Tetamu Rindu

Wednesday 19 September 2018

CAGARAN CINTA ( BAB 4 )

JAM menunjukkan tepat pukul tujuh malam. Sebuah kereta Mercedes berwarna hitam berhenti di hadapan Restoran Pantai Timur buat kesekian kalinya. Pintu kereta ditolak. Baim melangkah keluar sambil berdiri dengan tangan yang mencekak pinggang. Dia mengeluh apabila melihat pintu restoran sudah pun tertutup rapat. Petanda waktu perniagaan sudah tamat.
Dia meraup rambutnya ke belakang. Apa yang harus dikatakan kepada Hail sekarang? Laju tangannya menyeluk poket, mencari telefon bimbit sebelum nombor Hail didail. Selang beberapa saat, panggilannya berjawab.
“Restoran dah tutup, tuan.” Ujar Baim dengan nada kecewa.
“Apa? Tutup?!” Suara Hail hampir menjerit. Baim menjauhkan telefon daripada telinganya. Dia menggeleng kecil.
“Ya, tuan. Tutup. Apa kita nak buat sekarang? Kakak perempuan tu mesti dah balik sekarang dan kalau kita terus tahan adik dia tu, bahaya tuan. Lebih daripada 24 jam, boleh jadi kes culik.” Baim cuba mengingatkan.
Kedengaran Hail mendengus. Kata-kata Baim ada benarnya.
“Aku tahu. Kau datang sini dulu. Kita cuba tanya pada adik dia ni. Nampak gayanya perempuan ni gila duit, aku rasa dia sanggup gadaikan kakak dia demi kepentingan diri dia sendiri.” ujar Hail.
“Tuan yakin ke kakak perempuan tu kekasih Tuan Am?” soal Baim lagi.
“Aku tahu Am suka perempuan yang macam mana. Aku tak rasa perempuan yang kita tahan ni kekasih Am. Walau apa pun yang terjadi, aku tetap akan pastikan perempuan yang buat Am merana turut terima nasib yang sama.” Jawab Hail sarat dengan dendam.
“Baik, tuan. Saya ke sana sekarang.” Balas Baim lantas mematikan talian. Dia mengeluh kecil. Bilakah semua ini akan berakhir?



KERETA Toyota Estima milik Encik Latif berhenti betul-betul di hadapan Restoran Pantai Timur pagi itu. Dia berpaling pada Sufi yang turut memandang ke arahnya. Senyuman manis si anak dibalas mesra.
“Terima kasihlah sebab abah susah-susah hantar Sufi dekat sini padahal Sufi boleh pergi sendiri.” Ujar Sufi sambil merungkai tali pinggang yang membelit tubuhnya.
“Apa salahnya. Sufi anak abah. Ini tanggungjawab abah untuk pastikan anak abah ni selamat.” Balas Encik Latif sambil mengelus lembut ubun-ubun Sufi.
Sufi tersenyum nipis. Kata-kata Encik Latif menyentuh hatinya. Kalaulah penceraian itu tidak berlaku, tentu saat ini mereka sekeluarga hidup bahagia. Tetapi siapalah dia untuk menidakkan takdir yang telah tercipta. Perkara yang berlaku, tidak akan dapat diundurkan kembali.
“Abah tak nak bagi ruang ke pada hubungan abah dan umi? Abah tak nak hidup bahagia kembali ke?” Soal Sufi tiba-tiba. Ada getar dalam nada suaranya.
Senyuman manis Encik Latif mati dengan sendirinya. Dia mengetap bibir.
“Sufi tahu kan semua tu takkan terjadi? Abah dah bahagia sekarang dan abah rasa umi kamu pun bahagia dengan kehidupan dia sekarang. Sufi anggap ajelah abah dan umi tak ada jodoh. Jodoh kami setakat ni aje. Abah tak nak ingat perkara yang lepas sebab kita hidup untuk hari ni dan akan datang bukan untuk hari semalam. Sufi faham kan maksud abah?” Lembut tutur kata Encik Latif kedengaran. Dia berharap agar Sufi mengerti tentang keputusannya dahulu.
