Tetamu Rindu

Thursday 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT ( BAB 9 )






Tahun 2011…
HAJAR MEMEGANG kejap lengan Mak Nab. Dia merengek manja. Apabila Mak Nab memusingkan tubuhnya ke kiri, dia ikut. Apabila Mak Nab mengalihkan badannya ke kanan, Hajar turut ikut. Saat ayahnya keluar bekerja, inilah waktu yang baik untuk dia memujuk ibunya itu.
“Bolehlah, mak. Hajar tak mintak banyak pun. Satu ni je yang Hajar nak. Hajar nak kerja mak tak bagi. Kalau tak, Hajar takkan menyusahkan mak.” Ujar Hajar lembut memujuk.
Mak Nab tidak tenang hendak mengupas bawang. Rengekan Hajar merimaskan dirinya yang sememangnya sedang kepanasan memasak di dapur.
“Kamu tu belajar lagi. Tahun ni SPM, buat apa nak nak kerja? Nak kena parang dengan bapak kamu tu kalau dia tahu kamu curi-curi kerja?” Soal Mak Nab sambil menjengilkan matanya. Memberi amaran pada Hajar.
“Hah, sebab itulah Hajar nak mintak tolong mak kali ni. Mak tak payah belikan motor untuk Hajar pun cukuplah mak bagi Hajar duit untuk buat lesen motor. Lesen motor sekarang tak adalah mahal sangat pun, mak. Kerajaan dah bagi diskaun.” Balas Hajar masih cuba memujuk.
Mak Nab mengetap bibir. Sedikit sebanyak dia kalah juga dengan permintaan Hajar. Anak perempuan cuma satu, seboleh mungkin dia ingin turutkan kemahuan Hajar meskipun kadang kala kemahuan itu bertentangan dengan kehendaknya sendiri.
“Kalau ayah kamu tahu ni, naya ni Hajar!” Ujar Mak Nab semakin laju tangannya mengupas bawang. Wajah Hajar tidak dipandang.
“Hajar bukan nak buat jahat pun, mak. Hajar nak bawak motor dengan cara yang sah je. Nanti bila Hajar dah ada lesen dan pandai motor, senanglah Hajar nak pergi kelas, nak keluar dengan kawan-kawan, nak pergi kedai beli barang. Mak juga senang nanti. Hajar boleh bawak mak pergi pekan.” Hajar mula bermain politik.
Mak Nab mengetap bibir. Bicara Hajar walaupun tampak memaksa namun ada betulnya juga. Bila Hajar ada lesen, senanglah jika ada kecemasan di rumahnya nanti. Bolehlah Hajar membantu jika diperlukan.
“Mak tak sedap hati, ni menipu ayah namanya. Kalau ayah tahu, kau dengan mak memang tak selamat.” Ujar Mak Nab meluahkan rasa gusar di hatinya.
Hajar tersenyum kelat. Dia sudah dapat membayangkan kemarahan ayahnya tetapi Hajar yakin jika Wak Rosli tahu sekali pun, kemarahan lelaki itu sebentar cuma kerana kasih sayang ayahnya itu melebihi segalanya.
“Bukan Hajar tipu, mak. Hajar cuma rahsiakan aje dulu. Nanti bila Hajar dah sedia, Hajar bagitahulah. Mak jangan risau, apa pun yang berlaku, Hajar akan tanggung sendiri.” Janji Hajar sambil mengerdipkan matanya pada Mak Nab yang sedang menatap wajahnya.
Mak Nab mengeluh berat. Sukar hatinya untuk setuju akan permintaan Hajar namun dia terpaksa akur jika itu mampu menggembirakan satu-satunya anak perempuan yang dia ada.
“Hajar kena janji dengan mak, kalau mak izinkan Hajar bawak motor, Hajar kena bawak elok-elok jangan sampai eksiden. Boleh? Janji dengan mak?” Pinta Mak Nab dengan penuh pengharapan.
