Tetamu Rindu

Wednesday 19 September 2018

CAGARAN CINTA ( BAB 2 )



NASI yang separuh bersisa hanya dikuis-kuis oleh Sufi. Seleranya mati apabila otaknya asyik memikirkan tentang Hamsyari yang tiada khabar berita. Hampir seminggu lelaki itu menghilangkan diri. Apa sebenarnya yang terjadi kepada Hamsyari? Soal hatinya. Resah.
“Kenapa tak habiskan nasi tu, Sufi?” Encik Latif bersuara sambil merenung wajah Sufi yang kelihatan keruh.
Sufi mengukir senyuman hambar. Perlahan-lahan, dia menyuapkan nasi ke dalam mulut dalam keadaan terpaksa.
“Sufi tak berapa selera, abah.” Ucap Sufi perlahan.
Ariana mencebikkan bibir. Dia tahu apa yang berada dalam fikiran Sufi saat ini cuma dia tidak mahu mengambil pusing.
“Kamu tak sihat ke?” Giliran Puan Samihah pula yang bersuara. Semua mata memandang Sufi.
“Sihat, ibu. Cuma Sufi fikir tentang kawan sekerja Sufi. Dah seminggu dia tak datang. Biasanya tak adalah sampai macam ni.” Terang Sufi sambil menghembuskan nafas dengan perlahan.
“Siapa kawan kamu tu? Ibu kenal ke?”
Sufi memandang Ariana yang kelihatan selamba.
“Hamsyari, ibu. Pernah dia datang sekali dekat sini hantar beg Sufi yang tertinggal kat kedai.” Jawab Sufi cuba memancing reaksi Ariana. Tepat jangkaannya, Ariana menghentikan suapan.
“Hamsyari yang selalu keluar dengan Ana tu ke?” Soal ibunya kembali memandang Ariana yang duduk bersebelahan dengannya.
Ariana tersentak. Tiga pasang mata tegak merenung wajahnya memaksa dia untuk membuka mulut.
“Dululah, ibu. Dia kawan baik kakak jadi Ana tumpanglah berkawan sekali. Sekarang Ana mana ada keluar dengan dia dah. Ana bukannya ada apa-apa hubungan dia pun.” Jawab Ariana. Dia mengalih pandangan ke tempat lain.
“Dia ada call Ana tak?” Soal Sufi.
Ariana menggeleng pantas.
“Tak ada. Aku dah tukar nombor. Akak risau sangat pasal dia ni kenapa? Sah-sahlah dia dah berhenti kerja. Buat apa akak nak ambil tahu lagi?” Ariana menjeling.
“Mestilah akak risau, dia kerja sekali dengan akak. Lagipun selama ni dia baik sangat dengan akak. Sebelum ni tak pernah dia buat perangai macam ni tau. Dia tu seorang yang bertanggungjawab. Mustahil dia buat perangai macam ni.” Ujar Sufi membela Hamsyari.
Ariana mencebik. Pandangannya dialihkan ke tempat lain. Dia tidak selesa apabila soal lelaki bernama Hamsyari dibangkitkan.
“Sudahlah, akak. Bosan aku cakap pasal kawan akak tu. Temuduga yang kau pergi hari tu macam mana? Dah dapat jawapan?” Soal Ariana mengubah topik perbualan. Dia meneguk air sirap yang terhidang di hadapan mata.
Sufi mengeluh kecil. Terkilan dengan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh Ariana.
“Alhamdulillah, dapat dah. Tapi kerja tu bukan kat sini tapi kat Kelantan.”
“Kat Kelantan? Jauhnya. Kenapa tak minta kat sini je?” Soal Encik Latif agak terkejut dengan kata-kata Sufi.
Sufi hanya tersenyum kecil.
“Kat sana dekat sikit dengan mek, ayah. Kesian kat mek tak ada siapa yang jaga. Nanti Sufi boleh tengok-tengokkan umi dengan mek.” Balas Sufi membuatkan Encik Latif terdiam.
