Tetamu Rindu

Wednesday 19 September 2018

CAGARAN CINTA ( BAB 3 )

ANAK mata Baim yang terlindung di sebalik kaca mata hitam masih lagi tidak beralih daripada memandang Restoran Pantai Timur  yang dipenuhi oleh orang ramai tengah hari itu. Sesekali dia memandang sekeping gambar yang diberikan oleh Hail sebelum kembali memandang kawasan sekeliling restoran, mencari gadis yang sama seperti di dalam gambar. Namun, hingga sekarang bayang salah seorangnya tidak kelihatan.
“Dah macam spy pun ada gaya aku ni. Kalau aku tanya orang dalam restoran tu, mesti dia orang syak yang bukan-bukan. Buatnya dia orang tuduh aku penculik, pembunuh upahan, naya aku.” Bebel Baim sendirian.
“Pastikan tiada seorang pun yang tahu tentang Am. Aku nak bersemuka dengan kedua-dua perempuan tu sendiri. Biar aku yang tentukan hukuman apa yang layak dia terima selepas apa yang dia buat pada Am.” Suara Hail terngiang di lohong pendengaran. Satu keluhan dilepaskan.
Baim sendiri tidak menyangka, tuan mudanya sanggup melakukan perbuatan keji itu semata-mata kerana cinta. Begitu rapuh pegangannya gara-gara cinta yang tidak kesampaian. Tetapi yang menjadi persoalan sekarang ini, siapakah gadis yang bertanggungjawab menghancurkan iman seorang pemuda yang kuat seperti Hamsyari?
Lamunan Baim terhenti apabila sebuah teksi berhenti di hadapan keretanya. Selang beberapa saat, seorang gadis berambut panjang, memakai blaus singkat dan berseluar jeans keluar dari perut kereta. Tiada secalit senyuman pun yang terukir di bibirnya. Mata Baim terbuka luas. Sah! Perempuan itu adalah gadis yang sama seperti di dalam gambar yang diberikan oleh Hail. Dia harus bertindak cepat sebelum terlepas.
Sementara itu, mulut Ariana tidak henti-henti mengomel apabila jadual penggambaran yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa ditunda. Jadi, bagi menghilangkan rasa bengangnya, dia singgah di restoran tempat Sufi bekerja. Bolehlah dia mengisi perutnya yang masih belum terisi.
“Buang masa aku aje make up beria. Tapi photoshoot cancel. Kalau bagi tahu awal kan senang, tak payah aku packing baju bagai. Dahlah lapar.” Rungut Ariana. Dia membimbit beg pakaiannya dan ingin mengatur langkah ke restoran.
“Cik…” tegur satu suara dari arah belakang menghentikan langkah Ariana. Dia berpaling sejenak.
“Panggil saya ke?” Soal Ariana sebaik saja melihat seorang lelaki yang segak memakai sut berwarna hitam dan berkaca mata hitam berdiri di belakangnya.
“Ya, saya nak jumpa cik sekejap boleh?” Soal Baim dengan penuh sopan. Dia menghampiri Ariana yang berdiri di tepi jalan.
Dahi Ariana berkerut. Cuba mengamati wajah lelaki tersebut. Namun, gagal. Wajah itu tiada dalam kotak memorinya.
“Kita kenal ke? Seingat saya, saya tak pernah jumpa awak sebelum ni.” Ariana mula menagih kepastian. Dia merenung wajah Baim dengan penuh tanda tanya.
Baim hanya tersenyum manis. Menyembunyikan rasa gusar apabila berhadapan dengan Ariana. Ternyata, gadis yang berhadapan dengannya sekarang ini jauh lebih cantik jika hendak dibandingkan di dalam gambar. Jadi, inikah kekasih tuan mudanya?
“Ya, kita tak pernah jumpa. Saya cuma nak tanya, cik kenal tak lelaki dalam gambar ni?” soal Baim lalu menghulurkan sekeping gambar kepada Ariana.
