Tetamu Rindu

Wednesday 19 September 2018

CAGARAN CINTA ( PROLOG )


“SAYA minta maaf, Am. Ini keputusan dia. Saya tak mampu nak halang.”
Suara yang lembut itu tidak mampu untuk menenangkan hati Hamsyari yang sedang galau. Dia tidak menyangka ini semua akan terjadi pada dia setelah hatinya dipenuhi dengan bunga-bunga cinta yang sedang mekar.
Hancur hatinya menjadi keping-keping yang tak akan mungkin bercantum kembali. Ke mana harus di bawa hatinya yang berantakkan. Bagaimana caranya ingin merawat jiwanya yang terluka? Perasaan yang terdera?
“Tapi takkan tak boleh bagi saya satu peluang lagi? Saya tak tahu apa salah saya dengan dia sampai sanggup dia tinggalkan saya macam ni. Saya tak pernah berkasar dengan dia. Saya bagi apa saja yang dia nak tapi kenapa dia putuskan hubungan ni? Kenapa? Saya nak jumpa dia.” Lirih saja suara Hamsyari kedengaran. Dia mengenggam satu kotak baldu warna merah yang berada di bawah meja.
“Saya tak tahu, Am. Awak jangan tanya saya. Saya cuma ikut cakap dia supaya datang jumpa awak. Dia harap awak jangan ganggu dia lagi atau cuba hubungi dia. Dia tak nak ada sebarang kaitan dengan awak. Saya tahu perkara macam ni susah untuk awak terima tapi satu hari nanti awak akan faham. Awak lupakan ajelah dia.” Gadis di hadapannya berbicara perlahan. Wajahnya juga nampak tertekan.
Hamsyari tersenyum sinis. Senyuman yang sengaja dilakarkan untuk menyembunyikan rasa yang begitu memeritkan. Air mata yang bergenang akhirnya mengalir jua di pipinya.
“Dia cinta pertama saya. Saya tahu dia akan jadi cinta terakhir saya. Saya tak boleh lupakan dia semudah yang awak cakap. Saya nak penjelasan daripada dia. Dia milik saya! Awak faham tak?” Suara Hamsyari meninggi.
Gadis itu terkulat-kulat. Dia memandang sekeliling. Beberapa pasang mata yang berada dalam restoran itu memandang mereka berdua dengan wajah yang penuh tanda-tanya.
“Saya minta maaf, saya tak dapat nak tolong awak kali ni. Ini keputusan dia. Saya pergi dulu.” Ucap gadis itu lalu bangkit meninggalkan Hamsyari keseorangan.
Hamsyari terdiam di tempat duduk. Saat ini fikirannya dipenuhi dengan bayangan wajah itu. Cukup cantik di matanya tetapi sayang kecantikan itu telah menghancurkan sekeping hati miliknya.
Perlahan-lahan, kotak baldu berwarna merah ditarik dan diletakkan di atas meja. Dia membuka kotak tersebut dengan perasaan yang berkecamuk. Seutas rantai tangan emas terbias di ruang mata berselang-seli dengan gambaran wajah gadis yang berjaya mencuri hatinya.
Segala kenangan yang pernah mereka lalui bersama, terlayar ke ruang mata. Tidak kurang juga pengorbanan demi pengorbanan yang dilakukan untuk gadis itu turut tertayang di kotak fikiran. Hamsyari tertekan. Dia menekup wajahnya ke meja. Dia menangis meratapi hatinya yang dihancurkan dengan kejam.
“Sampai hati awak buat macam ni pada saya. Saya sayangkan awak. Saya tak boleh hidup tanpa awak.” Ngongoi Hamsyari tanpa mempedulikan pandangan orang di sekelilingnya.
Apa lagi yang tinggal untuk dirinya setelah hatinya dikhianati sedangkan cintanya sungguh suci.


