Tetamu Rindu

Wednesday 19 September 2018

CAGARAN CINTA ( BAB 8 )

PAGI yang dingin mengganggu Sufi yang dibuai lena. Dia menggosok-gosok lengannya yang terselindung di sebalik baju kurung kedah yang nipis. Sesekali dia mengerekot kesejukan. Namun, bunyi azan subuh yang kedengaran membangunkan Sufi daripada tidurnya.
Dia memisat-misatkan mata sebelum bola matanya ditebarkan ke sekeliling. Dia berharap sangat saat ini dia berada dalam biliknya di kampung. Namun, itu semua bayangan. Kenyataannya, dia hanya ditemani dengan empat penjuru dinding yang sempit.
Sufi tersedar. Dia bingkas bangun dan duduk sambil memeluk lutut. Kain selimut diambil lalu membalut tubuhnya.
“Ya Allah, betul ke pilihan aku ni?” Soal Sufi sendirian. Dia meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan.
“Aku nak kau bertanggungjawab atas apa yang terjadi pada Am!” Suara Hail memecah ketenangan Sufi.
Sufi mendengus sendirian.
“Saya janji, saya akan bertanggungjawab sepenuhnya kalau ada apa-apa yang terjadi dalam hubungan awak berdua. Saya yakin dia akan akan sayangkan awak sepenuh hati dia. Saya kenal dia. Dia takkan kecewakan awak,” kata-katanya beberapa bulan yang lepas kembali terngiang di telinga.
Ya, itulah janji yang pernah dibuat satu ketika dahulu. Dia tidak menyangka, janji itu menjerut lehernya sendiri. Tapi adakah benar, apa yang berlaku kepada Hamsyari adalah salahnya seratus peratus sedangkan dia sendiri tidak dapat menjangka semua ini akan terjadi.
“Salah saya ke Am? Salah saya ke sampai awak jadi macam ni? Kenapa awak tak kenal saya? Atau awak sengaja buat semua itu untuk balas dendam pada saya? Awak marahkan saya kan? Betul ke apa yang aku buat ni, Ya Allah? Aku lakukan semua ni semata-mata kerana rasa bersalah aku pada Am dan keselamatan Ana. Bantu aku untuk selesaikan semua salah faham ini, Ya Allah. Bantu aku.” Doa Sufi sendirian. Dia mengeluh kecil.
“Lebih baik aku solat dulu. Apa pun yang terjadi lepas ni, kau kena kuat, Sufi. Kau kena pastikan Am sembuh seperti biasa barulah abang dia yang perasan bagus tu percaya yang kau bukan kekasih Am. Hanya Am yang tahu kisah yang sebenar.” Balas Sufi dengan tekad.
Dia menganggukkan kepala. Lantas, dia bangun dan mencapai tuala untuk membersihkan diri. Dia mengeluh seketika melihat pakaian-pakaian yang diberikan Baim semalam. Sungguh dia tidak selesa apabila terpaksa memakai pakaian orang lain. Namun, keadaan mendesak. Apa lagi pilihan yang dia ada?
Tepat pukul tujuh setengah pagi, pintu kontena diketuk dari luar. Sufi yang hampir melelapkan mata terus terjaga. Dia yakin itu pasti Baim. Tiada siapa yang tahu kehadirannya melainkan Baim dan abang Hamsyari.
“Sekejap!” Laung Sufi. Dengan pantas, dia meyarungkan tudung bawal yang dipakainya semalam sebelum menuju ke pintu.
“Assalamualaikum, saya ingatkan awak tak bangun lagi.” Ucap Baim sambil tersengih.
“Saya dah bangun sebelum subuh tadi. Hah, awal encik datang hari ni. Apa pula yang tuan besar tu nak saya buat hari ni?” Soal Sufi tanpa berlengah. Salam Baim dijawab dalam hati.
“Tuan Hail nak jumpa awak kat ofis.” Balas Baim.
“Kat ofis? Mana ofis dia?” Soal Sufi gugup. Dia meneguk liur.
Baim hanya mampu tersenyum melihat Sufi yang tiba-tiba saja gelabah. Semalam bukan main lagi mengutuk, sekarang wajah itu pucat tak berdarah apabila dia menyebut tentang Hail.
“Jom saya tunjukkan. Tapi sebelum tu, awak boleh kunci rumah awak ni…” Ucap Baim sambil tersengih. Dia menghulurkan mangga dan anak kunci kepada Sufi yang sudah mencebik.