“Gambar? Gambar apa ni?” Soal Ariana lantas menyambut huluran tangan Baim. Dia memandang gambar itu sekilas. Matanya terbuka luas apabila melihat gambar dirinya disamping Hamsyari dan kakaknya, Sufi. Dia kembali memandang wajah lelaki yang tidak diketahui namanya itu, hatinya mula terasa sesuatu. Siapa lelaki ini dengan Hamsyari? Detik hatinya. Kemudian, dia memandang ke arah kereta Mercedes berwarna hitam yang berada di belakang lelaki tersebut. Dia mengecilkan mata.
Takkan dia ini abang Am? Mustahil Am anak orang kaya. Pakai pun selekeh. Pergi kerja pun naik motor. Entah-entah, lelaki ini along tak? Mesti Am pinjam duit dengan dia tapi tak lepas nak bayar jadi dia cari Am. Sebab itulah Am hilangkan diri. Aku kena hati-hati ni. Monolog Ariana.
“Cik kenal tak lelaki tu?” Soal Baim lagi setelah Ariana mendiamkan diri agak lama.
“Kenal. Tapi kenal gitu-gitu aje. Kenapa cari dia? Awak ni siapa dengan dia?” Soal Ariana kembali.
Baim terus mengukir senyum.
“Kalau cik tak keberatan, boleh tak kalau cik ikut saya sekejap. Ada seseorang nak jumpa cik. Mungkin cik boleh bantu kami cari Hamsyari. Dia hilang. Dah lama dia tak balik rumah.” bohong Baim dengan membuat mimik sedih.
“Hilang? Jadi awak ni keluarga Am ke?” Soal Ariana masih tidak percaya.
“Boleh dikatakan macam tulah. Saudara jauh.”
“Tipu. Saya tak percaya. Am tu miskin. Takkanlah ada saudara kaya macam awak ni.” Tingkah Ariana.
Baim tersentak. Ayat yang dilontarkan oleh Ariana sedikit berbisa. Hatinya tersentap. Namun, dia terus melebarkan senyuman.
“Kalau dia miskin, tak semestinya saya miskin kan? Kalau cik nak tahu, apa kata cik ikut saya. Saya pun perlukan bantuan cik ni.”
“Apa yang saya dapat kalau saya tolong awak?” Soal Ariana tiba-tiba.
Baim terkedu. Apa yang harus dikatakan?
“Macam nilah, kalau cik tolong saya, saya akan bagi berapa aje yang cik nak. Saya cuma nak cik ikut saya je. Boleh? Cik jangan takut, saya bukan orang jahat. Saya cuma nak tahu pasal Hamsyari aje.” Pujuk Baim lagi penuh dengan sopan.
Ariana terdiam. Dalam fikirannya berputar-putar simbol duit. Setakat bagi maklumat je, bukan susah pun. Janji aku dapat duit. Nak tunggu payment, lambat. Kalau minta duit dengan abah, abah marah. Mungkin ini peluang aku untuk dapat duit dengan senang. Fikir Ariana.
“Baiklah. Saya akan cuba bantu.” Balas Ariana akhirnya.
Baim tersenyum penuh makna. Jerat akhirnya mengena. Tak susah pun nak pasang perangkap, asalkan duit menjadi modalnya. Manusia zaman sekarang lebih pentingkan duit daripada segalanya. Bisik hati Baim.
“Tapi sebelum tu, boleh saya  tahu nama cik apa?” soal Baim sambil membuka pintu sebelah pemandu khas untuk Ariana.
“Panggil saya Ariana je.” Jawab Ariana lalu melangkah masuk ke dalam kereta tanpa berfikir panjang.
Baim menganggukkan kepala. Cepat-cepat dia melompat masuk ke dalam kereta, bimbang jika gadis itu berubah fikiran. Enjin dihidupkan sebelum kereta mewah itu berderum meninggalkan kawasan tersebut.