“Umi kamu tak marah ke kamu duduk sini lama-lama?” Soal Puan Samihah pula. Dia mengerling pada suaminya yang terdiam seribu bahasa.
“Tak, ibu. Umi tak kisah pun. Asalkan Sufi telefon hantar khabar kat kampung, kira okeylah tu.” Jawab Sufi. Dia mengukir senyuman tetapi dirasakan sangat hambar.
Walaupun perih, tetapi Sufi terpaksa menerima hakikat bahawa kedua ibu bapanya sudah berpisah. Jauh dalam hati Sufi dia berharap agar Puan Suraya dan Encik Latif kembali bersatu tetapi itu semua hanya berlaku dalam khayalan dia saja.
“Takkan mak cik nak marah pula, ibu. Bukan ke ibu dengan abah yang tanggung akak belajar. Kalau marah juga, maknanya sama jelah macam tak kenang budi.” Sampuk Ariana dengan selamba. Sedikit pun tiada rasa bersalah.
Sufi terpempan. Puan Samihah dan Encik Latif terkejut.
“Ana!” Keras suara Encik Latif kedengaran.
“Akak ingat, Ana. Akak takkan lupa jasa abah dan ibu. Nanti akak dah kerja, akak ganti balik duit abah dan ibu. Ana tak payah ingatkan akak. Akak sedar akak siapa dalam keluarga ni.” Ucap Sufi menahan sebak. Matanya sudah berkaca bila-bila masa saja air matanya akan gugur.
“Sufi, abah tak suka Sufi cakap macam tu. Kita satu keluarga. Sufi dan Ana anak abah. Tanggungjawab abah. Sufi tak pernah membebankan abah.” Encik Latif bersuara.
Sufi hanya menundukkan wajah. Tipu jikalau dia tidak terkesan dengan kata-kata Ariana malah kata-kata itu menyentap tangkai hatinya. Dia sedar kedudukannya malah terlalu sedar. Terlampau banyak dia berhutang budi dengan Puan Samihah. Jika dihitung, tidak terbalas budi yang Puan Samihah taburkan untuknya.
“Tak apalah, abah. Sufi faham.”
“Bila Sufi nak balik balik Kelantan?” Soal Encik Latif cuba menjernihkan suasana. Tidak betah dia melihat wajah Sufi yang keruh.
“Tiga hari lagi Sufi baliklah, abah. Sufi balik naik bas je.”
“Biar abah hantar ke stesen bas, ya?”
Sufi menggeleng kecil. Dia sudah biasa berdikari. Lebih baik dia bergerak sendiri daripada ada yang makan hati nanti.
“Tak apalah, abah. Sufi pergi naik teksi aje.” Jawab Sufi dengan senyuman hambar menghiasi bibirnya.
“Biar ajelah abah hantar, kak. Lepas ni akak dah jarang jumpa abah. Kita orang ajak akak pergi Jakarta sekali, akak tak nak. Tak payahlah jual mahal bila abah nak hantar tu,” sampuk Ariana cukup selamba. Tanpa dia sedar kata-kata itu mengguris sekeping hati milik Sufi.
Puan Samihah menjengilkan matanya pada Ariana. Satu cubitan halus dihadiahkan di peha anaknya.
“Bukan akak tak nak ikut, tapi akak kena kerja.” Jawab Sufi perlahan.
Ariana tersenyum sinis.
“Tapi bila fikir balik, elok juga akak tak pergi. Jimat duit. Tak gitu, ibu?” Soal Ariana dengan sengihan yang sengaja dibuat.
“Ana! Cukup!” Suara Encik Latif kedengaran tegang. Melotot bola matanya memandang Ariana.
Ariana tutup mulut. Dia bingkas bangun.
“Hah, nak ke mana pula tu?” Soal Encik Latif pelik.
