Tetamu Rindu

Wednesday 19 September 2018

CAGARAN CINTA ( BAB 1 )

“JAUH termenung, Sufi.” Tegur satu suara mengejutkan Sufi daripada lamunan panjangnya. Dia kalih ke belakang. Hanya senyuman hambar yang dapat dia ukirkan pada Abang Mie yang berdiri di belakangnya.
“Eh Abang Mie. Dah siap masak ke?” Soal Sufi sekadar berbasa-basi. Wajahnya ditundukkan sambil tangannya lincah memintal kain pengelap meja.
Abang Mie hanya tersenyum nipis. Dia dapat mengesan sesuatu daripada wajah Sufi yang tidak ceria seperti selalu. Senyuman hambar yang diukirkan oleh gadis itu menceritakan segalanya.
“Dah siap dah. Abang tengok Sufi ni macam ada yang tak kena je. Kenapa? Ada masalah?” Soal Abang Mie lantas menarik kerusi untuk duduk. Satu kerusi lagi ditarik untuk Sufi. Dia memberi isyarat mata pada Sufi agar turut duduk.
Sufi akur. Dia melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan Abang Mie. Satu keluhan dilepaskan.
“Saya risaukan pasal Am.” Jawab Sufi perlahan.
“Haahlah, masuk hari ni dah tiga hari Am tak datang kerja. Tak pernah pulak dia macam ni. Kalau dia nak cuti mesti dia bagi tahu dulu. Dia tak ada call Sufi ke?” Soal Abang Mie kembali setelah menyedari kehilangan Hamsyari.
“Tak ada pun, Abang Mie. Saya call dia pun tak dapat. Nombor tu dah tak guna. Saya risau dia merajuk dengan saya je.” Jawab Sufi dengan wajah yang ditundukkan.
“Merajuk? Kenapa pula dia nak merajuk dengan Sufi. Kamu berdua ada apa-apa hubungan ke?” Soal Abang Mie sambil memain-mainkan keningnya dengan senyuman penuh makna tersungging di bibir.
“Hesy, abang ni ke situ pula. Saya cuma risau aje. Tak pernah-pernah Am tak datang kerja lama macam ni. Abang tahu tak kat mana dia tinggal?” Soal Sufi lagi sambil tangannya mengesat meja buat kesekian kalinya.
Abang Mie terdiam seketika. Dia memikirkan sesuatu sebelum satu keluhan dilepaskan.
“Alamak, abang lupa pula nak tanya, Sufi. Sufi tahulah restoran abang ni restoran biasa-biasa je jadi abang tak adalah guna borang masa ambil pekerja dulu. Dia pun tak pernah cerita pasal asal usul dulu. Kalau abang tanya apa-apa pasal diri dia, mesti dia senyap aje. Takkan Sufi tak tahu apa-apa pasal Am? Dia kan baik dengan Sufi.” Balas Abang Mie kembali menatap wajah Sufi dengan penuh harapan.
“Memang kami kawan baik tapi setiap kali Sufi tanya, tentu Am tak jawab. Paling tak pun, dia senyum aje. Tapi Sufi tahulah dia anak yatim piatu. Pasal ahli keluarga dia yang lain, tak pernah langsung dia sebut. Soal famili ni sensitif jadi Sufi tak naklah tanya lebih-lebih. Bila jadi macam ni, rasa rugi pula tak tanya dia betul-betul. Kalau jadi apa-apa pada dia, tentu susah kita nak maklumkan pada keluarga dia.” Ujar Sufi mula terasa kesal dengan ketidak prihatinan dirinya sendiri terhadap Hamsyari.
Jauh di dalam hatinya timbul rasa bersalah yang kuat mencengkam jiwanya. Dia yakin kehilangan Hamsyari kali ini pasti ada kaitan dengan dirinya. Saya yang mulakan semua ni, Am. Saya tahu saya bersalah. Kalau ada apa-apa jadi pada awak, saya takkan maafkan diri saya. Monolog Sufi dengan rasa kesal yang menggunung.
“Abang pun risau juga ni. Apa kata kita tunggu sampai esok, kalau dia tak jawab call atau tak datang kerja, terpaksalah kita guna apa cara sekali pun untuk cari dia.” Balas Abang Mie sekadar untuk menyedapkan hati Sufi dan hatinya sendiri.
Sungguh, kehilangan Hamsyari menjadi tanda tanya pada dirinya sekarang. Selaku majikan, tipulah kalau dia tidak risau kerana segala apa yang berlaku pada pekerja adalah tanggungjawabnya.
Sufi hanya mampu mengeluh. Dia bermain dengan jari-jemarinya sendiri. Otaknya ligat memikirkan keberadaan Hamsyari saat ini. Mustahil lelaki itu balik kampung tanpa memaklumkan kepada Abang Mie terlebih dahulu. Atau ada apa-apa yang terjadi kepada Hamsyari selepas kejadian itu? Detik hati Sufi mulai gundah. Saya harap awak tak apa-apa, Am. Doa Sufi dalam diam. Dengan penuh keikhlasan dan pengharapan.