“Kita nak ke mana ni?” Soal Ariana masih ada sedikit ragu-ragu apabila berada bersama dengan orang asing.
“Kita nak pergi tempat yang sesuai untuk bersembang pasal Hamsyari. Tentu cik perlukan tempat yang selesa. Tempat yang sejuk. Kat luar ni panas. Nanti gelap pula kulit cik yang putih melepak tu.” Ujar Baim berbaur pujian.
Ariana menyelitkan rambutnya di celah telinga. Dia tersenyum bangga. Namun, senyumannya mati apabila tiba-tiba kereta yang dipandu oleh Baim berhenti di pinggir jalan yang sunyi.
Dia berpaling ke arah Baim. Kelihatan lelaki itu mengeluarkan sesuatu daripada poket seluar.
“Kenapa awak berhenti? Apa yang awak nak buat ni?!” soal Ariana cemas.
“Maafkan saya, cik. Saya terpaksa!”
Lantas, Baim menekup wajah Ariana menggunakan kain yang telah disapu dengan chloroform. Ariana tidak sempat untuk melawan, dia hanya mampu meronta-ronta sebelum tubuhnya longlai dan matanya terus terpejam rapat. Dia pengsan.
Baim mengangkat kain yang menutupi wajah Ariana. Tangannya menggigil. Kali pertama dia melakukan kerja gila seperti ini. Terasa dirinya seperti penjenayah. Dia melepaskan keluhan berat.
“Maafkan saya, cik. Demi kebenaran, saya terpaksa lakukan semua ni.” Ucap Baim lalu meneruskan perjalanan bersama jasad Ariana yang tidak sedarkan diri.


“APA yang Sufi jengukkan tu?” soal Abang Mie apabila melihat Sufi menjengukkan kepala memandang ruang luar restoran setiap kali gadis itu ke kaunter.
“Tak ada apa-apa, Abang Mie. Tadi Ana ada telefon, katanya nak singgah tapi sampai sekarang tak nampak pun batang hidung dia.” Jawab Sufi dengan riak kerisauan mula terpancar di wajah.
Abang Mie hanya melemparkan senyuman manis. Dia merenung wajah Sufi yang lembut. Itulah sikap Sufi yang disenangi oleh Abang Mie. Gadis muda itu terlalu mengambil berat tentang orang lain tanpa memikirkan dirinya sendiri. Walaupun Abang Mie tahu, Ariana kadang-kadang tidak menghormati Sufi selayaknya sebagai seorang kakak. Mungkin disebabkan hatinya yang lembut, Sufi mudah mengalah dengan adiknya sendiri.
“Adik kamu tu kan busy orangnya, mungkin dia lambat sampai. Atau pun dia dah keluar makan dengan kawan-kawan dia yang lain. Tak payahlah tunggu sangat. Bukan kali ini dia dia mungkir janji, dah banyak kali Abang Mie perhatikan kamu dengan dia tu. Abang tengok dia tak layan kamu macam kakak pun,” komen Abang Mie.
Sufi tersenyum nipis. Dia menyusun sudu-sudu yang telah siap dilap ke tempat yang disediakan.
“Dia anak bongsu, Abang Mie. Mestilah perangai dia manja sikit. Walaupun kami berbeza ibu tapi saya tetap sayang dia macam adik saya sendiri. Dia darah daging saya.” Jawab Sufi tenang.
Itulah perasaannya terhadap Ariana, walaupun dia sedar Ariana tidak menyayanginya seperti dia menyayangi gadis itu. Biarlah. Kerana bagi Sufi, ikatan kekeluargaan itu lebih penting dari rasa benci dan iri hati. Cukuplah ibu dan ayahnya berpisah, dia tidak mahu kehilangan kasih sayang sekali lagi.
“Yalah, abang faham. Cuma kadang-kadang abang tak puas hati dengan layanan dia pada kamu. Tulah, kamu baik sangat. Abang rasa kamu dengan Am tu sesuai sangat. Sama-sama baik hati.” Ucap Abang Mie berbaur gurauan.