Akibat campur tangan daripada ibunya, hubungan antara dia dan Puan Suraya ternoktah begitu saja. Cinta antara dua darjat, sampai bila dapat bertahan? Itulah yang berlaku antara dia dan ibu kandung Sufi. Mereka dipisahkan saat Sufi masih dalam kandungan dan akhirnya dengan rela hati Puan Suraya minta dilepaskan selepas tidak tahan dicaci dan dihina oleh ibu mentuanya sendiri. Walaupun berat untuk Encik Latif membuat keputusan namun demi kebahagiaan dan ketenangan isterinya, dia melepaskan Puan Suraya dengan talak satu. Demi mengelak lebih banyak persengketaan, Encik Latif bersetuju untuk berkahwin dengan wanita pilihan ibunya yakni Puan Samihah.
“Sufi tahu abah dah tak sayangkan umi. Tapi abah baliklah jenguk umi kat kampung. Mek ada juga tanya pasal abah. Hubungan abah dengan umi memang dah terputus, tapi silahturahim tu tetap ada kan?” Suara Sufi memecah gegendang telinga Encik Latif. Dia tersedar daripada lamunannya.
Satu keluhan dilepaskan.
“Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa nanti abah balik. Abah malu nak jumpa mek. Abah malu sebab abah tak dapat pertahankan rumah tangga abah. Abah tak mampu masa tu, Sufi. Abah tak mampu.” Ujar Encik Latif sambil menggelengkan kepalanya.
Hati Sufi tersentuh melihat wajah Encik Latif yang penuh dengan kekesalan. Dia menghela nafas dan menghembuskan dengan perlahan. Tidak sepatutnya dia membangkitkan perkara yang telah lalu sehingga meletakkan Encik Latif dalam keadaan serba-salah.
“Abah tak payahlah cakap lagi. Sufi minta maaf sebab ungkit pasal ni. Sufi tak patut buat abah susah hati. Tak apalah, bah. Sufi dah lama reda dengan takdir yang jadi pada keluarga kita. Sekurang-kurangnya, Sufi masih ada abah. Sufi masih boleh jumpa abah. Ibu pun boleh terima Sufi dengan baik. Itu sudah cukup untuk Sufi.” Ucap Sufi kemudian mengukirkan senyuman manis buat Encik Latif.
Encik Latif mengalih pandangan pada laman wajah Sufi yang ayu. Dia turut mengukir senyum. Senang dengan kata-kata Sufi.
“Abah tahu, anak abah ni kan anak yang baik.” Balas Encik Latif sambil mencubit pipi Sufi.
Sufi mengaduh. Dia menarik mulut muncung sebelum ketawa kecil.
“Abah baliklah dulu. Sufi nak jumpa kawan-kawan Sufi sekejap. Nanti Sufi pergi stesen bas naik teksi je.” Balas Sufi sambil siap-siap untuk keluar daripada kereta.
“Sufi pasti tak nak abah hantar sampai stesen?” Soal Encik Latif inginkan kepastian.
“Betul. Apa tak payah risau. Hah, sebelum Sufi terlupa, semalam Ariana ada call rumah, dia cakap dia tidur rumah kawan sebab ada photoshoot lagi dekat luar KL.” Ucap Sufi sambil merungkai tali pinggang yang membelit tubuhnya.
“Photoshoot lagi? Kenapa dia tak call abah je?” soal Encik Latif dengan dahi yang berkerut.
Sufi hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
“Dia tak sempatlah tu, abah. Abah tak payah risaulah, bukan kali ni aje dia tak balik rumah. Selalunya kalau ada job, memang dia tidur rumah kawan dia.” Ucap Sufi cuba menyedapkan hati Encik Latif.
Encik Latif hanya tersenyum nipis. Pergerakan Ariana memang sukar dikawal. Sesekali timbul juga perasaan bimbang dalam dirinya apabila memikirkan Ariana yang bebas bergaul. Namun, apabila ditegur, anaknya itu akan merajuk. Sudahnya, dia yang terpaksa mengalah.
Encik Latif tersentak apabila Sufi menghulurkan tangan untuk bersalaman. Hulurannya bersambut. Selesai bersalaman, Sufi terus turun daripada kereta. Hanya lambaian diberikan pada Encik Latif yang telah meninggalkan perkarangan restoran.
