Tetamu Rindu

Thursday 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT (BAB 6)






Tahun 2016, Australia…
KEINDAHAN TASIK buatan yang terbentang di hadapan mata begitu menenangkan. Kelihatan beberapa ekor burung terbang rendah sebelum hinggap di atas tanah berhampiran dengan tasik. Tidak jauh dari situ, kelihatan seorang gadis sedang duduk di bawah pokok sambil memerhatikan panorama tasik yang begitu mendamaikan.
Hajar membetulkan tudungnya yang ditiup angin. Udara yang sejuk membuatkan Hajar membetulkan baju sejuknya beberapa kali. Di sisinya pula terdapat sebuah diari berwarna merah dan sekeping gambar yang sentiasa menemani walau ke mana saja dia pergi.
Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum menghembuskannya dengan perlahan. Hari ini genap empat tahun dia berada di bumi orang. Perasaan rindu terhadap kampung halaman kian mencengkam.
Hajar mencapai sekeping gambar keluarga yang sentiasa berada dalam begnya. Dia merenung lama gambar tersebut. Gambar wajah tua milik ayahnya dielus lembut.
“Ayah, Hajar rindukan ayah. Hajar harap ayah sihat selalu…” Desis Hajar perlahan. Dia termenung sejenak mengingatkan keluarganya di kampung. Satu persatu wajah-wajah insan tersayang bermain di ruang mata sehingga menjemput segaris senyuman di bibir Hajar.
“Hari ni Hajar belanja abang, jadi abang kena tunaikan janji abang kat Hajar.” Ucap Hajar sambil memandang wajah Zaidi dengan penuh pengharapan.
Zaidi menjeling sejenak pada Hajar sebelum dia kembali menatap pisang goreng yang berada di hadapannya. Sekeping pisang goreng dicapai lalu dicicah dengan sambal kicap sebelum pisang goreng tersebut disuapkan ke mulutnya dengan riak yang sungguh berselera.
Hmmm..sedapnya… Hajar oderlah lagi untuk abang.” Ucap Zaidi tanpa membalas kata-kata Hajar. Dia tersengih apabila melihat wajah Hajar yang cemberut.
“Abang! Abang dengar tak apa yang Hajar cakapkan ni?” Soal Hajar mula membentak. Dia menarik pinggan yang berisi pisang goreng yang berada di hadapan Zaidi.
“Hajar cakap apa tadi? Abang kurang dengar. Syok betul makan pisang goreng ni.” Usik Zaidi lagi. Dia suka melihat wajah Hajar yang merona merah menahan geram.
“Abang janji nak tolong Hajar pujuk ayah supaya benarkan Hajar belajar kat Australia. Abang cakap kalau Hajar belanja abang pisang goreng, abang sanggup tolong Hajar.” Terang Hajar. Dia menggoncang lengan abangnya dia kuat.
Zaidi cuma bersikap selamba.
“Bila abang janji? Abang tak janji apa-apa pun.” Ujar Zaidi lagi sekadar mengusik adiknya.
“Abang! Malaslah layan abang ni! Bak balik pisang goreng Hajar!” Bentak Hajar sambil merampas pisang goreng yang sedang dipegang oleh Zaidi.
Zaidi ketawa lepas. Dia merenung wajah Hajar yang kelihatan tidak berpuas hati.
“Eleh, merajuk konon. Nanti kat luar negara tu tak ada pisang goreng dengan cili kicap macam ni tau. Nak pergi jugak ke?” Soal Zaidi memancing minat Hajar untuk bersuara.
Hajar menoleh. Dia menarik muka tidak puas hati.
“Huh, abang ni sama macam ayah suka cari beribu alasan supaya Hajar tak belajar kat luar negara. Menyampah tau!” Ucap Hajar masih dalam rajuknya. Dia memeluk tubuh dan memalingkan wajahnya ke tempat lain.
Zaidi hanya tersenyum kelat. Dia tahu adiknya ini bercita-cita tinggi tapi jauh di sudut hatinya dia masih bimbangkan Hajar. Dalam usia yang masih mentah, sukar untuk dia lepaskan Hajar belajar di luar negara. Siapa yang akan jaga satu-satu adik perempuan yang dia ada di sana nanti? Itu yang membuatkan Zaidi berat untuk bersetuju dengan Hajar.
“Universiti kat Malaysia pun bagus-bagus belaka. Ada yang diiktiraf daripada universiti luar negara. Malah, ada pelajar Malaysia yang dapat menempa nama kat persada antarabangsa walaupun tak belajar kat luar negara.” Bidas Zaidi bernas.