“Ana nak ke rumah kawan Ana. Esok ada photoshoot kat luar KL. Ana tak tahu bila balik. Ana pergi dengan dia aje. Ibu dengan abah tak payah risaulah, ya?” ujar Ariana lalu berlalu ke dapur dengan membawa pinggan kotor.
“Photoshoot? Kenapa dia tak cakap awal-awal dengan saya?” Soal Encik Latif sambil mengalih pandangan ke arah Puan Samihah. Dia inginkan penjelasan.
Puan Samihah hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Manalah saya tahu. Kerja last minute kut. Biar ajelah, bang. Dia buat part time jadi model maknanya dia nak juga bekerja. Kalau setengah perempuan lain, duduk rumah aje lepas habis belajar. Tapi Ana nak juga cari pengalaman bekerja.” Balas Puan Samihah membela Ariana.
“Itu abang tahu tapi kita tak tahu siapa kawan-kawan dia. Elok ke tak elok kawan dia tu, kita kena ambil tahu juga. Jangan bagi seratus peratus kebebasan pada dia. Dia tu muda lagi,” balas Encik Latif tidak mahu mengalah.
Sufi hanya menadah telinga. Nasi disuap perlahan-lahan ke mulut.
“Sufi kenal tak dengan kawan-kawan Ana?” Soal Encik Latif tiba-tiba.
Suapan Sufi terhenti. Dia memandang wajah Encik Latif dengan lama. Air liur ditelan. Kelat. Apa jawapan yang harus aku berikan?
“Tak kenal sangat, abah. Tapi insya-Allah kawan-kawan Ana semua baik-baik,” jawab Sufi tergagap-gagap. Itulah jawapan yang dirasakan paling sesuai saat ini.
Padahal, Ariana tiada kawan perempuan yang rapat. Masanya dihabiskan berfoya-foya dengan kawan lelaki bagi menghilangkan kebosanannya. Dengan rupa yang dimilikinya, sesiapa saja akan jatuh ke tangan Ariana. Walaupun perangai Ariana itu sukar untuk diubah, tetapi Sufi tetap berdoa agar suatu hari nanti Ariana akan sedar dari dunia ciptaannya itu.

TOMBOL pintu bilik Hamsyari dipulas dengan perlahan sebelum kakinya menapak masuk ke dalam bilik yang gelap dan kelam itu. Hail meraba dinding bilik dan memetik suis lampu. Serentak, bilik yang gelap bertukar menjadi terang-benderang. Satu per satu susun atur dalam bilik Hamsyari diperhatikan oleh Hail. Timbul rasa sebak dalam dada saat terpandang katil bersaiz king milik Hamsyari yang kosong tidak bertuan.
Hail mengatur langkah ke arah katil. Dia melabuhkan punggung di birai katil sambil anak matanya meliar memandang ke segenap ruang bilik Hamsyari yang besar dan luas. Semua barang milik Hamsyari kemas dan tersusun elok di tempatnya.
Satu keluhan terlepas daripada mulut Hail. Terbayang di matanya kenangan bersama Hamsyari di bilik ini. Setiap kali dia datang ke Kuala Lumpur, memang bilik Hamsyari yang menjadi tempat lepaknya. Walaupun Hamsyari sering merungut tentang kerjanya yang jauh dari rumah mereka di Kuala Lumpur tetapi adik kesayangannya itu pasti menyambut baik setiap kali dia pulang.
Hail bangun dan menuju ke meja kerja milik Hamsyari. Dia melihat sebuah gitar bersandar elok di atas kerusi. Perlahan-lahan dia mencapai gitar tersebut dan mengelusnya dengan lembut. Dia menahan air mata daripada tumpah. Kenangan bersama Hamsyari kembali terlayar ke ruang mata.
“Kau nak bawa ke mana gitar tu?” Soal Hail sebaik saja melihat Hamsyari menuju ke arah stor dengan membawa gitar kapak miliknya.
“Am nak simpan gitar ni, bang. Am dah tak nak guna.” Jawab Hamsyari dengan senyuman tersungging di bibir.