Sufi menghembuskan nafas perlahan. Dia melihat beg pakaian yang berada di tangan. Hari ini merupakan hari terakhir dia berada di kota raya. Rasa tidak sabar menjengah hatinya apabila teringatkan wajah uminya di kampung. Tentu ibunya itu tidak senang duduk menunggu kepulangannya. Sufi tersenyum kecil.
Dia berpaling. Restoran Pantai Timur tersergam di hadapan mata. Inilah tempat dia mencari rezeki selepas tamat pengajian sementara menunggu jawapan kerja yang lain. Pelbagai kenangan manis yang dapat dia kutip sepanjang bekerja di sini. Pahit manis semua bercampur-gaul sehingga membuahkan senyum di bibir Sufi. Paling dia teringat adalah tentang Hamsyari. Kehilangan lelaki itu masih lagi misteri hingga ke hari ini. Ke mana agaknya lelaki itu menghilangkan diri? Itulah soalan yang kerap bermain di minda Sufi sehingga ke saat ini.
“Sufi Awliya…”
Satu suara memanggil dari arah belakang menghentikan langkah Sufi yang baru ingin menapak. Dahinya berkerut mendengar namanya disebut oleh suara itu. Dia berpaling. Dahi Sufi berlapis melihat seorang lelaki lengkap berkemeja dan berseluar slack berdiri betul-betul di hadapannya. Terdapat sebuah kereta Mercedes Benz Brabus berwarna hitam dan bercermin gelap berada di sisi lelaki itu.
“Encik ni siapa?” Soal Sufi pelik. Dia mengamati lelaki itu daripada atas hingga ke bawah. Sahih, dia memang tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu malah inilah kali pertama dia melihat wajah lelaki yang berumur dalam lingkungan 30-an.
“Cik kenal tak orang dalam gambar ni?” Soal lelaki yang tidak diketahui nama itu. Dia menunjukkan sekeping gambar ke arah Sufi.
Dada Sufi mula berdetak. Gambar yang ditunjukkan itu mendebarkan hatinya. Apa tidaknya, gambar itu mempamerkan orang yang sangat dia kenali.
“Hamsyari!” Ucap Sufi dengan mata yang membesar. Anak matanya beralih pada gambar seorang gadis bertudung yang duduk di sebelah Hamsyari. Itu gambarnya sendiri! Tapi macam mana gambar ini boleh ada dalam simpanan lelaki itu. Sufi cuak.
“Jadi cik memang kenal dengan Hamsyari?” Soal lelaki itu lagi sebelum menyimpan gambar tersebut di dalam poket seluarnya.
“Mestilah saya kenal. Dia kawan saya. Satu tempat kerja dengan saya tapi dah seminggu lebih dia tak datang kerja. Dia hilang macam tu aje. Encik ni siapa? Encik datang nak kutip hutang dari dia ke?” Soal Sufi bertubi-tubi.
Lelaki itu ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala.
“Baguslah kalau cik kenal dia. Cik mesti tengah cari dia kan? Cik nak jumpa dia?” Soal lelaki itu lagi.
Wajah Sufi berubah riak. Terkebil-kebil dia memandang lelaki yang berdiri di hadapannya ini. Lelaki ini kenal Hamsyari ke? Apa hubungan mereka berdua?
“Saya memang tengah cari dia tapi apa hubungan encik dengan dia? Encik abang dia ke?” Soal Sufi lagi. Dia inginkan jawapan. Hatinya tidak tenang selagi tidak mengetahui hal yang sebenar.
Lelaki itu tidak menjawab sebaliknya hanya senyuman penuh makna yang diukirkan buat Sufi. Dia merenung wajah Sufi sedalam-dalamnya.
“Nanti cik akan tahu siapa saya. Sekarang, cik boleh ikut saya.” Ajak lelaki itu sambil membuka pintu kereta dengan lebar.
Sufi mula gelisah. Haruskah dia ikut lelaki ini? Bagaimana jika lelaki ini menipu? Tetapi mustahil dia tipu sedangkan selama ini tiada siapa yang tahu tentang keluarga Hamsyari malah gambar yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut boleh dijadikan bukti bahawa lelaki ini mengenali Hamsyari kerana gambar itu diambil sewaktu mereka berdua berada di resoran.
