
“Hah! Hanya ada satu cara!” Ucap Aisy tiba-tiba.
“Apa dia?” Soal Qartal mula tidak sabar. Dia menghampiri Aisy. Wajah itu ditenung lama. Mengharapkan jawapan.
“Azan!” Balas Aisy bersungguh.
“Azan?” Qartal tayang muka pelik. Sedangkan Aisy sudah mengangguk laju.
“Buat apa nak azan? Kita bukan nak solat pun sekarang.” Tambahnya lagi.
“Azan bukan cuma untuk solat semata-mata tapi dalam saat genting macam ni, dengan izin Allah, azan boleh bukakan jalan untuk kita jumpa jalan keluar. Kita cuba dan letakkan harapan pada Allah semata-mata. Setuju?” Aisy meluahkan pendapat.
Qartal tidak dapat berkata tidak. Mungkin ini boleh dijadikan satu usaha untuk mereka melepaskan diri daripada ‘permainan’ yang diciptakan oleh alam.
“Siapa yang nak azan?” Soal Qartal seperti orang bodoh.
Aisy melongo. Dia menepuk dahinya sendiri.
“Kau lelaki. Kaulah yang azan. Kau tahu tak nak azan macam mana?”
Senyap. Qartal hanya mengalihkan bola matanya ke tempat lain.
Aisy mengeluh. Sikap mendiamkan diri Qartal sudah menjelaskan segalanya.
“Okey tak apa. Aku sebutkan tapi kau kena laungkan. Kau pernah dengar orang azan kan?” Soal Aisy lagi. Dia perlu mengambil sikap bertenang jika keadaan genting seperti ini. Sikap kelam kabut akan menyukarkan lagi usaha mereka.
Qartal menganggukkan kepala tanda pernah mendengar laungan azan.
“Okey kita mulakan sekarang. Kau dengar elok-elok nanti kau laung je apa yang aku sebut.” Ucap Aisy. Dia anggukkan kepala tanda memberi isyarat pada Qartal.
Qartal sudah bersiap sedia. Dia berdeham. Dia mendengar teliti laungan azan yang diajarkan oleh Aisy. Gadis itu tampak begitu tenang dalam mengajarnya. Kemudian Qartal mengulang kembali bait-bait azan yang diajarkan oleh Aisy.
Aisy terpaku seketika mendengar laungan azan yang dilafazkan oleh Qartal. Walaupun suara lelaki itu garau namun laungan azan itu persis seorang yang sudah mahir mengalunkan azan. Merdu dan menyentuh hati.
Aisy tersedar apabila dia merasakan suasana di sekelilingnya berubah. Angin yang pada mulanya bertiup lembut kini bertukar garang. Sewaktu Qartal melaungkan bait yang terakhir, suasana mula bertukar dingin. Serentak bulu roma Aisy merinding. Jantungnya berdegup laju.
Lalu, dia memejamkan mata. Ayatul Kursi dan surah tiga kul dibaca berulang-kali sehingga angin yang bertiup kencang kembali reda.
Laa hawla wa laa quwwata illa billah”…” Ucap Aisy perlahan kemudian membuka mata.
Dia menarik nafas lega apabila keadaan kembali seperti biasa. Tiada lagi angin kencang malah cahaya matahari semakin terik di atas kepala.
“Kau rasa semua dah okey ke?” Soal Qartal sambil matanya meliar ke kiri dan kanan.
“Insya-Allah. Selagi kita letak sepenuhnya pergantungan pada Allah, selagi itulah kita akan selamat. Jomlah kita gerak.” Ajak Aisy dengan senyuman nipis terukir di bibir.
Qartal mengangguk dan meneruskan perjalanan. Syukur kerana perjalanan mereka tidak lagi diganggu dengan perkara pelik. Dia memandang Aisy daripada belakang. Ternyata gadis itu mempunyai bukan gadis sebarangan. Qartal kagum dalam diam dengan ilmu agama yang dimiliki oleh Aisy.