Dahi Hail berkerut. Selama ini gitar itulah yang menjadi kesayangan Hamsyari. Malah, ke mana saja Hamsyari pergi pasti gitar kapak itu menemani.
“Tak nak guna? Bukan ke kau sayang sangat gitar tu? Kalau boleh tidur pun nak peluk gitar. Kenapa nak simpan pulak? Guna ajelah.” Balas Hail dengan dahi yang berlapis.
“Tak bolehlah, bang. Am dah tak boleh bawa gitar ni dah. Dia tak suka. Katanya dia tak suka lelaki yang main muzik.” Ucap Hamsyari sambil mengherotkan bibir ke kiri dan kanan. Terbayang wajah kekasih hatinya yang membebel setiap kali dia memetik gitar.
“Dia? Buah hati kau ke? Kalau dia betul-betul sayangkan kau, dia kena terima kau seadanya. Dah kau minat muzik, takkan dia nak halang pula.” Ujar Hail tidak berpuas hati dengan sikap kekasih hati Hamsyari yang tidak pernah dia kenali itu.
Hamsyari tersenyum kecil. Dia mendekati Hail yang sedang mengunyah roti di meja makan. Bahu abang kesayangannya itu dipeluk lembut.
“Sebab dia sayangkan Am, dia halang. Dia tak nak Am terlampau bagi perhatian pada gitar ni sampai lupakan dia. Abang tahulah kan perangai Am kalau main gitar, abang pun Am boleh lupa apatah lagi dia.” Balas Hamsyari sambil ketawa kecil.
Hail hanya mencebik. Begitulah kalau bercakap dengan Hamsyari, ada saja yang ingin dijawab oleh lelaki itu.
“Suka hati kaulah, Am. Ni hah, bila nak jenguk ofis? Ayah ngah dah banyak kali tanya abang bila Am nak masuk ofis. Tak larat dah abang nak bagi alasan kat ayah ngah.” Ujar Hail mengubah topik perbualan. Dia mencicip milo panas yang terhidang.
“Am tak sedia lagilah abang nak pikul jawatan tu. Abang mintalah ayah ngah carikan orang lain dulu. Am baru nak cari pengalaman hidup kerja kat tempat lain. Bagilah otak Am ni berkembang dulu.” Jawab Hamsyari turut mencicip air milo milik Hail.
Hail menampar lembut lengan Hamsyari.
“Kalau ya pun kau nak cari pengalaman hidup atau kerja, kau boleh kerja kat salah satu syarikat kita yang lain. Kau pilih je kau nak kerja bahagian mana, bahagian tekstil, bahagian pelancongan, bahagian hotel, bahagian ladang, semua ada. Kau kerja kat restoran tu apalah yang kau dapat?” Hail masih tidak berpuas hati.
Dia inginkan alasan yang kukuh daripada Hamsyari. Sejak Hamsyari membuat keputusan untuk bekerja di tempat lain selain syarikat mereka, timbul keraguan dalam diri Hail tentang keputusan Hamsyari. Dia bimbang adiknya itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan tempat orang tapi jangkaannya meleset, sampai sekarang Hamsyari masih dapat bertahan.
“Ada bezanya, bang. Kat restoran yang Am kerja sekarang, tak ada sesiapa pun tahu siapa Am yang sebenarnya. Mereka layan Am sama macam pekerja lain. Am dapat rasa gaji yang usaha dengan tulang empat kerat Am ni. Kalau Am kerja kat salah satu syarikat kita, tentulah orang akan layan Am dengan istimewa sebab dia tahu Am ni salah satu pewaris syarikat. Suasana kerja yang sebenar tu tak wujud walaupun Am mula dari bawah.” Terang Hamsyari dengan bersungguh.