Hajar mengangguk laju. Pantas, dia menghulurkan jari kelingkingnya pada Mak Nab. Wanita tua itu berkerut dahinya.
“Nak buat apa ni?” Soal Mak Nab lurus.
Hajar ketawa kecil. Jari kelingkingnya menyauk jari kelingking Mak Nab.
“Hajar janji akan jaga diri Hajar elok-elok. Hajar cuma perlukan restu mak aje.” Ujar Hajar sebelum menghadiahkan satu ciuman kecil di pipi Mak Nab.
Mak Nab tersenyum hambar. Dia hanya membuang pandang pada Hajar yang sudah bingkas bangun. Tudung ekspres disarungkan ke kepalanya.
“Tu nak pergi mana pulak tu?” Soal Mak Nab mula pening kepala dengan sikap Hajar yang satu ini. Betullah kata orang, menjaga anak perempuan seorang lebih sukar daripada menjaga sekandang lembu. Baru sekarang Mak Nab merasakannya. Pergerakkan Hajar sukar dikawal apatah lagi ingin dikekang. Anak gadisnya aktif sangat orangnya.
“Ayah tak ada kat rumah kan? Hajar nak keluar sekejap.” Ujar Hajar sambil tersengih.
“Nak keluar pergi mana pulak? Pantang ayah tak ada kat rumah, ada je kamu nak balun motor buruk ayah kamu tu.” Bebel Mak Nab geram dengan sikap anak gadisnya yang satu ini.
Hajar mengenyitkan mata dengan nakal.
“Buruk tak apa, mak. Janji laju. Tu yang penting.” Balas Hajar bersahaja. Dia melarikan diri tanpa sempat Mak Nab membalas. Dia yakin, semakin lama dia menunggu di situ, semakin panjang bebelan Mak Nab nanti. Jadi, lebih baik dia cabut lari.
“Hisy, budak bertuah ni! Kita cakap ada saja yang dia nak bantah. Bertuah betul!” Omel Mak Nab lagi. Lama-lama begini, boleh naik darahnya secara mendadak. Hajar, Hajar, apa sajalah perangai kamu ni. Perangai tak macam perangai perempuan!

HAJAR MENJERIT kegirangan apabila akhirnya dia dapat juga menunggang motosikal milik ayahnya ini. Satu kepuasan bagi Hajar apabila dapat menunggang dengan laju di sekeliling kampung. Mujur ada abangnya, Zaidi yang sudi mengajar dia cara-cara menunggang, jika tidak pasti sekarang ini dia tidak dapat merasa betapa seronoknya menunggang motor. Namun, dalam rasa seronok itu, terbit juga rasa bimbang jikalau ayahnya tahu dia curi-curi menunggang. Pasti haru-biru jadinya nanti.
Yuhuuuuu!” Jerit Hajar cuba mengatasi bunyi angin yang kuat. Dia menambah kelajuan.
Buat seketika Hajar memandang ke langit biru. Beberapa ekor burung layang-layang sedang terbang bebas di udara. Hajar ingin jadi seperti burung itu. Lantas, dia memulas throttle  dengan lebih kuat, berniat untuk menyaingi burung yang terbang di awan.
“Hajar! Jom lumba!” Tegur satu suara menyebabkan Hajar berpaling. Dia memperlahankan motor. Dia menayang muka bosan apabil melihat Asiah anak Pak Mail kampung sebelah cuba membuat provokasi.
“Kau lumbalah sorang-sorang, aku nak menikmati keindahan alam ni!” Laung Hajar dengan malas.
Asiah mencebik. Tipah yang berada di belakangnya turut senyum mengejek.
“Cakaplah kau takut! Maklumlah anak bapak. Takut bapak marah bawak motor!” Perli Asiah sambil ketawa berdekah-dekah. Tipah turut ketawa.
Hajar cuba tidak mengambil pusing tetapi kata-kata Asiah seolah-olah mencabarnya yang sesungguhnya pantang dicabar.