“Cik jangan takut, saya bukan nak culik cik pun. Saya cuma nak bagi jawapan yang selama ni  cik cari. Kalau cik risau tentang Hamsyari, lebih baik cik ikut saya. Tapi kalau cik tak kisah, terpulanglah.” Ujar lelaki itu memberi kata dua kepada Sufi.
Sufi mematah-matahkan jarinya. Dia mula menimbang baik dan buruk jika dia mengikut lelaki tersebut. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia memang risaukan Hamsyari. Dia takut jika apa-apa berlaku pada sahabatnya itu. Hati Sufi mula berbolak-balik. Dia memandang ke belakang seketika, memandang orang ramai yang mula memasuki ruang restoran. Dia menggigit bibir. Keputusan harus dibuat sekarang. Tetapi apa kata putusnya?
“Macam mana, cik? Nak ikut saya ke tak?” Suara lelaki itu berbunyi lagi.
Jiwa Sufi merusuh. Dia berpaling ke arah lelaki itu yang masih setia menunggu. Apa yang perlu aku lakukan sekarang? Detik hatinya masih berbelah-bahagi.

KERETA yang dipandu oleh Baim berhenti di perkarangan Hospital Tawakal Kuala Lumpur. Dia menjenguk ke ruang belakang. Kelihatan gadis yang datang bersamanya terpinga-pinga. Baim hanya tersenyum kecil.
“Buat apa kita datang kat sini? Siapa yang sakit?” Soal Sufi pelik. Dia memandang wajah Baim dengan penuh tanda tanya.
“Cik masuklah dulu. Naik tingkat lima, cari bilik nombor HH 01. Cik akan dapat jawapannya.” Balas Baim lalu membuka auto lock.
“Tapi saya nak jumpa Hamsyari. Dia sakit ke?” Soal Sufi lagi. Hatinya terus dilanda tanda-tanya.
“Saya tak dapat nak jelaskan pada cik. Lebih baik cik sendiri yang cari jawapan. Sampai sini saja yang dapat saya bantu. Selebihnya terpulang pada cik.” Jawab Baim ringkas.
Sufi melepaskan nafas pendek. Tidak dapat tidak, dia terpaksa melangkah keluar daripada kereta. Akur dengan kata-kata Baim. Dia melangkah ke tingkat lima seperti yang diberitahu oleh Baim. Pelbagai perkara buruk yang terlintas di fikirannya saat ini namun segera Sufi berisghtifar.
Sebaik saja kakinya melangkah ke tingkat lima, dia terus mencari nombor bilik yang diberitahu oleh Baim tadi. Dia singgah ke kaunter yang terdapat di hadapan pintu masuk. Hatinya mula tertanya-tanya, mustahil Hamsyari tinggal di wad semewah ini. Lelaki itu bukan orang kaya jauh sekali anak orang berada. Pakai motor pun, motor cabuk. Entah-entah orang tadi tu nak kenakan aku? Hati Sufi mula sangsi. Tetapi kakinya tetap terarah pada jururawat yang berada di kaunter hadapan.
“Assalamualaikum, maaf. Tumpang tanya, boleh?” Sapa Sufi sopan. Dia merenung wajah jururawat muda yang sentiasa tersenyum manis.
“Waalaikummusalam. Boleh, cik nak tanya apa?” Soal jururawat itu dengan ramah.
“Bilik HH 01 kat mana ya?” Soal Sufi pula.
Jururawat itu terdiam seketika. Dia memandang Sufi dengan penuh tanda-tanya.
“Kalau boleh saya tahu cik ni siapa ya? Sebab kami dapat arahan, orang sebarangan tak dibenarkan masuk ke bilik Tuan Hamsyari kecuali dengan izin daripada keluarga Tuan Hamsyari sendiri.” Jelas jururawat tersebut dengan santun.
“Tuan Hamsyari?” Mata Sufi membulat. Takkan itu panggilan untuk Hamsyari? Siapa Hamsyari ni sebenarnya? Hati Sufi menjerit. Otaknya kusut memikir pelbagai andaian yang memenuhi ruang fikiran.