Hail mencemikkan wajah. Tapi alasan Hamsyari itu boleh diterima pakai. Sikap Hamsyari yang tidak suka bermegah dengan apa yang mereka miliki cukup menyenangkan hati Hail. Malah adiknya itu tidak pernah meminta lebih daripada apa yang sepatutnya.
“Ikut kaulah, Am. Janji kau bahagia. Hari ni kau kerja tak?” Soalnya setelah bosan berdebat dengan adiknya itu.
“Hari ni cuti. Am nak jumpa bidadari Am.” Balas Hamsyari sambil tersenyum lebar.
“Bidadari konon. Nak muntah abang dengar tahu tak? Kau nak pakai kereta ke? Kalau nak pakai, nanti abang minta Baim tolong keluarkan. Dia pun tak ada kerja kat sini.” Ujar Hail sambil mengerling jam yang melingkari pergelangan tangan.
“Tak payahlah, bang. Am naik motor aje. Am nak tengok bidadari Am tu boleh bertahan tak kalau keluar dengan Am naik motor. Dengan cara ni barulah kita boleh jumpa cinta sejati.” Balas Hamsyari dengan riang. Dia ketawa kecil.
Hail menayang muka bosan.
“Cinta sejati konon. Cinta tak boleh mengenyangkan perut kau pun…”
“Tapi cinta hati boleh menemani kita sampai kekenyangan…” Bidas Hamsyari pantas.
Hail menjelirkan lidahnya. Kalah dengan hujah Hamsyari.

TING!
Hail tersentak daripada lamunan apabila jarinya secara tidak sengaja terpetik tali gitar. Kenangan beberapa minggu lalu hilang daripada kotak fikiran. Tiada lagi tawa Hamsyari. Tiada lagi usikan lelaki itu. Suasana bertukar menjadi sunyi sepi.
Kini, terbentang di hadapan mata Hail meja belajar Hamsyari yang tersusun rapi. Dia membelek-belek buku yang tersusun di atas meja Hamsyari dengan teliti. Dia harus mencari sesuatu yang dapat memberi petunjuk siapakah wanita yang bertanggungjawab meletakkan Hamsyari dalam keadaan sebegitu.
Apabila tiada yang menarik di atas meja, tangan Hail laju menarik laci meja. Matanya terpanah dengan benda yang berkilauan. Dahinya berkerut. Lama dia mengamati benda bulat yang berupa cincin silver itu sebelum jarinya pantas memegang cincin tersebut.
“Cincin siapa ni?” Soalnya sendirian. Cincin silver yang tidak berukiran itu menarik perhatiannya. Hail cuba menyarungkan cincin tersebut ke jarinya tetapi tersekat di hujung jari. Cincin itu sememangnya jauh lebih kecil daripada jarinya.
“Ini cincin perempuan. Mungkin cincin perempuan tu.” Teka Hail.
Dia meletakkan cincin di atas meja. Kemudian, dia mula menggeledah laci tersebut. Pencariannya berakhir apabila tangannya tersentuh satu keping gambar yang sengaja diterbalikkan oleh Hamsyari. Hail memusingkan gambar itu kembali.
Terpapar di hadapan mata gambar Hamsyari yang diapit oleh dua orang perempuan. Sebelah kanan Hamsyari seorang perempuan bertudung yang tersenyum manis. Gadis bertudung putih itu memakai apron sama dengan apron yang dipakai oleh Hamsyari kala itu. Manakala, di sebelah kiri Hamsyari kelihatan seorang perempuan yang berambut panjang. Seraut wajah itu cukup cantik di pandangan Hail.
Dia memandang kedua-dua gadis muda itu silih berganti. Mana satu kekasih hati Hamsyari? Soal hati Hail. Namun mata Hail lebih tertumpu pada wajah gadis bertudung putih itu. Entah kenapa wajah itu menarik perhatiannya. Mungkinkah gadis itu penyebab Hamsyari terseksa? Mungkinkah gadis bertudung itu adalah kekasih hati yang dipuja saban waktu oleh Hamsyari sehingga hampir membunuh diri lelaki itu sendiri. Mungkinkah gadis itu yang telah mematahkan hati adiknya dengan begitu kejam. Mungkinkah gadis itu yang menolak cinta Hamsyari sehingga menyebabkan adiknya tega untuk membunuh diri? Hanya soalan yang bergema dalam fikiran Hail. Tiada jawapan yang pasti. Tidak lama kemudian, bibir Hail melakar senyuman sinis. Senyuman yang sarat dengan dendam.