“Kau ni ustazah ke?” Soal Qartal tiba-tiba. Dia memintas perjalanan Aisy apabila mereka terpaksa mendaki tebing tinggi. Qartal menghulurkan tangan untuk membantu.
Aisy memandang sepi huluran daripada Qartal. Dia lebih rela berpaut pada batang-batang pokok daripada menyambut huluran tangan daripada Qartal.
Qartal menjongketkan bahu dan menjatuhkan tangannya. Perjalanan diteruskan. Aisy hanya mengikut langkah Qartal dari belakang.
“Kau tak jawab lagi soalan aku. Kau ni ustazah ke?” Soal Qartal mengulang kembali soalannya sambil memalingkan wajahnya ke belakang.
“Kenapa kau tanya aku macam tu? Aku nampak macam ustazah ke?” Soalan dibalas soalan.
Qartal menjuihkan bibirnya.
“Entahlah. Daripada kau baca doa, bercerita dan beri nasihat nampak macam kau ni ustazah.” Jawab Qartal selamba. Tangannya lincah mencantas pokok-pokok kecil yang mengganggu laluannya.
Aisy ketawa kecil.
“Tak semestinya pandai baca doa, bagi nasihat tu ustazah. Itu tugas kita sebagai manusia. Kalau memberi nasihat dan baca doa tu tertakluk pada ustazah atau ustaz je, ramailah yang jadi jahat dalam dunia ni.” Ucap Aisy bersahaja.
Qartal diam. Dia menghentikan langkah seketika dan berpaling menghadap Aisy.
“Tapi kenapa kau lain daripada bapak kau, hah? Aku tak percaya yang King ada anak alim macam kau. Aku rasa lepas ni kau kena nasihat sikit bapak kau tu…”
Aisy tayang muka bosan bila soal Tuan Zabir diutarakan. Dia berpaling ke tempat lain seketika sebelum memandang Qartal tetapi matanya terpaku pada sesuatu yang berada di belakang Qartal. Matanya membulat besar.
“Babi!” Ucap Aisy dengan suara tertahan-tahan.
Qartal mengecilkan kelopak matanya. Cuba mengamati perkataan yang terbit daripada mulut Aisy.
“Kau cakap apa?” Soalnya inginkan kepastian.
“Babi!” Suara Aisy tenggelam timbul.
“Apa? Kau cakap aku…?” Qartal tidak dapat menghabiskan ayatnya. Telinganya berdesing. Darahnya menyirap.
Aisy menggelengkan kepala dengan laju. Dia memuncungkan bibirnya ke belakang dengan dahi yang berpeluh. Seekor khinzir hutan sedang merenung tajam ke arah mereka berdua seolah-olah ingin ditelan mereka hidup-hidup.
 Aisy mula cuak. Dia menelan air liur yang tiba-tiba rasa berpasir. Dia memberi isyarat mata pada Qartal supaya memusingkan kepalanya ke belakang. Namun lelaki itu masih tidak memahami bahasa tubuhnya. Aisy mengeluh.
“Pandang belakang!” Arah Aisy sambil mengancingkan gigi.
Dahi Qartal berpaling. Namun, dia akur. Perlahan-lahan dia memusingkan kepalanya ke belakang. Serentak dengan itu mata Qartal terbeliak. Bala apa lagi ni? Jerit hatinya.
Di hadapannya kini terdapat seekor khinzir hutan sebesar anak lembu sedang merenung ke arah mereka dengan cukup tajam. Taring binatang itu yang melekuk membuatkan Qartal kecut perut. Dia menelan air liur. Binatang berhidung pelik itu kelihatan sedang mengais-ngais tanah. Qartal mengetap bibir. Ini bahaya!
“Kita nak buat apa ni?” Soal Aisy apabila Qartal hanya kaku.
Qartal berpaling semula pada Aisy.
“Tunggu apa lagi? Lariii!”

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.