Tetamu Rindu

Thursday 6 October 2016

BISIK PADA LANGIT ( BAB 3 )



 
TERBAHARU OKTOBER 2016

12 tahun kemudian…
“AYAH, HAJAR nak ayam goreng tu.” Ucap Hajar sambil menunjukkan ke arah seketul ayam goreng yang masih bersisa di dalam piring.
Iqram yang mendengar terus menoleh pada Hajar. Dia menayang muka tidak puas hati.
“Mana boleh! Ayam tu Am punya!” Bantah Iqram. Dia cuba mencapai ayam goreng tersebut tetapi dengan pantas tangannya ditampar lembut oleh Wak Rosli yang berada di sebelahnya.
“Cubalah berkongsi sikit dengan kakak kamu tu. Kamu makan aje ikan goreng tu.” Balas Wak Rosli menyebelahi Hajar.
Iqram menarik mulut muncung. Dia menjeling pada Hajar yang tersenyum gembira apabila Wak Rosli meletakkan ayam goreng di dalam pinggannya. Iqram benar-benar rasa tersisih meskipun dia adalah anak bongsu dalam keluarga ini.
“Kak Hajar dah makan ayam goreng tadi. Tu yang Am punya!” Iqram masih lagi tidak berpuas hati.
Pantas, dia cuba merampas balik ayam goreng daripada pinggan Hajar. Dia akan lakukan apa saja untuk mendapatkan haknya balik.
“Ya Allah, budak bertuah ni! Janganlah berebut masa makan! Apa nak jadi dengan kau ni, Am?” Marah Wak Rosli sambil menarik baju Iqram supaya menjauhi Hajar yang sudah pun terjerit-jerit.
Zaidi yang berada di sisi Mak Nab hanya memerhatikan insiden itu. Setiap kali mereka hendak menjamu selera pasti diakhiri dengan perbalahan antara Iqram dan Hajar. Selaku abang dia sudah tidak mampu untuk menasihati. Sekadar pandangan kosong dihadiahkan kerana dia tahu pasti ayahnya akan menyebelahi Hajar tidak kira apa jua yang berlaku.
“Am cuma nak ayam goreng Am je!” Bentak Iqram keras.
“Hajar pun nak ayam goreng jugak!” Hajar turut bersuara. Dia menyembunyikan ayam gorengnya di belakang tubuh.
Wak Rosli menggelengkan kepala melihat dua orang anaknya yang bertelagah. Dia mengalihkan pandangan pada Mak Nab yang kelihatan tenang.
“Nab, ayam goreng dah tak ada ke kat dapur?” Soal Wak Rosli sebolehnya cuba bersikap adil.
Mak Nab mengangkat wajah kemudian menggelengkan kepala.
“Dah habis, bang. Lagipun ayam goreng ni bini si Jali yang bagi. Kita manalah mampu nak makan ayam bang. Dapat makan ikan masin ni pun dah kira rezeki kita hari ni.” Jawab Mak Nab perlahan.
Wak Rosli mengeluh kecil. Dia kembali memandang Iqram dan Hajar silih berganti.
“Am, kau makan ajelah ikan tu. Buat apa nak berebut dengan kakak kau tu. Makan je apa yang ada.” Ujar Wak Rosli lantas kembali menyuapkan nasi ke mulutnya.
Wajah Iqram berubah riak. Keruh. Tampak ingin menangis. Hati kecilnya sedikit terasa dengan layanan Wak Rosli yang sentiasa berpihak pada Hajar sedangkan dia juga anak ayah. Tidak pernah walau sekali pun Wak Rosli mempamerkan kasih sayang pada dirinya jika hendak dibandingkan dengan Hajar, apa yang kakaknya itu minta pasti akan dapat walau pun lambat.
“Ayah memang tak sayangkan Am!” Bentak Iqram lalu duduk berpaling membelakangi Wak Rosli. Turun naik nafasnya menahan perasaan.
“Eh budak ni aku lempang kang!” Marah Wak Rosli lantas mengangkat tangan.
“Abang!” Tegah Mak Nab lalu melindungi tubuh Iqram.
“Abang ni dah kenapa sampai nak pukul-pukul anak ni? Budak ni kecil lagi, bang. Sabarlah sikit. Tahan sikit perangai panas baran abang tu. Abang tak kesian ke kat anak kita ni?” Suara Mak Nab menyedarkan Wak Rosli. Dia menjatuhkan tangan.