“Kau takkan selamat perempuan. Kau harus rasa apa itu kesakitan yang dah kau berikan pada Am!” Ujar Hail sambil menjentik gambar yang berada dalam pegangannya. Otaknya mula merencana sesuatu.
Tok! Tok!
Bunyi ketukan di pintu memancung lamunan Hail. Dia bingkas bangun dan menuju ke arah pintu. Tombol pintu dipulas sebelum dikuak ke dalam. Terjengul wajah Baim, pembantu peribadinya di hadapan mata.
“Kau nak apa?” Soal Hail dengan wajah yang serius.
“Saya nak bagi ni. Saya terjumpa benda ni dalam tong sampah.” Ucap Baim lalu menghulurkan sebuah kotak berwarna merah hati kepada Hail.
Lama Hail memandang wajah Baim sebelum pandangannya beralih pada kotak empat segi yang dihulurkan oleh Baim. Huluran bertukar tangan. Otaknya tepu untuk meneka apa yang berada dalam kotak tersebut.
“Siapa punya ni?” Soal Hail ingin tahu.
“Saya rasa yang Tuan Am punya sebab benda ni ada dalam tong sampah dalam bilik Tuan Am. Mungkin Tuan Am nak bagi kat buah hati dia,” Baim membuat andaian.
Hail tersentak apabila Baim menyebut perkataan ‘buah hati’. Lalu, Hail terus membuka kotak tersebut. Nah, terpampang seutas rantai tangan emas di ruang mata Hail. Hail menarik lembut rantai tangan tersebut manakala kotaknya diberikan pada Baim yang masih setia menunggu Hail.
Lama Hail mengamati rantai tangan tersebut sebelum retinanya terhenti di permukaan gelang tersebut. Terdapat huruf  S.A terukir di rantai tangan tersebut. Dahi Hail berkerut.
“S.A? Siapa punya ni?” Gumamnya sendirian.
“Tuan, tengok ni. Ada nota!”
Suara Baim membuatkan perhatian Hail beralih. Dia memandang Baim yang sedang menayang secebis kertas kecil di hadapannya.
“Kau jumpa kat mana ni?” Soal Hail sambil merampas cebisan kertas itu daripada tangan Baim.
“Bawah pelapik rantai tangan tu.” Jawab Baim jujur.
Dada Hail mula berombak. Perlahan-lahan, dia membuka cebisan kertas tersebut. Dia menghela nafas dan menghembuskannya perlahan. Anak matanya mula meliar membaca bait-bait tulisan yang ditulis oleh Hamsyari.
Mengenalimu satu hadiah buat aku,
Mencintaimu adalah keutamaanku,
Melihat mu tersenyum merupakan mimpi indah bagiku,
Aku sanggup mati untukmu kerana nafasku adalah milikmu,
Seluruh hati dan cintaku hanya untukmu.
-Hamsyari-
 “Maknanya rantai tangan dan cincin tu Am nak bagi pada perempuan tu?” Julat suara Hail meninggi. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang dijumpainya hari ini.
“Saya pun rasa macam tu, tuan. Kalau tak, takkan benda ni ada dalam simpanan Tuan Am. Tentu Tuan Am nak bagi pada buah hati dia tapi tak sempat.” Ujar Baim sekadar memberi pendapat.
Hail berjeda. Sebelah tangannya memegang sekeping gambar manakala sebelah lagi memegang cincin dan rantai tangan. Otaknya mula memikirkan sesuatu. Satu per satu andaian yang terbit di benaknya.
