Tetamu Rindu

Monday 17 September 2018

RINDU DALAM RAHSIA ( Rindu Dalam Sepi remake ) - BAB 22

KAU buat apa tu?” soal Amzar sewaktu dia melangkah keluar dari bilik untuk turun ke dapur. Dia memandang Marha yang berada di ruang rehat sambil di hadapan gadis itu dipenuhi dengan helaian kertas.
Marha mendongak. Dia hanya mampu tersengih kepada Amzar.
“Saya siapkan kerja sikit.”
“Kerja apa? Aku ada bagi apa-apa tugas kat kau ke?” soal Amzar lantas kakinya diayunkan ke arah Marha. Dia melabuhkan punggung di sebelah Marha cuba mengintai apa yang terpapar di skrin komputer riba milik isterinya itu.
“Tuan lupa ke annual dinner syarikat dua minggu lagi? Ni saya tengah siapkan teks ucapan untuk tuan semasa dinner tu nanti. Bila tuan dah masuk ofis, nanti saya submit.” Terang Marha dengan senyuman.
Dinner? Ya Allah, macam mana aku boleh lupa? Kalau kau tak sebut, gerenti aku lupa.” Balas Amzar sambil menepuk dahinya sendiri.
“Itulah gunanya setiausaha kan?” jawab Marha selamba.
Amzar hanya mencebikkan bibir. Dia mencapai helaian kertas yang berselerakkan di atas meja.
“Ini kertas apa? Sepatah pun aku tak faham apa yang kau tulis.” Omel Amzar sambil kertas itu dipusingkan.
Marha hanya ketawa kecil melihat tingkah Amzar. Lantas, kertas yang berada di tangan Amzar, dicapai.
“Ini draft untuk ucapan tuan. Point penting yang perlu saya letakkan dalam teks ni. Biasa orang tulis terus je tapi saya lebih suka tulis dekat kertas lain dulu. Lebih teratur.” Terang Marha.
“Banyak lagi ke kerja kau ni?”
Marha menganggukkan kepala sambil matanya terarah ke skrin komputer.
“Selalu ke kau bawa kerja balik rumah?” soal Amzar ingin tahu.
“Selalu tu taklah cuma bila kerja bertindih macam ni, saya kena curi masa untuk buat. Kalau waktu ofis memang tak sempat.” Jawab Marha.
Amzar menganggukkan kepala tanda faham. Dia tidak menyangka Marha serajin itu. Dalam hati dia memuji sikap Marha. Timbul rasa simpati saat melihat wajah itu keletihan. Sesekali kelihatan gadis itu menggosok matanya. Mengantuk mungkin.
“Tak apalah kalau macam tu, teruskanlah dengan kerja kau, aku nak ke dapur.”
“Tuan nak buat apa ke dapur? Tuan nak air? Saya boleh ambilkan.” Ujar Marha lantas ingin bingkas bangun.
Dengan pantas Amzar menahan.
“Tak payah. Kau teruskan dengan kerja kau. Kaki aku dah tak sakit. Aku boleh ambil sendiri. Tangan aku pun dah boleh gerak. Dah tak perlu susahkan kau.” Jawab Amzar membuatkan Marha terduduk kembali.
Dia mengangkat bahu.
“Baiklah, kalau itu yang tuan nak.” Balas Marha.
Amzar bingkas bangun dan meninggalkan Marha untuk ke dapur. Selesai dia meneguk air, dia kembali ke tingkat atas dengan membawa secawan coklat panas untuk dibawa ke bilik.
Sewaktu dia ingin melintasi ruang rehat, dia terpandang Marha yang sedang menekup muka di meja. Dia melepaskan keluhan.
“Kata nak buat kerja, tak sampai lima minit aku tinggal, dah tertidur. Cakap aje besar minah ni.” Omel Amzar lalu menapak menuju ke arah Marha.
Dia melabuhkan punggung di sebelah Marha selepas meletakkan cawan di atas meja. Amzar menggelengkan kepala saat melihat posisi Marha sekarang ini. Apa tidaknya, gadis itu menekup muka di meja sedangkan dia hanya duduk di birai sofa. Pasti tidak selesa. Fikir Amzar.