“Ya, bilik HH 01 tu bilik Tuan Hail Hamsyari. Cik ni siapa? Apa hubungan cik dengan dia?” Soal jururawat itu lagi.
Tuan Hail Hamsyari? Sufi melongo. Sungguh, selama ini dia tidak pernah tahu nama sebenar Hamsyari tetapi hari ini dia benar-benar dikejutkan dengan satu kebenaran yang tidak pernah terjangkau oleh akalnya.
“Saya kawan dia. Nama saya….”
Belum sempat Sufi menghabiskan kata, telefon di meja kaunter berbunyi nyaring memaksa jururawat tersebut untuk mengangkat panggilan. Sufi hanya memerhati. Sesekali jururawat muda itu menganggukkan kepala. Setelah beberapa saat berlalu, jururawat tersebut meletakkan gagang telefon sebelum tegak memandang Sufi dengan senyuman terukir di bibir.
“Baiklah, cik boleh masuk. Bilik HH 01 ada di sebelah kanan.” Ujar gadis muda itu sambil menunjukkan arah.
Sufi mengangguk laju. Dia mula menapak menuju ke tempat yang dinyatakan. Dia terpegun seketika melihat ruang wad yang kelihatan eksklusif malah pendingin hawa yang terdapat di sepanjang laluan itu begitu mendinginkan kulitnya yang hanya dibaluti dengan blaus labuh.
Anak mata Sufi melilau mencari nombor bilik yang telah diberitahu tadi. Namun, tidak sampai beberapa minit dia berjalan, anak matanya tertangkap nombor bilik yang disebut tadi. Dia tersenyum kecil dan terus menuju ke arah bilik tersebut. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskan dengan perlahan.
Terselit rasa gentar dalam hatinya sebaik saja tangannya memulas tombol pintu. Hatinya berdebar-debar. Dia terasa seperti ada kupu-kupu yang berterbangan di dalam perutnya.
“Assalamualaikum…” Salam dihulurkan sebelum kakinya melangkah masuk ke dalam bilik wad yang cukup mewah.
Hampir tidak terkatup mulut Sufi sebaik saja menjejakkan kaki ke dalam bilik wad yang agak besar. Bilik itu kelihatan malap tanpa cahaya. Hanya cahaya daripada lampu tidur saja yang menerangi bilik sebesar bilik tidur itu.
“Besarnya bilik ni. Rumah ke hospital ni?” Soal Sufi sendirian.
Anak matanya ditebarkan ke segenap ruang sebelum terhenti pada sebuah katil yang terletak di penjuru bilik. Dia mengecilkan mata cuba mengamati pemilik katil tersebut. Namun, matanya membesar apabila menyedari pemilik katil itu adalah seorang yang sangat dia kenali.
“Am!” Jeritnya lalu meluru ke arah katil.
Dia terpaku seketika. Bola matanya menyoroti tubuh Hamsyari yang sedang kaku. Wajah itu tampak pucat dan tidak bermaya.
“Apa dah jadi dengan awak ni, Am?” Soal Sufi dengan rasa sebak yang menggunung.
 “Am, awak dengar saya tak? Apa sebenarnya yang jadi pada awak?” Soal Sufi lagi. Kolam air matanya pecah jua melihat wajah Hamsyari yang pucat bagaikan tidak berdarah.
Namun, tiada jawapan yang diterima. Suasana menjadi sunyi-sepi.
“Saya tahu awak jadi macam ni mesti sebab hari tu kan? Saya mintak maaf. Tak sepatutnya saya biarkan perkara ni terjadi pada awak. Kalaulah saya berterus-terang dengan awak, semua ni takkan jadi. Saya yang bersalah, maafkan saya, Am…” ucap Sufi dengan suara yang tertahan-tahan. Air mata dibiarkan jatuh berjuraian.
“Memang kau pun yang bersalah!”
Sufi tersentak. Jantungnya kembali menjemput debaran. Suara itu kedengaran dekat dengannya. Sufi berpaling. Figura seorang lelaki berdiri tegap di hadapannya tertangkap di retinanya. Wajah itu mirip dengan Hamsyari tetapi jauh lebih bengis malah pandangan mata itu cukup menggerunkan Sufi. Dia tertelan air liur. Siapa pula dia ni?

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.