“Atau pun bukan tak sempat tapi dia terlebih dulu ditolak. Perempuan ni penyebab Am nak bunuh diri. Dia tolak cinta Am sampaikan Am sanggup mati untuk dia. Aku nak tahu apa yang hebatnya tentang perempuan ni sampai lelaki kuat macam Am sanggup perjudikan nyawanya. Baim, aku nak kau cari perempuan ni sampai dapat dan bawa datang jumpa aku.” Arah Hail secara tidak langsung.
“Saya nak cari kat mana tuan? Tuan kenal tak dengan buah hati Tuan Am tu? S.A tu nama dia ke?” Soal Baim bertubi-tubi. Dia perlukan petunjuk barulah dia dapat membuat tindakan yang seterusnya.
Hail hanya menggelengkan kepala.
“Am tak pernah kenalkan buah hatinya pada aku. Nama dia pun Am tak pernah sebut. Dia kata nak bagi tahu bila dia betul-betul bersedia. Aku terjumpa gambar ni dalam laci meja Am. Tapi aku tak tahu mana satu kekasih hati Am,” ujar Hail lalu menyerahkan sekeping gambar kepada Baim.
Gambar bertukar tangan. Baim merenung gambar tersebut sedalam-dalamnya.
“Mana satu ni, tuan? Perempuan rambut panjang ni nampak cantik sungguh. Perempuan yang pakai tudung ni nampak ayu dan manis aje. Sejuk mata memandang. Takkan dia kekasih hati Tuan Am, tuan.” Baim memberi komen.
Hail diam seketika. Lama dia memandang gambar tersebut sebelum senyuman penuh makna terukir di bibirnya yang sensual.
“Aku tak peduli siapa pun dia. Aku nak kau cari kedua-dua perempuan ni. Bawa dia jumpa aku. Aku akan pastikan salah seorang daripada perempuan ni dapat balasan yang setimpal. Aku nak berkenalan sangat dengan perempuan yang berjaya buat Am lupa pada Tuhan dia sendiri,” Balas Hail dengan tegas.
Baim mengangguk tanda faham.
“Tuan nak saya upah penyiasat persendirian ke untuk siasat kes ni?” Soal Baim lagi.
Hail menggelengkan kepala. Dia tidak mahu melibatkan orang lain dalam kes mereka. Biarlah dia sendiri yang menyelesaikannya.
“Tak perlu. Aku tak nak benda ni sampai ke pengetahuan ayah ngah dan ayah su. Nanti akan menjejaskan reputasi syarikat. Biar aku yang uruskan dengan cara aku sendiri. Orang lain tak perlu tahu sebab aku yakin salah seorang perempuan nilah penyebab segalanya. Kau faham kan?” Balas Hail mengharap agar pembantu peribadinya itu faham akan keadaan mereka.
“Baiklah, tuan. Hah, macam mana dengan telefon Tuan Am? Mesti ada gambar kekasih dia.” Baim cuba memberi cadangan.
Hail hanya mampu mengeluh.
“Telefon Am dah hancur. Lagipun Am guna telefon biasa aje. Katanya dia tak nak tunjuk siapa dia yang sebenarnya. Kau tengoklah, pergi kerja pun guna motor aje.” Jawab Hail membuatkan Baim terdiam.
Baim mengetap bibir. Dia menggaru dahinya yang tidak gatal. Cuba memikirkan tindakan seterusnya.
“Tak mengapalah kalau macam tu, tuan. Saya minta diri dululah.” Ujar Baim kemudian meninggalkan Hail sendirian.
Hail menganggukkan kepala. Dia memandang ukiran S.A di rantai tangan tersebut sebelum beralih pada gambar kedua-dua gadis yang bergambar dengan Hamsyari. Secangkir senyuman yang penuh dengan makna tersirat terlakar di bibir Hail.
“Kalau hidup Am hancur, kau pun harus hancur, perempuan!”

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.