Sufi hanya tersenyum sebagai balasan namun senyuman mati dengan sendiri apabila nama Hamsyari meniti di bibir Abang Mie. Dia mengeluh kecil.
“Tak ada apa-apa berita lagi ke tentang Am, bang?” Soal Sufi.
Abang Mie turut melepaskan keluhan berat. Dia menggelengkan kepala.
“Abang harap sangat ada ahli keluarga Am yang datang atau call kita untuk bagi tahu tentang Am. Abang betul-betul tak sedap hati ni,” balas Abang Mie sambil termenung kosong.
Sufi terdiam. Dia pun turut mengharap perkara yang sama. Berharap agar kehilangan Hamsyari terjawab dengan secepat mungkin. Dia bimbang dia menjadi penyebab lelaki itu menghilangkan diri. Di mana awak sekarang, Am? Jangan buat saya rasa bersalah macam ni. Detik hati Sufi. Hanya dia yang mendengar.


“BANGUN!” bunyi suara garau yang kedengaran dekat di telinga membuatkan kelopak mata Ariana yang tertutup rapat, terbuka dengan perlahan-lahan.
Ariana memegang kepalanya yang terasa berdenyut. Hidungnya juga terasa pedih dan berair. Dia kebingungan buat seketika. Dengan kepala yang masih pening-pening lalat, Ariana membetulkan duduk. Dia cuba meraup wajahnya namun dia terasa janggal. Tangannya terikat!
Mata Ariana terbuka luas. Dia gelabah apabila menyedari keadaan yang sebenar. Saat ini, dia berada di dalam sebuah bilik yang sempit. Hanya ada sebuah meja di hadapannya. Manakala, cahaya lampu hanya menerangi tempatnya duduk manakala kawasan sekitar yang lain gelap pekat.
“Aku kat mana ni?” soal Ariana sendirian. Dirinya diserbu rasa takut. Dia cuba untuk bangun, namun tubuhnya terikat di kerusi.
Mata Ariana terbuntang. Aku kena culik ke? Soalnya pada diri sendiri. Dia cuba mengingati sesuatu. Lalu, bayang wajah lelaki yang berkereta mewah terimbas di fikiran.
“Lelaki tu… Tentu lelaki tu yang bawa aku ke sini… Tapi aku kat mana?” soal Ariana lagi. Dia benar-benar ketakutan. Dahinya mula berpeluh. Rambutnya yang kusut masai tidak diendahkan.
“Kenapa takut ke?” soal satu suara dari arah hadapan.
Ariana mula menggigil. Dia mengecilkan mata cuba mencari raut wajah si pemilik suara. Namun, dia gagal. Cahaya lampu hanya menerangi tempatnya.
“Kau siapa?” soal Ariana pendek. Jantungnya mula bergendang sesama sendiri.
“Kau tak perlu tahu siapa aku. Aku cuma nak tahu apa hubungan kau dengan lelaki dalam gambar tu.” Lelaki itu bersuara lagi.
“Gambar?”
Anak mata Ariana terus menangkap gambar yang diletakkan di atas meja, betul-betul di hadapannya. Gambar sama yang ditunjukkan oleh lelaki yang menemuinya tengah hari tadi. Apa kaitan mereka dengan Hamsyari? Adakah lelaki ini orang sama dengan lelaki tengah hari tadi? Pelbagai persoalan mula bermain di benak Ariana.
“Terkejut?” suara itu menyoal lagi.
“Tak! Aku tak ada apa-apa hubungan dia!” tingkah Ariana pantas.
“Tipu!” suara itu menjerkah. Kuat dan lantang.
Ariana terdiam. Dia kecut perut. Air liur yang cuba ditelan terasa tersekat di kerongkong. Apa aku nak buat ni? Macam mana aku nak lepaskan diri? Soal hatinya. Kemudian, anak matanya terarah kepada gambar Sufi yang berada di sebelah Hamsyari. Dia mendapat akal.