“Mar… Marha, bangun. Pergi tidur dalam bilik.” Arah Amzar sambil menyentuh lembut lengan Marha yang sedang tertidur.
Namun, tiada jawapan daripada Marha malah tangan Amzar ditepis lembut.
“Marha, bangun!” kejut Amzar lagi. Kali ini lengan Marha digoncang perlahan.
“Alah, bagilah aku tidur lagi lima minit, Qis. Nanti aku bangunlah.” Ujar Marha dengan mamai. Matanya terpejam rapat. Kepalanya yang ditutupi tudung, digaru-garu. Tangan Amzar yang disangka Qistina turut ditolak perlahan.
“Qis? Kau ingat aku kawan kau?” soal Amzar sendirian. Suaranya diperlahankan. Dia tersenyum sendirian.
“Ikut suka kaulah.” Jawab Amzar. Dia ingin bangun namun Marha dengan pantas menarik tangan Amzar.
“Kau nak ke mana tu? Temanlah aku sekejap. Aku penat. Aku nak tidur sekejap je.” Ucap Marha masih belum sedarkan diri.
Tanpa amaran, dia mengengsotkan punggungnya ke belakang manakala dengan selamba lengan Amzar dipeluk sambil kepalanya dilentokkan ke bahu Amzar yang disangkakan Qistina.
Mata Amzar membulat. Tindakan berani Marha membuatkan dia tertelan air liur. Jantungnya kembali menjemput debaran.
“Aku bukan kawan kaulah. Hey, Marha. Bangun!” ucap Amzar lantas menggerakkan bahunya. Dia cuba menarik lengannya daripada pegangan Marha namun tidak berjaya.
Dia mengintai wajah Marha, ternyata gadis itu benar-benar tertidur. Satu keluhan dilepaskan saat melihat wajah Marha yang sedang lena tidur. Tampak benar-benar kepenatan.
“Penat sangat minah ni agaknya sampai tidur pun mengigau.” Desis Amzar sendirian.
Lama dia merenung wajah Marha yang kelihatan tenang dalam tidurnya. Satu per satu anggota wajah isterinya diamati. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyum.
“Bila pandang lama-lama, cantik juga kau ni. Tapi aku pelik kenapa famili aku cepat sangat sukakan kau? Apa yang istimewa sangat pun aku tak tahu.” Getus Amzar sendirian.
Marha tidak membalas. Dia larut dalam lenanya tanpa menyedari apa-apa. Malah, pelukan di lengan Amzar diperkemaskan seolah-olah dia sedang memeluk bantal peluk.
Amzar mengeluh. Dia tidak dapat berbuat apa-apa sekarang. Boleh saja dia menolak tubuh Marha tetapi perbuatan itu akan mengganggu tidur Marha sedangkan gadis itu benar-benar keletihan. Dia tiada pilihan selain turut menyandarkan diri di sofa sambil membiarkan lengannya dijadikan tempat rehat Marha.
Akhirnya, Amzar turut memejamkan mata. Tidak sampai beberapa minit, dia turut terlena.


BUNYI loceng yang kedengaran daripada telefon bimbit Marha membangunkan gadis itu daripada lenanya. Dia memisat-misatkan mata cuba mengamati kawasan sekeliling.
Aku kat bilik ke ni? Kenapa terang sangat bilik ni? Aku lupa tutup lampu ke semalam? Soal Marha dalam hati. Dia meraup wajahnya sebelum kembali merebahkan kepalanya ke tilam.
“Tilam? Kenapa lain macam aje tilam ni?” soal Marha sambil anak matanya melingas ke kiri dan kanan.
“Kenapa tilam ni bergerak-gerak?” gumam Marha lagi. Otaknya ligat memutarkan hari semalam. Seingatnya. Sebelum dia tertidur, Amzar datang menyapa sewaktu dia sedang menyiapkan kerjanya. Kemudian, Amzar menghilangkan diri ke dapur. Selebihnya Marha tidak mengingati apa-apa.
“Lena tidur semalam?” soal satu suara rapat di telinga Marha.
Dahi Marha berkerut lantas dia mendongak. Matanya membulat.
“Tuan!” jeritnya terkejut.
Dia bingkas bangun dan menyedari akan keadaannya yang terbaring di atas dada Amzar!