Makin panjang mulut Hajar. Dia tidak suka apabila Zaidi seolah-olah memperlekehkan cita-citanya untuk belajar di Australia.
“Hajar tahu, bang. Hajar tahu universiti Malaysia ada yang bagus-bagus, cuma Hajar nak cari pengalaman merantau kat tempat orang. Hajar cuba nak berdikari. Mana tahu kalau-kalau Hajar berjaya kat sana, Hajar boleh gunakan ilmu yang Hajar belajar tu kat Malaysia pulak. Lagipun, sebagai manusia kita memang dituntut untuk menuntut ilmu sampai ke negeri China. Tapi Hajar tak nak pergi China, Hajar nak belajar kat Australia je.” Jawab Hajar petah. Sempat lagi dia melebarkan sengihan pada Zaidi.
Zaidi menahan senyum. Dia berpura-pura tidak dengar dengan kata-kata Hajar. Dia inginkan alasan yang kukuh mengapa Hajar begitu beria-ria ingin belajar di Australia.
“Abang! Abang dengar tak ni? Hajar tahu keputusan ni memang keputusan yang sukar untuk Hajar buat. Tapi Hajar rasa inilah peluang yang terbaik untuk Hajar tolong keluarga kita. Lagipun pihak JPA bagi tajaan untuk Hajar. Bukan semua pelajar yang dapat peluang keemasan macam ni. Abang dengan ayah tak perlu keluarkan duit untuk Hajar, Hajar yang akan usahakan sendiri. Cuma Hajar nak abang support Hajar je. Tolong yakinkan ayah supaya bagi kebenaran untuk Hajar belajar kat sana. Hajar janji, Hajar takkan malukan abang dan keluarga kita.” Ucap Hajar sambil mengangkat lima jarinya seolah-olah berikrar.
Zaidi mencebik.
“Yelah tu. Boleh percaya ke adik abang ni?” Soal Zaidi menguji.
Hajar mengangguk laju.
“Kali ni abang boleh percayakan Hajar. Abang boleh pegang janji Hajar. Hajar akan belajar bersungguh-sungguh dan buat abang bangga. Abang lupa ke menuntut ilmu ni kan satu jihad. Jadi Hajar nak juga berjihad.” Jawab Hajar dengan penuh keyakinan.
“Tapi Australia tu jauh, Hajar. Siapa yang nak jaga Hajar kat sana?” Soal Zaidi lagi.
Hajar mengeluh kecil. Dia duduk menghadap Zaidi.
“Kawan Hajar pun ikut sekali. Dia dapat tajaan jugak. Abang tak perlu risau, kalau tak ada sesiapa pun yang nak jaga Hajar, Hajar masih ada Allah. Bukan ke Dia sebaik-baik pelindung?” Hujah Hajar membuatkan Zaidi mati kutu.
Satu keluhan dilepaskan oleh Zaidi. Berdebat dengan Hajar memang tidak akan pernah menang. Adiknya itu memang handal dalam mempengaruhi fikiran orang lain termasuklah dia saat ini.
“Yelah-yelah, Hajar menang.” Jawab Zaidi lalu menarik kembali piring berisi pisang goreng.
Hajar bersorak girang. Dia ketawa kecil.
“Jadi abang akan support Hajar?” Soal Hajar inginkan kepastian.
Zaidi mencemikkan wajah namun tidak lama kemudian dia menganggukkan kepala tanda setuju.

“TAK BOLEH!” Suara Wak Rosli kedengaran tegas. Anak matanya dibiarkan tegak memandang batang pancing tanpa sedikit pun menoleh pada Hajar yang setia berdiri di sisinya.
“Alah, ayah ini ajelah peluang yang Hajar ada untuk timba pengalaman kat negara orang. Bila Hajar dah habis belajar nanti, Hajar baliklah. Tak lama pun ayah, empat tahun je. Jarang-jarang tau orang kampung kita dapat belajar kat luar negara. Ayah tak bangga ke bila orang-orang kampung tahu anak ayah belajar luar negara? Mesti dia orang puji ayah.” Pujuk Hajar.
Dia memandang Zaidi yang sedang menyangkut umpan di mata kail. Lelaki itu hanya mendiamkan diri tanpa sedikit pun menyampuk. Hajar memberi isyarat mata pada Zaidi supaya turut sama menyakinkan ayah mereka.
“Ayah tak pernah halang Hajar belajar tapi Hajar boleh belajar dalam negara je. Luar negara tu entah apa-apa budaya nanti yang Hajar bawak balik. Ayah tetap tak benarkan!” Tegas Wak Rosli tanpa kompromi.