“Betul! Kau kena percayakan aku. Aku tak ada apa-apa hubungan dengan dia.” Sangkal Ariana lagi.
“Macam mana kau boleh jadi serapat itu dengan Hamsyari kalau tak ada apa-apa hubungan dengan dia?” suara itu menyoal lagi. Kali ini dengan suara yang mendatar.
Ariana menarik nafas panjang dan menghembuskannya dengan perlahan.
“Hamsyari… Dia… Dia…” Ariana kematian kata. Anak matanya mula meliar ke kiri dan kanan. Dia resah.
“Dia apa?!” lelaki itu membentak.
“Dia kekasih kakak aku!” balas Ariana spontan.
Suara itu terdiam buat seketika.
“Kekasih kakak kau? Siapa?” soalnya kembali.
“Perempuan yang berada dalam gambar ni kakak aku. Hamsyari dan dia bekerja di tempat yang sama. Jadi, logiklah kalau mereka ada hubungan. Aku datang ke restoran tu disebabkan kakak aku, bukan sebab aku ada hubungan dengan Hamsyari. Percayalah, aku bukan kekasih Hamsyari. Dia… Dia kekasih Hamsyari yang sebenarnya.” Tekan Ariana lagi seakan merayu agar lelaki itu mempercayainya.
“Kau ada bukti yang kakak kau tu kekasih Hamsyari?” soal suara itu lagi.
“Kau tak ada bukti yang aku ni ada hubungan dengan Hamsyari jadi kau fikir aku ada bukti untuk tunjuk yang mereka ada hubungan. Kau tanya dia sendiri. Lepaskan aku, aku akan bagi tahu kau kat mana dia berada dan kau boleh tanya dia sendiri.” balas Ariana.
“Apa nama kakak kau?” soal suara itu tanpa menjawab kata-kata Ariana.
“Sufi Awliya…” jawab Ariana pendek.
“Sufi Awliya? S.A?” gumam suara itu perlahan. Dia tersenyum sinis di dalam gelap. Wajah cuak Ariana semakin menarik perhatiannya.
“Di mana dia sekarang?” soalnya lagi.
Ariana mengerling jam yang berada di pergelangan tangan.
“Hari ni hari terakhir dia kerja dekat restoran tu, kalau kau lambat, kau takkan jumpa dia.” Balas Ariana. Dia terpaksa melakukan semua ini untuk melepaskan diri. Dia pasti, Sufi akan faham.
“Aku akan lepaskan kau kalau memang betul dia kekasih Hamsyari. Tapi sebelum tu, duduklah kau dekat sini. Tak lama pun. Kau tunggu ajelah.” Ujar suara itu dengan tawa sinis kedengaran di telinga Ariana.
Ariana membeliakkan mata. Dia cuba untuk bangun tetapi gagal kerana tubuhnya terikat di kerusi. Dia meronta-ronta untuk lepaskan diri.
“Lepaskan aku! Lepaslah! Aku dah bagi tahu apa yang kau nak. Jadi lepaskan aku!” jerit Ariana tidak puas hati.
Bukkk!
Satu ikat duit berwarna unggu dilemparkan di atas meja. Ariana terdiam. Dia memandang duit tersebut dan kawasan gelap di hadapannya silih berganti. Dia meneguk air liur.
“Duit tu akan jadi milik kau, kalau apa yang kau cakapkan itu betul. Jadi buat masa sekarang, lebih baik kau diam sebelum aku ubah fikiran.” Gertak lelaki tersebut.
Ariana terdiam. Dia mengangguk pantas sambil anak matanya tidak lepas daripada memandang duit yang terhidang di atas meja. Berapa agaknya jumlah duit tu? Soal hati Ariana mulai tamak. Hanya bayang duit yang bertaburan saja berada di fikirannya saat ini. Jauh sekali dia ingin memikirkan nasib Sufi.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.