Marha terlopong. Pandangannya bertaut dengan pandangan Amzar.
“Kenapa terkejut? Nampak hantu ke?” soal Amzar sambil tersenyum sinis.
“Macam mana tu… tu.. tuan…”
“Jangan tanya aku. Semunya salah kau. Aku kejutkan kau, kau pulak yang peluk aku. Tak pasal-pasal lenguh satu badan aku sebab terpaksa tampung badan kau yang berat tu.” Ujar Amzar sambil menekankan perkataan berat.
Dia turut bingkas bangun sebaik saja Marha mengalihkan tubuh. Gadis itu duduk di birai sofa dengan wajah yang tertunduk.
“Maaf, saya tak sedar. Kenapa tuan tak tolak je saya semalam?” soal Marha lambat-lambat.
Amzar menjengilkan matanya.
“Tolak? Banyak kali aku tolak, kau tu macam lintah duk melekat kat lengan aku. Kau bernasib baik sebab iman aku ni kebal, kalau tak, kau faham-faham ajelah.” Usik Amzar sambil mengerling Marha yang sudah berubah rona. Malu!
Marha menggigit bibir. Sungguh, dia malu saat ini. Saat melihat Amzar meregangkan tangannya timbul rasa bersalah dalam diri Marha. Tentu tangan lelaki itu lenguh kerana tidak dapat tidur dengan sempurna.
“Saya minta maaf sekali lagi tuan. Saya janji semua ni takkan jadi lagi. Saya masuk bilik dulu.” Ucap Marha pantas.
Tanpa menunggu balasan Amzar, Marha bingkas bangun meninggalkan ruang rehat tersebut tanpa sedikit pun menoleh.
Amzar ketawa kecil sambil memicit lengannya yang terasa lenguh
“Malulah tu!” getusnya.

MARHA menggelengkan kepalanya beberapa kali saat peristiwa awal pagi tadi terlayar di ruang fikiran. Dia menepuk pipinya berulang kali, berharap rasa malu itu hilang dengan sendirinya.
“Macam mana aku boleh tertidur atas mamat tu? Malunya!” keluh Marha sambil tangannya lincah mengacau tom yam di dalam periuk.
Dia menghentak kakinya ke lantai.
“Kau masak ke kau menari?” tegur suara yang tidak asing lagi di pendengaran Marha. Marha memejamkan mata sejenak. Bibirnya digigit. Terkena lagi aku kali ni. Getus hatinya
Lambat-lambat Marha berpaling. Dia cuba mengawal riak wajahnya. Satu sengihan dilemparkan kepada Amzar.
“Eh, tuan. Tuan buat apa kat sini? Tuan nak air ke? Tuan nak makan?” soal Marha bertalu-talu. Cuba melindungi rasa gementar.
Amzar menyembunyikan senyuman saat melihat sikap Marha yang kelam kabut. Gadis itu kelihatan serba tak kena.
“Aku tak nak makan, aku tak nak minum.” Jawab Amzar menghentikan tingkah Marha yang sedang mencari sesuatu di dalam peti sejuk.
Terkebil-kebil Marha membalas pandangan Amzar yang bersahaja.
“Tuan tak nak makan? Habis tu tuan nak apa?”
“Aik, aku masuk dapur aku sendiri pun tak boleh? Kena minta kebenaran kau ke?” soalan dibalas soalan oleh Amzar.
“Taklah bukan itu maksud saya…”
“Kalau bukan itu maksud kau, apa maksud kau yang sebenarnya?” soal Amzar. Dia melangkah setapak menghampiri Marha. Wajah gadis itu ditenung dalam.
Marha meneguk liur. Mula terasa gelisah dengan pandangan Amzar. Apatah lagi saat ini Amzar dengan sengaja merapatkan kedudukan memaksa Marha mengundur langkah ke belakang.
“Tuuu… tuan jangan dekat. Saya rasa lebih baik tuan rehat kat depan dulu. Nanti siap, saya hidangkan makanan untuk tuan.” Ujar Marha tergagap-gagap. Dia cuba menahan Amzar daripada terus rapat.
“Kan aku dah cakap aku tak nak makan. Kenapa kau gelabah sangat ni? Kau ada buat salah?” soal Amzar lagi.