“Pantang aku sebut bapak-bapak ni!” Gumam Hajar pada diri sendiri. Dia mengetap bibir. Geram.
“Aku tak kacau kau kan? Kau janganlah sibuk hal aku. Suka hati akulah anak bapak ke anak mak ke. Susah apa kau?” Hajar mula berang. Dia cuba melajukan motornya tetapi Asiah masih lagi mengejarnya. Kini, gadis itu berada betul-betul di sebelahnya.
“Hoi, tak payah nak berlagak jadi Valentino Rossi kalau kau tu pengecut macam pondan!” Asiah meneruskan provokasi. Seronok juga dia melihat wajah Hajar yang merah menahan marah.
Hajar mendengus kasar. Tajam dia merenung wajah Asiah yang ketawa mengejek sebelum dia kembali memandang ke hadapan. Perempuan macam ni kena ajar sikit, biar dia tahu tinggi ke rendah. Desis hati Hajar.
Lalu, dia memulas minyak dengan kuat. Dia akan sahut cabaran Asiah. Dia akan buktikan Asiah yang dia bukan selemah yang gadis itu sangkakan.
“Sekarang kita tengok siapa Valentino Rossi, siapa Casey Stoner!” Laung Hajar kuat.
Dia menambah kelajuan. Menderum bunyi enjin motor Honda Cub C70 milik ayahnya. Asiah tersenyum sinis. Dia turut menambah kelajuan. Dia tidak akan biarkan Hajar menang. Lalu, terjadilah aksi kejar mengejar di antara Hajar dan Asiah.
Hajar ketawa kuat apabila Asiah tidak berjaya mengejarnya. Dia terasa puas apabila memperoleh kemenangan. Dia memandang ke belakang seketika kemudian menunjukkan isyarat ibu jari terbalik pada Asiah. Dia ketawa berdekah-dekah. Namun, saat dia berpaling ke hadapan semula, kelihatan sekawan lembut sedang melintas jalan dalam jarak 500 meter.
Hajar mula kaget. Motornya semakin laju. Kelam kabut dia cuba menurunkan kelajuan. Brek ditekan perlahan-lahan. Namun, motornya tetap meluncur laju. Hajar mula kelam-kabut.
“Arghhhhh!” Jeritan Hajar bergema.

MATAHARI MASIH lagi berdiri tegak di atas kepala meskipun hari sudah berganjak ke petang. Sesekali Wak Rosli menyeka peluh yang merembes di dahi. Rasa penat makin menjalar ke segenap badan namun dia tetap meneruskan langkah untuk mencari tin dan botol kosong yang boleh dijual.
Seketika, Wak Rosli memandang dua guni yang berada di tangannya. Dia tersenyum nipis. Kedua-dua guni ini hampir penuh dengan hasil kutipan hari ini. Selain mengambil upah memanjat kelapa, membersihkan kebun kelapa dan mengupas kelapa, Wak Rosli juga terpaksa mencari tin minuman dan botol-botol kosong untuk dijual. Ini sajalah cara untuk mencari pendapatan tambahan untuk menyara keluarganya. Di waktu hujung minggu pula, Wak Rosli akan ke sungai atau pun ke laut untuk memancing ikan. Ikan-ikan yang dapat itu dijual di kedai Pak Ali.
Anak-anaknya yang semakin membesar menuntut Wak Rosli bekerja dengan lebih keras. Hajar dan Iqram, masing-masing akan menghadapi peperiksaan terbesar tahun ini, jadi Wak Rosli harus membanting tulang untuk menyediakan kelengkapan persekolahan mereka. Nasibnya baik apabila Zaidi sanggup mengorbankan masa remajanya untuk bekerja membantunya. Walaupun kerja sebagai kerani biasa, tetapi gaji anak sulungnya itu sudah cukup untuk menambah pendapatan keluarga mereka.