SATU renungan sayu dilemparkan kepada Hamsyari yang terbaring di atas katil. Wajah itu tampak lemah dan tidak bermaya. Begitu juga dengan wajahnya saat ini. Masih segar dalam ingatannya sewaktu dia menemui Hamsyari terbaring di dalam bilik dengan keadaan yang lemah dan separa sedar.  Nafasnya cetek. Terdapat juga kesan muntah pada mulut dan pakaian Hamsyari. Perkara yang tidak dapat dia terima dengan akalnya adalah saat melihat dua papan Panadol yang kosong bersama sebotol ubat batuk yang turut kosong berselerakan di lantai bilik Hamsyari.
Saat itu, dia sedar. Dia tersedar yang Hamsyari cuba membunuh diri dengan menelan Panadol dan ubat batuk sekali gus. Hancur! Luluh! Itulah yang dirasakan oleh dirinya saat itu. Walaupun Hamsyari masih lagi bernyawa saat dia membawa adiknya ke hospital tetapi akibatnya, darah Hamsyari dicemari toksik. Kandungan paracetamol yang tinggidalam darah Hamsyari boleh merosakkan fungsi hati dan ginjal.
Nasib Hamsyari baik apabila kerana ditemui dan segera dibawa ke hospital. Dokto cepat menyelamatkannya dengan memberi antidot. Cuma yang memeningkan kepala dia saat ini adalah sikap Hamsyari yang mendadak berubah walaupun adiknya itu telah sedarkan diri.
“Adik encik mengalami major depressive disorder yang membuatkan dia bertindak untuk membunuh diri. Biasanya, major depressive disorder ini berlaku disebabkan tekanan perasaan yang tak mampu dia kawal. Kebanyakan kes, depresi ini terjadi disebabkan putus cinta yang mengakibatkan dia hilang semangat.”
Suara Doktor Murni kembali terngiang di lohong pendengaran. Wajahnya diraup berkali-kali. Bunuh diri? Hamsyari cuba bunuh diri? Sungguh dia tidak percaya. Adiknya diberi didikan agama yang secukupnya malah Hamsyari bukan lelaki yang akan membelakangkan agama dalam apa hal sekali pun. Tapi cubaan membunuh diri yang dilakukan oleh adiknya itu membuatkan hatinya rawan. Apa penyebab yang memaksa Hamsyari bertindak senekad ini?
“Am… Maafkan abang sebab tak jaga Am dengan baik. Am abaikan Am sampaikan Am nekad nak berdikari tanpa bantuan abang. Abang bukan tak endahkan Am, cuma abang sibuk. Tapi abang tak sangka kesibukan abang membawa padah pada Am. Maafkan abang sebab tak peka pada perubahan Am. Cakaplah pada abang siapa yang buat Am sampai macam ni sekali? Kenapa Am nekad nak bunuh diri sedangkan abang masih ada untuk Am? Abang dah tak ada sesiapa lagi selain Am. Am kena kuatkan semangat. Kalau bukan untuk Am, Am kena kuat untuk abang. Abang sayangkan Am lebih dari segalanya.” Ucapnya dengan sendu yang makin kedengaran.
Dia mencapai tangan Hamsyari yang sedang nyenyak tidur. Wajah itu tidak setenang dulu. Dia dapat melihat jalur-jalur kesakitan yang terpamer di wajah si adik. Hail menundukkan wajah. Matanya dipejamkan seketika. Hatinya remuk. Jiwanya terdera dengan apa yang terjadi. Terngiang-ngiang suara sendu Hamsyari sebelum adik kesayangannya itu ditemui terbaring tidak berdaya di dalam bilik tidurnya.
“Abang, dia tak cintakan Am. Dia dah tinggalkan Am! Cinta memang kejam pada Am, bang.”
“Apa yang Am cuba buat ni? Cakaplah pada abang. Siapa yang paksa Am bertindak sejauh ni? Siapa yang buat iman adik abang ni lemah sampai macam ni sekali? Cakaplah, Am. Biar abang heret dia jumpa dengan Am. Biar dia rasa apa yang Am rasa saat ini. Bangunlah Am. Cakap dengan abang!” Ngongoi dia lagi. Tangan Hamsyari digenggam erat seakan menyalurkan semangatnya buat si adik. Air mata yang mengalir diseka dengan kasar.
“Dia minta Am pergi mati, abang. Kalau Am mati, dia akan cintakan Am kembali ke?”
Suara Hamsyari kembali bergema dalam kotak fikirannya. Dia mengepal penumbuk. Dia yakin pasti adiknya telah putus cinta sehingga memaksa lelaki lurus seperti Hamsyari nekad ingin bunuh diri. Kata-kata itu menjelaskan segalanya.
“Aku takkan lepaskan kau, perempuan. Kau harus terima pembalasan kerana hancurkan hati adik aku. Kau harus rasa kesakitan yang terpaksa Am tanggung semata-mata kerana cinta kau yang tak guna! Kau tunggu. Aku takkan lepaskan kau dengan mudah. Kau harus bertanggungjawab!” Ucapnya sarat dengan dendam.
Dadanya berombak ganas. Matanya merah menahan marah yang membuak-buak. Dia tidak tahu siapa kekasih hati Hamsyari tetapi itu bukan alasan untuk dia berpeluk tubuh. Dia akan tuntut bela terhadap Hamsyari. Dia tidak mahu Hamsyari hidup terseksa. Apa yang pasti, perempuan yang telah menghancurkan hati Hamsyari, harus menerima nasib yang sama. Kehancuran harus dibalas dengan kehancuran. Itu janji Hail Haiyan!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.