Dia terus menapak sehingga tubuh mereka hanya dipisahkan beberapa inci saja.
“Mana ada. Cuma pasal semalam tu saya betul-betul minta maaf. Saya mengaku salah saya sebab tidur sampai tak sedar tuan dah kejutkan saya. Tapi sumpah, saya tak ada niat nak ambil kesempatan pada tuan. Kalau penat sangat saya memang macam tu, saya tak sedar apa yang ada dekat sekeliling saya…” terang Marha tanpa dipinta.
“Tak sedar sampai kau lupa nama siapa yang kau sebut semalam?” pintas Amzar dengan kening dijongketkan.
Kening Marha bertaut. Nama siapa yang aku sebut semalam? Soal hati Marha cuba mengimbau kembali peristiwa semalam. Namun, semuanya kabur.
“Saya ada sebut nama? Siapa? Saya tak ingat pun.”
“Tak ingat? Kau menggigau panggil nama aku, kau lupa? Kau minta aku jangan tinggalkan kau. Kau lupa semua tu?” bohong Amzar.
Marha terkesip. Dia mengetuk dagu.
“Tuan tipu kan? Saya yakin, kalau saya tak sedar diri atas apa-apa sebab sekali pun, saya takkan panggil nama tuan. Itu saya pasti.” Jawab Marha dengan penuh yakin.
Dia tayang sengih apabila Amzar membeliakkan mata.
“Kau pasti kau takkan panggil nama aku walau apa pun yang berlaku?” soal Amzar dengan senyuman penuh makna menghiasi bibirnya.
Marha menggangguk laju.
Amzar melangkah setapak lagi. Rapat dan terus rapat. Manakala anak matanya tepat memanah anak mata Marha.
“Tuan, apa yang tuan buat ni? Tak payahlah rapat-rapat,” ujar Marha dengan suara yang bergetar. Dia memalingkan wajahnya ke sisi.
“Kenapa? Takut? Atau gementar?” soal Amzar masih dengan mood mengusik.
“Takut? Tak langsung!” tegas Marha kemudian kembali menentang wajah Amzar.
Amzar mengulum senyum. Anak matanya mula jatuh ke bibir Marha yang merah walaupun tanpa secalit gincu.
“Tak takut? Jadi bolehlah aku…”
“Bolehlah apa?!” soal Marha pantas. Dia berdebar. Renungan Amzar cukup meresahkan hatinya.
“Bolehlah…”
Amzar menundukkan sedikit wajahnya. Marha semakin tidak keruan.  Lelaki itu makin mendekat. Marha resah. Akhirnya…
“Tuan Am!” jerit Marha memanggil nama Amzar seterusnya menghentikan perbuatan lelaki itu.  Matanya dipejamkan.
Amzar tersenyum kemenangan. Dia memandang Marha yang memejamkan mata seakan-akan takut ingin melihat wajahnya.
Klik!
Bunyi dapur ditutup oleh Amzar membuatkan mata Marha kembali terbuka. Terkebil-kebil dia memandang Amzar dan dapur yang berada di belakangnya silih berganti.
“Tom yam kau tu dah nak kering, jadi aku tolong tutupkan.” Jawab Amzar selamba.
Marha malu sendiri. Satu jelingan dihadiahkan buat Amzar sebelum tubuh sasa itu ditolak. Dia kembali menghadap periuk tom yam yang masih berada di atas dapur. Marha berdeham bagi menghilangkan rasa malu.
“Lepas ni aku tak benarkan kau bawa kerja balik ke rumah. Kerja ofis habiskan di ofis. Faham?” ujar Amzar berbaur arahan. Dia berdiri di sebelah Marha sambil menyandarkan tubuhnya di kabinet dapur.
Marha mengangguk laju.
“Faham tuan.” Jawab Marha tanpa memandang wajah Amzar. Dia tahu saat ini Amzar sedang merenungnya. Tangannya mula menggigil. Dia tidak selesa ditenung sebegitu.
“Satu lagi, jangan nak tidur merata tempat terutama sekali dekat pejabat nanti entah siapa pula yang kau peluk.” Sambung Amzar membuatkan Marha hampir tercekik.
Dia membulatkan matanya. Darah merah menyerbu ke segenap kulit wajah. Marha tidak menjawab. Dia lebih suka mendiamkan diri.