Satu keluhan berat dilepaskan. Dia memandang Hajar yang diam tidak terkutik. Wajah anak gadis kesayangannya itu bertukar mendung.
“Itulah yang awak tahu, anak buat salah awak lindung. Anak tinggikan suara dengan dengan saya, awak bela. Macam mana budak tu nak tahu hormat orang tua kalau awak tak bagi saya ajar dia!” Wak Rosli masih tidak mahu mengaku kalah. Dia segera mencuci tangannya. Hilang terus seleranya saat ini. Hanya Zaidi yang masih mengunyah nasi dengan perlahan-lahan.
“Nab tahu abang nak ajar anak kita tapi bukan dengan berkasar macam ni. Am ni baru nak membesar. Dia perlukan kasih sayang abang bukan dengan pukulan. Dia nak abang berikan perhatian yang lebih pada dia. Takkan itu pun abang tak dapat nak bagi.” Ucap Mak Nab lembut.
Dia memeluk tubuh Iqram yang sudah menangis teresak-esak. Timbul simpati dalam hatinya terhadap anaknya yang masih kecil.
“Am cuma nak ayam goreng je. Am bukan nak apa-apa pun…” Rengek Iqram dengan suara yang tenggelam timbul.
Mak Nab menarik nafas panjang dan menghembuskannya perlahan. Dia harus melakukan sesuatu untuk memujuk Iqram. Lantas, dia memandang Hajar yang masih lagi berdiri kaku.
“Hajar, datang kat mak sekejap.” Panggil Mak Nab penuh dengan kelembutan.
Hajar terkebil-kebil. Namun, tidak lama kemudian dia melangkah menghampiri Mak Nab. Dia berdiri setentang dengan Mak Nab yang duduk berlutut.
“Hajar sayang adik tak?” Soal Mak Nab sambil memegang kedua belah bahu Hajar.
Lambat-lambat Hajar menganggukkan kepala.
“Sayang.” Jawabnya sepatah.
Mak Nab tersenyum. Dia mengelus pipi Hajar yang montel.
“Kalau Hajar sayang adik, Hajar kena layan adik dengan baik. Adik pun teringin sangat nak makan ayam goreng. Sama macam Hajar. Apa kata kalau Hajar kongsi sikit ayam goreng tu dengan adik. Biar sama-sama rasa. Boleh?” Soal Mak Nab perlahan.
Wak Rosli hanya memerhatikan telatah Mak Nab yang sedang memujuk kedua-dua anak mereka.
“Yelah-yelah. Am, ambillah sikit ayam goreng ni. Kita kongsi.” Ujar Hajar akhirnya. Dia menghampiri Iqram. Ayam goreng dihulurkan di hadapan wajah Iqram yang masih lagi tersedu-sedan.
Iqram mengangkat muka. Lama dia memandang wajah Hajar sebelum bibirnya mengukir senyuman manis. Dia menyambut huluran tangan Hajar yang memberikan dia separuh ayam goreng.
Mak Nab turut tersenyum melihat kedua anaknya yang sudah berdamai. Dia berpaling pada Wak Rosli yang diam membisu.
“Sepatutnya kita ajar mereka berkongsi bukannya melebihkan salah seorang daripada mereka. Kita kena adil, bang.” Ucap Mak Nab perlahan. Cukup untuk Wak Rosli mendengar.
Wak Rosli mendengus. Tidak suka apabila ditegur sebegitu oleh isterinya. Sebagai seorang ayah dan juga suami, dia tahu apa yang terbaik untuk mendidik anak-anaknya.
“Ayah, ayah cakap nak ajar Hajar naik basikal hari ni.” Suara Hajar kedengaran memecah kesunyian makan tengah hari mereka.
Mak Nab berpaling. Iqram dan Zaidi turut memandang ayahnya.
“Am nak ikut!” Suara Iqram terlebih dahulu kedengaran.
Wak Rosli mula serba salah. Dia memandang wajah anak-anaknya satu persatu. Janji yang dibuat pada Hajar tidak mungkin boleh diingkari, bimbang anaknya itu akan merajuk.