Wak Rosli menghembuskan nafas pendek. Dia memandang sinar mentari yang masih tegak di kepala. Rasa penat sudah mula menjalar ke segenap badan memaksa Wak Rosli untuk berhenti dan meneguk air buat seketika. Setelah membasahkan tekak, Wak Rosli meneruskan langkahnya ke hadapan.
Tiba-tiba, ketenangan Wak Rosli diganggu dengan bunyi bising. Kelihatan beberapa buah motosikal dan kereta meluru laju ke hadapan. Dahi Wak Rosli mula berkedut seribu.
“Apa pulak tu?” Soal Wak Rosli sambil menjengukkan kepalanya ke hadapan.
Dia melihat sekumpulan orang kampung mengerumuni sesuatu. Di bahu jalan sebelah kanan, kelihatan sebuah bas kilang tersadai kaku di situ. Mata Wak Rosli teralih pada sebuah motosikal Honda Cub C70 yang kelihatan remuk dialih oleh orang kampung. Wak Rosli tergamam. Motor tu! Motor itu mirip motosikalnya yang berada di rumah!
Hati Wak Rosli mula berdegup kencang. Jiwanya merusuh. Di fikirannya mula terbayangkan perkara yang bukan-bukan. Janganlah apa yang berada di fikirannya ini menjadi kenyataan. Wak Rosli dilanda debar.
Laju kaki Wak Rosli diayunkan ke tempat kemalangan. Serentak dengan itu dia menahan seorang lelaki yang menaiki motor. Wajah lelaki itu agak asing di pandangan Wak Rosli. Mungkin bukan penduduk kampung ini. Fikirnya.
“Adik, apa yang berlaku kat depan tu?” Soal Wak Rosli dengan riak tegang tergambar jelas di wajah tuanya.
Lelaki muda itu menghentikan motosikalnya. Wajah Wak Rosli dipandang sayu.
“Ada kemalangan, bang. Motor langgar bas kilang.” Jawab lelaki itu perlahan.
“Langgar bas kilang? Lelaki ke perempuan yang bawak motor tu?” Soal Wak Rosli berdebar-debar. Dia harus tahu. Harus!
“Perempuan. Muda lagi. Dalam belasan tahun macam tu. Saya rasa arwah tu sekolah lagi. Tapi dah ajal nak buat macam mana.” Keluh lelaki itu penuh keinsafan.
Wak Rosli sedikit terpempan. Perempuan? Masih bersekolah? Jangan-jangan…
“Arwah?” Soalnya masih lagi kabur dengan cerita lelaki itu.
“Haah, budak tu meninggal kat tempat kejadian. Tu polis dah nak angkat mayat.” Ujar lelaki itu sambil memuncungkan mulut ke belakang.
Wak Rosli mula cemas. Dia bimbang jika gadis remaja yang diceritakan oleh lelaki itu adalah Hajar. Hajar satu-satu anak perempuan yang dia ada. Lantas, Wak Rosli berlari mendapatkan tempat kejadian. Dia cuba mencelah dalam keramaian orang yang berada di tempat kejadian.
Kelihatan dua orang gadis terbaring kaku di atas jalan raya. Seorang gadis sedang terbaring di atas pengusung. Kepalanya berdarah teruk. Manakala, seorang lagi gadis berada di atas pengusung sambil wajahnya ditutupi dengan plastik hitam.
Saat itu, Wak Rosli terasa seperti jantungnya direntap. Dia cuba untuk bertenang. Turun naik dadanya menahan rasa sebak. Tak mungkin! Tak mungkin itu Hajar! Bentak hatinya.
“Haa..Haajj…”
Belum sempat Wak Rosli menyebut sebaris nama itu, plastik hitam yang menutupi tubuh gadis yang meninggal dunia itu terselak ditiup angin menampakkan wajahnya yang sebenar. Wak Rosli yang melihat terus tergamam. Dia kaku tanpa riak.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.