“Kau dengar tak arahan aku ni?” soal Amzar lantas mencuit lengan Marha.
Marha mengetap bibir. Dia berpaling ke arah Amzar.
“Ya, saya dengar dan saya faham, tuan.” Ujar Marha sambil mengancingkan giginya.
“Bagus. Kau masak apa ni?” soal Amzar sambil cuba mengintai Marha yang sedang menghiris bawang belanda.
“Saya nak masak sambal udang, paprik, telur dadar, sambal belacan, dan ikan goreng. Tom yam, paprik, telur dadar dan sambal belacan dah siap, tinggal sambal udang je belum siap lagi. Sempatlah siap sebelum mama dengan papa balik.” Terang Marha bersama senyuman.
Amzar terdiam. Senyuman Marha lebih menarik perhatiannya. Lesung pipit yang terbentuk di pipi Marha saat gadis itu tersenyum nampak indah di mata Amzar saat ini.
Dessert kau tak masak ke?” soal Amzar kemudian.
Dessert? Semalam saya dah siapkan puding karamel tapi tak tahulah sedap ke tak. Tuan tolong rasakan boleh?” pinta Marha sambil membalas pandangan Amzar.
Dupp!
Jantung Amzar bagai digoncang saat anak matanya berlaga dengan anak mata hitam milik isterinya. Cepat-cepat dia melarikan pandangan.
Hmm… Bolehlah..” jawabnya ringkas. 
Marha tersenyum lagi. Senang dengan kesudian Amzar untuk menjadi orang pertama merasa masakannya. Dengan pantas, dia berlalu ke peti ais. Satu bekas loyang berwarna perak dikeluarkan dari petis ais. Dia tersenyum melihat puding karamelnya menjadi seperti yang dilihat di aplikasi YouTube.
Amzar melepaksan nafas pendek. Senyuman Marha benar-benar mengganggu fikirannya. Entah mengapa hatinya berdenyut setiap kali terpandang senyuman itu. Terasa hatinya bagaikan sudah tertawan. Amzar menepuk dadanya, berharap debaran itu hilang dengan sendirinya.
“Nah, cuba tuan rasa…” ujar Marha mengejutkan Amzar. Dia tersentak. Langkahnya terdorong ke belakang apabila melihat Marha betul-betul di hadapannya dengan senyuman yang tidak lekang daripada bibirnya yang merah. Amzar mengetap bibir. Huluran Marha disambut.
“Sedap ke ni?” soal Amzar dengan curiga.
“Saya rasa okey je. Tuan rasalah pula. Kalau tuan tanya saya, jawapan saya tentulah sedap sebab saya yang masak.” Jawab Marha tersengih.
Amzar mengawal bibirnya daripada tersenyum sebaik saja mendengar jawapan Marha. Wajahnya diketatkan.
“Kau dah rasa?” soalnya lagi.
“Dah…” kata-kata Marha terhenti apabila menyedari sudu yang disediakan merupakan sudu yang sudah digunakannya.
Opps… sekejap tuan, saya ambil sudu yang baru. Sudu tu saya dah guna.” Ujar Marha lalu ingin mengambil sudu tersebut dari tangan Amzar.
Amzar menepis lembut.
“Tak payah. Aku guna sudu ni je. Kau tak ada penyakit berjangkit kan?” soal Amzar membuatkan Marha mati kutu.
Marha menjongketkan bahu. Dia hanya memerhatikan Amzar yang sedang menyuap puding karamel dengan berhati-hati. Dia teruja menanti reaksi lelaki itu.
“Macam mana tuan, okey tak?” soal Marha sebaik saja Amzar selesai merasa puding tersebut.
Amzar tidak terus menjawab sebaliknya dia hanya merenung anak mata Marha yang kelihatan bersinar menunggu reaksi daripadanya.
Hmmm… Bolehlah. Tak manis sangat. Cukup rasa.” Komen Amzar akhirnya.
Yesss!” Marha terjerit kecil. Dia menepuk tangan untuk dirinya sendiri. Dia tersenyum lebar tanpa menyedari telatahnya sedang diperhatikan.