“Yelah-yelah, petang nanti ayah ajar. Zaidi dengan Am pun boleh ikut sekali.” Jawab Wak Rosli akhirnya.
“Yeayyyy!” Mereka menjerit serentak.
Mak Nab berpandangan dengan Wak Rosli. Dia tersenyum lantas mengerdipkan mata. Gembira dengan keputusan yang dibuat oleh suaminya.


HEMBUSAN BAYU petang begitu mendamaikan. Burung-burung yang berterbangan menambahkan lagi ketenangan saat ini. Dari jauh kelihatan Zaidi sedang menerbangkan layang-layang untuk Iqram yang sedang bersorak gembira apabila melihat layang-layang berbentuk burung itu meliuk-lentok ditiup angin di halaman rumah mereka.
“Hajar, hati-hati!” Bunyi suara Wak Rosli memecah kesunyian petang itu.
Sesekali Zaidi dan Iqram menoleh namun hanya seketika. Mereka lebih teruja melihat layang-layang mereka terbang ditiup angin yang menderu.
Hajar terkial-kial cuba mengayuh basikal tua milik ayahnya. Ternyata basikal itu jauh lebih besar jika hendak dibandingkan tubuhnya yang masih kecil. Walaupun agak sukar untuk mengimbangi badan, tetapi Hajar tetap tidak berputus asa. Malah dia rasa cukup seronok apabila secara perlahan-lahan dapat menggerakkan basikal sedikit demi sedikit.
“Ayah, Hajar dah pandai!” Jerit Hajar riang.
Dia mula mengayuh dengan perlahan-lahan sambil Wak Rosli setia memegang para basikal di bahagian belakang. Sesekali Wak Rosli tersenyum gembira melihat anak kesayangannya kelihatan riang. Saat melihat bibir Hajar menguntum senyuman manis, hatinya turut berbunga gembira. Seolah-olah senyuman Hajar adalah pengubat terhadap segala kesedihannya.
“Ayah tahu. Anak ayah ni kan pandai. Cepat belajar.” Balas Wak Rosli kemudian melajukan langkah sambil menolak basikal yang ditunggangi oleh Hajar.
“Nanti bila dah besar, Hajar nak beli motor. Hajar nak bawak sendiri. Mesti seronok!” Ujar Hajar dengan suara terpaksa dikuatkan akibat melawan bunyi angina yang kuat.
Wajah Wak Rosli berubah. Kata-kata Hajar mengundang resah dalam dirinya. Sejujurnya dia tidak mahu Hajar terlibat dalam aktiviti lasak tetapi anak gadisnya ini kelihatan lebih cenderung melakukan kerja-kerja lasak berbanding melakukan kerja-kerja rumah lazimnya dilakukan oleh kanak-kanak perempuan seusianya yang lain.
Apa tidaknya, apabila dia keluar memancing, Hajar pasti ikut. Jika dia pergi memanjat pokok kelapa, pasti akan ada Hajar yang menemani. Pernah suatu hari, Wak Rosli melihat Hajar cuba memanjat pokok kelapa. Sebolehnya dia tidak mahu sikap Hajar itu terbawa-bawa ke alam dewasa kelak.
“Seronok tu memang seronok tapi ayah tak benarkan Hajar bawak motor. Nanti kalau jatuh, sakit.” Balas Wak Rosli setelah agak lama mendiamkan diri.
Hajar terdiam. Dia mencebikkan bibir. Namun, tidak lama kemudian dia melebarkan senyuman apabila dia sudah dapat mengimbangi basikal itu dengan baik.
“Ayah dah boleh lepaskan basikal ni. Hajar dah boleh bawak.” Ucap Hajar cuba melajukan kayuhan.
Wak Rosli serba-salah. Hatinya masih lagi gusar. Walaupun Hajar kelihatan mampu mengimbangi basikal dengan baik tetapi hati tuanya masih tidak percaya.
“Tak boleh! Hajar tak mahir lagi!” Bantah Wak Rosli.
“Alah, Hajar dah boleh bawak. Percayalah. Kalau ayah tak lepas, macam mana Hajar nak tahu Hajar boleh bawak ke tak.” Hajar bersuara. Seakan memujuk.
Wak Rosli mengetap bibir. Kalah apabila mendengar suara Hajar yang lembut memujuk. Tidak dapat tidak akhirnya dia melepaskan pegangan. Dia membiarkan Hajar bebas mengayuh basikal tanpa ada dia yang menolak daripada belakang.