Hajar tersentak. Dia menarik mulut muncung.
“Ayah tak sayang Hajar!” Bentak Hajar tanpa dia sedari. Dia menghentak kaki tanda protes.
Wak Rosli berpaling. Wajah sugul Hajar sudah cukup menceritakan bahawa anak gadisnya itu kecewa. Tetapi apa yang Wak Rosli mampu lakukan? Inilah satu-satu cara untuk dia pastikan Hajar sentiasa berada di sisinya. Dia ingin anaknya selamat di hadapan matanya.
“Sebab ayah sayangkan Hajar, ayah tak benarkan Hajar belajar luar negara. Siapa nak jaga Hajar kat sana? Sakit demam Hajar siapa yang nak tengokkan? Ayah risau Hajar tahu tak?” Tekan Wak Rosli lagi mengharap agar Hajar mengerti keresahan yang membadai hatinya.
“Ayah, Hajar tahu ayah risaukan Hajar. Hajar tahu ayah bimbang tak ada sesiapa yang nak jaga Hajar tapi ayah jangan lupa Hajar masih ada Allah. Ayah sendiri yang pesan pada Hajar, tiada siapa yang dapat menjaga kita sebaik Allah menjaga hamba-Nya. Hajar pegang kata-kata tu, sebab itulah Hajar sanggup pergi sana. Setiap hamba yang keluar menuntut ilmu pasti didoakan dan dijaga oleh para malaikat.” Hujah Hajar lagi.
Wak Rosli terdiam mendengar kata-kata Hajar. Inilah diri Hajar. Dia akan gunakan apa saja cara bagi memastikan Wak Rosli bersetuju dengan kata-katanya.
“Betul tu, ayah. Kalau Hajar belajar kat sana nanti, pihak penaja takkan lepas tangan macam tu je. Mereka akan pastikan pelajar tajaan mereka dapat hak yang selayaknya. Setahu Zaidi, ramai pelajar Malaysia yang belajar kat sana. Orang Malaysia pun ramai yang tinggal kat Australia. Insya-Allah, Hajar akan selamat kat sana.” Sampuk Zaidi setelah agak lama mendiamkan diri.
Wak Rosli berpaling pada Zaidi. Bicara anaknya yang tenang membuatkan hati Wak Rosli mula berbelah bahagi.
Hajar tersenyum manis pada Zaidi. Akhirnya, abangnya bersuara juga.
“Kawan Hajar pun ada juga yang dapat tajaan sama dengan Hajar. Ayah jangan bimbang, Hajar akan jaga diri Hajar dengan baik. Hajar takkan buat perkara yang akan memalukan ayah dan keluarga. Hajar janji!” Ucap Hajar seolah-olah berikrar.
Wak Rosli mengeluh. Anak matanya dibiarkan tertancap pada dada laut yang luas. Dia ingin mencari ketenangan yang mula menghilang dari dalam diri. Haruskah dia mengikut segala kemahuan Hajar? Sanggupkah dia berpisah dengan Hajar selama empat tahun sedangkan selama ini Hajar selalu di hadapan matanya?
“Biasanya kalau pelajar tajaan ni ayah, lepas belajar terus dapat kerja. Jarang orang dapat peluang macam ni. Masa depan Hajar insya-Allah akan terjamin nanti. Kita pun boleh tumpang senang.” Zaidi bersuara lagi. Memujuk dalam diam.
Hajar mengangguk pantas. Mengiyakan kata-kata abangnya.
“Kos apa yang universiti tu tawarkan kat Hajar?” Soal Wak Rosli.
“Kejuruteraan Petroleum, ayah.” Jawab Hajar penuh yakin.
“Universiti mana?”
“University Of Melbourne, Australia.” Jawab Hajar lagi. Dia melihat reaksi Wak Rosli semakin positif. Dia memandang Zaidi. Dia memberi isyarat mata pada abangnya itu.
‘Tunggu sekejap.’ Zaidi membuat isyarat sambil mengangkat tangannya. Apabila Wak Rosli berpaling pada mereka berdua, cepat-cepat Zaidi menjatuhkan tangannya. Riak wajah Wak Rosli yang serius sukar untuk ditebak oleh mereka berdua.
“Bila nak pergi?” Soal Wak Rosli akhrinya.
Hajar terpaku. Dia berpandangan dengan Zaidi sebelum bibirnya mengukir senyuman manis. Zaidi turut tersenyum.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.