“Jangan senyum macam tu boleh tak?” soalan Amzar mengejutkan Marha. Mati terus senyuman manisnya. Tegak matanya memandang Amzar dengan dahi yang berkedut seribu.
“Apa maksud tuan? Kenapa saya tak boleh senyum. Senyum kan satu sedekah. Bukan kena bayar pun untuk senyum.” Balas Marha pelik.
“Memang senyuman satu sedekah tapi aku tak perlukan sedekah kau tu. Kau saja nak goda aku kan?” soal Amzar lagi.
Marha membeliakkan matanya. Aku nak goda dia? Biar betul mamat ni?
“Saya nak goda tuan? Semua orang saya senyum macam ni. Kenapa tiba-tiba senyum saya jadi masalah pula ni? Atau tuan yang dah tergoda jadi tuan nak salahkan saya?” soal Marha berani. Dia menentang pandangan Amzar tanpa rasa gerun.
“Kalau aku tergoda, apa yang kau boleh buat? Kau nak bertanggungjawab?” soal Amzar tiba-tiba.
Marha terdiam. Dia meneguk liur mendengar bicara Amzar. Dia resah kembali apatah lagi ketika ini renungan Amzar agak berlainan daripada kebiasaannya. Marha cuak.
“Tuan jangan nak bergurau…”
“Tak. Aku tak bergurau sekarang.” Pintas Amzar pantas.
Marha gelisah. Dia menoleh ke belakang. Nampaknya, dia kena melarikan diri buat sementara waktu.
Errr… Nampak macam mendung aje kat luar tu kan, saya nak pergi angkat kain dululah.” Ujar Marha mencipta alasan. Dia melangkah setapak ke belakang.
Amzar tersenyum sinis. Dia dapat mengesan riak gelisah yang terpamer di wajah isterinya. Lantas, belum sempat Marha berpaling, Amzar terlebih dahulu menarik lengan Marha membuatkan gadis itu jatuh ke dalam pelukannya.
Marha tergamam. Tindakan spontan Amzar membuatkan dia terkedu.
“Kau nak lari?” soal Amzar seakan berbisik.
Marha cuak. Apa tidaknya, saat ini tangan Amzar sedang erat memeluk pingganganya. Marhan tertelan liur. Dadanya seakan ingin meletup saat ini juga.
“Apa tuan ni? Lepaslah!” bentak Marha sedaya upaya cuba menolak tubuh Amzar yang sasa.
Amzar ketawa kecil. Wajah cuak Marha mencuit hatinya. Lantas, pelukan diketatkan lagi.
“Tak nak. Aku nak kau bertanggungjawab.” Ujar Amzar sambil mengangkat keningnya. Wajah Marha yang dekat, menguji imannya saat ini. Apatah lagi bola matanya seakan tidak mahu lepas daripada memandang bibir Marha. Apa kena dengan aku ni? Jerit hatinya.
“Apa tuan merepek ni? Saya tak buat apa-apa kesalahan pun!” bentak Marha geram. Dia mula rimas dengan perbuatan Amzar.
Amzar tidak peduli. Dia bagaikan dirasuk saat ini. Wajahnya didekatkan ke wajah Marha. Rapat dan terus merapat. Rontaan demi rontaan daripada Marha langsung tidak memberi kesan kepada Amzar. Otaknya sudah tidak mampu berfikir dengan rasional. Berduaan dengan Marha mengundang padah kepada dirinya sendir.
Marha menggelengkan kepala. Dadanya turun naik menahan debaran. Dia tidak mampu untuk menandingi kudrat Amzar. Tolakannya langsung tidak memberi kesan kepada Amzar malah tubuh lelaki itu sedikit pun tidak berganjak. Marha kematian cara sedangkan saat ini hembusan nafas Amzar terasa dekat di pipi. Marha tidak sanggup untuk menghadapi kenyataan, lantas matanya dipejamkan.
Amzar tersenyum kemenangan. Dia terus menghampiri wajah Marha. Hampir dan terus hampir. Namun….
“Assalamualaikum! Along! Kak Mar! Eh, sorry!”
Bunyi suara itu mengejutkan Amzar dan Marha. Spontan, Amzar melepaskan pelukannya. Marha pun turut menolak tubuh Amzar supaya menjauhinya. Mereka terperangkap!

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.