Hajar menjerit kegirangan. Dia meneruskan kayuhan. Daripada perlahan kemudian dia menambahkan kelajuan. Perasaan seronok dan teruja bergabung menjadi satu membuatkan Hajar terleka.
“Jangan laju, Hajar! Hati-hati!” Laung Wak Rosli lalu mengejar Hajar daripada belakang.
Hajar tidak mengendahkan. Sebaliknya dia meneruskan kayuhan. Makin lama makin laju sehingga menyebabkan kayuhan Hajar sedikit sumbang. Senyuman yang tadinya mekar di bibirnya mati dengan sendirinya apabila dia sukar untuk memberhentikan basikal.
“Eh..eh…” Hajar mula cuak apabila basikal itu semakin sukar dikawal.
“Ayah!” Jerit Hajar apabila dia gagal mengawal basikal dengan baik.
Secara tiba-tiba, tayar hadapan basikal tersebut melanggar seketul batu besar menyebabkan basikal tersebut tersadung. Hajar jatuh. Nasibnya agak malang apabila basikal itu jatuh menghempanya!
“Hajar!” Jerit Wak Rosli kuat.
Dia tergamam. Seakan seperti tercabut nyawanya apabila melihat keadaan Hajar yang mengerang kesakitan. Anak matanya meliar pada kaki Hajar yang dihempap oleh basikal. Mata Wak Rosli terbeliak melihat cecair merah yang membasahi kaki seluar Hajar. Darah!
“Hajar!” Laung Wak Rosli seraya menerpa ke arah Hajar. Basikal yang menghempap tubuh anak kesayangannya itu ditolak ke tepi. Tangisan Hajar begitu meruntun hatinya.
“Sakit, ayah!” Rengek Hajar sambil memeluk tengkuk Wak Rosli dengan kemas. Dia menangis kuat.
“Jangan risau, ayah ada. Ayah takkan biarkan anak ayah sakit. Jangan menangis. Sikit je ni. Hajar kuat kan?” Pujuk Wak Rosli sambil mengelap air mata Hajar yang mengalir di pipi.
Hajar tersedu-sedan. Dia menyembam wajahnya di dada Wak Rosli. Meminjam kekuatan daripada si ayah. Dia rasa selamat apabila Wak Rosli mengusap lembut kepalanya. Terasa kesakitan di kakinya hilang sendiri.
“Mari ayah tengokkan kaki tu.” Pinta Wak Rosli lalu menarik kaki Hajar. Dia menggigit bibir apabila melihat lutut Hajar yang berdarah. Hatinya sedikit tersiat melihat luka yang tercipta di lutut Hajar. Tidak ada ayah yang sanggup melihat satu-satu anak perempuannya terluka begitu juga dengan Wak Rosli.
Lalu, Wak Rosli mengoyakkan t-shirt yang dipakainya kemudian cebisan kain itu dibalutkan pada lutut Hajar yang berdarah.
“Jom balik. Nanti ayah letakkan ubat.” Ajak Wak Rosli lalu mendukung tubuh kecil milik Hajar.
“Zaidi! Am! Jom balik!” Laung Wak Rosli pada kedua anak lelakinya.
Zaidi dan Iqram berlari-lari anak ke arah Wak Rosli dan Hajar. Tanpa arahan daripada Wak Rosli, Zaidi terus mengangkat basikal lalu menyorong mengikuti langkah Wak Rosli.
Wak Rosli mengerling ke belakang. Cuba mengintai keadaan Hajar berada di atas belakangnya. Dia menarik nafas lega apabila tangisan Hajar sudah tidak kedengaran.
‘Tiada apa yang ayah dapat lakukan pada Hajar selain melindungi Hajar daripada segala bahaya. Jika kesakitan ini dapat dipindahkan pada ayah, tentu ayah akan sanggup tanggung segala kesakitan agar Hajar terus tersenyum. Tapi apakan daya, Hajar juga perlu merasakan kesakitan kerana hanya kesakitan yang akan mematangkan Hajar dalam kehidupan. Tanpa kesakitan, hidup umpama patung yang tidak bernyawa.’ Detik hati Wak Rosli lalu meneruskan langkah.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.