HAMSYARI memandang kosong telefon bimbitnya. Perit yang dirasakan sungguh tidak tertanggung. Pada siapa ingin diluahkan rasanya saat ini? Dia kehilangan punca. Kekasih hati yang dicintai sepenuh hati menolaknya mentah-mentah. Pada siapa harus dirungutkan beban perasaan yang menghempap diri.
Dia duduk berteleku di atas lantai. Kedua belah lututnya ditarik hingga ke dada. Tiada sesiapa di sisinya saat ini untuk meluah perasaan. Dia keseorangan. Dia kesunyian. Bayang wajah gadis itu tidak mahu hilang dari fikirannya membuatkan jiwa Hamsyari bertambah kusut.
“Jangan kacau aku lagi! Kau tak faham bahasa ke? Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan orang miskin macam kau ni. Kau ingat kau boleh sara hidup aku dengan kerja kau tu? Lupakan jelah. Selama ni aku rapat dengan kau sebab aku nak hilangkan bosan aku je.” Suara yang selama ini lunak kini bertukar garang kembali terngiang-ngiang di telinga Hamsyari. Hatinya tersiat.
“Tapi saya cintakan awak. Saya tak boleh hidup tanpa awak!” Ucap Hamsyari sambil memegang kemas telefon yang berada dalam genggaman. Dia cuba memujuk.
Kedengaran suara di hujung talian merengus kasar.
“Eh, kalau kau tak boleh hidup tanpa aku, kau pergi mati! Menyemak ajelah!” Maki suara itu lagi sebelum talian diputuskan.
Lamunan Hamsyari terhenti apabila telefon bimbitnya menjerit nyaring. Cepat-cepat dia menjawab panggilan kerana terfikirkan itu mungkin panggilan daripada gadis yang dia cintai.
“Hello, saya tahu awak akan telefon saya balik. Awak sayangkan saya kan?” Sergah Hamsyari dengan suara tersekat-sekat akibat menahan sendu. Hatinya begitu rapuh saat ini.
“Am, kenapa dengan kau ni? Ini abanglah. Abang dah on the way nak ke rumah. Kau tunggu abang tau.” Tegur suara garau di hujung talian.
Senyum di bibir Hamsyari mati dengan sendirinya. Bayang wajah abangnya terlayar di ruang fikiran silih berganti dengan gambaran wajah yang dirindui itu.
“Abang, dia tak cintakan Am. Dia dah tinggalkan Am! Cinta memang kejam pada Am, bang.” Ngongoi Hamsyari dengan air mata yang semakin laju mengalir di pipi.
“Apa kau merepek ni, Am?” Soal abangnya dengan nada yang terkejut.
Hamsyari menyeka air mata yang menodai pipi. Pandangannya terarah ke meja sisi. Terdapat dua papan paracetamol berjenama Panadol dan sebotol ubat batuk yang sengaja dibeli menarik perhatiannya. Panggilan daripada abangnya tidak disahut. Hanya satu dalam kepala saat ini, dia ingin menamatkan segala-galanya.
“Dia minta Am pergi mati, abang. Bidadari Am minta Am pergi mati! Kalau Am mati, dia akan cintakan Am kembali ke?” Lirih suaranya kedengaran.
“Am, kau kat mana? Cakap kat abang sekarang! Siapa yang buat kau macam ni?” Si abang menjerit lagi.
Tapi Hamsyari tidak peduli. Fikirannya terganggu saat ini. Segala perasaannya bercampur baur sehingga membuatkan otaknya menjadi tepu. Pandangannya kosong. Seakan-akan terlihat seorang gadis sedang melambai ke arahnya dengan senyuman manis. Mata Hamsyari sememangnya telah dikaburkan oleh perasaan yang menekan dalam jiwanya.
“Saya tahu awak cintakan saya. Saya akan mati kalau itu permintaan awak!” Ucap Hamsyari.
Prankkk!
Telefon bimbit jenis Nokia 1200 dicampakkan ke dinding. Sekelip mata telefon tersebut pecah berderai. Sedangkan saat ini Hamsyari mula mencapai dua papan Panadol dan sebotol ubat batuk yang terletak di atas meja sisi. Dia mengeluarkan hampir dua puluh biji Panadol lalu ditelan sekali gus! Mukanya berkerut menahan rasa pahit namun Hamsyari tetap gagahkan jua. Kemudian, dia mencapai ubat batuk lalu diteguk cecair itu tanpa meninggalkan walau setitik pun. Wajah Hamsyari mula berpeluh. Jantungnya mula berlari dengan laju. Lantas, dia merebahkan diri di atas lantai.
Mungkin dengan cara ini aku boleh lupakan kau. Mungkin dengan cara ini cinta yang menghuni hati aku akan terhakis dengan sendirinya. Bisik hati Hamsyari. Dia memejamkan matanya dengan rapat. Serapatnya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.