Rumah? Layak ke benda empat segi ni dipanggil rumah? Sinis Sufi dalam hati. Namun, Sufi hanya mampu menurut. Pintu kontena itu dikunci sebelum kakinya mengikut langkah Baim yang sudah ke depan.
“Pejabat Tuan Hell tu kat mana?” Soal Sufi setelah dapat menyaingi langkah Baim. Sengaja dia menekankan perkataan ‘hell’ bagi melepaskan ketidakpuasan hatinya.
“Tuan Hail bukan hell…” Tegur Baim perlahan.
Sufi mencebik. Langkah kaki diteruskan.
“Encik tahu tak kenapa saya panggil tuan encik tu macam tu? Mulut dia tu macam puaka, encik tahu tak? Sesuka hati dia je maki-maki saya. Dia ingat saya ni tak ada perasaan? Sampai sekarang saya masih terfikir, betul ke Am ada abang macam dia tu. Rasa macam tak percaya pula. Am tu baik, sopan-santun, bila bercakap dengan perempuan, lembut je. Tak adalah ego melangit macam abang dia tu. Suara asyik nak memetir. Bukan telinga aje sakit, hati pun sakit!” Bebel Sufi.
Baim menyembunyikan senyum. Nampaknya bebelan gadis yang dikenali sebagai Sufi Awliya ni masih tidak berpenghujung. Sudahnya, Baim hanya menadah telinga mendengar leteran Sufi yang tida bernoktah.
“Kita dah sampai…” Ucap Baim menghentikan bicara Sufi.
Sufi tercengang-cengang. Tegak anak matanya memandang ke hadapan. Buat seketika dia tergamam melihat rumah banglo dua tingkat yang diperbuat daripada kayu cengal tersergam di hadapan matanya.
“Ini ke ofis tuan encik tu?” Soal Sufi dengan mata yang terkebil-kebil.
“Taklah. Ini rumah Tuan Hail. Pejabatnya sebelah sana.” Ujar Baim lantas menunjukkan jalan kepada Sufi.
Ini rumah mamat tu? Mak datuk, besar gila rumah dia. Walaupun rumah ini bercirikan tradisional namun nampak cantik di mata Sufi. Ini baru bahagian belakang, entah bagaimana pula bahagian hadapan rumah itu.
“Eh, sekejap. Maknanya, tempat saya tinggal semalam tu dalam kawasan rumah tuan encik ke?” Soal Sufi apabila dia menyedari keadaan sebenar.
Baim hanya menganggukkan kepala.
“Betul. Tempat tinggal awak dalam kawasan rumah Tuan Hail. Jarak rumah ni dengan tempat tinggal awak kira-kira dalam lima puluh meter. Belakang sana tu ladang kelapa sawit, depan rumah awak tu, kebun buah-buahan milik Tuan Hail.” Terang Baim sambil menunjukkan beberapa batang pokok manggis dan rambutan yang ditanam di belakang rumah banglo kayu yakni berhadapan dengan tempat tinggalnya sekarang.
Ini bermakna, kawasan rumah ini sangat besar dan luas! Bayangkan kalau daripada tempat dia tinggal untuk ke kawasan rumah ini memakan masa sepuluh minit, agaknya berapa jumlah keluasan kawasan rumah abang Hamsyari ni? Hati Sufi cuba menebak. Tetapi gagal. Dia tidak menyangka Hamsyari sekaya ini.
“Maknanya saya tak ada peluang nak larikan diri?” Soal Sufi lebih kepada dirinya sendiri. Dia menundukkan wajah.
“Awak dah bercadang nak larikan diri ke?” Soalan dibalas soalan oleh Baim. Keningnya terjongket. Wajah Sufi yang cemberut dipandang lama.
Melihat pada air wajah gadis di hadapannya, Baim bagaikan tidak percaya gadis itu menjadi penyebab kecelakaan yang diterima oleh Hamsyari.
Sufi tidak menjawab. Dia hanya mampu mengeluh kecil.
Tak guna juga kalau aku larikan diri sekarang. Semua barang-barang tertinggal dekat wad Hamsyari. Abah pula tengah bercuti dekat Jakarta. Takkan ada sesiapa pun yang perasan kehilangan aku dekat sana dan dekat sini tak ada sesiapa yang akan percaya pada aku. Keluh hati Sufi tidak berkesudahan.
“Mana pejabat tuan encik?” Soal Sufi tanpa menjawab soalan Baim.
“Jom saya tunjukkan…”


“KENAPA abang termenung je ni? Tak suka datang sini ke?” Soal Puan Samihah tiba-tiba. Dia mendapatkan suaminya yang sedang berdiri menghadap balkoni di bilik hotel mereka.
Encik Latif berpaling. Satu senyuman hambar diukirkan buat Puan Samihah.
“Taklah. Abang suka. Abang suka dapat luangkan masa dengan Mihah dan Ana. Cuma abang teringatkan Sufi. Agaknya Sufi dah sampai belum kat kampung, ya?” Balas Encik Latif.
“Abang ni, Sufi tu bukan budak-budak lagi. Mestilah dia dah sampai kampung semalam. Kalau abang nak call pun tak guna, kita bukan kat Malaysia sekarang. Biarlah dia habiskan masa dengan umi dia. Tiga tahun dia tinggal dengan kita, mestilah dia rindu dengan umi dan mek dia.” Ujar Puan Samihah.
Encik Latif hanya mampu melepaskan nafas pendek. Dia menggigit bibir. Benar juga kata Puan Samihah, tiga tahun Sufi tinggal dengannya tetapi entah mengapa hatinya sering rindu akan anak gadisnya itu. Terasa tiga tahun itu tidak mencukupi untuk dia menembus segala kesalahannya pada Sufi.
Masih berbaki rasa bersalah dalam diri Encik Latif apabila dipaksa meninggalkan Puan Suraya yang tengah sarat mengandung semata-mata tidak mahu bertegang urat dengan emaknya sendiri. Berat. Sangat berat. Itulah yang dirasakan oleh Encik Latif waktu itu. Dia tidak berdaya untuk mempertahankan rumah tangganya sendiri lantaran sikap Puan Hanum yang pentingkan diri sendiri.
“Mungkin setakat ini sajalah jodoh kita, bang. Su reda andai ini yang tercatat untuk kita. Abang tak perlu buat pilihan antara Su dan mak sebab mak abang adalah segala-galanya bagi abang. Mak tak suka Su. Dia tak pernah reda kita kahwin. Perkahwinan tanpa reda ibu ni, susah nak bahagia, bang. Su tak nak abang jadi anak derhaka. Su tak nak mak terus berdosa. Lepaskan Su. Abang pulanglah pada mak abang.”
Kata-kata Puan Suraya masih terngiang di telinganya. Mana mungkin dia melupakan wanita pertama yang hadir dalam hidupnya dengan sekelip mata. Ketabahan Puan Suraya membuat hatinya tersentuh. Namun, dek desakan Puan Hanum, dia mengalah dalam memperjuangkan cintanya.
Tanpa sedar, setitis air mata Encik Latif gugur. Dia tersentak. Dengan pantas, dia memalingkan wajahnya ke tempat lain.
“Abang, kenapa diam aje ni? Abang okey ke?” Soal Puan Samihah cuba mengintai wajah Encik Latif.
Encik Latif hanya menganggukkan kepala. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Abang okey je. Ana mana?” Soal Encik Latif cuba mengalih topik perbualan mereka berdua.
“Dah tidur. Penat sangat gayanya. Seronok dapat bercuti macam ni.” Balas Puan Samihah tanpa dapat mengesan roman wajah Encik Latif yang berubah.
“Kalau Sufi ada lagi best…” Gumam Encik Latif perlahan.
Dahi Puan Samihah berkerut. Mati terus senyumannya.
“Abang ni, asyik-asyik Sufi. Abang jangan lupa Ana tu pun anak abang. Mihah tahulah Sufi itu anak cinta pertama abang tapi sekarang ni Mihah isteri abang. Ke abang masih simpan angan-angan nak hidup dengan janda abang tu?” Suara Puan Samihah hampir meninggi. Dia memeluk tubuh. Rambutnya yang dibiarkan lepas diselak ke belakang. Hatinya terasa bahang dengan tiba-tiba.
Encik Latif menggigit bibir. Dia sudah terlepas kata.
“Bukan itu maksud abang. Mihah kenalah faham, Sufi tu anak abang. Anak yang abang abaikan, hanya tiga tahun abang dapat hidup dengan dia, habiskan masa dengan dia, tentulah abang rindu. Selama ni, abang tak berpeluang untuk jaga dia, jadi logiklah kalau abang asyik teringatkan dia.”
“Ana tu macam mana? Abang langsung tak kisah pasal dia? Dia anak kita tau!”
“Ya, abang tahu. Ana anak kita. Abang sayangkan Ana sama abang sayangkan Sufi. Tak ada beza pun. Sama macam abang sayangkan Mihah.” Balas Encik Latif. Lembut. Cuba memujuk rajuk Puan Samihah.
“Tapi abang tak cintakan Mihah kan?” Bentak Puan Samihah.
Satu keluhan terbit daripada mulut Encik Latif. Penat sungguh asyik bergaduh perkara yang sama dengan isterinya. Walhal, umur mereka sudah menjengah ke angka lima puluh tetapi hari-hari mereka takkan lengkap tanpa pergaduhan ibarat pasangan yang baru mula mendirikan rumah tangga.
“Abang dah penat cakap benda yang sama. Suka hati Mihahlah nak anggap apa. Cuma abang nak Mihah fikir, kalau abang tak sayangkan Mihah, tak sayangkan Ana, dah lama abang tinggalkan awak dua beranak!” Jawab Encik Latif lantas berlalu.
Terbuntang mata Puan Samihah mendengar bicara Encik Latif. Kakinya dihentak-hentak ke lantai.
“Abang, tunggu! Mihah tak habis cakap lagi ni!”

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.